Tiga Kuntum Hujan

Oleh Darma Mohamad

2010/03/08

Kuntum 1

KAMI dikejutkan oleh bunyi.
Bunyi itu tidak nampak, sukar dinyatakan sebesar mana saiznya. Namun jika juru gambar sempat merakam wajahnya, boleh jadi bunyi itu sama besar dengan bukit di hadapan rumah kami. Semua orang tercari-cari di mana bunyi bersembunyi setelah kedengaran suaranya. Masing-masing bergegas keluar dari kepompong rumah.
“Mana bunyi itu,” jerit seseorang, entah apa namanya. Tidak perlu lagi mengetahui nama seseorang di tengah kelam-kabut begini.

Orang semakin ramai keluar di hadapan deretan rumah kami. Masing-masing mencari bunyi.

“Tengok sana!” jerit seorang perempuan yang juga tidak perlu dinyatakan namanya di sini. Yang penting adalah suara jeritannya, bukan lagi siapa yang menjerit.

Kami memandang ke arah yang ditunjukkan oleh perempuan itu.
“Mana? Mana?” Entah suara budak lelaki mana yang bertanya itu.

Tidak siapa yang pedulikan kepada pertanyaan itu. Kami hanya mahu mencari suara tadi. Kami mahu mencari apa yang ditunjukkan oleh perempuan itu.

Ada seorang lelaki berbaju merah meluru ke balik bukit.

“Ikut dia!” jerit seorang lelaki lain yang ada bersama kami.

Kami beramai-ramai berlari. Tidak ada siapa yang tahu apa yang dikejar. Kami mengejar lelaki itukah atau mengejar bunyi yang kami cari sebelum ini. Derap tapak kaki kedengaran hebat sekali. Kami hanya mahu melihat bunyi. Bunyi mahu lihat bunyi yang bergegar tadi. Kami mahu tangkap sayap bunyi itu. Jika dia ada paruh, kami mahu ikat paruhnya.

“Waooooo!” Tidak dikenali siapa yang memuntahkan suara itu. Ini raung ketakutan.

Kami sampai ke tempat yang dituju. Kami berdiri memandang apa yang ada di hadapan kami. Tidak ada bunyi di situ. Semua orang tidak melihat bunyi.

Kami melihat bangunan tinggi di lereng bukit telah ranap. Bunyi kuat tadi tidak ada. Kami percaya bunyi itu telah melarikan diri. Yang ditinggalkan oleh bunyi itu ialah runtuhan bangunan.

Dahulu kala sebelum bangunan tinggi terpacak di lereng bukit itu, lima belas batang pokok besar tumbang di situ satu demi satu. Pokok itu kami lihat mempunyai akar tunjang yang panjang dan kuat. Namun pokok-pokok itu tumbang kerana keadaan cerun yang agak curam. Dahulu kala, orang tua kami selalu berpesan agar jangan dirikan rumah di lereng mana-mana bukit, nanti tubuh bukit akan senget. Bila tubuh bukit akan senget, akan berlakulah petaka alam. Petaka alam boleh mendatangkan maut secara tiba-tiba.

Kini kami menyaksikan bangunan yang mewah dan megah telah ranap ke bawah cerun. Esoknya, surat khabar melaporkan 88 orang meninggal dunia, 44 orang lelaki, 44 orang perempuan. Semua pihak telah membuat laporan awal punca kejadian bangunan runtuh di lereng bukit itu.

Semua jari menuding kepada “Hujan”.

Kemudian semua pihak bersedap-sedap dengan menghirup kopi masing-masing.

Kami temui bunyi yang kami cari. Bunyi inilah yang kami takuti selama ini. Dahulu kala, kami sudah hantarkan beberapa pucuk surat kepada pihak berwajib agar lereng bukit itu jangan diusik, kerana kata kami, bukit itu ada nyawa. Banyak pihak mentertawakan kami, kerana mereka anggap kami ini percayakan perkara khurafat. Mereka tidak faham apa yang kami maksudkan sebagai ‘nyawa’ dalam surat-surat kami itu. Bukit bertutur dengan bahasanya.

Sekuntum hujan kembang di lereng bukit.



Kuntum 2

TADI siang, kami telah meredah hutan dan memanjat bukit.

Sudah satu malam itu kami bermukim untuk pesta baca puisi. Pesta ini bukan sebarang pesta. Para pembaca puisi yang dijemput terdiri daripada tokoh-tokoh ternama dari separuh dunia. Jangan kata puisi itu barang hampas. Di banyak bahagian dunia, puisi berakar dan hidup. Ada orang menghirup puisi bersama secangkir kopi. Malah ada yang memakan puisi yang ditulis di atas sepotong roti. Ini kedengaran sungguh aneh.

Kami menyemak puisi-puisi yang akan dibaca. Pembaca akan membaca puisi ciptaan mereka sendiri dalam bahasa asal mereka dan terjemahannya telah dibuat oleh pihak penganjur lebih awal.

“Aku perhatikan puisi penulis Amerika ini sungguh terus terang. Tengok apa yang dia tulis,” kata seorang lelaki yang ada di situ.

“Maksudmu apa?” tanya seorang yang lain.

“Baca halaman 200, bukankah dia cabar pemimpinnya?” jawab lelaki tadi.

“Kau ingat penulis kita tak mencabar?” tanya pula tukang hidang teh.

“Aku tak pernah tengok puisi kau yang pedas!”

“Kau silap. Jika aku tulis puisi cabai, ia tetap pedas,” kata penyair kosmopolitan itu. “Jangan kau tak tahu pengikut Amiri Baraka ramai di AS. Dia itu salah seorang daripadanya.”

“Aku suka kalau dia baca salah sebuah puisi Baraka itu,” kata si tikang teh.

“Aku tau puisi apa yang kau maksudkan,” sampuk lelaki yang sedang membelek antologi tadi. “Aku baca puisi itu dua puluh kali.”

“Puisi apa yang kau baca dua puluh kali? Puisi Baraka ke?” Tanya si tukang teh.

“Ya. Puisi Baraka, Somebody Blew Up Amerika,” tegas lelaki itu lagi.

“Jika kau baca puisi Baraka, baca juga puisi Usman Awang. Kaji ada persamaan atau tidak!” cadang lelaki itu.

Kami akhirnya mundar-mandir dalam hutan sastera Timur dan Barat. Ada minta kami membaca Neruda, ada suruh baca Diwan al-Halaj, ada suruh baca Rumi, ada minta baca Hafiz, ada suruh tinjau Walcott, ada minta mendalami Hamzah Fansuri dan ada minta telaah Amir Hamzah. Malah ada di antara kami sudah membaca lebih daripada itu.

Siang esok kami akan menghadiri sesi pembentangan kertas yang berjudul, Puisi Tidak Perlu Ditulis Kerana Puisi Tidak Perlu Dibaca?. Kertas ini akan dibentangkan oleh seorang penyair kawakan dari Hemisfera Selatan. Satu lagi kertas yang dijangka menarik berjudul, Puisi Itu Bara, Puisi Itu Embun oleh pengkritik puisi dari Hemisfera Utara yang akan menggalurkan peranan puisi dalam penyebaran dan penghayatan Islam di Semenanjung Arab ke Kepulauan Melayu.

Malam baca puisi dimulakan sebaik-baik sahaja selesai makan malam. Tetamu undangan ditempatkan di kerusi depan di atas pentas tergantung yang bergemerlapan. Di bawahnya mengalir sungai yang arusnya agak deras. Permukaan air sungai itu disuluh dengan cahaya pancawarna. Pada sebelah siangnya kami cuba bermain-main di atas pentas tergantung itu. Memang menarik bila pentas itu berayun-ayun bila dipijak.

Kami rasa curiga. Kami cuba menentang pembacaan puisi di atas pentas tergantung pada sebelah malamnya. Kami memberitahu pihak penganjur bahawa tanah lapang sudah cukup untuk membaca puisi. Pihak penganjur pula memberitahu kami bahawa pemilik pusat peranginan tepi sungai itu mahu menjadikan pembacaan puisi itu lebih meriah. Pentas tergantung yang dibina betul-betul di tengah sungai baru saja siap.

Penyair melantunkan suara mereka seorang demi seorang. Puisi-puisi panas dan tajam dilontarkan ke kepada khalayak yang rata-rata berada di atas tebing sungai.

Bunyi itu tiba-tiba datang. Bunyi yang sukar ditulis oleh bahasa. Suara penyair bertukar menjadi jeritan panjang. Jerita itu disambut serentak oleh para jemputan dan khalayak di tebing sungai.

Pentas tergantung runtuh! Malam menjadi hingar-bingar.

Dengan sedih seorang rakan berbisik, “Malam ini benar-benar puisi tidak perlu dibaca.”

Keesokan harinya akhbar melaporkan seramai sepuluh orang mati lemas; lima lelaki dan lima perempuan. Lima orang lain masih hilang. Jurucakap pemilik pusat peranginan mengatakan hujan lebat di hulu sungai menyebabkan air naik secara tiba-tiba dan arus deras menerjah tiang-tiang penambat dengan kuat. Ini menggugah tiang-tiang pentas itu lalu tercabut.

Semua jari menuding kepada “Hujan”.

Kami berkabung dengan berhenti menulis puisi buat beberapa waktu.



Kuntum 3

SEORANG gadis mengutip kuntum-kuntum hujan yang gugur di halaman rumahnya.

Sang gadis membaca setiap huruf pada setiap kelopak hujan itu.

“Rahmat Tuhan melimpah sampai ke segenap liang bumi, menjirus saraf-saraf pohon. Burung-burung basah kuyup sampai ke tulang dan berdoa pada pagi hari. Bumi menggenggam bau harum dari langit tua sahabat abadinya. Hujan menyampaikan salam silaturahim penghuni langit kepada penghuni bumi dengan lidah jernihnya.”

Sang gadis mencium kuntum-kuntum hujan itu sepuas-puasnya. Dia tenggelam di dalam kelopak tasbih. Nafasnya bercantum dengan nafas hujan, berlari-lari ke lubuk tafakur paling sunyi. Dia mahu tenggelam dalam kuntuman hujan itu, kerana hujan itu harum dan keharuman itu berakar di langit.

Tatkala kami tiba di rumah gadis itu, dia sudah pengsan.

Kata ibunya, “Semalaman dia bermain hujan kerana katanya hujan itu Rahmat Tuhan. Dalam hujan dia beristighfar, kerana dia hendak membersihkan jiwanya. ”

Hujan masih belum berhenti.

Info

DARMA MOHAMMAD, nama pena bagi Daud Mohammad yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 1948, mula

berkarya pada 1972 dengan menekuni puisi, cerpen, esei sastera-budaya, buku refleksi sejarah dan novel. Karya secara eceran itu mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana negara ini seperti Berita Minggu, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Solusi, Wanita dan Jelita selain mempunyai puluhan antologi puisi. Antologi puisi perseorangan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (jurusan Sastera Tulen) dari Universiti Malaya, 1972/73 antaranya ialah Gernyut nafas (1989) dan Jinjang Iktikaf (2003). Novel remaja, Menjaras Ribut (1991) dan novel umum, Kejora Di Kaki Langit (2008), Derai-Derai Debu (2008) serta Bunga-bunga Terumbu (1992). Novel dewasa, Merinci Ufuk (1991), Langit Duri (1992, ulang cetak 1994) dan Kejora Di Kaki Langit (2008). Buku Umum Berunsur Sejarah – Sejarah 30 Sahabat Nabi + 30 Puisi berunsur Islam, Nafas Di Lembah Atar (2009).

1 comments:

IBU PUSPITA 4:32 PM  

Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,jangan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohan dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI












Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIRENG dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIRENG di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIRENG saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIRENG karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI,janan ada percaya klau ada yg memakai pesan ini klau bukan atas nama saya krna itu cuma bohon dan ini resmi saya yg menulis.Untuk yg punya rum erimakasih atas tumpangannya. KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.