Dari fail Tribuhak

KES 1
Sekonyong-konyong Ahmad Debab telah ditangkap ketika makan roti canai di sebuah warong mamak dalam bulan puasa. Ketika itu Ahmad Debab tengah sedap membalun roti canai ketiganya.

“Siapa nama awak?” tanya pegawai Jabatan Agama yang menangkap Ahmad Debab.

“Nama saya Ahmad Debab,” jawab Ahmad Debab dengan yakin kerana itulah namanya. Cuma suaranya agak tersekat-sekat kerana ketika itu dia masih mengunyah roti canai banjir berkuah dal pekat. Dia tersengih-sengih seperti biasa kerana itulah tabiatnya.

“Sahlah awak orang Melayu!” kata pegawai itu lagi.

“Saya tak kata saya bukan Melayu. Mak bapak saya Melayu, datuk nenek saya juga Melayu!” Jawab Ahmad Debab penuh yakin juga. Bibirnya masih berminyak lantaran roti canai mamak yang rangup berkrim itu.

“Awak telah melanggar undang-undang!” kata pegawai yang satu lagi. Dia menjatuhkan hukuman laksana seorang hakim. Begitulah lazimnya, manusia memang gemar menjatuhkan hukuman sebelum benar-benar yang dihukum itu bersalah atau sebaliknya.

“Saya tak buat salah apa-apa pun!" kata Ahmad Debab lagi sambil sempat menghirup teh tarik berbuih hingga ke titisan yang terakhir.

“Awak makan dan minum dalam bulan puasa awak kata tak salah?!” kata pegawai Jabatan Agama yang menjalankan tugas itu. Suaranya tinggi menggambarkan kemarahannya. Sesekali dia menelan air liur memandang ke arah kuah roti canai yang pekat berlinang.

“Bukankah makan minum ini hak asasi manusia. Setiap makhluk yang hidup memerlukan makanan. Kalau saya tak mahu puasa, itu hak asasi saya,” Ahmad Debab mempertikaikan dakwaan pegawai-

pegawai yang datang secara mengejut sehingga dia tidak sempat melarikan diri. Beberapa orang kawannya yang sama-sama melantak roti canai bersamanya tadi entah ke mana. Memandangkan bentuk badan Ahmad Debab yang sedemikian rupa saiznya, dia tidak sempat berbuat apa-apa dalam keadaan kelam-kabut itu. Jika dia melarikan diri pun dia tidak yakin dapat lepas.

“Ohh... hak asasi kata awak? Kalau begitu pergilah buat aduan kepada Tribuhak,” kata-kata pegawai itu seolah-olah mencabar pula bunyinya. Barangkali mereka mengerti di kota ini sudah ada tribunal hak asasi manusia yang diakronimkan menjadi Tribuhak. Berkali-kali sudah tribuhak menyanggah keputusan undang-undang kerana melanggar hak asasi manusia. Perkara hak asasi tidak boleh dibuat main-main. Tribuhak akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hak asasi sesiapa sahaja, waima pencuri, perompak, perasuah, lanun, gangster, along, penyeleweng, samseng, pengkhianat negara, malaun, dan sesiapa sahaja yang layak dipanggil manusia.

“Okey! Saya akan laporkan perkara ini kepada Tribuhak! Saya yakin Tribuhak saja yang tahu akan hak asasi manusia. Orang lain semuanya tak tahu!” Ahmad Debab merengus melepaskan perasaan marahnya. Dia berasa sangat terbela nasibnya setelah mendengar nama Tribuhak itu. Dia tidak akan diapa-apakan selagi ada Tribuhak. Dia akan selamat.

Kes 2

Sekonyong-konyong Cikgu Majid balik dari kelas sambil menutup mukanya. Perbuatannya itu nyata membangkitkan persoalan dalam kalangan rakan-rakan. Akhirnya, pecah cerita yang mengatakan Cikgu Majid ditumbuk oleh seorang pelajar tingkatan lima. Pelajar tersebut, Fazli, telah mengambil tindakan membelasah gurunya kerana dimarahi akibat tidak menyiapkan kerja rumah.

Maka pengetua pun memanggil Fazli. Beliau menyoal siasat pelajar kelas 5G itu untuk mendapat gambaran sebenarnya tentang kisah muka Cikgu Majid yang lebam kemerah-merahan. Dengan rasa bangga Fazli mengaku dialah yang menumbuk Cikgu Majid. Tubuh badannya yang gempal dan sasa itu memang sesuai dengan sikap panas barannya.

Mahu tidak mahu, pengetua terus membuat keputusan. Besoknya, di hadapan perhimpunan pagi sekolah tersebut, pengetua merotan Fazli dua kali. Peristiwa itu disaksikan oleh pelajar-pelajar lain dan guru-guru.

Berita hukuman rotan yang dikenakan terhadap Fazli sampai ke pengetahuan bapanya. Apa lagi, melentinglah orang tua itu. Terus sahaja dia terlintas untuk menghubungi Tribuhak.

Apabila kes itu dirujuk kepada pihak Tribuhak, tribunal itu mendapati hukuman terhadap Fazli menyalahi hak asasi manusia. Maka pengetua telah dianggap melanggar hak asasi kerana mengikut pendapat Tribuhak, walaupun pelajar melakukan kesalahan, mereka tidak boleh dirotan kerana perbuatan itu melanggar hak asasi seorang pelajar. Akhirnya tribunal membuat keputusan. Pengetua dan Cikgu Majid ditukarkan ke sekolah lain. Mereka didapati bersalah kerana melanggar hak asasi manusia. Begitulah besarnya kuasa Tribuhak dan hak asasi manusia itu sendiri. Sesiapapun kini tidak boleh mencabar hak asasi. Hak asasi adalah segala-galanya.

Kes 3

Seorang gadis Melayu yang comel berasal dari kampung datang ke kota untuk mencari pekerjaan sementelah di kampungnya kaum wanita semua sudah tidak bekerja lagi. Lebih-lebih lagi wanita cantik sepertinya. Selama ini dia hanya duduk menanti kalau-kalau ada orang datang meminangnya. Akan tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Kawannya yang berhijrah ke kota beberapa tahun yang lalu pulang dengan segala kemewahan yang amat diidamkan oleh semua manusia.

Oleh sebab terlalu dikongkong di kampung tradisi yang rata-rata penduduknya berserah kepada takdir itu, si gadis berhasrat untuk ke kota mencari pengalaman hidup dan kesenangan yang tidak ada di kampungnya. Di bandar, si gadis bekerja di sebuah kilang. Rupa parasnya yang menawan menjadi intaian setiap jejaka. Hanya jejaka yang tidak waras sahaja tidak mahu menikmati kejelitaan wajah ciptaan Tuhan itu. Dan salah seorang jejaka itu ialah Johnny Walker, seorang berketurunan kacukan Asia-Eropah.

Jejaka beragama lain ini jatuh cinta dengan si gadis dan ingin menjadikannya sebagai isteri. Di pihak gadis itu pula sama menaruh hati terhadap jejaka berlainan agama itu. Dalam hatinya dia berkata bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Bukankah, selama ini dia disogokkan bahawa kemiskinan di kampungnya telah ditakdirkan. Manusia tidak boleh melawan takdir. Kini dia sedang berdepan dengan takdir dirinya.

Maka berlakulah kekalutan apabila upacara perkahwinan si gadis itu dijalankan di sebuah rumah ibadat agama lain. Si gadis terlalu percaya bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Dia tidak kisah. Yang menjadi kisah apabila bapanya membawa beberapa orang untuk merampasnya daripada suaminya yang sah di sisi undang-undang itu.

“Engkau telah murtad. Engkau perlu kembali ke pangkal jalan,” herdik bapanya menghukum anak gadisnya yang selama ini tidak pernah terdedah kepada anasir-anasir luar.

“Siapa kata saya murtad. Inilah takdir. Sebagai manusia saya tidak boleh melawan takdir,” jawab si wanita muda itu dengan tegas. Selama inipun dia diajar bertegas oleh orang-orang kampung.

“Tapi perkahwinan kamu ini tidak sah. Suami kamu bukan beragama Islam,” bapanya bertambah berang apabila lelaki bukan Islam yang menjadi menantunya datang untuk mempertahankan isterinya.

“Kami akan bawa perkara ini ke Tribuhak!” kata si suami kepada wanita Melayu dari kampung itu.

“Tribuhak tu apa? Besar sangat ke kuasa dia?” tanya si bapa dengan marah.

“Tribuhak itu ialah kependekan kepada Tribunal Hak Asasi Manusia. Setiap manusia akan mendapat pembelaan Tribuhak. Saya manusia, isteri saya manusia. Jadi kami berhak melaporkan perkara ini kepada Tribuhak,” jawab lelaki itu dengan berani. Dia berani kerana dia akan dibela. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi hak asasi manusia. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi Tribuhak.

Kes 4

Malam itu hujan lebat. Lokman sedang memandu keretanya untuk pulang ke kampung di Kilang Besar, di Kedah. Baru lima belas minit tadi dia meninggalkan rumahnya di sebuah taman perumahan di ibu kota.

“Mana telefon ayah?” tiba-tiba anaknya Boy bertanya. Anak yang berusia dalam usia sepuluh tahun itu kesunyian seorang diri dalam kereta. Di depan bapa dan emaknya tidak berbual apa-apa sepanjang perjalanan. Manusia moden hari ini tidak banyak berkomunikasi secara berdepan. Sehingga urusan nikah cerai juga sudah boleh dilaksanakan melakukan alat-alat komunikasi yang artifisial sifatnya.

“Jangan main game, nanti bateri habis,” pesan Lokman kepada Boy sambil menunjukkan telefon bimbit yang terletak di tempat menyimpan barang dalam keretanya.

“Hello!” tiba-tiba Boy bercakap melalui telefon.

“Boleh saya cakap dengan Encik Lokman?” Boy seolah-olah bercakap dengan seseorang di hujung talian. Lokman yang sedang memandu tidak ambil kisah. Anak-anak sekarang memang bijak berlakon.

“Encik Lokman tak ada di rumah,” itulah yang didengarnya. Suara seorang lelaki di hujung talian menjawab.

“Dia ke mana?” tanya Boy lagi.

“Dia balik kampung. Ada apa-apa pesanan?” tanya suara lelaki di hujung talian.

“Tak apalah,” kata Boy sambil mematikan telefonnya. Dia bersandar selamba.

“Ehhh... siapa yang telefon di rumah kita tadi?” tiba-tiba Boy bertanya kepada bapanya yang sedang memandu.

“Apa Boy cakap?!” tanya Lokman dengan penuh kehairanan.

“Tadi Boy telefon ke rumah kita. Ada orang yang angkat...!!”

Lokman memberhentikan kereta serta merta. Kepala isterinya terhantuk ke cermin depan. Selepas itu mereka berpandangan antara satu sama lain.

Tanpa bercakap, Lokman mencari tempat untuk membuat pusingan. Dia memecut keretanya untuk pulang segera. Siapa pula yang menjawab telefon sedang mereka anak beranak dalam perjalanan balik kampung? Dalam perjalanan Lokman menelefon kawannya seorang pegawai polis supaya datang ke rumahnya.

“Assalamualaikum...!” Lokman memberi salam di luar pintu pagar rumahnya.

“Waalaikumussalam...!” terkejut sekali Lokman apabila seorang lelaki menjawab salamnya. “Nak cari siapa?" tanya lelaki itu lagi.

“Lokman ada di rumah tak?” Lokman mendapat akal yang diilhamkan oleh anaknya Boy.

“Katanya dia balik kampung. Tadipun kawannya dah telefon,”

“Awak ni siapa?” tanya Lokman dengan muka selamba.

“Dah tuan rumah tak ada, saya datanglah ambil apa yang patut. Saya tak ambil banyak, cukup untuk dijual buat membeli makanan anak-anak,” jawab lelaki itu.

“Awak ini pencurilah ye?” ujar Lokman.

“Mencuri pun satu pekerjaan juga, hi.. hi.. hi,” gelak kecil lelaki itu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, sedangkan dia mencuri barang-barang berharga di rumah yang dimiliki oleh Lokman.

“Ini rumah saya..!!” tegas Lokman. Dia mula naik berang dengan sikap pencuri tersebut.

“Saya tak kata rumah ini rumah saya,” balas pencuri itu. Serentak dengan itu penumbuk Lokman hinggap di muka orang yang menceroboh rumahnya itu.

“Saya akan laporkan perkara ini ke pihak Tribuhak. Awak telah melanggar hak asasi manusia. Walaupun saya mencuri, perbuatan awak menumbuk saya menyalahi hak asasi manusia,” ujar si pencuri dengan lantang. Lokman terlopong mendengar kata-kata orang yang mengendong berbagai-bagai makanan dalam beg yang disandangnya. Lokman tahu barang-barang itu memang miliknya.

“Tribuhak!!!?” Tanya Lokman pantas dan terkajut.

“Ya, Tribunal Hak Asasi Manusia..” balas pencuri itu dengan penuh yakin.

“Apa yang Tribuhak boleh buat?” Tanya Lokman cemas.

“Tribuhak boleh buat apa-apa sahaja sekiranya hak asasi manusia dicabul,” jawab si pencuri dengan penuh bangga kerana dia tahu haknya akan tetap terbela walaupun dia mencuri.

Mendengar jawapan itu Lokman terdiam sejenak. Si pencuri berlalu pergi menghilangkan diri dalam malam yang semakin gelap.

Persidangan Lembaga Juri Tribuhak

Setelah semua kes dibacakan, maka juri-juri Tribuhak pun bersidanglah untuk menentukan keputusannya. Semua orang tertunggu-tunggu akan keputusan yang bakal dibuat walaupun sebenarnya keputusan itu sudah diketahui.

“Dalam kes 1, dengan Tribuhak telah memberikan kemenangan kepada Encik Ahmad Debab dengan keputusan 9-0. Kes 2 pula Tribuhak memberikan kemenangan kepada Fazli juga 9-0. Kes 3 pula Tribuhak memberikan kemenangan 9-0 kepada pihak gadis yang berkahwin dengan lelaki beragama lain. Kes 4 juga begitu keputusannya, si pencuri telah menang dengan keputusan 9-0. Tamat!”

Keputusan telah diumumkan. Rayuan tidak dibenarkan. Sanggahan juga tidak diperakukan. Kuasa Tribuhak memang hebat. Sesiapapun tidak boleh mencabar. Kini hak asasi sangat besar pengaruhnya. Remaja Palestin akan dihukum kerana melanggar hak asasi membaling batu terhadap tentera Israel yang membedil mereka dengan senapang. Rakyat kulit hitam Amerika turut dihukum kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pasukan polis kulit putih yang menghentam mereka dengan cota besi. Rakyat Iraq akan dihapuskan kerana melanggar hak asasi mengebom penjajah tanah air mereka.

Komunis-komunis tua dijemput dan diraikan atas nama hak asasi. Pencemar lagu-lagu patriotik disanjung atas nama hak asasi. Pengkhianat-pengkhianat negara diberikan layan kelas pertama atas nama hak asasi. Dan juri-juri Tribuhak juga bebas melakukan apa-apa sahaja atas nama hak asasi.

Kemenangan hak asasi kini diraikan. Pihak yang menang atas ihsan hak asasi melompat-lompat dan terkinja-kinja. Para juri Tribuhak turut menari sambil membogelkan diri di depan khalayak hak asasi. Tidak ada apa-apa lagi yang akan salah dan kalah kerana semua berlandaskan hak asasi.

Erti bahagia

Oleh MD Nizar Parman

SEBELUM tidur, dia selalu mengharapkan untuk tidur senyenyak yang mungkin. Selama dia tidur itulah hubungannya dengan alam sedar akan terputus. Apabila lena dalam tidurnya, dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi. Soal kesempitan hidup yang selalu menghenyak kehidupannya akan hilang selama dia tidur.

Suara azan Subuh bertingkah-tingkah dari beberapa buah surau dan masjid; sayup-sayup memecah hening subuh membawanya kembali ke alam nyata. Sesekali kupingnya menangkap desir halus dengkuran Milah, isterinya yang masih mengerekot dibaluti selimut yang agak kumal. Kedinginan pagi di rumah berbumbungkan zink yang mulai karat dan berdindingkan papan itu benar-benar menggigit tubuh penghuninya hingga ke sumsum.

Judin bangkit. Meskipun seluruh tubuhnya masih dialiri raksa bermalas-malasan, namun digagahkan juga. Dia perlu membersihkan dirinya dengan segera. Sebelum menunaikan kewajipannya kepada Tuhan, dia akan ke dapur untuk menjerang air.

Dia peon. Ketika mengisi borang permohonan dahulu, memang itulah jawatan yang dipohonnya. Maka, tugasnya di pejabat itu adalah berkaitan dengan hal-hal "kepeonan". Jika kakitangan lain di pejabat itu mempunyai ruang sendiri, lengkap dengan meja dan komputer, dia hanya ditempatkan di suatu sudut ruang pejabat yang luas itu. Kelengkapannya, memadailah sebuah meja kecil dan kerusi serta sebuah rak plastik kecil di atas meja itu yang tertera frasa "Surat Masuk" dan "Surat Keluar".

Majikannya seorang tokoh korporat yang dipanggil oleh semua kakitangan di situ dengan gelaran Tuan Jamali. Kali pertama dia berhadapan dengan lelaki itu ialah lima belas tahun yang lalu; ketika dia ditemu duga atas jawatan yang dipohonnya.

"Kamu seorang anak muda yang luar biasa!" puji Tuan Jamali sebaik sahaja dia memperkenalkan diri sebelum sesi temu duga dijalankan.

Tentu sahaja dia terlongo mendengar pujian itu. "Mengapa tuan?"

"Sudah tiga bulan saya mengiklankan jawatan ini, dan kamulah satu-satunya calon yang datang untuk mengisi jawatan ini," jelas lelaki yang bertubuh gempal dan bermisai tebal itu.

Betapa bersyukurnya Judin kerana diterima bekerja di situ berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, pangkat tiga. Itu pun selepas dia hampir berputus asa mencari lowongan pekerjaan sejak berhijrah ke kota besar itu. Ternyata segala gambaran yang diberikan tentang kota besar itu oleh teman-teman sekampungnya yang terlebih dahulu berhijrah ke sana tidak seindah yang disangka.

Menyewa bilik, tetapi Milah berasa kurang selesa. Tidak bebas untuk membuat itu dan ini. Hendak memasak pun terpaksa berkongsi dapur. Tekaknya pun sudah naik loya memakan nasi bungkus.

Judin berdiri betul-betul di hadapan cermin lonjong yang disangkutkan pada dinding papan di ruang tamu rumahnya, rumah setinggan sederhana besar yang disewanya. Kebelakangan ini, cermin lonjong yang lazimnya digunakan oleh anak-anaknya ketika menghias rupa atau menyisir rambut itulah menjadi tempatnya membelek-belek seluruh wajahnya.

Ah, luar biasanya bekerja sebagai peon ini apa? Dia sekadar mengajukan kata-kata Tuan Jamali. Gaji sudahlah tidak sebesar mana, tapi disuruh buat itu dan ini. Pergi ke sana dan ke sini. Kadang-kadang keluar duit poket sendiri kerana satu-satunya motosikal yang dimiliki perlu juga disuap dengan minyak. Harga minyak pula naik lagi.

Sesempit

Dulu hidupnya tidaklah sesempit ini. Milah masih kuat tenaganya menjual barang-barang kegunaan harian dan kosmetik melalui jualan langsung - menyandang beg dari rumah ke rumah. Setelah beberapa tahun memerah keringat, akhirnya dapat juga Milah membeli sebuah kereta terpakai. Tidak perlu lagi berjalan kaki atau menaiki teksi.

Namun segalanya telah berubah apabila Milah disahkan menghidap tumor payu dara. Penyakit itu bukan sahaja meragut kesihatan itu, malah seolah-olah meragut kehidupannya. Bukan sahaja tidak dapat meneruskan urusan perniagaannya, malahan terpaksa pula berulang alik ke rumah sakit untuk mendapatkan rawatan. Wang simpanan Milah habis dikeluarkan. Barang-barang kemasnya digadaikan. Dan keretanya juga terpaksa dijual untuk membiayai kos rawatannya.

Pembedahan yang dilakukan untuk membuang sebelah payu daranya hanya memulihkan Milah buat beberapa ketika. Dan penderitaan Milah bertambah melarat apabila doktor mengesahkan sel-sel barah itu telah merebak ke payu daranya yang sebelah pula.

Pergerakan Milah sangat terbatas. Milah lebih banyak menghabiskan masanya terbaring di atas katil. Tubuhnya semakin melidi. Wajahnya juga semakin cengkung. Percakapannya juga tidak selancar dahulu.

"Kita minta tolong daripada adik-beradik, bang. Manalah tahu mereka boleh membantu," cadang Milah. "Dulu masa mereka belajar di universiti, abang pun tidak pernah berkira duit dengan mereka."

"Tidak mengapalah, Milah. Mereka pun baru hendak mula hidup. Abang tak mahu menjadi beban kepada mereka pula. Bukan sedikit wang yang kita perlukan. Nanti bahu abang juga yang memikul bebannya. Anak-anak kita pun masih bersekolah lagi," ujar Judin dengan suara yang tersekat-sekat dan diselang-seli oleh batuknya.

"Tinggal sahaja di sini. Lupakan Kuala Lumpur, Judin." Kata-kata ayahnya sewaktu dia pulang ke kampung kira-kira dua bulan yang lalu masih berbekas dalam ingatannya.

Hidup memang perlu sentiasa berfikir. Maka, itu jugalah yang dilakukannya. Semakin dirinya bertambah tua; semakin anak-anaknya membesar, bererti apa yang difikirkannya bertambah besar juga. Mulut anak-anaknya yang seramai enam orang itu perlu disuap dan persekolahan mereka juga perlu dibiayai.

Anak sulungnya yang kini berusia lima belas tahun juga sudah memerlukan perbelanjaan tambahan. Sudah akil baligh. Nanti anak keduanya yang kini berusia dua belas tahun juga bakal memerlukan perbelanjaan tambahan juga kalau sudah akil baligh. Nanti anak-anaknya yang ketiga dan keempat juga sama. Budak-budak sekarang mana mahu menggunakan kain buruk seperti orang dulu-dulu. Mujurlah anak kelima dan keenamnya lelaki!

Hujung bulan. Betapa beberapa hari terakhir dalam bulan-bulan masihi itu merupakan hari yang paling kritikal bagi Judin. Poket dan dompetnya akan kempis. Kalau ada wang pun, hanya beberapa ringgit; cukup untuk mengisi minyak motosikalnya. Mujur juga di kawasan tempat dia tinggal itu ada sebuah kedai runcit yang membenarkannya berhutang setiap kali hujung bulan datang. Dia tidak mahu berhutang banyak-banyak. Memadailah beberapa tin ikan sardin, beberapa bungkus ikan masin dan sekampit beras.

Adakalanya Judin berasa sangat cemburu apabila melihat pegawai-pegawai lain di pejabatnya seperti tidak pernah merasai keperitan hidup yang dialaminya. Awal bulan hingga hujung bulan tetap makan tengah hari di restoran. Malah kadang-kadang makan tengah hari di hotel. Sedangkan dia hanya makan tengah hari di warung, itu pun hanya beberapa hari dalam sebulan.

"Itulah bezanya mereka dengan kita, Judin. Kelulusan mereka tinggi, maka gaji yang dibayar setimpal dengan kepakaran mereka," kata Pak Malek, seorang pegawai keselamatan yang telah berkhidmat di syarikat itu kira-kira sepuluh tahun, selepas pencen daripada tentera.

"Itu benar. Tapi lihat sahaja kita, kerja teruk macam nak mati, tapi gajinya... ah, setiap hujung bulan pasti kesempitan wang!" rungut Judin. "Pak Malek mahu memikul senapang patah itu sampai bila? Sampai rebeh bahu? Sampai mati?" Hatinya mula dihurungi perasaan jengkel.

Lelaki yang yang sentiasa berketayap putih dan tegap berdiri di hadapannya itu sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Kemudian dia menepuk-nepuk bahu Judin seraya berkata, "Judin… Judin, inilah hakikat kehidupan. Percayalah kepada qada dan qadar Allah. Dia Maha Adil. Kamu seharusnya bersyukur kerana diuji oleh-Nya. Sebenarnya, inilah jalan untuk kamu menghampiri Dia, Judin."

Mendengar kata-kata Pak Malek itu, tiba-tiba hatinya menjadi lembut. Dia percaya itu; Tuhan Maha Adil. Yang tidak adilnya manusia. Justeru, di ruang kantornya itu saban hari dia menyaksikan ketidakadilan itu. Adakalanya, dia makan hati juga dengan sikap eksekutif muda di situ - memanggilnya "Judin" sahaja. Sedangkan dia terpaksa "berencik-encik" atau "berpuan-puan" dengan mereka. Dan dia yang paling tua itu jugalah selalu diarahkan untuk membuat itu dan ini oleh mereka. Kadang-kadang, tidak sempat punggungnya panas duduk di kerusinya.

Itulah hakikat yang harus ditelannya. Hakikat seorang yang berjawatan peon di pejabat itu. "Ah, peon itu orang suruhan - macam kuli juga!" rungut Judin. Entah sudah berapa ribu kali perasaan jengkel itu menjentik hatinya.

Saban malam, Judin paling setia menemani isterinya. Sudah tiada masa lagi baginya untuk duduk bersembang-sembang di kedai kopi seperti sebelumnya. Seolah-olah hidupnya dihambakan pula kepada Milah. Milah hanya mampu berbaring, dan kadang-kadang duduk bersandar di birai katil. Kesakitan yang ditanggungnya itu seperti renjatan elektrik yang memakan tubuhnya hingga ke tulang.

Dia akan memijati tubuh isterinya itu - dari kepala hingga ke kaki walaupun sedar perbuatannya itu tidak mampu untuk menyembuhkan kesakitan Milah. Tapi sekurang-kurangnya, dia berharap pijatannya itu akan membuatkan Milah berasa lega dan bahagia.

"Maafkan abang kerana gagal membahagiakan Milah," ujar Judin dengan suara yang terputus-putus. "Sedangkan Milah sakit begini, abang tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan Milah."

Bahagia

"Sudahlah, bang. Milah tetap bahagia. Milah bahagia punya suami yang tabah dan setia seperti abang. Setiap malam abang ada di sisi Milah ialah ubat yang paling mujarab untuk Milah. Terima kasih, bang," balas Milah.

Ketika Milah sudah lama hanyut dalam mimpinya, mata Judin masih membulat. Baringnya serba tidak kena. Sekejap dia mengiringkan badannya ke kanan, sekejap dia mengiringkan badannya ke kiri, dan kemudian dia terlentang pula. Tetapi matanya tidak juga mahu terpejam.

Dia mengakui kebenaran kata-kata Pak Malek. Anak-anaknya tidak ada seorang pun yang tunaaksara. Anaknya yang sulung kini berada dalam kelas pertama dalam alirannya. Anak keduanya juga begitu. Sebenarnya, kedua-dua anaknya itu layak untuk bersekolah di sekolah berasrama penuh. Disebabkan kesempitan hidup, dia mengambil keputusan untuk menyekolahkan anaknya di sekolah menengah biasa sahaja.

"Tapi kadang-kadang, saya berasa berdosa juga kepada mereka, Pak Malek. Yalah, saya tidak mampu memenuhi keperluan mereka seperti orang lain. Duit yang saya beri, kadang-kadang hanya cukup buat tambang bas sahaja."

"Pernah mereka marah? Merungut?" soal Pak Malek.

Dia menggeleng.

"Nah, bersyukurlah! Itu tandanya anak-anak kamu mengerti akan kesusahan dan kesempitan kamu, Judin," balas Pak Malek. "Kalau mereka pandai memberontak, bagaimanakah keadaan kamu? Tentu lebih teruk daripada sekarang ini." Judin diam.

"Banyakkanlah beribadat dan berdoa kepada Allah, Judin. Dekati-Nya dan dekati rumah-Nya. Percayalah, Dialah Yang Maha Mengetahui akan sesuatu," pesan Pak Malek.

Detik itu akhirnya datang juga. Milah telah kejang di pembaringannya. Judin tidak dapat menahan sebaknya. Egonya sebagai seorang lelaki akhirnya tumpas, apatah lagi apabila melihat anak- anaknya menangisi pemergian Milah.

Orang pertama yang dihubunginya ialah Pak Malek, kemudian baharulah dia menghubungi ahli keluarganya yang lain. Dengan bantuan Pak Malek, akhirnya jenazah isterinya selesai disempurnakan.

Setelah semua tetamu yang diundangnya dalam majlis tahlil untuk arwah Milah pulang, Judin duduk di ruang tamu sambil menyandarkan badannya pada dinding. Dia ingin berehat seketika. Badannya benar-benar letih dan lesu. Biarlah anak perempuan sulung dan keduanya sahaja yang mengemas pinggan mangkuk di dapur.

"Pulang sahaja ke kampung, Judin. Sekurang-kurangnya, anak-anak kamu tu boleh emak kamu tengokkan," kata ayahnya.

"Buat masa ini saya belum terfikir soal itu lagi, ayah. Biarlah saya di sini dahulu. Tidak tergamak untuk saya meninggalkan Milah bersendirian di sini," ujar Judin.

"Milah sudah meninggal dunia, Judin. Fikirkanlah tentang anak-anak kamu itu. Anak-anak kamu itu cucu-cucu aku, Judin. Aku tidak mahu mereka terabai," tegas ayahnya.

"Saya masih hidup. Biarlah saya membesarkan mereka dengan tangan saya sendiri. Saya tidak mahu melepaskan beban ini kepada ayah dan emak pula," balas Judin. Pendiriannya seperti akar tunjang yang telah memasak bumi, tidak boleh digoyah-goyah lagi.

Sudah lebih empat puluh hari Milah pergi. Hidupnya semakin tidak keruan semenjak ketiadaan Milah. Dia terpaksa menguruskan anak-anaknya, dan kemudian mengurusi dirinya sendiri. Setelah beberapa lama melalui situasi itu, akhirnya dia akur bahawa dia telah tewas. Tekanan yang dihadapinya di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke rumah. Anak-anak sering menjadi sasaran kemarahannya. Akibatnya, anak perempuan sulungnya telah melarikan diri dengan kenalan lelakinya; lesap entah ke mana. Anaknya perempuannya yang kedua pula selalu ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adiknya di rumah.

"Saya kalah, Pak Malek. Saya tidak kuat lagi…." Judin melepaskan apa yang tergumpal di dadanya kepada Pak Malek.

Pak Malek menepuk bahunya beberapa kali sambil tersenyum. "Kamu belum kalah lagi, Judin. Ini ujian untuk kamu. Bersabarlah. Pulang sahaja ke kampung. Saya percaya, ayah dan emak kamu masih menanti kamu."

Judin mengangkat mukanya, merenung tepat bebola mata Pak Malek yang jernih dan bersinar. "Tapi, Pak Malek…."

"Pulang sahaja," potong Pak Malek.

Akhirnya Judin akur. Sebelum pulang ke kampung, Judin menziarahi pusara isterinya bersama lima orang anaknya. Anaknya yang sulung masih belum ketentuan khabar beritanya walaupun sudah diiklankan di surat khabar akan kehilangannya. Judin membaca doa di pusara isterinya dengan suara yang terputus-putus. Doanya itu diaminkan oleh anak-anaknya.

Angin Pada Mekar Kuntum Sakura

Oleh Rebecca Ilham




"Izinkan aku membayar kebejatan bangsaku, Kiki."

Sakura menggebu seumpama gumpalan salju bertinta pancaran mentari di hujung ranting pepohonan ceri sepanjang laluan pejalan kaki Hiroshima Peace Memorial Park. Wangian enak tunak tertebar menusuk indera bau. Kirana menghirup nafas sedalam-dalam. Kelibat kuntuman sakura merah-putih beriring gugusan buah ceri masam ditatap sepuas-puas sebelum tangan menghala lensa. Sekali petik dengan bantuan fokus automatik, imejan Genbaku-dome atau acap juga disebut Kubah Bom Atom dan jambangan sakura di pinggir Sungai Motoyasu bercantum sebagai piksel-piksel digital.

O-hanami sedang memuncak. Menurut laporan rasmi agensi kaji cuaca Jepun, musim bunga di Hiroshima pada tahun ini tidak banyak berselisih daripada musim lalu. Setelah sakura zensen tiba pada pertengahan bulan Mac menandakan bermulanya kaika atau tempoh mekar pertama, para penduduk setempat hanya mempunyai seminggu dua untuk menghargai kuntum-kuntum sakura kembang penuh, atau mankai. Ketika ini, sakura-sakura kembang yang disebak tiupan angin akan berguguran, semacam emping-emping salju yang rapuh dan suci.


Oleh sebab itu, masyarakat Jepun tidak melepaskan kesempatan untuk membentang gebar tipis dan membuka bekalan okonomiyaki dan takoyaki lalu berkelah bersama ahli keluarga dan teman-teman. O-hanami sebetulnya bukan sekadar aktiviti riadah-santai yang sia-sia. Argh, orang-orang Jepun bukankah terkenal kuat bekerja? Jika tidak, mustahillah sehari selepas Hiroshima hancur dibedil bom-bom atom, rangkaian perkhidmatan trem awam kembali meluncuri rel-rel khas sekitar kota. Bekalan elektrik pula berjaya dipulihkan sepenuhnya dua hari kemudian. O-hanami, secara literal diterjemah sebagai ‘melihat bunga’ sebetulnya adalah tradisi melepas lelah, jauh berakar sejak era Heian pada abad kelapan sebelum diteruskan kesinambungannya oleh Hideyoshi Toyotomi, syogun agung dari Osaka yang menyatukan seluruh Jepun pada tahun 1598.

Tetapi Genbaku-dome .…

Kirana mengemam bibir sedang tangan ringan mengacu lensa. Alistair James Henry - jejaka Amerika yang diakrabi tatkala mengaji di Tokyo Daigaku yang berprestij, kini terlontar bertugas di hospital pangkalan tentera milik pentadbiran negaranya di Pulau Okinawa dan Genbaku-dome, sisa-sisa cerucuk besi sebuah bangunan agam yang pernah bergelar Hiroshima Prefectural Industrial Promotion Hall menyatu dalam foto. Bangunan itu asalnya telah direka bentuk oleh Jan Letzel, arkitek dari Republik Czech dan pernah menjadi lambang kemakmuran kegiatan perdagangan dan perkilangan di Hiroshima sebelum lebur ditabrak bom-bom atom hunjaman pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat tepat jam 8.15 pagi pada 6 haribulan Ogos tahun 1945. Tidakkah ironik?

Rebecca Ilham

Kirana menurunkan kamera. Alistair telah berulang kali menawarkan sesuatu untuk menebus kebobrokan bangsanya membunuh kemanusiaan dan memusnahkan ketamadunan di Hiroshima pada suatu masa dahulu. Sesuatu yang didamba oleh seorang gadis Jepun, anak Hiroshima jati yang mengabdi diri menekuni cabang fizik nuklear, kini meniti takah-takah hidup dengan mengusung sepasang ginjal sifar fungsi.

“Tidak semudah itu untuk engkau membasuh dosa-dosa besar Albert Einstein dan sekian ramai rakan saintis lain yang menggeluti Projek Manhattan, Ali,” dia mengujar tegas.

“Tidak pula engkau salahkan Franklin Delano Roosevelt, pemegang tampuk pemerintahan Rumah Putih ketika itu .…” Alistair menduga.

“Roosevelt hanyalah boneka. Dokumentasi sejarah membuktikan dalang sebenar di sebalik pembinaan bom atom pertama adalah para saintis pelbagai bangsa yang berkubu di sebalik dinding makmal universiti-universiti bertaraf Ivy League di Amerika.”

“Engkau merujuk surat desakan Albert Einstein pada tahun 1939 yang melobi Presiden Roosevelt agar Rumah Putih menyalurkan dana kepada penyelidikan berkaitan potensi bom atom pertama dicipta?”

Kirana mengangguk. “Tetapi bukan Einstein seorang adalah pencetus. Leo Szilard, ahli fizik Yahudi dari Jerman telah bermain sentimen politik dengan membayangkan Adolf Hitler akan terlebih dahulu memiliki senjata nuklear andai Amerika Syarikat tidak cakna bertindak. Perlu diingat, Szilard terhalau dari tanah airnya oleh kegilaan Hitler menulenkan bangsa Aryan di Eropah. Tentu sahaja dia menyulam dendam sehingga merangka surat yang kemudiannya tanpa ragu ditandatangani Einstein sebelum dikirim kepada Roosevelt.”

“Tetapi konsepsi Projek Manhattan tidak akan diterjemah sebagai kenyataan tanpa bantuan Rumah Putih, Kiki,” Alistair mengingatkan.

“Argh, Roosevelt hanya seorang politikus! Tahukah dia tentang segala implikasi bom-bom atom yang bersungguh disembunyikan para saintis?”

“Suatu perspektif menarik, sementelah ia diluahkan oleh seorang saintis juga. Selama ini, aku hanya mengenal engkau sebagai Profesor Kirana Shinomiya, penggubal dasar di Institut Nuklear Antarabangsa dan pengkritik utama hasrat kerajaan Jepun menyertai perlumbaan membangunkan senjata nuklear.”

Kirana membuang pandang ke tengah Sungai Motoyasu yang memisahkan Hiroshima Peace Memorial Park atau Hiroshima Heiwa Kinen Koen kepada dua bahagian. Tebingan barat menampung Genbaku-dome, sementara tugu memperingati korban kanak-kanak tertegak di tebingan timur. Kedua-dua bahagian ini dihubungkan oleh Aioi Bridge yang berbentuk T, suatu inovasi tanpa mengabaikan binaan asal daripada logam tempa. Seperti Hiroshima Prefectural Industrial Promotion Hall yang tinggal nama, Aioi Bridge yang asli juga hanya tinggal sejarah apakala ia dicairkan rembesan radiasi bom-bom atom bersuhu lebih 3000 darjah Celcius pada pagi jahanam 6 Ogos tahun 1945.

“Sungguh pun lahir sebagai anak jati Hiroshima, entah mengapa sejak kecil jiwaku tidak memesrai impak zahir dan batin bom atom yang digelar Little Boy itu. Sebaliknya, minatku lebih terarah kepada mekanisme seni, punca yang menjadikan bom-bom atom berkenaan senjata yang amat digeruni.”

Kening Alistair terjungkit sebelah. “Maksudmu mekanisme pembelahan atom?”

Kirana mengiyakan. “Proses pembelahan atom sebenarnya amat menakjubkan, Ali. Seperti yang engkau ketahui, atom merupakan antara zarah paling seni dalam hierarki pengkelasan fizik partikel. Ia juga adalah teras kepada setiap unsur yang wujud di atas muka bumi ini dan strukturnya sangat mirip dengan aturan galaksi di angkasa di mana neutron dan proton sentiasa diorbit oleh elektron yang bercas negatif. Biar pun begitu, hanya unsur-unsur tertentu sahaja yang berpotensi untuk membebaskan tenaga berskala tinggi apabila atom-atomnya dibelah. Unsur pilihan Einstein dan rakan-rakan adalah uranium, atau setepatnya isotop uranium dengan jumlah nombor jirim sebanyak 235.

Pilihan ini dibuat berikutan sifat unsur berkenaan yang tinggi kandungan radio aktifnya. Isotop uranium itu diasingkan di dalam reaktor khas yang dindingnya diperbuat daripada plumbum kerana hanya material itu sahajalah yang tidak lut diterjah pancaran sinaran radioaktif apabila atom-atom dipisahkan menggunakan tembakan neutron tambahan. Renung-renungkanlah Ali, bahkan di dalam makmal sekali pun uji kaji dikawal sedemikian ketat, inikan pula bom-bom atom yang mengalami tindak balas berantai di udara tanpa sebarang agen pengawal, apatah lagi secebis benteng kebal. Penduduk Hiroshima sebenarnya adalah mangsa pembunuhan terancang!”

“Sepatutnya pada peringkat ini, Roosevelt dimaklumkan secara jujur. Projek Manhattan tidak mungkin diluluskan dan Hiroshima tidak akan lebur.” Alistair menggeleng-geleng kesal.

“Sayangnya dalam arena politik, kehebatan fenomena sains telah dieksploitasi untuk mewajarkan propaganda. Aku berpendapat politik ditunjangi pengaruh para saintis bercapah natijahnya. Ia sepatutnya membawa kebaikan, tetapi tidak mustahil memudaratkan. Kami para saintis tidak mempunyai Hippocratic Oath yang khusus memperincikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat seperti kalian pengamal perubatan, sebaliknya hanya berbekalkan kompas moral peribadi yang andai tidak pula berpaksikan agama akan kerap digugah pelbagai perkara. Argh, mencampuri politik bukankah menjanjikan kuasa?” Tona keras tetapi sayu intim berdesir.

Sekumpulan pelajar berseragam biru-putih menghingar di keliling mereka, riuh menghambur kekaguman sambil saling bertukar-tukar nota. Kirana tidak berlengah menawarkan khidmat tatkala mereka mula bergambar.

“Kau menyebut tentang kompas moral, tentang agama …” Alistair membangkitkan setelah Kirana usai berkhidmat percuma. Gadis itu segera tersenyum lunak.

“Jikalau bom atom di Amerika telah membutakan para saintis dengan kuasa, bom atom di Hiroshima pula telah mencelikkan mata hatiku terhadap kewujudan Tuhan.”

“Tuhan?” Alistair membulatkan mata. “Tidakkah engkau sememangnya penganut Shinto yang mempercayai kewujudan dewa-dewi pengurnia rezeki?”

Kirana tergelak besar. “Tuhan yang ini lain, Dia bukan tuhan olok-olok seperti dongengan dari kayangan yang mengulit lenaku sejak anak-anak, Ali. Tuhan nan satu ini malahan menyebut tentang kewajipan memikul tanggungjawab sosial dalam kitab al-Quran melalui ayat-ayat terpilih.”

“Engkau seorang Muslim?” Alistair semakin terbuntang. Kirana sayugia memperakukan. “Ya, aku seorang isuramukyouto. Sepanjang bergelar saintis, barangkali inilah penemuanku yang paling cemerlang, iaitu Tuhan. Kau tahu, sewaktu mula-mula didiagnosis dahulu, aku pernah membawa diri ke rumah ibadat tertua penganut Shinto iaitu Itsukushima-jinja lalu menghentak kaki di hadapan patung dewa, menyalahkan arca pegun yang pernah aku sembah sebagai kuasa paling tinggi itu kerana tidak putus-putus mengutus perkhabaran celaka kepada keluargaku. Nenekku terselamat daripada maut pada 6 Ogos lebih 63 tahun lalu, tetapi darah beracunnya diperturunkan kepada ibuku. Ibuku menderita sebelum akhirnya meninggal dunia akibat leukemia pada usia muda. Kemudian aku, aku yang sihat sehingga menjangkau usia lebih suku abad sebelum disahkan rosak kedua belah pinggang.”

“Tetapi kemudiannya engkau bertemu Tuhan .…”

“Ya, aku bertemu Tuhan yang memesan melalui Ayat 165 Surah Al -An’am bahawa ‘Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ Mungkin dugaan ini adalah peringatan, Ali, bahawa aku sebagai manusia yang seharusnya memimpin, seorang saintis, terpesong dalam melaksanakan amanah itu. Argh, apa sahajalah ujian di dunia yang sementara andai dibandingkan kekhilafan yang pasti kesudahannya kuusung sehingga ke alam seterusnya!”

Khali. Kirana membiarkan kalimah-kalimah akhir berkelintar dihadam Alistair. Angin mengengsot lalu, menghantar geletar ke seluruh kujur seorang lelaki Amerika yang kaku. Kirana membuka telapak, menyambut sekuntum sakura mekar yang meliuk-lentuk gugur dipukul alunan bayu lalu dibawa rapat ke hidung. Ah, wangi!

“Oleh sebab itu, kerana ia semacam peringatan, maka engkau menolak pemberianku?”

Kirana tergelak lagi. Raut keliru Alistair dicenungnya bersungguh. “Ali, jikalau mahu memberi, hulurkanlah dengan ikhlas. Tidak sepatutnya engkau meletakkan harga untuk sebelah organ bernilai itu. Sesungguhnya menerima sesuatu di atas sesuatu yang lain, sesuatu yang tidak akan tertebus terlalu meralatkan!”

Kirana menghembus nafas, meniup pergi kuntuman sakura di tangan. Alistair memerhati dengan ralit. Argh, perawan Jepun yang manis sememangnya sukar ditelah atau hanya Kirana Shinomiya yang sebegini istimewa?

Angin mengelus, seolah-olah membalas pertanyaan bisu.

Biodata Penulis

REBECCA ILHAM adalah nama pena bagi Hazwani Rameli, Ketua I Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan salah seorang moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat. Graduan Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat ini, pernah memenangi tempat kedua Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 2000. Puisi dan cerpennya, Hakikat Seni, Di Bawah Langit Manchester dan Yang Aneh Itu Lelaki pernah tersiar dalam majalah Dewan Siswa serta Dewan Kosmik. Selain itu, cerpen Langit Lazuardi dan Mencari Tuhan di Celahan Cambrian pernah tersiar dalam ruangan Susastera Berita Minggu, cerpen Senja-Senja Brasilia dalam akhbar Mingguan Malaysia dan cerpen Menjadi Naurah dalam majalah Sastera.net edisi bulan Disember 2007.

Parrette

Oleh SM Zakir

Kota Maju

KOTA ini sebuah kota yang sangat maju. Ia terletak di sebelah tebing sungai yang meliuk seperti seekor ular naga yang beku. Dengan jalan raya yang bercabang-cabang dan bertingkat-tingkat jelas memperlihatkan kemajuan perhubungan kota ini. Dari lebuh raya ia boleh dimasuki melalui sebuah tol bertingkat yang dibina seperti sebuah Disneyland. Terpapar perkataan yang bertulis perkataan 'welcome' yang begitu besar menyambut kenderaan berjujut masuk ke kota maju itu. Melepasi kira-kira beberapa kilometer, maka masuklah ke kota maju itu. Lambang yang jelas bahawa kita sedang memasuki gerbang kota maju itu ialah sebuah bangunan besar tersergam yang dibina menyerupai Istana Buckingham. Bangunan ini adalah sebuah pejabat kerajaan yang dibina sedemikian rupa. Namun penduduk dan pengunjung lebih lekat memanggilnya dengan nama Buckingham Palace.

Bergerak terus dari situ, kita akan menemui bulatan besar. Bulatan ini juga bertingkat. Ada jalan di bawahnya, dan tempat pejalan kaki, yang mana pengunjung boleh berjalan kaki melalui jambatan di bawah bulatan, terus naik dan menikmati pemandangan sibuk di sekeliling. Di tengah-tengah bulatan dibina sebuah menara jam, walaupun tidak diberi sebarang nama, tetapi orang ramai menyebutnya sebagai Big Ben � sempena nama menara jam di London itu. Bahkan pemimpin politik, ketua birokrat dan pembesar tempatan juga menyebutnya sebagai, 'Our Big Ben'.


Menyeberang ke hadapan, jika membelok di sebelah kiri, kita akan tiba di sebuah kompleks pejabat yang terdiri daripada beberapa blok dan dibina menyerupai bangunan-bangunan di New York. Nama-nama jalan dan lorongnya dinamakan dengan nama King Street, Queen Street, Prince Street, Princess Street dan cucu-cicit raja dan ratu Inggeris itu. Di sini bukan sahaja kompleks pejabat dan pusat perdagangan moden, tetapi juga pusat makan minum yang berkelas tinggi. Deretan restoran seperti gastopub, deli's, buzzing café, wine & dine, chapel down vineyard yang menghidangkan segala macam juadah seperti cornish pasties, pies, cookies, pizza, pasta, tidak ketinggalan liquor, scotch, whisky, wine dan ... dan ... dan �.

Apa Sudah Jadi

PUSAT perdagangan moden ini tentunya ialah pusat kota maju itu. Suasana di sini tentunya sibuk sekali. Jika kita bergerak ke hadapan lagi, keluar dari pusat kota dan berada antara kota dan tebing sungai itu, kita akan melalui kawasan kebudayaan yang berdiri bangunan-bangunan dari panggung opera sehinggalah disko dan pusat hiburan yang menyediakan persembahan yang pelbagai � dari teater hinggalah persembahan muzik jazz, folk, blues, rock, hip hop dan sebagainya. Pusat hiburan yang paling besar di situ terpampang namanya Castlefield.

Dari Castlefield, kita akan berjalan menuju ke sungai yang meliuk seperti naga besar itu. Kawasan tebing sungai itu dihias indah dan dikenali sebagai Riverside Walk. Di seberang sungai sana terdapat kawasan yang dimajukan menjadi tumpuan kerana pelbagai tempat menarik. Untuk menuju ke seberang sana, dapat pergi dengan berjalan kaki melalui sebuah jambatan yang dinamakan Waterloo Bridge. Seberang sungai yang dikenali sebagai Napaleon Square sebagai menghormati Jenderal Peranchis itu terdapat kawasan beli-belah yang paling terkenal di kota itu iaitu Camden Town Market yang berhujung dengan lorong beli-belah barangan berjenama Eropah yang diberi nama Abbey Road.

Terdapat sebuah kawasan lapang yang dibina sebuah pancuran air yang sangat cantik diberi nama Diana Memorial Fountain sempena nama puteri Inggeris yang terkenal, mati dalam kemalangan kereta dahulu. Melepasi pancuran air itu terbangun kompleks persembahan terbuka yang disebut sebagai Panteon Rome. Arca dan patung dewa dewi Yunani menghiasi ruang hadapan bangunan ini. Juga sebuah kompleks persembahan tertutup yang dinamakan Broadway Park. Di dalam kompleks itu terdapat sebuah dewan pementasan teater yang terkenal sekali iaitu Royal Exchange Theatre. Di dalamnya dipersembahkan teater-teater klasik daripada karya Shakespears kepada legenda King Arthur, karya Roman purba dari Odiepus ke Othello sehinggalah karya-karya klasik moden seperti Midsummer Night's Dream dan sebagainya.

Di sebelah panggung ini terdapat sebuah panggung wayang untuk kelas elit yang dinamakan Prince Charles Cinema. Ia menayangkan filem-filem seni Perancis di samping filem popular Hollywood. Semua binaan bangunan dibina dengan bentuk seni bina Inggeris bercampur seni bina Perancis dan Itali. Namun perancangan bandar ini diatur sebegitu rupa sehingga terlihat pembahagian kategori seni bina mengikut kawasan, beratur dari kompleks bangunan yang didirikan dengan seni bina neo-gothic kepada seni bina zaman renaissance kepada kompleks dengan seni bina mediaval kepada seni bina Victorian sehinggalah kepada seni bina georgian yang berakhir di tebing sungai. Setiap kompleks bangunan ini ditandai dengan kawasan lapang yang berpancuran dinamakan St Austell di sebelah barat, St Ives di sebelah timur, St Peter di sebelah utara dan St Oswald di sebelah selatan.

Alangkah Peliknya!

KEMBALI kepada perjalanan di panggung teater tadi, melepasi kawasan pementasan tersebut berdiri beberapa buah bangunan yang agak ganjil dengan seni bina english gothic. Ia adalah kompleks muzium yang menempatkan beberapa muzium antara yang terkenal ialah Beatles Museum yang menampilkan sejarah kumpulan muzik itu, Madame Tussauds Wax Museum iaitu sebuah muzium lilin tokoh-tokoh terkenal Barat dan Walker Art Galery yang mempamerkan replika karya-karya Van Gogh, Rembrandt dan Micheangelo. Di hujung bangunan muzium ini terdapat sebuah kompleks perpustakaan yang besar bernama Bodlein Library. Di sini terpamer karya-karya Jane Austen, Matthew Arnold, Oscar Wilde, TS Eliot, William Wordsworth dan sebagainya. Tidak ketinggalan karya-karya kaum romantis Perancis. Kegiatan membaca puisi dan karya penulis Barat ini menjadi acara harian di sebuah pub yang dinamakan Edinburgh Literary Pub.

Kota maju ini ternyata adalah sebuah wajah kota Eropah yang dibina di Timur. Corak dan identiti Inggeris bercampur dengan Perancis, Itali bahkan tergaul juga Sepanyol dan Jerman. Kota maju yang sangat cemerlang dan gemilang ini ialah kota masyhur yang bernama Parrette. Ya, nama kota maju ini ialah Parrette. Ramai juga yang tertanya-tanya tentang namanya. Ya, tertanya mengapa berbunyi Perancis dan bukan British sedangkan bahasa yang hampir 70 peratus digunakan untuk menamakan jalan, bangunan dan sebagainya adalah bahasa Inggeris. Jawapan yang diberikan oleh pemimpin politik di kota itu, ialah masyarakat harus membebaskan fikiran dan jiwa mereka daripada terjajah dengan ikon British. Kerana Perancis mempunyai sejarah Napoleon yang berperang menyaingi British suatu ketika dahulu, maka menggunakan nama yang berbau Perancis dapat menunjukkan semangat penentangan terhadap penjajahan British itu. Begitu kata pemimpin politik dengan semangat yang berdegar-degar.

Tiada Siapa Peduli

TIADA sesiapa lagi yang bertanya mengapa namanya begitu jauh lari daripada nama asalnya yang kini seperti terpadam daripada sejarah. Masyarakat di sini amat malu jika ada sesiapa menyebut atau mengingati nama asalnya. Muhammad Nur diam di tepi sungai melihat wajah kota dan masyarakat yang kini hanyut entah di kayangan mana.

Dahulu nama kota ini ialah sebuah bandar kecil. Namanya Parit. Masyarakat penghuninya ialah orang-orang Melayu. Tetapi sesudah 50 tahun diperkenalkan dasar liberalisasi, bandar kecil yang namanya Parit itu tiba-tiba berubah dengan amat pelik sekali. Bukan sahaja bangunan dan rupanya tiba-tiba menjadi kota Barat, tetapi orang-orang yang kulitnya sawo matang yang dahulu bernama Melayu kini sudah tidak bernama Melayu lagi. Nama mereka bukan nama ada nama Melayu lagi. Ada yang pangkal namanya berbau Melayu, tetapi di hujungnya Eropah atau Latin atau Russia barang kalinya. Ada yang pangkal nama Eropah, hujungnya sedikit berbunyi Melayu. Namun yang banyaknya, pangkal dan hujung sudah tidak ada bunyi nama Melayunya lagi. Kehidupan masyarakat hari ini semuanya bebas. Bebas. Bebas lakukan apa saja asal tidak melanggar hak asasi. Hak asasi adalah agama utama masyarakat pada hari ini. Atas nama hak asasi, hukum dan syarak agama boleh sahaja dilanggar, diterbalikkuang, bahkan dinyahkan. Lebih pelik lagi, yang membuatkan tidak wujud lagi pengkelasan bangsa ialah satu-satu bahasa yang digunakan sekarang ialah bahasa Inggeris, dengan bahasa keduanya bahasa Perancis. Tidak ada lagi bahasa Melayu dan bangsa yang dahulu wujud sebagai bangsa Melayu itu sudah tidak ada lagi kerana mereka sudah tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sudah hampir-hampir pupus.

Palsukah Aku

SATU-SATUNYA orang di sini yang masih tahu berbahasa Melayu dengan lancar dan menggunakan nama Melayu ialah Muhammad Nur. Dahulu ada kumpulan yang berjuang untuk mengembalikan bahasa Melayu dan budaya Melayu, tetapi pemimpin-pemimpin Melayu yang berkuasa pada masa itu pantas menindas perjuangan mereka. Mula-mula mereka digelar perkauman dan diperangi sebagai anasir subversif dalam negara. Tetapi kemudian sebagai pukulan akhir untuk menghapuskan golongan ini, maka label pengganas pula diberikan kepada mereka. Kumpulan ini pun diperangi dalam dan luar negara secara psikologi dan fizikal. Setelah hilangnya seorang demi seorang pemimpin kumpulan ini akibat tua dan meninggal dunia, maka berkuburlah perjuangan untuk mengembalikan bahasa, budaya dan amalan seharian orang Melayu. Bahkan agama Islam yang dahulunya agama rasmi sekarang hanya sama tarafnya dengan agama-agama ritual yang lain. Agama hanya menjadi tanda perayaan sahaja, itupun dicampur dengan segala macam perayaan lain. Agama utama ialah hak asasi.

Kota Parrette ini berdiri dengan segala kepalsuan. Ia adalah sebuah kota tiruan. Bukan sahaja kota tetapi masyarakatnya, manusianya juga adalah tiruan. Tiada yang asli lagi di sini. Bangsanya juga palsu. Satu-satunya penyebab kepada segala kehancuran dan kepupusan Melayu ini ialah bangsa Melayu itu sendiri. Mereka sendirilah yang menghancurkan bahasa Melayu mereka sendiri. Budaya Melayu mereka sendiri. Islam mereka sendiri dan tamadun Melayu mereka sendiri. Pemimpin-pemimpin Melayu yang memperjuangkan kepentingan kuasa dan diri mereka serta orang Melayu yang mulanya tidak mahu berbahasa Melayu dan berakhir dengan tidak mahu menjadi orang Melayu lagi � adalah punca kepada semua malapetaka ini.

Muhammad Nur merenung sungai yang mengalir antara tembok batu tebingnya. Di atas sungai itu diturap bahan lut sinar sehingga boleh dilihat aliran airnya. Ada ikan-ikan dan mergastua air yang bermain di dalamnya. Tetapi seperti kota Parrete yang palsu dan tiruan ini; sungai itu juga sebenarnya adalah palsu dan tiruan. Ia sebenarnya adalah bahan lut sinar yang dipancar dengan teknologi laser sehingga mewujudkan air dan ikan serta isi sungainya. Sebenarnya tidak ada setitik air pun di situ lagi. Tidak ada ikan-ikan dan hidupan di situ lagi. Sungai itu adalah palsu dan tiruan seperti kota ini juga. Muhammad Nur � melihat hari semakin gelap dan meraba-raba dirinya yang mungkin juga adalah manusia yang palsu.

Info

SM ZAKIR atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir Syed Othman, dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Mula menulis pada 1990 dan sudah menerima puluhan anugerah sastera kebangsaan termasuk Hadiah Sastera Perdana kategori Buku Kumpulan Cerpen 1994/95 (Merengkuh Langit) dan Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril). Antara anugerah sastera lain untuk cerpen, puisi dan esei ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Mayban, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBKL, Hadiah Formula Malaysia, Anugerah Sastera Negeri Kelantan dan Anugerah Gaffim. Empat kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP. 1995), Sekuntum Kembang di Sayap Jibril (Penerbitan Pustaka Nusa. 2001), Menyirat Nirmala (DBP. 2004), Sekeping Roh di Atas Bantal (Penerbitan Pustaka Nusa. 2005) dan dua kumpulan sajak, Memburu Malaikat (Penerbitan Pustaka Nusa. 2007) dan Sajak-sajak Petualang: Manusia Mimpi (Penerbitan Pustaka Nusa. 2009). Beliau kini penulis bebas di samping menjalankan penerbitan sendiri.

Warkah Terakhir Natrah

Zulfazlan Jumrah




Rindu Hatiku Rindu

"SEGALANYA kerana cinta, saudaraku. Cinta kepada budaya Melayu, laut Melayu, cinta kepada bumi semenanjungmu, dan sudah semestinya, cinta kepada kesucian agamamu."

Butir bicara Uncle Paul sedikit menusuk kalbu menusuk masuk bersama-sama terpaan pawana dingin di Bergen’s Park, di selatan pekan Bergen Op Zoom. Tulip indigo, kuning, putih dan merah yang menghiasi kebanyakan landskap, masih belum mampu mencuri perhatian indera lihat Rayyan kerana hatinya lebih meruntun untuk mendengar Uncle Paul menyambung bicara.


“Mummy meninggal dunia setelah bertahun melawan leukemia. Siapa sangka, pada usia 72 tahun, dia masih merindui tanah semenanjungmu, kelazatan keropok lekor Terengganu dan mengimpikan untuk berlayar dengan bedar membelah samudera di lautan perakmu. Kau pasti tahu bukan, pada 13 Disember 1950, Mummy Natrah dan nenek Adeline dan moyang Nor Louise telah meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura untuk kembali ke Belanda dengan kapal terbang KLM? Ya, menurut Mummy, ketika itu keadaan sangat sukar dan tidak hairanlah mengapa ramai yang membantah kepulangan Mummy ke Bergen Op Zoom.

Rayyan cuba mencari pangkal ingat. Benar, kepulangan Mummy Natrah mewujudkan protes orang Islam di Tanah Melayu ketika itu. Hampir 200 orang yang cedera dan 18 orang terbunuh, apabila berlakunya penentangan di Singapura yang ketika itu dikawal oleh tentera British. Penentangan agak hebat juga di Karachi, Pakistan yang turut membantah tindakan pihak terhadap Mummy Natrah yang dikhabarkan akan dikristiankan di Belanda.

Diskriminasi berkaitan dengan keagamaan juga kian meruncing kerana umat Islam tidak dapat menerima keputusan undang-undang British/Belanda yang melarang gadis berusia 18 tahun ke bawah untuk berkahwin. Maka, kerana itu Mummy Natrah diminta untuk dipulangkan kepada ibu kandungnya di Belanda. Krisis antara Islam dengan Kristian ketika itu sangat meruncing dan seperti meraikan kemenangan Kristian memurtadkan seorang yang sudah mengaku Muslim, seramai 4000 orang Kristian telah menunggu di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam untuk menyambut kepulangan Mummy Natrah pada 15 Disember 1950.

Rayyan mengerti semua itu kerana itulah juga kisah yang pernah diceritakan oleh Almarhum ayahandanya, cikgu Mansor Adabi, suami pertama Mummy Natrah. Mereka dikahwinkan secara nikah gantung. Ketika itu, ayahandanya berusia 22 tahun dan Mummy Natrah pula berusia 13 tahun dan terdidik dengan adat dan budaya Melayu sepenuhnya. Mummy Natrah juga sudah sangat fasih berbahasa Melayu ketika itu.

“Mummy Natrah itu tergaul dengan didikan santun Melayu, saudaraku. Adab dan mustika budinya luhur laksana perawan Melayu yang masih sunti. Remajanya di semenanjung bertuahmu, dan susuk matang remajanya terjaga molek. Didikan Melayu telah melindungi keperawanannnya. Mummy lahir di Tjimahi, Jawa, Indonesia dan asalnya memakai nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh. Kau tahu bukan mengapa seluhur ini didikan yang diterimanya?” soalan itu menerpa tatkala mereka tiba di sebuah bangku kayu Oak bervarnis merah. Mereka memilih untuk duduk barang sejeda dua untuk menghela nafas. Uncle Paul baru pulih daripada pembedahan tulang belakang, maka kerana itu dia tidak betah untuk berjalan dan berdiri terlalu lama.

“Ya, didikan leluhurnya teracu apabila Mummy Natrah dipelihara oleh nenek Che Aminah pada tahun 1942. Usia Mummy Natrah ketika itu 5 tahun. Penyerahannya sebenarnya sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan datuk Adrianus Petrus Hertogh kerana ketika itu datuk telah ditawan tentera Jepun. Nenek Aminah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Saya ada terbaca dalam buku biografinya yang bertajuk Tragedi Natrah dan Maria Hertogh.”

“Benar saudaraku. Mummy Natrah adalah Muslim sejati. Seorang srikandi yang terdidik dengan segala-galanya yang indah di dunia Melayu. Subur buminya, mekar budayanya, santun bahasanya, luhur pekertinya, tulus budinya dan suci Islamnya. Semua ini menjadi pelengkap dalam kamus hidupnya, saudaraku. Dia terlalu menyanjung tinggi budi Nek Minah yang padanya bukanlah seorang pembantu rumah semata-mata, tetapi mempunyai sifat keibuan yang baik dalam mendidik anak-anak. Inilah bukti keagungan pekerti orang Melayu. Baik berbudi santun berbahasa, molek pekerti iman dijaga.”

Rayyan tersenyum meleret. Sebetulnya, lelaki berusi 40 tahun di hadapannya ini membuatkan dia berbangga menjadi orang Melayu. Memiliki segala keindahan pada setiap corak hidupnya. Keindahan yang telah terbukti menjadi sanjungan sejak berzaman dan menjadi modal cemburu bangsa lain di dunia. Melayu dan Islam itu satu padanan pegangan yang cukup sempurna. Elemen keindahan Melayu itu dibungkus dengan nuansa Islam menjadikan seseorang itu sempurna sebagai manusia. Sempurna menjalani tuntutan rohani dan tidak pernah sesekali mengabaikan moraliti. Inilah kekuatan bumi ini. Semenanjung emas yang dipagar dengan segala macam keindahan duniawi dan ukhrawi.

“ Rayyan, sebenarnya pada pertemuan kali ini, ada sesuatu yang ingin uncle berikan kepada Rayyan.” Kata-kata Uncle Paul bagai menghentikan terpaan semilir nyaman di Bergen’s Park. Sepasang kekasih yang sedari tadi bermanjaan juga tiba-tiba sahaja membungkam rajuk. Rayan sedikit terkedu, tatkala Uncle Paul mengeluarkan satu sampul surat berwarna merah dari beg sandang tepi kulitnya yang berwarna hitam.

“Surat apa ni uncle?” tanya Rayyan sebaik sampul surat merah itu bertukar tangan. Rayan dapat merasakan kulit kasar Uncle Paul yang bekerja sebagai pencuci bangunan ketika jemari mereka tergesel.

“Warkah terakhir Mummy Natrah. Warkah kepada ayahanda Rayyan, Mansor Adabi. Warkah ini tidak pernah dihantar, tidak pernah disimpan di dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda pun. Ini koleksi peribadi Mummy.

Rayyan membuka sampul surat itu dengan cermat. Di bahagian hadapan sampul surat itu, tertulis indah “Buat satria hatiku, kekanda Mansor Adabi” dalam tulisan jawi. Tanpa berlengah, Rayyan lantas membaca warkah yang ditulis di dalam tulisan Jawi bertarikh 21 September 1984.

Curahan Hati

"KE pangkuan kekanda Mansor Adabi yang dikasihi.

Mudah-mudahan kekanda berada di dalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya. Warkah ini ternukil seminggu selepas adinda meninggalkan Belanda untuk memperjudikan hidup di Amerika Syarikat, demi mencari sebuah kehidupan yang baru. Adinda sendiri tidak tahu mengapa adinda mengutuskan warkah ini kepada kanda, sedangkan kekanda barangkali sudah pun menganggap bahawa nama adinda sudah tidak pernah lagi bertakhta di hati kekanda. Adinda kini hidup bersama-sama Ben Pichel, seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan dia bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben telah pun mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat baru-baru ini dan kerana itu kami bertekad untuk memulakan kehidupan baru di sini.

Kekanda Mansor Adabi,

Adinda memilih untuk hidup bersama-sama Ben kerana hanya dialah sahaja yang mampu mengubat rindu adinda untuk bertutur di dalam bahasa Melayu. Adinda rasa, kekanda sendiri sedia maklum, sejak adinda bercerai dengan suami adinda, JG Wolkenfelt setelah didakwa bersalah atas cubaan membunuhnya, masyarakat kian memandang serong terhadap adinda. Namun, adinda bersyukur, kerana hakim telah membebaskan adinda dengan mengambil kira latar belakang sejarah kehidupan adinda. Mereka katakan, adinda mengalami masalah mental, tetapi kanda, adinda tidak gila. Adinda cuma mempertahankan diri adinda kerana Wolkenfelt sedang mabuk ketika menyerang adinda pada suatu malam.

Kekanda,

Adinda kini sedang berhadapan dengan masalah jantung yang sedang meninjak serius. Berat badan adinda pula kian naik secara mendadak. Kepala pula selalu sakit-sakit. Kekurangan sel darah merah tahap awal. Saat ini, adinda rindukan urutan lembut bonda Aminah yang sering mengurut lembut kepala adinda dengan lendiran daun Setawar yang dicampur dengan daun bunga Raya sekiranya adinda sakit kepala dahulu ketika waktu kecil. Inilah kemujaraban perubatan tradisional Melayu. Namun, kini adinda berada jauh di dunia asing yang penuh dengan kepura-puraan dan perlumbaan manusia mengejar kemajuan lalu meminggirkan kemanusiaan.

Kekanda Mansor Adabi,

Hajat di hati, ingin sekali adinda kembali ke Tanah Melayu. Menikmati segala keistimewaan semenanjung emas itu. Keindahan segara tepu sejarah itu. Di teratak bonda Aminah, berlarian di pepasir pantai yang memutih dan sesekali mengimbau segala nostalgia yang telah jauh berlari pergi. Namun, di kejauhan ini, masa membataskan segala-galanya. Rutin harian adinda adalah membantu Ben berniaga secara kecil-kecilan di pasar penjaja di sini, sambil kami turut melakukan apa sahaja pekerjaan seperti menjadi tukang masak, pengemas bilik hotel, pencuci bangunan dan rumah. Kehidupan kami agak perit. Sejujurnya kanda, adinda mahu sekali kembali ke bumi Malaysia, tetapi barangkali takdir adinda telah tertulis di sini.

Kekanda,

Adinda kini masih lagi seorang Muslimah yang taat. Didikan bonda Aminah tersemat kukuh di tangkai iman. Ben sendiri kadangkala membimbing adinda untuk membugar perkebunan iman di sanubari. Mudah-mudahan iman adinda tetap teguh sehingga kembali ke pangkuan Tuhan nanti. Buat kekanda yang jauh di mata, ketahuilah bahawa kesempatan tinggal dan mengenali dunia Melayu merupakan satu anugerah yang terindah buat adinda. Akhir kata, sambutlah salam sayang penuh kerinduan buat semua saudara di semenanjung Nusantara yang jauh di mata, tetapi tetap abadi di dalam hati.

Namaku Farid Paul

RAYYAN melipat warkah lusuh itu sebaik selesai membacanya. Ada rintih pilu di lubuk sanubarinya. “Uncle, nampaknya begitu mendalam sekali cinta Mummy Natrah kepada bumi semenanjung bertuah bernama Tanah Melayu?”

“Ya, Segalanya kerana cinta, saudaraku. Cinta kepada budaya Melayu, laut Melayu, cinta kepada bumi semenanjungmu, dan sudah semestinya cinta kepada kesucian agamamu.” Uncle Paul menghulur tangan kepada Rayyan. Dengan dahi yang berkerut, Rayyan menyambut jabatan tangan sasa itu.

“ Muhammad Farid Paul. Selepas ini, panggil uncle dengan nama baru ini.”

Biodata

ZULFAZLAN Jumrah, ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2006 (MPR 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau terbabit dalam genre cerpen, puisi dan novel. Karya penuntut Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama (PBMP), Universiti Putra Malaysia, ini, pernah mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Skor, Tunas Cipta dan Jendela Selatan. Novel sulungnya, Takdir Belum Tertulis diterbitkan Penerbit Ilmu Bakti Sdn Bhd.


Fort Margherita

MATAHARI hampir ke tengah ketika Suntong leka mencari rezeki di Sungai Sarawak. Jala ditebar ke permukaan air lalu menyerkap udang dan ikan. Suntong bertubuh sasa membongkok mengutip ikan dan udang yang sangkut pada jalanya. Jauh sudah dia berkayuh dari kampung Boyan menuju ke arah Astana. Kayuhannya lancar. Nasib baik dia tidak terpaksa menyungsung benak, fikirnya. Benak hanya milik Batang Lupar dan Batang Sadong. Suntong kini menghampiri tebing di bawah lembayung daun pokok pukul lima.

“Kubu Margherita memang kukuh, bahan binaannya adalah batu. Dulu ketika pemerintahan James Brooke kubu di Berlidah dibuat daripada kayu belian dan kerap diserang musuh. Tetapi Kubu Margherita tetap kukuh tanpa sebarang percubaan serangan oleh pejuang. Di situ ada gudang senjata dan bilik tahanan banduan sebelum menjalani hukuman mati.” Suntong teringat kata-kata Datu Bujang.

“Tiap-tiap malam, dari situ datangnya suara gagah pengawal-pengawal berteriak menyatakan keadaan terkawal. Itu kerja kau, kalau kau sanggup. Yang penting kau belajar guna senjata orang putih.” Masih terngiang-ngiang di telinga Suntong pujukan Datu Bujang agar dia setuju masuk pasukan Renjer Sarawak.

Suntong pernah berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan menjaga kubu putih. Tetapi kini Suntong mahu meruntuhkan kubu itu dan mengusir Brooke. Dia pernah meluahkan hasratnya kepada Datu Bujang. Dia tidak takut menyatakan hasrat kepada bapa saudaranya. Dia boleh berjuang walaupun sendirian. Badannya tegap berotot kuat.

“Bercakap kena berfikir, pandang-pandang, jangan ikut sedap mulut nanti badan binasa.” Datu Bujang menepuk bahunya.

“Sampai bila kita nak diam?" Suntong memprotes dengan nada geram. Datu Bujang mahu Suntong berhati-hati menyusun rancangan dan usah gopoh. Suntong diingatkan tentang kegagalan Syarif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Gapur dalam usaha menyerang Kuching. Rahsia pecah hingga sampai ke telinga Raja Charles Brooke.

Geram hati Suntong menjadi-jadi ketika melihat tebing tinggi bertanjung itu. Dia melihat kubu berwarna putih tegak megah. Kubu itu diberi nama Margherita sempena nama isteri raja penjajah. Kubu putih itu seolah-olah mengejek Suntong yang mahu merapati tebing. Itu yang dirasakan hati Suntong. Berkayuh ke tepian sungai tidak sepayah hati melihat kubu. Tiap kali berkayuh ke situ hatinya pedih diejek kemegahan Kubu Margherita. Kubu itu seperti berteriak ke arahnya, “Lihatlah aku akan kukuh melindung Brooke untuk memerintah 100 tahun lagi.”

Suntong terus berkayuh sambil memerhati letak alam di sekitar bagi melupakan sebentar kubu yang memanaskan hatinya. Di seberang sana bertentangan dengan kubu, ada pejabat Syarikat Borneo dan deretan kedai Cina yang membentuk sebuah kota. Suntong tahu di atas Bukit Mata Kucing ada banglo-banglo mewah kerana dia pernah ke situ. Persekitaran Sungai Sarawak masih lagi indah alamnya dengan tebatan pokok-pokok besar. Dari jauh kelihatan Tugu Charles Brooke. Di tebing sungai sebelah sana sebuah stor menyimpan minyak kepunyaan Syarikat Borneo agam berdiri. Di sebelah kubu putih, letak Astana kediaman Raja Putih.

Suntong memerhati pula pondok-pondok penduduk di tebing bersebelahan Astana. Sungguh daif. Perbezaan latar itu menyentuh hatinya.

Namun Suntong dibayangi peringatan Datu Bujang agar jangan bertindak terburu-buru. Kadang-kadang Suntong menganggap nasihat itu satu halangan. Halangan yang cuba dibuat agar golongan belia bangsa seperti dia tidak bangun memberontak. Suntong kerap berfikir tentang halangan itu. Ada prejudis tumbuh dalam benaknya terhadap kepemimpinan orang tua seperti Datu Bujang.

Kepimpinannya

Bagi Suntong Datu Bujang laksana kerbau dicucuk hidung. Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri. Kepemimpinannya hanya menghambat anak muda daripada memberontak. Pemimpin yang takut kehilangan kuasa jika anak buah memberontak. Aku fikir itu tujuan Raja Brooke membawa orang seperti Datu Bujang dalam pentadbiran, agar tiada pemberontakan. Hati Suntong merungut lagi. Warna-warna hitam melekat di hati.

Suntong menyelak lipatan sejarah dalam kepala tatkala tangan kekarnya masih berkayuh mencari tempat menebar jala. Dia ingat orang Melayu pernah memberontak pada akhir tahun 1830-an terhadap pemerintahan orang Melayu Brunei. Datu Patinggi Ali berjaya meniup semangat juang orang Melayu agar bangkit daripada penindasan. Kota Kuching akhirnya bebas dan Pangeran Indera Mahkota balik ke Brunei. Bebas hanya beberapa ketika sahaja. Datang Pangeran Raja Muda Hasyim mengambil jalan mudah menentang pemberontakan dengan mengundang bantuan asing. Orang Melayu hidup di bawah telunjuk askar pencen yang dilantik menjadi raja.

“Aku bukan melarang atau menahan kau daripada menentang Raja Brooke. Tapi aku mahu tindakan kita tidak berbuah kecewa. Ramai yang akan mati dan hidup kita semakin hina.” Suntong ingat kata-kata Datu Bujang yang seperti membela diri.

“Setiap perjuangan memang perlukan pengorbanan. Kita perlu mencuba sebelum berfikir tentang kegagalan.” Suntong pula menyanggah pendapat bapa saudaranya.

“Suntong, aku tahu kau berdarah pejuang. Dalam diri aku pun mengalir darah yang sama. Kita tunggu masa mengatur langkah pertama. Jangan terburu-buru. Langkah pertama lebih bermakna jika sudah cukup bekalan di dada dan di tangan.” Kata-kata Datu Bujang membunuh prejudis Suntong walaupun bukan semuanya padam.

“Khabar dari Astana Perlembagaan Sarawak untuk anak Sarawak. Sarawak akan diperintah rakyat Sarawak. Majlis Negeri diberi kuasa memerintah. Perlembagaan ini ke arah memerdekakan Sarawak. Jika benar, mudah kerja kita tanpa menggunakan kekerasan.” Datu Bujang mengkhabarkan hasrat Raja Charles Vyner Brooke ketika perayaan 100 tahun memerintah Sarawak. Khabar itu masih lagi panas dan menjadi buah mulut sesiapa yang mengerti.

Kuasa asing

“Adakah Datu mudah mempercayai kuasa asing? Sekadar janji manis mengumpul sokongan orang seperti Datu.” Suntong menggoyah keyakinan Datu Bujang yang bergayut pada janji Raja Muda. Hati Datu Bujang terhiris oleh sembilu lidah Suntong. Dia cuba digolongkan anak saudaranya dalam kelompok orang yang mudah menelan janji. Dia bersabar. Perasaan berang disimpan kemas dalam hati, apa lagi terhadap anak saudara harapannya. ‘Kata-kata Suntong ada benar’ pada fikirannya. Janji Charles Vyner Brooke ketika hari ulang tahun ke-100 pemerintahan keluarga askar pencen itu, mungkin tersembunyi cita-cita ingin memerintah 100 tahun lagi.

Suntong tidak percaya janji Brooke. Mahukah dia merdekakan Sarawak yang banyak mengandung untung. Bau sudah melahirkan emas dan antimoni untuk Brooke. Perut Miri pula sarat dengan minyak. Agak susah untuk Suntong percaya janji Charles Vyner Brooke mahu melepaskan semua kekayaan itu. Tidak semudah itu dia melepaskan Sarawak kembali dipimpin orang Melayu.

“Kita tunggu dulu. Jika kita ditipu juga, maka aku akan bersama kamu. Kita ganyang mereka!" suara Datu Bujang perlahan tetapi tegas. Kata-kata itu menjadi pegangan Suntong untuk menagih janji satu masa nanti.

Suntong menutup lembaran sejarah dan kisah silam dalam kepalanya apabila perahu hampir ke tebing batu. Dia terasa hembusan angin di situ sungguh sejuk dan mendamaikan jiwanya yang resah menahan ledakan darah pejuang. Tebing batu berlumut dan pokok-pokok besar megah berdiri. Suasana menyenangkan hatinya. Di permukaan air arus sungai tidak lagi meluncur laju. Di situ airnya tenang.

Suntong menebarkan jala. Dia masih leka. Rezeki Tuhan diambil tetapi pemberi rezeki dilupakan. Dia memang lupa. Jala menerkam rezeki yang ada di dalam sungai. Terasa berat jala diangkat ketika dibawa ke perut perahu. Lipatan jala mula dibuka dan diangkat batu-batu pemberat. Ikan dan udang melompat-lompat.

Benarkah Sarawak akan merdeka dengan mudah? Orang Melayu akan memerintah kembali bumi di lembah Sungai Sarawak? Tiba-tiba pertanyaan itu menerjah lagi dalam kotak fikiran tatkala dia membongkok mengutip udang bersepit biru dan ikan yang menari di dasar perahu. Ketika menoleh ke pangkalan penambang, baru dia sedar hari itu ialah penghulu segala hari tatkala retina matanya melihat beberapa orang berkain pelekat, berbaju Melayu dan bersongkok hitam berdiri di tepi pangkalan menunggu perahu untuk ditumpang ke seberang. Dia teringat kalendar di rumah Datu Bujang, semalam kalendar itu berangka Khamis, 18 Disember 1941. Dia bergegas hendak berkayuh balik ke rumah di Kampung Boyan.

Dentuman

Tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Tidak pernah didengar bunyi dentum sekuat itu. Dentuman menggegar bumi berturut-turut disertai bunyi belon yang berdengung di atas langit. Dia mendongak. Beberapa buah belon terbang rendah dan melepaskan bom, berdentum menyentuh bumi. Bumi terbakar dan bangunan musnah. Deretan kedai bertukar jadi sarang api. Bunyi teriak orang di pasar seberang kedengaran seperti tangisan dari neraka. Banyak nyawa melayang pergi meninggalkan jasad. Bunyi dentuman kedengaran bertalu-talu. Sempat juga Suntong menaruh harapan pada bom-bom itu agar meruntuhkan Fort Margherita. Suntong lupa dia dalam bahaya. Dia masih di permukaan air. Tiba-tiba sebutir bom jatuh di tengah sungai bertentangan dengan kubu putih. Air sungai berkocak kuat seperti ada buaya besar menyerang mangsa. Suntong sekuat kudrat mengawal perahu. Tarian perahu akhirnya berhenti kerana tangan kekar Suntong mahir mengemudi. Suntong melompat naik ke tebing.

Dari tebing batu itu Suntong berdiri menyaksikan perubahan pada kota Kuching. Dia melihat sebuah stor minyak Syarikat Borneo di tebing sungai menjadi gunung api. Kebakaran amat dahsyat. Api dengan lahap menjilat minyak. Kepulan asap tebal menjulang ke awan. Cahaya terang pada tengah hari Jumaat yang panas itu bertukar malap hingga ke petang. Suntong kecewa kerana bom yang hampir mengenainya hanya bernoktah di situ.

“Brooke lemah. Jepun yang menggugurkan 24 biji bom dari Simpang Tiga hingga ke tengah sungai tidak mampu ditentang. Kita guna senjata Jepun ini jahanamkan Brooke.” Suntong membelek-belek senapang dan bom tangan hasil rampasan. Suntong terbayang kecekapan kawan-kawan dalam serang hendap di Matang. Beberapa kepala Jepun berjaya dipancung. Terbayang juga pancutan darah hanyir Jepun mengenai bajunya.

“Kita serang dari sungai. Aku sudah beberapa kali menjala di situ. Aku sudah tahu benar keadaan di situ. Aku pasti kita berjaya mendaki tebing tinggi hingga ke kubu. Kita bergerak malam ini.” Suntong memerhati bebola mata tujuh orang rakan pejuang bergilir-gilir. Suntong yakin dia dan rakan-rakan akan berjaya sekali lagi. Lapan orang pejuang bekas Renjer Sarawak itu cekap dan gagah. Selepas pembubaran Renjer Sarawak pejuang itu memenuhi dada dengan ilmu persilatan.

Pada malam penentuan itu, kecekapan, pengalaman dan ilmu telah menjayakan pejuang-pejuang mendaki tebing curam berlumut secara senyap. Belukar dan siratan akar-akar kayu dirempuh dengan mudah. Suntong dan rakan-rakan bersiap sedia dengan rifel dan machine gun. Muncung dihala ke arah pengawal yang mundar-mandir di atas benteng panjang di sebelah kiri kubu.

Dengan isyarat tangan Suntong memberi arahan untuk menembak. Gema tembakan bagaikan bertih digoreng tepat mengenai sasaran. Pengawal di atas kubu jatuh satu persatu. Kemudian naik beberapa orang lagi ke atas benteng. Tembakan berbalas dari Fort Margherita. Suntong melontar pula bom tangan sekuat hati. Bom jatuh di dinding dan menggegar kubu. Tembakan dari arah kubu semakin rancak dituruti dentuman bom. Suntong semakin bersemangat dan geramnya menggila untuk memusnahkan kubu. Dia berlari sambil menembak dan berguling-guling berlindung di tanah tinggi-rendah. Dengan semangat dan keberanian di tahap puncak dia menghampiri kubu dan melontarkan bom tangan sekuat tenaga. Sasaran tepat, bom melambung tinggi dan menjunam di tengah kubu. Hati Suntong puas melepas geram. Dia berundur menghampiri rakan di tebing sungai. Dia tahu pasukannya kurang peluru. Bom tangan pun sudah habis.

Tiba-tiba tembakan datang dari arah kanan kubu. Tembakan itu disasarkan ke arah kubu. Tembak menembak saling berbalas.

“Ayuh kita berundur menuruni tebing curam. Itu tentera Maeda. Biar pemusnah memusnahkan perosak.” Suntong bergerak ke arah tebing tinggi dan turun ke sungai dituruti rakan-rakan tanpa cedera.

Tatkala tentera Maeda mengambil alih Kuching dengan rasmi pada pukul lima petang hari yang malang itu, ketua tentera masih dihantui kisah semalam. “Siapa penyerang yang menodai Margherita sebelum Maeda?"

l Glosari;

Belon (Bahasa Melayu Sarawak) ialah kapal terbang.

Enigma

(sekali lagi, ingin saya kongsikan cerpen saya yg terbit pada Mach 2007, di Wadah, DBP (S),
dengan para pengunjung blog ini yg tidak berpeluang mendapatkannya secara percuma dr DBP, terutama
sekali buat pengunjung dari luar negara :) cerpen ini mengisahkan ttg seorang pelaku keganasan rumahtangga yg `melihat' dan terpaksa berperang dgn pejuang-pejuang wanita Islam dr zaman dahulu kala)


"Ampunkan saya, bang. Ampunkan…!”..."rintih Hawa di antara esak-tangis.

Alan mendengus kasar, mencengkam stereng mengejapkan giginya atas bawah, memecut
keretanya memasuki kawasan pekan Papar yang giat membangun. Begitu kereta
dihentikan di sisi jalan - sama seperti yg dilakukan semasa dia di Kota
Kinabalu, Putatan, Penampang, Membakut dan Beaufort, antara cuaca hujan petir
atau panas terik, sebelum ini - Alan bergegas keluar, meneruskan pencarian.

Memcrhatikan setiap wajah orang ramai yang menyusuri kaki lima setiap kedai buku, setiap liku jalan dan lorong, mencari sebuah wajah yang menghilang lebih seminggu yaag lalu. Wajah Hawa.



Di mana yang aku tidak cari? Ke mana lagi harus dicari? Dan sampai
berapa lama harus aku ambil cuti tanpa gaji
dan meninggalkan tugas sebagai pemburu para penjenayah ber-
pakaian seragam itu lagi? Sungguh, pencariannya menjadi
sukar dan melelahkan. Malah, semasa di Perpustakaan Papar
(tempat kegemaran Hawa membuang masa, di antara
longgokan buku atau novel tentang perjuangan wanita,
seperti lazimnya. Masa yang sepatutnya diuntukkan kepada

Alan seorang!) tadi, berjam-jam dia terpaksa berlegar-legar
keresahan. Bukan untuk membaca, kerana itu bukan minatnya

Sebaliknya menanti akan kcmunculan Hawa yang tidak kunjung tiba.
Hinggakan para staf perpustakaan yang wanita, memerhatikan Alan
dengan penuh tanda tanya, dengan ekor mata mereka. Mungkin dengan
penuh prasangka. Tapi, Alan tak peduli apa orang hendak kata. Di ke perpustaakaan hanya pada waktu perpustakaan dibuka untuk orang ramai,
bukan dia sengaja hendak berada di tempat yang paling tidak digemari
itu pun. Penantian dan pencarian itu adalah satu penyeksaan, fikirnya.
Penyeksaan! Amat penting diperhitungkan walau dalam keadaan apa
sekalipun. Malah, ia harus berada pada paling atas. Demikianlah yang
sewajarnya.

"Ampunkan saya, bang. Ampunkan…!”..."rintih Hawa di antara esak-tangis,
mengapuk perutnya, macam lazimnya sudah terpelanting, tunggang-langgang
dan lalu terperosok bawah singki dapur, di penjuru ruang tamu di kaki
ranjang.


"Sah! Hawa memang sengaja membiarkan diri sendiri diperlakukan si
yang sering diperlakukan Alan ke atas dirinya itu - semata-mata
sebagai suatu bentuk strategi management guilt} Kaum wanita
seperti Hawa (lebih kurang ketiga-tiga bekas isterinya dahulu)
memang sengaja bersikap masokis hanya untuk memaksa kaum lelaki sebaik
Alan, terjerumus berperilaku sadis terhadap mereka. Kaum wanita sengaja mewujudkan isu, kemudiannya menjolok pcrasaan kaum lelaki. Kerana mereka
memang gemar sangat mengambil peranan sebagai mangsa, agar kaum lelaki
terjebak peranan sang jahanam; di mana jelas simpati selalu berpihak
kepada mangsa, berbanding dengan sang jahanam, bukan? Itulah Itulah
kaum wanita yang dikenali. Itulah juga Hawa. Hawa yang sengaja
menciptakan kehadiran rasa bersalah, bahkan berdosa di relung-relung
sanubari lelaki seperti Alan sendiri. Apakah saja cara mudah Hawa untuk
melalui jalur-lingkar terselubung, untuk menguasai lelaki?
Ya, itulah jawapannya. Alan pasti tentang itu.


Semasa di perpustakaan itu dan sepanjang pencariannya di mana-mana
itu, memang ramai kaum hawa yang bertudung litup, macam Hawa. Memang
ada juga bermata galak, melirik manja menggoda ke arahnya. Tapi tidak
seorang pun daripada mereka adalah Hawa. Begitu gagal lagi dalam
pencariannya, sebelum tewas pula ditangkap gelapnya malam, dia terus
memecut keretanya pulang ke rumah kampung yang seluas dua ekar
itu. Rumah peninggalan arwah mentuanya untuk Hawa di lereng bukit Bongawan.
Apabila sampai, sekali lagi tiada Hawa yang menyambut kepulangannya. Yang
ada hanyalah sebuah bungkusan kiriman pos yang dialamatkan kepada Hawa
daripada DBP, terletak elok di atas tangga di hadapan rumah yang terlindung
dengan bumbung tangga.

Mesti baru sampai hari ini... sebab pagi tadi tiada. Mesti jiran terdekat
yang entah apa namanya itu, yang tolong menandatangani bungkusan ini
untuk Hawa. Itulah masalah utama Hawa. Suka sangat menayang senyum
dan mengumbar kemesraan dengan sesiapa saja yang ditemuinya di kampung itu.
Terutama sekali sesama kaum wanita. Jiran-jiran wanitanya, sama macam wanita-
wanita lain yang pernah Alan kenalinya; tiada kerja lain, selain
daripada suka menjaga tcpi kain orang. Dasar! Ibu Alan pun spesies perempuan
juga, kata bapa suatu hari dahulu. Menurut bapa lagi, ibu Alan lari
meninggalkan rumah, semasa Alan masih kecil. Lari mengikut lelaki lain. Kakak-
kakak Alan pun apa kurangnya, baru berusia belasan tahun, sudah kahwin lari
dengan lelaki yang entah siapa susur galurnya. Tegas bapa lagi; semua
wanita adalah sama, seratus peratus.

Semuanya harus diberikan pengajaran yang secukupnya, supaya mereka tidak
mudah melawan suami. Pengajaran penting, kata bapa ialah disiplin, namanya.
Alan akur. Semua wanira sama. Lihatlah bekas isteri-isteri Alan. Semua
lari meninggalkannya, seorang demi seorang. Setiap seorangnya tergamak
menghantar peguam sebagai wakil untuk menuntut cerai daripadanya. Betul kata
bapa, semua wanita tidak berguna; termasuk Hawa!

Udara sejuk Bongawan pada waktu malam tidak berjaya menghalang darah menyirap
ke wajahnya. Spontan, di tamparnya (macam sering dilakukan ke atas tubuh Hawa - mujur Hawa bertudung litup, jadi, banyaklah sedikit ruang untuk dia memberikan 'pengajaran’ kepada sang isterinya, tanpa sebarang kesan lebam yang boleh
menarik perhatian ramai) bungkusan itu dengan belakang tangan yang menggenggam tinju. Bungkusan itu tercampak ke anak tangga paling bawah, rumah papan bertiang tinggi itu. Dia lalu mendengus kasar, menyeringai kepuasan. Sepuas
dia memberikan 'pengajaran' kepada Hawa, lazimya. Sama seperti 'pengajaran'
yang pernah dan kerap diberikan kepada bekas-bekas isterinya terdahulu. Lama dahulu.

Begilu kunci pintu dibuka, dia melangkah ke ruang tamu dan memasang lampu. Serta-ruang tamu menjadi terang-bendcrang. Sudah hampir seminggu keadaan
rumah itu begitu; surat-surat khabar lama bertaburan di mana-mana. Gelas-
gelas, pinggan-mangkuk bertumpang-tindih dengan sisa-sisa makanan yang sudah
basi. Sudah seminggu kini, Hawa di mana? Tak berguna! Pemalas! Dengusnya.
Lalu, tanpa memetik suis kipas siling ke udara tnalam memang sudah sedia sejuk,
dia menghenyak-rebahkan tubuh di tilam sofa rotan. Sejenak, dia yang keletihan, tertidur nyenyak. Dia tersentak bangun bersama mimpi ngeri dinihari, disentak
oleh bunyi aneh yg terlalu hampir, macam di luar pintu rumah itu saja. Macam
bunyi kuda meringkik nyaring. Juga semacam bunyi unta mengerang, mendengus
kasar. Ada bau bunga melur, menusuk. Seram. Dan irama padang pasir!

Eh? Mana ada kuda, apatah lagi unta di daerah Bongawan ini? Desis hatinya, kekeliruan. Begitu matanya terbuka luas, cahaya lampu kalimantang serta-
merta menerpa dan lalu menikam permukaan matanya. Dia tersentak apabila
kedengaran seperti bunyi kuda-kuda meringkik nyaring dan unta-unta yang
mengerang dan kasar - dari mendengus luar pintu rumah itu sekali lagi.

Dia terpinga. Dia bagaikan terpanggil untuk bangun, membuka pintu dan menjenguk ke luar rumah.Bunyi cengkerik dan kodok bertingkah-tingkah
di kejauhan. Ternyata, bungkusan kiriman pos daripada DBP masih tersadai
di anak tangga, tiada sesiapa atau apa-apa pun di situ. Mustahil bunyi-bunyi
aneh itu datangnya daripada bungkusan kiriman pos itu. Mustahil, tapi
mustahilkah? Entah mengapa, bagaikan menyaksikan orang lain yang melakukannya;
dia melihat bagaimana dirinya bingkas turun di anak tangga, mencapai
bungkusan itu dan bergegas kembali ke ruang tamu itu semula. Bungkusan itu dicampakkan ke atas lantai bertikar getah, di antara perabot rotan di ruang





tamu, Entah buat beberapa lama pula, dia melirik bungkusan yang dicampakkan
ke atas lantai itu. Aneh, fikirnya. Dia kehilangan Hawa, tapi bungkusan Hawa
ini masih berada di hadapan mata. Sejenak, setelah mendapatkan minuman
ringan dalam tin dari peti sejuk, dia kembali duduk menyandar di atas lantai, memberi tumpuan kepada bungkusan iiu. Tanpa sedia membelek dan meraba
permukaan bungkusan kiriman pos itu. Pelbagai soalan timbul di dalam
benaknya; sejak bila Hawa mula membeli buku lewat kiriman pos? Tidak
cukupkah dengan ratusan buku/novel yang bertumpang-tindih di rak buku, di
dalam dan atas almari, di bawah katil dan sebagainya yang memenuhi ruang
rumah itu?

"Ampunkan saya bang... Bukan saya yang membeli buku-buku itu bang... ampun
bang... buku-buku itu milik ibu saya, bang... ibu saya memang suka membaca novel-novel terbitan DBP... ampun bang, percayalah bang..."rintih Hawa,
seraya mengusap-ngusap peha dan betisnya yang baru menerima terajang unggul
daripada Alan.

Pembohong! Wanita tak berguna! Alan menggerutu lagi. Didorong keketidak-
sabaran luar biasa, dia lalu membuka kenas bungkusan itu, dengan sekasar
mungkin. Begitu terpandang akan isi kandungan bungkusan kiriman poa itu, dia membelek-beleknya satu persatu seraya mencebir sinis. Tiga buah buku saja,
rupanya. Masing-masing berjudul, Puteri Fatimah, Puteri Aisyah dan Ratu Zanubiyeih... buku tentang pejuang-pejuang wanita Islam zaman silam,
nampaknya. Macam buku bergambar kanak-kanak, siap diilustrasi
dengan gambar segerombolan pejuang wanita memakai pakaian tradisionai Arab, berwarna-warni. Ada antara pejuang-pejuang wanita menunggang unta-unta dan kuda-kuda gagah perkasa. Sementara gerombolan pejalan kaki
juga tidak sedikit jumlahnya. Semuanya dilengkapi dengan pelbagai senjata
mini; panah, tombak, pedang dan kapak.

Hisy! Pasti mahal harga buku2 bergambar yang biarpun nipis saja, tapi
berkulit tebal! Pasti! Desis hati Alan. Huh, apakah dengan ini caranya Hawa menghabiskan wang gajinya sebagai pensyarah di sebuah institusi swasta itu,
setiap bulan? Kerana itu kah, setiap kali apabila Alan memerlukan wang
tambahan, Hawa sentiasa kekeringan wang? Dasar wanita tidak berguna! Tidak
boleh diharap! Lantas, Alan pun mengambil rindakan yang lazimnya dilakukan terhadap buku-buku atau novel-novel yang andainya diberi perhatian lebih oleh
Hawa, dibandingkan dengan diri Alan yang lebih memerlukannya. Mula-mula
buku tentang perjuangan Ratu Zanubiyah yang menjadi mangsa. Nikmat
kepuasan menyaksikan muka-muka surat daripada buku yang dihancur-
kecaikan dan lalu dihamburkan ke udara sudut sebelah tengah ruang tamu itu,
tapi tidak panjang. Keanehan luar biasa terus menguasai diri. Kipas siling
tidak dipasang. Tingkap dan pintu rumah terkunci rapat, Tapi, kenapa
kertas-kertas berwarna yang hancur berkecai itu tidak terus 'mendarat' saja di
atas lantai, sesuai dengan daya tarikan graviti? Sebaliknya ia terus
berpusar-pusar setinggi sejengkal dari permukaan lantai, macam ditiup
angin puting beliung mini. Ada bunyi seperti kuda yang meringkik nyaring,
unta-unta mendengus kasar dan irama muzik padang pasir. Ada laungan
suara wanita yang bergemuruh dengan letusan-letusan perkataan yang begitu
jelas; Allahuakbar, Allahuakbar..!’

Igauan dinihari ini saja, bah! Bukan betul semua ini, bukan betul, bah! Dia
memujuk diri. Namun, bunyi laungan wanita itu terus bergemuruh di udara.
Nyaring di cuping telinganya. Menikam-nikam gegendang telinganya. Dan
menjerumuskan kebingungannya, menujah ke lahap paling tinggi, dalam
suasana dinihari yang dingin. Tidak seperti tubuhnya yang kepanasan, dia
dilencuni peluh. Dan dadanya berombak ganas, diulit gelombang suara pejuang-pejuang wanita mini. Dia lantas menggelengkan kasar, dan terus mengoyak
muka surat dari buku bergambar Puteri Aisyah dan dihamburkan di udara, di
sebelah kirinya. Begitu ia berbuat yang sama dengan buku Puteri Fatimah, sekali lagi dia terpinga. Eh, kenapa kecaian kertas-kertas buku-buku itu, membentuk pusaran-pusaran yang lain pula - juga setinggi sejengkal.


Sesaat kemudian, pusaran ligat kecaian kertas-kertas berwarna itu, bagaikan
mengendur sedikit. Dan lalu membentuk tubuh wanita-wanita mini setinggi
sejengkal itu, berperisai dan dilengkapi dengan pelbagai senjata
tajam; sama seperti wanita-wanita yang diilustrasikan dalam buku-buku
bergambar tadi, muncul. Bersama kuda-kuda dan unta-unta tunggangan mereka. Kelihatan ada di antara pejuang-pejuang pejalan kaki itu membawa
sesuatu yang menyerupai sepanduk mini sepanduk raksasa bagi wanita-wanita mini itu), namun tidak begitu jelas akan tulisannya, di pandangan Alan.

Ah, tenturnya ketua kepada gerombolan sebelah tengah itu bernama Ratu
Zanubiyah, macam judul buku itu. Di ruang tengah, Puteri Fatimah dan
sebelah kirinya, Puteri Aisyah seperti judul-judul buku itu, bukan?
Desisnya, sinis. Sernakin direnungi akan gambaran yang terhasil daripada
kecaian kertas dari buku-buku berwarna itu, semakin terasa seolah-olah
semuanya betul-betul wujud dan hidup seperti manusia dan makhluk biasa di
alam nyata. Daya fikirnya bagaikan tiada lagi untuk mempersoalkan sama ada
benar ataupun tidak apa-apa yang direnunginya itu, kerana nalurinya sibuk bertungkus-lumus memberitahu agar dia segera berhati-hati demi kelangsungan hidupnya sendiri.

Kini ketiga-tiga gerombolan pejuang wanita itu, mulai mara perlahan-lahan
ke arahnya, dari tiga penjuru. Ratu Zanubiyah, Puteri Fatimah dan Puteri
Aisyah kelihatan seperti memberikan arahan dan isyarat kepada setiap
anggota gerombolan. Mereka menghunuskan senjata ke arahnya. Mata mereka yang bagaikan mata jarum yang berkilau-kilauan di bawah cahaya lampu kalimantang
dan setajam jarum juga ia memanah pandangan mata Alan, sekali gus menikam kesabarannya. Sejenak itu Alan terpaku, namun sejenak saja.

Eleh, perasaan gagahlah konon! Dengus Alan. Ternyata, wanita sama
ada bersaiz kecil mahupun besar, sama saja. Semuanya mencabar
kejantanannya!

Dalam keadaan masih terduduk di lantai, dengan tangkas, dicapainya bantal
empuk perabot rotan yang berhampiran. Dicampakkan bantal itu ke arah salah
satu gerombolan Ratu Zanubiyah yang semakin menghampirinya. Serta-merta,
sekali lagi Ratu Zanubiyah kelihatan macam memberikan arahan dan syarat
agar pejuang-pejuangnya menyelamatkan diri. Dengan kuda-kuda dan unta-unta tunggangan, mereka bertempiaran mengikut arahan. Sementara para pejalan
kaki pun terkedek-kedek lari ke kerusi-kerusi rotan dan meja kopi. Mendadak
irama padang pasir yang merdu tadi, bertukar menjadi paluan gendang perang!
Sekali gus sekumpulan pejuang lain dan gerombolan Puteri Fatimah dan
Puteri Aisyah, membidik rombak ke arah belakang tangan Alan yang menekan
lantai untuk bangun. Alan berteriak, terduduk semula. Halus lagi
tajam mata tombak itu. Terasa macam terkena sengatan penyengat, pedih
berbisa. Serentak, terbit beberapa bintik merah di belakang tangannya; darah! Belum sempat dia menanggalkan tombak-tombak mini dari kulit dan dagingnya, anak-anak panah berapi pula berterbangan di udara, lalu tertikam ke kelopak
mata, kulit muka, leher dan tubuhnya.

Geram sangat-sangat, tapi tiada masa baginya menanggalkan tombak-tombak dan
anak panah mini itu daripada dagingnya. Dicapainya sebuah novel berkulit
tebal dari kaki meja kopi. Dihumbankan buku tebal itu ke arah para pelontar
tombak mini dan para pemanah tadi, (macam yang selalu dilakukan terhadap
Hawa, setiap kali Hawa menyakiti hatinya, tidak kisahlah sama ada buku,
kasut berkilatnya, pinggan penuh berisi nasi dan lauk pauk berwap panas yang dirasakan kurang kurang sedap, atau apa-apa saja yang kebetulan sempat
dipegangnya ketika itu). Dan humbanan Alan kali ini juga mengena tepat
kepada sasarannya, bukan hanya para pelontar tombak pemanah mini itu
terpelanting, malah pembawa sepanduk mini dan haiwan-haiwan tunggangan itu
turut terperosok di tepi dinding dan rak buku. Para pemanah pun bingkas dan
lalu menghidupkan api pada bangun dan lalu menghidupkan api pada hujung
anak panah mereka. Sekali lagi, anak-anak panah berapi itu dibidik ke arahnya.
Macam kunang-kunang, anak-anak panah berapi itu berterbangan ke udara dan
langsung menikam ke daging tubuh, muka dan di sela-sela rambutnya. Ada bau
seperti rambut terbakarlah.Rambutnya!

Alan menjerit kesakitan. Anak-anak panah berapi sehalus jarum peniti, sekali menerjahi semerata muka, kepala dan tubuhnya yang dibungkusi kemeja putih
bertangan panjang. Dia yang masih terduduk itu, menghayunkan tumbukan ke arah
para penyerangnya tadi. Dia menyentak-nyentak, menjent kesakitan apabila
hayunan tinjunya disambut dengan tikam pedang-pedang yg dihunuskan oleh
Puteri Fatimah dan Puteri Aisyah kepadanya. Hasil daripada pertemhungan tinju dengan pedang itu tadi, kedua-dua puteri, kuda dan unta tunggangan mereka
itu pula terhumban kasar ke dinding. Mereka kelihatan terkulai layu,
macam tidak sedar diri.. Serta-merta, sekumpulan pejuang ini yang lain
bergegas datang dengan pengusung, terhinggut-hinggut mengangkat kedua-dua
puteri dan beberapa anggota gerombolan yang mengalami kecederaan,
ke tempat vang selamat (bawah kerusi rotan). Sepantas itu, kelihatan mereka
membina khemah-khemah mini di bawah kerusi rotan. Rawatan cemas diberikan
kepada yang mengalami kecederaan parah. Ada yang bangun, kembali bertempur
dan ada yg terbujur kaku, sebelum terus ghaib.

Hei! Apa itu? Hisy, Kecil-kecil pun mereka boleh melontarkan pencangkuk-
pencangkuk berbentuk sauh mini yang berekor tali sehalus benang di hujungnya,
ke celah-celah lubang kerusi rotan, ke celah-celah novel-novel yang
tersusun di rak-rak buku, di meja kopi! Macam sepantas semut, ada di antara
mereka yang mula memanjat tali itu dan kemudian bertapak di pelbagai penjuru di atas kerusi rotan, rak-rak buku, meja kopi dan sebagainya; mengelilingi
Alan, macam langau mengelilingi bangkai. Membidik anak-anak panah berapi ke
kepala dan mukanya. Didorong oleh rasa geram dan sakit yang teramat sangat, Alan bingkas menterbalikkan meja dan kerusi-kerusi rotan itu. Para pejuang
wanita itu, tiba-tiba terpelanting ke lantai dan langsung bercempara
menyelamatkan diri di bawah rak-rak buku. Beberapa kali pula Alan membaling
tin-tin minuman, tempat abuk rokok, novel berkulit tebal milik Hawa dan
sebagainya yang sempat dicapai, ke arah mereka. Namun, tidak semua
lontarannya mengenai sasaran. Mereka terlalu kecil dan tangkas menyelamatkan
diri daripada balingannya. Kecoh!

Sekali lagi Alan menjerit dan terlonjak kesakitan, seraya memandang ke arah
bahagian bawah tubuhnya. Ratu Zanubiyah yang sedang tercungap-cungap yang
ketika menikam punggungnya dengan pedang, kelihatanmendongak dan menyeringai
ke arahnya. Alan menepis Ratu Zanubiyah dengan belakang tangannya. Tapi,
Ratu Zanubiyah sempat mengelak, memecut untanya ke belakang rak buku.
Serentak, para pemanah kembali menghalakan anak-anak panah berapi ke arah
Alan. Anak-anak panah berapi menembusi pakaiannya dan meninggalkan bekas
seperti terbakar hangus di beberapa bahagian kemeja putihnya. Terhidu macam
bau daging panggang oleh anak-anak panah yang masih tertikam mana-mana di
seluruh tubuhnya sendiri.

Jahanam! Wanita tidak berguna! Rentung aku lama-lama begini! Bentak Alan
antara mahu menangis dengan mahu membunuh apa saja di hadapannya. Tapi
sedar akan keupayaannya yang agak terhad, berbanding dengan gerombolan-
gerombolan pejuang wanita yang ganas lagi kejam itu. Mereka terlalu ramai, sedangkan dia hanya sendirian. Dia lalu bingkas bangun, melewati ruang
tengah dan langsung memasuki kamar mandi. Beberapa anak panah berapi
kedengaran sempat berdesing-desing di sela-sela rerambut dan telinganya,
sebelum dia sempat mengurung pintu bilik mandi itu. Dia sempat tersentak
nafas sekali lagi apabila terlihat akan pantulan bayangan dirinya di
permukaan cermin kamar mandi itu. Dahi, kelopak mata, muka, leher yang
menggelap, melecur dan pakaian di tubuhnya dipenuhi tompok-tompok halus yang
seperti hangus terbakar dan turut dilumuri percikan darah halus, macam terbit
dan seluruh liang-liang romanya. Pedih dan bisanya bukan alang kepalang
lagi rasanya!
Dia cuba mencuci muka, lerkial-kial cuba menanggalkan senjata-senja mini yang tertikam pada dagingnya, namun sesuatu segera menarik perhatiannya.
Kedengaran seperti ada bunyi dentuman halus dan gegaran pada bahagian
bawah pintu bilik mandi itu. Macam bunyi orang mengapak kayu balak. Tidak
beberapa minit kemudian, kelihatan sepeni ada beberapa lubang kecil yg
terbentuk di bawah pintu itu. Serentak beberapa pejuang wanita itu cuba
meloloskan diri secara meniarap, melalui lubang-lubang bawah pintu itu.
Lantas, diterajanginya kepala pejuang-pejuang wanita yang mula tersembul di
celah lubang bawah pintu. Biarpun tidak kedengaran, namun dia tahu pasti
ada tengkorak yg berdetap patah atau retak. Namun, begitu dia menerajang, begitu ramai pula berusaha meloloskan diri lewat lubang bawah pintu itu. Sebaik
saja beberapa daripada mereka berjaya meloloskan diri, mereka mula
membidik anak panah berapi, tombak dan kapak ke arahnya. Ada antara layangan
anak-anak panah berapi, tombak dan kapak mengena cermin muka di bilik mandi
itu dan cermin itu pecah dan jatuh pecah berkecai di lantai.

Apa yang mereka cuba lakukan kepada aku? Apa salah aku? Rintih hatinya
takut yang bukan alang kepalang. Ditadahnya air paip dalam baldi,
dan lalu dihamburkan ke arah para pejuang dengan air segayung demi
segayung, Bagaikan dilanda banjir besar, pejuang-pejuang itu hanyur
dilarikan air dan langsung masuk ke lubang kamar mandi itu.
Bcberapa pejuang lain berjaya mencangkuk bahagian atas pintu kamar mandi
dan lalu memanjat masuk ke bahagian dalam kamar mandi. Sambil bergayut,
mereka menghunuskan pedang dan berjaya menggores dan menikam muka, leher
dan bahu Alan. Percikan darah mula membasahi semua tempat yang kena
serangan, depan belakang, atas dan bawah. Alan menggenggam tinju,
dengan penumbuk ke arah para pejuang yang bergayutan di tali mini dan
menggelongsor ke atas bahunya itu. Ramai yang jatuh ke lantai dan lalu patah, pecah dan macam buah betik mini yang masak sebelum ghaib daripada
penglihatannya. Namun, begitu banyak berjaya dimusnahkan, begitu ramai pula
pejuang berjaya meloloskan diri masuk melalui bahagian bawah pintu
kamar mandi. Bukan sekadar para pemanah, mereka yang bersenjatakan tombak dan bersenjatakan tombak dan pedang turut berjaya meloloskan diri. Tidak
henti-henti.

"Apa yang kamu mahu daripada sebenarnya, hah? Apa?' bentaknya, kerusuhan.
Tiada jawapan. Semuanya berhenti menyerang, memerhatikan Alan tanpa kerdipan
mata. Sedetik itu, kelihatan yang turut memanjat dan bergayutan semacam
Tarzan, mengetuai anggota gerombolan mereka yang lain tadi, lantas memberi
iyarat agar Puteri Fatimah dan Puteri Aisyah membentangkan sepanduk untuk tatapan Alan. Begitu halus tulisan pada sepanduk itu, mujur masih boleh
dibaca dengan jelas oleh Alan;

SEDIAKAH UNTUK BERJANJI UNTUK
TIDAK MENINDAS KAMI, KAUM
WANITA LAGI?

"Menindas? Bila masa aku menindas sesiapa? Mengarut! Semua perempuan sama;
tidak berguna! Bodoh!" bentak Alan yang bagaikan tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagiitu. Serentak dengan itu, para pejuang wanita
itu bertindak tangkas. Menyerang Alan bertubi-tubi. Dari bahagian atas pintu
dan bawah pintu kamar mandi mereka datang; memanah dengan anak-anak panah
berapi, melontar tombak, melibas dan menikam dengan pedang, dan sebagainya. Serta-merta Alan berundur, kesakitan. Dia terpijak pecahan kaca cermin
yang berderai pecah di lantai tadi. Dia lerus tergelincir jatuh terlentang
di atas lantai kamar mandi. Dia cuba bangun, tetapi gagal. Dalam
sekelip mata, macam semut api beracun pula, ratu dan puteri-puteri mengetuai gerombolan masing-masing, memanjat dan mula menyerang seluruh tubuhnya dengan ganas, dari hujung kepala ke hujung kasut hitam berkilatnya itu,
di segala sudut.

Dia menjerit-jerit kesakitan lagi, menepis sekali gus cuba melindungi matanya daripada serangan para pejuang-pejuang wanita itu. Penindasan pejuang-pejuang wanita itu berlansung entah sampai bila. Tahu-tahu, pemandangannya berpinar-
pinar liar dan lalu gelap. Dia tidak dapat menghalang dirinya daripada terus
pasrah dengan kepalanya terlentuk lemah di tepi mangkuk tandas.
Namun, sebelum dia pengsan sepenuhnya, tiba-tiba muncul satu persoalan di benaknya; beginikah perasaannya Hawa atau bekas-bekas isteriku, setelah
setiap kali kena terajang atau penumbukku, sehingga terperosok di mana-
mana itu? Macam yang berlaku kepadaku ini?
Aduh, sakitnya..!

* * *


"Astaghfirullah... patutlah kita ketuk pintu rumahnya berkali-kali, dia
tak jawab.... rupa dia terjerit tadi, kerana tergelincir jatuh sebelum
pengsan di atas serpihan kaca dalam bilik mandi..." kata seseorang. "Panggil ambulans cepat!"

"Harap-harap dia tak marahlah, bila dia tahu kita terpaksa pecahkan kunci
pintu depan rumahnya untuk masuk... Kita masuk pun setelah terdengar jeritan
minta tolong dia juga kan...'"ujar yang lain.

Di antara sedar dengan tidak, Alan terdengar suara beberapa wanita
sayup-sayup. Kenapa tiada lagi kedengaran irama padang pasir? Kenapa tiada
lagi paluan gendang perang? Kenapa tiada lagi ringkikan kuda ataupun dengusan
unta? Mana pergi ratu dan puteri-puteri pejuang Islam itu tadi?

"Licin... apa tak jatuhnya... luka-luka, seluruh muka dan badan... kesian...
dahlah isterinya seminggu bertarung nyawa akibat keguguran anak di hospital,
kini dia pula berkeadaan begini..." ujar yang lain.

Di hospital? Hawa? Keguguran anakku - anak kami? Soal hatinya. Namun, dia
segera ingat pada kali terakhir dia melihat Hawa, sebelum Hawa menghilangkan
diri. Hawa yang bergegas pulang dari kolej swasta itu, lambat memasak dan menghidangkan makanan malam untuk dia... akibatnya, tubuh Hawa terpelanting
ke bawah singki, oleh sepak terajang dan tumbukannya.

"Apa tak keguguran, kalau tak putus-putus ditindas dan didera siang malam!"
seo-rang yang lain menyampuk, sinis. "Isterinya terlantar hospital, dah semi-
nggu tak diziarahi..."

Keguguran? Soal hatinya, tersentak nafas Sedetik itu dia teringat akan ibu
kandung yang kononnya lari mengikut lelaki 1ain menurut dakwaan bapanya.
Terbayang bagaimana ibunya juga dibelasah siang malam, oleh bapanva.
Terkenang tentang bagaimana setelah terjatuh dan terhantuk kepalanya di
tangga dapur - dihantukkan oleh bapa, setiap kali bapanya menghadapi masalah
di pejabat - ibunya mengalami kerosakan otak (suatu gambaran yang berjaya bapanya kaburi dengan cerita ibunya mengikut lelaki lain, semasa Alan masih
kecil dahulu). Juga tentang ibunya yang tak pernah diziarahi, setelah bertahun-tahun berlalu terperap di Hospital Bukit Padang, meninggal - demi
menjaga hati bapanya. Mengingatinya kembali, dengan tidak seena-mena, Alan merintih dan merintih, kekesalan yang amat dahsyat.

Apa yang telah aku lakukan? Maafkan aku, Hawa... sekarang, aku sudah bersedia berjanji untuk tidak memperlakukan yang terhadapmu, seperti sebelum ini.
Aku berjanji! rintih hati Alan, kekesalan yang amat dahsyat. Aneh,memang. Satu-satu tempat yang dia lupa mencari Hawa adalah di hospital. Alangkah!

Tak berguna lagi! Sudah terlambat...! Suatu suara halus aneh yang bagaikan
datang dari semua penjuang wanita mini itu tadi, melintas
ingatannya. Bergema. Ngeri.

"Syukurlah... ambulans pun dah sampai dah,” 'sela yang lain pula. Kemudian
dia memperlahankan suaranya, serak kehibaan. 'Kesian dia... apalah perasaan
dia ya, jika dia tahu arwah Hawa meninggal sewaktu bergelut dengan maut
semasa keguguran anak mereka yang sulung ini, dinihari tadi ya? Kesian arwah
Hawa...”

Arwah? Hawa? Oh, tidak....! Apa yang telah aku aku lakukan? Apa? jerit hatinya,
dia lalu menggelupur. dicengkam kerusuhan yang tiada taranya!

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.