Jeruk Maman Emak

Lee Keok Chih

2011/01/01

Sesayup Kenangan

“BILA kamu sampai di tempat orang nanti, pasti kamu kembali merindui masakan kampung kita. Di tempat itu, pastinya tak jumpa Cik Mek Molek, laksa dan laksam. Pasti tak jumpa juga jeruk maman kegemaran kamu. ”
Kata-kata emak seperti kembali kedengaran di gegendang telinga E Liang. Bukan setakat suara emak, wajah dan tubuh emak juga kembali terbayang jelas. E Liang juga masih ingat gerak geri emak sibuk menyiapkan makanan seisi keluarga mereka. E Liang masih ingat waktu paginya emak akan turun ke kebun untuk memetik sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang tumbuh dengan subur. E Liang juga ingat bagaimana emak akan turun ke sungai untuk mengail atau menaut ikan sungai, dibakar atau dipanggang setelah dibasuh dengan air asam supaya tidak berbau hanyir. Kembali mengimbas kenangan itu, E Liang merasa begitu hiba dan sayu sekali.
Ketika itu E Liang tidak dirasuk perasaan begitu. Ketika itu, E Liang hanya mahu meninggalkan Joh dan pergi ke luar negeri. Puas dipujuk, E Liang enggan membatalkan hasratnya. Bukan setakat saudara mara dan saudara karib yang datang memujuk, sampai ketua kampung juga muncul. “Apa nak pergi jauh-jauh sampai seberang laut? Bukankah di Joh juga kamu boleh cari makan?” Begitulah pujukan mereka.

E Liang terganjak. Dia merupakan graduan bidang komputer itu merasakan Joh terlalu kecil dan kemahiran dan ilmunya tidak boleh digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Kalau dirasakan Joh tidak sesuai, kamu boleh memilih bekerja di Kota Baru. Kalau tidak Kota Baru, kamu boleh berkerja di Kuala Lumpur. Berkerja di Kota Baru, kamu boleh berulang-alik atau sekurang-kurangnya pulang seminggu dua hari menjelang cuti hujung minggu. Kalau memilih berkerja di Kuala Lumpur, boleh juga kamu pulang menjenguk menjelang cuti panjang atau cuti-cuti perayaan. Kamu pergi ke Amerika Syarikat nanti, susahlah nak pulang.”

E Liang tetap tidak makan pujukan mereka. Sekali pun E Liang cukup serasi dengan kehidupan kampung dan dia akan susup-sasap masuk ke dalam semak belukar di belakang rumahnya untuk mencari rebung, akar kayu dan berbagai-bagai jenis ulaman yang boleh dimakan di dalam hutan, E Liang rasa dengan cepat sekali dia boleh menukar selera dan menyesuaikan diri dengan cara hidup bumi asing. Bagi E Liang, berbanding dengan kerjaya, semua itu tidak penting.
Entah kenapa saat itu E Liang begitu merindui Joh. E Liang bukan setakat merindui saudara mara dan sahabat karibnya, dia juga merindui aktiviti mencari rebung, akar kayu dan ulam-ulaman di dalam belukar. Ketika bermimpi juga, E Liang akan mimpikan bagaimana dia akan membantu emak mengail, menaut ikan dan mengepung ayam atau itik serati yang lari bertempiaran.

Di wilayah Wyoming, E Liang sering juga mengikut orang tempatan untuk mengail. Tapi, aktiviti mengail di situ tidak sama seperti aktiviti mengail di kampung. Ikan-ikan di Wyoming juga berlainan. Di Wyoming, ikan jenis trout dan pike yang dikail. Di Joh dulu, ikan-ikannya adalah ikan lampan dan ikan baung. Rasanya juga tidak sama. Bukan ikan-ikan trout dan ikan pike tidak enak. Tapi, jelas semua itu tidak serupa dengan ikan-ikan dalam kenangan E Liang.

Semuanya tidak serupa. Rasanya tidak serupa. Cara masakannya juga tidak serupa.
Kiranya ingin dicuba masakan jenis Kelantan, pasti tidak menemui rempah ratus yang sesuai. Di Wyoming, bukan senang hendak mendapatkan rempah ratus seperti daun keresom, serai, kunyit dan halia temu. Limau purut juga tidak ditemui.
Kiranya pergi ke Chinatown dan menemui rempah ratus yang diimpot dari Thailand, Singapura atau Malaysia, rempah ratus itu sudah layu dan tidak segar lagi.
Langsung tidak harum dan rasanya juga tidak serupa. Itu pun rempah ratus yang biasa. Apalagi jeruk maman kegemaran E Liang, pantang hendak jumpa.

Kenyataan Hidup

“ABAH, biar kita makan burger hari ini. Tak mahu makan nasi. Tak sedap, asyik makan nasi saja, bosanlah.”

Permintaan begitu bukan sahaja hari ini, tapi setiap hari begitu. Anak-anaknya jauh lebih muda. Mereka lebih senang menyelaraskan diri dengan keadaan hidup di negara asing. Budak-budak memang begitu. Budak-budak bukan seperti orang tua yang membawa terlalu banyak kenangan.

Anak-anak E Liang bukan seperti E Liang yang dibesarkan dengan meminum air sungai Kelantan dan disuap dengan makanan Kelantan yang unik. Kiranya mengibaratkan tubuh manusia adalah sebuah acuan atau bekas, maksudnya tubuh E Liang sudah sarat dengan berbagai muatan sebelum itu dan sukar sekali diisi dengan muatan baru. Keadaan anak-anak E Liang pula lain sekadar. Mereka adalah acuan atau bekas yang masih kosong, senang diisi dengan cara hidup dan tabiat baru.

“Abang, kalau kita pulang ke kampung nanti, bagaimana pula? Nanti di kampung nanti, tiap-tiap hari gila burger, susahlah kita nanti. ” Isteri E Liang kelihatan kurang senang. Perempuan Cabang Empat yang datang menuntut dan berhasrat untuk pulang ke kampung setelah tamat pelajaran itu, nasibnya berubah setelah bertemu dan akhirnya menjadi isteri E Liang yang sah.

Ketika berita mereka berdua bertunang dan kemudiannya berkahwin sampai ke kampung, ibu bapa kedua pihak begitu senang sekali. Bagi mereka, berkahwin dengan orang Kelantan, bermakna sejauh mana mereka melayang, akhirnya pasti pulang juga ke bumi Kelantan.

“Yang merunsing aku bukan sekadar makanan. Yang lebih merisaukan aku adalah mereka mula lupa adat resam kita. Panggil kita pun mula menyebut nama. Nanti kita pulang, jumpa orang tua dipanggil nama pastinya dianggap biadap dan kurang ajar.” Tambah lagi isteri E Liang.

Ah! Itulah cabaran yang cukup merunsingkan E Liang.
“Aku juga risaukan tabiat mereka.” Sampuk E Liang.

“Bukan cara mereka tidak baik. Tapi, cara mereka bukan cara kita. Cara mereka tidak sesuai dengan tempat kita.” Isteri terus meluahkan rasa kurang senangnya.

Bukan setakat itu. Sejak tinggal di situ, E Liang sering lihat bagaimana hubungan di antara anak-anak dan ibu bapa yang begitu berjarak dan kurang mesra. Anak-anak yang mencabar usia remaja atau mencapai umur dua puluh tahun, biasanya berpindah dari rumah orang tua dan dengan alasan memupuk sifat individu. Hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak kemudian menjadi semakin dingin. Anak-anak itu biasanya jarang pulang ke rumah untuk menziarahi orang tua mereka. Kiranya mereka pulang sekali pun, hanya menjelang Hari Natal. Itu pun kalau mereka memilih untuk pulang. Dari pengalaman sebenar jiran-jiran E Liang, anak-anak yang dewasa itu pantang hendak pulang. Ada yang tidak pulang bertahun-tahun lamanya. Ada pula yang sampai ibu bapa mereka meninggal dunia sekali pun, mereka tidak dapat dihubungi kerana entah berada di mana.

“Mungkin kita harus memilih kepulangan.” Kata isteri.

Tergerak juga E Liang untuk pulang. Tapi, masalahnya adalah kerja yang sesuai.
Di Wyoming di bekerja di sebuah syarikat teknologi moden yang menghasilkan barangan komputer, pulangnya nanti adakah kerja begitu? Betul E Liang mula merasa kurang senang tinggal di negara orang. Tapi, dia bukan anak kampung Kelantan seperti masa dulu lagi. Sekarang dia terpaksa memikirkan soal rezeki dan pendapatan. Kiranya dulu dia sanggup hidup dengan makan makanan kampung, sekarang dia terpaksa memikirkan soal wang. Tidak untuknya, tapi untuk menampung perbelanjaan anak-anaknya nanti.

Soalan itu bukan soalan imaginasi E Liang. Soalan itu diungkit saban kali dia telefon pulang. Menurut adik, semuanya terpaksa dibeli sekarang. Semuanya semakin mahal. Semuanya memerlukan wang. Cuma loghat daerah yang masih pekat di lidah adik. Namun, kandungan perbualan adik sudah berbeza.

Ah, dunia semakin rata. Setiap aktiviti di bahagian lain dunia, pasti seperti riak kecil yang kemudiannya membentuk gelombang. Gelombang begitu pastinya mempengaruhi kehidupan bahagian lain dunia. Seperti kata-kata adik, semuanya bermula di bumi Amerika Syarikat yang merupakan jantung dunia masa kini, kemudian merebak di bahagian lain dunia.

“Abang, bagus abang berada di Amerika Syarikat. Dekat dengan pusat perubahan. Di tempat itu timbul idea baru, teknologi baru dan juga serba-serbi yang baru.”
Begitulah kata-kata setiap kali E Liang telefon pulang ke kampung. Tujuan E Liang adalah untuk bercakap dengan emak. Tapi, biasanya adik yang melekat pada ganggang telefon dan enggan melepaskan ganggang telefon.

“Alah, kamu tidak tahu. Kamu tidak tahu kerana kamu tidak pernah sampai dan tinggal di sini.” Begitulah E Liang menjawab.

Adik akan menjawab, “Engkau mempunyai peluang pergi ke sana. Engkau tinggal di sana. Engkau tentulah cakap begitu.”

Orang yang tidak pergi datang pastinya tidak tahu. Adik tentunya tidak tahu, E Liang sekadar seorang pekerja biasa yang makan gaji. Di sini, kehidupan E Liang bergantung kepada gaji. Kedua-dua suami isteri terpaksa bekerja. Semuanya mahal. Bukan sekadar perbelanjaan seharian mahal, cukai juga mahal. Gaji yang diterima, tidak banyak yang dapat disimpan. Tapi, berhakkah dia membujuk atau memberi kata nasihat kepada adiknya? Dia tidak berhak bercakap begitu. Dulu ketika emak membujuknya supaya jangan datang, bukankah dia pernah merasakan emak sengaja menghalang perjalanannya? Bukankah dulu yang merasakan emak ingin menghalang dan menyebabkan kerjayanya tidak sampai ke mana?

E Liang merasakan dia tidak bertenaga untuk bercakap lagi. E Liang merasakan dia tidak berhak membujuk adik. Akhirnya, E Liang pun mendiamkan diri.

E Liang merasa serba salah. Ingin pulang, tapi tidak berani pulang. Kadang-kadang E Liang merasakan dia hidup di suatu persimpangan. Entah patut memilih jalan mana.

Berita Dari Seberang

Panggilan lewat malam itu datang pada suatu malam. Tepat pukul dua belas tengah malam.

“Emak sakit tenat.” Kata adik.

“Kenapa tak hubungi aku awal sikit?” Tanya E Liang yang baru terjaga dari tidur.
“Penyakit orang tua. Datangnya secara mengejut.” Jawab adik.

“Sekarang emak di mana?” Tanya E Liang.

“Sudah dihantar ke hospital di Kuala Krai.” Jawab adik, “Mungkin tak apa-apa. Tapi, aku telefon juga.”

E Liang berbincang dengan isteri yang turut terkejut daripada tidur.
“Aku rasa lebih baik kita pulang.” Cadangan isteri. “Kalau tak apa-apa, kita boleh pulang baik.”

Dalam hati E Liang mengira harga tambang kapal terbang. Sudah lima tahun dia tidak pulang. E Liang tidak pulang kerana menimbangkan tambang kapal terbang seisi keluarga yang memakan hampir dua bulan gajinya setelah ditolak cukai pendapatan. Itu masih tidak mengira perbelanjaan lain termasuk tambang bas atau teksi ke lapangan terbang dan perbelanjaan makan minum sepanjang perjalanan.

“Sudah lama kita tak pulang.” Kata isteri. “Sudah lama aku tak menjenguk keluarga aku. Hanya bercakap dengan mereka menerusi telefon sebulan sekali dua. Entah bagaimana keadaan emak dan ayah aku”

Paginya, E Liang pun pergi menempah tiket kapal terbang. Nasib baik waktu itu bukan musim percutian yang sibuk. Banyak sekali tiket kapal terbang. Tidak susah seisi keluarga E Liang membeli tiket kapal terbang untuk pulang.

Sepanjang penerbangan, hati E Liang gelisah semacam. Dia mula menyesal kerana tidak pulang beberapa tahun yang lepas. Dia menyesal betul. Kiranya apa-apa berlaku dan dia tidak sempat bertemu dengan emak, dia pasti menyesal seumur hidupnya. Kerana itu, sebaik kapal terbang mendarat dan dia keluar dari lapangan terbang, dia terus menyewa kereta dan menuju ke Kelantan.

E Liang dan keluarganya keluar dari lapangan terbang pada waktu malam. Dia berkereta di atas jalan semalaman. Nasib baik, urusan menyewa kereta sudah diuruskan sebelum dia memulakan penerbangan dan sepanjang penerbangan, E Liang asyik tidur sahaja. Kerana itu, setelah keluar dari lapangan terbang, kereta sewa sudah sedia menunggu dia dan keluarganya dan dia juga cukup rehat dan dapat berkereta dengan segar serta tidak mengantuk.

Mereka berada di atas jalan lebih kurang 8 jam dan ketika dia tiba di Kuala Krai, sudah menjelang waktu subuh. E Liang tidak terus pulang ke rumah. E Liang terus berkejar ke hospital. E Liang adalah tetamu pertama yang menunggu waktu melawat.

Emak kelihatan tidak bermaya. Emak terlantar di atas katil. Tapi, ketika melihat E Liang sekeluarga, mata emak kembali tersinar. Emak tersenyum.

“Aku tak apa-apa.” Kata emak, “Menyusahkan kamu saja.”

Seperti semua orang tua, emak enggan menyusahkan anaknya. Tapi, E Liang pasti emak amat gembira sekali.

Menurut doktor, emak darah tinggi dan sekarang mungkin lumpuh. Tidak lumpuh pun, setelah keluar dari hospital nanti, tidak baik dibiarkan tinggal seorang diri.

Bukankah adik tinggal dengan emak?

Ketika itu, baru E Liang tahu, adik sudah pindah keluar. Nombor telefon yang E Liang hubungi adalah nombor telefon rumah adik. Adik yang berikan nombor itu kepada E Liang. Kerana itulah, setiap kali E Liang menyuruh adik panggil emak, adik asyik berdalih. Dan kadang-kadang agak lama baru dipanggil orang tua.

“Dia orang muda.” Emak yang cuba membujuk ketika melihat muka E Liang mula merah kerana menyalanya api kemarahan. “Kamu dulu juga begitu.”

E Liang terdiam. Dia sudah lupa dia pernah bersikap begitu.

Setelah membiarkan emak berehat, E Liang berbincang dengan isteri.

“Nampaknya emak tak boleh dibiarkan tinggal berseorangan.” Kata E Liang. “Nak tinggalkan orang itu dengan orang gaji, aku tak sampai hati dan rasa kurang senang.”

Isteri memandangnya. Isteri tidak meluahkan sebarang pendapat. Agak lama, baru isteri berkata. “Apa cadangan kamu?”

“Aku rasa ... aku rasa ...” E Liang masih tidak pasti apa yang akan dilakukan.
Petang itu, dia berbincang dengan adik.

Adik melenting ditegur E Liang. Kata adik, “Kamu pentingkan diri kamu. Kamu mempunyai kerjaya. Aku juga mahu memburu kerjaya aku. Tak mungkin aku terpaksa berperap di rumah dan korbankan masa depan aku. Kalau kamu sayangkan sangat emak, kenapa kamu tak pulang?”

Dari berbincang, adik beradik itu mula bertekak. Kiranya bukan kerana isteri menyekat, tentunya akan bergerak tangan dan kaki adik beradik itu.
Setelah adik pergi dari situ, isteri melontarkan pertanyaan, “Sekarang, apa keputusan kamu?”

“Aku tengah berfikir ni.” Kata E Liang. Kata-katanya begitu berat sekali.
Kebetulan doktor mengisytiharkan emak sudah pulih dan boleh keluar dari hospital. Mungkin kerana nampak cucu-cucu, tenaga dan semangat orang tua itu pulih dengan cepat sekali. E Liang memandu kereta dan pulang bersama-sama dengan semua ahli keluarganya.

Rumah mereka masih sama. Hanya nampak sedikit usang dengan atap-atap yang tidak diperbaiki dan rumput-rumput yang tumbuh berselerak hinggakan kelihatan seperti semak-samun. Anak-anak E Liang memapah nenek mereka keluar dari kereta dan menaiki anak tangga ke atas rumah. Budak-budak itu kelihatan ghairah dan gembira dengan suasana baru rumah kampung. Mereka kelihatan teruja nampak ayam, itek, kambing dan angsa. Mereka juga kelihatan ghairah ketika nampak kolam kecil depan rumah yang digunakan untuk membela anak ikan sungai sebelum besar dan disembelih.

Petang itu setelah lima tahun, ketika isteri ke dapur untuk memasak nasi, E Liang mencapai parang dan turun ke perkarangan rumah untuk mencantas rumput-rumput dan semak yang berselerak. Sambil mencantas, tiba-tiba E Liang nampak tumbuh-tumbuhan kecil yang sedang tumbuh subur di celah-celah rumput yang meninggi. Tumbuh-tumbuhan itu adalah maman. Ya, maman yang pernah ditanam emak untuk membuat jeruk maman. Tiba-tiba, E Liang membuat keputusan untuk terus tinggal di sini. Di sini adalah tanah tumpah darahnya. E Liang percaya, dia pasti dapat cari kerja di sini. Mungkin pendapatannya nanti tidak setinggi pendapatan di Amerika Syarikat. Tapi, rumah kampung tidak perlu disewa. Tanah lapang di sekitaran rumah boleh ditanam dengan sayur-sayuran, rempah ratus dan ulam-ulam. Ayam itek dan ikan juga tidak perlu dibeli. Sudah nekad keputusan E Liang.

E Liang percaya, isteri akan menyokong keputusan pilihannya. Bukankah isteri juga pernah meluahkan kedinginan begitu? Anak-anaknya pula, E Liang rasa mereka masih muda, tentunya cepat budak-budak itu menyelaraskan diri dengan kehidupan di sini, seperti mana ketika mereka tinggal di Amerika Syarikat.

E Liang tersenyum. Dia masih tersenyum ketika mendaki anak tangga dan memberitahu isteri keinginannya itu.


INFO

LEE Keok Chih dilahirkan di Selising, Kelantan, pada 28 April 1962. Terbabit dalam dunia kesusasteraan sejak di sekolah rendah. Sajaknya, Tiga Kali Terima Kasih mendapat tempat dalam majalah Dewan Sastera ketika berada di Tingkatan Empat. Penerima biasiswa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) melanjutkan pelajaran dalam Jurusan Kejuruteraan Marin. Jawatan jurutera perkapalan yang disandang ketika itu membawanya mengembara ke serata dunia.
Turut memiliki Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat. Banyak menghasilkan puisi dan cerpen. Karyanya mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Bacaria, Watan, Mingguan Wanita, Utusan Pengguna, Utusan Zaman, Mastika, Jelita, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat. Novel remajanya, Cinta dan Dendam menggunakan nama pena Ardi Amin diterbitkan Karangkraf (M) Sdn Bhd. Pernah memenangi Hadiah Sastera Sin Chew Jit Poh, Hadiah Sastera Utusan - Public Bank dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kini bertugas dengan syarikat perundingan yang berpusat di China. Antara kumpulan puisi Lee Keok Chih ialah 2002, Di Pinggir Semenanjung dan Sepi Seorang Pelaut, manakala kumpulan cerpennya, Insomnia.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.