Gemerlap cahaya Syawal

KERETA Mercedes berona ungu Shamsul letak di hadapan balai raya, jarak dua ratus meter dari rumah ayah ibu. Dia berdiri menyandar di belakang kenderaan yang baru dua bulan dibeli menggantikan Mercedes lama yang sudah berumur lima tahun.

Matanya memantau jika nampak kelibat ayah. Setelah 20 minit memerhati, Shamsul membuka but kereta.

Sekampit beras, tiga ekor ayam, lima kilogram daging segar dan lain-lain keperluan untuk hidangan pagi raya Shamsul pikul dan jinjit ke rumah ibu. Suasana nampak sepi. Kelibat ayah tidak kelihatan menerusi pintu dan jendela yang terbuka.

Perlahan Shamsul menolak daun pintu dengan siku. Bunyi keriut ensel membuat Shamsul menahan nafas. Dia berjalan menjengkit menuju dapur. Semua bahan mentah diletak dalam tudung saji atas meja makan agar tidak dikerjakan belang.

Shamsul terdengar suara ayah dalam bilik. “Biarpun Shahril duduk percuma sahaja di rumah ini, bil air, api dan telefon tidak pernah dia tolong bayarkan, bini pun aku tanggung makan minumnya tapi dia baik. Ringan tulang. Budi bahasa sopan. Aku sayang dia walau sekolah sampai tingkatan tiga, kerja sebagai buruh sapu jalan.”

Shamsul duduk di kerusi menghadap tudung saji yang berisi barang-barang dibawanya tadi.

“Abang tidak boleh membezakan anak. Shamsul itu berpelajaran tinggi. Lulusan luar negara. Bergaji besar. Berkereta mewah. Dia selalu bawakan barang-barang keperluan dapur untuk kita tapi abang tolak. Suruh dia angkut balik. Apa dosa Shamsul pada abang sampai abang tidak mahu bercakap dengan dia?” Suara Mak Piah nyaring dan tegas membela Shamsul. Luka hati Shamsul sedikit terubat.

“Saya tidak perlukan sesen pun duit anak awak itu. Biar saya membanting tulang seumur hidup. Cakap dengan dia jangan jejak lagi rumah aku. Yang aku perlukan dalam hidup ini bukan kebijaksanaan anak, tapi ...” setakat itu suara keras Pak Mail terhenti. Dia enggan meneruskan bicara.

“Kenapa? Bukankah Shamsul pun anak kita? Apa dosanya pada abang sampai begitu sekali abang marah?” Suara Mak Piah sedikit dikendurkan. Dia memang tidak tahu kenapa Pak Mail begitu benci pada Shamsul. Anak sulungnya itu bukan calang-calang orang. Jadi tokoh masyarakat apabila mengetuai sebuah badan belia sejak sebelum berangkat ke Amerika Syarikat melanjutkan pelajaran di peringkat Ph.D. Bila balik terus memimpin badan belia berpengaruh itu sebelum dilantik menjadi setiausaha badan politik yang jutaan ahli di seluruh negara.

Suara Pak Mail masih belum kedengaran.

“Tapi apa bang? Beritahu Piah apa yang berbuku di hati abang. Bukankah Shamsul itu anak kita. Piah mahu dia balik jenguk Piah selalu. Kalau dia balik abang tidak boleh halau dia. Kalau abang halau dia bermakna abang halau Piah!” Petang puasa ke 27 itu sedikit tegang dengan pandangan dan harapan berlainan.

“Kalau Shamsul balik raya ni, abang tidak boleh halau dia macam beberapa tahun lalu. Syurga Shamsul terletak di bawah telapak kaki Piah. Kalau abang halau juga dia macam, Piah akan ikut dia pergi.”

“Ah, suka hati awaklah. Layanlah anak awak tu macam raja. Macam sultan. Puja dia macam dewa.” Pak Mail meluru ke tepi dinding, mengambil baju yang disangkut pada sebatang paku, dan menggantikan kain kembannya dengan seluar kelabu lusuh yang juga disangkut di tempat sama. Dia mahu mencari ketenangan di luar sana. Mahu bersembang dengan beberapa rakan tentang kemenangan calon parti yang disokongnya, biarpun kempen parti lawan hebat sekali. Dia suka berbahas dengan Nuar yang menyebelahi parti lawan. Nuar biasanya kalah atau sengaja mengalah dalam perbahasan itu. Kemenangan calon parti kesukaannya Pak Mail rasakan seperti kemenangannya sendiri.

Sebaik menuruni tangga rumah sekerat papan sekerat batu itu, dia terkejut melihat kasut Shamsul terletak di situ. Rasa geramnya tiba-tiba membuak. Dia tendang kasut Shamsul sekuat tenaga hingga terpelanting jauh, jatuh berhampiran si belang yang asyik menghendap burung tinjau di dahan rambutan.

Gelagat

Shamsul memandang gelagat ayahnya dari celah tingkap dapur sedikit terbuka. Dia menggeleng. Wajahnya murung. Mak Piah yang melihat perlakuan keanak-anakan suaminya juga menggeleng. Dia segera turun mahu mencari kasut Shamsul untuk diletak kembali di tempat asal. Shamsul yang melihat ayahnya sudah sedikit jauh juga turun untuk mencari kasutnya. Namun sebelum Mak Piah dan Shamsul tiba di kelompok pokok pandan yang agak luas dan subur itu, Kaisara yang sedang menyidai kain baju di ampaian lebih dahulu mencari kasut tersebut sebelum disiram Belang dengan air wangi.

“Kenapa ayah marah sangat dengan Shamsul, mak?” sambil menjinjit sebelah kasut dan mencari sebelah lagi Kaisara memandang sayu wajah Mak Piah. Dia pernah bertanya kepada Shahril namun Shahril juga tidak tahu.

“Entahlah. Puas mak tanya ayah engkau tak mahu cakap.”

“Apa kata kita tanya Shamsul sendiri,” Kaisara menoleh Shamsul yang baru tiba dengan memakai selipar jepun Shahril yang sudah licin tapaknya.

“Barangkali ayah tidak suka Sham....” Shamsul membongkok mengambil sebelah kasutnya yang dilihat terlentang tapak ke atas berhampiran parit kecil tidak jauh dari kelompok pokok pandan itu. “Kerana Sham kahwin dengan orang kulit hitam semasa masih belajar. Ayah kata habiskan belajar dulu, selesaikan hutang PTPTN, tebus dulu tanah yang ayah terpaksa gadai untuk membiayai pelajaran Sham sebelum dapat pinjaman biasiswa.” Shamsul menyambut sebelah lagi kasut yang dihulur Kaisara ke tangannya.

“Emak tidak fikir itu sebabnya,” Mak Piah memandang anak mata Shamsul dengan seribu persoalan yang belum terungkai.

“Engkau sudah selesaikan hutang PTPTN. Tanah yang digadai itu pun sudah engkau tebus. Tentang kahwin dengan Laily, emak tidak nampak sebab ayah engkau jadi begitu marah. Laily itu baik orangnya. Berbudi bahasa. Berbudi pekerti. Baik hati. Ringan tulang. Sopan santun. Lemah lembut. Cuma kulitnya saja yang hitam. Hatinya putih.”

“Entahlah mak. Mungkin juga ayah marah Shamsul sebab Shamsul jadi orang kuat parti politik yang berlawanan dengan parti ayah.” Shamsul memungut beberapa ranting kering yang bersepah di tanah, lalu dikumpul berhampiran unggun bakaran daun-daun kering yang sudah mati apinya.

“Mai tak fikir itu sebabnya,” Kaisara yang sejak tadi mendengar penuh minat perbincangan menjelang tengah hari itu membawakan suatu cerita lain. “Abang Shahril juga tidak masuk parti yang ayah ketuai cawangannya di kampung kita.”

“Iya?” Shamsul yang baru tahu memandang tepat ke muka Kaisara.

“Dia masuk parti apa Dik Ra?”

“Ayah jadi ketua cawangan Parti Payung. Abang orang kuat Parti Tongkat. Abang Shahril sebenarnya jadi AJK Parti Cangkul.”

“Ayah tahu tak?” Shamsul memandang pula muka ibu yang syahdu dan mulus.

“Tahu.” Ibu memegang lengan Shamsul.

“Betul kata Kaisara, ayah kau tak marah pun pada Shahril? Mungkin ada sebab lain yang membuat ayah kau jadi begitu. Cuba di fikir dalam-dalam. Masak-masak. Apa yang ayah engkau pernah cakap. Atau pernah minta. Atau pernah bantah.”

“Sudah lama Sham fikir mak. Bahkan setiap lepas solat, Sham mohon Allah kembalikan hati ayah seperti dulu. Seperti Sham belum ke luar negara menggali ilmu. Sham buntu. Buntu betul. Sham bimbang nanti Sham tak cium bau syurga kerana derhaka kepada ayah.”

Mak Piah segera memeluk Shamsul. Air matanya gugur deras di pipi. “Jangan cakap begitu nak. Engkau tidak pernah derhaka kepada ayah. Cuma ayah engkau itu yang angin. Keras kepala tidak tentu hala. Kalau ia pun engkau ada buat salah dengan dia, beritahulah apa kesalahan itu supaya jalan penyelesaian dapat dicari. Ini tidak. Marah tak tentu fasal. Susahlah melayan kerenah orang tua ni,” Mak Piah melonggarkan pelukannya. Dia menyeka air mata dengan kura tangan. Shamsul mengambil sapu tangan dari kocek belakang seluar, mengesat genang di mata dan pipi ibu.

Muram

“Sara ada satu jalan,” tiba-tiba Kaisara tunduk. Rona wajahnya berubah muram. “Barangkali jika Sara dan Abang Shahril pindah dari sini baru ayah hargai kasih sayang Abang Sham.”

“Dik Sara, kenapa cakap begitu?” Berkerut sakit dahi Shamsul memandang Kaisara. Kemarahan ayah pada abang tiada kaitan dengan Shahril dan Dik Sara. Jangan melakukan sesuatu yang menambah kusutkan hati emak.” Tinggi suara Shamsul namun nadanya masih lembut.

“Betul Sara. Engkau dan Sham tidak boleh ambil tindakan itu. Emak perlukan Shahril dan engkau di rumah ini. Emak sayangkan engkau dan Shahril sama seperti emak sayangkan Shamsul. Cuma ayah engkau itu, setan apa agaknya yang menghasut sampai dia mogok besar pada Sham?”

“Mak,” Shamsul merangkul bahu Mak Piah.

“Ya Sham. Cakap apa yang Sham nak cakap. Jangan disimpan dalam hati macam ayah engkau tu.”

“Mak, petang esok Sham akan balik ke sini bersama Laily, dan cucu emak yang berdua itu. Afiq selalu kata dia ada atuk macam tak ada atuk. Kawan-kawan beraya di rumah atuk, dia tidak.” Shamsul menambah eratkan pelukannya.

“Betul. Betul. Bawa anak isteri engkau balik. Pedulikan songeh ayah engkau itu. Emak tekad apa nak jadi pun, jadilah. Balik ya. Sham tentu rindu untuk merasai raya-raya bahagia semasa Sham kecil dulu.”

“Sara setuju Abang Sham. Baliklah. Tentu raya kita tambah dengan keletah dan hilai tawa Afiq dan Marissa.” Bersinar mata jeli Kaisara merenung wajah bersih Shamsul.

Panjang Shamsul berfikir. Jika dia balik petang, kalau ayah ada di rumah, di mana dia hendak letak muka andai ayah menghalaunya di depan anak isteri? “Baik balik malam lepas berbuka. Ayah biasanya pergi ke masjid bersolat Tarawih.” Keputusan itu Shamsul buat dengan yakin.

Dia sampai sekitar jam 9.00. Ibu, Kaisara dan Shahril menyambut cukup gembira. Kereta ungu Shamsul dipakir di depan balai raya agar ayah tidak melihat. Bimbang jika ayah tidak jadi balik andai terpandang kereta Shamsul di depan rumah. Kasut anak isteri juga kasutnya sendiri Shamsul sorok di bawah tangga.

Mak Piah memadam semua lampu yang pada awalnya terang benderang. Dia tidak mahu suaminya mengesyaki sesuatu. Hanya sebuah lampu di ruang tengah yang masih menyala seperti biasa.

Sewaktu Pak Mail melangkah masuk dia tergamam melihat ada keluarga sedang bersolat di ruang tamu. Seorang lelaki mengimamkan solat. Seorang kanak-kanak lelaki bersama ibu dan seorang kanak-kanak perempuan sebagai makmum.

Mak Piah, Shahril dan Kaisara mengajak Pak Mail makan sate yang dibeli Shahril di gerai Pak Leman sambil berbual-bual tentang masalah di Kampung Buah Betik serta pembinaan kuil yang jadi tajuk panas media tempatan. Sebagai orang politik Pak Mail memang gemar bercakap mengenai isu-isu semasa.

“Siapa yang tengah sembahyang anak-beranak tu Yir?"

“Abang.” Shahril menyua secucuk sate ke tangan ayahnya.

Pak Mail bingkas bangun mahu pergi meninggalkan rumah. Namun Shahril memegang kejap lengan kirinya dan Mak Piah memaut lengan kanannya. “Duduk dulu bang. Malam-malam raya begini baiklah bertakbir dan bertahmid daripada berborak di kedai kopi cakap fasal politik sampai pagi.” Mak Piah meruntun tangan Pak Mail sehingga lelaki itu terduduk.

Sebaik Shahril memulakan takbir dan tahmid, Shamsul memberi salam. Laily berjalan ke depan mencium tangan Shamsul diikuti Afiq dan Marissa.

Selepas itu Shamsul bingkas mendekati ayah yang sedang memandangnya. Dia melutut di depan ayah sambil mencium tangan. Perbuatan Shamsul diikuti Laily, Afiq dan Marissa yang bukan setakat mencium tangan malah memeluk dan mencium pipi Pak Mail serta berebut mahu duduk di atas riba atuk.

“Atuk,” Afiq merangkul bahu Pak Mail. Songkok comelnya jadi senget bila terkena dagu Pak Mail. “Afiq sayang atuk. Afiq rindu atuk.” Dia berdiri di atas ruang sempit di sebelah paha Pak Mail mahu mencium pipi atuknya.

Di bawah sedar Pak Mail menitiskan air mata. “Sudah. Sudah. Mari...” Pak Mail merangkul kedua-dua cucunya. Afiq cium pipi kanan, sementara Rissa cium pipi kirinya.

“Mari makan sate,” tangan Pak Mail menyua sebatang seorang sate ke tangan Afiq dan Marissa sedang matanya gemerlap dengan cahaya Syawal memandang Shamsul dan Laily.

Es Teler Pagi Raya

Nanar

Pohon kelapa berayunan saling melambai. Langit biru di terjah gempulan awan putih, seperti pantai didatangi ombak, beriak dan berkocak. Ada sudut-sudut tertentu, matahari menerikkan cahayanya, terang tetapi tenang. Saya tercegat di bawah matahari berhadapan kubah Bandara Iskandar Muda. Jika saya tidak memberitahu, tidak ada yang tahu bahawa saya antara arkitek yang menyolekkan bandar udara baru Nanggroe Aceh Darussalam.

"Inikah Aceh? Seperti anak dara belum diusik ya?" Kedua-dua tetamu saya yang baru tiba dari Malaysia panasaran. Seorang menghalakan kameranya ke selatan, seorang lagi mencekak pinggang, mata melilau ke utara bandara. "Ini kampung saya di Kedah. Itu.. sawah bendang hijau terbentang, pokok kelapa tinggi melayang, " kata seorang mereka. "Ini juga kampung saya di Pahang. Tengok, cik adik itu pakai, baju kurung Pahang!" kata seorang lagi sambil menunjukkan ke arah seorang pramugari yang baru menukar pakaian kerjanya. Saya senyum-senyum saja. "Selamat pulang ke kampung masing-masing. Di Aceh, bukan sahaja ada Kedah dan Pahang, bahkan Perak, Kelantan dan seluruh Malaysia!" balas saya yang bercadang untuk bercerita kepada mereka berdua tentang Puteri Kamaliah dari Pahang yang berkahwin dengan Sultan Iskandar Muda pada abad ke 17 dulu.

Labi-labi menurapi jalan kampung menuju ke Desa Darussalam. Kedua tetamu saya, Kalsum dan Hafsah bertambah nanar. Pemandu labi-labi seperti faham, penumpangnya hari ini dari negara jiran lalu memberikan kerjasama dengan memperlahankan roda labi-labi. Entah apa menariknya pokok asam jawa, rumah kayu beratap rumbia, bunting padi, kanak-kanak berlari tanpa selipar, makcik tua dengan sirihnya, pakcik tua meneguk kopi bercampur ganja dan anak-anak gadis laju menunggang 'kereta'. Semua itu dirakam oleh Kalsum.

Sinting

Matanya tajam memerhatikan anak-anak gadis turun dari labi-labi. Kuntum senyum Kalsum dibalas sekilas jelingannya. Saya mendekati Teuku Hadi, menariknya masuk ke dalam bilik. "Jangan kacau kawan-kawan kakak dari Malaysia!" arah saya pada si bongsu 22 tahun. "Malaysiee..Malaysiee.." ulangnya sambil menari-nari. Saya menutup pintu bilik dan kembali menghadap dua tetamu yang kini dilayan oleh mama. "Kamu berdua sudah tengoklah bandara baru yang cantik itu, hah! Cut Mutialah arkiteknya!" bangga mama. Kalsum mencubit siku saya, "Tawaduknya awak," katanya. "Selepas tsunami, anak-anak tempatan diberi peluang terlibat dalam industri antarabangsa, itu bukan hasil tangan saya seorang tetapi anak-anak Aceh yang lain juga," kata saya lebih berbangga memperkenalkan bangsa sendiri.

"Kalau bukan bulan puasa, mama jemput kamu berdua ke dapur dulu," kata mama. Kalsum dan Hafsah ketawa dan masih galak menangkap gambar.

Rumah saya tidaklah besar. Ada empat bilik tidur dan dua bilik air. Selain saya dan Hadi, mama dan papa tidak mempunyai anak yang lain. Saya lebih tua dari Hadi tiga tahun, tetapi saya selalu merasakan lebih tua daripadanya 20 tahun. Rumah kami juga dibisingkan oleh burung-burung dan anak-anak kucing. Sebahagiannya telah mati dibawa arus Tsunami lima tahun lepas.

"Cut!" Hafsah datang mendekat. Dia menunjukkan skrin kameranya kepada saya. Terpantul gambar Hadi sedang menikmati keropok sambil bermain dengan Si Gedek, kucing kesayangannya. "Dia tak puasakah?" bisik Hafsah. Saya menutup mulut lucu. "Puasakan hanya wajib untuk seorang mukallaf yang mumayyiz," balas saya. "Jadi…?" Hafsah mengerutkan dahi. "Dia memang kacakkan? Tetapi akalnya masih bayi. Itulah kelebihan adikku Teuku Hadi," kata saya.

Sederhana

Saya memboncengkan Hafsah, manakala Kalsum menunggang sendiri 'kereta' papa. "Orang Banda Aceh kaya-kaya, semua pakai 'kereta'. " Kalsum ketawa sebaik mengetahui, kereta di sini adalah motosikal bertayar dua. "Orang Malaysia lebih beruntung, jika seorang arkitek seperti saya entahkan boleh memakai dua Proton Saga," balas saya yang sememangnya kagum dengan Malaysia kerana telah mengeluarkan produk automobilnya sendiri. Hafsah dan Kalsum berpandangan, ada rona kasihan di wajah mereka. "Alhamdulillah, Allah masih memberikan kita nyawa, itulah kenderaan paling penting buat seorang manusia," kata saya bersambut senyuman dua anak Malaysia yang mulus ini.

Saya tidak pernah memikirkan keadaan di Aceh ada juga di negara lain. Bagaimanakah saya boleh memikirkannya, jika tidak pernah keluar dari bumi tercinta ini? Biar perang gerila berlaku, biar tsunami meratah bumi, biar kami disisih orang-orang yang lebih beruntung, saya dan keluarga masih setia berkhidmat untuk tanah ini. Namun, kenyataan Kalsum sungguh mengejutkan saya. Tidak menyangka bahawa di Malaysia juga ada negeri-negeri yang memakaikan tudung pada pemodel papan-papan iklan. "Oh, saya sangka Aceh satu-satunya buana yang memakaikan jilbab pada model wanitanya. Di sini, wanita Muslim wajib memakai tudung.." kata saya. "Shh... walaupun berseluar ketat atau berbaju nampak pusat?" tanya Hafsah pula menghalakan lensa kameranya pada si penjual bakso yang berpakaian sedemikian. Saya menggigit bibir, tersenyum menyorokkan malu. Inilah kenyataan yang perlu dihadapi negara Islam dunia. Pemerintah tempatan telah cuba membumikan budaya Islam, namun pengaruh global internet dan televisyen lebih cepat menular.

Lurus

Di depan kami terhidang pelbagai makanan yang menurut Kalsum tidak banyak bezanya dengan Malaysia. "Karipap ada, mi goreng ada, bihun ada, murtabak ada, kueh loyang, agar-agar, donut, pecal, tauhu..ah, semua ada di Malaysia!" beritahu Kalsum. "Ini ada?" Papa masuk ke dapur sambil menjinjit plastik es teler. Kalsum dan Hafsah mengerut dan berfikir. "Santan itu kita campurkan dengan air gula merah, sirap, kekacang, sagu, cendol, isi jagung, agar-agar, jeli dan buah nangka kemudian masukkan ais," terang saya. 'Oh! Di Malaysia namanya air batu campur atau ABC!" Jerit keduanya. "Makanya, kita hanya dibezakan oleh bahasa sahajalah," kata papa meletakkan es teler yang baru dibelinya di atas meja. Belum sempat saya memasukkannya ke dalam bekas, Hadi mencekau plastik es teler dan berlari masuk ke dalam biliknya. Saya menarik nafas dan berpandangan dengan papa. "Tak mengapa Cut, bukan rezeki kita, makanan lain masih banyak" pujuk Hafsah.

Saya senang melihat Hafsah dan Kalsum tidak kekok di hadapan papa. Pelbagai soalan ditanya mereka, dan pelbagai jawapan diberikan papa. "Kalsum, Hafsah, kamu berdua memang tidak wawancara orang yang salah, papa Cut ini pencenan profesor di Universiti Syiah Kuala. Dia mengajar mata kuliah Kenegaraan," kata saya menjelaskan siapa papa. Hafsah tersedak dan menutup mulutnya. "Kenapa? Kamu tak percaya ya?" saya menyuakan air kepada Hafsah. "Bagaimanalah nak percaya? Tengok sahajalah rumah profesor seperti taman binatang dan hanya guna motokar buruk tahun 70-an. Profesor di Malaysia sebaliknya bukan?" kata papa. Hafsah senyum mengiyakan kata-kata papa. "Papa Cut seorang yang lurus dalam kerjanya. Apa yang diterima, diambil. Yang bukan miliknya, tak akan disentuh. Motokar buruk di depan rumah tu, satu-satunya motokar yang papa guna sepanjang 30 tahun mengajar di universiti," kata saya. "Kesenangan di dunia ini tidak kekal ananda semua, yang penting di akhirat esok kita bahagia," kata papa.

Satu jeritan mengganggu perbualan kami. "Kamu nakal lagi, mama tak bagi minum es teler!" sayup suara mama dari bilik Hadi. Saya berpandangan dengan papa dan tersenyum pada teman-teman Malaysia. "Laku Hadi boleh bikin tsunami lagikan papa?" Papa mengangguk. Teman-teman ketawa.

Berani

Kapal apung seberat 3600 tan terdampar jauh dari lautan dibawa kemarahan tsunami. Apatah lagi seorang manusia atau seekor kerbau atau sebuah rumah? Namun, ada yang tidak ditelan oleh tsunami kerana belas kasihanNya. Sisa-sisa itu dapat menjadi benih baru menumbuhkan Aceh sekarang. Badai tsunami seolah-olah mengirimkan angin kemerdekaan bersamanya. Ia melenyapkan ketakutan, mengurangkan sengketa politik, dan turut bersama adalah simpati dunia terhadan insan Aceh yang masih berbaki. Tuhan telah menjatuhkan ar-Rahim-Nya ke dalam nurani manusia terpilih. Mereka telah menyuap kami dengan kemurahan dan simpati. Berterusan dan bertubi-tubi.

"Banyak pertubuhan dari Malaysia datang ke Aceh membina rumah-rumah anak yatim dan sekolah. Ya Allah, hormatku pada kalian hanya Tuhan yang tahu," kata saya mengesat air mata. "Pengorbanan Sultan Aceh mengislamkan Parameswara lebih besar, Alhamdulillah, umat Melayu Islam semuanya," balas Kalsum pula. Kami menjejaki pembangunan Aceh yang pesat. Hospital elit tajaan negara Jerman, taman perumahan tajaan negara Turki, bangunan universiti baru tajaan Kerajaan Arab Saudi dan... ah! banyak lagi.

Hafsah memeluk pinggang saya. Ada tompok kebimbangan di wajahnya ketika saya memotong lori dan motokar. Menjadi gadis Aceh bermakna menjadi pahlawan 'kereta', hanya itu satu-satunya kenderaan yang mempercepatkan kami ke tempat kerja. Ya! Kenderaan yang mampu dibeli oleh kebanyakan kami. "Jangan risaulah, para wanita di sini, cekalnya seperti lelaki." "Tapi ini jalan raya Cut, kemalangan tak kenal kawan atau musuh," kata Hafsah menguatkan pegangan. Saya menepuk tangannya. "Jangan takut, ini Cut Mutia, keturunan Cut Nyak Dien!" balas saya terus yakin meredah kesibukan Banda Aceh yang luar biasa selepas tsunami. "Patutlah Tsunami serang orang Aceh.." "Apa Hafsah?" tanya saya kurang jelas kata-kata Hafsah diganggu bunyi kenderaan. "Err... tak ada apa-apa. Allah SWT menurunkan ujian pada orang yang layak," balas Hafsah. Saya berasa disindir dan senyum sendiri.

Kanak-Kanak

"Malaysiee... jahat! jahat!" Terbeliak mata saya melihatkan Hadi mengejek Kalsum dan Hafsah yang baru melangkah ke dalam rumah. Saya mengetap bibir dan menarik tangan Hadi masuk ke dalam biliknya. "Serang Malaysie! Perang dengan Malaysie! Dush! Dush!" ejek Hadi lagi. saya mengutil telinganya.

"Masya-Allah, orang Malaysia itu saudara sebangsa dan seagama kita sayang. Jika kita perang dengan mereka, siapa lagi akan bantu kita kalau tsunami datang semula? Atau jika orang Inggeris jajah kita lagi? Hadi suka ramai musuh atau ramai kawan?" pujuk saya. "Tapi dia curi barang Hadi..." "Barang apa?" tanya saya pula. "Dia curi kakak dari Hadi. Mama pukul Hadi sebab orang Malaysie tuu.." Ya Allah..saya menepuk kepala sendiri dengan kelakuan Hadi yang keanakan.

Hafsah dan Kalsum tidak terusik dengan ejekan Hadi. Cuma saya dan mama berasa malu tidak menyediakan ruang yang selesa buat tetamu yang dianggap seperti saudara sendiri. "Tak apalah Cut, kami tak ambil hati. Lagipun Hadi insan istimewa, dia bercakap bukan dari hati dan akal yang sempurna. Orang yang sihat tak akan mengejek dan nak berperang sesama bangsa dan agamanya," pujuk Kalsum.

Tiba-tiba kami dikejutkan tangisan Hafsah. "Cum, Cut, pasport saya hilang!"

Es teler

Pagi raya yang sayu. Walaupun di wajah Kalsum dan Hafsah tampak ceria, saya maklum jauh di sudut hati mereka memendam gundah-gulana. Sayalah yang lebih rasa bersalah atas kehilangan pasport Hafsah. Saya yakin, ia terjatuh ketika saya memecut laju di tengah kota walaupun telah dipesan berkali-kali oleh Hafsah.

"Insya Allah, walaupun tak merancang berhari raya di Aceh, nampaknya ia tak jauh beza dengan Malaysia. Ada lontong, tapai dan..es teler!" kata Hafsah yang sudah jatuh cinta dengan es teler buatan mama. Papa mengisyaratkan saya pergi ke bilik Hadi.

"Malaysie..baik..baik.." kata Hadi sebaik Kalsum menghulurkan gelas es teler kepadanya. Hadi meneguk es teler dengan girang. Baju batik Jawa yang dipakainya comot dititis cairan manis es teler. Kalsum senyum dan merenung Hadi. "Cum teringatkan adik di rumah," balas Kalsum. Saya berjalan ke tingkap, menelan rasa bersalah dengan kata-kata Kalsum itu. Barang apakah yang boleh ditukar-ganti dengan benda sepenting pasport? Ya Allah.

"Hadiah untuk Malaysie, nah!" sua Hadi pada Kalsum yang duduk rapat di sisinya. Saya dan Kalsum terpana. Itukan pasport milik Hafsah?

"Hadiiiiiiii!" saya menarik telinganya kuat.

GLOSARI

1. Bandara - Bandar udara atau lapangan terbang

2. Kereta - bagi kebanyakan penduduk yang tinggal di Banda Aceh menggelarkan motosikal dengan perkataan kereta.

3. Labi-labi - van pengangkutan awam

Lemang Nan Sebatang

Oleh Nisah Haji Haron




Seronoknya di kampung"ESOK-ESOK bilo Busu dah tak ado, jangan cari sampai kubur! Meraung-raung: 'Busu, macam mano nak buek ni? Anak-anak sey nak makan. Den tak tahu nak buek!' Maso tu, Busu tak pek nak nolong do."

Suara itu masih gemersik di gegendang Angah. Suara Busunya. Susuk tubuh Busunya yang gempal itu juga terbayang-bayang di penjuru ingatan. Angah tahu, dialah anak buah kesayangan Busu. Setiap kali ayahnya membawa mereka sekeluarga pulang ke kampung, Angah tentunya yang paling riang - mendapat perhatian sepenuhnya daripada Busu.

Jarak umur mereka juga tidak berapa jauh. Hanya sepuluh tahun berbeza. Lalu, banyak rahsia kehidupan desa dan juga kota yang sama-sama dikongsi bersama-sama Angah dan Busu. Sebagai ibu saudara yang paling bongsu, Angah menganggap Busu seperti seorang kakak yang tidak pernah dimilikinya.

Tidak seperti abangnya, Angah lebih serasi dengan kehidupan di kampung. Dia akan susup-sasap masuk ke hutan belukar mencari rebung bersama-sama Busu; melihat-lihat anak-anak durian yang pernah mereka tanam di dusun Uwan dan mengecal ikan. Paling tidak pun, merebankan ayam dan angsa yang berkeliaran di halaman rumah apabila senja.

“Di kampung lebih adventure!” Angah pernah memberitahu abangnya. Pun, si abang hanya memuncungkan bibir dengan wajah bercemberut. Angah pun tidak pernah peduli dengan perbezaan minat masing-masing. Dia bahagia apabila dapat pulang ke kampung setiap kali tiba musim cuti sekolah. Malah, dia sanggup pulang awal ke kampung, jika ayahnya berkelapangan untuk menghantarnya terlebih dahulu. Kala meningkat usia, Angah sudah belajar pulang ke kampung menaiki bas, jika ayahnya tidak berkesempatan.

Akhirnya, menjadi satu rutin kepada Angah : penghujung Ramadan pastinya dihabiskan di kampung bersama-sama Uwan dan Busu. Biarlah ayah, ibu dan adik beradiknya yang lain tiba lewat. Angah pun berlagak seperti tuan rumah yang menyambut ketibaan keluarganya sendiri.

mun, itu secebis kisah bahagia dalam hidupnya sepuluh tahun yang lalu. Sudah lama nostalgia itu dipadamkan. Angah tidak ambil pusing lagi apa yang terjadi kepada anak-anak durian yang pernah ditanamnya dahulu bersama-sama Busu. Angah tidak peduli lagi kepada rebung-rebung yang sudah menjadi buluh. Biarlah ayam dan angsa Uwan tidak lagi tidur bereban. Angah sudah tidak mahu ambil tahu lagi.

Angah sudah cukup kecewa. Paling mencabar hati lelakinya, Busulah punca semua itu!

Menikam kalbu

“AYAH, marilah kita buat lemang. Ibu kata, ayah pandai buat. Adik nak tahu macam mana orang buat lemang.”

Permintaan itu datang daripada sepasang mata yang penuh mengharap. Angah merenung kembali dengan pandangan yang tenang. Permintaan itu bukanlah keterlaluan, tetapi bagaimana dia harus memberitahu anak dara suntinya itu bahawa hatinya sudah terkatup rapat. Segala apa yang pernah Busunya ajarkan dahulu, seolah-olah tidak mahu dibukanya kembali.

“Adik, nanti sehari sebelum pulang ke kampung ibu, kita belilah lemang banyak-banyak. Kita beli di Pasar Ramadan dekat Ampangan ataupun dekat Jalan Jelebu,” dia cuba berdalih.

“Beli dengan buat, tak samalah, ayah. Adik tengok gambar-gambar dalam internet, orang bakar lemang tu tak pula perlu kawasan luas-luas. Belakang rumah kita pun cukup, ayah. Ada blog yang Adik baca, buluh boleh kita beli di Pasar Tani. Nak yang siap dengan daun pisang sekali pun ada orang jual. Kalau malas nak perah santan, beli yang dah siap diperah pun boleh. Nanti kita singgahlah Pasar Tani Ampangan semasa hari mantai. Tentu ada!”

Ah! Anaknya yang seorang ini benar-benar mencabarnya kembali.

“Adik ni bercakap macam pernah buat lemang. Kalau macam tu, tak perlu ayah nak ajar. Adik memang dah tahu dari internet. Tengok sajalah di situ. Mungkin ada orang upload video cara-cara buat lemang sekali.”

“Kalau ada pun, takkan sama dengan pengalaman membuat sendiri, ayah,” anak gadis itu masih lagi belum kenal erti putus asa. “Manalah tahu, kalau saya ada anak nanti, anak saya pula yang hendak makan lemang dan minta saya buatkan. Macam mana saya nak tunjukkan? Kalau ayah sudah tak ada, takkan saya hendak menangis meraung-raung di kubur: ‘Ayah! Macam mana nak buat ni? Anak-anak saya nak makan. Saya tak tahu nak buat!’ Masa tu, Ayah tak dapat nak tolong saya!”

Berderau darahnya!

Persis sekali dengan kalimat yang pernah diucapkan Busu suatu masa dahulu. Cuma tanpa loghat daerah yang pekat di lidah Busunya. Namun, ertinya tidak lari.

Ah, apakah anaknya sendiri merupakan jelmaan Busu? Ketika isterinya sedang sarat mengandung anak bongsunya ini, kala itulah kekecewaan Angah terhadap Busunya memuncak. Selama sepuluh tahun usia perkahwinan, selama itu jugalah Angah tidak menjejakkan kaki ke kampung lagi. Hatinya benar-benar tertutup dengan apa yang Busu lakukan terhadapnya.

“Ayah, kita buat lemang ya!” anaknya masih lagi memujuk. Dia merenung anak mata puterinya dalam-dalam. Tanpa disedari, pandangan itu dibalas dengan renungan seakan-akan milik sepasang mata milik Busunya.

“Alah, rebus ketupat macam biasalah.”

Anak itu berlalu dengan langkah yang longlai. Dia menoleh ke arah bapanya sebelum menghilangkan diri ke ruang dapur. Tiada senyuman pada bibirnya.

Angah terpukul dengan rajuk anaknya. Ada sesuatu yang sama dengan rajuk Busunya. Dalam diam dia tertanya-tanya pada diri sendiri. Siapa sebenarnya yang merajuk antara dia dengan Busunya?

Yang tidak pulang-pulang ke kampung sejak sepuluh tahun dulu ialah dirinya. Yang cuba memujuk ialah Busunya. Namun, yang keras hati juga bukan orang lain - dirinya jua!

“Tanah nikan tanah adat, Angah. Memanglah turun pado anak perempuan. Kok tak ado anak sendiri, macam Busu ni ha, turun pado anak buah. Kau tu tak ado adik beradik perempuan. Jadi, tanah ni mesti turun pado Kak Long Halimah, sepupu kau yo!”

Angah mendengus. Sampai hati Busu, fikirnya. Dia yang penat-penat mengerjakan tanah itu. Dia yang susup-sasap mengekor Busu keluar masuk belukar di tanah itu. Sudahnya apabila pejam mata Busu kelak, tanah itu bakal diwarisi sepupu yang tidak pernah sekali pun menitik peluhnya di situ.

Hati mana yang boleh menerima kenyataan itu. Hatinya hancur apabila Busu mengumumkan yang tanah adat tidak boleh diturunkan kepada waris lelaki, walaupun kehendak itu suka sama suka.

“Ini tak adil. Busu tak adil! Adat ni lagi tak adil. Adat yang menguntungkan orang perempuan sahaja!”

Kala itu Busu cuba membalas, tetapi Angah enggan mendengarnya.

“Angah, memanglah tanah adat orang perempuan yang punya, tapi orang lelaki boleh guna. Nama busu atau Limah, sepupu kau tu dibubuh atas geran, tak jadi hal pun. Adat tak melarang kauambil faedahnya. Usahlah sempitkan akal tu!” Ketika pak long pula menerangkan, semuanya seperti angin lalu.

Nostalgia silam

MALAM itu Angah tidak dapat memicingkan mata. Kata-kata daripada anaknya, Busu dan pak long semuanya berbaur. Ada gerak rasa yang tidak mengamankan jiwa. Angah mengilas pandangan pada arloji hitam yang berlengkar di pergelangan tangannya.

Pukul 3.30 pagi!

Sudah lebih tiga jam dia resah di pembaringan setelah dia dan isteri bertadarus sebelum tidur. Sejam lagi mereka akan bersahur. Angah enggan melayan matanya, dia terus melangkah keluar.

Ada cahaya yang mencuri keluar dari kamar anaknya. Kamar yang tidak berkunci itu diketuk dan apabila tiada jawapan, Angah terus membukanya. Anaknya sudah terlena di atas katil. Mejanya berselerak. Lampu bilik dan komputer ribanya tidak dimatikan. Buku-buku sekolahnya beberapa buah terbuka. Angah hanya menggeleng.

Akibat tidak disentuh untuk sekian lama, perisian screensaver menjadi aktif. Gambar-gambar keluarga menjadi pilihan gadis kecil itu untuk menghiasi layar komputer ribanya secara bertukar ganti. Lama Angah merenung gambar-gambar itu, termasuklah beberapa keping gambar lama yang telah diimbas.

Sekeping gambar Angah dan Busu muncul. Gambar itu diambil pada hari pernikahannya. Busu merangkul Angah dari sisi. Bahu Angah seolah-olah tenggelam dalam pangkal lengan Busu yang gempal. Akrab sekali!

Sebak mengepung perasaan. Menitis air mata Angah pada ketika itu juga. Apalah ertinya sekeping tanah berbanding nostalgianya bersama-sama Busu. Dia cuba menyentuh gambar Busu pada skrin, tetapi gerakan tubuhnya menggoyangkan meja, lalu tetikus yang amat sensitif itu pun tergerak sama.

Angah terkejut apabila gambar dia dan Busu tiba-tiba hilang. Dia bagai baru dikejutkan. Komputer itu kembali menayangkan program yang masih lagi dihidupkan sebelum screensaver aktif.

Anaknya sedang mengarang e-mel kepada seseorang. Namun, e-mel itu masih lagi belum dikirimkan.

Elizabeth yang jauh di Gloucestershire,

Kau pernah bertanya tentang sejenis makanan yang dimasak di dalam buluh. Kami namakan lemang. Melemang ada falsafahnya kepada orang Melayu. Pulutnya adalah kejeleketan antara ahli keluarga. Pedas rendang boleh menguji ketahanan si pemakan, tetapi tanpa rasa pedas seolah-olah hilang nikmat hidup!

Lemak santan dapat melunakkan suasana tegang antara pulut. Ibarat orang yang lebih tua mencurah alir nasihat yang santun kepada anak muda yang berdarah panas. Bahkan kayu api yang membakar juga ada cerita di sebaliknya. Kalau mahu api marak menyala, kayunya mesti disilang-silangkan. Ibarat ahli keluarga bertingkah pendapat lalu dapat memarakkan lagi kemesraan antara keluarga.

Aku mahu bercerita tentang daun pisang yang berkorban supaya isi lemang tidak bercampur dengan dinding buluh yang bersembilu. Aku mahu juga bercerita tentang falsafah buluh yang hidup muafakat serumpun. Itulah kami yang mencintai adat dan budaya.

Sayangnya, aku hanya dapat bercerita tanpa mengalaminya sendiri.

E-mel itu terhenti di situ. Angah terkedu.

Ada yang belum langsai dalam penceritaan anaknya itu. Anaknya dapat mengutip falsafah yang dia sendiri tidak terpandang. Dia membaca kembali baris-baris awal e-mel itu.

“Pulutnya adalah kejeleketan antara ahli keluarga.”

Hatinya terusik. Ya, dia tidak dapat menipu diri sendiri. Cintanya kepada kampung halaman masih menyala di jiwa. Kasih sayangnya kepada Busu mana mungkin terpadam kerana di dalam adat, seorang ibu saudara itu tarafnya seperti ibu sendiri.

Rindunya membuak kembali kepada Busu seperti santan yang menggelegak di dalam buluh. Busu seperti buluh-buluh lemang itu. Layu apabila dibakar, tetapi tetap mempertahankan isinya. Busu penjaga adat seperti juga Limah dan waris-waris wanita yang lain di dalam sukunya.

Selepas sahur nanti Angah mahu membawa keluarganya pulang. Setelah usianya menghampiri setengah abad, dia faham erti melemang kini. Lemang bukan sekadar untuk dimakan. Di dalam lemang ada ukhwah. Dia jadi rindu untuk melemang walaupun sebatang cuma!

Info: Penulis

NISAH Haron, pengarang kelahiran Seremban ini, memilih menjadi pengarang sepenuh masa selepas menceburkan diri dalam bidang guaman bermula 1998 hingga 2006 adalah lulusan Sarjana Muda dan Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mencipta nama dalam dunia penulisan kreatif dengan menyelongkar genre fantasi sehingga cerpennya seperti Atlantis, Duniaku Duniamu, Annyss Sophilea dan Anugerah Amariss memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat bermula 1991 hingga 1993.

Sejak itu, beliau merangkul sejumlah hadiah sastera termasuk Hadiah Utusan-Public Bank 1996, Sayembara Cerpen Esso-Gapena Ke-10, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1996/1997

dan terbaru cerpennya, Aset Istiqamah, meraih tempat pertama Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-12 (2009).

Pengarang yang menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) pada 1993, turut mewakili negara ini sebagai peserta Bengkel Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera): Esei di Palembang, Indonesia pada 2004.

(www.annyss.blogspot.com)

Demi Lebaran

Oleh DilFroz Sayhalz

KAKI Lukman kaku. Selepas sahur malam itu dia terdengar ayah bercakap.

“Lukman duduk percuma sahaja di rumah ini. Bil air, api dan telefon tidak pernah dia tolong bayarkan. Anak tidak boleh diharap. Bini pun aku tanggung makan minumnya.”

Tekak Lukman yang baru dibasahi minuman terasa kering. Dia mengintai dari celah renggangan pintu. Dalam sinar lampu kalimantang di bilik ayah dia melihat Mak Jah memandang Pak Majid. Raut wajahnya murung.


“Ala sesuap nasi berapa sangatlah harganya. Lagipun Marissa buat semua kerja rumah. Kalah orang gaji. Kalau hendak menggaji pembantu bukan sahaja kena bayar, makan pakainya juga kita tanggung.” Suara Mak Jah perlahan.

“Awak tahu apa? Tidak sesen pun keluarkan duit. Saya yang membanting tulang seumur hidup. Perit rasanya. Jika Lukman bijak macam abangnya, tidaklah dia jadi buruh bandaraya. Boleh juga kita tumpang senang. Ini dia pula yang menumpang pada kita.”

“Ha Man, Subuh tadi Taufik telefon. Dia bilang, raya ini dia sekeluarga akan balik. Anak-anaknya ingin merasakan kemeriahan berhari raya di Malaysia. Selama ini cuma lihat siaran berita di sana.” Pak Majid memaklumkan kepada Lukman keesokan harinya. Mak Jah berkelibut di dapur bersama Marissa menyediakan juadah berbuka. Dia tidak hirau apa yang Pak Majid katakan kepada Lukman.

“Ayah hendak kaukosongkan bilik. Taufiq sekeluarga boleh tidur di situ nanti.” Pak Majid tidak memandang Lukman. “Ayah harap kau faham. Abang kau itu jurutera di London. Isterinya pula orang putih. Ayah bimbang keluarganya tidak selesa kalau penghuni rumah ini ramai.” Pak Majid membuka akhbar yang terletak di atas meja.

Selepas menyelak kuras-kuras bersaiz tabloid dan melihat sekilas gambar serta tajuk-tajuk besar sesebuah berita serta rencana Pak Majid bangun. Perlahan dia naik empat anak tangga yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu rumah separuh papan separuh batu di pinggir kota itu. Kediaman yang dibina hasil upah melakukan kerja-kerja tukang kayu dan ubahsuai rumah jiran tetangga dan penduduk di kampung itu.

Lukman tunduk. Tidak sepatah kata ditutur. Hatinya yang hancur bertambah luluh. Ayah sentiasa membandingkan Taufik dengan dirinya. “Sabarlah bang!” Itu yang mampu ditutur Marissa dalam senyap.“Saya akan tanyakan emak ayah jika boleh tumpangkan sementara kita mencari rumah.” Ayat-ayat tenang dilafaz Marissa seperti penawar memujuk jiwa tercalar Lukman.

Pendapatan sebagai buruh menyapu sampah di bandar raya Kuala Lumpur hanya melayakkan dia tinggal di rumah haram yang dibina sendiri atas tanah kerajaan, yang sudah pun dirobohkan oleh pihak berkuasa. Tidak pernah terlintas di atmanya berjauhan daripada kedua-dua orang tuanya yang kerap uzur. Fikirnya, jika tinggal sebumbung, sakit pening ayah dan ibu boleh juga dia dan isteri tengok-tengokkan terutama semasa puasa dan menyambut raya nanti. Tetapi bayangan Taufik abangnya begitu besar dan tebal melindung dia daripada pandangan kasih ayah.

“Sudahkah Lukman kosongkan bilik? Beberapa hari lagi Taufik sampai. Lebih cepat dia keluar, lebih bagus. Boleh dibersihkan bilik itu.” Pak Majid berjeda. “Taufik tidak macam Lukman. Dia bijak dan berpangkat besar. Gaji pun besar. Lukman pemalas. Tidak habis-habis bergantung pada orang tua.” Dari bilik sebelah Lukman dan Marissa menekup telinga mendengar sungutan Pak Majid. Marissa mengurut dada Lukman yang berombak kasar-kasar.

“Kau sudah cari rumah lain? Bila kau nak pindah? Abang kau tu akan sampai beberapa hari lagi. Ayah bukan apa, cuma ayah hendak anak bini Taufik selesa di rumah ini nanti.” Ujar Pak Majid apabila terpandang kelibat Lukman mundar-mandir di dapur. “Belum lagi ayah. Berilah saya sedikit masa.” Tanpa memandang orang tua itu, dia duduk di sudut meja. “Mengapa ayah selalu bandingkan abang dengan Taufik? Hina sangatkah abang di mata ayah?” Luahan hati dituju kepada isterinya. Keningnya berkerut. Hati yang mendongkol cuba dipujuk. ‘Seburuk-buruk ayah, dia tetap ayah aku,’ Bisikan itu menjadi penawar kepada luka di hati Lukman.

Pelangi petang melengkung di dada langit. Hujan panas turun merebas. Kedatangan Syawal hanya tinggal tiga hari. Pak Majid menemui Lukman yang terbaring atas katil dalam bilik. “Pindah sekarang juga!” tengkingnya, keras.

“Ayah,” Lukman tidak dapat meneruskan kata. Deraian air mata membasahi pipi. Marissa masuk berkemas. Dia cium tangan Mak Jah yang tidak berdaya melakukan sesuatu. Pak Majid menghilang entah ke mana. Dengan berbekalkan beg kembara digalas dibahu, Marissa bersama Lukman pulang ke rumah orang tuanya.

Seusai solat Tarawih di masjid, Pak Majid membuat pengumuman kepada semua jemaah. “Anak saya Taufik sudah berjaya. Dia menetap di London. Taufik akan pulang Hari Raya ini. Saya buat kenduri kecil-kecilan menyambut menantu. Al maklumlah, Taufik bertemu jodoh dengan orang putih di England. Jemput semua hadir pada malam raya kedua.” Bait-bait kemegahan tidak Pak Majid sembunyikan. “Jemput semua datang ya.” Senyum bangga terukir sentiasa.

Menjelang siang Pak Majid membersih dan membakar daun-daun kering yang gugur ditiup angin. Hatinya girang. Tidak sabar bertemu menantu berkulit putih itu. Sesekali dia terbayang anak-anak Taufik yang gebu, berhidung mancung dan bermata biru. Pasti dia bakal dipuji orang-orang kampung atas kejayaan Taufik menggapai impian dan bergaji besar pula.

Usia yang hampir mencecah tujuh puluh sembilan tahun membataskan segala pergerakan Pak Majid. Dia rebah di rumput berhampiran tangga rumah. Mujur Mak Jah yang berada di anjung terpandang. Bergegas dia turun mendapatkan Pak Majid yang sudah terbaring. Kepala Pak Majid dipangku. Kebetulan anak jiran yang melalui lorong di tepi pagar rumah diminta menelefon Lukman agar datang segera.

Sebaik mendengar nama Lukman, Pak Majid bersuara, “Jangan panggil Lukman. Taufik sampai malam ni. Biar dia uruskan semuanya.”

Namun Mak Jah tetap menelefon Lukman. Kelopak mata separuh tertutup itu tidak juga membenarkan Lukman menghampiri katilnya. Air diminumkan Lukman ke mulut juga ditepis. Melantun berguling-guling gelas plastik jatuh ke lantai.

Ketika takbir bergema Taufik bersama keluarga sampai. “Ayah, ini isteri saya Diya. Ini Dina, anak sulung. Ini pula Danial.” Taufik berdiri di sebelah katil Pak Majid.

Seperti tiupan angin lintang menerjah kencang, kaki tua yang bergegar getar berdiri tadi hampir-hampir rebah. Sempat dia memegang dua-dua tangan kerusi di sisi. Pak Majid terduduk. Mata redupnya tidak lekang merenung raut wajah Diya, Dina dan Danial. Rambut ikal halus lagi hitam serta hidung yang lebih pesek daripada hidung Lukman itu kini menusuk dadanya. Seperti diserang angin ahmar Pak Majid terkaku.

“Mana aku hendak letak muka jika orang kampung tahu nanti. Padanlah dia tidak pernah kirim gambar kahwinnya. Bila aku minta gambar anaknya juga tidak diberi.” Gumam Pak Majid sendirian apabila terbayang reaksi orang kampung ketika melihat menantu serta cucunya tidak seperti yang dihebohkannya.

”Tunjukkan bilik untuk anak cucu kita tidur.” Pak Majid memandang Mak Jah.

Taufik memandang Pak Majid. ”Tidak ayah. Kami sudah menempah hotel. Sekejap lagi kami akan ke sana.”

Mak Jah terkejut. Seakan hilang kesyahduan gema takbir dari masjid. ”Ayah kau sudah jemput jemaah untuk baca doa selamat menyambut kepulangan Taufik anak-beranak, malam esok. Tunggulah selepas selesai majlis.”

”Tak mengapalah mak, ayah, teruskanlah majlis itu. Kami letih. Hendak rehat.”

Mak Jah merenung Pak Majid. Dia mengharap suaminya berkata sesuatu. Namun Pak Majid memejamkan mata. Taufik merapati ayahanya. ”Kami pergi dulu ayah.” Dia menghulur tangan untuk bersalam.

Pak Majid tidak menjawab. Huluran tangan juga tidak disambut. Dia berpaling membelakangi Taufik. Diri yang selalu ceria berganti murung. Kejutan yang diberi Taufik benar-benar melemahkan semangat Pak Majid. Sepanjang hari dihabiskan dengan duduk di satu pojok tepi jendela. Pandangan dilemparkan ke jalan raya. Menunggu jika ada motosikal yang singgah. Sesekali pandangan dilesatkan pada kamar sepi yang sebelumnya didiami Lukman. Wajah Taufik kian temaram di mata tua Pak Majid.

“Man, ayah sakit! Dia tak lalu makan. Bawalah dia ke hospital.” Tersekat-sekat nada suara Mak Jah. Dia bimbang jika Lukman merajuk dengan sikap Pak Majid menghalaunya dari rumah. Jika Lukman merajuk memang munasabah. Namun Mak Jah seberapa boleh mahu Lukman kembali seperti biasa.

“Ayah sakit? Taufik kan ada? Ada masa nanti Man datang jenguk ayah.” Gagang telefon diletak. Lukman keberatan pulang. Hatinya pilu. Rasa kesal menebal dijiwa. Dia tidak wajar berasa hati atas segala tindakan ayahnya meminta dia mengosongkan bilik. Sepatutnya dia bersama-sama Marissa tidak menyusahkan ayah ibu buat selamanya.

”Tapi ayah kau perlu dibawa ke hospital. Tolonglah! Taufik datang jenguk sekejap sahaja. Tidak sampai sejam pun. Air pun tidak sempat minum. Anak isterinya mendesak supaya cepat pergi ke hotel. Mak tidak faham cakap orang putih. Kata Taufik anak isteri penat, hendak berehat. Lagipun rumah ini panas katanya, tidak ada penyaman udara.” Sedu-sedan Mak Jah menangkap pendengaran Taufik.

Lukman singgah sebentar petang itu untuk melihat keadaan ayahnya. Kehadirannya disambut Mak Jah dengan genang di tubir mata. Lukman terus masuk ke bilik menjenguk ayahnya yang enggan makan dan minum.

Gagang telefon diangkat. Lukman mendail nombor Taufik. “Abang, ayah sakit. Baliklah jenguk ayah buat seketika. Mana tahu abang tidak akan jumpa ...” Lembut nada Lukman tatkala mengkhabarkan keadaan Pak Majid yang seperti tiada harapan lagi.

“Perlukah abang pulang? Abang sekeluarga baru saja balik dari menziarahi ayah. Man, perbelanjaannya banyak jika balik lagi. Tolonglah faham! Kau buatlah apa yang patut. Hendak balik lagi, rasanya mungkin tidak. Sekarang di Malaysia wabak H1N1. Panas pula tu. Anak isteri abang tidak tahan. Bilik di rumah ayah pun kecil dan berbahang, tidak sesuai buat kami sekeluarga tinggal. Anak-anak abang biasa duduk seorang satu bilik dilengkapi alat pendingin udara.” Suara keras di hujung gagang menerjah gegendang Lukman. Telefon di genggaman Lukman hampir terjatuh.

Muram wajah Lukman seperti awan mengendung hujan. Pak Majid dan Mak Jah mendengar setiap butir percakapan Lukman dan Taufik.

“Lukman,” Pak Majid menggagahi diri bangun. Tangannya dihulur. “Minta Marissa masakkan bubur.” Dalam sebak dia merangkul Lukman seeratnya. Lukman membalas pelukan Pak Majid itu.

Ramai tetamu datang beraya sambil menziarahi Pak Majid. Lukman berdiri di jendela memandang suasana Lebaran di luar. Burung-burung terbang pulang ke sarang. Sepasang juga berkawan. Lukman rasa dialah burung-burung itu.

INFO:

DILFROZ Sayhals, nama pena bagi Dil Froz binti Sayed Halem Shah. Dilahirkan di Kepong Selangor. Pemegang Sarjana Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini berminat dalam penulisan cerpen, novel, puisi serta haiku. Bertugas sebagai pengurus pentadbiran di syarikat yang mengusahakan alat pemancar televisyen, di samping menjadi tutor di UiTM. Penulisan ilmiahnya pernah beberapa kali disiarkan dalam majalah kampus UiTM dan akhbar Kosmo. Cerpennya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana serta majalah. Dil Froz sedang menanti kelahiran novel sulungnya. Calon doktor falsafah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam, cergas dalam kerja kebajikan di sekitar Bandar Baru Bangi.

Kreatif: Ramadan Terakhir Di Kaherah

SATU“INI Ramadan terakhir kita!”

Empat ratus orang mahasiswa berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Al-Azhar Kaherah. Masing-masing menyarung abaya hitam yang disulam khas sempena Majlis Konvokesyen Graduan Mahasiswa Universiti Al-Azhar. Siapa yang tidak kenal pada Al-Azhar; universiti yang telah mencetak hampir berjuta-juta mahasiswa di bumi peradaban Islam ini. Kota sejarah yang terus sarat dengan ulama dan pemikir Islam terulung di dunia. Rata-rata mengakui bahawa Mesir merupakan kubu kuat pemerintahan dan pentadbiran jejak-jejak sirah Islam yang masyhur. Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al-Azhar.

Persiapan dan kelengkapan atur cara konvokesyen mahasiswa graduan Al-Azhar yang akan berlangsung sebentar lagi telah pun tersusun rapi. Tidak mungkin program besar sebegini berjaya tanpa bantuan tenaga daripada ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM); salah sebuah persatuan tertua di bumi Mesir ini. PMRAM yang sudah bertapak di bumi Mesir selama hampir lapan puluh tahun ini tidak pernah culas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan kepada semua mahasiswa di bumi Mesir.


Graduan dan graduanita sudah berpusu-pusu masuk ke dalam ruang dewan besar program. Walaupun tidak ditemani oleh kedua ibu-bapa, nikmat yang dikecapi bakal mewarnai dunia seorang wira dan wirawati sebagai seorang mahasiswa. Menjulang segulung sijil bernama ijazah sarjana muda sudah menjadi harapan semenjak mereka menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.

“Ini Ramadan terakhir kita di sini. Dunia permusafiran kita akan berakhir tidak lama lagi.” Aku memulakan bicara selepas mendapatkan kerusi di dalam dewan tersebut.

“Alangkah bertuahnya adik-adik kita masih mempunyai peluang menjamah hidangan ilmu yang disediakan oleh ulama-ulama di Masjid Al-Azhar. Mereka masih punya masa berbaki yang banyak, sedang kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia Mesir tidak lama lagi.” Nuaim yang berada di sebelah membalas.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tentang Al-Azhar. Aku saling bertukar-tukar pandangan terhadap dunia permukiman di Kota Kaherah yang akan berakhir tidak lama lagi. Barangkali air mata syahdu jikalau ditangiskan hanya menjadi air mata kering yang tidak bernyawa. Usah dikatakan peluang berguru dengan syeikh sudah tamat; malah keperluan untuk mengisi ruang menghafaz al-Quran juga sedikit sebanyak menjejaskan keadaan. Rata-rata mengakui bahawa peluang di negara sendiri amat tipis untuk mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih dekat. Malah, untuk mendapatkan fatwa secara langsung daripada Darul Ifta’; sebuah pusat fatwa terkemuka di Mesir juga bakal tergantung. Dunia akan terus berubah. Rutin harian juga bakal diwarnai dengan polemik kehidupan yang berbeza di Malaysia. Tanggungjawab yang bakal digalas juga akan lebih mencabar.

Ramadan ini sungguh asing bagi diriku. Tiada yang lebih istimewa daripada meneguk segelas rasa syukur duduk menetap di bumi asing. Siapa yang menyangka hidangan percuma di masjid-masjid sekitar Mesir menjadi hidangan harian untuk semua penduduk dan mahasiswa perantauan di kota bersejarah ini. Malah sebagai anak perantauan, mengisi waktu iftar di masjid-masjid sudah menjadi rutin biasa. Wang saku boleh disimpan untuk keperluan akan datang. Jimat.

Senja terakhir Ramadan, aku mengambil peluang berbuka di masjid berdekatan. Harapnya nanti Ramadan ini bakal disinari dengan cahaya gemerlapan bersama warga Arab Mesir.

“Kamu orang muda berasal daripada mana?”

“Malaysia.”

“Kamu sebaik-baik manusia di muka bumi ini.”

Orang Arab Mesir amat bermurah hati dengan segala pujian. Malah setiap tutur bicaranya dan kalam-kalam pujian dengan nama-nama Allah pasti akan meniti di bibir mereka. Sungguh Ramadan ini terasa kelainannya. Nikmat yang dikecapi, pengalaman yang dirasai, bakal menjadi hidangan sunyi pastinya selepas ini.

“Aku berbangga melihat kamu wahai anak. Sungguh cekal hatimu menuntut ilmu di sini.” Lelaki muda berdagu pandak itu mula menegur.

“Aku berhijrah ke sini kerana inginkan ilmu. Di sini imam mazhabku disemadikan.”

“As-Syafie?”

“Ya.”

“Aku mahu mendalami ilmu Tuhan ini dengan sebaik-baiknya. Tetapi, masaku dan kehidupanku sungguh terbatas. Aku akan meninggalkan kota ini tidak lama lagi. Ini Ramadan terakhir aku.”

Lelaki muda itu sedikit terperanjat.

“Kamu sudah lama di sini?”

Aku mengangguk tanda membenarkan percakapannya.

“Hampir lima tahun aku di sini. Aku melayari dunia pendidikan Islam yang paling gemilang. Aku ingin menjadi seorang ulama. Aku memahami bahawa tanggungjawabku untuk menjadi seorang pendakwah dan ulama adalah satu kewajipan yang amat besar. Tetapi aku takut akan segalanya.”

“Golongan yang tidak takut kepada Allah tidak boleh dianggap sebagai ulama. Barangkali orang muda sepertimu akan mencapai kejayaan insya-Allah. Aku mendoakan agar engkau bersama golongan orang-orang yang dipelihara Tuhan.” Lelaki itu cuba menerangkan.

“Wahai orang muda, aku harap engkau tidak tertipu dengan ilmu yang engkau ada hari ini.”

“Tertipu?”

“Orang yang berilmu boleh terpedaya dengan ilmunya. Bukankah engkau tidak mengetahui, dunia kini sering berkejar-kejaran. Barangkali mereka yang hebat menyampaikan itu, merekalah paling berilmu. Wahai anak muda, Imam Ghazali pernah menyatakan antara golongan yang terpedaya ialah ahli fekah yang menguasai ilmu ketaatan, tetapi tidak mengamalkannya. Sebahagian daripada mereka menguasai ilmu sehingga mereka mengenali perkara yang maksiat, tetapi mereka tidak menjauhinya.”

Aku kaget melihat lelaki muda itu. Barangkali sepanjang permukimanku di sini, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir aku mampu mendengar kata-kata ini diperdengarkan di cuping telingaku.

Tiba-tiba aku teringatkan Ahmed Yassin. Seorang teman sekuliah. Dia berasal dari bumi Iskandariah. Sebuah kota besar di utara negara Mesir. Pernah juga dia menasihatkan aku agar tidak terpedaya dengan segala ilmu yang telah tertanam di dalam diri seorang penuntut ilmu.

Aku memandang lelaki itu berulang-ulang kali. Tentunya ada maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya itu sebentar tadi.

DUA

“BULAN Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin dan papa.” Imam Masjid Al-Azhar menasihatkan melalui tazkirahnya pada malam Ramadan terakhir itu.

Lazimnya, semua masjid di sini tidak mengadakan solat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Selepas empat rakaat Tarawih, imam akan menyampaikan tazkirah bagi mengingatkan manusia tentang keperluan Ramadan dan hak-hak Ramadan.

Imam mengingatkan lagi bahawa, Islam bukan sesuatu yang mudah meletakkan nilai Ramadan. Malah, nilai ketakwaan merupakan dasar utama kejayaan sesebuah Ramadan dan pengertian puasa itu sendiri. Ramadan bukan sekadar mengosongkan perut daripada makan dan minum. Tetapi, lebih daripada itu Ramadan adalah bulan yang mengajar manusia sebagai hamba mengenal hakikat ketakwaan terhadap Tuhan sebagai pencipta.

“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan kepada Allah Taala dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah Taala, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” Imam menyandarkan beberapa hadis berhubung dengan Ramadan.

Aku mengumpul kekuatan pada akhir Ramadan. Takut-takut ini Ramadan yang terakhir di dalam kamus peribadi. Biarpun ini Ramadan terakhir di dataran Wadi Nil, aku lebih rela dan sanggup mengharungi makna yang tersirat di sebalik Ramadan dengan sebaiknya. Islam bukan mengajar menghayati makna Ramadan mengikut tempat, malah jika teman-temanku mengakrabi kekuatan Ramadan pastinya malamnya tidak akan renggang dengan solat-solat sunat yang memberikan ganjaran yang besar kepada pelaksananya.

Usai menyelesaikan kewajipan, aku segera pulang bersama teman-teman ke asrama tempat kami menginap. Beberapa teman-teman mempelawa singgah ke kedai makan dengan alasan ‘moreh’ katanya.

Kaherah menjanjikan malam Ramadan yang amat berlainan. Warganya berpusu-pusu mengisi peluang untuk menjamah makanan. Barangkali juga aku boleh sandarkan bahawa pesta bulan bagi mereka adalah bulan Ramadan. Jikalau di negara sendiri, pesta lelong baju dan pesta pakaian hari raya menjadi santapan muda-mudi, orang dewasa dan warga tua tetapi sungguh berlainan di sini.

Kota yang lebih menjanjikan kesetiaan, kemakmuran dan permuafakatan sesama ahli keluarga dengan berkumpul beramai-ramai di ruang-ruang legar kedai makan. Tentu juga kedai makan seperti As-Syabrawi, Abu Mazen dan El-Mo’men sungguh laku pada malam-malam Ramadan. Gerai-gerai tidak akan ditutup selagi azan Subuh tidak dilaungkan.

TIGA

“TUK. Tuk. Tuk. Tuk. Tuk.” Siapa yang mampu memejamkan mata tatkala bunyi cemeti kecil dipukul di atas tin kosong bersaiz besar itu mula bersuara. Lazimnya, ketika jam menunjukkan tepat dua pagi, bunyi itu mula bergema. Warga kota akan dikejutkan untuk bersahur. Juga, dalam musim panas sebegini keadaan pula memaksa mata berdiri gagah sehingga ke waktu Subuh. Tentu, waktu sahur terakhir ini kudrat yang ada tidak sama dengan kekuatan pada awal Ramadan.

Teman-teman serumah bergilir-gilir menunaikan tanggungjawab memasak. Barangkali, aku juga tidak ketinggalan melunaskan tugasan. Jika bukan aku yang menggalas beban memasak, pastinya peluang menunaikan qiamullail akan dilaksanakan.

Allah berfirman dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang Tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Qiamullail adalah kekuatan yang paling utama di dalam madrasah Ramadan. Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin bahawa qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik oleh Allah Taala untuk melaksanakannya. Namun, sebagai penguat zahir dan batin diri, aku berdoa moga-moga kekuatan yang masih berpuput tidak akan hilang dengan semangat yang tidak tetap, niat yang tidak kuat dan azam yang tidak kental.

EMPAT

ORANG dapur sudah memulakan rewang. Ada yang ditugaskan memotong bawang, mengupas kentang, memotong daging dan ayam. Semuanya atas dasar satu kesaksamaan; menyambut lebaran di perantauan yang tidak akan serupa menyambutnya di negara sendiri. Tiga tahun lalu, tatkala menyambut lebaran aku ditugaskan untuk menjadi penyambut tetamu. Namun, kini sebagai abang senior tugas itu dipundakkan kepada adik-adik baharu.

Suasana malam lebaran itu masih serupa dan sama dengan suasana sebelum ini. Kerjasama, bantuan dan semangat berpasukan teman-teman seangkatan tidak pernah luntur. Kami memahami tanggungjawab masing-masing. Yang Dipertua persatuan awal-awal lagi telah mengingatkan kami bahawa perpaduan dan kerjasama berpasukan itu dituntut di dalam Islam. Allah mengingatkan hambanya, bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.

Hari ini, kehidupan bekerjasama dan saling membantu kami rasai. Sejarah membuktikan bahawa ketika Perang Badar berlaku, umat Islam hanya mempunyai tiga ratus tiga belas orang berbanding musuh seramai seribu orang. Namun, atas dasar dan sikap tolong-menolong dan kefahaman mereka terhadap perintah Allah, maka kemenangan telah berpihak kepada umat Islam. Pengalaman sirah ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kami selaku mahasiswa Islam di perantauan.

Azan Maghrib berkumandang di udara. Gerombolan mahasiswa berpusu-pusu ke surau menjamah sebiji kurma dan terus menunaikan solat Maghrib. Usai menunaikan solat, takbir Syawal bergema di dalam dewan asrama. Laungan takbir, Allahu Akbar terus berulang-ulang mengingatkan kebesaran Allah.

Tatkala itu, air mata menjadi pinjaman sementara kepada seluruh mahasiswa. Terkenang yang jauh, merindui keluarga dan sahabat handai di negara sendiri sudah mengakrabi diri. Kini, tugas menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar menjadi seorang murabbi kepada bangsa, agama, masyarakat dan negara merupakan keperluan yang utama. Dan, amanah itu bakal digalas selepas ini.

“Kita sudah tiba di akhir Ramadan.” Nuaim mengingatkan.

INFO: SYAFIQ Zulakifli yang lahir pada 8 Ogos 1985 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif dan bergiat dalam genre puisi dan cerpen. Karyanya pernah mendapat tempat dalam media arus perdana seperti Berita Minggu, Majalah Fokus SPM, Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia. Kini menuntut di Kaherah, Mesir dan pernah mengikuti Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara.

Cinta Rembulan Ramadan

Oleh Farahana Hussain




Air Mata Subuh

BERGELAR isteri. Saya tidak pernah membayangkan saya akan menurut sahaja saranan Walid. Saranan Walid, yang lebih tepat, sebagai satu permintaan dan suruhan seorang bapa kepada anaknya. Sebagai anak, saya mahu jadi anak yang solehah. Apabila Walid menyuarakan dalam nada tegas dan sebak sambil memandang Ummi tunak, saya senyum.

“Izinkan saya, beristikharah dulu?” Pohon saya pada Walid.


Walid hanya mengangguk. Ummi senyum dan mengusap ubun kepala saya. Saya rasa dengan bertanya pada Dia sahaja akan memberikan saya ketenangan dan semoga jawapan saya kepada Walid dan Ummi dipandu oleh bimbingan Tuhan kepada bisikan hati saya. Akal saya cuba mencerna, mampukah saya memikul amanah Walid dalam usia semuda ini? Muda, bukan saya kira menggunakan angka kelahiran. Saya muda, masih pucuk hijau dalam ilmu agama dan cetek pengetahuan hal ehwal rumah tangga. Tapi, Walid dan Ummi yang menerima risikan daripada keluarga lelaki semalam. Mereka melihat saya sudah cukup bersedia daripada segenap segi. Saya melihat refleksi diri dari cermin di bilik tidur. Saya tahu, saya bukan lagi gadis yang sama seperti 10 tahun lalu. Walid dan Ummi hendak mengangkat martabat saya. Walid, wali mujbir yang punya kuasa menyatukan saya dengan mana-mana lelaki pilihannya, selagi tidak mendatangkan mudarat kepada saya, jika menurut mazhab Syafie. Persetujuan saya ini hanyalah budi bicara Walid, sedangkan Walid mempunyai kuasa menikahkan saya dengan mana-mana sahaja lelaki pilihannya. Tetapi Walid, bapa yang berilmu dan lembut hatinya. Walid tidak memaksa. Akhirnya, selepas 3 kali beristikharah. Dada saya lapang tanpa dihimpit perasaan berat. Sewaktu bangun menyiapkan juadah sahur, saya memberikan persetujuan.

“Alhamdulillah.”

Walid senyum lebar dan saya lihat di kolam mata Ummi ada genangan air mata. Walid mengetuai doa dan mengingatkan niat untuk berpuasa esok hari. Sebaik azan Subuh bergema, Walid mengetuai solat Subuh. Tazkirah Walid di pagi subuh hari ini, menyentuh mengenai taqqarub di bulan Ramadan.

Farhana Hussain

Untung Buah Melaka

“Air tangan isteri yang mengikat cinta suami dan air tangan ibu akan mengekalkan kasih sayang anak kepada ibunya.” Ujar Ummi sambil memeriksa kelapa yang sedang dikukus.

Saya masih membulat-bulatkan adunan kuih buah Melaka, sambil meletakkan sedikit gula merah yang dikacip sebesar setengah biji guli. Kuih buah Melaka yang juga dikenali sebagai onde-onde itu selalu Ummi golekkan dengan kelapa kukus supaya tidak mudah basi. Teringat pula, saya dengan seorang kawan yang memanggil kuih ini dengan nama kekoh car. Saya terus senyum sendiri, kelucuan.

“Amboi, anak Ummi. Sambil memasak senyum sendiri. Seri pengantin dah naik ke mukalah tu.”

Usikan Ummi cepat saya sanggah dan saya ceritakan apa yang membuat saya tersenyum sendiri. “Kekoh car? Peliknya, Ummi tahu namanya buah Melaka saja. Paling penting, Walid suka makan, anak kesayangan Ummi pandai masakkan dan ada lagi ... satu yang penting ..,” Ummi senyum sambil menjungkitkan kening tanda menyuruh saya menghabiskan ayatnya.

“Apa lagi? Giliran saya mengerutkan dahi.

“Bakal menantu Ummi, khabarnya penggemar buah Melaka.”

Saya tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Hendak senyumkah atau saya diserbu malu. Hari ini keluarga pihak lelaki akan datang berbuka di rumah kami. Saya tahu, risikan keluarga lelaki diterima bersyarat gantung dengan persetujuan saya. Hari ini, tentu rancangan pertunangan akan diusulkan. Entah kenapa hati saya tiba-tiba jadi berdebar. Semacam takut dan jantung saya berdenyut lebih laju daripada biasa. Bukan! Bukan! Saya tidak diserang, penyakit cinta. Saya khuatir, saya bukan pilihan terbaik untuk bakal suami dan lebih khuatir jika saya bukan pilihan hatinya, tapi sekadar pilihan keluarganya.

“Mengelamun pula. Tolong Ummi.” Pinta Ummi lembut kepada saya untuk membantunya menyerahkan bahan masakan kepadanya. Saya bangun dan segera membersihkan sisa tepung di tangan.

“Tak apa, Ummi. Biar, saya yang uruskan semuanya.”

“Oh, anak Ummi nak tunjuk bakat pada bakal keluarga baru, ya? Bagus juga, ikat hati bakal suami dengan keluarga mentua dengan air tangan sendiri. Ummi setuju.” Ummi menepuk bahu saya lembut. Kami menyediakan lauk sederhana untuk keluarga kecil yang bakal bertandang. Keluarga pihak lelaki datang berempat, bakal suami, ibu, ayah dan kembar perempuan bakal suami. Kuih buah Melaka, kegemaran Walid dan tetamu yang dijemput. Lauk ikan masak cuka kegemaran Ummi, gulai lemak ketam dan sambal udang tempoyak berserta ulaman. Bubur sarang lebah dan kuih buah Melaka sebagai pencuci mulut. Air jambu batu dengan asam boi dan teh madu suam turut kami sediakan meraikan tetamu untuk iftar di rumah kami.

Usai terawih diimamkan bakal suami, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dengar, Walid memanggil namanya, Ilham sewaktu meminta dia ke hadapan mengimamkan solat. Bacaannya dalam solatnya lancar , merdu dan sederhana panjang menjadikan selesa untuk semua jemaah yang mengikutinya. Ayah Ilham yang diperkenalkan sebagai Pak Hamzah meminta izin supaya saya berpeluang berbual-bual sendirian dengan Ilham di halaman rumah. Kolam ikan kecil dengan deru air terjun menjadi teman. Saudara kembar Ilham, Ghafirah tersenyum mengusulkan saya mengikuti Ilham keluar selepas Walid mengizinkan. Saya hanya mengikut. Ilham, kini saya lihat secara jelas fizikalnya. Rambutnya kemas disisir dan dipotong rapi. Oh, saya tidak ada peluang berlama-lama menatap rupa fizikalnya kerana sebaik sahaja dia mempelawa saya duduk, saya tidak berani menatap wajahnya.

“Awak, syaitan kena ikatkan bulan puasa macam ni?”

Saya melongo. Saya betul-betul hendak ketawa, tapi bimbang dikatakan kurang sopan. Tidak menyangka sama sekali saya akan disapa perbualan perkenalan selucu itu.

“Kenapa muka awak merah, awak malu ya?” Ilham cuba memecahkan suasana tidak mesra kami.

“Bukan. Bukan. Saya geli hati sebab ditanya soalan macam tu. Saya fikir awak akan soal sesuatu yang formal.” Balas saya.

“Oh, saya nak cakap sebenarnya. Tak apalah kita berdua-duaan ni, sebab syaitan yang ketiga daripada kita berdua tak ada. Kan?”

“Ke situ pula.”

“Maaflah, saya gurau saja. Harap-harap supaya rupa saya yang garang ni tak membuat awak berubah fikiran daripada menerima pinangan saya.”

Saya tidak terkejut dengan sangkaannya sendiri. Apabila dia menganjurkan bahawa riak wajahnya yang garang, itu ada kebenarannya. Fizikalnya, dia terlalu tinggi dan berbadan sasa. Mukanya serius dan jika dia berlelucon pun, dia tidak ketawa. Tapi saya dapat rasa wajahnya bersih dan saya tidak menerima pinangannya kerana fizikal, jadi tidak ada masalah bagi saya walau apapun rupa parasnya. Saya tahu, pilihan Walid tentu yang terbaik.

“Nama saya Ilham Hanafi Hamzah. Umur saya 30 tahun. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Bioteknologi. Saya hafaz 5 juzuk al-Quran sedang berusaha untuk hafaz lebih lagi. Apa lagi yang perlu awak tahu, ya?”

“Tak apa, insya-Allah panjang lagi masa kita berkenalan. Saya terima, awak seadanya. Saya harap awak, juga terima saya seadanya. Oh, ya kalau tak keberatan, apa pekerjaan awak?” Saya berharap dia lebih tenang dan tidak rasa tergesa-gesa memperkenalkan dirinya pada saya. Cukuplah saya mengetahui, dia pilihan Walid dan saya pilihan ibu bapanya. Tentu kami sekufu pada mata kedua-dua orang tua. Penyesuaian? Biarlah kami pelajari perlahan-lahan dalam alam rumah tangga kelak.

“Walid, tak beritahu awak pekerjaan saya?”

“Tidak, saya pun tak bertanya pada Walid. Selepas istikharah, saya setuju saja. Nama awak pun, saya baru tahu hari ni.”

“Oh ....” Ujar Ilham, tanpa menjawab pertanyaan saya.

Dugaan Pertama

SAYA tidak berubah fikiran apabila mengetahui pekerjaannya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika saya mengagak daripada bentuk tubuhnya yang kelihatan tegap. Biasa saja pekerjaannya, yang selalu menjadi cita-cita kebanyakan murid di sekolah dahulu dan di universiti, masih ada anak didik saya yang menyimpan cita-cita yang sama. Polis. Cuma yang luar biasa, apabila dia mengkhabarkan sifat pekerjaannya di lapangan. Dia jujur memberitahu, saya akan selalu ditinggalkan kerana urusan kerja dan pekerjaannya bahaya. Raut muka saya sedikit berubah, saya tidak tahu dunia kerjanya. Walid seorang pendidik dan Ummi pula seorang psikiatris. Dunia pekerjaan keluarga saya, adalah pendidikan dan ilmu jiwa. Tidak ada ahli keluarga kami yang berkhidmat dalam angkatan tentera mahupun polis. Sewaktu dilihatnya muka saya berubah, dia menganjurkan saya berfikir semula.

“Tak apa, saya faham. Sebagai pensyarah memberikan awak peluang berjumpa dengan lebih banyak yang calon sekufu. Mereka yang dunianya buku, ilmu dan penyelidikan. Saya tak terkejut kalau awak berubah fikiran.” Ilham menarik nafas dalam, saya perasan suaranya tertekan dalam talian. Saya tidak tahu, kenapa saya pula merasa bahawa dia sengaja mencipta jurang. Ada lompang dalam hati saya mengatakan mungkin dia ada pilihan lain, namun mahu mengkambinghitamkan saya, supaya saya yang menolak pinangannya. Tapi itu tidak akan saya lakukan. Saya akan menyahut seruan hati bergelar isteri.

Terbongkar Rahsia

KAU kekasihku/tapi orang lain bagiku/kau dengan dirimu saja/kau dengan duniamu saja/teruskanlah/teruskanlah kau begitu.

Sudah genap seminggu kami dijabkabul, sempena nuzul Quran. Bait lagu dendangan Agnes Monica penyanyi dari seberang seakan mengena ke batang hidung saya. Saya cuba menumpukan perhatian pada pemanduan, namun bayangan Ilham Hanafi, yang saya jumpa dua minggu lepas kini selamat bergelar suami bermain di minda. Sayalah yang menelan semua kepahitan, sedang baru seminggu berumahtangga. Penyesuaian. Saya perlu banyak bersabar. Sesudah selesai memberi kuliah saya cepat pulang mengejar peluang menyediakan juadah berbuka, kata nasihat Ummi berkesan di hati. Kalau suami merasa air tangan isteri itu akan mengikat kasih sayang kami.

“Berbuka sekali ya? Izzah ada masakkan ....?” Saya menelefon Ilham sedang tangan cekatan menyediakan makanan kegemarannya. Kuih buah Melaka.

“Kerja ni. Nanti abang telefon semula.” Jawapan ringkas yang saya terima sebelum sempat menghabiskan kata-kata. Talian terus dimatikan. Seloyang kuih buah Melaka yang belum disalut kelapa terlepas dari pegangan tangan dan terburai intinya. Lantai di dapur kotor dengan inti gula Melaka yang mencair. Saya menangis. Hati saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya berdebar-debar.

Pernahkah kau bicara/tapi tak didengar/tak dianggap/sama sekali/pernahkah kau tak salah/tapi disalahkan/tak diberi/kesempatan/

Saya matikan radio di dapur yang sedang memutarkan lagu Teruskanlah. Saya ke bilik air, mengambil wuduk. Hanya pada Dia saya mengadu, apakah saya telah tersalah pilih jalan hidup saya? Ketika menyimpan al-Quran dalam laci, saya menjumpai sampul surat putih tertulis nama saya. Nur Izzah Ain Hayati. Saya kira, ini tulisan Ilham Hanafi. Saya tidak peduli, saya rakus hendak membacanya.

“Buat isteri yang abang kasihi. Abang berdoa dikurniakan seorang isteri solehah dan abang mendapatkan Izzah, kurniaan Allah. Tapi abang bimbang menzalimimu. Lalu abang ragu apabila kita bersua. Abang tahu abang akan selalu melukakan daripada memberi kebahagiaan. Banyak belum sempat diceritakan. Sesungguhnya demi keselamatan Izzah lebih sedikit pengetahuan Izzah tentang kerja abang, lebih selamat dan baik untuk Izzah. Bulan ini, abang menyertai operasi membanteras pengedaran dadah dan betul-betul sibuk. Doakan abang.

Bukankah ada pepatah Melayu menyebut, sayangkan anak ditangan-tangankan, sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan. Jadi abang, tinggal-tinggalkan Izzah. Abang tahu, tindakan abang macam badut, mesti Izzah sedang ketawa sambil mengesat air mata. Sekejap abang berlawak, sekejap abang serius. Bersedialah Izzah kerana buat masa ini itulah cabaran yang akan kita tangani bersama. Perkahwinan satu perkongsian dan buat masa ini penyesuaian kita memerlukan perkongsian persefahaman, fahamilah dan terimalah abang, seadanya”

Saya menggeleng-geleng dan memang saya ketawa. Saya fikir saya perlu banyak belajar bagaimana dia boleh membuat saya ketawa hanya dengan tulisannya. ‘Sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan?’ Mungkin ada banyak benarnya pepatah Melayu, kerana dengan ditinggalkan saya belajar merindui ketiadaan dan menghargai setiap kehadirannya. Saya duduk dan menghidupkan suis televisyen.

“Berita Semasa - Seorang pegawai polis cedera parah dalam kejadian tembak menembak dengan penjenayah, disyaki pengedar dadah di ibu kota kira-kira sejam yang lalu. Kita bersama wartawan di lokasi untuk mendapatkan berita terkini.” Saya tutup televisyen, tidak mahu mendengar berita ngeri di petang bulan Ramadan yang patutnya damai dan menenangkan. Tinggal beberapa jam sebelum waktu berbuka. Saya diserbu gelisah, teringat kuih buah Melaka yang terburai isinya di dapur. Segera membayangkan Ilham Hanafi. ‘Tuhan, jauhkan saya dari prasangka.’, bisik hati kecil saya berdoa. Saya terduduk dengan perkhabaran daripada rakan sekerjanya. Namun, saya gagahkan diri. Tentu Ilham memerlukan saya.

“Kami perlukan penderma darah, luka di bahagian abdomen suami Puan parah. Bekalan darah di bulan Ramadan memang terhad.” Ujar petugas di hospital pada saya. Saya hanya dengar perkataan berdesing masuk ke telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Buku rekod derma darah saya bawa bersama, saya biasa menderma darah secara tetap empat bulan sekali. Hendak saja saya suruh petugas itu sedut semua darah yang diperlukan, tapi saya tahu dengan berat 46 kg, saya hanya mampu memberikan Ilham 350 ml darah. Saya berharap Ilham diberi keutamaan memandangkan saya penderma darah dan dia cedera dalam tugasan. Saya dikhabarkan peluru mengenai intestine kecil Ilham dan juga hampir mengenai hati. Lima das semuanya. Saya tidak mahu mendengar lebih lanjut. Saya mahu Ilham dibekalkan darah dengan segera. Azan berkumandang, saya berbuka puasa dengan segera dan cepat-cepat menghulurkan lengan kiri untuk proses menderma darah. Tiba-tiba sekeliling saya gelap.

“Rehat sayang, Izzah pitam tadi.” Ummi ada di sebelah Walid mengusap pipi saya.

“Ilham?”

“Alhamdulillah stabil. Terima kasih, Izzah.” Ujar bapa dan ibu mentua dengan rasa hormat. Saya masih pening lalat. Ramadan menemukan saya dengan cinta, kasih sayang dan pengorbanan. Semua kemanisan yang saya kecapi dari kemurahan Allah yang melimpahkan ujian, rezeki dan umur yang panjang buat kami sekeluarga di bulan yang mulia ini.

Info penulis

FARHANA Hussain, Pelajar Tahun Satu, Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia adalah penerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Perak 2004 dan mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Cerpennya, Kidung Kasih Farah, diterbitkan dalam Antologi Aku Dan Aleeya terbitan DBP, 2002. Cerpen dan sajaknya, mendapat tempat dalam Tunas Cipta dan FOKUS SPM sejak 2002. Mula menerobosi media arus perdana seperti Berita Minggu dengan sajak bertema kekeluargaan seperti Puisi Buat Abah dan Buat Anak-Anak; Belajarlah Mengerti. Boleh dihubungi melalui e-mel farahnyemahmulya@yahoo.com

Kematian YB Kampung Bahagia

BERIKUT adalah catatan peristiwa berikutan kematian seorang YB di Kampung Bahagia. Suasana sugul dan suram menyelubungi kediaman Yang Berhormat Datuk Haji Polan berikutan pemergian arwah tepat jam 12.00 tengah malam semalam.

Kematiannya yang tidak dijangka dan diduga benar-benar memeranjatkan bukan sahaja ahli keluarga, malah keseluruhan warga Kampung Bahagia. Datuk YB bukanlah seorang yang asing bagi kebanyakan penduduk di Kampung Bahagia. Menjadi seorang wakil rakyat, Datuk YB telah mengabdikan diri untuk menyampaikan masalah penduduk untuk perhatian mereka-mereka yang bertanggungjawab.

Suara lantang Datuk YB didengar lantang menggegar Dewan, acap kali mengundang kontroversi dan mendapat liputan meluas oleh semua media. Seperti di satu ketika, Datuk YB telah membangkitkan isu tanah kediaman milik penduduk India yang diambil bagi pembinaan laluan keretapi laju negara. Datuk YB dengan tegas menyelar pihak berkuasa yang menindas penduduk India, dengan memaksa mereka menyerahkan semula tanah (yang telah diberi oleh kerajaan juga atas hasil keceluparan Datuk YB) pada harga yang amat rendah. Percakaran di antara pihak berkuasa dan juga Datuk YB mendapat liputan yang meluas, sehingga semua proses pembinaan keretapi itu terpaksa dihentikan. Perbincangan di antara pihak kerajaan dan penduduk India Kampung Bahagia (atau lebih tepat Estet Kampung Bahagia), yang rata-rata merupakan penoreh getah yang bekerja di estet, masih lagi berlangsung tanpa kata putus walaupun telah berulangkali bertemu dan perkara ini berlarutan selama tiga tahun.

Seawal jam 8.00 pagi, perkarangan banglo lima tingkat Datuk YB telah dikerumuni oleh warga penduduk yang turut bersedih dengan pemergian Datuk YB. Di satu sudut, berkumpul keluarga-keluarga dari masyarakat India (kesemua mereka tuan tanah yang mahu diambil ) yang jelas menangisi pemergian YB. Di satu sudut yang lain, berkumpul tauke-tauke yang rancak membincangkan masalah yang menyelebungi mereka, dan semakin rumit dengan pemergian Datuk YB ke rahmatullah. Perbincangan mereka rancak berkisar tentang hasrat mereka mendapatkan bantuan kerajaan untuk membina bangunan baru di sebuah sekolah Cina di tengah Pekan Bahagia. Permintaan ini diajukan kepada kerajaan, melalui suara lantang Datuk YB yang mahu bangunan lama (yang telah wujud sejak dari zaman penjajah Inggeris) yang menunggu hari mahu runtuh, supaya diganti dengan bangunan baharu dan dibina secepat mungkin.

Tepat jam 8.45 pagi, isteri Datuk YB yang ketiga menerima panggilan yang mengejutkan dirinya sendiri. Panggilan dari pejabat menteri itu memberitahu bahawa YB Menteri akan turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada YB Kampung Bahagia. Perkembangan terbaru ini membangkitkan sedikit keriuhan di kalangan ahli keluarga terdekat YB, yang tergopoh-gapah menelefon katerer untuk menyiapkan makanan yang sedap-sedap untuk menyambut ketibaan tetamu kehormat yang tidak diundang. Pada ketika ini, sukar untuk ditafsirkan sama ada mereka (ahli keluarga Datuk YB, terutamanya isteri ketiga YB) bersedih atau bergembira dengan berita kedatangan YB Menteri itu. Satu-satunya orang yang dapat dipastikan keadaannya adalah Datin, isteri pertama YB yang ditemani isteri kedua YB yang dari tengah malam semalam setia duduk di sebelah katil yang menempatkan tubuh kaku Datuk YB, terus tekun membaca surah Yassin, sambil dari masa ke semasa menitiskan air mata dan tersedu-sedu kesedihan. Mungkin kerana status Datin sebagai isteri yang paling sulung, segala urusan pengebumian telah diserahkan secara bulat-bulat kepada isteri kedua dan ketiga, anak sulungnya yang baru menjejakkan kaki di sebuah menara gading dan beberapa pembantu dan teman setia YB yang setia bersama YB semenjak dari hari pertama YB melangkah masuk ke dunia politik. Oleh itu, berikutan kunjungan hormat YB Menteri , satu mesyuarat tergempar telah diadakan di antara pengurus-pengurus ini.

Mengebumikan

Kesemua mencapai kata sepakat untuk mengebumikan YB kesayangan Kampung Bahagia itu selepas Zohor, dan bukan sebelum Zohor seperti yang dipersetujui oleh mereka semua sebelum ini. Selain itu, isteri ketiga dan teman-teman setia YB telah ditugaskan untuk menguruskan ketibaan, makan minum dan segalanya yang melibatkan YB Menteri. Urusan jenazah dan lain-lain yang berkaitan tentang jenazah akan diuruskan oleh anak sulung YB dengan bantuan pembantu-pembantu YB. Kesemua keputusan yang telah dibuat ini, dilaporkan kepada Datin yang hanya mengangguk lemah dan terus dipujuk oleh isteri kedua Datuk YB.

Sementara itu, perkarangan rumah Datuk YB terus menerima tetamu dari kalangan penduduk Kampung Bahagia. Jumlah tetamu yang ramai, bertambah-tambah berikutan berita kedatangan YB Menteri yang dijangkakan akan tiba pada jam 12.00 tengah hari nanti. Tepat jam 11.00 pagi, keadaan tetamu-tetamu di luar halaman rumah Datuk YB sedikit riuh dengan kedatangan wartawan-wartawan media cetak dan elektronik yang membuat liputan pemergian Allahyarham Datuk YB. Wartawan-wartawan dari stesen-stesen tv mula merakamkan perkembangan terkini yang turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Hampir kesemua mereka melaporkan kesedihan, suasana sugul dan muram yang dapat mereka rasai di kalangan para tetamu yang semakin ramai. Keadaan ini adalah amat berbeza sewaktu pemergian Tok Wan Timah, salah seorang penduduk awal Kampung Bahagia. Berita kematian Tok Wan Timah, yang terlibat dalam satu kecelakaan jalan raya amat mengejutkan hampir kesemua komuniti Melayu di Kampung Bahagia. Lebih menyedihkan, peristiwa ini berlaku dalam bulan Ramadan tahun lalu. Ironiknya, tragedi ini bermula dengan usaha Datuk YB yang tidak pernah kenal penat, mendapatkan pelbagai kemudahan awam telah diberikan kepada penduduk Kampung Bahagia, yang ternyata telah berjaya meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Pembangunan pesat Kampung Bahagia, mendorong Datuk YB untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan, di mana jalan raya yang dahulunya satu lorong, telah diperbesarkan kepada dua lorong.

Kemudahan ini, telah berjaya menarik pemandu-pemandu lori yang menghantar barangan dari utara ke selatan negara untuk menggunakan jalan sepanjang Kampung Bahagia, sebagai jalan alternatif untuk mengurangkan kos membayar tol. Dengan itu, kedai-kedai makan dan tempat-tempat rehat di sepanjang Kampung Bahagia menerima rahmat rezeki yang melimpah ruah dan menguntungkan. Pun begitu, kehadiran pemandu-pemandu ini juga mendatangkan satu masalah kepada kesemua penduduk di Kampung Bahagia.

Dek kerana ini, hampir kesemua penduduk kampung sentiasa dilanda dengan kisah-kisah kemalangan yang tak pernah kunjung selesai. Dan mangsa yang terkini, tak lain dan tak bukan Tok Wan Timah. Diberitakan, Tok Wan Timah sedang dalam perjalanan pulang dari surau, yang terletak di seberang rumahnya. Kerana usia Tok Wan Timah yang lanjut, langkah yang mampu diatur adalah sedikit perlahan dibanding dengan Tok Wan Timah yang pernah menembak mati lima orang komunis di Kampung Bahru di Pekan Bahagia satu masa dulu. Langkah yang perlahan, dan lori-lori yang gagah dan laju ini menjadi sebab kepada gugurnya pahlawan tempatan ini.

Suasana muram yang menyelubungi kediaman Datuk YB kini mula diselubungi panas terik matahari yang tak pernah segan dan silu menjalankan tugasnya. Dan apabila tegak sahaja matahari di tengah langit, ia disambut dengan kedatangan seorang pemimpin yang dinanti-nanti. YB Menteri menyambut kesemua tangan yang dihulur untuk bersalaman. Kesemua hadirin yang hadir ada di perkarangan rumah Allahyarham Datuk YB tak kira Melayu, Cina, atau India bagai terlupa niat kehadiran mereka, dan berebut-rebut untuk memegang tangan YB Menteri (atau sekurang-kurangnya merasa ditolak ke tepi oleh pengawal peribadi YB menteri). Kesemua ini dilakukan supaya akan ada cerita yang boleh diwariskan pada anak-anak dan cucu-cucu. Hati YB Menteri menjadi pilu melihat Datin yang sebak membaca surah Yasin, mendoakan semoga arwah suaminya di tempatkan bersama-sama mereka yang soleh. YB Menteri lalu berlutut, dan dan cuba memujuk dengan menyatakan bahawa semua ini dugaan dari Allah. Tidak dapat dinyatakan di sini sama ada Datin mendengar dan memberi perhatian kepada kata-kata YB Menteri itu, kerana sepanjang perbualan di antara mereka, Datin hanya tunduk dengan sekali sekala tersedu-sedu menahan sebak. Setibanya di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahagia, konvoi YB Menteri dikejutkan oleh segerombolan kumpulan manusia yang membanjiri tanah perkuburan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin yang mereka sayangi (tak kurang juga mereka yang hadir untuk menyaksikan YB Menteri dengan mata kepala mereka sendiri). Setelah itu, jenazah diturunkan daripada pengusung dan dibawa terus ke tempat persemadian yang akhir.

Kesemua hadirin yang hadir bersama-sama dengan rombongan YAB menteri turun menyusul di belakang YB Menteri untuk bersama-sama menghadiri upacara pengebumian YB kesayangan mereka. Sejurus sampai ke kuburan, terlihat satu kumpulan manusia yang telah siap sedia menjalankan tugas mereka yang sudah turun menurun mereka lakukan. Kebanyakan dari mereka adalah orang Kampung Bahagia yang telah mengabdikan hampir separuh abad usia mereka menguruskan jenazah-jenazah dari Kampung Bahagia dan kampung berhampiran. Kesemua mereka telah bersedia mengambil tempat di belakang van, untuk membawa jenazah YB ke perjalanannya yang terakhir. Sambil diperhatikan oleh YB menteri, kesemua mereka dengan penuh semangat bergilir-gilir memangku keranda yang mengandungi Allahyarham YB terus ke lot kubur yang telah ditetapkan. Penggunaan ‘lot’ dalam pengurusan tanah perkuburan di Kampung Bahagia bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara ini juga adalah cadangan daripada Allahyarham YB bagi memaksimumkan tanah, dan bagi mewujudkan satu sistem penjagaan yang lebih teratur. Dan sesuai dengan pengaruh dan jasa yang telah ditaburkan, tempat persemadian YB adalah hampir dengan pintu masuk ke tanah perkuburan itu bagi memudahkan pelawat-pelawat menziarahi pusara YB di masa-masa hadapan. (Tidak seperti Tok Wan Timah, yang mana lotnya berada betul-betul di hujung tapak tanah perkuburan, hampir tidak diendahkan berdasarkan kepada tinggi lalang yang semakin meninggi).

Menimbus

Pergerakan menimbus dilakukan dengan cermat dan tangkas, di mana meraka yang di atas akan menolak tanah masuk ke dalam liang dan pemuda yang masih berada di dalam liang pula akan memastikan tanah yang dimasukkan semula itu masuk sama rata, di setiap ruang tanah yang telah dikorek.

Pada waktu ni juga, terdengar tangisan sedih dari isteri-isteri, dan anak-anak Datuk YB yang kini berpelukkan antara satu sama lain. Tak lama kemudian, pemuda-pemuda yang berada di dalam liang pun keluar setelah menjalankan tugas mereka memastikan tanah yang diturunkan dimasukkan sama rata. Mereka yang lain, yang ditugaskan untuk menarik dan memasukkan tanah semula ke dalam liang masih lagi terus setia menjalankan tugas mereka, sehingga habis kesemua tanah yang tadinya membusut tinggi dimasukkan semula menutupi liang YB.

Setelah selesai, satu tikar yang lain dihamparkan bersebelahan kuburan YB, di mana Ustaz Hj. Ismail, imam Kampung Bahagia mengambil tempat di hadapan sekali, diikuti oleh YB menteri dan anak sulung Datuk YB, dan seterusnya saudara-saudara lelaki Datuk YB yang terdekat. Menyedari keadaan yang agak bising, YAB Menteri memohon bantuan dari pengawal peribadinya untuk mengawal dan menenteramkan hadirin yang hadir.

Sesudah menghadiri majlis arwah Datuk YB, satu sidang akhbar teah diadakan di perkarangan banglo Allahyarham Datuk YB. Sidang akhbar itu, yang dipengerusikan oleh YB Menteri menyatakan bahawa satu pilihan raya akan diadakan dalam masa empat belas hari lagi bagi memilih pengganti Datuk YB Kampung Bahagia yang baharu. Selain itu, YB Menteri telah mengumumkan satu projek perumahan baru bagi menempatkan penduduk estet Kampung Bahagia, selain memberikan mereka pampasan yang sesuai.

Selain itu, beberapa bangunan baru bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Cina akan dibina mulai minggu hadapan. Dan untuk memperingati jasa Tok Wan Timah membunuh lima orang komunis ketika zaman darurat, Tok Wan Timah akan diberikan penghormatan sebagai wira negara, dan akan diberikan gelaran Datuk.

Sehampar ambal tabriz

I
AMBAL berwarna terang yang disangkut di dinding ruang tamu bercat pic, kutatap tanpa berkedip. Kubetulkan letak kaca mata supaya ruang pandangku lebih jelas.

Beg pakaian yang kusandang, berlapik blaus oren berbunga halus dan selendang warna senada, tiba-tiba terasa berat. Ceria yang menguasai diri sejak melihat mata Su Aida selepas tiga tahun tidak bersua di Lapangan Terbang Bayan Lepas, hilang begitu sahaja.

Entah bagaimana ambal ini menghias manis ruang tamu kediaman Su Aida. Dadaku berdebar-debar menelah, meskipun keyakinanku begitu tebal mengatakan itu ambal buatan tangan gaya Tabriz. Kuteliti warna latar krim yang menonjol dominan, disertai imej turanj di bahagian tengah dan motif bunga-bungaan dan dedaun paut-memaut di bahagian tepi, arabesque yang sering mencairkan jiwa para peminat seni Islam. Gah mempesona kehalusan tangan penenun oriental yang cekal, mengikat simpulan demi simpulan benang raj, adakala sehingga beratus jumlahnya dalam setiap inci persegi. Celupan warnanya sedaya upaya memiliki warna alam - biru tua meminjam warna nila pekat, krim meminjam warna bunga teluki, hijau meminjam warna daun, coklat meminjam warna kayu serta tiga rona merah daripada gelap sehingga terang; warna bunga-bungaan. Pesona mata dan hiburan nurani sekaligus.

Mataku akhirnya beralih separuh enggan meneliti tanda nama pembuat ambal itu. Tersenggeng pada sisi vertikal sebelah kiri dalam kaligrafi Nasta‘liq. Alif. Jim. Aku terkesima. Tidak mungkin dia. Aku cuba menolak sangka yang mungkin sekadar kebetulan. Bukan namanya sahaja dalam dunia ini berpangkalkan A dan J, walaupun hubungannya dengan ambal dan Tabriz mengecilkan kebarangkalian itu.

Ya Tuhan!

Nafas berat mengasak dadaku serta-merta. Kurasakan seolah-olah seluruh wajah yang akhir-akhir ini semakin mencengkung dek kesibukan projek pameran seni bina Islam terhenti alir darahnya. Mungkinkah suatu kebetulan boleh menyusup sedekat ini ke dalam hidup? Misteri apa ambal Tabriz ini muncul di Bayan Lepas di kediaman Su Aida, ibu saudaraku?

Sesusuk bayangan pemuda sederhana gempal meliuk-lentuk dalam jemala ingatan. Alisnya yang tebal melintang tirus atas sepasang mata coklat, hidungnya yang mancung tinggi tipikal lelaki Parsi dan bibirnya yang tipis merah; muncul bagaikan fatamorgana di tengah gurun gersang. Ali. Ali Jamshid. Di mana agaknya pemuda Tabriz penenun ambal yang kuanggap benteng budaya itu sekarang? Batinku benar terganggu oleh ambal 4 x 6 kaki, kini di depan mata. Kakiku yang bersarung celana denim biru tua membeku antara anak-anak tangga, terbius oleh sebuah kebetulan atau entah sebuah jawapan.

“Razwina, mari Su tunjukkan bilik.” Kubungkus semula memori lama kembali ke ruang kenangan, lalu kuhayun langkah menuju suara lunak Su Aida di bilik tetamu yang telah dihiasi ros merah dan baby breath segar. Namun sang bunga tidak dapat menawanku kembali daripada gangguan sebentang ambal Iran di dinding pic Su Aida. “Nampaknya Su sudah jadi peminat kesenian Islam sekarang. Dari siapa ambal istimewa di dinding sana agaknya?" Akhirnya terlantun juga dari kotak suaraku sebuah pertanyaan, tanda mengalah kepada rasa ingin tahu atau mungkin intuisi halus yang membuak-buak.

Bibir bergincu Su Aida tersenyum sambil menuturkan jawapan yang serba membingungkan, menyauh debar lebih dalam ke dasar jantung. “Hmmm . . . kurator kesenian Islam seorang ini pantang melihat hasil seni. Tetapi cerita ambal istimewa itu, lebih pantas kita dengar dari pemiliknya. Di lapangan terbang besok, biar Naili rungkaikan semua.” Warasku beranjak dipagut resah. Su Aida barangkali dapat melihat riak halus di tasik perasaanku. “Cerita kamu? Su lihat kamu sudah banyak berubah. Barangkali sejak menyertai Muzium Kesenian Islam itukah?"

Aku pasti Su Aida mengisyaratkan perwatakanku dan pakaianku yang kini lebih sopan tenang, berbeza denganku dahulu yang riuh, lantang dan tanpa tudung, meskipun bergelar penuntut universiti Islam. Kutenung mata Su Aida sambil menarik selarik senyum penuh makna.

II

Kubikel belajarku di tingkat empat perpustakaan bukan gempa bumi petang itu, tetapi gempa wacana. Kemunculan Ali Jamshid dengan salam bertenaga menamatkan pertapaanku melayan rasa tidak puas hati tentang keputusan pasukan debat. Konon mahu menjernihkan fikir dan rasaku. Bagiku, menikmati seni reka Islam bangunan universiti kami di perlembahan Gombak jauh lebih mengubat hati. Tenang dataran masjid dan gerak-geri para penuntut meraup air wuduk di pili kolah umum, menyuburkan cambah hujah meskipun wajahku membias kecewa.

“Ada pengakuanmu dahulu, bukan? Katamu kau lebih akrab dengan nama-nama Van Gogh, Toulouse-Lautrec, Canaletto dan Gauguin, daripada mesra dengan barisan nama Qutbah, Al-Hayyaj atau adik-beradik Al-Sijzi?”

“Jadi salahku apa? Itu hanya pernyataan tulusku, Ali, dalam perbualan santai bilik persatuan. Maklumlah, aku tidak lahir dalam keluarga penenun ambal dan aku bukan pakar manuskrip!" Hangat hatiku payah sekali dingin. Kedudukanku sebagai pendebat kedua telah diberikan kepada Ali di pertandingan akhir ini, meskipun dalam pusingan terdahulu aku pernah menyandang gelar pendebat terbaik sebanyak dua kali. Itulah tuah Ali yang selama ini diam di kerusi belakang pendebat simpanan.

Alasannya remeh amat; hanya kerana dia pelajar konservasi manuskrip Arab dengan latar belakang keluarga pembuat ambal eksotik Iran. Lalu dimuktamadkan, dia pasti akan lebih menjiwai debat ini. Berbanding aku. Alasannya lagi, aku dari aliran humanistik sejarah, manakala bapaku adalah pemilik butik seni moden aliran Barat, yang cenderung melihat seni Islam itu feminin dan kurang nilai intelektualnya. Betapa prejudis. Kini, baki tiga hari sebelum bertarung hujah dengan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pencadang isu “Kesenian Islam Masih Relevan dan Perlu Diberi Nafas Baru oleh Generasi Muda Islam” berasa kurang ertinya.

“Dengar dulu, Wina. Kamu tidak salah sedikit pun. Bagiku, kedudukanmu umpama anak angsa putih, yang menganggap itik hitam itulah ibumu, semata-mata kerana itik hitam itu yang mula-mula kau pandang sebaik menetas. Tetapi jangan kau lupa, kau sentiasa boleh mencari ibu sejatimu! Sudah tentu, sama ada kau anak itik hitam atau angsa putih, bergantung dalam kelompok mana kau berada.” Aku menanggapi patah-patah kata Ali dengan kekaguman yang kusembunyikan. Sayup-sayup hatiku mengakui pemuda Iran ini, dari bangsa pengagung para penyair, mampu menyihirku dengan tutur bicaranya. Namun sayang sekali, apa gunanya pandangan Ali? Sudah tentu tidak dapat merubah prejudis para jurulatih terhadap latar belakangku.

“Bersedia sahaja, ya Wina. Siapa tahu rencana Allah di sebalik rencana kita?" Begitu pesannya sebelum melangkah meninggalkanku di kubikel. Bibir tipisnya mengorak senyum paling manis sejak empat bulan kami saling melontar idea dan kritikan di medan latihan debat.

Malam sebelum debat itu berlangsung, malam latihan terakhir di bilik persatuan untuk merumuskan keupayaan kami di pentas sebenar, pecah kecoh dalam pasukan kami. Ali tiba-tiba diserang flu keras dan demam. Dia memakai baju panas mendatangi latihan dengan wajah merah oleh suhu tinggi, dan akhirnya rencana Allah menukar peranan kami kembali.

Kuperas jawapan Ali habis-habisan selepas universiti kami menjadi juara debat keesokannya. Ali mengaku tulus, demam jasmaninya itu memang dicarinya sendiri, asal dapat menyisih kemuraman yang merajai wajahku. “Demamku bahang kasih, Wina.” Guraunya penuh makna. Dia menatapku sungguh-sungguh, sampai aku jadi malu.

Sejak saat itu, ambal persahabatanku dan seorang Ali Jamshid bukan lagi dari bebenang kapas biasa, tetapi dari bebenang sutera yang disimpul erat jalinan kasih. Dia menuntunku sebagai anak angsa putih – ya, dia dalam kelompok yang menganggapku angsa putih – menemui ibuku yang sejati.

“Kita wajib meneroka kembali khazanah kesenian Islam selama seribu tahun yang telah dipisahkan daripada kita, Wina.” Begitu dalam perjalanan cita, kami sama-sama belajar menikmati seni menuju amanatnya yang tertinggi, gerbang ke lorong cinta Ilahi. Kami percaya pintu hidayah tidak semata-mata terbuka dengan pedang, tetapi juga dengan seni.

Bukan namanya kasih sejati jika tidak melahirkan pemberani yang sanggup menerima tanggungjawab daripada wali seorang gadis. Begitu Ali yang kukenal, dia memang seorang pahlawan seni, juga pahlawan cinta. Ayah menyambut Ali dingin sekali pada cuti semester tahun akhir itu, sekadar memenuhi syarat memuliakan tamu, namun Ali rela menadah amarah dan merendah diri. Betapa suasana tenang di rumah kemudiannya huru-hara oleh taufan ayah.

“Tidak ada anak gadis ayah akan menikahi Syiah, faham? Dan tidak sekali-kali anak penenun ambal itu.” Kata-kata itu seperti guilotin memotong leherku. Aku hulurkan pada ayah segala rasional yang kutahu. Syiah atau Sunni itu wujud hanya gara-gara percakaran politik dunia Islam. Kedua-duanya masih Muslim. Sunni atau Syiah, darah kedua-duanya masih tidak halal untuk ditumpah. Aku petik fatwa Al-Azhar. Aku petik pandangan Muhammad Mahdi Akef. Aku berjuang untuk Ali dan janji kami. Lalu kutunggu hati panas ayah menyejuk, berdoa dan bersabar dalam sujud, tepu harap.

Hari penuh sejarah itu, selepas lima bulan kami merayu dan memujuk tanpa jemu, ayah menurunkan cap mohor atas kasih kami. Restunya bersyarat. Ali meraup wajah tanda syukur di sofa ruang tamu, memantapkan hatiku sungguh-sungguh bahawa cabaran ayah itu bakal dapat dipenuhinya. “Hanya sehampar ambal, Wina. Aku akan menenun yang paling cantik. Ambal cita kita!"

Begitu akhirnya Ali kembali ke Tabriz, demi melaksanakan syarat ayah. Tunggu aku, rayunya. Namun, sejak itu juga aku tidak pernah menemui Ali. Sehabis daya kuhubunginya. Sistem pesanan ringkas, telefon, mel elektronik dan hubungan masa sebenar dunia maya kekal sepi. Demi menghidupkan bara ingatan padanya di dupa hati, kukejar gelar kurator Muzium Kesenian Islam hingga berhasil. Kucari raut wajahnya antara para pengunjung muzium saban tahun. Kucari raut wajahnya dalam pameran antarabangsa di negara-negara persinggahanku. Kupegang janjinya menenun sehampar ambal lambang cita kami. Bertahun-tahun kutunggu.

III

Mataku tertancap ke arah sesusuk tubuh tinggi lampai yang baharu keluar dari pintu balai ketibaan Lapangan Terbang Bayan Lepas. Itulah susuk tubuh yang kukenal sejak kecil, Naili Sukma. Kucari-cari tampang lelaki Iran sederhana gempal yang kubayangkan akan berjalan tegap di sampingnya, namun mataku menjamah wajah dan badan seorang pemuda yang terlalu berbeza.

Sewaktu Naili dan pemuda itu kian menghampiri aku dan Su Aida dari celah-celah kumpulan manusia dan tumpukan bagasi penumpang lain, hatiku bagai luruh dari dada ke lantai lapangan terbang. Kakiku meliuk seperti ilalang, hanya kekuatan semangat sahaja menyekatku daripada tumbang. Aku tatap sepenuh hati lelaki yang kini tepat berada di hadapanku, berdiri di sisi Naili dengan senyuman. Dia benar-benar lelaki itu, yang kutunggu sepenuh jiwa.

Namun dia bukan lagi Aliku yang dahulu. Ali Jamshid yang menghilang dalam wujud yang sempurna. Bahagian kiri wajahnya telah diparuti kesan luka, dan sebelah rongga matanya telah kosong dari alat indera lihat, hanya ditutupi kulit kelopak mata yang berkeriput oleh parut bekas jahitan. Syukur sekali sebelah mata coklatnya masih berfungsi, dan mata itulah memberi tanda dia mengenaliku - ada manik basah muncul di tubirnya. Bibir tipis Ali pantas menyebut namaku tanpa keliru. Naili dan Su Aida bertukar pandang, kebingungan. Kubiarkan.

Kuamati tubuh Ali yang kurus sekali di sebalik kemeja kuning berlengan panjang. Empangan air mataku musnah sewaktu kusedar tangannya kini tidak lagi sepasang. Sebelah kakinya juga, kelihatan kerdil oleh kecacatan. Mindaku berlari antara garis mimpi dan realiti yang berpilin kusut.

Malam itu di banglo pinggir Bayan Lepas, lima tahun yang hilang antara aku dan Ali menjadi seperti dongeng. “Selepas kudengar ISESCO mengumumkan negaramu sebagai Kota Kebudayaan Islam, cita-citaku yang bertahun-tahun dingin oleh kecelakaan bom di Mashhad hangat semula. Kufikir jalan pembebasan diri dari menyesali takdirku biarlah dengan memburu sarjana sejarah dan peradaban Islam di Exeter. Di sanalah kujual ambal itu kepada Naili, sebelum kami bersahabat dan aku bertandang ke mari. Bukan tidak mengenangmu dan janjiku, tapi aku bukan lagi Ali yang dulu.”

Pandangan kami yang bersatu beralih menatap ambal yang digantung manis di ruang tamu. Sehampar ambal tenunan cita, yang sempat disudahi Ali sebelum melawat saudaranya di Mashhad. Tiada lagi hutang janji antara kami, hanya keinginan melangkah seiringan ke gapura cita.

“Jangan biar apapun merobohkan bentengmu lagi, Ali!”

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.