Al Burj

(1)
PAGI Muharam telah pecah di horizon. Kesekian kali jasad bermusafir di suatu ruang asing. Kesekian kali minda di ulit kelainan yang luar biasa.

Simbiosis sekali di tengah ruang. Saujana mata memandang di pagi musim dingin. Tahun baru. Dasawarsa baru. Kurun 21.

Warna-warna padang pasir yang bangkit dari tidur membentuk satu lukisan indah. Panorama alam dari percikan mentari yang bangkit di timur. Satu sambutan melankolik di luar kehidupan digital yang melebar globalisasi dan tiba-tiba tanpa wi-fi dan jaringan telekomunikasi. Telefon bimbit dan Internet mati di padang pasir. Janggal tetapi menyenangkan minda. Tidak tergambarkan perasaan dilontar kesyahduan.

Beralih penumpuan pada semerbak bau gurun dari ruang kosong. Bau yang merentas sentuhan rohani. Menguasai suasana yang tenang. Waktu seakan terhenti. Semuanya terhenti dalam alun-alun gelombang bukit-bukau pasir yang mengelilingi. Ada bukit pasir yang setinggi pencakar langit, ada sebesar bangunan, sehebat piramid. Malah sehebat gunung-ganang.

Mencengkam pandangan. Indahnya keajaiban ciptaan Allah SWT. Kerdilnya diri di antara makhluk yang tidak pernah jemu berzikir. Makhluk yang memerangkap satu keinsafan bertalu.

Mata terpegun mengamati landskap yang berubah warna mengikut pasir dan limpahan mentari. Sebuah lukisan terpampang yang hidup di layar alam. Catatan yang menggambar seribu ilusi. Foto yang bercerita ribuan hikayat kemanusiaan dan peradaban. Mengasyikkan untuk membaca dari roh imej-imej yang melantun dari semua arah.

Semuanya bertaluan menggamit kesyukuran. Refleksi masa lalu pun singgah, menghuni emosi. Jauh perjalanan menambah pengalaman. Mengutip ilmu dari perjalanan yang semakin singkat ke destinasi hayat.

Seketika dalam menghela nafas, saya berdiri untuk meninjau sesuatu yang seakan kemilau. Mencorak prisma cahaya dari balikan sesuatu yang menerpa. Nipis serakan melantun bersinar ke anak mata. Berbalam dari kejauhan.

Lantas spontan tertanya-tanya apakah gerangan itu. Mengerling ke arah Jamal di tepi khemah dengan seekor unta, sahabat yang menjadi hos di lembah padang pasir UAE. Sahabat yang beriya-iya memujuk saya menyambut tahun baru di sebuah gurun. Entah di mana kami berada. Tiada GPS untuk menentukan lokasi koordinat.

Teringat pembacaan mengenai kembara Wilfred Thesiger yang pernah menjelajah padang pasir Empty Quarter dan menaiki unta dari Abu Dhabi ke Dubai sekitar 1948 dahulu. Lelaki berani itu berkawan dengan kaum Badwi untuk survival. Catatannya menjadi bahan sejarah. Sesuatu yang berharga. Orang Badwi masih menjadi sebahagian dari padang pasir yang sebahagiannya kini ternyata berubah di mana-mana. Berubah mengikut zaman dan kekayaan melimpah hasil petroleum yang disedut dari bawah padang pasir.

Sesungguhnya keramahan orang Badwi masih tidak lupus walau ramai mereka sudah menjadi penghuni kota dan bertukar kehidupan. Walau ramai dari mereka tidak lagi menunggang unta yang bertukar dengan kereta mewah dan sport menjalar. Kemah berganti vila tersergam dalam tembok batu bagai penjara.

Petrol dan gas menukar habitat dan kehidupan mereka dalam dua dekad. Termasuk generasi kedua seperti Jamal yang masih mahu pulang ke padang pasir untuk menikmati warisan keturunan. Kata Jamal, sesekali menjadi Badwi padang pasir yang tinggal dalam khemah, menunggang unta dan menikmati alam semula jadi, tanpa kemodenan yang turut membawa pelbagai gejala. Termasuk lupa daratan dan lupa asal usul.

Begitulah pagi itu, Jamal, hanya berpakaian jubah seperti seorang Badwi nomad walau semalamnya lengkap bersut sewaktu di satu majlis di Dubai, tersenyum.

Hanya kami berdua di ruang gurun terbentang. Datang dengan kenderaan pacuan empat roda yang di parkir agak jauh. Itulah satu-satu imej peradaban moden yang seakan ganjil antara makhluk lain yang merapat mesra. Mesra dan santun menyapa hati seorang Melayu perantau. Melayu yang sudah lama tidak bercakap bahasa Melayu.

Jamal seakan tahu apa yang sedang mendesah berada di fikiran saya. Tetapi suaranya seakan mengejek. Tidak sekali berbangga dan tidak megah apabila menjawab soalan di minda.

“Itulah Al Burj, bangunan tertinggi di dunia, 80 km dari sini!”

(2)

Saya bukan seorang arkeologis. Tetapi berminat dengan kajian mereka yang menggali kesan sejarah untuk mendapat maklumat dan bahan sejarah untuk pengetahuan. Kebetulan Jamal juga sama berminat. Kami pertama kali bertemu di piramid Gaza. Sama-sama mengagumi binaan manusia yang menghampar keangkuhan silam ribuan tahun. Lawatan yang menyerlah simbol kehebatan manusia yang sisa-sisanya memberi pengajaran.

Dari piramid kami meneroka lain-lain peninggalan peradaban termasuk piramid kaum Mayan di Amerika Selatan. Kali akhir sebelum ke padang pasir Abu Dhabi, kami bersama menjejak Menara Babel yang disahkan arkeologis wujud 3,000 tahun sebelum Masehi. Dikatakan berdiri setinggi 90 meter yang didirikan di Babylon, kota yang pernah wujud antara Sungai Tigris dan Eufrat.

Ironi, menara pencakar langit beralih kedudukan tertinggi dari benua ke Amerika, berligar di Asia sebelum kembali ke padang pasir. Ke tanah Arab yang dihuni kaum Badwi.

Putaran yang melengkapkan perjalanan usia dunia. Pelbagai bangsa merebut takhta pembina menara tertinggi. Mengejar imej dan ikon yang tidak pernah surut kerana naluri kemanusiaan yang juga saling mahu menyaingi demi kemegahan dan maruah nasionalisme.

Tidak juga mengejutkan kalau menara tertinggi di padang pasir semenanjung Arab dibina oleh kaum Badwi yang mungkin pencakar langit tertinggi yang terakhir. Kaum Badwi yang sedekad lalu masih ramai hidup nomad dan menjadi pengembala kambing.

“Itu bukan kebetulan!” Jamal berkata sambil menikmati teh panas. “Bukankah itu tanda-tanda akhir zaman seperti yang pernah disebut dalam hadis Nabi SAW?”

Saya mengangguk perlahan. Pernah mendengar mengenai hadis tersebut. Hanya tidak pernah membaca dan memahami sepenuhnya. Memang saya bukan dari mereka yang berminat dan ambil tahu. Terlalu sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan hobi, tidak semestinya mengikut susunan begitu. Tidak banyak peduli mengenai sirah. Sekadar tahu dari pelajaran di sekolah dan pembacaan di Internet.

“Kau tahu, kemuncak pembinaan Al Burj, seramai 14 ribu pekerja pada satu-satu masa. Pekerja dari 45 buah negara dan bercakap 35 bahasa, itulah globalisasi dalam aksi selama 95 juta jam dengan komponen-komponen dari seluruh pelosok dunia untuk mendirikan ikon dengan konkrit 45 ribu meter padu, seberat 110,000 tan dan menelan hampir lima bilion dolar... duit pinjaman!”

Jamal meneruskan perbualan santai di padang pasir yang masih kosong. Alun-alun bukit pasir terus mengelilingi. Angin menderu memberi udara segar yang nyaman. Memang tenang sekali. Hanya kami berdua di suasana petang mengasyikan di sebuah padang pasir emiriah Abu Dhabi yang bersempadan dengan Dubai. Dua emiriah dalam satu persekutuan yang saling bersaing. Yang nampak seiring tetapi menurut Jamal sendiri penuh dengan semangat perjuangan kabilah. Kekadang rasis sesama sendiri. Perbezaan darjat mengikut nama keluarga. Tetapi mereka lebih baik dari kebanyakan negara Arab lain yang tidak pernah bersatu walau satu bangsa dan seagama. Jauh lebih bersistem dan ke depan dalam prasarana dan perancangan. Hebat untuk maju dalam dua dekad sahaja.

Seperti biasa, Jamal kritikal dengan fakta, “Malangnya tidak pasti ada komponen buatan atau pakar tempatan untuk sebuah ikon megalomania!”

(3)

Sehari di padang pasir yang luas tidak menjemukan. Jamal membawa ke sebuah wadi kecil. Kami berhenti rehat dan mandi manda. Airnya sejuk. Makan dari bekalan dan minum teh dari air yang dimasak. Sungguh santai dan mendamaikan.

“Begitulah kehidupan tanpa materialistik, kosmetik, slapstik dan penuh perlumbaan nilai, pertembungan nilai dan pertempuran ideologi. Kau bayangkan sebuah utopia di mana nilai manusia tidak pada kedudukan dan harta. Nilai manusia pada budi dan rohani!”

Jamal terus berfalsafah. Seorang Badwi dengan sarjana falsafah dalam alam sekitar yang gigih bekerja sebagai penyelidik mengenai masalah alam sekitar walau boleh sahaja mengumpul kekayaan melalui bisnes. Setidaknya sebagai penaja syarikat luar yang dimestikan mempunyai penaja dari rakyat tempatan yang jumlahnya hanya sekadar 10 peratus dari penduduk UAE.

Melihat mentari semakin menghampir ke horizon, saya bersiap dan bertanya kepada Jamal mengenai jadual kami.

Tetapi Jamal seakan mahu mendera saya. Atau dia sekadar mahu mengusik. Dia tidak begitu mengendahkan pertanyaan yang diulang lagi. Waktu telah gelap. Bersedia untuk solat Maghrib. Dan sama bersiap untuk berangkat.

“Bila kita akan bertolak ke Dubai?”

Itulah matlamat saya transit di Abu Dhabi dalam perjalanan ke benua Afrika untuk urusan bisnes sebagai usahawan yang mahu bertaraf global. Dipelawa oleh Jamal untuk singgah dan sama melihat perasmian sebuah menara tertinggi di dunia.

Jamal ketawa. Bersahaja sambil tangannya terus mengitip tasbih. Tidak lekang dengan tasbihnya.

“Tidak perlu ke Dubai!”

Saya terkejut. Memandang Jamal yang memandang jauh ke horizon. Wajahnya dilontar warna padang pasir.

“Kita lihat sahaja pembakaran jutaan wang dalam bentuk bunga dari jauh. Tentu lebih indah dari sini!”

Ah! Dari jarak 80 km di tengah-

tengah gurun yang gelap dan sejuk? Suhu sekadar 10 darjah selsius.

“Al Burj setinggi 828 meter dengan 160 tingkat bernilai bilion Dirham di sana tiada perbandingan dengan kehebatan menara, bangunan, gunung-ganang pasir di sekeliling kita!”

Saya terdiam. Tidak pasti untuk memberi reaksi dan respons. Teringat cerita Jamal mengenai pengeboman di Gaza oleh Israel setahun lalu sewaktu dia menjadi sukarelawan. Dalam kesejukan dan kegelapan dihujani peluru dan bom.

bantuan

Jutaan wang bantuan yang dijanjikan rupanya tidak pernah sampai kepada anak-anak Palestin. Sama ada tidak diberikan langsung oleh mereka yang berjanji demi publisiti atau masuk poket-poket mereka yang bergelar pemimpin dan pihak berkuasa.

Itulah antara sebab Jamal semakin tidak percaya pada majoriti kepimpinan Arab. Semakin curiga dengan apa sahaja yang dikatakan ‘persaudaraan Arab’ apabila masalah yang melanda dunia Arab tidak pernah selesai walau simpanan dana minyak dan dolar berjumlah trilion.

Dia mahu murtad dari seorang Arab, sekadar seorang Muslim. Membuang nasionalisme lapuk yang memerangkap generasi demi generasi.

Lagipun katanya, dia hanyalah seorang anak Badwi padang pasir yang tidak signifikan dalam pentas perjuangan yang dipenuhi permainan politik menjijikan. Diperkudakan oleh kuasa Barat proksi Yahudi di sebalik perjuangan nasionalisme. Lebih ramai orang Arab di bunuh oleh pemimpin Arab dari Israel. Lebih ramai orang Arab miskin dan buta huruf kerana kepimpinan yang korup.

Sebaik mentari tergelincir, kami bersolat di atas pasir. Suara Jamal gemersik mendayu ke segenap ruang. Terasa sungguh khusyuk. Airmata saya tumpah. Membayangkan berada di tanah suci Mekah yang juga padang pasir. Tempat yang saya masih belum berkesempatan untuk singgah walau usia semakin meningkat, keluarga bertambah, kerja semakin banyak, terus kesibukan terbang sana sini mencari lebih banyak wang dan waktu yang terus tidak mencukupi.

Dalam hati teringat isteri dan anak-anak yang terlintas pertanyaan, apakah yang saya kejar? Tidak pernah cukup dan tidak pernah puas. Sedangkan saya sendiri tidak juga dapat menikmati hasil pendapatan dari keringat yang terus tumpah. KPI dan NKRA yang terus bertambah mengikut matlamat syarikat. Misi dan visi untuk kaya raya.

Sebaik solat, Jamal tersenyum kemudian ketawa. Memang dia mahu mengusik.

“Jom, kita bergerak ke Dubai. Sempat lagi untuk tiba sebelum majlis perasmian!”

Dalam perjalanan yang berliku-liku di padang pasir terbuka, turun naik mengikut bukit-bukau pasir dan arah alat GPS, semakin hampir saya kepada Al Burj, semakin terasa tiada apa-apa pada gah sebuah menara yang dibanggakan sebagai tertinggi di dunia.

Benarlah kata Jamal, padang pasir yang dipenuhi menara pasir, bangunan pasir, lembah pasir, gunung-ganang pasir jauh lebih hebat. Bertambah hebat dari seorang Melayu yang pernah berbangga dengan dua menara di tengah-

tengah Kuala Lumpur. Bak kata orang Inggeris, Been there, done that!

“Lihat padang pasir dan dongak ke langit dengan trilion bintang-

bintang, kita hanya sebutir pasir diantara bunga-bunga api yang indahnya seketika di kegelapan malam, itulah kita di dunia sementara ini!”

Sepatah kata Jamal sebaik kilau dari persembahan bunga api dan pancaran laser memenuhi langit Dubai. Gamat, gawat dengan sorakan manusia yang antaranya terlupa dengan kebesaran di sekeliling dan dalam diri mereka. Lupa yang semakin bersaing para Badwi yang dulunya gembala di padang pasir untuk membina menara menongkah langit, semakin hampir pada akhir zaman.

Dan saya rupanya sempat melihat keadaan yang disebut lebih seribu tahun lalu.

Hebat pertunjukan bunga api memenuhi ruang. Al Burj bagai pecah berderai. Bersepai. Ilusi yang menepati realiti. Al Burj telah siap tetapi akan kosong untuk bertahun akan datang dalam kemelut ekonomi berpanjangan. Ikon sebuah fenomena zaman.

Dalam kemeriahan suasana, terasa lebih janggal. Jamal memberitahu menara yang dikenali sebagai Al Burj itu tiba-tiba bertukar nama. Sekelip mata sahaja kemelut seakan selesai. Magis sekali malam yang bersejarah di sebuah padang pasir.

Sambil mengerling ke semua arah dalam ribuan manusia di pinggiran kota Dubai, Jamal sempat berbisik, “Tindakan terdesak tetapi bijak demi satu lagi bail-out dan menjaga air muka satu kabilah Badwi!”

Mingguan Malaysia 17.1.2010

Doa akhir tahun

TIGA hari lagi Zulhijjah akan berlalu. Meninggalkan pohon-pohon mangga di batas sawah dan tiang-tiang eletrik yang membarisi jalan kerdil di desa membisu di benang waktu. Meninggalkan debu-debu berterbangan di merah tanah yang belum diturap asphalt. Kesian, khabarnya desa itu sudah lima puluh dua tahun merdeka! Lumut-lumut di alor dan kali juga akan ditinggalkan, meski dalam diam ia tetap menyediakan rumah-rumah cantik buat labi-labi dan ikan kepala batu dan cecuri. Anak-anak seluang dan marak yang merah merelit sudah dipersiapkan oleh induk masing-masing untuk merayakan pertukaran tahun dengan zikir-zikir yang istimewa dengan harapan mendapat kehidupan yang lebih afdal.

Zulhijjah pasti meninggalkan Siska dan dia. Lampias dalam ruang-waktu dan bergentayangan bagai frekuensi dan puing-puing zarah semesta alam, terkunci dalam miqat dan ketentuan. Zulhijjah akan memberi laluan pula kepada Muharam 1431 Hijrah dengan rakaman-rakaman baru sebagai jejak-jejak di denai sejarah yang tak mungkin terubah.

Ya, sudah lebih empat puluh Muharam berlalu meninggalkan jejak Siska dan jejaknya, puisi Siska dan puisinya. Sudah lupakah kau akan pantun-pantun cinta kita? Atau lagu-lagu yang pernah kita senangi bersama? Masakan…

Tentu kau belum melupakan tiupan seruling batang padi yang kutiupkan, sementara kau menyanyikan sebuah pantun nyanyian al-marhumah biduanita Saloma?

Anak punai anak merbah

Hinggap mari membuat sarang

Anak sungai lagi berubah

Inikan pula hati orang

Siska, kau punya suara penaka buluh perindu. Tapi kau selalu menuduhku gemar bermain dengan kata-kata. Hatiku bukan anak sungai dan ia takkan berubah, percayalah…

Hujan lazimnya adalah teman setia Zulhijjah. Selalu pula ia membawa kenangan dari lipatan-lipatan sejarah yang tak pernah dicatatkannya. Suara Peggy Tan yang lunak masih terngiang-ngiang di telinga ketika dia dan beberapa teman sedarjah mengasah kuku di lantai. Ada berita Mrs. Hamdan akan membuat pemeriksaan kesihatan diri. Beliau cikgu yang garang dan berdisiplin. Di bumbung zink sekolah rentak hujan mempersembahkan lagu alam yang mengasyikkan. Tapi kadangkala hujan turut mengundang ribut. Sungguhpun begitu rakaman yang kejap di liang jisim tetap abadi hingga ke akhir masa.

Syawal melangkah, Zulkaedah melangkah, Zulhijjah melangkah, Muharam melangkah, sementara kita semacam dipaku oleh jarum waktu?

Pada sisi yang lain dia membayangkan dirinya seekor albatros, terbang meninggi di ruang angkasa Antartika. Atau Kutub Utara? Tentulah bersama Siska. Sayap panjangnya pasti saja akan menewaskan kesejukan. Sayap putih terkembang garang itu jugalah yang akan membawanya dan Siska mengembara ke segenap cakerawala. Inilah peluang terbaik untuk melihat kecantikan planet al-'Ard dari Zuhal, Musytari atau Marikh? Tentu sekali dia akan dapat gambaran yang sama sekali berlainan dengan apa yang pernah dicatat oleh al-Biruni, al-Batani, Copernicus, Galileo atau yang pernah dipaparkan oleh gambar-gambar pelik dari satelit Hubble.

Siska dan dia akan buktikan betapa karutnya keputusan IAU menurunkan pangkat Bluto!

Imbang

Dan sesudah itu segalanya diharapkan akan menjadi imbang dan tenang. Lebihlebih lagi segala sesuatu yang melibatkan perasaannya dan perasaan Siska. Pada waktu-waktunya dia merasakan Siska seperti mahu merampas kebebasannya. Selebihnya dia semacam takut kepada dirinya sendiri. Bagaimana kalau Siska berubah sesudah bersatu nanti? Kebebasan sudah sebati dengannya. Lihat saja apa yang terjadi pada sahabat-sahabatnya, Razali dan Datuk Ismail? Bandingkan pula dengan murai batu dan kelicap daun yang bernyanyi girang di pohon jambu kepal. Jika perasaan tidak selesa, percutian-percutian akhirnya menjelma bagai pelarian-pelarian tanpa makna. Tentulah semuanya berpunca daripada perasaan yang tidak seimbang itu. Larilah ke ceruk dan bucu manapun di jagat raya ini, rasa yang tidak seimbang akan membara sebagai gundu huru-hara - amarah, dendam, benci, tamak, panas baran dan lupa diri. Di kemuncaknya ia adalah garuda gila yang akan membakar segala belukar, padang dan lata. Lalu menukarkan semuanya kepada padang jarak padang tekukur.

Tapi Siska belum pasti bersamamu. Atau milikmu.

Belum?

Ilusi dan mimpi apakah ini?

Alangkah sempurnanya Allah mencipta sunatullah, ada getusan seni di dasar hatinya seperti menyanggah semua itu.

"Kau tau, sunatullah adalah sesuatu yang tak bisa diubah lagi. Semesta alam dan isinya, termasuk kau dan solat kau, dan solatku."

"Solat kau dan solatku?"

"Iya. Konfigurasi 5 waktu, 17 rakaat dan 13 rukun adalah sunatullah ciptaan-Nya! Ia memastikan keseimbangan."

"Sejak bila kau jadi ustaz, hah?"

"Aku bukan ustaz, tapi khalifah."

"Khalifah?"

"Haah, sejak firman-Nya di Surah al-Baqarah, ayat 30."

"Iye ke? Aku dah lama tak baca…"

Tapi Buyung baru saja menawarkan percutian hujung tahun. Gratis! Begitulah biasanya setiap tahun. Dia hartawan dan masih bujang, walau hayatnya sudah mencecah setengah abad. Dia masih berpegang teguh kepada maxim:

"Kenapa harus beli lembu, susu kan lebih murah?"

"Yung, hujan ribut lagi berhenti…"

"Kita telah berkawan sejak kecil kan? Kau tahu tanggung jawab sosialku kan? Kau tahu berapa juta yang kudermakan kepada anak-anak yatim setiap tahun kan? Dan lebih penting daripada itu, kau tahu apa puncanya kan?"

"Aku bukan mempersoalkan tanggung jawab sosial atau zakat harta kau Yung….Aku bercakap fasal aqidah…aku berdoa agar kau sedar…"

"Yang penting, aku hidup bertuhan…"

"Belum cukup, Yung…"

"Belum cukup, kau kata?"

"Hidup bertuhan, mesti turut perintah Tuhan."

Buyung sudah cukup kaya. Dia boleh beli helikopter atau jet Grumman, kalau dia mahu. Setakat ini nampaknya dia hanya minat pada kereta mewah. Sudah dua belas buah dikumpulnya. Empayar bisnesnya tersebar hampir ke tujuh benua. Sayangnya kejayaan itu tidak diiringi oleh kesedaran terhadap agama. Malahan dia mengaku sudah tidak solat Jumaat lebih tiga puluh tahun.

"Kau fikir pahala sedekah jariah dapat cover dosa kau tak solat?"

Buyung hanya membatu. Dia tahu Buyung tidak akan marah. Mereka biasa makan sepinggan dan tidur sekelambu. Dia pernah mendengar ada bapak menteri yang berpendapat "asal bertuhan cukup, agama apa pun tak jadi soal…" Di akhbar-akhbar dan Internet dia membaca ism-ism itu berkembang biak di Jakarta. Dan Buyung sering ke sana. Apakah Buyung sudah diserap pegangan yang sama? Apakah menteri itu tidak dapat melihat dikotemi antara sistem kepercayaan dan agama?

"Walau apapun terima kasihlah kerana mengambil berat tentang diriku…kau sahabat sejati…"

Dia agak terkejut. Itulah kali pertama Buyung mengucapkan kata-kata itu apabila beliau dinasihati. Biasanya Buyung akan merungut dalam bahasa yang kurang difahaminya. Atau bila tertembung dengan moodnya yang tidak baik, dia akan meletup dengan carutan dan maki hamun.

"Lupakanlah, benang sudah menjadi kain…"

Dia sudah mendengar cerita Su meninggalkan Buyung banyak kali. Dia sendiri tidak mengenali Su, kecuali menerusi beberapa keping gambar lusuh yang ditunjukkan oleh Buyung kepadanya.

"Cantik, kan? Lagi cantik kalau Su buat fesyen rambut 'si ekor kudo" Buyung memuji macam nak rak. Buyung juga tidak dapat mengesan di mana mantan kekasihnya berada sekarang.

"Lalu kau mahu letakkan dendam ke atas semua wanita yang kau temui di atas muka bumi ini?"

Keras hati

Buyung adalah dari jenis manusia yang keras hati. Bila dia kalah berhujah, cepat-cepat dia akan mengubah maudu'k bicara.

"Nak pergi tak?"

"Ke mana?"

"Kau pilih."

"Main golf di Pondok Indah. Jangan lupa ajak kekasih kau yang mongel tu…"

"Iryana? Lupakan, dia sudah jadi isteri orang. Lupakan Jakarta yang kepayahan dalam kabut asapnya. Ah, di Bangkok juga ada Iryana."

"Iryana, di Bangkok?"

"Kenapa? Iryana juga ada di Halmahera, Vientienne dan Ulan Baatar….Kau tau di Ulan Baatar model-modelnya, fuuh!"

"Apa Iryana-Iryana itu maukan si botak seperti kau?"

"Kita menganut apa selama ini, hah?"

"Apa?"

"Bukankah kita semua penganut kapitalisme totok! Lupakan kemanusiaan…di tangan penyair seperti kau, kemanusiaan adalah daun-daun kayu!"

"Haa?"

"Ia luruh saban hari, pagi dan petang, pantang dijentik angin! He! He! He!"

"Tapi martabat kemanusiaan lebih tinggi daripada daun-daun atau kapitalisme…"

"Oo, habis kenapa biarkan Siska menanti di pantai lagi?"

Pertanyaan Buyung memagut tangkai jantungnya. Kenapa Siska dibiarkan bagai menunggu burung tak bergetah?

Dia teringat pertemuannya dengan Siska beberapa hari lalu. Dia tahu Siska kecewa.

"Kenapa tak cuba ajak sahabat-sahabat kau berubah angin hujung tahun nanti?"

"Ke mana?"

"Buat umrah."

Dia terdiam.

Siska menambah, "Doa akhir dan awal tahun dah hafal?"

"Eugg…"

"Nanti I emelkan…"

Matanya sudah terlabuh di skrin komputer. Siska baru saja menelefonnya dan memberitahu 'doa akhir dan awal tahun' sudah diemelkannya. Nada dering lagu Bugih Lamo berbunyi. Panggilan dari Buyung lagi.

"Bangkok, O.K. tak? Nanti aku booking tiket. Usah khuatir, aku takkan beli tiket tambang murah sampai lutut kau berlaga. Siang kita melawat pembunuh-pembunuh ulat di kilang sutera, malam kita temankan manusia menggulati kehidupan di Rose Garden, mau? Kalau minat adventure, kita jelajahi Pat Pong!"

"Kau mabuk?"

"Selagi aku belum bercerita tentang kembang kudup dan cinta kumbang, aku belum mabuk…hikk…"

Ah, sirkit kemelutkah ini?

"Nanti aku fikirkan, Yung."

Dia membaca pembuka dan penutup doa akhir tahun di skrin.

Pujian

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Amat Penyayang, segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam….Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Dia turut membaca penutup doa awal tahun.

Dan kami mohon daripada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah. Kami pohon juga kepada-Mu Ya Allah akan rasa sedia ingin membuat amal kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu.

Dia teringatkan saranan Siska.

Razali dan Datuk Ismail juga mempelawanya bercuti ke luar negara. Tapi dengan satu syarat. Dan syarat itu harus dilestarikan di Casino De Melbourne. Atau kasino di Edgware Road, London atau Walker Hill di Seoul.

"Atau di Croupiers, Cardiff, di mana kau belajar mengumbut daun!"

Datuk Ismail memilih untuk mengingatkan babak-babak yang mahu dilupakannya.

"Asal jangan kasino di Genting Highlands," Datuk Ismail menambah syarat lagi.

"Kenapa?"

"Oi, di situ kan kena tangkap. Di Melbourne, London atau di Seoul, siapa tahu?"

Jawapan itu datang hampir serentak dari mereka.

"Siapa tahu, kata kalian?"

"Haah."

"Allah tak tau?"

Sepasang kawan lama ini tidak pernah kenal yang mana renyai dan yang mana hujan, yang mana kering kontang dan yang mana kemarau. Pada mereka semuanya hanyalah cuaca semata-mata."

"Kalian tahu aku sudah pencen, kan?"

"Itulah rasional kenapa ujian harus dilakukan di sana!"

"Kan aku cakap dah pencen…aku dah lupakan tai sai, black jack, poker dan roulette…"

"Bagaimana dengan banco player? Hei, kita kan pernah beli Porsche secara tunai, tajaan kasino di Seoul!"

Dia meneruskan gelengan.

"Aku belikan kau chips. Kau tak perlu main."

"Habis, chips tu untuk apa?"

"Kalau tak sentuh chips tu maknanya kau lulus ujian."

"Ujian? Ujian apa?"

"Ujian immmaaaan…."

Oleh kerana perkataan 'iman' itu disebut serentak oleh Razali dan Dato' Ismail, dia spontan membayangkan badut-badut yang menukang kelakar dan jegela di istana-istana lama. Dia juga teringat bagaimana al-marhum P. Ramlee menyebut dan menggayakan perkataan itu setelah tertusuk jembia Marjiana, pembantu rumah Kasim Baba di dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapuk'.

"Aku mati dalam immaaaannn…"

Tapi perkataan itu bukan untuk main-main.

"Kau main-mainkan iman, Yung?"

"Aku tidak bermaksud begitu. Maaf, jika kau tersinggung."

Baginya 1430 Hijrah sudah menampakkan penambahbaikan berbanding 1429 Hijrah. Dia mahu mempertahankannya. Yang sudah, sudahlah. Ribut, badai dan taufan juga akhirnya teduh. Gelombang di tengah segara juga akhirnya dijinakkan oleh pantai yang landai. Benar kata Buyung. Sampai bila dia harus menunggu burung tak bergetah?

"Tapi dia penyabar."

"Betul, tapi sampai bila? Sampai ganyut? Dia terpelajar, cantik…dan yang lebih penting, dia gila habis dengan kau!". Buyung memang pragmatik.

Ketika dia, Siska dan kakaknya melangkah ke kaunter check-in di KLIA mereka nampak Buyung di kaunter sedang meletakkan beg di konveyor. Dia memakai kopiah putih. Siska memandang kepadanya, seperti meminta penjelasan.

"Sahabatku itu memang suka buat kejutan. Nampaknya dia sahut cabaranku…"

"Cabaranmu?" Siska terpinga-pinga.

"Kataku kalau dia tak bertangguh, dan ikut kita, aku juga takkan bertangguh lagi untuk melamar kau."

"Bila?" suara Siska seakan lemas.

"Sebaik saja kita selamat kembali."

"Sahabat you lagi dua orang tu?"

"Mereka nak terus menunaikan haji musim akan datang."

"Alhamdulillah."

Siska menghadiahkannya sebuah senyuman yang cukup bermakna. Siklus kehidupan sememangnya penuh dengan kejutan dan tanda tanya.

Mingguan Malaysia 20.12.2010

Menikmati Mencari Tuhan

Menikmati Mencari Tuhan

Jauh dan mendalamnya unjuran jangkauan imaginasi dan pemikiran manusia. Dia menyelongkar seluruh dan segala ceruk relung yang membakar jiwa raganya. Dia

menjadi pemberani tanpa

memikirkan hal-hal lain kecuali

membuktikan bahawa apa yang difikirkan dan yang dicarinya sememangnya 'betul'. Begitulah gigihnya tingkah manusia yang sangat rajin mengetuk pintu-pintu sejarah.

Lihatlah bagaimana Newton yang ditimpa epal tidak pernah merasakan bahawa itu hanyalah satu peristiwa biasa yang sia-sia. Columbus percaya bahawa di seberang sana, masih ada dunia lain yang mesti dijelajahi. Wright Brothers yakin manusia juga mampu menjadi seperti burung. Tatkala Singapura dilanggar todak, Hang Nadim tidak pernah berfikir bahawa idea dan inovasinya menyebabkan dirinya pendek umur. Penyakit tidak begitu gemarkan manusia yang panjang akal itu tidak terhenti pada zaman kuno, pada abad-abad yang lampau saja. Rupa-rupanya sehingga saat ini, yang berkudrat lebih gemar memelihara manusia yang pendek-pendek akalnya.

Dahulu kala para penulis tanpa nama tidak pernah menegur secara 'blak-blakan' bahawa tindakan-tindakan pembesar yang salah dan berteraskan kudrat biasanya tidak mampu membuahkan sebarang kebaikan. Dalam terang orang mungkin kelihatan patuh, namun di dalam gelap mereka tidak pernah taat. Ramai yang merunduk tapi tidak pernah sedikit pun terdetik rasa hormatnya. Anak yang kecil sekalipun memprotes jika terlalu dipaksa-paksa.

Ya, jika telah sampai pada titik tumpahnya, tipping point anak yang kecil juga akan memprotes jika terlalu sering dipaksa-paksa. Bagi saya itulah salah satu iktibar besar yang mahu disogok Azizi Haji Abdullah dalam Mencari Tuhan. Jika para panglima perang turun ke medan perang lengkap dengan segala senjata dan peralatan perangnya, maka demikianlah juga tingkahnya para panglima agama kita. Maka bertaburanlah segala huraian dengan pelbagai istilah: Muktazilah, Jabariah, Wahabi dan uluhiyah dan lain-lain. Itulah kaedah berhujah dan memperkasakan wibawa. Katakanlah segala tamsil dan ibarat, hujah-bidasan tidak lagi mampu menumbangkan musuh, para panglima agama kita telah kehilangan tempat untuk berlindung dan sembunyikan diri. Pak Mat Siak yang pekaknya kronik di sebelah kanan, mungkin tidak pedulikan semua ini. Apakah mungkin para panglima agama bersikap demikian? Panglima, sesuai dengan taraf kepanglimaannya tidak mungkin membiarkan semua ini berlaku. Tidak mungkin. Kuku yang ada perlu dimanfaatkan.

Sang Wahabi yang "kurus melengking macam tempinis dalam paya, kulitnya hitam. Kalau pakai jubah putih, serban putih ketayap merah, nampak macam Sudan cari bini hilang. Linglong sana, linglong sini." Bukan itu saja, sang Wahabi yang "tidak membaca doa qunut, belajar bermain biola dengan anak murid penyanyi Abdul Wahab, berani pula "ingin mengajak jemaah berbincang, bukan tunduk mendengar bacaan kitab. Dia tidak mahu masyarakatnya mentahqikkan kewujudan Tuhan dengan akta dan seksyen."

Hah, Azizi bukanlah Azizi namanya jika tidak ada cop-cop karya seperti di atas. Saya jadi teringat akan seorang teman Sudan yang sangat berani, istiqomah dalam perjuangan. Where are you Brother Salahuddin? Lalu apakah kesudahannya pada 'kesesatan' Wahabi yang nyata ini?

Apakah telah merajuk, marah atau sakit hati yang amat sangat Sang Wahabi ini tatkala dia lari kepada alam semesta bersama-sama biolanya? Ketika menggesek biolanya di belakang masjid, dia hanya terdengar gesekan mencemuhnya sebagai Wahabi. Nah, masjid bukan lagi tempat yang sesuai untuknya mencari Tuhannya. Ya, jika dia masih mahu mencari Tuhan bersama biolanya. Baginya alam semesta lebih simpati dan mengerti. Baginya alam semesta yang kaya dengan pelbagai nota muzik tanda yang sedikit tentang kebesaran dan keagungan Tuhannya, jauh lebih prihatin dan mengerti. Muzik yang terlalu kecil itu adalah manifestasi keagungan itu. Segalanya begitu merdu hatta layah daun yang gugur menyembah bumi jua adalah muzik.

Apakah muzik itu semestinya melalaikan sehinggakan nyanyian dedaunan, "kecipak daun-daun dari dahan dan ranting pokok banir" itu telah kehilangan maknanya?

Sesungguhnya bagi saya betapa nikmatnya membaca lukisan yang ditukangi Azizi ini. Ah, alam dan muzik.

Pada saya masih terngiang-ngiang terjahan soalan Azizi seperti: Klausa apa dan akta mana yang mahu digunakan untuk menghukum penyebab dan penyebar fahaman yang melalaikan ini?

Katakanlah dari sudut kaedah pemikirannya semua panglima agama kita adalah sehebat Newton misalnya, apakah masih begini keadaan ummah kita hari ini? Kita merasakan sekiranya itu sudah berlaku, segala dan pelbagai masalah nikah cerai yang sangat asas telah lama kita atasi. Apakah kita tidak perlukan Hang Nadim yang cerdik dan inovatif dalam memanfaatkan dengan berkesan segala harta wakaf dan zakat kita?

Sesungguhnya persoalan agama yang kita hadapi ini jauh lebih besar daripada tragedi mengheret kepala lembu dan perlumbaan merebut mayat. Sebagai sasterawan, sesuai dengan latar ilmunya, Azizi telah menerokai relung dan daerah baru yang mungkin kadangkala dilihat terlarang atau tabu. Dalam Sangeetha misalnya Derus telah 'mengislamkan' Viralal pada saat-saat pemergiannya. Apakah Sang Wahabi mahu membuka pintu sejarah agama yang lebih radikal bahawa semua para panglima agama mestilah mampu melihat realiti semasa, bahawa persoalan kita, ummah hari ini jauh lebih besar, ruwet atau kompleks, mencabar daripada doa qunut. Ada contohnya? Ada pasangan yang begitu letih dalam urusan nikah cerai sehingga mahu melakukan hal-hal yang sangat merunsingkan. Kita masih mahu bercakap tentang klausa dan akta?

Apakah di abad ke 21 ini kita masih perlukan para panglima dalam mentadbir segala urusan negara ini? Termasuk agama?
Mingguan Malaysia 3.1.2010

Tunggu Ana di Karbala

Tunggu Ana di Karbala

MATA hijau Munir berkaca-kaca. Semangkuk bubur oat yang disediakannya sudah saya hirup habis. Husin, adiknya duduk di sisi tersenyum-senyum penuh rahsia bagaikan menyembunyi sesuatu. Saya membetulkan kot dan mengemaskan serban membalut tengkuk. Kelmarin hujan membasahi Karbala dan suhu jatuh mendadak. Kemudian Munir memberanikan diri bertanya, "Akhi, adakah enta seorang Syiah?"

Giliran mata saya berkaca-kaca. Saya ingin menjawab seperti mana jawapan yang diberi oleh ulama terkenal Indonesia, Hamka. Arwah pernah ke Karbala dua kali. Pada tahun 1950 dan tahun 1968. Almarhum pernah diajukan soalan yang sama. Jawapan Hamka seperti yang beliau nukilkan pada prakata buku terjemahan Al Husain Bin Ali karya asal alHamid alHusaini ialah; "Saya tidak bermazhab Syiah, tetapi saya mencintai Husain!" Tetapi kata-kata awal Hamka itu saya telan kerana saya rasa tiada maknanya buat mereka berdua. Hanya yang saya luahkan ialah, "Saya pencinta Husin. Seperti kamu berdua. Bukankah Rasulullah SAW bersabda: "Kedua anak ini adalah anakku dan anak dari puteriku. Ya Allah, sesungguhnya aku mencintai kedua-duanya, maka cintailah kedua-duanya dan cintailah orang yang mencintai kedua-duanya." Saya ingin mendapat cinta Allah, maka saya mencintai Hasan dan Husin."

Husin, adik Munir, merekahkan senyuman di bibir sebelum ketawa halus. Seakan-akan saya memberitahu yang saya mencintainya. Duhai, tidakkah indah seorang Sunni dan seorang Syiah bersatu mencintai cucunda Rasulullah?

Begitulah perkenalan singkat saya dengan Munir dan Husin. Mereka berdua datang ke Karbala dari Kazimiyyah, Baghdad untuk menjadi sukarelawan melayan penziarah makam Saidina Husin.

"Dua minggu," ujar Munir membuat isyarat jari.

"Kami akan membersihkan sampah sarap dan memberi tetamu Imam Husin makan. Kami tiada duit yang banyak. Tetapi apa yang ada akan kami berikan untuk Husin." Celah Husin lebih bersemangat.

Entah kerana ada angin dingin yang menyerbu muka saya membuatkan rasa keharuan menggigit atau sememangnya saya sedia menahan sebak pilu setiap kali menghadap ke jihat makam Saidina Husin dan Abal Fadz.

Di jalanan sudah ada perarakan duka sejak subuh. Makam Imam Husin, kubah emas dengan bendera merah berkibar lesu tampak berbalam-balam diserkupi dingin musim sejuk. Saya sebetulnya sedikit resah. Komputer riba saya dirampas oleh askar Amerika sebaik masuk ke sempadan Iraq. Saya bernasib baik mendapat kamar untuk disewa. Kamera Nikon kesayangan saya harus ditinggalkan di kamar tumpangan demi tujuan keselamatan. Khabarnya pernah beberapa kali letupan berlaku di Karbala dengan bom kecil disembunyikan pada kamera, telefon bimbit dan komputer. Jadi, saya rasa gelisah kerana tidak dapat merakami apa yang patut saya lakukan sebagai seorang musafir.

Sejak saya belum berjaya meloloskan diri perbatasan dan mengunjungi Karbala, saya sudah bertanyakan kepada pengawal sempadan di Kermanshah, dia kelihatan seperti orang yang tahu. Pengawal itu yang bernama Redza menyatakan, "Saudara orang Sunni? Saudara merujuk Sunan Tirmidzi?"

Saya tidak menjawab. Sunni atau Syiah tidaklah terlalu penting jika hati kita bersama Allah, Rasul dan ahli keluarganya sepertimana yang kita ucapkan tatkala berselawat dalam solat. Pengawal itu menyambung, seraya mencapai kitab Imam Tirmidzi yang dicapai dari rak bukunya yang kelihatan padat. "Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860: Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin." Orang bertanya kami, mengapa syiah menangis? Saya ingin bertanya, mengapa sunni tidak menangis? Mengapa pula tidak boleh menangis?"

Saya rasa mengerdil kerana tergagap di hadapan seorang pengawal sempadan berpangkat rendah.

Redza menerangkan lagi, "Isteri Rasullullah SAW, Ummu Salamah sendiri menangis mengenangkan pembunuhan Imam Husin, mengapa tidak kita? Nabi tidak pula melarang isterinya. Bahkan Nabi Muhammad menjelma di hadapan Ummu Salamah dalam keadaan kesedihan sehingga berlumuran debu. Nabi Yaakub a.s menangisi kehilangan Nabi Yusuf sampai matanya buta, Allah pun tidak melarang. Mengapa ada orang bertanya mengapa kami menangis mengenang tragedi penyembelihan dan pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw. Tidakkah itu aneh?"

Malu

Buat seketika, saya jadi malu sendiri. Saya belajar ilmu syariah di peringkat ijazah tetapi saya tidak pernah menerokai sedalam ini. Hari ini, setelah meninggalkan bidang syariah secara akademik dan menceburi bidang kesusasteraan bandingan saya kembali berazam untuk menekuni setiap lapis yang ada. Saya kini jelas akan sebuah hadis yang berbunyi: Mahmud bin Ghailan menceritakan kepada kami, Abu Daud al Hafari menceritakan kepada kami dari Sufyan dari Yazid bin Abu Ziyad, dari Ibnu Abi Nu'am, dari Abu Sa'id al Khudri radiallahuanhu, ia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Hasan dan Husin adalah pemimpin pemuda penghuni syurga." Dalam benak saya bergumul satu pertanyaan, adakah orang tua di syurga? Jika saya cintakan Husin seperti yang dituntut Rasulullah SAW apa buktinya? Kematiannya yang tragis dan ngeri itu pun saya tidak tahu dengan terperinci dan benar, bagaimana saya boleh mengaku mencintainya dan ada hati pula untuk menjadi penghuni syurga? Bukankah jika kita tidak mengenal maka kita tidak mencinta. Soalnya jika saya kenal, kenalkah saya sungguh-sungguh mengapa Saidina Husin, penghulu di syurga itu sampai syahid dibunuh dan apa pula falsafah di sebalik pengorbanan besar baginda itu.

Sewaktu di Kolej Islam Kelang, dalam sebuah usrah yang dibimbing oleh seorang naqib saya bertanyakan soalan mengapa Nabi Muhammad meminta kita mencintai Saidina Husin cucunya? Naqib itu yang hari ini menjadi seorang ulama tersohor menjawab. "Ia cinta seorang datuk kepada cucunya." Sejak hari itu saya memutuskan diri dari kata-kata batil sedemikian. Masakan itu sekadar cinta seorang nenda kepada cucunda? Nabi Muhammad adalah seorang utusan Allah. Setiap kata-katanya, tindak-tanduknya adalah daripada Allah swt. 'Dan tidaklah yang diucapkannya (Nabi Muhammad) itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.' Demikian firman Allah dalam surah An Najm pada ayat 3 dan 4.

Tentu, Saidina Husin terbunuh di Karbala kerana gabungan perbuatan khianat penduduk Kufah dan kezaliman Yazid serta sekutunya; akan tetapi duhai, tidakkah kejadian itu sebenarnya mempunyai sebab. Seperti mana yang saya kuasai ketika menulis fiksyen, plot itu adalah sebab dan akibat. Nah, 'akibat'nya ada di Karbala; dan saya baru pulang dari Madinah mengerjakan haji dan ziarah, 'sebab'nya pula ada di Madinah. Sebab yang menyayat hati, akibat yang amat tragis. Sejarah ada kausaliti. Sebab dan akibat. Saya harus mencari. Kerana itu saya bergegas ke sini. Segera saya teringat bab-bab awal buku Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam karangan Taha Husain yang telah diterjemah ke bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990.

"Kenapa enta di sini?" Soal Husin bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan saya. Lamunan saya mati andar. Sungguh, saya memberanikan diri menyeberangi sempadan Iran menuju ke sini kerana saya ingin mencari. Saya sedang memburu bahan untuk menyiapkan sebuah buku akademik mengenai drama perkabungan (ta'ziyeh) Imam Husin untuk dibandingkan dengan drama perkabungan Jesus (liturgy) dalam Kristian bermazhab Katholik. Di tanah air saya diasak tohmahan yang saya adalah seorang syiah kerana minat saya mengkaji wilayah kabur ini. Saya tidak apa-apa dituduh. Hanya Allah dan Nabi Muhammad SAW yang akan menilai duduk iman saya. Saya tidak akan berkongsi kubur dengan sang penuduh.

Mencintai

Husin tiba-tiba berbicara, "Faisal, kalau kita benar-benar mencintai Rasulullah maka kita pun meraikan kelahiran baginda, kita raikan pula israk mikraj, kita raikan setiap kegembiraan baginda Nabi Muhammad SAW. Mengapa ketika kesedihan dan kedukaan Nabi Muhammad kita mahu melupakannya dan tidak mahu menangisinya seperti yang Rasulullah SAW lakukan? Bolehkah enta mencintai Rasulullah dan hanya bersama dengannya ketika senang dan meninggalkan baginda nabi ketika baginda bersedih? Tidakkah itu janggal sekali? Dan adalah jelas, Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa."

Petang itu saya harus berangkat ke Samarra. Jalanan sudah kian sesak dengan penziarah yang siap berkabung mengenang Saidina Husin, cucu Rasulullah SAW. Saya bimbang menongkah arus manusia di jalanan akan melambatkan pergerakan menuju ke Baghdad yang penuh bahaya.

"Tunggu ana di sini, di Karbala." Kata saya kepada Munir dan Husin. "Ana ke Samarra hanya seharian, esok kembali ke sini."

Munir mengangguk. Husin tersenyum. Matanya bening. Saya memegang tangan Husin dan membuka genggamannya, pada telapak tangan anak muda itu saya letakkan pengikat kunci Menara Berkembar Petronas. Dia memeluk saya. Sungguh gembira. Katanya dia mahu mengumpul wang untuk belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Kemudian Munir dan Husin memberikan saya sekeping gambar yang siap dibingkai. Foto Makam Imam Hasan Askari dan Hadi Naqi di Samarra yang dibom pengganas wahabi. Saya memegang bahu Husin, "Ana akan kembali. Tunggu ana di Karbala. Di sini."

Mereka berdua menghantar saya naik teksi. Husin menangis. Munir menyabarkan. Saya sendiri mengulum sebak. Malam itu dalam perjalanan ke Samarra, teksi yang saya tumpangi berkali-kali ditahan askar di pos kawalan. Ketika tiba di Baghdad, pengawal di salah sebuah pos kawalan memberitahu sesuatu kepada pemandu teksi. Dalam keadaan terlayang dek kepenatan dan kurang mendengar buah butir percakapan mereka, saya hanya mengabaikan. Hanya apabila kami berhenti untuk solat subuh di sebuah masjid di tepian jalanan pemandu tersebut mengkhabarkan, "Ada letupan di Karbala. Letupan itu 150 meter dari zarih Imam Husin. Ratus penziarah syahid di hadapan bapa sekian syuhada."

Saya menunaikan solat subuh dalam keadaan bergenang air mata. Saya berdoa supaya Allah menjaga Munir dan Husin. Saya ingin menemui mereka lagi di Karbala. Saya ingin meneruskan persahabatan ini. Saya mahu Munir dan Husin belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur nanti.

Dan apabila saya patah kembali ke Karbala di penghujung hari, menunggu di tempat yang sama. Tampang mereka berdua tiada. Saya mencari Munir dan Husin di tempat biasa mereka memasak bubur oat yang lemak itu. Seorang teman mereka, Musa, memberitahu dengan wajah sayu, dengan tutur kata bercampur duka dan ria.

"Mereka telah syahid. Mereka terkorban dalam letupan kelmarin. Dan pada tangan Husin tatkala ia berpaut pada zarih Imam Husin ada pengikat kunci. Ada pengikat kunci enta yang dibawanya ke syurga bersama."

Duhai, dukaku Husin. Dukaku Husin. Saya menangis tanpa henti pada hari itu. Saya masih ingat. Ia pagi sepuluh Muharram. Saya kehilangan dua Husin. Muharram ini hampir setahun saya berkenal dengan Munir dan Husin, kata-kata saya, 'Tunggu ana di Karbala', masih bergaung dan bergema; menalun dalam dada. Dan saya sering bertanya, 'Mengapa mereka membunuh Husin, mengapa?"
Mingguan Malaysia 3.1.2010

Terpanggil

Oleh Peter Augustine Goh




"Insya-Allah, Aliman!" Begitulah kaumenamatkan ayat tunggal itu. Tetikus kauseret ke kotak 'hantar'. Sengaja kauhantar mel elektronik pada awal pagi. Aliman, sepupu kau yang lapan tahun lebih muda daripada kau akan menerimanya seawal pagi itu di kamar kerjanya di Kota Suria.

Sebelum kau ke Pekan Mawar, kau terfikirkan e-mel sepupu kau yang amat pendek juga. Dia hanya meminta bantuan kaumenangkap buaya. Dia akan menceritakan sepenuhnya dalam masa terdekat apabila berjumpa nanti di Kota Suria. Nadanya serius. Tetapi fikiran kau kalut.

Di tengah-tengah kekalutan fikiran, kautersenyum pahit berbaur penuh sinis. Pahit, kerana menangkap buaya adalah suatu perkara berat. Walaupun kau penangkap buaya yang berpengalaman, sepupu kau tidak pula. Silap hari bulan, buaya ganas boleh menghantar mangsa ke neraka. Tidak ada pengalaman yang mendebarkan atau berbahaya lain ke? Buaya juga yang hendak didekatinya? Penuh sinis, kerana … ah, senakal-nakal Aliman, kalau cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga. Aliman, Aliman. Kau buat aku mentertawakan kau saja. Begitulah yang kaufikirkan dengan begitu prihatin.

Di dada skrin komputer riba, kau bagaikan ternampak kau mendapatkan kerjasama dan bantuan seorang pawang terlebih dahulu. Pawang itu menggunakan mantera, menyeru buaya yang hendak ditangkap.

Sejurus selepas itu, kau terus bayangkan kau bersama-sama Aliman dalam sebuah perahu jalur. Aliman di sebelah kiri dan kau di sebelah kanan. Kau rasa Aliman pasti berkeringat seluruh tubuh dan titik peluh kasar satu-satu, dalam bulan gelap. Tidak kurang jantungnya berdegup rancak.

Tiba-tiba sepasang mata bersinar disuluhi cahaya. Air sungai berdebur keras. Buaya itu timbul bertentangan perahu. Tidak lama kemudian, ia memusingkan badannya 90 darjah ke kiri, selari dengan perahu, bersedia untuk melibas mangsa. Kau tahu inilah saat paling mencemaskan. Kau dan Aliman mesti bertindak pantas. Mampukah Aliman? Kaumemejamkan mata rapat-rapat. Pada tahap ini kauberbisik sendirian. “Tak usahlah tangkap buaya. Cuti kau kali ini lebih baik kauhabiskan beradvencer di Paris atau di London saja.”

Peter Augustine Goh

Kau bagaikan terdengar, “Tidak. Teruskan. Seronoknya!”

Kau pasti menyanggah, “Otak kau! Kau fikir buaya boleh main-main, ha?”

Aliman tentu akan ketawa lebih nakal, walaupun agak gemuruh. Mata kau masih terpejam. Dalam pejam mata, kau tampak terus. Kayu panjang lima hasta yang diletakkan pada mata tempuling atau tombak direjam sekuat kudrat. Tempuling terpacak di badan buaya itu. Sasaran yang bengis itu tentu melibas kesakitan. Berguling-guling. Meronta-ronta. Ah, rasakan! Kau terdengar Aliman menghambur puas.

Kau terus berbisik dalam hati sendirian. Tidak semudah itu, Aliman. Buaya itu tidak akan pedulikan perahu yang berbolang-baling dipukul ombak. Seguling tali belati yang terikat pada tempuling harus dilepaskan segera. Cepat! Jangan berlengah-lengah lagi! Kalau tidak, perahu kecil akan karam. Masih sanggup ke kau teruskan, Aliman?

Kau terbayang lagi. Perahu dihalakan ke tebing. Inilah masanya kau dan Aliman harus terjun ke air sungai dan berenang ke tebing. Kemudian harus berlari dan menambat hujung tali ke pokok. Pada tahap itu, buaya itu akan terus melibas-libas dan meronta-ronta.

Dan kaumendengar, “Meronta-ronta lemah buaya itu, Johar.”

“Atau kau yang lemah nanti!”

Kau nampak sepupu kauketawa puas. Tapi kau khuatir. Manakan tidak? Aliman pernah mengadu sejak kebelakangan itu dia sering keletihan. Usia semakin meningkat, katanya. Kaumengusik, bukan usia, tetapi kenakalannya di Kota Suria yang bertambah!

Apabila kaumembuka mata semula, kau bagaikan terdengar sanggahan Aliman terngiang-ngiang keras. “Kita teruskan. Aku tak lemah. Seronoknya!”

Apabila dia berkata begitu, sekali lagi kau akan cuba menolak kepalanya lalu meningkah, “Otak kau!” Aliman ketawa lagi. Ada percikan puas hati berbunga di wajahnya. Kau mengetap-ngetap bibir.

Tiga hari kemudian, di Kota Suria, suara ketawa kaumengisi ruang sebuah restoran. Ketawa geli hati kerana rupa-rupanya sangkaan kau meleset. Tapi Aliman tetap berdurja serius. Dia menggenggam-genggam penumbuknya. Giginya dikancing kuat-kuat menahan marah tak terkata. Matanya mencerlang garang. Macam hendak makan orang layaknya. Dari galak matanya jelas ada kala jengking yang liar. Basah dengan dendam. Benar-benar mencerminkan kejengkelan hati.

“Bersabar, bertenang. Minum teh limau berais ini dulu.”

Aliman yang berusia 30 tahun, berkulit cerah, berbadan tegap dan sasa macam kau dan berambut belah tengah itu menurut.

“Dalam e-mel kau, kauberjanji hendak menceritakannya. Ah, ceritakanlah.”

Aliman mengotai janjinya. Kau yang sederhana tinggi, berkulit sedikit gelap, berkumis nipis dan berambut kerinting mendengar penuh khusyuk.

Cerita Aliman bagaikan memercikkan rasa kurang senang kepada kau. Kau tahu sepupu kau yang lebih tinggi itu semakin bersemangat meskipun di hujung wilayah batinnya ada tanah resah yang terbenam. Masakan tidak? Kerana kau tidak begitu bersetuju dengan caranya. Dengan kata lain, kau tidak mahu menolongnya.

“Kau gila ke? Kau tahu aku ini penangkap buaya di air, bukan buaya di darat!”

“Betul, aku tak nafikan. Tapi kita perlukan taktik seperti itu!” tekan Aliman.

“Maksudmu?”

“Umpannya mesti busuk juga. Kau telah memberitahu aku buaya tak makan mangsa, ia telan. Oleh itu, kita berumpankan ayam yang busuk.”

“Siapa yang jadi umpan busuk?”

Dugaanmu terjawab, apabila Aliman menyahut, “Aku sendiri. Kerana aku ‘busuk’. Aku menjadi ‘busuk’ kerana Jufri. Biar dia rasa bagaimana abang perempuan yang dicekutnya dan dipermainkan ini mengajar dia nanti. Tapi aku perlukan pertolongan kau. Aku tak boleh melakukannya seorang diri.”

Nama ‘Rina’ seolah-olah menyalakan semula jiwanya. Kau melihat satu peninju yang sudah disediakan, seolah-olah mahu menumbangkan Jufri dengan beberapa penumbuknya.

“Apa perananku?” sengaja kaumenduga.

Aliman hanya tersenyum. Ada semacam kelegaan bertunas. Kepuasan pada jiwa tidak sukar diterjemahkan dengan kata-kata yang terhambur keluar juga sudahnya. “Setelah umpan ini memperdayakan dia tentang ada ayam muda yang hendak berkenalan dengannya, di sebatang lorong belakang, kau sama-sama tolong aku membelasah dia. Dia itu besar gagah. Tapi aku percaya kau dan aku boleh mengatasinya.”

Kaumengetap-ngetap bibir. Menggeleng-geleng. Satu tanda yang cukup terang kau tetap tidak bersetuju. Aliman cuba mengemis pengertianmu bahawa buaya darat bernama Jufri yang licik harus diajar seperti buaya di air yang perlu ditangkap dan dinyahkan dari muka bumi ini.

Kau tahu pada tahap itu, Aliman sebenarnya resah. Malam Khamis dalam restoran yang dingin itu dia berpeluh, dipanaskan oleh api dendam. Sebenarnya Aliman telah lama menanam benih kemarahan sejak adiknya yang tersayang, Rina dipermainkan si mata keranjang itu. Dan benih tu semakin lama semakin subur, membesar hingga menjadi pokok kebencian. Pokok yang pada pandangan kau harus ditebang. Ditebang buat selama-lamanya. Jangan berakar lagi. Kalau tidak, amat buruk padahnya. Silap hari bulan, Jufri boleh menjadi mangsa bunuh. Dan Aliman dicap pembunuh yang tali gantung saja layaknya. Dan kau pula, boleh dituduh bersubahat yang tak boleh diampun.

Dengan berani, kau menekan panjang lebar dan bernada keras, “Aliman, apa kurangnya dengan kau? Kalau dia buaya yang lapar dan ganas, kau juga sama. Kalau tak kena adik kesayangan kau sendiri, kau tak akan sedar. Kau sudah lupa betapa banyak betina yang telah kautelan. Kau memang busuk! Busuk!! Kalau kau nak teruskan dengan rancangan dan niat jahat kau ini, kaubuatlah. Tapi jangan panggil aku saudaramu! Keturunan datuk nenek kita sebelah ayahku dan ayahmu bukan keturunan orang jahat-jahat. Bumi yang kita pijak, ada undang-undang.”

Aliman tidak bersuara sepatah pun. Yang dibahasakannya hanyalah dengan beliakan biji matanya sampai kau yang duduk bertentangan dengannya di meja bundar di satu sudut restoran agak terkejut. Apakah penumbuknya akan singgah di muka kau sebelum menyinggah di muka buaya darat bernama Jufri itu nanti?

Tetapi kau tidak gentar. Kaumenambah, “Kau tanyalah diri kau sendiri. Kau nak pulang menghadap Tuhan dengan keadaan suci bersih atau dengan keadaan kotor dan busuk berlumuran dosa yang besar?”

Aliman diam lagi. Dia tunduk. Penumbuknya tak tergenggam erat-erat lagi. Malam yang dingin itu terasa tidak dingin lagi. Ia bagaikan dihangatkan oleh suasana tegang. Dalam perjalanan pulang untuk bermalam di rumah Aliman, kau berdua tidak banyak bercakap. Masing-masing melayan diri sendiri.

Di Pekan Mawar kau sibuk. Kembali sibuk menangkap buaya di Sungai Endau, atas permintaan penduduk di sebuah desa kerana dua orang penduduk tua di situ telah menjadi korban binatang buas itu.

Dalam bilik kau yang bermandikan cahaya lampu 40 wat, kaupasangkan komputer riba. Kaubuka kotak e-mel. Banyak penghantarnya. Satu-satu kautatal dengan kursor. Mata kauberlari dengan cepat. Tiada satu yang kau utamakan, kecuali daripada seorang pengirim yang telah lama tidak kaumendengar khabar berita - tidak lain daripada Aliman!

E-mel Aliman kaubaca penuh minat, seolah-olah melepaskan rindu:

“Saudaraku, Johar. Buaya darat itu sudah menjadi buaya yang alim. Jufri telah menjalani pemindahan jantung beberapa minggu setelah kaumeninggalkan Kota Suria. Kini dia sudah menjadi macam malaikat. Tangan sentiasa memegang tasbih. Mulut sentiasa berkumat-kamit dan tidak putus-putus menyebut Allah dan Rasul. Kaki selalu berpijak di rumah suci. Apakah penerima jantung baru seorang penderma yang beriman menjadikan dia beriman juga? Atau suatu kebetulan? Sila baca petikan laporan dalam bahasa Inggeris ini yang aku dapati daripada sebuah jurnal sains:

“Scientists have documented more than 100 cases of transplant patients taking some of the personality traits of the organ donors.”

Kau hanya tersenyum sinis, lalu membalas dan menamatkan ayat terakhir e-mel sebelum kauhantar kepada Aliman, berbunyi:

“Apa pun, ini tidak penting. Yang penting, apakah kau juga perlu menjalani pemindahan jantung daripada penderma jantung seorang yang beriman agar keperibadian kau berubah daripada yang buruk kepada yang baik? Atau apakah kau mahu terus menjadi buaya dan ditangkap penangkap buaya yang lebih hebat. Lebih tepat, lebih dahsyat. Maaf, jika bahasa aku kasar lagi keras dan tidak menyenangkan. Aku tahu teguranku seperti ubat yang amat pahit, tapi perlu ditelan untuk menyembuhkan penyakit. Hapuskan penyakit busuk itu. Ingatlah, umur semakin meningkat dan hayat semakin singkat. Sebelum terlambat, dapatkan umur yang berkat. Assalamualaikum.”

E-mel kau berbalas pendek. Aliman berterima kasih atas teguran kau. Dia akhiri juga dengan salam mesra. Selepas itu kotak e-mel kau tidak lagi didatangi berita daripada Aliman. Agak lama juga.

Dalam diam tetapi tidak diam kaumendengar berita Aliman meninggal dunia di Tanah Suci. Dan kebetulan juga kau sama-sama menunaikan ibadah haji musim haji tahun ini, tetapi dalam rombongan pakej haji yang berlainan. Senyap-senyap dia telah menyahut panggilan Kaabah.

Di sebuah bilik hotel di Tanah Suci setelah kembali dari Mina pada hari raya pertama Aidil Adha, kau teringat dengan jelas dan penuh keterharuan teguran kau kepada sepupu kau tempoh waktu untuk membuat satu pilihan yang berbunyi: “Kau nak pulang menghadap Tuhan dengan keadaan suci bersih atau dengan keadaan kotor dan busuk berlumuran dosa yang besar?”

Maha Suci Allah! Kau mampu tersenyum kesyukuran berbaur keterharuan dalam air mata yang kini masih tersisa di Tanah Suci. Penuh kesyukuran dan keterharuan kerana Aliman telah membuat pilihan yang tepat.

INFO: Penulis

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang

penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenangi nya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional

dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai

(1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

Berita Harian

Senja Sudah Berlalu

Oleh Julia Nazri




PINGGAN yang berisi nasi, sedikit sayur kubis dan sepotong ikan kayu yang digoreng garing dipandang tanpa nafsu. Hanya sirap dingin yang menerobos masuk ke kerongkongnya. Sepotong tembikai kuning dicucuk-cucuk menggunakan garpu. Hatinya terasa pedih. Ironinya di hadapan dia saat ini hanya sepotong tembikai; bukan hatinya.

“Makan cepat, masa makan sudah hampir tamat.” Seorang lelaki separuh umur menegur sambil menepuk perlahan bahunya.

Dia mengangkat wajah. Lelaki itu diamati lama. Berkaca mata seperti bingkai gambar di kedai foto, lebih banyak kulit kepala kelihatan berbanding helaian rambutnya, perutnya seperti wanita mengandung lima bulan, atau tujuh bulan agaknya (dia sendiri kurang pasti), berbaju dan berseluar putih, namun dia tertarik dengan gigi lelaki tersebut; putih dan tersusun cantik.

Dia kemudian bangun. Nasi yang masih belum terusik dipandang sayu. Lagak seperti pejuang memandang isteri tersayang sebelum ke medan tempur. Halkumnya turun naik menelan liur. Selera yang hilang entah ke mana membuatkan tekaknya seakan mahu menunjal keluar andai dia memaksa untuk menelan. Dia mula melangkah.

“Pergi masuk ke bilik, jangan merayau. ” Suara lelaki tadi agak lantang. Dia hanya mengangguk. Saat ini dia terbayangkan katilnya yang bercadar putih bersih. Dia mahu berehat. Langit mendung seolah-olah memahami derita hatinya. Guruh berdentum, kilat sabung-menyabung. Titik-titik hujan mula membasahi bumi. Bertempiaran lari semuanya. Dia kehairanan. Bukankah hujan satu rahmat? Bukankah hujan satu keindahan? Pohon dan alam akan bertasbih memuji kebesaran Pencipta. Hujan juga lambang kesenian; bagi pencinta seni.

Dia masih di situ. Tubuhnya kian lencun dek deraian hujan yang kian menggila. Titik-titik hujan ini mengingatkan dia tentang dosa semalam. Biarlah air suci ini membasuh noda di tubuhnya. Irama yang lahir daripada dentuman guruh dan rintik yang menimpa bumi membuai jiwanya. Damai dan mengasyikkan.

Julia Nazri

“Kamu ini manusia hipokrit! Berpura-pura di balik topeng kemanusiaan!” Suaranya keras. Namun tiada sesiapa yang mendengar. Masing-masing sibuk mencari tempat untuk berlindung.

“Cuba kamu tanya pada diri. Kehadiran kamu di atas muka bumi ini untuk apa? Adakah kamu boleh merubah sebuah kesengsaraan? Boleh memberi harapan pada sebuah kehidupan? Bolehkah? Manusia bodoh!” Herdiknya lagi.

Guruh berdentum lagi bagai mengiringi kata-katanya. Umpama sebuah pentas opera yang lengkap dengan simfoni orkestranya. Ironinya saat ini dia sedang melakonkan watak dari pentas kehidupan yang nyata. Bukan ilusi fatamorgana. Matanya dikerdipkan. Jemarinya meraup wajah yang kebasahan. Bukan kerana deraian hujan. Namun dek air mata yang laju menuruni pipi. Sesekali tersekat dek jerawat batu yang meliar di wajahnya. Titis-titis kemudian berakhir di hujung janggutnya yang separas dada.

“Manusia macam kamu semua ni ibarat enau dalam belukar! Memijak dan menindas. Kamu tidak fikir nasib orang-orang yang kamu dagangkan. Pergi jahanam dengan manusia yang berakarumbikan haloba. Kamu umpama mengunyah daging saudaramu sendiri! Manusia keparat! ” Bibirnya dijuihkan. Tanda kebencian yang amat sangat. Matanya dicerlangkan. Bagai harimau mahu membaham mangsa.

Digagahinya menghayun langkah yang kian tidak bermaya. Bibirnya kebiruan. Tubuhnya menggigil kesejukan. Kakinya yang telanjang tanpa disalut secebis apapun sesekali terdengkot-dengkot. Kepedihan dek kerikil tajam yang tanpa simpati merobek kulitnya. Sedikit pincang caranya melangkah.

Dia menyanyi lagi. Kali ini lebih nyaring, lebih lantang. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Suara-suara sumbang yang tidak senang dengan kehadirannya tidak diendahkan. Dunia ini bukan milik sesiapa. Dia anak merdeka. Bukan lagi hidup dalam belenggu angkara. Mereka itu yang sebenarnya masih terjajah hati dan minda. Terkurung di bawah kaca, nampak di mata, namun tidak tercapai dek tangan. Sanggup bertopeng untuk mencapai maksud dan cita. Sering terpesona dengan ilusi fatamorgana. Sedang realiti tidak seindah yang disangka.

‘Aku juga pernah seperti kamu’ Dia bermonolog sendiri.

Hujan mula teduh. Manusia yang tadinya bagai takut-takut untuk melata di bumi, kini kembali memenuhi ruang. Ada yang menekup hidung dan ada yang berjalan terjengket-jengket. Yang menekup hidung; Loya dengan haruman ‘asli’ yang terbit dari longkang-longkang tersumbat. Yang terjengket-jengket; bimbang andai kasut atau pakaian berjenama mahal terkena kotoran dek limpahan air longkang.

Sampah sarap yang berbagai rupa tenggelam timbul menunjuk diri. Bukti pada kedangkalan dan kedaifan insan yang bernama manusia. Semua membutakan mata dengan apa yang terhidang. Ada yang berbisik-bisik. Tidak kurang yang menggeleng. Konon suci. Tidak terlibat langsung dengan apa yang terjadi. Manusia hipokrit! Bentaknya.

Bukankah manusia yang terbenih daripada generasi yang kononnya berilmu, berkualiti, berwawasan dan bakal menjadi peneraju negara sepatutnya boleh membuat keputusan tentang ‘baik’ dan ‘buruk’? Membuang sampah merata-rata; baikkah itu? Hujan yang menyimbah disalahkan bila banjir besar berlaku. Tunding-menunding mula berlaku. Tidak sedar yang satu jari ke arah orang lain, empat lagi jari menunding ke arah diri sendiri. Lagak seperti meludah ke langit, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri. Dasar manusia hidung tinggi. Bangga dengan kebodohan sendiri. Bolehkah mereka ini bersatu? Bolehkah?

Dia berjalan ke arah pondok menunggu bas yang kosong. Dia melabuhkan duduk. Tapak kakinya terasa pedih. Bekas luka dek tujahan botol kaca kembali berdarah. “Kerana terpijak kerikil tadi agaknya.” dia mengeluh sendiri. Dia menyumpah manusia yang sembarangan membuang botol kaca yang pecah.

Terpandang longkang yang membuak busuk membuatkan jiwanya makin sakit. Semalam dia terbaca tentang pembinaan terowong untuk mengelak banjir. Dia hanya tersenyum sumbing. Walau berjuta terowong atau tangki tadahan yang dibina, jika pemikiran dan jiwa manusia masih berada di takat lama, semuanya tidak bererti. Bukit ditarah, hutan digondol, kononnya membina pembangunan. Namun hasilnya tetap kemusnahan. Dia bukan antikerajaan. Bukan juga pembenci kemasyhuran. Dia hanya pemerhati. Entah esok atau lusa dia akan kembali ke alam yang sebenar. Alam yang tiada wasangka.

Dia benci dengan manusia yang berbolak-balik. Dia muak dengan manusia yang tidak mahu mengakui kesalahan diri. Things do not happen. Things are made to happen: Kata-kata John F Kennedy ada benarnya.

Dia ingin memberontak. Dia mahu menentang. Bila difikirkan kembali; Apa yang diperjuangkannya? Apa yang dituntutnya? Dia menekur. Lama. Berfikir sebenarnya. Mencari jawapan pada persoalan yang dia sendiri masih kabur untuk memahami. Dia bingung. Diramas rambut yang kebasahan. Perit dirasakan hingga ke kulit kepala. Dia ingin melempar jauh perasaan gundah yang bertandang. Namun terselit satu rasa di benaknya; untuk apa ketidakpuasan hati ini andai tidak dilontarkan?

Dikeluarkan buku nota kecil berwarna hitam dari bundutan yang berwarna biru tua (sehelai kot lama yang diikat menjadi bundut) hampir lunyai kerana kebasahan. Tekun dia menyelak satu persatu helaian yang kelusuhan. Dia bukan pendeta. Jauh sekali seorang ahli falsafah atau pujangga. Dia tidak mampu membuai perasaan bagi yang membaca baitannya. Dia hanya seorang pemuja. Dia mencari pedoman buat mengharungi badai kehidupan.

Hidup ini satu perjuangan. Kalau tidak berjuang menggunakan senjata, berjuanglah menggunakan akal atau pena : Amir Shakib Arselan.

Dia berpegang pada kata-kata itu. Kerana itu dia suka menulis. Meluahkan apa yang dirasakan. Baginya cinta tidak semestinya bersatu. Namun dia tetap mengagungkan kalimah keramat itu. Hidup tanpa cinta seperti unggun api yang tidak pernah menyala; entah di mana dia pernah mendengar kata-kata ini.

Retinanya memerhati seekor katak hitam yang terlompat-lompat tanpa arah. Sesekali menguak. Tidak puas agaknya bermandi hujan. Nasib dia dan nasib si katak serupa. Tiada teman, tiada haluan, tempat mereka bukan di sini. Bukan di tengah kota raya ini. Bas berbelang biru yang datang laju tanpa kasihan menggelek si katak yang hampir menjadi temannya. Dia bangun. “Hei! kenapa kaulanggar kawan aku ha? Manusia keparat! ” Pekiknya.

Dia sedar yang dia menjadi perhatian. Manusia memang begitu. Kain orang dijaga, kain sendiri berlubang seolah dibangga. Dia mencebik. Si katak sudah tiada. Perutnya pecah. Kuakannya juga sudah tidak kedengaran. Dia sendiri lagi. Manusia di sekeliling hanya menggeleng. Mungkin kehairanan. Mungkin kasihan. Mungkin kebencian. Ah! persetankan itu semua! Dia membentak.

Tekaknya sedikit perit. Dahaga. Dari celahan bundut dia menarik botol plastik yang berisi air kosong. Tidak sampai suku botol. Dia meneguk rakus. Cukup sekadar membasahkan tekak. Cebisan karipap yang berbungkus plastik dicapai. Lahap kunyahannya. Masih belum hilang dahaganya. Perutnya mula berkeroncong. Dia meraba saku bajunya. Hanya dentingan syiling yang kedengaran. Dia mendengus kuat. Seingatnya dia masih punya wang. Hampir tiga puluh ringgit. Namun kerana panas hati, dia telah melempar kesemua duitnya ke muka peniaga gerai. Marah kerana layanan buruk yang diterimanya. ‘Mereka sangka aku tidak punya duit agaknya’ bentaknya kasar. Mereka menilai dia hanya kerana wajahnya hodoh dan pakaiannya compang-camping. Sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan telah tersedia di hadapan : Kong Hu Chu. Hari ini dia terlupa pada falsafah yang selalu dibacanya. Dia menggeleng. Mudah benar dia dibuai bisikan iblis. Amarah mengatasi kewarasan akal. Dia tewas hari ini. Raqib dan Atid sudah menuliskah agaknya?

Di hadapannya tersergam rangka bangunan yang masih dalam pembinaan. Manusia yang lain benar bahasa pertuturannya mula mengerumuni pondok bas. Ini pun salah satu daripada kebanjiran. Dia mencebik lagi. Bukan membenci. Namun jelak dengan segelintir yang tidak tahu menghargai budi. Mengambil kesempatan di atas kebaikan kerajaan. Bunuh, rogol, rompak dan peras ugut terlalu banyak membabitkan pendatang seperti mereka. Mungkin tidak semua. Dia bangun. Tidak betah dia berlama-lama di situ.

Matanya meliar mencari pili air. Tekaknya masih dahaga. Dia menyeberang ke kiri jalan. Mencari tandas awam. Tekaknya makin mual dengan bau yang mencemar rongga. Manusia bodoh! Bentaknya. Tandas yang sepatutnya dijaga, sebaliknya dirosakkan. Memang manusia tidak bertamadun! Sumpahnya lagi. Pintu yang terkopak, sinki dan cermin yang dipecahkan, dinding penuh dengan luahan perasaan dan yang paling jijik; najis yang dibiar tanpa dicuci. Memang manusia keparat! Hinanya lagi. Niatnya mahu mengambil air untuk diisi ke dalam botol dibatalkan. Kembang tekaknya.

Harga setiap manusia adalah kebaikan yang dilakukannya: Saidina Ali

Manusia yang tidak punya iman tidak akan pernah memahami kata-kata hikmah sahabat Rasulullah. Walau agama apa pun yang dianuti, kebersihan adalah tunggak utama. Tidak ada agama yang suka kepada kekotoran dan kemusnahan. Memang manusia zaman ini sudah tidak lagi mampu berfikir dengan baik. Manusia bodoh! Ulangnya lagi.

Dia melangkah keluar menuju ke paip di depan surau. Botol yang kosong diisi penuh. Warna air yang kekeruhan tidak menghalangnya daripada meneguk rakus. Menyeringai apabila kepayauan mula bersatu dengan rongga rasanya. Dicepakkan mulutnya. Serasa mahu dimuntahkan kembali.

Masih ada mata-mata yang memandang. Seolah jijik dengan keadaan dirinya. Dia menekur. Kaki yang tidak bersepatu. Penuh dengan kudis dan kuku yang panjang kehitaman. Seluar yang compang-camping, baju kemeja yang dulunya putih bertukar kehitaman, rambut yang berombak kasar tidak bersikat; penuh dengan kutu, wajah yang berjerawat batu, jambang yang meliar, tubuh yang hanya terbonjol tulang berbanding isi. Dia senyum. Terlihat tunggul gigi yang kekuningan. Masih ada lendir saki-baki karipap yang tidak terhadam oleh giginya. Memualkan sesiapa yang terpandang.

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan bentuk tubuh kamu, tetapi dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu: Sabda Rasulullah saw.

Mereka kata dia gila. Sebab itu dia tidak mementingkan kebersihan diri. Gilakah dia? Tubuhnya tiba-tiba bergoyang (lebih tepat seperti digoyangkan).

“Bangun. Pergi mandi. Dah petang ni.” Matanya masih berat untuk dibuka. Seorang lelaki berjambang nipis memandangnya tajam. Dia tersentak. Bingkas dia terduduk. Dia meraba wajahnya. Tidak ada lagi janggut dan jambang meliar, rambutnya tidak lagi berombak; dicukur botak, kukunya juga telah dipotong bersih. Pakaiannya juga putih bersih. Matanya melingas memerhati sekeliling. Yang ada hanya katil yang tersusun kemas. Dia bingung. Lama dia diam. Dia baru tersedar; semalam adalah senja terakhir dia sebagai pengembara. Masih terbayang wajah bengis abang-abang berbaju biru yang memaksanya menaiki trak hitam gelap. Kerana itu dia di sini. Dia bukan lagi seorang pengembara. Tidak ada lagi suara sumbang yang akan mengganggu keheningan senja, tidak akan ada lagi suara sayu yang melagukan senandung kehidupan, tidak akan ada lagi. Yang ada hanya kebisuan. Yang tinggal hanya sebuah penyesalan. Senja yang dulu sudah berlalu.

Profil Penulis:
JULIA Nazri yang dilahirkan pada 2 Julai 1982 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif negara ini. Beliau pernah mengikuti bengkel kursus penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah bimbingan Saudara Zaharah Nawawi. Juga [ernah mengikuti bengkel Penulisan Skrin anjuran Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah bimbingan Saudara Martias Ali. Berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Tenaga Nasional Berhad Petaling Jaya. Anak jati perak dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Berita Harian

Kepompong

Oleh Fudzail




HUJUNG minggu kembali. Hanya sedikit lagi kerja rumah yang perlu disiapkan. Seperti biasa, Najwa akan sedaya mungkin, menangguhkan. Tabiat sejak kecil yang sukar dilupuskan. Sudah menjadi sebati dengan dirinya. Menangguhkan apa sahaja yang berkaitan dengan pelajaran.

Projek Biologi masih pada peringkat mukadimah. Masih mencari idea lagi untuk meneruskan. Proses Fotosintesis? Membosankan. Masih belum pada tahap mengenal organ manusia.

Matanya memandang jauh ke kerlipan neon. Pemandangan dari tingkat dua puluh apartmen menghala ke creek. Kota Dubai kencang berdenyut. Kesesakan jalan di mana-mana. Itupun dalam dunia kegawatan, mengingatkan Najwa pada ayahnya yang bertangguh untuk membeli komputer riba baru. Yang ada sudah mencecah lima tahun, sudah tidak canggih lagi.

Alasan ayah, ekonomi merudum dan perlu bersabar, perlu menyimpan duit, kalau-kalau ayahnya juga akan dibuang kerja seperti beberapa pak cik kawan-kawan ayah yang dikenalnya. Najwa menerima alasan itu dengan berat hati kerana ramai-ramai kawannya sudah memiliki komputer riba baru yang canggih.

Tiba-tiba ada kerlipan dari kotak e-mel. Najwa melompat kembali ke katilnya. Gangguan pertama dalam mencari idea projek Biologi sejak SMS yang diterima, tidak sampai dua minit sebelum itu. Gangguan seperti ini memang dinantikan. Malam minggu bersendirian adalah membosankan.

Ya, Facebook!

Terpampang mesej. "Kamu ada permintaan kawan baru. Klik di sini untuk melihatnya."

Najwa teruja. Jumlah kawan Facebook akan bertambah lagi. Sudah mencecah seratus orang.

Mungkin permintaan ini dari seseorang yang dikenalinya. Lantas diklik alamat URL.

Berdebar Najwa dalam mengharapkan imej seorang remaja yang kacak di skrin. Remaja lelaki berpotongan rambut yang rapi dengan senyuman mengancam. Imaginasi terus membawa bayangan manis.

Foto pun dimuat turun.

Namanya, Bishrun.

Najwa terkejut. Melucukan juga. Dia tidak kenal sesiapa bernama Bishrun yang mahu menjadi rakan itu. Namanya juga bukan nama biasa. Dari foto, lelaki bernama Bishrun itu mungkin sama usia dengan ayahnya sendiri.

Najwa klik pada profil. Keliru. Melihat dengan lebih teliti.

Rambutnya juga sudah ada uban. Alamak! Buku kegemaran ialah autobiografi Nelson Mandela dan The Confession of the Economic Hitman.

Wau! Status, berkahwin. Apa dia?

Najwa berfikir pantas dalam mencari petunjuk. Mungkin ada penjelasan. Ada sesuatu yang tidak kenal. Najwa tidak kenal lelaki bernama Bishrun yang nampak sebaya dengan ayahnya. Kenapa dia mahu jadi rakan Facebook?

Tahun graduan dari universiti. 1988. Sama dengan tahun ayahnya menjadi graduan.

Mungkinkah ayahnya menyamar sebagai Bishrun yang mengaku seorang pengarah sumber manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan? Atau mungkin salah seorang kawan ayahnya menyamar sebagai pengarah sumber manusia yang mahu mengintip pergerakan serta aktivitinya secara online?

Najwa bergegas ke ruang tamu. Ayahnya sedang asyik menaip di komputer riba. Manakala ibunya sedang menonton siri 'Desperate Housewife' yang diulang tayang berkali-kali dan tetap ibunya setia menonton. Sudah menghafal skrip dan babak adegan. Sudah menjadi sebahagian daripada karektor siri popular yang tidak digemari Najwa. Siri itu terlalu lucah bagi Najwa yang masih menggemari Disney dan Nickolodeon.

Ayahnya memang sentiasa bekerja dengan penuh kusyuk. Najwa merasakan ayahnya tidak perasan yang Najwa sedang memerangkap skim licik ayahnya sendiri. Tidak sangka ayahnya meragui kejujuran anak perempuan tunggalnya sendiri.

"Pak cik Bishrun. Ayah kenal siapa dia?"

Najwa bertanya dengan manja.

Ayahnya mengalihkan pandangan dari skrin. Nampak terkejut dan terkeliru. Bukan sahaja Najwa mengganggu penyiapan kertas kerja, tetapi juga bertanya sesuatu yang mengejutkan.

"Apa dia Najwa? Pak cik Bishrun?"

"Ya, Pak cik Bishrun yang ayah menyamar dalam Facebook!"

"Facebook? Apa dia Facebook?" Suara ayahnya agak tinggi, sehingga ibunya sama berpaling dari skrin TV.

Ternyata ayahnya memang tidak tahu menahu langsung mengenai Facebook. Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana kesibukan ayah dengan kerja dan aktiviti persatuan menjadikan dia ignoran tentang banyak perkara dalam trend teknologi. Ayahnya hanya kenal emel, blog sosio-politik dan laman web akhbar harian serta yang berkaitan dunia kerjayanya.

Dalam rasa bersalah kerana bersangka buruk terhadap ayahnya sendiri, ada sesuatu yang disyukuri Najwa. Biarlah ayahnya buta Facebook. Juga ibunya, Kehidupan onlinenya belum dieksplorasi sepenuhnya. Najwa tidak mahu gangguan. Selain Facebook, Najwa sibuk dengan friendsters, myspace, twitter, selain blog peribadi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup remajanya. Blog yang membongkar banyak perkara mengenai perjalanan remaja yang dipenuhi kekeliruan.

"Maaf! Sahaja menduga ayah!"

Najwa kegirangan dan terus berlari masuk ke dalam bilik. Kedua ayah dan ibunya terpinga-pinga. Berpandangan sebelum kembali kusyuk kepada skrin masing-masing.

Sebaik kembali menatap profil Bishrun di Facebook, Najwa terasa lega. Bishrun bukan ayahnya. Ayahnya tidak menyamar sebagai Bishrun.

Tetapi persoalan lebih besar menerojah. Siapakah sebenarnya Bishrun? Bagaimana dia kenal dirinya. Mengapakah dia mahu menjadi rakan? Apakah ada udang di sebalik batu? Ramai orang jahat dalam dunia siber yang mahu mengambil kesempatan, begitu kata ayahnya.

"Berhati-hati! Tiada privasi dalam dunia Internet. Jangan terlalu mendedahkan butiran peribadi. Berbahaya. Lebih baik menyamar daripada berterus-terang!"

Kata-kata ayahnya masih segar. Najwa tidak menyamar dalam facebook. Hanya dalam blog.

Najwa menghela nafas yang ayahnya bukan Bishrun dan tidak tahu mengenai Facebook. Jaringan Facebook sudah dianggotai lebih 150 juta manusia. Bishrun mungkin daripada golongan empat puluhan yang sama menjadi penagih fenomena jaringan sosial siber bernama Facebook.

"Mereka ini kadang-kala sekadar pengacau. Facebook adalah jaringan buat anak-anak muda. Golongan yang masih banyak masa untuk di sia-siakan. Golongan yang tidak mempunyai banyak tanggungjawab. Bujang. Ceria!"

Begitu kata Dina, kawan baik yang mempunyai lebih ramai rakan Facebook kerana memang Dina seorang yang glamor. Memang ada persaingan antara mereka, penagih Facebook mengenai jumlah rakan-rakan. Kalau lebih ramai bermakna lebih popular.

Begitulah juga perspektif Najwa yang baru mencecah usia 17 tahun. Dia hanya menerima kawan-kawan yang sebaya dan dikenalnya. Bukan pak cik dan mak cik. Apalagi cikgu-cikgu. Bukan orang dewasa yang mungkin berniat serong.

Kerana itu jumlah rakannya juga terhad dikalangan rakan-rakan sekolah dan saudara mara. Najwa cukup berhati-hati. Dengan pelbagai cerita jenayah dan gangguan seksual melalui siber, Najwa mengambil berat semua berkaitan privasi.

"Kenapa Najwa?"

Tiba-tiba suara lembut ibunya mengejutkan Najwa. Cepat-cepat menutup skrin komputer bimbit. Cuba mencari jawapan yang tidak membongkar sesuatu yang ingin dirahsiakan. Kehidupan online melalui Facebook.

"Tiada apa-apa!"

Ibunya tersenyum sinis. Mendekati Najwa. Duduk di birai katil.

"Ibu terdengar pasal Facebook!"

Najwa memandang ibunya dengan kejutan. Berkerut muka yang sedikit berjerawat. Memang sesuatu yang tidak disangka. Ibunya menjadi suri rumah sepenuh masa. Setelah mengikut ayah untuk bekerja di Dubai. Bukan tidak mahu bekerja seperti di Malaysia, sekadar mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga. Tidak perlu bersusah payah mengejar masa dan berdepan dengan politik pejabat, selain pelbagai cabaran lain dalam dunia kerjaya.

"Ibu tahu tentang Facebook?"

Ibunya terus tersenyum. Menatap wajah anak kesayangan yang membesar dalam kehidupan kosmopolitan. Dalam dunia siber. Dalam dunia moden sebuah negara Arab yang masih berpegang pada tradisi dan Islam. Bersyukur berhijrah di Dubai yang masih membuka ruang untuk belajar agama daripada masyarakat majmuk.

"Tentu! Ibu tidak sekadar tahu tentang siri Desperate Housewife, Oprah atau Dr Phils!"

Najwa terdiam. Ibunya tidak mempunyai komputer. Sekadar telefon mudah alih. Rakan-rakannya juga terhad di kalangan ekspatriat Malaysia. Tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang agak tertutup.

"Kawan-kawan ibu memperkenalkan ibu pada Facebook, kami guna komputer di kafe Internet kat tingkat bawah ... memang seronok, bukan sekadar berkomunikasi untuk sesama kawan di Dubai, malah melalui Facebook, ibu dapat menjejak kawan-kawan lama ... merata dunia, berkongsi cerita, permainan dan foto keluarga!"

Najwa makin berdebar mendengar lantunan suara ibunya yang teruja. Selama ini dia memandang rendah keupayaan ibunya terhadap teknologi. Sekali lagi, dia mempunyai persepsi salah terhadap ibu bapanya sendiri.

Tiba-tiba ada lintasan menyambar minda. Prasangka bertalu.

Apakah ibunya menyamar sebagai Bishrun? Apakah ibunya termasuk golongan berusia empat puluhan yang mengacau ketenteraman Facebook? Mahu menjejak aktiviti dirinya secara online?

Tetapi Najwa tidak berani untuk meluahkan prasangka yang menyelimuti minda.

"Wow! Ibu pun sudah jadi ahli Facebook?"

Ibunya membuka skrin komputer riba Najwa.

"Sekarang ibu tahu akaun Facebook Najwa. Nanti ibu akan buat permintaan untuk menjadi rakan Najwa, rakan kepompong Facebook ibu yang ke-200!"

INFO

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

Tiga Kuntum Bunga

Oleh Darma Mohamad




Kuntum 1

KAMI dikejutkan oleh bunyi.

Bunyi itu tidak nampak, sukar dinyatakan sebesar mana saiznya. Namun jika juru gambar sempat merakam wajahnya, boleh jadi bunyi itu sama besar dengan bukit di hadapan rumah kami. Semua orang tercari-cari di mana bunyi bersembunyi setelah kedengaran suaranya. Masing-masing bergegas keluar dari kepompong rumah.

"Mana bunyi itu," jerit seseorang, entah apa namanya. Tidak perlu lagi mengetahui nama seseorang di tengah kelam-kabut begini.

Orang semakin ramai keluar di hadapan deretan rumah kami. Masing-masing mencari bunyi.

"Tengok sana!" jerit seorang perempuan yang juga tidak perlu dinyatakan namanya di sini. Yang penting adalah suara jeritannya, bukan lagi siapa yang menjerit.

Kami memandang ke arah yang ditunjukkan oleh perempuan itu.

"Mana? Mana?" Entah suara budak lelaki mana yang bertanya itu.

Tidak siapa yang pedulikan kepada pertanyaan itu. Kami hanya mahu mencari suara tadi. Kami mahu mencari apa yang ditunjukkan oleh perempuan itu.

Ada seorang lelaki berbaju merah meluru ke balik bukit.

"Ikut dia!" jerit seorang lelaki lain yang ada bersama kami.

Kami beramai-ramai berlari. Tidak ada siapa yang tahu apa yang dikejar. Kami mengejar lelaki itukah atau mengejar bunyi yang kami cari sebelum ini. Derap tapak kaki kedengaran hebat sekali. Kami hanya mahu melihat bunyi. Bunyi mahu lihat bunyi yang bergegar tadi. Kami mahu tangkap sayap bunyi itu. Jika dia ada paruh, kami mahu ikat paruhnya.

"Waooooo!" Tidak dikenali siapa yang memuntahkan suara itu. Ini raung ketakutan.

Kami sampai ke tempat yang dituju. Kami berdiri memandang apa yang ada di hadapan kami. Tidak ada bunyi di situ. Semua orang tidak melihat bunyi.

Kami melihat bangunan tinggi di lereng bukit telah ranap. Bunyi kuat tadi tidak ada. Kami percaya bunyi itu telah melarikan diri. Yang ditinggalkan oleh bunyi itu ialah runtuhan bangunan.

Dahulu kala sebelum bangunan tinggi terpacak di lereng bukit itu, lima belas batang pokok besar tumbang di situ satu demi satu. Pokok itu kami lihat mempunyai akar tunjang yang panjang dan kuat. Namun pokok-pokok itu tumbang kerana keadaan cerun yang agak curam. Dahulu kala, orang tua kami selalu berpesan agar jangan dirikan rumah di lereng mana-mana bukit, nanti tubuh bukit akan senget. Bila tubuh bukit akan senget, akan berlakulah petaka alam. Petaka alam boleh mendatangkan maut secara tiba-tiba.

Kini kami menyaksikan bangunan yang mewah dan megah telah ranap ke bawah cerun. Esoknya, surat khabar melaporkan 88 orang meninggal dunia, 44 orang lelaki, 44 orang perempuan. Semua pihak telah membuat laporan awal punca kejadian bangunan runtuh di lereng bukit itu.

Semua jari menuding kepada "Hujan".

Kemudian semua pihak bersedap-sedap dengan menghirup kopi masing-masing.

Kami temui bunyi yang kami cari. Bunyi inilah yang kami takuti selama ini. Dahulu kala, kami sudah hantarkan beberapa pucuk surat kepada pihak berwajib agar lereng bukit itu jangan diusik, kerana kata kami, bukit itu ada nyawa. Banyak pihak mentertawakan kami, kerana mereka anggap kami ini percayakan perkara khurafat. Mereka tidak faham apa yang kami maksudkan sebagai 'nyawa' dalam surat-surat kami itu. Bukit bertutur dengan bahasanya.

Sekuntum hujan kembang di lereng bukit.



Kuntum 2

TADI siang, kami telah meredah hutan dan memanjat bukit.

Sudah satu malam itu kami bermukim untuk pesta baca puisi. Pesta ini bukan sebarang pesta. Para pembaca puisi yang dijemput terdiri daripada tokoh-tokoh ternama dari separuh dunia. Jangan kata puisi itu barang hampas. Di banyak bahagian dunia, puisi berakar dan hidup. Ada orang menghirup puisi bersama secangkir kopi. Malah ada yang memakan puisi yang ditulis di atas sepotong roti. Ini kedengaran sungguh aneh.

Kami menyemak puisi-puisi yang akan dibaca. Pembaca akan membaca puisi ciptaan mereka sendiri dalam bahasa asal mereka dan terjemahannya telah dibuat oleh pihak penganjur lebih awal.

"Aku perhatikan puisi penulis Amerika ini sungguh terus terang. Tengok apa yang dia tulis," kata seorang lelaki yang ada di situ.

"Maksudmu apa?" tanya seorang yang lain.

"Baca halaman 200, bukankah dia cabar pemimpinnya?" jawab lelaki tadi.

"Kau ingat penulis kita tak mencabar?" tanya pula tukang hidang teh.

"Aku tak pernah tengok puisi kau yang pedas!"

"Kau silap. Jika aku tulis puisi cabai, ia tetap pedas," kata penyair kosmopolitan itu. "Jangan kau tak tahu pengikut Amiri Baraka ramai di AS. Dia itu salah seorang daripadanya."

"Aku suka kalau dia baca salah sebuah puisi Baraka itu," kata si tikang teh.

"Aku tau puisi apa yang kau maksudkan," sampuk lelaki yang sedang membelek antologi tadi. "Aku baca puisi itu dua puluh kali."

"Puisi apa yang kau baca dua puluh kali? Puisi Baraka ke?" Tanya si tukang teh.

"Ya. Puisi Baraka, Somebody Blew Up Amerika," tegas lelaki itu lagi.

"Jika kau baca puisi Baraka, baca juga puisi Usman Awang. Kaji ada persamaan atau tidak!" cadang lelaki itu.

Kami akhirnya mundar-mandir dalam hutan sastera Timur dan Barat. Ada minta kami membaca Neruda, ada suruh baca Diwan al-Halaj, ada suruh baca Rumi, ada minta baca Hafiz, ada suruh tinjau Walcott, ada minta mendalami Hamzah Fansuri dan ada minta telaah Amir Hamzah. Malah ada di antara kami sudah membaca lebih daripada itu.

Siang esok kami akan menghadiri sesi pembentangan kertas yang berjudul, Puisi Tidak Perlu Ditulis Kerana Puisi Tidak Perlu Dibaca?. Kertas ini akan dibentangkan oleh seorang penyair kawakan dari Hemisfera Selatan. Satu lagi kertas yang dijangka menarik berjudul, Puisi Itu Bara, Puisi Itu Embun oleh pengkritik puisi dari Hemisfera Utara yang akan menggalurkan peranan puisi dalam penyebaran dan penghayatan Islam di Semenanjung Arab ke Kepulauan Melayu.

Malam baca puisi dimulakan sebaik-baik sahaja selesai makan malam. Tetamu undangan ditempatkan di kerusi depan di atas pentas tergantung yang bergemerlapan. Di bawahnya mengalir sungai yang arusnya agak deras. Permukaan air sungai itu disuluh dengan cahaya pancawarna. Pada sebelah siangnya kami cuba bermain-main di atas pentas tergantung itu. Memang menarik bila pentas itu berayun-ayun bila dipijak.

Kami rasa curiga. Kami cuba menentang pembacaan puisi di atas pentas tergantung pada sebelah malamnya. Kami memberitahu pihak penganjur bahawa tanah lapang sudah cukup untuk membaca puisi. Pihak penganjur pula memberitahu kami bahawa pemilik pusat peranginan tepi sungai itu mahu menjadikan pembacaan puisi itu lebih meriah. Pentas tergantung yang dibina betul-betul di tengah sungai baru saja siap.

Penyair melantunkan suara mereka seorang demi seorang. Puisi-puisi panas dan tajam dilontarkan ke kepada khalayak yang rata-rata berada di atas tebing sungai.

Bunyi itu tiba-tiba datang. Bunyi yang sukar ditulis oleh bahasa. Suara penyair bertukar menjadi jeritan panjang. Jerita itu disambut serentak oleh para jemputan dan khalayak di tebing sungai.

Pentas tergantung runtuh! Malam menjadi hingar-bingar.

Dengan sedih seorang rakan berbisik, "Malam ini benar-benar puisi tidak perlu dibaca."

Keesokan harinya akhbar melaporkan seramai sepuluh orang mati lemas; lima lelaki dan lima perempuan. Lima orang lain masih hilang. Jurucakap pemilik pusat peranginan mengatakan hujan lebat di hulu sungai menyebabkan air naik secara tiba-tiba dan arus deras menerjah tiang-tiang penambat dengan kuat. Ini menggugah tiang-tiang pentas itu lalu tercabut.

Semua jari menuding kepada "Hujan".

Kami berkabung dengan berhenti menulis puisi buat beberapa waktu.



Kuntum 3

SEORANG gadis mengutip kuntum-kuntum hujan yang gugur di halaman rumahnya.

Sang gadis membaca setiap huruf pada setiap kelopak hujan itu.

"Rahmat Tuhan melimpah sampai ke segenap liang bumi, menjirus saraf-saraf pohon. Burung-burung basah kuyup sampai ke tulang dan berdoa pada pagi hari. Bumi menggenggam bau harum dari langit tua sahabat abadinya. Hujan menyampaikan salam silaturahim penghuni langit kepada penghuni bumi dengan lidah jernihnya."

Sang gadis mencium kuntum-kuntum hujan itu sepuas-puasnya. Dia tenggelam di dalam kelopak tasbih. Nafasnya bercantum dengan nafas hujan, berlari-lari ke lubuk tafakur paling sunyi. Dia mahu tenggelam dalam kuntuman hujan itu, kerana hujan itu harum dan keharuman itu berakar di langit.

Tatkala kami tiba di rumah gadis itu, dia sudah pengsan.

Kata ibunya, "Semalaman dia bermain hujan kerana katanya hujan itu Rahmat Tuhan. Dalam hujan dia beristighfar, kerana dia hendak membersihkan jiwanya. "

Hujan masih belum berhenti.

Info

DARMA MOHAMMAD, nama pena bagi Daud Mohammad yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 1948, mula

berkarya pada 1972 dengan menekuni puisi, cerpen, esei sastera-budaya, buku refleksi sejarah dan novel. Karya secara eceran itu mendapat tempat dalam akhbar dan majalah perdana negara ini seperti Berita Minggu, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Solusi, Wanita dan Jelita selain mempunyai puluhan antologi puisi. Antologi puisi perseorangan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (jurusan Sastera Tulen) dari Universiti Malaya, 1972/73 antaranya ialah Gernyut nafas (1989) dan Jinjang Iktikaf (2003). Novel remaja, Menjaras Ribut (1991) dan novel umum, Kejora Di Kaki Langit (2008), Derai-Derai Debu (2008) serta Bunga-bunga Terumbu (1992). Novel dewasa, Merinci Ufuk (1991), Langit Duri (1992, ulang cetak 1994) dan Kejora Di Kaki Langit (2008). Buku Umum Berunsur Sejarah � Sejarah 30 Sahabat Nabi + 30 Puisi berunsur Islam, Nafas Di Lembah Atar (2009).

Mimbar

Oleh Amiza Khusyri Yusof

ANGIN Subuh yang berpuput masuk melalui jendela masjid seperti bahang bara menerpa batang tubuhku. Bunyi kicauan burung semacam memerli-merli dan damai pagiku seperti dihempap gelisah yang berbongkah-bongkah.

Aku tidak tahu kenapa. Sejak naik ke mimbar tempoh hari, aku seperti tidak dihiraukan oleh Haji Salleh dan dia sentiasa mengelak daripada bertembung mata. Bukan tidak pernah dia tersenyum menyalamiku sebelum ini, malah dia selalu bertanya khabar dan memandangku dengan tunak mata kasih.

Puas aku mengesyaki diri. Acap kali melihat tampang di hadapan cermin, takut-takut ada yang tidak bagus pada penglihatannya. Kadang-kadang asyik menghidu sana sini, bimbang sekiranya ada bau kurang menyenangkan. Ataupun, meneliti susuk tubuh dan bahasa badan, risau sekiranya ada perilaku yang menyinggung.

Namun, aku bukanlah manusia sempurna, yang lengkap serba-serbi. Tuhan juga telah menyatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian walaupun senget rupanya, panjang sebelah tangannya, besar sebelah kakinya. Dan aku kekal meyakini, bahawa semua orang yang mempunyai kelemahan, pasti ada kelebihan. Apakah kesalahan yang telah aku lakukan?

Aku sebenarnya sudah terdengar kasak-kisik yang Haji Salleh ingin meletakkan jawatan sebagai imam masjid. Aku juga ada mendengar cakap-cakap atas angin yang ahli jawatankuasa masjid sedang menimbang-nimbang untuk memilih imam baharu. Dan baru saja dua hari lalu, pihak masjid mengumumkan Haji Salleh tidak sihat. Dek sebab itulah beliau tidak dapat mengimami solat beberapa hari ini.

Barangkali kerumitan tentang imam masjid sudah terungkai, tapi bagaimana pula masalahku dengan Haji Salleh?

"Barangkali dia terasa hati dengan kau." Komen Bidin, kawan sekolahku yang sejak dulu buncit perutnya.

"Mungkin dia ada masalah." Kata Ngah Leman, penoreh getah yang matanya selalu terkedip-kedip bila bercakap.

"Agaknya imam tak sihat." Tebak Hashim, guru bahasa Inggeris berhidung mancung yang selalu menang pertandingan puisi Melayu.

Dan sesungguhnya hatiku kini begitu dilambung walang. Ada gempa dalam jiwa yang tidak mahu surut. Apakah kehadiranku kembali ke kampung beberapa bulan ini mengganggu Haji Salleh, guru mengaji Quran yang begitu kuhormati dan segani itu? Apakah dia merasakan kehadiranku ini menggugat kedudukannya sebagai imam masjid?

Tidak. Tidak sama sekali. Tiada meski sebesar zarah dalam hatiku untuk memegang jawatan yang maha berat itu. Menjadi imam bukan sahaja memimpin jemaah dalam sembahyang, tapi memimpin masyarakat supaya mengenali Islam sebagai manhaj kehidupan melalui akidah yang sahih, ibadah yang betul dan muamalah yang sebenar.

Aku mula memuhasabah diri. Apakah aku ada melakukan kesalahan yang meski sebesar biji sawi kepadanya sejak pulang ke kampung? Apakah terdapat kekhilafan ketika aku berkhutbah tempoh hari?

Rasanya peluang berkhutbah itu telah aku gunakan sebaik mungkin. Lima rukun khutbah seperti memuji Allah, membaca selawat ke atas nabi, wasiat bertakwa, membaca sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran dan membaca doa untuk kaum Muslimin telah aku laksanakan dengan baik. Sekiranya tidak, pasti ada jemaah yang telah datang menegur kesalahan itu dan ini. Aku meyakini itu.

Bezanya barangkali ialah aku bukan membaca khutbah, tetapi berkhutbah. Aku tidak menggunakan teks, hanya mencatat beberapa isi penting sebagai panduan untuk mencapai objektif khutbah pada hari itu.

"Bagus ustaz, berkhutbah tanpa teks. Pembaharuan yang baik. Dan cara ustaz menyampaikan pun kena nada turun rendahnya." Komen Sulaiman, cikgu bahasa Melayu yang hidungnya tercatuk itu.

"Berkhutbah tanpa teks bukan pembaharuan cikgu, Rasulullah dan para sahabat dah lama buat, malah di negara-negara Arab pun kebanyakan khatibnya tidak menggunakan teks." Aku melempar senyum kepadanya.

"Seronok dengar khutbah ustaz, semua orang boleh tumpu dan dapat maklumat-maklumat baru." Kata Midun, pengembala lembu yang memiliki banglo besar dua tingkat itu.

"Alhamdulillah. Itulah yang kita harapkan daripada perkumpulan seminggu sekali seluruh kaum Muslimin." Nada suaraku lembut dalam harap.

Dan orang yang bernama Haji Salleh itulah yang sedang berada di hadapanku kini. Dia sedang duduk bersila di saf pertama mengadap mimbar berzikir dan memetik tasbih. Tidak lama kemudian aku perasan dia bangun dan kelihatan ingin keluar masjid. Aku yang sedang duduk di saf keempat segera bingkas dan terus menuju kepadanya dan bertembung di pintu sambil memberi salam dan menghulurkan tangan ingin berjabat. Haji Salleh kelihatan seperti rusa masuk kampung dan aku lekas-lekas menggenggam tangannya. Dia tidak mengangkat pandangannya menatap wajahku seperti dulu, bahkan kemudian menarik tangannya daripada genggaman sambil buat-buat tersenyum dan terus berlalu menuruni tangga masjid.

Aku di ambang pintu bagai kucing kehilangan anak sejeda dan kembali duduk beriktikaf lalu memandang mimbar. Mimbar itulah yang menjadi permulaan segalanya ini. Mimbar yang diperbuat daripada kayu jati dan kelihatan seperti gapura berkaligrafi itu barangkali menjadi sebab utama Haji Salleh menjauhkan diri.

"Imam tak sihat hari ni. Boleh ustaz naik jadi khatib?" Wajah Haji Muluk bersinar harap di hadapanku.

Pagi Jumaat. Kipas berputar laju di ruang tamu. Ayam itik bising-bising di luar.

"Tak apakah saya jadi khatib? Apa kata Haji Salleh?" Wajah Haji Muluk kutatap tunak.

"Haji Salleh ke hospital. Kami tak sempat berjumpanya untuk bertanya. Tapi nazir masjid dan semua jawatankuasa dah setuju. Lagipun bila lagi kita nak beri peluang kepada orang muda." Haji Muluk tersenyum manis di hadapanku, lalu mengurut-urut janggutnya yang santak ke pangkal dada.

Dan pada waktu itu perasaanku begitu berbelah bagi dan dalam masa yang sama berat rasa ingin menolak.

Aku menggunakan peluang itu sebaik mungkin menyampaikan khutbah. Sebelum Jumaat, sempat aku melakar beberapa isi penting untuk disampaikan, dan rukun-rukun khutbah kusemat kemas dalam kepala. Aku memilih untuk mengajak jemaah jumaat bermuhasabah dengan mengenal diri sendiri sebagai khalifah di atas muka bumi. Agar mereka mengetahui bahawa semua manusia adalah sama, tidak kira tua atau muda, berpangkat atau tidak, yang dinilai di sisi Allah hanya takwa dan amal soleh. Bagiku, perkumpulan seminggu sekali inilah peluang dan ruang untuk mengajak seluruh kaum Muslimin membuat koreksi terhadap Islam, tentang diri dan amalan masing-masing.

Pagi itu juga selepas dhuha, dengan dipacu semangat yang menjulang-julang, aku terus menonong ke rumah Haji Salleh. Salam sekali dua tidak berjawab. Masuk kali ketiga memberi salam, dan ketika aku sudah mula berpaling ingin pulang, tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dibuka. Namun, tidak kedengaran apa-apa pula daripada Haji Salleh yang terus masuk membiarkan pintu terbuka luas. Jawapan salam pun tidak kedengaran, menjemput masuk pun tidak.

Aku yang terpinga-pinga berjalan perlahan dan memberanikan diri melangkah masuk ke dalam rumah itu. Di depan pintu rumah aku berdiri seperti tiang telefon, tegak dan hilang punca. Kemudian aku terdengar suara berdengung dari dalam rumah. Entah dari jihat mana, aku pun tak pasti.

"Duduklah."

Dada yang sudah mula berombak, terasa semakin kencang. Kaki melangkah dan punggung dihenyak di sofa. Mata memandang meja. Ada timbunan akhbar di atasnya. Hati semakin tidak selesa. Juga, sudah mula mengutuk keberanian yang datang entah dari mana selepas Subuh tadi.

Ada bunyi sudu berlaga dengan kaca. Dan tidak lama selepas itu, Haji Salleh keluar dari dapur menatang dulang dengan jag kaca dan dua cawan beralas.

Haji Salleh duduk di posisi hadapanku. Dia menuang teh. Kemudian bersandar dan tidak memandang langsung tampangku. Tidak lama selepas itu dia menjemput kuminum.

Aku agak terkejut juga dengan layanannya yang sebegitu. Hatiku kini dilanda taufan persoalan. Kencang.

"Pak cik, saya cuma nak tahu, pak cik marah dengan saya?" Akhirnya aku bertanya setelah melalui tempoh jeda yang agak lama. Taufan di hati sedikit reda.

Haji Salleh tidak menjawab. Hanya bunyi kipas berpusing perlahan. Angin menderu masuk melalui jendela yang terbuka.

"Adakah sebab saya berkhutbah? Pak cik tak setuju dengan cara saya itu?"

Bungkam.

"Khilaf itu rahmah pak cik. Bukankah bila berlaku khilaf kita kena elakkan dikuasai hawa nafsu dan berlapang dada dengan kritikan?"

Aku memanggung kepala memandang wajahnya yang putih bersih. Ada janggut putih melebat di dagu. Dan aku ketika itu begitu gentar, tapi menguatkan hati demi menjulang kebenaran. Pantang datuk nenek aku berkata-kata di belakang. Apatah mengutuk-ngutuk dan mencerca tanpa hujah, itu bukan sifat seorang Muslim.

"Jika tak sependapat, kita mesti memilih diksi terbaik apabila berkata-kata dan tidak boleh menuduh-nuduh apatah menyakiti orang. Kita juga tidak boleh memaksa orang menerima pendapat kita dan hendaklah kita menghormati pandangan orang lain. Kita perlu menghargai usaha yang dilakukan oleh ulama terdahulu, pak cik." Saya bersuara penuh yakin.

Tiba-tiba aku melihat Haji Salleh mengangguk. Sungguh, reaksinya itu membuatkan hatiku kini kembali dihempuk pertanyaan.

"Aku menghormati pandanganmu, ustaz muda. Sebenarnya ...." Tiba-tiba aku terlihat tenggoroknya turun naik menelan liur.

"Aku malu denganmu. Aku rasakan, sudah tiba masanya untuk aku memberi ruang kepada orang muda sepertimu. Masjid perlukan tenaga orang muda dan pembaharuan yang baik." Dan terungkaplah nada sebak dalam kata-katanya itu.

Ya Tuhan, hatiku diserkup haru yang bukan kepalang. Sungguh, aku belum cukup mengenali orang tua ini. Dan sesungguhnya kini aku mengetahui, betapa mulia hatinya, begitu lapang jiwanya.

Aku bingkas dan mencapai tangan Haji Salleh. Kukucup tangan guru Quranku itu lalu memeluknya erat. Betapa hatiku kini terasa amat akrab dengannya.

"Pak cik, ayuh, kita lakukan tugas ini bersama-sama!" Kataku rapat di telinganya dalam keharuan dan manik-manik air mata yang sukar dibendung.

Biodata:

AMIZA Khusyri Yusof, dilahirkan di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan, pada 30 Ogos 1981, mula berkarya secara serius pada 2003 ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dan pernah mengemudi Kem Latihan Penulis (Kelap) di sana. Pernah memenangi kategori karya eceran melalui cerpen Salju Jabal Musa pada Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 (ASNS) dan dua karya eceran ASNS 2007 melalui cerpen, Ibtisam Syawal dan Salehuddin 21. Terkini memenangi hadiah ketiga kategori cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-12 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui cerpen, Kasad. Cerpennya dipilih sebagai judul antologi Salju Jabal Musa yang turut memuatkan karya Ghafirah Idris, Nimoiz TY, Ida Munira Abu Bakar dan Fahd Razy yang dilancarkan di Kelantan Darul Naim dengan kerjasama DBP dan e-Sastera, pada 10 Jun 2005 . Novel sulungnya, Menjadi Bintang, diterbitkan DBP pada 2008. Graduan Universiti al-Azhar, Mesir, yang mendapat ijazah kepujian dalam Jurusan Tafsir al-Quran, kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh. Aktif mengadakan motivasi remaja dan ibu bapa dengan Imtiyaz Training dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen). Ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) boleh dicapai di http://amizakhusyri.blogspot.com.

Berita Harian, Sabtu 9.1.10

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.