Sanubari seorang anak

“Saya mahu jadi Islam yang betul-betul Islam, puan!” Erat-erat dia meramas jemari tangan saya dalam tangisan menjujuh yang entah bila akan berperhentian. Begitulah dia, gadis 12 tahun yang seringkali mendatangi saya dengan rayuan dan kolam mata berair sejak saya cuba membelanya dengan keadilan undang-undang. Tetapi keputusan mahkamah hari ini benar-benar membuatkan anak mentah itu separa gila menangis. Sekejap dia singgah ke bahu walidnya untuk menghambur kesedihan. Sekejap dia singgah ke bahu nendanya. Sekejap dia singgah ke bahu ibu saudaranya. Akhir sekali bahu sayalah yang dipilihnya untuk merayu-rayu menagih jalan penyelesaian. Sungguh Rabb, saya tidak kuat menelinga harapan anak ini! Terasa betapa gagalnya saya menjadi pembela yang baik!

“Kemenangan mama hanya dalam kawasan mahkamah ini saja. Hakikatnya, mama tetap kalah untuk mendapatkan hati saya. Saya tak peduli, saya tetap akan lari lagi dari rumah mama.”

Saya dan walidnya terpempan tatkala ditusuk ayat ‘akan lari lagi’. Kami saling bertanggam muka. Wajah anak itu benar-benar melantunkan kesungguhan. Wajah anak itu benar-benar membiaskan tekad yang tidak terjumlah.

“Jangan lari, sayang. Kebahagiaan adalah bersikap yang sewajarnya, tidak menelan bayang-bayang dan membuang semua kekhuatiran dalam hati. Walid akan cuba membuat rayuan kes ini. Demi Hubbah, walid akan berjuang habis-habisan. Tadi, saat hakim membacakan keputusan, dia lantas menutup wajah saljunya dengan hujung tudung hijaunya untuk mengekang tangis yang deras. Tetapi hinggutan di bahunya tidak dapat menyembunyikan nubarinya. Saya dapat melihat betapa hampir saja hujung tumitnya tidak berpijak di bumi. Wajah putih suci itu amat mendung dan lencun dengan hujan tangis. Hari kemenangan ini barangkali menjadi tarikh paling indah buat ibu kandung anak itu tetapi bukan coretan indah buat Hubbah, bapanya dan keluarganya. Hampir dua bulan lebih mereka resah menantikan kehadiran tarikh keputusan perbicaraan ini dengan penuh harapan, akhirnya kekecewaan yang menyusul.

Hubbah sudah sah menjadi milik mamanya. Satu pemilikan yang tertulis dalam perundangan tetapi bukan satu pemilikan yang tertulis dalam sukma anak itu. Keputusan hakim itu bukan sekadar mendukacitakan Hubbah sekeluarga malah seluruh umat Islam turut sugul mendengarnya. Kes perebutan hak penjagaan terhadap Hubbah ini tidak lagi bersifat peribadi kerana seluruh dunia sedang menelinga dan menyorotinya dengan penuh doa. Ini kerana mama dan walid Hubbah dari berlainan budaya, bangsa dan negara berebutkan seorang anak gadis bijak yang sentiasa mencanangkan akan kecintaannya terhadap Islam. Walidnya seorang yang kuat mencintai Islam sedangkan mamanya adalah mualaf yang hanya belajar mencintai Islam setelah mula bercinta dan berkahwin dengan walidnya.

Anak kecil tapi berjiwa besar itu berkali-kali menegaskan dia berhajatkan hanya walidnya yang dapat mengutuhkan akidah Islamnya, bukan mamanya. Setelah mama dan walidnya bercerai anak itu dipelihara mamanya. Namun, berkali-kali Hubbah memanjangkan rungutan kepada walidnya bahawa ‘Islamnya’ berkisah lara tatkala dia berpayungkan didikan mamanya. Mama tidak membenarkan dia mengamalkan cara hidup Islam seperti yang pernah ditarbiah oleh walidnya sejak kecil.

“Mama pujuk saya agar tidak bertudung. Mama marah-marah apabila saya bersolat. CD nasyid Yusuf Islam yang walid hadiahkan dulu telah mama buangkan. Mama mahu saya dengar lagu-lagu penyanyi Barat yang mama katakan lebih luas pemikiran dan falsafahnya. Mama kata saya wajar membesar sebagai gadis Barat yang sofistikated bukan sebagai muslimah yang ekstrem. Ada lelaki bukan Islam yang tinggal bersama mama!”

Astaghfirullah! Menadah akan pengakuan tulus Hubbah yang dipanjangkan melalui telefon itu, walidnya dari Pakistan lantas buru-buru ke Scotland. Walid menunggu Hubbah di pagar sekolah dan terus membawanya pulang ke Pakistan. Maka dengan api marah yang marak menyala mamanya telah melaporkan kepada polis bahawa perawannya telah ‘diculik’. Pencarian polis Scotland berakhir di Pakistan apabila siasatan membuktikan Hubbah mengambil penerbangan ke Pakistan bersama walidnya.

“Bukan walid yang melarikan saya. Saya yang minta walid datang membawa saya tinggal bersamanya,” tegas anak itu ketika disoal siasat polis. Tanpa seinci pun rasa bersalah dia berani melontarkan pengakuan. Dari situlah pintu mukadimah perebutan hadanah ke atas Hubbah menguak. Sebagai peguam bela sulit menemukan penyelesaian. Menterjemah wajah klien saya, walid si Hubbah, sudah cukup memantulkan betapa ayah penyayang itu benar-benar mahu menyelamatkan emosi dan akidah puteri bongsunya itu. Betapa hebatnya kemahuan Hubbah. Benarlah, kesulitan akan membuka pandangan, menghidupkan hati, mendewasakan jiwa, mengingatkan nilai kehambaan dan menambah pahala. Maka jadilah Hubbah anak kecil tetapi telah diberi-Nya kekuatan fikiran.

Pastilah saya sehabis daya cuba untuk mengintai peluang kemenangan dalam rayuan yang bakal menyusul. Selain amanah dan tanggungjawab dalam profesionalisme ini, pastilah atas dasar tanggungjawab sesama Muslim mendorong saya memastikan Hubbah dipulangkan kepada yang berhak. Keadilan itu juga sesungguhnya bukan terletak pada teks perundangan, tetapi pada jiwa hakim. Hubbah tidak wajar membesar sebagai anak yang keliru, celaru, pendendam dan terus mengheret rasa keputusan. Malah, saya sempat menelinga pesanan klien saya kepada Hubbah.

“Jika kita tidak dapat pengadilan di dunia, maka buatlah aduan kita itu ke pengadilan akhirat. Di pengadilan akhirat, para saksinya adalah malaikat, dakwaan terhadap diri kita akan dirahsiakan dan hakimnya pastilah Dia yang Maha Adil.”

Kata-kata rangsangan klien saya itu membuatkan sekuntum bunga sedang mengelopak di bibir merah Hubbah. Saya tumpang tersentuh dengan rangsangan sedemikian. Sungguh kekeliruan didikan telah mendewasakan anak itu rupanya.

Dua minggu lagi akan ternukillah tarikh pendengaran kes rayuan hadanah klien saya itu. Saya tidak jemu-jemu memanjatkan doa agar nawaitu saya untuk ‘menyelamatkan’ Hubbah bukanlah satu pilihan tetapi satu kewajipan. Kes ini bukan calang-calang kes. Masyarakat dunia Islam akan kerugian andai membiarkan seorang gadis Muslim hanyut dalam asuhan ibu yang masih samar-samar pegangannya.

“Mama tu dah macam bukan Islam!” dengan nada perlahan lagi sayu, anak klien saya itu mengkhabarkan perihal mamanya ketika dia dipanggil ke kandang saksi. Wajah anak itu amat terserlah akan kesediaannya untuk menghikayatkan apa saja kisah mamanya.

“Boleh beritahu mahkamah apa yang awak maksudkan ‘macam bukan Islam’, Hubbah?" duga saya ketika sesi soal balas. Saya tidak mahu anak klien saya itu hanya petah mengkambinghitamkan mamanya tanpa sikit pun memahami apa yang diluahnya. Menuding seorang Muslim sebagai ‘macam bukan Islam’ bukanlah sesuatu yang enteng. Apatah lagi ia disuarakan oleh seorang anak kecil yang hanya ‘bersaksikan mata’ yang boleh menguatkan ketidakyakinan hakim terhadap kenyataannya. Sembari lama berjeda dia menghela nafas dalam-dalam, “Saya melihat dengan mata dan akal. Bukan melihat dengan mata dan perasaan. Mama tinggal dengan lelaki yang bukan Islam. Di rumah mama ada makanan dan minuman yang tidak halal. Mama pernah mabuk-mabuk. Walid kata haram orang Islam melakukan sebegitu.”

Hakim mengangguk-angguk mendengar penjelasan frasa ‘macam bukan Islam’ anak itu. Namun ketika giliran mamanya memberi keterangan, mama Hubbah itu berkali-kali menegaskan dia masih Islam. Dia menuduh klien saya cuba mempengaruhi pemikiran anak bawah umur itu agar membenci mamanya.

“Yang Arif, keterangan anak ini banyak ‘dikaitkan dengan walid’. Seolah-olah setiap butir ayat anak ini adalah skrip daripada walidnya. Hubbah, setuju kalau saya katakan bahawa apa saja keterangan yang awak berikan pada mahkamah adalah atas hasutan, paksaan dan pengaruh walid awak? Maksud saya walid awak menyuruh awak berbohong di mahkamah? Betul atau tidak?” Peguam mamanya yang lancang itu cuba menimbulkan keraguan. Tenang air muka Hubbah sudah mula berkocak.

Dia sengaja memberi tekanan pada anak klien saya itu. Dia mahu Hubbah tiba-tiba berada dalam ketidakpastian. Saya lantas cepat-cepat bangun dan membuat bantahan mengatakan soalan itu tidak relevan dan boleh membuatkan anak klien saya jadi keliru. Saya mafhum Hubbah bercakap dengan kejujuran yang tidak terjumlah. Namun, hakim menolak bantahan saya.

“Tidak! Walid tidak pernah memaksa saya untuk berbuat apa-apa pun! Apa yang saya cakap tiada kena mengena dengan walid!" Hubbah nampak semacam marah dengan soalan peguam mamanya itu.

Saya paling takut kalau-kalau Hubbah jadi terlalu emosional ketika di kandang saksi itu. Ketidaktetapan emosinya membolehkan prosiding terganggu. Saya melihat walidnya beberapa kali meletakkan tapak tangan ke dada. Saya fikir itu arahan sabar yang sedang diunjukkan kepada puterinya. Sedang saya ralit mengelamun ini, terdengar kerani saya telah mengetuk-getuk daun pintu. Agak kuat ketukannya. Dia tersengih panjang. Barangkali sudah lama dia menunggu di pintu kamar saya ini.

“Jauh puan berfikir? Puan sedang memikirkan kes Hubbah mungkin?" Kerani saya menduga sembari mengunjukkan beberapa helaian faks.

“Dari Scotland puan,” beritahunya. Menangkap diksi ‘Scotland’ buat saya terus kehilangan kata.

“Allah sedang dalam perjalanan menolong jihad puan!” kerani saya berlalu meninggalkan saya. Saya jadi linglung dengan ayat indahnya itu.

Saya jadi tidak sabar. Satu persatu indera lihat saya membarisi ayat-ayat yang tertera. Keterkejutan kejap bermaharajalela di jiwa saya. Rabb, keajaiban apakah ini? Ya, jihad saya sedang ditolongi oleh-Nya. Dulu, ketika saya didatangi oleh walid Hubbah untuk menerima kes hadanah ini, saya jadi berdebar. Saya memang terlalu berhati-hati dalam menerima sesuatu kes. Ini kes besar yang melibatkan perundangan dua negara. Apatah lagi ia menjadi perhatian dunia. Setelah menyedut nafas syukur atas hadiah-Nya ini, jemari saya ligat menelefon ke firma guaman di Scotland itu. Saya mahu menagih pengesahan daripada peguam itu agar kegembiraan ini dapat saya perdengarkan kepada klien saya pula.

“Benar, klien saya mengeluarkan arahan untuk menggugurkan tuntutan hak penjagaan ke atas Hubbah.” Ayat itu benar-benar melegakan saya. Ya, inilah buah kemenangan yang hampir saya petik. Kepada walid Hubbah saya meminta dia segera ke pejabat saya. Saya mahu dia sama-sama meneliti apa yang terkandung dalam tawaran itu. Saya mahu sesak di dadanya dapat diburaikan buat sejenak.

Saya mafhum, sebagai ibu amatlah sulit untuk mama Hubbah itu membulatkan hati memutuskan penyerahan ini. Tiada ibu di dunia ini yang sanggup kehilangan anaknya. Penyerahan ini tidak diperbuat daripada hati, tetapi penyerahan yang terpaksa dibuat kerana ‘tidak sampai hati’. Ketika bersama mamanya Hubbah dikatakan mogok lapar, menguncikan diri di bilik dan keengganan untuk bersuara hatta sepatah pun. Ternyata kemewahan kasih sayang seorang ibu gagal membeli sukma seorang anak. Saya dimaklumkan setelah membuat keputusan ini, mama Hubbah telah mengalami gangguan emosi. Dia kini terpaksa dirawat di hospital di bawah jagaan pakar psikiatri. Ternyata mama Hubbah itu belum bersedia untuk memandu hati dan akalnya agar siap siaga menerima kehilangan seorang anak. Dia terbabas dalam mengawal kerinduan seorang ibu. Segala-galanya dilakukan penuh dengan keterpaksaan.

Kerana cinta seorang ibu berebutkan Hubbah. Kerana cinta seorang Hubbah memilih Islam. Kerana cinta seorang ibu melepaskan Hubbah. Kerana cintakan keadilan, saya seorang pengamal perundangan terpaksa memperdiarkan seluruh cinta mamanya!

Tetapi anak yang masih mencari-cari akan pengertian cinta itu, di wajahnya persis tidak terlukis apa-apa kecintaan terhadap mamanya. Yang terlukis di wajahnya kini adalah warna-warna pelangi. Tiada wajah mendung yang mengiringinya ketika dikhabarkan mamanya mengalami tekanan yang maha hebat. Sebaliknya senyum bahagianya bertebaran di segenap buana.

Penyelesaian rasmi bergema di mahkamah. Melalui peguam, mama Hubbah membuat tawaran bersyarat. Dia mahukan dia dibenarkan bertemu dengan anaknya pada bila-bila masa di samping tidak harus disekat untuk dia terus menghubungi anaknya melalui apa pun medium komunikasi. Klien saya melapangkan dadanya untuk bersetuju tanpa sekumit keraguan. Malah Hubbah juga kelihatan bersedia melunaskan syarat itu. Ternyata kali ini Hubbah tidak perlu ‘lari lagi.’

“Anda tidak mahu ke Scotland bertemu dengan mama anda?” itu soalan seorang wartawan ketika satu sidang media sedang berlangsung selepas kami keluar dari kamar mahkamah.

“Dia tetap mama saya. Menafikan mama bererti menafikan kewujudan saya. Saya hidup kerana dia, cuma saya tidak boleh meneruskan kehidupan bersamanya.”

Saya dan klien saya saling berpandangan.Klien saya mendekatkan wajahnya ke telinga saya sembari separa berbisik dia mengungkap, “Harap-harap jawapan Hubbah itu tersiar di akhbar lalu mampu menyejukkan hati mamanya!”

Benarlah, apabila ada seorang perempuan yang nampak dikurangkan haknya dalam sesuatu hal, maka Islam pasti menggantikannya dengan yang lebih baik pada hal yang lain. Itulah takjubnya frasa ‘syurga di bawah telapak kaki ibu’!

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.