http://www.hmetro.com.my/articles/Nyarismautcurikabel/Article

http://www.hmetro.com.my/articles/Nyarismautcurikabel/Article

Hadiah Sako iktiraf penulis


MOHD. PUAD (lima dari kiri) bersama Mohamed Hashim (empat dari kiri), Zainuddin Maidin (tiga dari kanan) dan Nasir (dua dari kanan) memotong pulut kuning sempena ulang tahun ke-35 UP&D dan Pengisytiharan Kerjasama Pintar Hadiah Sako 3 di Hotel Marriott Putrajaya baru-baru ini.


AKSARA nama Ishak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako amat bermakna dalam lipatan sejarah negara. Sumbangan tokoh persuratan Melayu yang dilahirkan pada 14 November 1909 itu terlalu tinggi nilainya kepada agama, bangsa dan negara.

Justeru, tidak hairanlah jika beliau menjadi ikon dalam bidang kewartawanan. Beliau berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa dunia kewartawanan bukan sekadar melapor berita, bahkan lebih daripada itu.

Menyoroti pemikiran dan perjuangan beliau, ia mampu membawa generasi baru mengenali seorang nasionalis merangkap aktivis politik yang memanfaatkan bidang kewartawanan dan kesusasteraan untuk berjuang di medan tempur sebenar.

Sehubungan itu, bagi menghargai sumbangan dan jasa beliau, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) mengambil inisiatif mewujudkan Sayembara Hadiah Sako bagi novel nasional bermula sejak tahun 1992.

Menurut Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Hairi Abu Bakar, Hadiah Sako merupakan lambang kenangan abadi Utusan kepada Allahyarham Pak Sako, seorang nasionalis yang menggerakkan perjuangan kemerdekaan negara menerusi mata penanya.

“Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Utusan dan telah memerah keringat menjelajah ke segenap pelosok negara untuk mengumpulkan dana bagi mewujudkan akhbar Melayu pertama milik bangsa ini sepenuhnya.

“Buah fikiran yang dikirim dalam baris kata-katanya membakar sukma rakyat dan pada masa yang sama menggugah fikiran penjajah.

“Kini, untuk musim ketiga, UP&D berbangga kerana dapat bergabung tenaga dalam kerjasama pintar Hadiah Sako dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan tawaran hadiah yang lebih menarik,” jelas Hairi pada satu majlis yang dianjurkan baru-baru ini.

Terjemahan karya

Anugerah Hadiah Sako menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000 bagi pemenang pertama, RM15,000 untuk pemenang tempat kedua dan RM5,000 bagi tempat ketiga.

Apa yang pasti, buat julung-julung kalinya karya pemenang Hadiah Sako bukan sahaja menerima ganjaran wang tunai, sebaliknya karya mereka akan diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan berpeluang menembusi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang merasmikan majlis pengisytiharan Kerjasama Pintar Hadiah Sako Kumpulan Utusan melalui UP&D dan ITNM, memuji langkah tersebut demi memartabatkan penulisan sastera dan mengiktiraf penulis-penulis di negara ini.

“Di samping memartabatkan karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, Hadiah Sako ini juga secara tidak langsung dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang penulisan di Malaysia bagi memandu pemikiran rakyat melalui karya yang dihasilkan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron menegaskan, Pak Sako adalah bukti dan simbol betapa sastera dan pembangunan nasional adalah dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain.

“Untuk membentuk sebuah tamadun, bidang sastera tidak boleh dipinggirkan kerana fungsinya tidak terbatas kepada aspek perkembangan bahasa semata-mata.

“Sebaliknya, sastera turut menjadi medium pembina jati diri bangsa, wadah pemikiran yang sarat pandangan, moral, idea malah menjadi kayu ukur intelektual dan kemanusiaan. Lantaran itu, kami di ITNM sentiasa komited menyokong sebarang aktiviti berteraskan kesusasteraan,” tutur Khair yang turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Utusan di atas tawaran kerjasama tersebut.

Bagi Hadiah Sako kali ini, penyertaan dibuka sejak tahun 2005 sebelum ditutup pada 2008 dan pengumuman serta penyampaian hadiah kepada pemenang akan berlangsung pada Julai depan.

Majlis yang dihadiri oleh Pengerusi Ekekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin itu turut meraikan ulang tahun ke-35 penubuhan UP&D.

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.