Terpanggil

Oleh Peter Augustine Goh




"Insya-Allah, Aliman!" Begitulah kaumenamatkan ayat tunggal itu. Tetikus kauseret ke kotak 'hantar'. Sengaja kauhantar mel elektronik pada awal pagi. Aliman, sepupu kau yang lapan tahun lebih muda daripada kau akan menerimanya seawal pagi itu di kamar kerjanya di Kota Suria.

Sebelum kau ke Pekan Mawar, kau terfikirkan e-mel sepupu kau yang amat pendek juga. Dia hanya meminta bantuan kaumenangkap buaya. Dia akan menceritakan sepenuhnya dalam masa terdekat apabila berjumpa nanti di Kota Suria. Nadanya serius. Tetapi fikiran kau kalut.

Di tengah-tengah kekalutan fikiran, kautersenyum pahit berbaur penuh sinis. Pahit, kerana menangkap buaya adalah suatu perkara berat. Walaupun kau penangkap buaya yang berpengalaman, sepupu kau tidak pula. Silap hari bulan, buaya ganas boleh menghantar mangsa ke neraka. Tidak ada pengalaman yang mendebarkan atau berbahaya lain ke? Buaya juga yang hendak didekatinya? Penuh sinis, kerana … ah, senakal-nakal Aliman, kalau cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga. Aliman, Aliman. Kau buat aku mentertawakan kau saja. Begitulah yang kaufikirkan dengan begitu prihatin.

Di dada skrin komputer riba, kau bagaikan ternampak kau mendapatkan kerjasama dan bantuan seorang pawang terlebih dahulu. Pawang itu menggunakan mantera, menyeru buaya yang hendak ditangkap.

Sejurus selepas itu, kau terus bayangkan kau bersama-sama Aliman dalam sebuah perahu jalur. Aliman di sebelah kiri dan kau di sebelah kanan. Kau rasa Aliman pasti berkeringat seluruh tubuh dan titik peluh kasar satu-satu, dalam bulan gelap. Tidak kurang jantungnya berdegup rancak.

Tiba-tiba sepasang mata bersinar disuluhi cahaya. Air sungai berdebur keras. Buaya itu timbul bertentangan perahu. Tidak lama kemudian, ia memusingkan badannya 90 darjah ke kiri, selari dengan perahu, bersedia untuk melibas mangsa. Kau tahu inilah saat paling mencemaskan. Kau dan Aliman mesti bertindak pantas. Mampukah Aliman? Kaumemejamkan mata rapat-rapat. Pada tahap ini kauberbisik sendirian. “Tak usahlah tangkap buaya. Cuti kau kali ini lebih baik kauhabiskan beradvencer di Paris atau di London saja.”

Peter Augustine Goh

Kau bagaikan terdengar, “Tidak. Teruskan. Seronoknya!”

Kau pasti menyanggah, “Otak kau! Kau fikir buaya boleh main-main, ha?”

Aliman tentu akan ketawa lebih nakal, walaupun agak gemuruh. Mata kau masih terpejam. Dalam pejam mata, kau tampak terus. Kayu panjang lima hasta yang diletakkan pada mata tempuling atau tombak direjam sekuat kudrat. Tempuling terpacak di badan buaya itu. Sasaran yang bengis itu tentu melibas kesakitan. Berguling-guling. Meronta-ronta. Ah, rasakan! Kau terdengar Aliman menghambur puas.

Kau terus berbisik dalam hati sendirian. Tidak semudah itu, Aliman. Buaya itu tidak akan pedulikan perahu yang berbolang-baling dipukul ombak. Seguling tali belati yang terikat pada tempuling harus dilepaskan segera. Cepat! Jangan berlengah-lengah lagi! Kalau tidak, perahu kecil akan karam. Masih sanggup ke kau teruskan, Aliman?

Kau terbayang lagi. Perahu dihalakan ke tebing. Inilah masanya kau dan Aliman harus terjun ke air sungai dan berenang ke tebing. Kemudian harus berlari dan menambat hujung tali ke pokok. Pada tahap itu, buaya itu akan terus melibas-libas dan meronta-ronta.

Dan kaumendengar, “Meronta-ronta lemah buaya itu, Johar.”

“Atau kau yang lemah nanti!”

Kau nampak sepupu kauketawa puas. Tapi kau khuatir. Manakan tidak? Aliman pernah mengadu sejak kebelakangan itu dia sering keletihan. Usia semakin meningkat, katanya. Kaumengusik, bukan usia, tetapi kenakalannya di Kota Suria yang bertambah!

Apabila kaumembuka mata semula, kau bagaikan terdengar sanggahan Aliman terngiang-ngiang keras. “Kita teruskan. Aku tak lemah. Seronoknya!”

Apabila dia berkata begitu, sekali lagi kau akan cuba menolak kepalanya lalu meningkah, “Otak kau!” Aliman ketawa lagi. Ada percikan puas hati berbunga di wajahnya. Kau mengetap-ngetap bibir.

Tiga hari kemudian, di Kota Suria, suara ketawa kaumengisi ruang sebuah restoran. Ketawa geli hati kerana rupa-rupanya sangkaan kau meleset. Tapi Aliman tetap berdurja serius. Dia menggenggam-genggam penumbuknya. Giginya dikancing kuat-kuat menahan marah tak terkata. Matanya mencerlang garang. Macam hendak makan orang layaknya. Dari galak matanya jelas ada kala jengking yang liar. Basah dengan dendam. Benar-benar mencerminkan kejengkelan hati.

“Bersabar, bertenang. Minum teh limau berais ini dulu.”

Aliman yang berusia 30 tahun, berkulit cerah, berbadan tegap dan sasa macam kau dan berambut belah tengah itu menurut.

“Dalam e-mel kau, kauberjanji hendak menceritakannya. Ah, ceritakanlah.”

Aliman mengotai janjinya. Kau yang sederhana tinggi, berkulit sedikit gelap, berkumis nipis dan berambut kerinting mendengar penuh khusyuk.

Cerita Aliman bagaikan memercikkan rasa kurang senang kepada kau. Kau tahu sepupu kau yang lebih tinggi itu semakin bersemangat meskipun di hujung wilayah batinnya ada tanah resah yang terbenam. Masakan tidak? Kerana kau tidak begitu bersetuju dengan caranya. Dengan kata lain, kau tidak mahu menolongnya.

“Kau gila ke? Kau tahu aku ini penangkap buaya di air, bukan buaya di darat!”

“Betul, aku tak nafikan. Tapi kita perlukan taktik seperti itu!” tekan Aliman.

“Maksudmu?”

“Umpannya mesti busuk juga. Kau telah memberitahu aku buaya tak makan mangsa, ia telan. Oleh itu, kita berumpankan ayam yang busuk.”

“Siapa yang jadi umpan busuk?”

Dugaanmu terjawab, apabila Aliman menyahut, “Aku sendiri. Kerana aku ‘busuk’. Aku menjadi ‘busuk’ kerana Jufri. Biar dia rasa bagaimana abang perempuan yang dicekutnya dan dipermainkan ini mengajar dia nanti. Tapi aku perlukan pertolongan kau. Aku tak boleh melakukannya seorang diri.”

Nama ‘Rina’ seolah-olah menyalakan semula jiwanya. Kau melihat satu peninju yang sudah disediakan, seolah-olah mahu menumbangkan Jufri dengan beberapa penumbuknya.

“Apa perananku?” sengaja kaumenduga.

Aliman hanya tersenyum. Ada semacam kelegaan bertunas. Kepuasan pada jiwa tidak sukar diterjemahkan dengan kata-kata yang terhambur keluar juga sudahnya. “Setelah umpan ini memperdayakan dia tentang ada ayam muda yang hendak berkenalan dengannya, di sebatang lorong belakang, kau sama-sama tolong aku membelasah dia. Dia itu besar gagah. Tapi aku percaya kau dan aku boleh mengatasinya.”

Kaumengetap-ngetap bibir. Menggeleng-geleng. Satu tanda yang cukup terang kau tetap tidak bersetuju. Aliman cuba mengemis pengertianmu bahawa buaya darat bernama Jufri yang licik harus diajar seperti buaya di air yang perlu ditangkap dan dinyahkan dari muka bumi ini.

Kau tahu pada tahap itu, Aliman sebenarnya resah. Malam Khamis dalam restoran yang dingin itu dia berpeluh, dipanaskan oleh api dendam. Sebenarnya Aliman telah lama menanam benih kemarahan sejak adiknya yang tersayang, Rina dipermainkan si mata keranjang itu. Dan benih tu semakin lama semakin subur, membesar hingga menjadi pokok kebencian. Pokok yang pada pandangan kau harus ditebang. Ditebang buat selama-lamanya. Jangan berakar lagi. Kalau tidak, amat buruk padahnya. Silap hari bulan, Jufri boleh menjadi mangsa bunuh. Dan Aliman dicap pembunuh yang tali gantung saja layaknya. Dan kau pula, boleh dituduh bersubahat yang tak boleh diampun.

Dengan berani, kau menekan panjang lebar dan bernada keras, “Aliman, apa kurangnya dengan kau? Kalau dia buaya yang lapar dan ganas, kau juga sama. Kalau tak kena adik kesayangan kau sendiri, kau tak akan sedar. Kau sudah lupa betapa banyak betina yang telah kautelan. Kau memang busuk! Busuk!! Kalau kau nak teruskan dengan rancangan dan niat jahat kau ini, kaubuatlah. Tapi jangan panggil aku saudaramu! Keturunan datuk nenek kita sebelah ayahku dan ayahmu bukan keturunan orang jahat-jahat. Bumi yang kita pijak, ada undang-undang.”

Aliman tidak bersuara sepatah pun. Yang dibahasakannya hanyalah dengan beliakan biji matanya sampai kau yang duduk bertentangan dengannya di meja bundar di satu sudut restoran agak terkejut. Apakah penumbuknya akan singgah di muka kau sebelum menyinggah di muka buaya darat bernama Jufri itu nanti?

Tetapi kau tidak gentar. Kaumenambah, “Kau tanyalah diri kau sendiri. Kau nak pulang menghadap Tuhan dengan keadaan suci bersih atau dengan keadaan kotor dan busuk berlumuran dosa yang besar?”

Aliman diam lagi. Dia tunduk. Penumbuknya tak tergenggam erat-erat lagi. Malam yang dingin itu terasa tidak dingin lagi. Ia bagaikan dihangatkan oleh suasana tegang. Dalam perjalanan pulang untuk bermalam di rumah Aliman, kau berdua tidak banyak bercakap. Masing-masing melayan diri sendiri.

Di Pekan Mawar kau sibuk. Kembali sibuk menangkap buaya di Sungai Endau, atas permintaan penduduk di sebuah desa kerana dua orang penduduk tua di situ telah menjadi korban binatang buas itu.

Dalam bilik kau yang bermandikan cahaya lampu 40 wat, kaupasangkan komputer riba. Kaubuka kotak e-mel. Banyak penghantarnya. Satu-satu kautatal dengan kursor. Mata kauberlari dengan cepat. Tiada satu yang kau utamakan, kecuali daripada seorang pengirim yang telah lama tidak kaumendengar khabar berita - tidak lain daripada Aliman!

E-mel Aliman kaubaca penuh minat, seolah-olah melepaskan rindu:

“Saudaraku, Johar. Buaya darat itu sudah menjadi buaya yang alim. Jufri telah menjalani pemindahan jantung beberapa minggu setelah kaumeninggalkan Kota Suria. Kini dia sudah menjadi macam malaikat. Tangan sentiasa memegang tasbih. Mulut sentiasa berkumat-kamit dan tidak putus-putus menyebut Allah dan Rasul. Kaki selalu berpijak di rumah suci. Apakah penerima jantung baru seorang penderma yang beriman menjadikan dia beriman juga? Atau suatu kebetulan? Sila baca petikan laporan dalam bahasa Inggeris ini yang aku dapati daripada sebuah jurnal sains:

“Scientists have documented more than 100 cases of transplant patients taking some of the personality traits of the organ donors.”

Kau hanya tersenyum sinis, lalu membalas dan menamatkan ayat terakhir e-mel sebelum kauhantar kepada Aliman, berbunyi:

“Apa pun, ini tidak penting. Yang penting, apakah kau juga perlu menjalani pemindahan jantung daripada penderma jantung seorang yang beriman agar keperibadian kau berubah daripada yang buruk kepada yang baik? Atau apakah kau mahu terus menjadi buaya dan ditangkap penangkap buaya yang lebih hebat. Lebih tepat, lebih dahsyat. Maaf, jika bahasa aku kasar lagi keras dan tidak menyenangkan. Aku tahu teguranku seperti ubat yang amat pahit, tapi perlu ditelan untuk menyembuhkan penyakit. Hapuskan penyakit busuk itu. Ingatlah, umur semakin meningkat dan hayat semakin singkat. Sebelum terlambat, dapatkan umur yang berkat. Assalamualaikum.”

E-mel kau berbalas pendek. Aliman berterima kasih atas teguran kau. Dia akhiri juga dengan salam mesra. Selepas itu kotak e-mel kau tidak lagi didatangi berita daripada Aliman. Agak lama juga.

Dalam diam tetapi tidak diam kaumendengar berita Aliman meninggal dunia di Tanah Suci. Dan kebetulan juga kau sama-sama menunaikan ibadah haji musim haji tahun ini, tetapi dalam rombongan pakej haji yang berlainan. Senyap-senyap dia telah menyahut panggilan Kaabah.

Di sebuah bilik hotel di Tanah Suci setelah kembali dari Mina pada hari raya pertama Aidil Adha, kau teringat dengan jelas dan penuh keterharuan teguran kau kepada sepupu kau tempoh waktu untuk membuat satu pilihan yang berbunyi: “Kau nak pulang menghadap Tuhan dengan keadaan suci bersih atau dengan keadaan kotor dan busuk berlumuran dosa yang besar?”

Maha Suci Allah! Kau mampu tersenyum kesyukuran berbaur keterharuan dalam air mata yang kini masih tersisa di Tanah Suci. Penuh kesyukuran dan keterharuan kerana Aliman telah membuat pilihan yang tepat.

INFO: Penulis

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang

penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenangi nya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional

dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai

(1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

Berita Harian

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.