Warkah Terakhir Natrah

Zulfazlan Jumrah




Rindu Hatiku Rindu

"SEGALANYA kerana cinta, saudaraku. Cinta kepada budaya Melayu, laut Melayu, cinta kepada bumi semenanjungmu, dan sudah semestinya, cinta kepada kesucian agamamu."

Butir bicara Uncle Paul sedikit menusuk kalbu menusuk masuk bersama-sama terpaan pawana dingin di Bergen’s Park, di selatan pekan Bergen Op Zoom. Tulip indigo, kuning, putih dan merah yang menghiasi kebanyakan landskap, masih belum mampu mencuri perhatian indera lihat Rayyan kerana hatinya lebih meruntun untuk mendengar Uncle Paul menyambung bicara.


“Mummy meninggal dunia setelah bertahun melawan leukemia. Siapa sangka, pada usia 72 tahun, dia masih merindui tanah semenanjungmu, kelazatan keropok lekor Terengganu dan mengimpikan untuk berlayar dengan bedar membelah samudera di lautan perakmu. Kau pasti tahu bukan, pada 13 Disember 1950, Mummy Natrah dan nenek Adeline dan moyang Nor Louise telah meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura untuk kembali ke Belanda dengan kapal terbang KLM? Ya, menurut Mummy, ketika itu keadaan sangat sukar dan tidak hairanlah mengapa ramai yang membantah kepulangan Mummy ke Bergen Op Zoom.

Rayyan cuba mencari pangkal ingat. Benar, kepulangan Mummy Natrah mewujudkan protes orang Islam di Tanah Melayu ketika itu. Hampir 200 orang yang cedera dan 18 orang terbunuh, apabila berlakunya penentangan di Singapura yang ketika itu dikawal oleh tentera British. Penentangan agak hebat juga di Karachi, Pakistan yang turut membantah tindakan pihak terhadap Mummy Natrah yang dikhabarkan akan dikristiankan di Belanda.

Diskriminasi berkaitan dengan keagamaan juga kian meruncing kerana umat Islam tidak dapat menerima keputusan undang-undang British/Belanda yang melarang gadis berusia 18 tahun ke bawah untuk berkahwin. Maka, kerana itu Mummy Natrah diminta untuk dipulangkan kepada ibu kandungnya di Belanda. Krisis antara Islam dengan Kristian ketika itu sangat meruncing dan seperti meraikan kemenangan Kristian memurtadkan seorang yang sudah mengaku Muslim, seramai 4000 orang Kristian telah menunggu di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam untuk menyambut kepulangan Mummy Natrah pada 15 Disember 1950.

Rayyan mengerti semua itu kerana itulah juga kisah yang pernah diceritakan oleh Almarhum ayahandanya, cikgu Mansor Adabi, suami pertama Mummy Natrah. Mereka dikahwinkan secara nikah gantung. Ketika itu, ayahandanya berusia 22 tahun dan Mummy Natrah pula berusia 13 tahun dan terdidik dengan adat dan budaya Melayu sepenuhnya. Mummy Natrah juga sudah sangat fasih berbahasa Melayu ketika itu.

“Mummy Natrah itu tergaul dengan didikan santun Melayu, saudaraku. Adab dan mustika budinya luhur laksana perawan Melayu yang masih sunti. Remajanya di semenanjung bertuahmu, dan susuk matang remajanya terjaga molek. Didikan Melayu telah melindungi keperawanannnya. Mummy lahir di Tjimahi, Jawa, Indonesia dan asalnya memakai nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh. Kau tahu bukan mengapa seluhur ini didikan yang diterimanya?” soalan itu menerpa tatkala mereka tiba di sebuah bangku kayu Oak bervarnis merah. Mereka memilih untuk duduk barang sejeda dua untuk menghela nafas. Uncle Paul baru pulih daripada pembedahan tulang belakang, maka kerana itu dia tidak betah untuk berjalan dan berdiri terlalu lama.

“Ya, didikan leluhurnya teracu apabila Mummy Natrah dipelihara oleh nenek Che Aminah pada tahun 1942. Usia Mummy Natrah ketika itu 5 tahun. Penyerahannya sebenarnya sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan datuk Adrianus Petrus Hertogh kerana ketika itu datuk telah ditawan tentera Jepun. Nenek Aminah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Saya ada terbaca dalam buku biografinya yang bertajuk Tragedi Natrah dan Maria Hertogh.”

“Benar saudaraku. Mummy Natrah adalah Muslim sejati. Seorang srikandi yang terdidik dengan segala-galanya yang indah di dunia Melayu. Subur buminya, mekar budayanya, santun bahasanya, luhur pekertinya, tulus budinya dan suci Islamnya. Semua ini menjadi pelengkap dalam kamus hidupnya, saudaraku. Dia terlalu menyanjung tinggi budi Nek Minah yang padanya bukanlah seorang pembantu rumah semata-mata, tetapi mempunyai sifat keibuan yang baik dalam mendidik anak-anak. Inilah bukti keagungan pekerti orang Melayu. Baik berbudi santun berbahasa, molek pekerti iman dijaga.”

Rayyan tersenyum meleret. Sebetulnya, lelaki berusi 40 tahun di hadapannya ini membuatkan dia berbangga menjadi orang Melayu. Memiliki segala keindahan pada setiap corak hidupnya. Keindahan yang telah terbukti menjadi sanjungan sejak berzaman dan menjadi modal cemburu bangsa lain di dunia. Melayu dan Islam itu satu padanan pegangan yang cukup sempurna. Elemen keindahan Melayu itu dibungkus dengan nuansa Islam menjadikan seseorang itu sempurna sebagai manusia. Sempurna menjalani tuntutan rohani dan tidak pernah sesekali mengabaikan moraliti. Inilah kekuatan bumi ini. Semenanjung emas yang dipagar dengan segala macam keindahan duniawi dan ukhrawi.

“ Rayyan, sebenarnya pada pertemuan kali ini, ada sesuatu yang ingin uncle berikan kepada Rayyan.” Kata-kata Uncle Paul bagai menghentikan terpaan semilir nyaman di Bergen’s Park. Sepasang kekasih yang sedari tadi bermanjaan juga tiba-tiba sahaja membungkam rajuk. Rayan sedikit terkedu, tatkala Uncle Paul mengeluarkan satu sampul surat berwarna merah dari beg sandang tepi kulitnya yang berwarna hitam.

“Surat apa ni uncle?” tanya Rayyan sebaik sampul surat merah itu bertukar tangan. Rayan dapat merasakan kulit kasar Uncle Paul yang bekerja sebagai pencuci bangunan ketika jemari mereka tergesel.

“Warkah terakhir Mummy Natrah. Warkah kepada ayahanda Rayyan, Mansor Adabi. Warkah ini tidak pernah dihantar, tidak pernah disimpan di dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda pun. Ini koleksi peribadi Mummy.

Rayyan membuka sampul surat itu dengan cermat. Di bahagian hadapan sampul surat itu, tertulis indah “Buat satria hatiku, kekanda Mansor Adabi” dalam tulisan jawi. Tanpa berlengah, Rayyan lantas membaca warkah yang ditulis di dalam tulisan Jawi bertarikh 21 September 1984.

Curahan Hati

"KE pangkuan kekanda Mansor Adabi yang dikasihi.

Mudah-mudahan kekanda berada di dalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya. Warkah ini ternukil seminggu selepas adinda meninggalkan Belanda untuk memperjudikan hidup di Amerika Syarikat, demi mencari sebuah kehidupan yang baru. Adinda sendiri tidak tahu mengapa adinda mengutuskan warkah ini kepada kanda, sedangkan kekanda barangkali sudah pun menganggap bahawa nama adinda sudah tidak pernah lagi bertakhta di hati kekanda. Adinda kini hidup bersama-sama Ben Pichel, seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan dia bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben telah pun mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat baru-baru ini dan kerana itu kami bertekad untuk memulakan kehidupan baru di sini.

Kekanda Mansor Adabi,

Adinda memilih untuk hidup bersama-sama Ben kerana hanya dialah sahaja yang mampu mengubat rindu adinda untuk bertutur di dalam bahasa Melayu. Adinda rasa, kekanda sendiri sedia maklum, sejak adinda bercerai dengan suami adinda, JG Wolkenfelt setelah didakwa bersalah atas cubaan membunuhnya, masyarakat kian memandang serong terhadap adinda. Namun, adinda bersyukur, kerana hakim telah membebaskan adinda dengan mengambil kira latar belakang sejarah kehidupan adinda. Mereka katakan, adinda mengalami masalah mental, tetapi kanda, adinda tidak gila. Adinda cuma mempertahankan diri adinda kerana Wolkenfelt sedang mabuk ketika menyerang adinda pada suatu malam.

Kekanda,

Adinda kini sedang berhadapan dengan masalah jantung yang sedang meninjak serius. Berat badan adinda pula kian naik secara mendadak. Kepala pula selalu sakit-sakit. Kekurangan sel darah merah tahap awal. Saat ini, adinda rindukan urutan lembut bonda Aminah yang sering mengurut lembut kepala adinda dengan lendiran daun Setawar yang dicampur dengan daun bunga Raya sekiranya adinda sakit kepala dahulu ketika waktu kecil. Inilah kemujaraban perubatan tradisional Melayu. Namun, kini adinda berada jauh di dunia asing yang penuh dengan kepura-puraan dan perlumbaan manusia mengejar kemajuan lalu meminggirkan kemanusiaan.

Kekanda Mansor Adabi,

Hajat di hati, ingin sekali adinda kembali ke Tanah Melayu. Menikmati segala keistimewaan semenanjung emas itu. Keindahan segara tepu sejarah itu. Di teratak bonda Aminah, berlarian di pepasir pantai yang memutih dan sesekali mengimbau segala nostalgia yang telah jauh berlari pergi. Namun, di kejauhan ini, masa membataskan segala-galanya. Rutin harian adinda adalah membantu Ben berniaga secara kecil-kecilan di pasar penjaja di sini, sambil kami turut melakukan apa sahaja pekerjaan seperti menjadi tukang masak, pengemas bilik hotel, pencuci bangunan dan rumah. Kehidupan kami agak perit. Sejujurnya kanda, adinda mahu sekali kembali ke bumi Malaysia, tetapi barangkali takdir adinda telah tertulis di sini.

Kekanda,

Adinda kini masih lagi seorang Muslimah yang taat. Didikan bonda Aminah tersemat kukuh di tangkai iman. Ben sendiri kadangkala membimbing adinda untuk membugar perkebunan iman di sanubari. Mudah-mudahan iman adinda tetap teguh sehingga kembali ke pangkuan Tuhan nanti. Buat kekanda yang jauh di mata, ketahuilah bahawa kesempatan tinggal dan mengenali dunia Melayu merupakan satu anugerah yang terindah buat adinda. Akhir kata, sambutlah salam sayang penuh kerinduan buat semua saudara di semenanjung Nusantara yang jauh di mata, tetapi tetap abadi di dalam hati.

Namaku Farid Paul

RAYYAN melipat warkah lusuh itu sebaik selesai membacanya. Ada rintih pilu di lubuk sanubarinya. “Uncle, nampaknya begitu mendalam sekali cinta Mummy Natrah kepada bumi semenanjung bertuah bernama Tanah Melayu?”

“Ya, Segalanya kerana cinta, saudaraku. Cinta kepada budaya Melayu, laut Melayu, cinta kepada bumi semenanjungmu, dan sudah semestinya cinta kepada kesucian agamamu.” Uncle Paul menghulur tangan kepada Rayyan. Dengan dahi yang berkerut, Rayyan menyambut jabatan tangan sasa itu.

“ Muhammad Farid Paul. Selepas ini, panggil uncle dengan nama baru ini.”

Biodata

ZULFAZLAN Jumrah, ahli Persatuan Penulis-Penulis Johor (PPJ) adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2006 (MPR 2006) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau terbabit dalam genre cerpen, puisi dan novel. Karya penuntut Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama (PBMP), Universiti Putra Malaysia, ini, pernah mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Skor, Tunas Cipta dan Jendela Selatan. Novel sulungnya, Takdir Belum Tertulis diterbitkan Penerbit Ilmu Bakti Sdn Bhd.


0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.