Romansia II

Oleh Aidil Khalid




GEMPAR

GAWAT, oh gawat seluruhnya, sebaik sahaja berita itu pecah. Gempar, oh alangkah gemparnya, sejurus sahaja khabar itu tersebar. Manusia bercinta dengan robot? Homosapien berasmaradana dengan mesin?

Maka adapun sebermula kisahnya adalah apabila Farid, si pencipta, telah berjaya mencipta sebuah robot yang kemudiannya diberi nama Romansia atas singkatan daripada kata RObot dan MANuSIA, memandangkan robot ini naturalnya luar biasa. Robot ini juga punya naluri keinginan - malah telah meminta kepada Farid agar diciptakan pasangan buatnya kerana kononnya merasa sunyi berseorangan. Maka Farid pun akur lalu menciptakan sebuah lagi robot yang kemudiannya diberi nama Romantina, atas singkatan daripada kata RObot, MANusia dan beTINA. Maka Romansia dan Romantina pun bermadu kasihlah sehingga lahir generasi Romansia-Romantina yang terkemudian - generasi pertama, kedua dan seterusnya.


Kisah ini terjadi entah pada generasi yang ke berapa tidak begitu dapat dipastikan, tetapi ketika itu Farid sudah tidak ada. Generasi Romansia-Romantina waktu itu sudah berkembang biak, malah hidupnya sudah begitu sekali leluasa, sehingga ‘seolah-olah’ kelihatannya mereka ini sudah hampir-hampir diiktiraf sebagai sebuah bangsa baharu di tengah-tengah berbilangnya bangsa dunia. Adapun nama Romansia dan Romantina itu sendiri tidaklah lagi merujuk kepada nama robot secara individu semata-mata, tetapi sudah merujuk kepada keseluruhan bangsa robot - yakni seperti halnya manusia merujuk kepada kaum Adam dan kaum Hawa sebagai lambang kepada jantina lelaki dan jantina perempuan. Pun begitu, pengiktirafan terhadap mereka tidaklah pula sampai ke taraf yang membenarkan golongan robot ini bercinta atau bersekedudukan dengan manusia.

TERTANGKAP

OLEH hal yang demikian manusia yang telah tertangkap bercengkarama berasmaradana dengan robot berjantina romantina itu pun dibawa ke mahkamahlah untuk dibicarakan. Kes ini mendapat sorotan luar biasa bukan sahaja daripada rakyat negeri ini, tetapi juga daripada masyarakat seantero dunia.

“Gila lagi memualkan!” komen seorang sosiologis yang dilaporkan oleh sebuah akhbar dari sebuah negeri di bawah angin. “Tidak pernah berlaku dalam sejarah peradaban manusia!” tambahnya lagi. Seorang ahli teologi dari sebuah negeri di atas angin pula dilaporkan mengatakan, “Inilah padahnya apabila manusia tidak lagi merujuk kepada langit dalam hal-hal seharian.” Tetapi seorang pejuang hak asasi kerobotan romansia-romantina pula menyanggah, dengan menyoal kembali, “Apakah salah, mereka, yang suka sama suka dan tidak pernah mengganggu siapa-siapa ini, hendak berkasih? Lalu kenapa harus masyarakat dunia menghalang?” Seorang saintis pakar robot juga ada memberikan pandangannya: “Inilah kemuncak teknologi perobotan, sehinggakan antara robot dan manusia sudah begitu sekali hampir - kalaupun tidak sama - setara.”

Ruang galeri awam kamar bicara penuh. Masing-masing berhimpit rapat duduk di kerusi yang ternyata tidak mencukupi. Malah ramai juga yang terpaksa berdiri sahaja bertindih-tindih sampai ke dinding belakang kerana tidak mendapat tempat duduk - dan hakim yang arif lagi bijaksana seolah-olah merestui - tidak menghalau keluar mereka yang berdiri ini - kerana sedia maklum bahawa kes ini akan menjadi penanda aras akan letak duduknya taraf romansia-romantina di tengah-tengah masyarakat dunia. Oleh itu orang ramai (dan robot ramai) mempunyai hak untuk menyaksikan.

Pihak polis terpaksa mengawal keadaan dengan memisahkan tempat duduk di galeri awam - deretan kerusi di sebelah kiri dikhaskan untuk manusia sahaja, sedang deretan kerusi di bahagian kanan pula khusus untuk golongan romansia-romantina sahaja - bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

DI KANDANG TERTUDUH

MAKA perbicaraan pun bermulalah.

Di kandang tertuduh kelihatan Robert Aduka yang berwajah kacukan dengan kulit cerah, hidung mancung, mata cekung ke dalam, serta rambut tersisir rapi bersebak tengah, tenang mendengarkan pertuduhan dibacakan. Hanya dia seorang sahaja yang dituduh melakukan kesalahan, sedang pasangannya, sebuah romantina bernama Ellize Izlina, tidak dituduh sama, kerana ternyata belum ada peruntukan perundangan yang dapat digunakan bagi membuat pertuduhan terhadap robot sepertinya.

Ya, hanya sebuah robot!

Hanya sebuah robot yang ternyata tidak lebih daripada sekadar sebuah mesin pintar yang tidak bernyawa - begitulah kira-kira pendapat majoriti ahli parlimen ketika pernah diusulkan kira-kira dua tahun lalu untuk menggubal undang-undang baharu supaya golongan robot ini dapat diiktiraf dalam sistem perundangan. Dan kini, apabila kes ini timbul, barulah masing-masing berkelam dan berkabut hendak mengusulkan kembali rang undang-undang yang pernah mereka sendiri tolak itu. Tetapi segalanya sudah terlambat sekarang kerana berdasarkan doktrin perundangan secara umumnya, seseorang itu tidak boleh disabitkan atas kesalahan secara retrospektif. Itu pun kalau Ellize Izlina boleh diiktiraf sebagai ‘seseorang’.

Maka tetaplah Ellize Izlina sebagai sebuah romantina yang tidak diiktiraf di mahkamah. Dia hanya dapat duduk di galeri awam bersama-sama robot-robot lain bagi menyaksikan kekasihnya di kandang tertuduh dibicarakan seorang diri. Selaku sebuah robot, dia akan hanya boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah seperti mana barang-barang bukti yang lain - bukan pesalah, bukan juga saksi. Penyaksian sebuah mesin sepertinya tidak dianggap sah.

PERTUDUHAN

PERTUDUHAN yang dibacakan kepada Robert Aduka berbunyi: “Bahawa kamu, manusia bernama Robert Aduka, dituduh telah melakukan kesalahan berasmaradana dan bersanggama dengan sebuah romantina bernama Ellize Izlina lantas telah melanggar garis pemisah antara manusia dan robot - dan hal ini dikhuatiri akan merosakkan galur keturunan manusia dan jalur keturunan robot.”

Peguam pendakwa raya bangun membentangkan hujahnya. Tetapi hujah pihak pendakwaan ternyata bukan hujah biasa-biasa. Hal ini kerana, pihak pendakwaan tidak perlu menghujahkan bukti sama ada benar tidaknya Robert Aduka dan Ellize Izlina telah bercengkerama; tidak perlu saksi dibawa bagi membuktikan tuduhan itu - tidak perlu semua itu, kerana sememangnya pasangan manusia dan romantina ini sudah sedari awal-awal lagi mengaku melakukannya. Lantas yang menjadi pokok persoalannya kini bukanlah tentang kejadian permukahan itu, sebaliknya tentang sama ada hal tersebut adalah salah dan boleh dianggap sebagai suatu jenayah ataupun tidak.

Dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang diguna pakai di negeri ini, peruntukan yang barangkali paling relevan bagi menyabitkan kesalahan terhadap Robert Aduka adalah seksyen 377A, iaitu persetubuhan luar tabii. Seksyen tersebut menyebutkan bahawa: “Mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.”

Tetapi soalnya, peruntukan itu menyebut dengan jelas kata ‘seseorang lain’, oleh itu, sebuah romantina yang dianggap sebagai robot tidak termasuk dalam lingkungan maksud ‘seseorang lain’ itu. Tambahan pula romantina tidak punya dubur mahupun mulut. Justeru, pangkas peguam bela, seksyen 377A tidak boleh diguna dalam kes ini.

Seksyen 377 pula hanya memperuntukkan kesalahan persetubuhan luar tabii dengan haiwan. Dan sebuah romantina sudah barang tentu tidak termasuk dalam definisi ini. Sedang andai hendak dimasukkan di bawah seksyen 377D pula, iaitu kesalahan melanggar kesopanan, juga adalah tidak relevan kerana secara jelas dinyatakan bahawa hal tersebut hanya menjadi salah andai dilakukan “dengan orang yang lain”. Sekali lagi, Ellize Izlina adalah sebuah romantina, bukan orang.

Lantas dalam kebuntuan - kerana ternyata setiap hujahannya telah disangkal semuanya oleh peguam bela tertuduh - peguam pendakwa raya pun akhirnya cuba menggunakan peruntukan mudarat awam di bawah seksyen 268 sebagai benteng terakhir untuk membuktikan kesnya. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa: “Seseorang adalah melakukan mudarat awam, jika ia melakukan apa-apa perbuatan, atau melakukan sesuatu ketinggalan yang menyalahi undang-undang, yang menyebabkan apa-apa bencana, bahaya atau kegusaran am kepada awam ....”

Pihak pendakwaan berhujah, bahawa apa yang dilakukan oleh Robert Aduka adalah memudaratkan kepentingan awam. Lihat sahaja bagaimana seluruh dunia gawat dan gusar oleh berita percengkeramaan antara manusia dan robot itu.

“Bantahan, Yang Arif,” tiba-tiba bangun pula peguam bela di pihak tertuduh, ingin menyangkal. “Adapun suasana panik ini tidak semestinya bermaksud apa yang dilakukan itu adalah suatu kemudaratan. Boleh sahaja jadi panik ini kerana rasa ghairah ingin tahu di kalangan orang ramai dan tidak ada sangkut pautnya dengan kemudaratan.”

BERBALAS HUJAH

KAMAR bicara senyap semuanya. Masing-masing yang hadir benar-benar tertambat pada perdebatan yang berlangsung antara kedua-dua belah pihak. Hakim di hadapan pula lebih banyak menunduk - mencatat - dan hanya sesekali mengangkat wajah bagi memandang peguam yang berhujah.

Bagi membuktikan bahawa apa yang dilakukan oleh Robert Aduka bersama Ellize Izlina itu memang benar-benar termasuk dalam kategori mudarat awam, makanya pihak pendakwa raya telah memanggil Robert Aduka sendiri untuk untuk disoal jawab. Seperti biasa, awalnya dimulakan dengan soalan berbasa-basi sahaja, sambil-sambil menyusun strategi bagi menjerat Robert Aduka kemudiannya.

“Apa benar, kamu bercinta dengan Ellize Izlina?” soal peguam pendakwa raya.

“Ya,” jawab Robert Aduka.

“Maksud kamu Ellize Izlina robot berjantina romantina itu?”

“Ya,” jawab Robert Aduka lagi.

“Kamu cinta kepadanya?”

“Ya.”

“Kamu sayang kepadanya?”

“Ya.”

Peguam pendakwa raya mendengus dalam nada mengejek. Wajahnya juga mencemik. “Kamu tak tahukah bahawa dia hanya sebuah robot? Lihat sahaja paras rupanya,” dia berhenti di sini, berjalan mendekat ke galeri awam seraya menggawangkan tangannya lalu dihalakan tepat ke arah Ellize Izlina yang duduk, sebelum meneruskan, “lihatlah paras rupanya - seluruh tubuhnya dilitupi buckypaper berwarna kelabu metalik, kepalanya persegi empat, tidak ada mata, cuma ada lampu berkelap-kelip pengimbas, tidak ada hidung, cuma ada lubang-lubang kecil tempat udara masuk dan keluar bagi tujuan penyejukan enjin di dalamnya - mampukah seorang manusia seperti kamu jatuh cinta kepada benda serupa ini?” Ada getar sinis dalam kata-katanya.

Robert Aduka mengangkat muka, lalu memandang tepat ke arah peguam pendakwa raya itu. “Ketahuilah,” jawabnya tenang, “bahawa cinta saya tidak didasarkan kepada indah rupa, sebaliknya cinta saya didasarkan kepada indah jiwa.” Tenang sekali.

Berderai satu kamar bicara dalam gelak tawa hadirin. Hakim di hadapan pun turut tersedak mendengarkan jawapan tersebut, tetapi segera pula mengawal diri kembali serius lalu mengetuk menyuruh diam. Manakala Ellize Izlina tertunduk sipu.

“Cinta indah jiwa,” kata peguam pendakwa raya, lantang, mengulangi kata-kata Robert Aduka tadinya, sepatah-sepatah, sengaja mengajuk. “Indah jiwa,” ulangnya lagi, sambil menggeleng-geleng kepala dengan senyuman di wajah. “Soalnya, wujudkah jiwa pada sebuah robot?” Sedikit meninggikan suara, dia menyambung lagi, “Robot adalah hanya sebuah mesin, sebuah mesin yang bergerak atas tindak-balas mekanikal, robot bukan benda hidup, mana mungkin ada jiwa!”

MANUSIA, TINDAK BALAS MEKANIKAL

ROBERT Aduka tenang dalam kandang. Sama sekali tidak gugup kerana sebetulnya jawapannya telah disediakan dalam benaknya sedari sebelum perbicaraan lagi. Lalu dengan teratur dia bersuara, “Bagaimana tuan tahu dia tidak punya jiwa?” Diam sejemang, kemudian menyambung, “Atau lebih utama lagi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan jiwa? Bagaimana tuan tahu bahawa tuan sendiri - yakni kita ini, manusia seluruhnya - punya jiwa? Dapat kiranya tuan buktikan?” Robert Aduka berhujah seolah-olah dia pula yang menjadi jaksa.

Peguam pendakwa raya yang merasa tercabar, segera menjawab dengan lantang, “Jiwa dan roh adalah apa yang menjadikan kita manusia. Kita punya perasaan, kita punya segala, itu yang menjadikan kita manusia. Kita menangis saat bersedih, kita ketawa saat bergembira, itu bukti kita ada jiwa, bahawa kita manusia, bukan mesin, bukan robot.”

“Ah,” jawab Robert Aduka pantas, “kalau begitu, juga romansia, juga romantina, pun boleh menangis saat bersedih, boleh ketawa saat gembira. Tidak begitu?”

“Tapi itu hanyalah tindak balas mekanikal yang telah ditetapkan dalam cip memori mereka. Bahawa andai mengalami kejadian-kejadian tertentu, Farid si pencipta telah menetapkan bahawa robot-robot ini akan menangis dengan mengeluarkan ratapan menerusi speaker, andai mengalami kejadian yang lain pula, mereka ketawa, juga menerusi speaker, itu hanyalah memori yang sudah disimpan sedari awal. Mereka menangis bukan kerana bersedih, mereka tidak ada jiwa, tidak ada emosi, tidak dapat merasakan, dan lebih utama lagi mereka tidak ada akal, mereka cuma memberikan ekspresi sesuai dengan tindak balas yang ditetapkan dalam cip memori!” Suara peguam pendakwa raya semakin meninggi. Wajahnya dibengiskan. Marah sekali.

“Dan apakah bezanya pula mereka dengan kita manusia?” jawab Robert Aduka kembali. “Kita juga bertindak balas secara mekanikal, hanyasanya namanya sahaja yang lain - dipanggil tindak balas anatomi - tetapi konsepnya tetap sama. Misalnya ... misalnya manusia, otaknya untuk dapat berfungsi harus ada bahan-bahan kimia seperti serotonin, norepinephrine dan dopamine - untuk kemudiannya menjadi penghubung antara sel-sel saraf dalam otak bagi memastikan sistem saluran maklumat berjalan lancar. Nah, tidakkah itu sama sahaja seperti tindak balas mekanikal sebuah robot? Cuma anatominya yang beda. Malah robot sendiri, bagaimana kita tahu mereka tidak merasakan emosi? Emosi itu bukankah niskala? Emosi kita sendiri pun tidak dapat kita perjelaskan.”

Peguam pendakwa raya mendengus bengis. Hidungnya kembang dan kempis.

Peguam bela pula, yang seharusnya membela Robert Aduka, terlongo, tercenung-cenung, penuh takjub, mendengarkan hujah anak guamnya sendiri. Benar-benar tidak menyangka. Apa benar yang didengarnya itu?

Sedikit sore, hakim menangguhkan bicara untuk disambung besoknya - meninggalkan semua yang menyaksikan, semua hadirin, terutama yang manusia, dalam persoalan mendalam tentang diri sendiri: Apakah ertinya menjadi manusia?

INFO

AIDIL Khalid yang dilahirkan pada 30 Jun 1984, memulakan dunia penulisan kreatifnya dalam genre puisi pada penghujung 2005 sebelum beralih ke cerpen. Karya mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007 ini mendapat tempat dalam majalah dan akhbar arus perdana seperti Tunas Cipta, Majalah I, Al Islam, Dewan Budaya, Nur, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Remaja dan URTV selain turut pernah menulis skrip drama radio untuk Klasik Nasional FM. Novel sulung pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) in, Bila Nysrah Kata Tak Mahu diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing pada Julai 2008. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@gmail.com atau layari http://aidilkhalid.blogspot.com.

Tanah, Air, Api & Angin

Oleh Muhd Nasruddin Dasuki




KATAMU: Apakah engkau masih tidak tahu, setitik api marahku mampu menghanguskan sepulau lalang di seberang lautan? Lalu apakah engkau harus membiarkan sepulau lalang itu terus menjadi bara dan memamah pulau itu sehingga lenyap di muka bumi?

Kemudian aku menjawab: Air selautan sekalipun bukan caranya untuk meludah api supaya terpadam. Bahkan hanya setitik air mata mampu membuatkan api itu menjadi beku dan membatu selama-lamanya.

Masih mahu menidakkan, engkau berkata lagi: Aku bukan pemetik api yang gemar melontar bara pada rerumput kering?


Kemudian, kerana jawapan itu mengundang cuak, aku bertanya: Lalu benarlah jika sememangnya lalang sepulau itu sengaja membakar dirinya semata-mata mahu menguburkan kebenaran kata-katamu?

Engkau pun segera menjawab: Tidak mustahil! Untuk apa melontar tuduhan jika memang benar itu semata-mata hanya helah mahu merebut simpati?

Tetapi bukankah engkau sebenarnya yang sejak azali menanam benih dengki dan api cemburu, tidak gemar melihat tanah, air dan api bersatu? Engkau desir angin yang gemar menggoncang tunggul setelah engkau luruhkan daun-daunnya?

Kami dulu memang tidak pernah bersatu, hanya kerana berbeza asal usul, fahaman dan tanggapan menilai sesuatu. Tetapi akhirnya kami boleh duduk semeja, berbicara dalam satu bahasa dari ruang langit yang ternganga.

Kami pernah menjemputmu, berbincang agar muka bumi ini tidak hanya didominasi oleh puak-puak tertentu, tetapi kamu menolak dengan alasan: Angin tidak pernah memerlukan semua itu. Lalu dengan angkuh, engkau mengatakan: Lihatlah! Bagaimana aku mengasuh mentari, bulan dan bintang agar terus diam dan tidak menjerit ketika kamu semua memetik malam dari pohon-pohon siang.

Balas Angin: Ya, ya. Memang aku pernah kata begitu. Itu kehebatan aku, malah aku pernah menukar segeluk keringat menjadi wangian dan wangian itu sudah melata dan menjadi pakaian mereka yang berwajah busuk. Bukankah itu satu bakti, menukar kebusukan menjadi wangian

Pantas sahaja aku jawab: Kita sama-sama menjilat nasib yang tumpah di hamparan. Kita masing-masing ada tugas untuk memakmurkan semesta ini, tetapi kemakmuran hanya ibarat nyala api membakar akar yang sudah mereput.

Tidak bersetuju dengan kata-kataku, Angin segera mencelah: Selagi kita asyik bersilat lidah, mengeja kepercayaan dengan perkataan yang sangsi, selagi itu kita tidak mungkin duduk semeja, satu hamparan, satu padang, satu pemikiran dan selama-lamanya akan berbeza pendapat.

Segera aku menjawab kata-kata itu: Jika begitu, baik engkau dengar cerita aku dahulu. Ketika aku bercerita, engkau jangan mencelah, jangan menyampuk dan dengarlah sehingga selesai. Selepas itu giliran kamu untuk bercerita dan aku akan diam sebagaimana kamu diam ketika aku bercerita.

Kemudian kita bersemuka Tanah dan Api, biar mereka pula bercerita dan kita menjadi pendiam pula. Bagaimana? Selepas itu buatlah andaian dan fikir sendiri.

CERITA AIR:

Sebelum pulau ini wujud satu ketika dahulu, akulah yang mula-mula bertapak di sini. Di sini, aku buat perkampungan untuk seluruh pengikutku dan diamlah mereka dalam aman dan damai untuk bertahun-tahun lamanya.

Sehinggalah pada satu hari, sekepal tanah tiba-tiba jatuh di lautan air. Lama kelamaan menjadi sebuah pulau. Ia semakin besar dan membesar.

Di atas pulau itu tumbuh pokok-pokok dan lalang sehingga kelihatan menghijau, lalu ia menjadi persinggahan para pelayar. Dari tidak berpenghuni, ia menjadi berpenghuni oleh pelbagai jenis makhluk yang entah dari mana.

Itulah pulau lalang yang satu ketika pernah hangus terbakar hanya kerana sepercik api yang dilontar dari tanah besar. Tanpa angin yang menyembur dari tanah besar, sepulau lalang itu tidak akan terbakar hangus. Tetapi itulah yang terjadi. Semua kerana gara-gara angin yang cemburu kerana aku dan sebuah pulau menjadi jiran paling akrab.

Keakraban itu tidak disenangi angin. Satu ketika aku pernah terdengar angin bertembang lagu kesunyian seolah-olah mengharapkan tanah, air dan api, sudi menjadi teman penglipur lara.

Masih ingatkah engkau, satu ketika engkau melemparkan ribut ke atas pulau itu dan habis ranap semua pohonan? Pulau itu kelihatan seperti tunggul botak. Lama kemudian barulah pulau itu pulih semula seperti sedia kala.

Tidak bolehkah engkau melihat keakraban di antara aku, tanah dan api menjadi satu? Engkau mahu melihat kami menjadi seteru. Katamu: Selagi kita masih menjadi penghuni alam, berlainan pendapat mentafsir sejarah hari depan, kita akan bersilat lidah selamanya.

Alam ini sebenar terlalu jelita untuk kita! Lantaran cemburu, hasad dan seumpamanya, kita menjadi semakin resah apabila melihat siang beristerikan malam untuk sepanjang hayat dan kita hanya mampu menjadi patung melihat kemesraan orang lain.

Itulah kamu! Kamu Angin yang sering berlari di bawah bulan, menghasut dan menghasut supaya kami terus berseteru dan tidak lagi menghuni alam yang amat setia. Apa yang kamu mimpikan itu sudah dan pernah menjadi nyata. Sekarang berilah peluang kami menikmati hidup paling sejahtera di semesta alam ini.

Jika kamu mampu meleraikan awan-awan menjadi debu, jika kami bersatu, kami juga mampu meleraikan mentari bersidai di ampai awan dan akan sembunyikan mentari di saku sunyi kami.

Rasanya cukup setakat ini aku berhujah dan aku akan diam tatkala engkau melontar isi hati kamu. Terima kasih kerana tidak mencelah.

CERITA ANGIN:

Sebenarnya tidak ada sesiapa layak mendakwa dialah penghuni awal wujud di sini. Kita wujud sini atas kehendak-Nya. Jika kata-Nya jadi, maka jadilah. Kita pun menjadi sedemikian sebagaimana yang sudah disusun atur.

Sebelum wujudnya pulau itu, bukankah hanya aku dan kau sahaja di sini. Biarpun kita tidak pernah menjadi rakan sangat akrab, tetapi aku melihat engkau adalah rakan yang boleh dijadikan teman berbicara ketika sepotong senyap berkeliaran di sini.

Aku pernah berharap satu ketika akan aku pinang engkau air menjadi teman sepanjang hayat, tetapi kewujudan tanah di pulau itu membuatkan aku jadi terpinggir. Sapaanku yang berulang dipandang sepi olehmu apabila engkau semakin akrab dengan pulau itu.

Siapalah alam tanpa aku, tanpa kau dan sesiapa sahaja yang mengaku dirinya penghuni setia jika masing-masing melihat wajah dengan kebisuan? Aku sudah berusaha mengumpul kekuatan untuk menghadapi hari-hari pertualangan sehingga impian semakin menipis dikerat hari, tetapi kesudahannya saat langit menghamilkan bulan dan bintang, aku masih sahaja menjadi patung menjadi tempat bertenggek kupu-kupu dan rama-rama.

Dengan apakah lagi untuk aku melunakkan kesabaran selain ingin melihat buah dendam yang lama bergantungan dan semakin ranum itu menjadi racun untuk melekakan kalian daripada terus berakraban.

Sesekali apabila aku bertukar menjadi ribut, itu petanda amarahku sudah tidak terkawal. Masihkah kalian tidak sedar? Aku masih berkuasa di sini. Kalian usah cuba memutar kebenaran menjadi seperti musafir haus di gurun pasir, siang malam menyalahkan takdir, menanti saat lara bilakah akan berakhir?

Wahai Air! Satu saat aku terdengar engkau menyindir. Sindir untuk angin yang menyelak nasib di penjuru langsir.

Demi tanah, air dan api, di sini aku berhenti dari membiarkan lidah saling bersilat dan memijak kebenaran. Tidak ada gunting sebenarnya yang boleh memotong keinginanku untuk merebut kemerdekaan.

Katamu: Biarkan tanah dan api meluahkan isi hatinya.

CERITA API:

Di antara tanah, air dan angin, barangkali akulah yang paling minoriti. Bertahun-tahun aku menternak nasibku di ladang kelaparan. Memang benarlah. Kelaparan itu mengajar aku mengecap getir dan pahitnya bersahabat dengan musuh yang kemudiannya menjadi akrab.

Melihat dengan mata mustahil, cermin perasaan tidak berkilau lagi saat menatap ada kejujuran, ada keberanian, ada kesamaan, ada titik matlamat mahu diburu bersama.

Aku tidak pernah mengkhianati perjuangan. Kita berjuang untuk melihat sama-sama menegakkan kebenaran. Biarpun aku menjadi api yang galak meranapkan sepulau lalang, aku tidak berani berbuat demikian tanpa angin yang meniup sekencang ribut.

Jangan aku dipersalahkan. Aku ingin bersahabat dengan semua penghuni alam. Namun di dalam keadaan tertentu, kesilapan membiarkan diri diperguna berlaku di luar kemampuan.

Kita sebenarnya sudah lama bersatu seperti darah dan urat nadi, seperti angin dan kalbunya, seperti malam disolek siang, seperti bulan bergelangkan bintang. Kita wujud di sini juga atas kehendak-Nya. Tidak ada sesiapa boleh mendakwa siapa lebih berkuasa di sini melebihi daripada Yang Berkuasa.

Kita wujud di sini sebagai pemain sandiwara di panggung alam. Aku melihat diriku sebagai api yang memanaskan dari segala kesejukan, bukan menghangus dan meranapkan seperti di pulau lalang itu.

Memang benar sepulau lalang itu pernah hangus diranapkan olehku, tetapi itu sebenarnya permainan orang lain yang berselindung atas nama diriku. Ditambah pula dengan semprot angin yang sengaja membesarkan bara sekecil batu kerikil.

Peringatlah diri, kita hanya pemain sandiwara yang sudah ditetapkan wataknya. Aku tidak mungkin menjadi tanah, tidak mungkin menjadi angin, jauh sekali untuk menjadi air.

Biarpun pada masa kasar kita dilihat sebagai musuh, tetapi hakikatnya kita saling memerlukan. Tanah masih perlukan air untuk menyuburkan pohonan, angin masih diperlukan untuk mengimbangi kepanasan dan api masih perlu untuk mengimbang kesejukan.

Menyimpan sejarah dendam tidak akan melunaskan persengketaan. Alangkah nikmatnya alam ini tanpa seurat benang perbalahan yang akhirnya akan mengikat dan memenjara diri!

Aku tidak akan berkata apa-apa selepas ini. Ia aku anggap telah berakhir.

Tidak mahu aku dengar lagi kita bersilat lidah, siapa sebenarnya sang juara.

CERITA TANAH:

Aku mengaku, sejarah sudah tertulis aku hanya pendatang di sini. Kewujudan aku di sini juga di atas kehendak-Nya. Tidak perlu untuk kita berbalah kerana itu. Aku melihat di sini, sengketa paling dahsyat di antara angin dan air. Aku tidak akan berhujah panjang atau mahu memenangkan sesiapa.

Ya, kalian berdua memang penjinak paling pintar. Pemain sandiwara yang layak menjulang trofi aktor di panggung. Kami (api dan tanah) sekadar menjadi penonton yang kadang-kadang berasa keliru. Permainan siapakah yang paling banyak memanipulasi keadaan.

Aku bermula dengan sekepal tanah, kemudian membesar menjadi sebuah pulau. Seperti api bermula dengan sebesar batu kekiril. Kami tidak ada kekuatan untuk menandingi kehebatan kalian. Angin mampu meranap dan menterbalikkan dengan sekali tiupan ganas. Air mampu menenggelamkan pulau malah mampu memanjat bukit dengan sekali gegaran.

Di sesetengah tempat, tidak pernahkah terdengar ganasnya angin meranapkan bangunan dan pohonan sehingga menjadi padang jarak? Bukankah itu sebenarnya sengaja mahu mempamer kehebatan pemain sandiwara di panggung?

Mari kita sama-sama melukis di langit dengan warna paling damai, paling tenang untuk tatapan keturunan masing-masing. Mari kita memetik buah anggur yang lama ranum, kita hadiahkan kepada alam yang memberi peluang kita menjadi pemain dan pengarah di panggungnya.

Biodata

MUHD Nasruddin Dasuki, lahir di Meru, Klang, Selangor. Banyak mengha55silkan cerpen dan novel. Beberapa kali memenangi anugerah sayembara cerpen dan novel. Di antaranya tempat kedua sayembara. Menulis Novel Alaf Baru, 2001 dan sagu hati Sayembara Mengarang Novel sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Karya terbaru, e-book Cara Mudah Menulis Novel, untuk memilikinya layari http://muhdnasruddin.wordpress.com dan untuk mendapatkan prebiu percuma e-book berkenaan, sila e-mel ke: mnasd_326@yahoo.com

Tepung Talam dan Lelaki Dari Lisbon

Oleh Hafizah Iszahanid




DINDING kedai itu kemas berukir. Ukiran bentuk bujang cantik, bebas dan tersendiri memaut hati. Ada bulan, ada bintang, ada matahari di situ.

Ruang kedai berukiran 20 x 70 itu terpisah-pisah dengan pembahagi ruang yang juga berukir. Ada ukiran bentuk pemidang kemas dengan motif tidak berbelit. Di situ ada itik pulang petang, ada badak mudik dan setampuk manggis.

Amina tarik nafas dalam-dalam, dia mohon pada hati supaya tenang. Amina tidak tahu mengapa hatinya merusuh sejak tadi, sejak dihulurkan menu oleh pelayan berkebaya pendek penuh kerawang dan berkain batik lepas.


"O que você quer comer," dia ingat waktu pelayan cantik bersanggul lintang, dengan kebaya pendek penuh kerawang dan berkain batik lepas tersenyum memandangnya. Amina terjeda seketika melihat sanggul lintang yang tidak padan dengan raut wajah Eropahnya.

"O que você quer comer," pelayan bermata bukan hitam itu mengulang suara dengan senyum yang dipaksa. Amina terjeda seketika melihat kerawang pada baju kebayanya. Sulaman ayak dengan paduan bunga suji di hujung kebaya kelihatan tebal. Oh, untuk menyudahkan sulam jenis itu payah terlalu.

"Ainda não decidir," Amina membalas. Dia pergi dengan lenggang tidak menjadi, dengan sopan dan lembut si pemakai kebaya yang tidak semula jadi.

Hafizah Iszahanid

Amina letakkan lengan kiri di atas timbunan buku sambil memegang bucu menu. Tangan kanan memegang bucu menu yang satu lagi. Berulang ulang dia baca menu itu. Sungguh, Amina tidak tahu hendak memesan apa. Ingatannya terbang pulang pada emak di kampung, jauh di utara Semenanjung Malaysia.

"Kuih ini namanya kuih lapis. Kalau dah masak, potong dengan pisau plastik, kalau tak ia melekat. Kalau memasak, bawah penutup kukus mesti lap setiap kali buat lapisan baru. Ha, api jangan kuat nanti mukanya menggerutu,"

Suara emak bergema-gema di hujung telinga. Kuih lapis emak cantik dengan warna putih dan merah jambu. Dulu, sewaktu kecil Amina akan makan selapis demi selapis. Sebab, takut cepat habis.

Kuih lapis emak buat banyak, tetapi semuanya untuk dijual. Kalau ada baki, barulah perut Amina terisi, kalau tidak emak hanya sepotong emak beri, upah menjual kuih keliling kampung sebelum emak mampu miliki gerai kecil di pinggir jalan.

Ya, Amina membesar dengan duit itulah. Duit emak menjual kuih. Dan duit abah mengukir kayu. Berada jauh di negara sendiri, hatinya teringat-ingat jeritan sendiri dan kakak, 'kuih kuih ... mari beli kuih,"

Amina penat memikir apa mahu dipesan. Menu di hadapan muka buat mata Amina berkaca-kaca dan hatinya berlagu lara.

Amina terasa-rasa keenakan kuih seri muka buatan emak di hujung lidah. Amina terasa-rasa menggigit pulut yang dikukus dulu sebelum kepalanya dituang. Amina ingat waktu emak tangkas meratakan pulut dan menuang kepala hijau adunan air pandan dan tepung gandum.

Seri Muka emak tiada tandingan!

Amina letak menu di sisi. Dia tarik nafas panjang. Di luar, cahaya musim panas seakan menerobos masuk.

Amina teringat sudah hampir lima tahun tidak pulang ke Malaysia. Amina terlalu ingin untuk pulang. Tetapi, dia ragu-ragu adakah dia dialu-alukan?Adakah ada tempat untuk orang sepertinya?

Jenuh memikir, Amina letak menu di sisi. Timbunan buku buat penampung lengan dialih. Pandangan dibuang ke luar. Ke luar kafe cantik tengah Lisbon, bandar bekas jajahan Moor, bandar yang dibina antara tujuh bukit.

"Belum habis memikir?," suara itu membuat Amina tersenyum. Pandangan bertemu. Bandar Lisbon tiada lagi dalam pandangan. Dia menarik menu di bawah lengan. Di bibir, ada senyum bersisa masih.

"Ini tepung talam nyonya, enak ... ah kamu tentu lebih tahu keenakannya. Ini ...,"

Amina angkat tangan kanan dan berhenti di depan mukanya. Lelaki itu terkejut. Riak itu benar-benar dilihat pada wajah hitam manisnya. Dia lelaki Lisbon, lelaki yang membuat saya terbayang pada Alfonso de Albuquerque.

Dia lelaki Lisbon, lelaki yang membuat Amina terbayang pada runtuhnya empayar Melaka 1511.

"Salahkah kata-kata saya?,"

Pada Amina, apabila sudah hampir menamat kajian sarjana kebudayaan dan bahasa Melayu, lelaki itu sepatutnya tahu kata-katanya memang tidak betul.

Amina tidak menjawab. Mata jatuh lagi pada wajah Kota Lisbon, kota atas tujuh bukit. Kota yang menaungi puluhan muzium seni moden dan purba, kota penuh jiwa budaya dan sejarah, kota sang penakluk yang menawan Melaka.

"Begini, globalisasi memungkinkan semua ini. Kamu harus terima dengan penuh rela. Kerana, apabila perjalanan mengelilingi dunia semakin pantas, bukan saja budaya, warisan, sejarah, seni malah penyakit juga mudah tersebar. Kamu jangan terlalu sentimental,"

Amina diam. Fonso, lelaki itu seperti mana dia mahu dipanggil memandang pada wajah Amina yang masih menyeluruhi Lisbon dari bucu jendela kaca.

Menyedari Amina tidak membalas renungan, dia mengalih pandangan. Kuih tepung talam dalam piring kecil miliknya disuap ke mulut. Dia sudah menghabiskan secawan kopi dan sehiris tepung talam, tapi saya masih tercari-cari menu terbaik mengalas perut.

Kemudian Amina teringat, sedang melengat kuihkah emak petang ini?

II

Waktu kaki kecil anak dara sunti berusia enam tahun sampai ke pintu rumah itu, ada wanita 30-an menyambut dengan senyum.

"Emak bagi."

"Terima kasih, buka puasa dengan kuih saja?."

Dia geleng, jambul dua ekor kuda di kepala terikut sama.

"Tak, ada nasi, ada bihun, ada kuih."

Wanita berkebaya pendek itu senyum. Hidung kembangnya dan mata sepetnya seakan ikut tersenyum. Tangannya cepat mencuit seri muka dalam pinggan.

"Sedap."

Kemudian, wanita itu yang dipanggil Nyonya Lin kerap juga meminta emak mengajarkan seri muka. Emak ajar penuh adap dan caranya. Mulanya kuih seri muka itu tidak menjadi, kurang keras dan ada kala terlalu lembik. Lama mencuba, seri muka Nyonya Lin makin enak dijamah.

Kemudian, kuih koci dia minta emak ajarkan, karipap, buah melaka, tepung talam dan melarut-larut hingga puteri dua sebilik, tako, ketayap dan lemang juga ketupat. Rendang Nyonya Lin pula kurang pedas sebab lidahnya nipis menahan picar cili.

Emak meniaga kuih di gerai kecil tepi jalan. Reputasi emak memang hebat. Kuih emak sedap dan memikat. Sebab itu Nyonya Lin mahu belajar dengan emak. Katanya belajar daripada guru yang terbaik.

Kemudian, Nyonya Lin orang peranakan itu membuka kedai depan kedai emak. Kedai menjual kuih. Emak tidak kisah pun, kata emak rezeki ketentuan Tuhan jua, kita sebagai manusia usaha dengan giat lagi.

Tidak mahu bermusuh, tidak suka bergaduh, persaingan itu sihat. Jadi persahabatan emak dan Nyonya Lin masih akrab bagai dulu-dulu.

Kemudian, gerai kecil Nyonya Lin berkembang maju dan makin maju. Waktu gerai kecil itu berubah wajah menjadi kedai kopi cantik dengan bangunan binaan batu gerai emak di hadapannya masih tidak berubah wajah. Masih gerai kayu dan masih jua laku.

Tapi, ada anak dara kecil emak bersungut, bila kuih tepung talam emak menjadi kuih tepung talam nyonya, bila kuih koci emak jadi kuih koci nyonya.

Kalau emak jual RM1.00 lima ketul kuih, Nyonya Lin jual RM1.20 dua ketul, tapi aneh masih laku.

"Biarlah rezeki Allah yang beri. Buat apa hendak bersungut," tutur emak lembut saja menusuk hati. Anak dara kecil emak diam walau hatinya merusuh penuh amarah.

"Anak kecil kerap cepat marah sebab rasanya yang terbeban di kepala bukan akalnya," emak senyum lagi.

Dan resah itu berlalu begitu saja waktu panjang masa emak ambil menutup kedai waktu ayah jatuh sakit. Sepanjang itu juga orang tidak mencari kuih emak, kata mereka kuih Nyonya Lin lebih sedap dijamah.

Dan, akhirnya ayah meninggal dunia selepas panjang sakitnya. Bahana merokok meninggalkan paru-paru kehitaman, berlubang, rosak dan berjelaga. Sel barah menyelinap bersama nikotin yang masuk ke otak bertahun-tahun lamanya.

Namun, pesan ayah tidak mudah luput dari ingatan. Pesan sebelum melafaz syahadah dan akhirnya pergi dengan senyum dan damai sekali.

"Hidup kita tidak berharta kalau budaya kita tergadai, kalau akal kita tidak upaya menilai kalau bahasa kita terjual."

Sungguh, anak kecil tujuh tahun tidak faham maksudnya. Namun, waktu ayah menutup mata, dia tahu pesan ayah harus dibawa hingga mati.

III

"Dalam banyak-banyak bidang, yang itu juga yang kamu mahu?," ayah saudara yang usianya 10 tahun lebih tua memandang dengan sinis.

"Kalau tidak mahu jadi doktor atau peguam, ambil yang mudah saja, yang senang lulus, yang mudah dapat kerja pedulikan dengan segala falsafah di sebaliknya."

Dia mengomel lagi.

Amina dengar. Tapi hati Amina sungguh tidak terusik. Sebab bulat sudah Amina bernekad.

"Portugis itu negara penjajah dan di negara itu kamu hendak tuntut ilmu. Belajar undang-undang saja, kamu dapat bela negara juga dapat bela bangsa juga."

Sungguh, Amina malas melayan ayah saudara itu. Kalau Amina menutur kata-kata, tentu saja dia dianggap derhaka atau kurang ajar, pantang yang sangat besar bagi orang Melayu.

Tapi apabila suara itu makin bingit, Amina bangun juga akhirnya dari duduk yang kaku. Amina tatap ayah saudara di anak mata hitamnya.

"Sudah tamat hikayat tentang Melaka?"

Ayah saudara itu menggelengkan kepala.

"Orang cerita lain � kamu ke Melaka pula."

"Dulu waktu penjajah Portugis itu menjajah Melaka, Alfonso de Albuquerque dan Giovanni da Empoli bawa pulang semua manuskrip sejarah budaya, seni, bahasa dan warisan Melayu Melaka dalam Flor De La Mar,"

"Kapal karam tu?."

"Ia karam. Tapi Giovanni da Empoli sempat mengirim sebahagian besar manuskrip itu melalui kapal lain yang keluar kemudian dari Melaka. Sebabnya Flor De La Mar sudah sarat dengan rempah dan sutera."

Ayah saudara ketawa.

"Aku tidak pernah baca pun dalam buku sejarah."

"Sebab ia tiada dalam sejarah darjah enam atau tingkatan enam. Surat Giovanni itu sampai dulu ke tangan bapanya dan manuskrip itulah yang kini ada di Lisbon. Anehkan, bila kita perlu mengkaji tentang budaya dan bahasa sendiri, tetapi kita perlu pergi jauh ke negara orang sebab di negara sendiri kalau ada pun ia terhad, dipandang sepi dan beginilah, bila mahu dipelajari dilarang tiada masa depan. Warisan bangsa tiada sama taranya dengan kerjaya dan orang lain pula yang mengkaji, mempopularkan dan menghargai."

"Dan kamu fikir semua itu boleh memberi kamu makan?."

"Ya, secara psikologinya."

Derhaka atau kurang ajar atau debat terbuka. Semuanya sama saja. Imej Amina sebagai anak gadis pingitan di mata ayah saudara sudah berkecai.

Waktu Amina ke Lisbon, semua tertanya-tanya apakah pekerjaan yang boleh dia peroleh apabila mengkhusus dalam pengajian Melayu. Sedangkan anak muda sebaya berebut-rebut menjadi penyanyi, pelakon dan penari!

"Mengapa jauh sampai ke sana," ayah saudara bertanya lagi dalam nada tidak manis.

"Sebab segala-galanya sudah menjadi haram dan subversif di sini."

"Sebab tiada nilai ekonomi?."

"Sebab tiada orang menghargai, sebab semua orang mahu melupai."

Ayah saudara menjuih bibir, namun mengiring Amina masih, terbang ke Lisbon. Ya, sekurang-kurangnya dia masih mahu mengiring ke lapangan terbang. Dia sayang Amina, tentunya. Dia juga wali yang Amina ada. Namun sayang tidak terucap seperti kebiasaannya lelaki Melayu. Mengucap sayang dan meluah rasa itu lembik!

IV

"Belum habis mengeja menu ya?."

Fonso di hadapan bertanya. Amina diam saja. Menu sudah lama ditutup.

"Kamu terlalu mengambil masa."

Amina diam. Ya, Amina terlalu mengambil masa dari sudut mana pun. Waktu emak menge-melkan pertanyaan bila mahu pulang, Amina pun tiada jawapan. Sebab di tangan Amina ada Ijazah Sarjana Muda Sejarah Bahasa dan Kebudayaan Melayu yang diperoleh dari Lisbon. Amina tidak tahu apakah masih ada tempat untuk orang sepertinya di negara sendiri lewat segala-galanya sudah diInggeriskan dan disekularkan di negara sendiri.

"Hey, tolong buat keputusan cepat," Fonso menjerit lagi di telinga.

Amina hela nafas dan pandang keliling. Nama kedai ini, Kopitiam Nyonya Lin. Ia sudah bertapak di tanah rantau ini sejak lima tahun lalu. Ia mempunyai francais di seluruh Asia, dua di Eropah, 10 di Amerika dan hampir di setiap wilayah di Britain. Amina tahu itu, sebab Amina membaca mengenainya dalam Malaysian Bisnes, versi atas talian.

Dan waktu Amina menjatuhkan mata pada wajah Fonso, Amina tahu mengapa dia terlalu berat untuk memesan makanan dalam menu di depan mata, seperti mana hatinya terlalu berat menerima lelaki dari Lisbon.

INFO: Penulis

HAFIZAH ISZAHANID, berasal dari Chemor, Perak dan lulusan Sarjana Muda Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, pada 2000. Pernah berguru dengan Allahyarham Dr Othman Puteh dan Prof Madya Rahman Shaari dalam Minggu Penulis Remaja 1994. Prolifik dalam berkarya dan pernah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Karyanet DBP pada 2004 dan tempat kedua Hadiah Sastera Berunsur Islam 2005. Sudah menghasilkan dua novel dengan dan terbaru keluaran Buku Prima, Kala Hujan Menitis, pada Oktober 2008. Beliau boleh dihubungi melalui hafizahiszahanid.blogspot.com.

Janji

Oleh Peter Augustine Goh




SUDAH dua bulan ayah pulang ke Rahmatullah. Pemergian ayah tersayang telah menjadikan ibu seorang yang asing untuk bergelar ibu. Aku tidak boleh lagi membiarkan wanita berusia 52 tahun itu terus dijala semacam keterasingan. Tidak boleh! Ia harus dihentikan. Harus!

Kalau aku tidak melakukan sesuatu samalah aku menzalimi ibu. Samalah aku mendorong dia terperlus lebih jauh ke dalam kancah kemurungan yang maha dahsyat. Memanglah tidak mudah untuk menarik ibu keluar semula dari kancah itu. Kisah lama persis menampal sendu demi sendu yang kian banyak. Kesenduan itu berbaur kepiluan yang hebat hingga ibu bukan lagi ibu yang dahulu, yang ceria dan kaya dengan senyuman manis bunga cengkih. Apakah ini yang menarik perhatian ayah? Yang telah mencuri hati ayah? Sampai ayah jadikan ibu isterinya selama 20 tahun yang lalu? Hingga mereka dikurniakan seorang cahaya mata, iaitu aku ini yang bernama Sakinah?

Ya Allah. Tengoklah ada air jernih menitis dari kelopak mata ibu. Ibu termenung panjang di sofa. Merenung keluar menerusi jendela kaca berlangsir hijau daun memandang langit, seolah-olah ada ayah yang melambai-lambai kepadanya. Seolah-olah di langit mendung 6.00 petang itu mengimbau semula kisah silam itu. Aku dapat merasakan apa yang ibu rasakan.


Kesibukan dan keletihan yang merantai diriku sejak pagi di Akademi Seni Halus Mawar, tidak akan aku izinkan terus membungkus diri dan mengetepikan ibu kali ini. Cukuplah. Aku harus lebih berani menghentikan kekalutan yang menyelimuti urat nadi ibu selama ini.

Aku masih ingat dengan jelas bagaimana aku menegur ibu untuk kembali kepada kenyataan. Ibu masih ada aku, satu-satunya anak perempuan yang amat menyayanginya. Ibu tidak boleh merenggangkan diri antara dia dengan aku. Ibu tidak boleh hidup dalam dunianya sendiri. Berkurung dalam bilik sepanjang masa. Atau duduk di dapur atau di sofa di ruang tamu memikirkan ayah siang dan malam.

“Apakah mak senang bersendirian begini seolah-olah saya tidak wujud?”

Ibu diam.

“Apakah mak tak sayangkan saya lagi?”

Ibu diam terus.

“Kalau mak lapar, mak makanlah makanan yang saya beli tadi.”

Ibu diam lagi. Ini membuat aku pula yang merembaskan air jernih, menitis keluar dari kelopak mataku. Dadaku sebak. Aku rasa tidak terdaya untuk membawa ibu keluar daripada kekalutan itu.

Perlahan-lahan apa yang aku dengar dari mulut ibu, yang itu, itu juga. “Jangan ganggu lagi!”

Ya Allah. Kata-kata itu sebenarnya berupa rayuan berulit rintihan dan aku sendiri terpukul apabila ibu menambah dengan mata yang kuyu dan wajah yang layu, “Ibu tak ada sesiapa kecuali ayahmu.”

Oh, ibu benar-benar kehilangan suami tersayang. Dia benar-benar merindui ayah.

“Tapi ibu masih ada saya!”

Ibu diam. Pada tahap itu, ingin aku membantah dengan menambah ibu hanya mementingkan diri sendiri! Sampai hati ibu. Namun, sebelum sempat aku menghamburkannya, ibu seperti dapat membaca bahasa gerak geriku lalu berkata

bersahaja, “Kau tahu apa? Ayah kau adalah lelaki terbaik yang pernah aku temui dalam hidupku. Dia pernah menyelamatkan aku daripada putus asa dan tanpa dia, aku terumbang-ambing. Bekas tunang ibu yang ibu kasih setengah mati, tinggalkan ibu kerana perempuan lain. Dia tidak bertanggungjawab dan memaksa ibu melakukan sesuatu yang di luar batas. Bertunang tidak semestinya lesen melakukan yang terkutuk.”

Aku terdiam. Kelu lidahku untuk terus berbicara. Dalam tafsiranku. Kalaulah benar kata ibu, lelaki yang bergelar bekas tunang itu tentulah bukan seorang manusia yang layak menerima kasih sayang ibu. Sesungguhnya pula, kalau benar juga kata ibu, lelaki yang bergelar arwah suami ibu tentulah seorang insan yang pandai menghargai cinta ibu yang sejati. Dan pemergian ayah terbukti telah memulangkan harum kasihnya sampai ibu berkeadaan sebegitu rupa.

Kini, aku masih ingat bagaimana pasangan seperti belangkas itu pulang selepas satu majlis cukur rambut anak sahabat ayah suatu petang bulan Disember yang dingin dan basah. Ketika itu aku di rumah menonton televisyen.

Masih jelas aku nampak ayah dan ibu melangkah ke dalam rumah. Ayah tiba-tiba mengadu sakit kepala. Dia terjerit dalam bilik air, lalu tercangkung. Kemudian dia berasa tidak sedap badan dan muntah-muntah. Tubuhnya terasa lemah. Mukanya kebas. Begitu juga lengan dan kaki sebelah kiri. Pertuturan ayah yang biasanya lancar dan jelas seperti telah turut menderhaka kepada dirinya. Pandangannya sudah mula pandai mengibarkan bendera kekaburan. Sudahnya dia hilang imbangan. Yang menyayat hati seterusnya, ayah hilang kesedaran dan ketidaksedaran itu merupakan tiket satu hala ayah ke Rahmatullah.

Ayahhhh!!!

“Saluran darah dalam otak suami puan telah terputus. Pembedahan yang kami lakukan segera tak dapat menyelamatkannya. Maaf.”

Ibu menceritakan kemudian, sebelum dia pengsan (semasa ayah di hantar ke hospital dengan ambulans), mata ayah layu. Bibirnya kering dan telinganya runduk. Sangkaan ibu tepat walaupun dia tidak merelakan, malam itu ayah pergi.

Ya Allah. Angin ahmar yang menyerang ayah telah menjadikan isteri tersayangnya menjadi janda dan aku anak yatim dalam usia yang baru hendak menjangkau 19 tahun.

Perlahan-lahan aku membuka mataku semula. Spontan, seakan-akan menghalau kenangan dua bulan yang lalu di hospital itu. Ibu masih di sofa. Aku menekad. Biarlah lewat petang ini aku berjaya menghalau kemurungan itu. Sekali gus memutuskan rantai kekalutan yang tidak aku relakan.

Aku masih di kamar tidurku. Sejurus kemudian, dengan memegang sebuah lukisan berukuran 21 inci X 18 inci pada bingkai kayu di kiri dan kanan, aku mendatangi ibu di sofa.

“Ibu .…”

Seperti biasa ibu buat acuh tak acuh saja. Dia terus memandang keluar merenung langit mendung. Aku duduk bertentangan ibu.

“Ibu, saya ada sesuatu yang ingin saya katakan. Sesuatu yang pernah arwah ayah pernah menasihati saya,” ucapku satu persatu.

Sebaik sahaja mendengar nama ayah, ibu bagaikan ada semacam dorongan untuk memberikan perhatian kepadaku. Apakah umpan aku sudah mengena?

“Ayahmu? Apa katanya?” Mata ibu yang kuyu dan layu kembali berseri.

“Ibu, semasa ayah masih hidup, dia pernah membacakan sajak yang amat mengilhamkannya. Dia kata, dia mahu terus bersemangat dalam hidup walau ada kesusahan atau bencana yang menimpa dan sekiranya terjadi sesuatu, ayah mahu saya memberitahu ibu,” terangku sedikit panjang.

“Apa kata ayah lagi?”

“Ayah mahu saya hasilkan sesuatu berpandukan sajak kegemarannya itu. Dia mahu saya berjanji melakukannya. Sekalipun tak terjadi apa-apa bencana atau kesusahan, dia mahu saya hasilkannya dan mempamerkan khas untuk ibu!”

Mata ibu tidak terkebil-kebil. Apakah ibu begitu taksub mendengarnya? Sampai dia dibantai kehairanan? Didera kebingungan? Atau sampai begitu terharu dibuatnya? Atau kesemuanya dalam satu?

Aku teruskan, “Ibu, sebelum itu izin saya bacakan sajak bertajuk ‘Seperti Rumput Di Dataran’ dari diari ini.”

“Bacakan!” pinta ibu.

Aku tunaikan dengan membacanya:



“ Seperti rumput di dataran

tanpa sempadan

datang dan pergi setiap musim

api yang terbakar tidak dapat menghapuskannya

ia akan berdiri tegak semula

dalam angin musim bunga.”



“Apakah maksudnya?” pinta ibu.

“Ayah pernah memberikan maknanya. Jelas ayah, kita hendaklah jadi seperti rumput di dataran. Rumput yang tumbuh di dataran boleh memberikan kita satu pedoman hidup yang baik, penuh ketenteraman dan penuh kesabaran,” terangku.

“Lagi?” wajah ibu semakin berseri.

“Setiap tahun ia akan kering dan layu tapi ia akan segera tumbuh subur semula. Api boleh membakar hangus dataran tapi tidak akan melenyapkan rumput. Bila datang musim bunga, rumput akan tumbuh semula,” tambahku.

“Lagi?”

“Rumput menunjukkan semangat tak mudah luntur dalam menghadapi waktu kesusahan dan ayah pernah berpesan, sekiranya terjadi sesuatu yang tak diingini ke atas dirinya, dia juga mahu saya berjanji menjaga ibu, seperti mana dia menjaga ibu dulu. Dia mahu ibu dan saya menjadi seperti rumput di dataran.”

“Ayahmu kata begitu?”

Aku mengangguk. Aku cuba menahan air mata daripada mengalir, tetapi ternyata gagal. Gagal kerana air jernih berjujuh deras dari kelopak mata ibu. Pada tahap itu, aku amat pasti percikan terharu berbunga di mata hati ibu. Bahunya terenjut-enjut. Menahan sebak di dada pastinya.

“Ibu, ini lukisan yang saya hasilkan setelah sekian lama, sesuatu yang dicipta dengan kerelaan hati untuk ibu daripada dorongan ayah. Terimalah, kerana menerimanya samalah seperti menerima kasih ayah pada ibu.”

Lukisan yang masih pekat bau minyak warnanya berpindah tangan. Ibu menatap lukisan minyak itu. Ada rumput-rumput hijau subur di dataran. Sedap mata memandang. Lama ibu menatap sebelum memekapnya ke dadanya. Matanya terpejam. Kemudian mencelikkan semula matanya lalu menatap sekali lagi.

Tiba-tiba air mata yang cepat kering kerana hembusan angin lewat petang menitis lagi perlahan-lahan. Aku pasti ia bagaikan cuba merenjis rumput hijau yang terlukis indah di lukisan kanvas itu. Seolah-olah membentuk wajah arwah ayah, Omar Selamat yang empat tahun lebih tua daripada ibu.

Aku bangun dan duduk di sebelah kiri ibu. Aku mendemah-demah belakang tubuh ibu yang terenjut-enjut bahunya. Sekali gus air jernih dari kelopak mataku turut menitik di permukaan lukisan yang aku hasilkan minggu lepas. Seolah-olah membentuk wajah ibu bersama ayah. Aku bersuara halus mersik, “Ibu, saya pasti kalau ayah masih ada, dia pun mahu ibu menjadi ibu yang dahulu, yang kaya dengan senyuman. Ayah kata senyuman ibu adalah senyuman paling manis yang amat disenanginya. Dan dia berasa bertuah kerana beristerikan ibu.”

Bahu ibu terenjut-enjut lebih hebat.

“Benar, ayah telah memberi ibu kasih. Dan saya pula memberi ibu sayang. Tapi Tuhan memberi ibu nyawa. Nyawa untuk terus bersemangat seperti rumput di dataran yang ayah inginkan sangat selagi hayat di kandung badan. Itu janji saya kepada ayah. Dia mahu ibu begitu jadinya.”

Kepala ibu tersandar ke bahu kananku. Aku dapat merasakan semacam kehangatan berlabuh di jiwaku dan kehangatan kasih ibu bercambah bila ibu memegang bingkai lukisan itu lebih kejap. Seolah-olah dia mendakap ayah erat-erat dan tidak mahu melepaskannya. Juga bagaikan tidak mahu menghampakan harapan suaminya yang begitu hebat dan mulus cintanya.

“Ibu berjanji akan menjadi ibu seperti dahulu seperti mana saya berjanji pada ayah dulu?”

Aku melihat ibu memegang lebih kejap lukisan itu. Terasa kepalanya yang tersandar di bahuku tertekan lebih keras dan tergesel-gesel mesra dua tiga kali di daguku. Dan apabila senyumannya terukir, aku dapat merasakan arwah ayah amat menyenangi senyuman manis itu. Sudah cukup sabagai tanda janji ibu tidak perlu diragukan lagi.

BIODATA

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuklah cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang ( 1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

Saya Yang Tak Punya Apa-apa

Oleh Ismas Saring

KETIKA dia balik ke kamar 803 Hotel Palace, jam di atas meja kecil di hujung ranjang sudah menunjuk ke angka hampir 12 tengah malam waktu tempatan. Lazimnya waktu begitu orang sedang lena atau diulit mimpi. Tapi dia baru saja balik daripada assignment bersama teman lain dalam lawatan ke taman Sun City sebuah destinasi pelancongan baru di Afrika Selatan.

Dia berpeluang menjadi tetamu kepada penganjur atas tiket penulis kembara yang sering membuat liputan ke merata destinasi pelancongan yang baru diperkenalkan kepada warga dunia untuk menarik mereka berkunjung sebagai pelancong bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

Sebelum itu, dia pernah menjadi tetamu kepada Bandaraya Fukuoka di Jepun. Selama seminggu dia bersama rakan-rakan lain yang juga menjadi tetamu kepada Datuk Bandar Fukuoka ekoran pelancaran penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke pulau ketiga besarnya di negara matahari terbit itu. Puas juga dia melawat bukan sahaja di sekitar Bandar Raya Fukuoka, tetapi juga ke Wilayah di luar bandar raya itu seperti ke Bandar Raya Nagasaki, Kumamoto, Beppu, Amakusa dan lain-lain.


Kali ini dia mendapat tawaran melawat Afrika Selatan khususnya di Sun City selain dari Johannesberg (Joberg), Cape Town, Bukap (Perkampungan Melayu Cape), Tanjung Pengharapan, Zoo Kwe Maritani dan lain-lain. Lapan hari amat cepat masa berlalu dirasakan dan kalau boleh mahu dia berada lebih lama di negara yang pernah terkenal dengan sistem apartheidnya itu. Harapannya untuk melawat ke penjara di Pulau Robin, tempat Presiden pertama Kulit Hitam Nelson Mandela dipenjarakan, tidak kesampaian atas alasan tiada dalam senarai.

Menurut pegawai promosi, Robin Islands tidak termasuk dalam senarai liputan dan ia adalah di luar tanggungan penganjur. Jika mahu juga ke sana, atas biaya sendiri. Bukanlah dia tidak mampu, tetapi banyak perkara yang perlu diubah seperti penukaran tiket dan jadual penerbangan balik, tempoh penginapan yang perlu diperpanjangkan sekurang-kurangnya untuk jangka waktu tiga hari. Kerana ketika itu tiada penerbangan harian dari KLIA ke Joberg atau Cape Town, urusan pengangkutan dan semuanya membabitkan kos yang bukan sedikit jumlahnya.

Jika dia mahu melakukannya boleh juga. Yang perlu dia hanya memberitahu pihak pengurusan bagi melanjutkan tempoh dan jika memerlukan kewangan, dia boleh mendapatkannya daripada pihak pengurusan dan boleh dipotong daripada jumlah elaun yang diperuntukkan kepadanya untuk liputan selama lapan hari itu. Elaun atau disebut wang saku ini tidak pernah dia memberitahu sesiapa termasuk isteri dan anak-anaknya, kecuali hanya menyatakan segalanya “on the board” yang dibayar dan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur.

Selesai mandi, jam sudah menunjuk ke angka satu pagi. Walaupun letih, tetapi tidak rasa mengantuk. Mungkin kerana terlalu letih, tidak ada rasa mengantuk. Dia membuat kopi bagi menyegarkan tenaganya. Dia membaringkan diri di ranjang dan ingatannya kembali mengenang nostalgia masa yang pernah dilaluinya sepanjang menjalankan tugas selaku penulis kembara. Banyak pengalaman ditimba daripada kerjaya itu. Walaupun dia tidak berkelulusan dari menara gading, jauh-jauh lagi mempunyai gelaran Dr atau Prof, tetapi dia bersyukur kerana tugasnya itu sudah membawanya terbang ke beberapa negara yang mungkin tidak dinikmati oleh golongan sepertinya. Bersyukur dia kepada Allah SWT atas segala rahmat yang dianugerahkan kepadanya. Nostalgia menguasai kepala otaknya yang seketul.

Sebab itu pernah satu hari dia diperlekeh oleh kawan-kawannya yang mendakwa dirinya bodoh kerana tidak mendapat bayaran daripada kerjanya membuat liputan kecuali penerbangan, penginapan, pengangkutan, lawatan dan makan minum, semuanya percuma dan ditanggung oleh penganjur.

“Kalau aku, aku tak mau. Buat apa kerja penat-penat dan menghadapi risiko dalam penerbangan dan perjalanan, tiada upah,” begitu kata Udin memperlekeh usahanya.

Dia tidak menjawab. Hanya tersenyum dan diam menerima tempelakan rakannya. Tetapi dalam hatinya berkata sendirian, “bodoh-bodoh aku kalaupun tak dapat bayaran, dapat juga pengetahuan, pengalaman dan melihat negara orang, tetapi kalau aku tak pergi lagi dua kali bodoh, tak dapat bayaran dan tak dapat melihat negara orang.”

“Habis …? Macam ‘tu ke selalu kau pergi? Tak ada elaun?” Tanya lagi Udin mencungkil rahsianya.

“Iyalah. Buat apa aku bohong. Kalau ada wangnya pun, takkan aku nak bagi kau,"jawabnya selamba, "tak apalah. Kalau tak ada upahnya pun, aku dapat pergi tengok tempat orang. Kalau aku tak terima dan buat, lagi dua kali bodoh. Dahlah tak dapat duit, tak dapat pergi pulak. Macam kaulah. Kerana nak cari duit sangat, tak ke mana pun. Paling Jauh aku dengar kau buat rombongan ke Phuket,” sambungnya memulangkan paku buah kerasnya.

Kenangannya kembali ke zaman sekolah sewaktu di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah Inggeris. Memang tiada dalam kamus cita-citanya dia ingin menjadi penulis, sebaliknya dia bercita-cita ingin menjadi pelukis. Sejak dia menyaksikan pameran lukisan di dewan sekolahnya oleh pelukis tempatan, hatinya terbetik ingin menjadi seorang pelukis terkenal jika pun tidak sebagai Picaso, tapi menjadi pelukis tempatan seperti Cikgu Idris Salam dan Hashim Haji Siraj pun sudah memadai.

Sejak itu, dia mula jinak dengan alat lukisan. Pencil warna. Kertas lukisan dan sebagainya dibelinya secara beransur-ansur dalam keadaan tidak berduit. Dia pun mulai mengarak alat lukisan ke sana ke mari, termasuk di tepi pantai, tepian sawah, di kampung dan di mana saja dia akan membawa alat lukisan dan mulai mencakar kertas lukisan tanpa garis panduan untuk jadi seorang pelukis.

Bagaimanapun, cita-citanya menjadi pelukis bukan sahaja terencat, tetapi mati bagai pelanduk dibaham harimau kerana apabila gurunya mengadakan kelas lukisan, murid di tingkatan itu dikehendaki melukis seekor anjing yang sedang menyalak. Dan apabila masa cukup, semua murid menyerahkan hasil lukisan masing-masing termasuk lukisannya. Malangnya apabila sampai kepada penelitian guru terhadap lukisannya dia dipanggil.

“Kudus … apa yang kaulukis?” tanya CT Rajadurai gurunya yang berkelulusan di sebuah universiti di India dan berasal dari Ceylon (sekarang Sri Lanka). Semua murid memanggilnya Cikgu CT.

Dia tidak menjawab, hanya menatap wajah gurunya yang tersenyum sinis sambil menatap lukisannya.

“Saya suruh kamu lukis anjing, tapi apa yang kamu lukis?” kata lagi gurunya dengan wajah bercampur agak lucu.

“Anjing Cikgu,” jawabnya tenang. Tetapi hati menggeletar. Takut kalau-kalau cikgunya bukan sahaja marah, tetapi merotannya.

“Ini bukan anjing … ini kambing,” kata Cikgu CT, “anjing mana ada tanduk,” sambung Cikgu CT sambil menunjukkan lukisan kepada Kudus.

“Itu bukan tanduk Cikgu. Itu telinga,” jawab Kudus agak berani, “itu telinga anjing marah. Telinganya tegak. Itu bukan tanduk.”

“Dah, pergi duduk tempat kamu,” arah Cikgu CT sambil menahan ketawa lucu, menatap terus lukisan Kudus.

Apabila semua kertas dikembalikan kepada murid, Kudus menerima semula kertas lukisannya dengan mendapat markah “kosong”. Sejak hari itu dia bukan sahaja berhenti daripada melukis, tetapi juga membuang semua alat lukisan ke dalam Sungai Kelang sewaktu dalam perjalanan balik dari sekolah ke rumahnya di Kampung Kuantan.

Hati Kudus berdebar-debar, cemas dan agak takut ketika waktu rehat dia dipanggil oleh Cikgu CT. Semua rakan sekelasnya bubar, keluar dengan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan mengisi masa rehat. Tetapi Kudus ditahan gurunya dan dia duduk berhadapan dengan Cikgu CT.

“Saya beritahu kamu dan saya harap kamu tidak marah,” Cikgu CT bersuara, “kamu tidak ada bakat jadi pelukis. Itu pemerhatian dan daripada pengalaman saya. Tapi .…”

“Tapi apa dan mengapa?” Tanya Kudus memintas. Memberanikan diri bertanya mengapa Cikgu CT membunuh cita-citanya jadi pelukis.

“Tapi kamu ada bakat dalam persuratan. Dalam penulisan,” Cikgu CT memberi jawapan ringkas, “saya percaya kalau kamu lakukan bersungguh-sungguh, satu hari kamu pasti menjadi penulis yang berjaya.”

“Penulis?” Sambut Kudus menggelengkan kepala. Tidak terlintas walau sebesar zarah pun di hatinya dia nak jadi penulis.

“Ya … penulis,” tegas Cikgu CT, “kalau terus kamu pelajari bagaimana jadi penulis, saya yakin satu hari nanti kamu pasti berjaya menjadi penulis. Tak taulah sama ada penulis aliran Inggeris atau Melayu,” sambungnya memberi perangsang kepada Kudus.

“Macam mana saya nak jadi penulis Cikgu,” kata Kudus memberanikan diri, “saya orang miskin, tak ada duit nak beli buku untuk belajar jadi penulis,” dia berterus terang ketidakmampuannya kerana miskin. Untuk membayar yuran sekolah pun terkadang terhutang beberapa bulan.

“Jangan pesimis,” Cikgu CT memberi semangat, “kalau tak ada duit beli buku, boleh baca dan pinjam di perpustakaan. Kalau tak mampu ke perpustakaan, kamu kutiplah majalah atau akhbar yang orang buang dan baca serta pelajarilah dengan serius, saya yakin kamu akan berjaya akhirnya.”

“Terima kasih Cikgu,” tapi saya tidak ada cita-cita menjadi penulis, “namun saya akan cuba ikut nasihat Cikgu. Doa dan restulah saya, semoga saya akan bersedia menghadapi cabarannya,” jawab Kudus menerima nasihat gurunya dan tanpa disedari air matanya berlenang membasahi pipi.

“Kamu menangis,” tanya Cikgu CT, “jangan menangis. Percayalah. Segala kejayaan bermula daripada kepayahan dan setiap kepayahan sering mengalirkan air mata dan air mata adalah semangat serta boleh memberi kejayaan. Saya harap, kamu bersabar dan ikutlah nasihat saya.”

“Saya menangis,” kata Kudus terharu, “saya menangis kerana saya sedar, saya yang tak punya apa-apa. Mana boleh mencapai kejayaan seperti yang cikgu harapkan.”

“Jangan bimbang, perjalanan seribu batu, bermula daripada langkah yang pertama, Ingatlah pesanan ini. Jadikanlah ia panduan untuk berusaha,” Cikgu CT membaja tunas yang dikenal pasti daripada bakat anak muridnya, “kamu kena ingat, jika gagal, jangan putus asa. Cuba-cuba dan cuba lagi, kamu akan berjaya akhirnya,” tambah Cikgu CT memberi rangsangan.

Sejak itu, Kudus benar-benar mengubah pendirian daripada ingin menjadi seorang pelukis kepada penulis. Kudus ternyata berubah dan mula kuat membaca serta rajin ke perpustakaan mengikut nasihat gurunya.

Masa berlalu dan dia meninggalkan sekolah itu, namun segala nasihat dan harapan Cikgu CT cuba diamalkan dan akhirnya kini berjaya juga menjadi seorang penulis kreatif dan wartawan yang diiktiraf dan kini dia berada di kamar 803 Hotel Palace Sun City, Joberg, Afrika Selatan adalah kerana nasihat dan janjinya kepada Cikgu CT bahawa dia akan berusaha menjadikan harapan Cikgunya menjadi kenyataan.

Dia masih teringat, bukan sahaja setiap Hari Guru diraikan, dia akan mengirim poskad kepada Cikgu CT Rajadurai, malah di mana saja dia berada di luar negara, dia akan mengingati gurunya itu

Ketika dia membuat liputan di Frankfurt Jerman, dia menulis kepada Cikgu CT dengan kata-kata, “segalanya bermula daripada nasihat dan semangat yang cikgu berikan dulu, tanpa itu semua saya tidak berada di sini sekarang … daripada Kudus (I who have nothing).

INFO

ISMAS Saring atau nama sebenarnya, Saring Sirad, berpengalaman sebagai Polis Khas (SC) ketika darurat 1956 hingga 1959. Dilantik sebagai Penolong Pengarang Angkatan Baru Kuala Lumpur pada 1966 hingga 1967 dan Penolong Pengarang Syarikat Karyawan Kuala Lumpur (1968). Berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian pada 1977 hingga 1993 sebelum beralih sebagai Penulis Kembara (1994-2003). Menerima Anugerah Tokoh Kebudayaan (media massa) Negeri Selangor pada 2005 dan Anugerah Tokoh Kewartawanan Negeri Selangor (2006).

Tanpa Gerak Bibir Terakhir

Oleh Zawan Baba




SAMAD mendongak melihat langit gelap yang ditaburi aneka lambang dan diboboti bintang-kemintang, sembari resap rasanya buyar ditiup prahara malam. Ini, hanyalah gesaan naluri dan perlakuan tandus rasa - cuba memimik cara pandang seorang penyair demi melupakan seketika aliterasi kerak-keruk di pojok perutnya.

Buat pertama kali, ya, buat pertama kali dalam tiga bulan ini, dia terpaksa akur dengan kehendak alam. Tidak, tidak, kehendak Tuhan sebenarnya. Kehendak manusia tidak dapat mengubah kehendak Tuhan, seperti para astronomi tidak dapat mengubah garis edar bintang-kemintang yang direnungnya tadi.

Garis-garis temaram cahaya bulan yang menyorot di antara bukaan daun tingkap dan labirin atap itu menyuramkan lagi hatinya. Cahaya dari bulan berbatang-batang menimpa perutnya yang sejak tengah hari tadi tidak diisi apa-apa - tembolok dengan kesonderannya!


Dipejamkan kedua-dua kelopak mata rapat-rapat sambil kerangka fikirannya dibuka seluas-luas pada alam yang selalu bersimpati. Paksi rasionalnya menyemak debar jantung dan tutur hatinya yang menghadapi dua macam hambatan - soal perut sendiri dan perut isterinya. Seperti wap yang bangkit menyatukan dirinya dengan awan dan turun semula sebagai titis-titis hujan, kelopak matanya kini basah mengenangkan belenggu yang merantai nasib keluarga. Nafasnya bergerak turun naik. Samad menekup muka dan wajah menekur ke bumi seperti melindungi mata daripada kenangan silam.

“Zaman mewah memesan makanan segera sudah berlalu,” suara batinnya berbisik sambil kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Samad merenung tajam ke arah gerobok makanan di dapur, seolah-olah gerobok itu sasaran bidikan busur yang direntangnya. Panahan mata melesat jauh, cuba menjejaki ruang masa lalu yang ditimbuni kemewahan. Di mata batin terbayang tika gerobok itu penuh dengan sajian yang melebihi ukuran kewajaran tembolok manusia. Paparan penuh ambisi mata batin dikejutkan lagi dengan suara perutnya yang berkerak-keruk, sayugia menyedarkan Samad dari alam bawah sedar yang dijejaki.

“Esok, 1 Mei. Bagus. Aku nekad ke Dataran Seni bersama kau Layla. Aku sudah jemu dengan rentetan kelaparan dan belenggu undang-undang ciptaan manusia munisipal itu,” ujar Samad sekonyong-konyong memecah kebisuan dinihari. Bola matanya lesu melihat satu susuk kecil di sebalik kegelapan, betul-betul di sebelah gerobok nihil itu. Imbas susuk kecil itu meragukan hati Samad, tetapi amat diyakini matanya. Dikecilkan bukaan sudut mata supaya menumpu pada satu figura berupa seorang hawa dan hatinya kini yakin seperti matanya.

Zawan Baba

Samad menyambung ujaran, “Hai sobat mistik, esok kita berdua akan berdiri laksana mercu suar di sana, vibrasi magis daripada paduan nuansa suara kita tentunya akan memberi imbalan supaya dapur rumahku berasap kembali.” Suara Samad lunak dan sayu, seolah-olah memujuk seorang anak kecil agar jangan menangis. Kebisuan figura itu merimaskan. Dengan perlahan Samad melangkah lemah ke arah figura yang terus membisu tanpa bahasa. Derap kaki ditambah dengan helaan daya seretan ke pusat cakerawala membuatkan lantai papan rumah berkeriut. Tersentak dengan talaan keriutan lantai, langkah dimatikan. Lalu diketap bibir yang kering sambil memandang ke satu lagi susuk yang begitu dicintai - susuk seorang hawa yang dianggapnya mentari jasmani dan sakralnya. Samad membongkok cermat dan mengusap perut isteri yang lena berkerekot di muka lantai.

“Mariam, sebagaimana panas mentari yang menghidupkan sawah dan dengan panasnya juga ia mematikan, semacam itulah apa yang kau tamsilkan kepada wadah fitri aku,” tutur Samad lembut kepada isteri yang sedang diresapi mimpi indah, seindah roman muka miliknya. Masih segar dalam benak Samad, dua hari lalu ketika dia dan Mariam berkongsi menjamah kepingan-kepingan roti yang direbutinya di bandar. Memang inilah keruwetan dan ciri keasingan yang terpaksa diramahinya. Bersama getaran bibir Mariam yang kelaparan, begitulah hati Samad bergetar apakala Mariam berujar tentang ‘anak di dalam rahimnya’. Seingatnya dia hanya mengangguk-angguk supaya perbualan itu tidak melarat. Dia tidak berselera untuk berbicara soal itu kerana waktu itu seleranya lebih terarah kepada kepingan roti yang membezakan antara orang yang masih mampu bertahan untuk hidup atau mati kebuluran.

“Huuuhhhhh ....” dalam helaan nafas seolah-olah menyesali jungkir reaksi tempoh hari. Kepala digeleng ke kiri dan kanan sebagai gerak tindak mencemuh, serentak mencela diri.

Kerangka sakral terhantar kembali ke lindapan memori. Ya, memang mata rantai sebuah rumah tangga permulaannya hanya daripada sebuah pandangan, lalu akhirnya campuran keharuman itu menciptakan jiwa ketiga. Sekali lagi Samad menekup muka seolah-olah dia malu benar dengan kelakuan keanak-anakkannya dua hari lepas.

Dalam pelat desis yang bertunda-tunda, Samad berbisik, “Esok, aku dan Layla akan kembali melipur dengan kata-kata manis... dengan percakapan tanpa kata... dengan nyanyian kebisuan. Ya, memang hujan tidak akan dapat menakutkan orang yang sudah basah kuyup, kita tidak akan lapar lagi Mariam.”

Dia lantas berdiri tegak dan menyeluk poket kanan seluar denimnya yang lusuh. Sehelai sapu tangan bercorak petak catur dikeluarkan dan dikibas-kibas. Takzim Samad merapati Layla; figura patung hawa yang sudah berhabuk dan sedikit cobak. Ditatapnya roman Layla yang menyalin raut wanita tua yang aneh, hidung mancung kemerahan, berambut kerinting halus, kulit pipi berjeragat dan sedikit kedutan di bawah mata, berkaca mata bingkai bulat serta rahang di bawah pipi yang besar. Layla disarungkan dengan jubah mini sulaman hitam dan merah dengan taburan manik-manik kilat - cukup membuatkan figura itu memancing pandangan sesiapa yang melihat. Samad tersenyum sedikit apabila dia cuba membandingkan susuk tubuh dan roman muka Layla dengan Mariam. Sesungguhnya Layla adalah antonim kepada Mariam. Dia terus berlamun sambil membersihkan habuk pada figura yang sudah tiga bulan dibiarkan tersadai.

“Dunia sekarang ini semua berkehendakkan disertasi dan gulungan sijil, ventriloqouist seperti aku terpaksa berjerih demi mengisi perut,” bebel Samad kepada Layla yang dipangku di atas riba. Tangan kiri pula dipaut pada rongga dalaman figura itu.

Mulut Layla bergerak dan ternganga-nganga, “Hey Samad, kamu fikir semua yang ada disertasi itu bijak? Memang rata-ratanya bijak, namun ada juga yang selalu tenggelam ditimbun buku-buku, kamu tahu? Buku-buku yang tidak pernah selesai ditelaah lembarannya.” Samad terkebil-kebil. Tangan kanan digawang-gawang seperti meminta penjelasan.

“Heh, kamu jangan tak tahu, sarjana-sarjana kita sekarang hanya mengulangi apa yang tidak difahami dari buku-buku, bunyinya seperti burung kakak tua. Cuma mengulang ajuk kata tuannya.”

Kali ini kepala Samad diangguk-angguk. Dia tersenyum buat kali kedua pada dinihari itu. Seni suara dari rongga badannya sendiri yang keluar, tanpa sedikitpun menggerakkan bibir ternyata masih mampu dikawal. Sebentar dia membuat latihan tahan nafas, sebentar dia menyemak tutur dan menghafal bait dialog, sebentar berolok-olokan di hadapan cermin ditemani Layla sehingga fajar pertama menerpa kening tajam atap rumahnya. Kidung pujian burung-burung kepada yang Maha Kuasa dan isapan madu pertama kumbang dari cangkir bunga di laman rumah Samad menghantar isyarat jelas kepadanya - alam sebenarnya terlalu banyak memberi.

“Abang, tolong jangan pergi lagi ke Dataran Seni. Bukankah Datuk Bandar sudah mengharamkan permainan ventriloqouist? Kalau tertangkap munisipal, tentu abang akan dihumban ke penjara,” Mariam merayu dalam bauran emosi resah-gelisah dan buyar kerisauan. Namun Samad hanya mengambil jalan diam sebagai jawapan.

“Kononnya mahu memperbaiki masyarakat, tapi Abang sendiri menipu penonton, terutama anak-anak kecil itu. Abang seolah-seolah memberi nyawa kepada patung sehingga lupa kepada batas-batas agama.” Suara Mariam sedikit tergetar apakala menyebut perkataan ‘agama’ itu dan jawapan Samad hanyalah berupa tarikan nafas yang dalam. Dia dan Mariam terpisah oleh pegangan berbeza, tetapi disatukan pula dengan denyut baka di dalam rahim Mariam. Ternyata percakapan bukan satu-satunya cara untuk saling mengerti antara dua jiwa.

“Mariam, jangan biar haluan kita dituntun orang buta. Itu semua sangkaan karut marut yang mereka anut. Ini soal perut, soal kelangsungan hidup!” Samad merengus kuat sambil menyelak helaian akhbar kelmarin dan menunjal-nunjal paparan gambar di segmen Jendela Dunia.

“Cuba kaulihat, tiga bilion rakyat tidak cukup makanan. Di Haiti lima orang mati kerana mogok lapar. Di Cameroon 40 warganya yang kelaparan mati sebab berebut roti. Ini pula, di Mesir, keganasan memuncak kerana manusia sudah mula menyalin sifat haiwan, siapa yang kuat akan dapat mengisi tembolok. Kebuluran di mana-mana, di Bolivia, di Mexico, di Bangladesh dan kini di negara kita sendiri. Mengerti?” nyala rasa Samad meluap-luap, semacam ada dandang api membakar dada. Linangan air mata Mariam seolah-olah menjadi bibir yang menjawab pertanyaan suaminya itu. Dia hanya bungkam dan diam, seperti kakunya figura Layla. Dengan berhati-hati Samad merapati Mariam dan memegang pundak isterinya.

“Kelaparan akan membuatkan moral insan susut dan dacing diri luput sehingga lupa cara menyantuni insan lain. Hari ini getar suara dan peran Layla akan aku tukar ganti dengan semangkuk nasi.”

Kata-kata Samad cuba ditelan resap sakral Mariam, tetapi termengkelan di batin kerongkongnya. Dicuba pula meludah kata-kata tersebut, namun tidak berupaya untuk keluar. Ujaran Samad itu seumpama sungai yang terlupa jalan atau liku, dan secara tiba-tiba pula ia sampai di lautan sehingga Mariam terkapai-kapai lemas di situ. Mariam hanya mampu menghantar Samad dan Layla ke Dataran Seni dengan pandangan lesu seorang hawa, seperti Ratu yang lesu berteleku di atas puing-puing kota dan runtuhan istana kemahsyurannya.

Hati Samad mulanya agak ragu dengan tindak daripada gesaan naluri. Naluri yang penuh dengan ambiguiti. Kesamaran memungkinkan dua atau tiga imbalan, mendesaknya menyemak debar jantung sendiri berkali-kali. Dalam keraguan batin hati itu, kaki tetap patuh melangkah ke Dataran Seni. Layla yang dikepit di celah ketiak terkadang-kadang meliuk terkejut-kejut mengikut rentak lenggang dan kaki Samad. Keringat bermanik-manik di serata tubuh ketika dia terhendap-hendap di satu pojok Dataran Seni, “Kalau-kalau ada penguat kuasa munisipal mencari mangsa di Hari Buruh ini,” getus batin hatinya. Seperti kapal saudagar penuh muatan, hanya menunggu air pasang untuk mengembangkan layar ke dada lautan, Samad menyeluruhi ruang pentas menanti tika yang sesuai. Di sekitar pentas itu dilihat hanya dua tiga kelompok rakyat jembel mundar-mandir menanti sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti.

“Kebarangkalian keinginan mengisi perut dan kecelaruan fikiran membuatkan manusia yang nasibnya tidak ubah seperti aku menjadi gelandangan di sini.” Riak batinnya itu seolah-olah memberi keyakinan kepada Samad untuk memulakan persembahan. Persembahan berupa paparan suara penuh tamsilan, tetapi menghiburkan - demi mencari sedikit wang untuk mengisi keperluan.

Kolam hati yang tenang tiba-tiba berkocak kuat. Terpaan gelendangan yang disangkanya ‘rakyat jembel’ - rupa-rupanya penguat kuasa munisipal yang berbusana preman. Saraf yang membawa darah dan pesan isyarat ke paksi rasionalnya mengucur laju. Layla yang dipangku terhenyak ke lantai pentas. Samad terkepung. Dia tidak mampu lolos. Kenyataan bahawa ‘dibicarakan di mahkamah’ dan ‘dihumban ke penjara’ terngiang-ngiang di resap rasanya. Telinga batin cepat dijelang kudus hantaran pesan isterinya tadi.

“Aku tak bersalah! Aku tak bersalah! Lepaskan aku!” pekik Samad. Rontaan kasarnya menyebabkan penguat kuasa munisipal terus membelenggu pergelangan tangannya. Dia sempat menoleh. Pandangannya dibidik ke lantai pentas di belakangnya. Di antara ambang cemas dan rasa radang, Samad melihat bola mata Layla sayup menatap langit. Tangan kanan figura itu terkulai ke arah mentari terbenam. Dan Samad pitam di situ!

Biodata penulis:

ZAWAN Baba atau nama sebenarnya Mohd Nazwan Hafeez Hashim dilahirkan pada 4 April 1981 mula berkarya sejak 2008. Cerpennya pernah mendapat tempat dalam akhbar dan media arus perdana. Mengikuti beberapa bengkel penulisan cerpen pada tahun lalu. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Marin), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini, kini berkhidmat sebagai jurutera di laut.

Glosari
Sonder -
tiada, tanpa.
Ventriloqouist -
orang yang pandai bercakap tanpa gerak bibir
Sakral - rohani, suci, kudus.

Origami dari Urawa

Oleh Jasni Matlani




Origami Tanda Ingatan

"HANYA ini yang saya dapat berikan, untukmu. Hanya ini," kata Mishima lembut, tenang dan dengan wajah bersulam senyum, ketika menyerahkan origami itu kepadaku. Origami itu berpindah tangan dan aku melihat sekilas origami berbentuk burung yang seolah-olah hendak terbang itu sebelum memandang kembali wajahnya yang tidak lekang mengukir senyuman.

“Arigato kusaimas,” kataku kemudian berbahasa Jepun kepadanya. Aku melihat jari jemarinya perlahan memperbetulkan rambut yang diusik angin. Aku melihat rambut itu rapi menyempurnakan wajah bujurnya.


“Sama-sama,” jawapannya dan masih lagi dengan bibir berhias senyum, “saya sendiri boleh membuat origami untukmu. Saya mahir membuat origami berbentuk manusia, binatang dan burung-burung, seperti yang kau tahu, tetapi yang ini adalah origami yang sangat istimewa untukmu dan khas dari Urawa. Ia akan mengingatkanmu detik-detik manis kita di Urawa,” tambahnya.

Aku terharu dan terus memandang origami itu, membelek-beleknya dengan teliti dan kemudian menyimpulkan di dalam hati bahawa anyamannya memang halus. Dibuat daripada kertas yang licin dan cantik. Saiznya sederhana besar dan bentuknya pula sangat indah dan aku membayangkan kalau-kalaulah origami berbentuk burung itu boleh hidup dan terbang di hadapan kami. Aku mahu origami itu terus kekal di sini. Di negeri kelahiranku dan alangkah seronoknya.

Tetapi ah! Mishima, origami tidak lebih daripada hanya sebuah origami, begitu fikir sesetengah orang. Tetapi aku berfikir bahawa origami sebenarnya lebih daripada hanya origami. Apabila kau mengajarku membentuk sekeping kertas empat segi kepada beberapa lipatan sehingga terbentuk objek yang diingini, kau seperti mengajarku tentang kehidupan. Kau seperti memberitahuku bahawa sesuatu yang istimewa mesti dilahirkan oleh orang yang istimewa dan diberikan kepada orang yang istimewa juga. Jadi kau memberikan origami dari Urawa itu kepadaku dan aku merasa sangat teristimewa kerananya.

Penulis, Jasni Matlani.

Kenangan Manis

“KETIKA berjalan-jalan di Urawa, aku mengingatimu. Ingat kata-kataku, ketika kita berdiri di hadapan Japanese Language Centre, Urawa?”

“Apa dia?” soalku, pura-pura sudah melupakannya, walaupun sebenarnya aku mengingatinya, lebih daripada apa yang diingatinya.

“Ketika itu penghujung musim bunga dan menghampiri musim panas dan kita berjalan-jalan di sepanjang deretan kedai tidak jauh dari Japanese language Centre, Urawa. Kita tertegun di hadapan sebuah kedai khas menjual origami dan kita sangat tertarik dengan origami itu, bercakap tentang origami, aku membeli kertas untuk membuat origami, mengajarmu membuat origami, tetapi akhirnya kita meninggalkan kedai itu, kerana katamu, kau mahu membeli uncangan teh tradisi, khas buat teman-teman akrabmu di Malaysia. Ingat tempat tu?” soalnya

“Tentulah aku tidak dapat melupakan tempat yang indah, pada detik-detik yang terindah,” jawabku.

“Kau membuatku teruja,” katanya sambil melirik ke arahku dan aku sempat mencuri lirikan matanya yang terlindung di sebalik rambutnya yang ikal, tetapi halus dan hitam itu. Ketika itu kami sedang beriringan dan aku berjalan di sebelah kirinya sambil menunda beg pakaiannya yang sederhana besar, berwarna coklat muda ke tempat letak kereta di lapangan terbang yang serba baharu di negeriku itu.

“Tidak mengapa kalau kau teruja, kerana aku hanya mengatakan sesuatu yang pernah terjadi dalam dunia realiti kita. Sesuatu yang tidak dapat disembunyikan oleh hati yang berkaca-kaca,” balasku.

Mishima ketawa lembut dan kelembutan itu seolah-olah meresap dalam hatiku.

“Kau lebih seorang penyair daripada seorang guru bahasa Jepun,” katanya kemudian dan dia ketawa lagi.

“Bukankah pada sisi kehidupan yang lain, aku juga pernah menulis puisi dan pernah menghantarnya ke penerbitan tempatan dan disiarkan. Aku juga mempunyai ramai kawan yang profesionnya memang penulis dan penyair.”

“Oh ya, aku sudah lupa,” sahut Mishima berbasa-basi, “bukankah kau telah menceritakan bahagian lain kehidupanmu itu, ketika kita di Urawa dulu?”.

“Kau memang cepat lupa, apa yang sepatutnya tinggal dan kekal lama dalam ingatan,” balasku, seperti bergurau.

Mishima ketawa lagi dan manis sekali.

“Aku selalu luluh di hadapan seorang penyair. Kadang-kadang elok juga rasanya jika aku mengenalimu sebagai seorang penyair dan kita lupakan seketika tentang dunia guru bahasa Jepunmu itu.”

“Tetapi jangan lupa, aku menemuimu pertama kali di Urawa, kerana peluang yang diberikan olah Yayasan Bahasa Jepun kepadaku sebagai guru bahasa Jepun di negeriku ini.”

“Aku tahu” balas Mishima, “tetapi biarlah aku mengatakan dengan ikhlas, bahawa ada kalanya aku mengagumi kata-katamu sebagai penyair, lebih daripada kata-katamu sebagai seorang guru bahasa Jepun.”

“Baiklah,” kataku mengalah kemudian, “yang penting kata-kata itu datang daripada orang yang sama, seorang penyair, yang juga seorang guru bahasa Jepun.”

Mishima ketawa lagi.

“Kau memang pandai bergurau.”

Kunjungan Pembuka Jalan

MINGGU pertama Mishima di negeriku, aku membawanya ke beberapa tempat yang menarik di negeriku. Aku membawanya mendaki gunung Kinabalu. Aku katakan kepadanya, Gunung Kinabalu, mungkin tidak seindah Gunung Fuji, tetapi ia tetap menjadi lambang kebanggaan, bukan kerana statusnya sebagai gunung yang tertinggi di Asia Tenggara, tetapi kerana keramahannya menyediakan saat-saat terindah untuk dua insan yang sedang bercinta.

Mishima tertunduk malu.

“Angin yang lembut bergerak di pinggir gunung dan kabus yang meliputi kita ini, mempunyai rahsia dan misterinya tersendiri.”

“Ya, alangkah eloknya, kalau aku boleh tinggal lama di negeri ini” Mishima melepaskan keluhan dan wajahnya berubah muram sedetik. Di perhentian Panarlaban kami memandang sekeliling, angin sejuk yang menerpa seolah-olah meresap ke dalam sum-sum tulang.

Apabila kami pulang ke Kota Kinabalu. Aku membawanya berjalan-jalan di sekeliling bandar. Mengunjungi pusat beli-belah yang sentiasa menjadi tumpuan ramai. Menonton pementasan teater, Menunggu Tuan Presiden di Dewan Besar DBP. Mencari tempat makanan laut yang terkenal di sekitar bandar. Aku juga membawanya menghadiri majlis kenduri kahwin seorang sahabat yang kebetulan melangsungkan perkahwinan dan dia mengatakan, itu adalah antara pengalaman yang tidak mudah luput daripada ingatannya.

“Hanya ada beberapa butir pengalaman yang akan terus kekal dan tidak mudah luput dari ingatan,” katanya.

“Seperti juga hanya ada orang tertentu, yang dekat dengan diri kita, lebih daripada seribu orang yang kita kenali,” sambungku.

“Di dalam diri kita ini,” katanya pula perlahan, berhenti seketika seolah-olah berfikir dan kemudian menyambung, “ada satu ruang yang dikhaskan untuk seseorang dan sesuatu perkara yang istimewa sahaja. Ruang itu tidak pernah terbuka untuk banyak orang atau banyak peristiwa yang lain.”

Aku setuju. Sebab itu pada hari berikutnya, aku memutuskan untuk membawanya melalui perjalanan sederhana jauh menemui keluargaku di Pedalaman. Sesampainya kami di tempat yang dituju, ternyata ibu dan adik-adikku menyukainya. Ada sesuatu yang istimewa dalam diri Mishima yang tidak dimiliki gadis lain, setidak-tidaknya menurut pemerhatianku.

‘”Di dalam diri Mishima ada keramahan dan ada ketidakjangalan bergaul dengan masyarakat yang berlainan bangsa, yang menjadikannya seperti matahari yang menghablurkan cahayanya dengan indah dan penuh nikmat di mana-mana,” fikirku di dalam hati.

Malah, dia seperti hendak memberitahuku bahawa hubungan kasih sayang sesama manusia itu sesungguhnya lebih mahal dan lebih bermakna daripada hubungan dan ikatan sesuatu bangsa.

“Jadi, eloklah berkahwin, jika sudah mendapat gadis yang baik dan berkenan di hati” kata ibu selamba, ketika aku bersamanya dan Mishima rancak berbual dengan adik-adik di halaman rumah. Aku hanya tersenyum sambil memandang Misihima yang begitu mesra dengan adik-adikku.

“Ibu berkenan dengan Mishima, kalau kau bersetuju dan menyukainya”

Aku berkalih memandang ibu seperti mencari kewajaran kata-katanya. Kalau aku memilih Mishima, menjadi pasangan hidupku selama-lamanya, sehingga akhir hayat, adakah aku harus terbang seperti origami yang tiba-tiba hidup ke Urawa, tempat kelahiran Mishima dan menjadi sebahagian warga Urawa yang selalu dikepung empat musim itu.

Bila Mata Bertentang

TETAPI memang aku tidak menyangka bahawa sebaik-baik sahaja aku turun dari pesawat di lapangan terbang yang kira-kira empat puluh kilometer jauh dari Pusat Bahasa Jepun Urawa pada penghujung musim bunga dan menjelang musim panas itu, aku akhirnya bertemu dengan Mishima, yang harus menjadi isteriku. Adakah aku sudah bersedia untuk berjauhan dengan ibu dan adik-adikku yang tercinta, yang sering kukunjungi pada hujung minggu atau hari cuti dan hari kelepasan am di negeriku?

“Perangainya memang elok, peramah, lembut, cepat mesra dan ibu dapat merasakan kasih sayang yang tersembunyi di sebalik kecantikannya” sambung ibu seolah-olah hendak meruntuhkan hati lelakiku yang masih berteka-teki.

Tetapi katakanlah hasrat ibuku itu dikabulkan Tuhan, aku berfikir, adakah origami yang terbang dari Urawa itu akan terus tinggal kekal lama di negeri ini dan menjadi sebahagian daripada keluarga ibu yang besar dan dikasihinya? Seperti tidak ada sebarang jawapan untuk pertanyaan itu, namun ketika itu aku memandang Mishima. Mishima tiba-tiba berkalih dan mendongak memandang juga ke arahku yang sedang duduk di beranda rumah bersama ibu.

Untuk beberapa saat, kami saling berpandangan. Pandangan itu hanya untuk kami berdua. Tidak untuk orang lain. Untuk beberapa saat juga kami seperti tenggelam di dalam dunia kami. Ketika itu, hanya terdengar suara hati kami sendiri. Jantung yang berdebar. Dada yang berombak dan ombak yang sukar dijinakkan. Seketika aku kembali sedar, Mishima sudah bercerita semula dengan asyik bersama adik-adikku.

Biodata

JASNI Matlani lahir di Beaufort Sabah. Menulis dalam pelbagai genre puisi, cerpen, novel, drama dan esei/kritikan sastera. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan sering kali Memenangi Hadiah Sastera Sabah. Antara kumpulan cerpennya ialah Dunia Iris (2002), Hujan Putih (DBP:2006) dan Negeri Malam (2008). Kini penulis sepenuh masa.

Dia, Lelaki Yang Baru Saya Salam Itu

Oleh Ibnu Ahmad al-Kurauwi




TAPAK tangan lelaki yang baru saya salam tadi terasa membekas lembap. Dinginnya bagai melekat di telapak tangan saya. Usai solat Jumaat tadi, bukan saya sahaja yang berkerumun bersalam-salaman dengan lelaki itu, bahkan ramai juga jemaah yang menyelit-nyelit tubuh menghulurkan tangan. Lagaknya bagai seorang selebriti. Saat bersalam, saya pandang wajahnya yang masih bersisa air mata, sedang tubuhnya sedikit condong merendah diri. Saya turut terdorong merendah diri dan sebak.

Ah, biasanya, belum sempat habis zikir lagi, saya sudah gocoh-gopoh melangkah bahu jemaah. Bongkok-bongkok saya keluar buru-buru menyondol pintu belakang bak memikul sekantung pahala yang berat terbeban. Dahlah acap lewat; kadang-kadang di hujung-hujung khutbah, barulah saya datang. Sentiasa pula awal-awal mahu mendahului orang bila pulang. Pun tidaklah kerana cepat-cepat mahu masuk semula ke tempat kerja, tetapi melangkah seberang jalan dek berebut tempat duduk di gerai mamak betul-betul bawah di pohon ketapang, semata-mata mengisi perut dengan ABC atau cendol, sambil mengecek sebatang dua rokok kawan-kawan seangkatan.

Lama sudah saya memata-matai lelaki itu dari jauh sebelum tergerak hati untuk menyentuh tangannya. Saat menyandar tubuh ke dinding mencari lena, saya suka memandang tubuhnya yang kecil dengan janggutnya yang pandak itu. Jauh daripada muda berbanding usia saya. Saya meneka, barangkali usianya dalam pertengahan 30-an. Di atas mimbar itu, kadang-kadang saya lihat dia berjubah dan kadang-kadang segak memakai sepasang baju Melayu; lengkap bersamping dan bersongkok hitam. Walaupun bacaannya lancar, sebutannya jelas, telinga saya sahaja yang kadang-kadang dengar dan kadang-kadang samar, dek terangguk-angguk condong ke depan, kiri dan kanan terbabas. Yang pasti, saya dapat teka lenggok bahasanya. Kalau saya kerap terbabas, pastilah teks khutbahnya itu teks JAWI. Kalau teks buat sendiri tidaklah saya sempat bermimpi.


Dua kali sebulan saya akan mendengar lelaki itu membaca khutbah bergilir dengan regunya. Dengar bisik-bisik kawan-kawan, dia imam masjid di bangunan setinggi 6 tingkat ini. Uniknya masjid ini duduk di tingkat atas sekali. Entah mengapa bangunan ini kosong dari aras bawah hingga ke atas tiada berpenghuni. Bimbang juga terserempak jin atau pontianak yang beranak-pinak tumpang lif sekali. Oleh sebab, inilah masjid yang paling dekat dengan premis kerja, nak tak nak, suka atau tidak, saya berkunjung juga seminggu sekali. Dia barangkali tidak kenal saya. Ah, mana mungkin wajah-wajah hampir tiga ratus jemaah yang hadir boleh dikenalinya seorang demi seorang. Lebih baik lelaki tersebut tidak kenal saya dek kerap tidur sewaktu mendengar khutbah. Tambahan pula, pendingin hawanya cukup jadi sebab untuk saya tidur nyenyak.

Hari ini, entah mengapa, lelaki yang baru saya salam itu, suaranya menyentuh hati saya setelah diramu dengan doa yang mendayu-rayu. Bukan tak pernah saya dengar suara khatib itu. Tapi kali ini, hati saya rasa lain. Jemaah pun rasa lain. Saya perhatikan jemaah di kiri dan kanan turut tunduk sama mengadu-rayu. Terpaku tubuh saya menunggu. Kata lelaki itu: Dia mahu Tuhan selamatkan saudara-saudara Muslimin di Palestin daripada kerakusan tentera Yahudi. Dia mahu Tuhan pecah-belah, cerai-berai, hancur-leburkan Zionis Yahudi. Dia mahu Tuhan turunkan anjing-anjing agar membaham semua Yahudi yang zalim itu. Mujur juga doanya dalam bahasa Melayu, faham juga isi maknanya.

Kerana faham itulah saya menangis. Saya tak pernah menangis semasa berdoa, sungguh! Kali terakhir menangis pun waktu saya temani isteri tengok cerita Hindustan yang sentiasa jadi koleksinya itu. Entah mana datangnya, dalam pada berdoa, saya teringatkan anak-anak saya yang barangkali sebaya dengan anak-anak kecil yang syahid menelan muntahan mortar, peluru dan bom yang menjaring bumi Gaza yang kering itu. Tidak dapat saya bayangkan jika musibah seperti itu jatuh ke kepala saya. Hiba kembang dan mengapung di dada saya sedang insaf membuak-buak terasa menggelegak di telapak tangan saya.

Saya yang menangis tersedu-sedu itu kerana terbayangkan kepala seorang anak kecil terpamer dalam muka pertama akhbar baru-baru ni. Imejnya jatuh dalam tadahan doa saya. Tak sanggup saya melihat darah memerah di permukaan tanah sedang seluruh tubuhnya terbenam dalam bumi di celah-celah runtuhan rumah. Tersayat hati saya dek bedak debu yang comot menempek di wajahnya, manakala rambutnya kembang berlumpur tanah, tetapi comel pada matanya yang pejam lena bagai sedang nyenyak bermimpi indah. Selepas ini, anak itu akan tidur lebih lama tanpa perlu resah atau berkeluh-kesah dek bimbang dihujani musibah.

Sebelum itu, saya juga menangis menggugu-gugu semasa solat. Entah, apakah kerana suara imamnya yang mendayu-rayu sewaktu membaca ayat-ayat yang menyebut tentang kebencian kaum Yahudi dan Nasrani kepada umat Islam atau kerana Qunut Nazilah di akhir rakaat yang mendoakan bantuan dan keselamatan kepada saudara-saudara Islam kami itu di Palestin. Saya rasa, dalam banyak-banyak solat, inilah solat saya yang paling khusyuk, selain solat dua hari raya. Ya, inilah solat saya yang paling seronok dan terasa paling pendek dalam sejarah hidup saya.

Bagai dipukau, saya langsung tak kisah menurut sahaja arahan lelaki itu agar menambah pula solat hajat berjemaah. Semangat meluap-luap dan simpati berpeti-peti menyebabkan saya ikut sahaja segala perintah sedang hayat saya tak rajin pun solat hajat. Bab-bab solat sunat ni tak rajin saya buat melainkan solat Tarawih semata. Itu pun minggu pertama sahaja. Mujur juga diingatkan dahulu kaifiatnya; mohon rakaat pertama dibaca surah al-Kafirun, rakaat kedua dibaca surah al-Ikhlas tiga kali, tiga kali. Walaupun sekali, tak sempat juga surah al-Kafirun itu saya menyudahkannya dek tak terjumpa lakum dinukum itu. Saya langsung tak baca surah al-Ikhlas dek tak jumpa pangkal ayat. Yang selalu saya baca surah Qulhuwallahu Ahad, tidak rajin pula mendengar surah al-ikhlas. Tapi saya tak kisah, yang penting di akhir solat saya dapat sujud berdoa berlama-lama. Rasanya lebih lama daripada lelaki itu.

Satu lagi yang saya suka dengar ialah khutbah Jumaatnya. Kali ini, lain daripada yang lain. Sebelum ini, haram saya faham. Ah, mana mungkin saya faham, sebab tak terakam ke telinga saya dek ketiduran. Sebab suka, saya dengar khutbahnya sampai habis. Bukan saya seorang sahaja, saya lihat jemaah di kiri kanan saya, hatta depan dan belakang ramai yang tidak berkelip-kelip memandang. Mujur khutbahnya pendek tidak berjela-jela seperti selalu. Saya tak pasti, sama ada lelaki itu memang khutbahnya berjela-jela atau memang saya sebelum ini, panjang berlena-lena.

Saya tengok mukanya merah-merah dek semangat membaca khutbah langsung menenggelamkan kulitnya yang cerah. Sekali-sekali dihentaknya tongkat kayu di tangan kirinya. Urat tengkuknya tegang. Mata lelaki itu bulat sekali menunduk dan sekali memandang ke arah jemaah. Barangkali mahu menjerkah andai ada kepala yang tertunduk-tunduk bak ayam kena sembelih. Saya capahkan telinga dan jegilkan mata, bimbang juga dibalingnya tongkat itu ke muka saya, saat terpejam biji mata. Suaranya memang jelas ke telinga saya, bahkan tidak terlepas walau satu kalimah.

Pada awalnya saya sudah nak mula terpejam-pejam mencari lena apabila lelaki itu mula bercerita tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar saya kepada rejim Israel. Manalah saya mampu, songeh saya dalam hati. Nak ukur amalan pun malu. Amal dahlah sikit - mujur ada Jumaat, kalau tidak rindu-rinduanlah saya melihat mimbar masjid sebelum menunggu raya tahun depannya pula baru bersua - inikan pula nak suruh orang buat baik. Nak larang orang jangan buat mungkar pun saya tak berani, sebab saya dua kali lima sahaja. Bila difikirkan, meremang bulu tengkuk saya sebab terasa makin lama saya hidup, makin dekat dengan neraka, bukan dekat dengan syurga.

Dia kata boleh. Saya tak senang duduk. Macam mana nak perang Israel sedang Pak Arab di kelilingnya pun tak boleh buat apa-apa. PBB, OIC dan Liga Arab pun tak boleh buat apa-apa. Kalau jiran buat tak tahu, jiran yang jauh lagi tak mampu nak angkat senjata lawan Israel macam Hizbullah lawan. Dia macam faham apa yang saya kata. Jangan harap kuasa yang tidak ada di tangan. Ukur kepada kuasa dan kemampuan. Rupanya mencegah mungkar ni, tidak seperti yang saya faham. Tidak semesti lawan dengan senjata. Semua orang ada tanggungjawab bukan untuk puak-puak agama sahaja. Kalau mampu sikit, katanya buat sikit.

Saya bertambah faham, apabila lelaki itu bercerita mengenai kisah burung pipit dengan syaitan. Burung pipit nak padamkan api yang sedang marak membakar Nabi Ibrahim dengan paruhnya yang kecil. Melihat air yang sedikit yang dibawa oleh paruhnya menyebabkan syaitan gelak besar. Mana mungkin paruhnya yang kecil itu boleh memadamkan unggun api Namrud yang besar. Saya teruja dengar jawapan pipit bahawa kerja memadamkan api itu ialah kerja Tuhan. Tuhan nanti bertanya bukan kerana api itu padam atau tidak. Kerana yang lebih penting ialah ikhtiar burung pipit itu membantu Nabi Ibrahim. Esok, Tuhan tak tanya kita, siapa yang menang dan siapa yang kalah, tapi Tuhan tanya esok, apa yang kita buat, bila saudara Islam dibunuh dengan kejam di Palestin.

Saya tahu, lelaki itu mahu saya menzahirkan marah saya kepada PBB yang jadi boneka Amerika dan Yahudi. Lelaki itu marah kepada OIC yang sekadar memeluk tubuh di atas kerusi memerhati. Berapi-api telinga saya mendengar waktu lelaki itu marah kepada Liga Arab yang sedang berebut tempat mesyuarat sedang rakyat Palestin hidup merempat. Lelaki itu berteriak marah kepada orang yang berdemonstrasi mencolok langit dengan sepanduk dan membasah memorandum dengan tinta merah sambil berarak ke Kedutaan Amerika. Katanya, mengapa tidak dibawa sebaldi air seorang pakat-pakat simbah ke kedutaan Arab supaya tenggelam dek berselimut, tanpa tindakan apa-apa menyelamatkan jiran mereka yang bersaudara. Hati batu saya yang lama diam, telinga saya yang tuli kematu, mengangguk-angguk faham.

Lelaki itu mahu saya boikot barang-barang Amerika dan barang-barang Yahudi yang masih tak reti-reti bersimpati dengan Gaza. Lelaki itu mahu saya boikot barang- barang-barang Yahudi yang masih tak henti-henti menzalimi, bagai tak punya hati. Dia mahu saya tidak lagi menjilat jari dek laparkan ayam goreng KFC. Dia mahu saya tidak lagi berahi dek roti gebu McDonald yang sumbangannya masuk ke dana Yahudi. Tertelan lidah saya bila lelaki itu suruh saya berhenti menyokong produk Amerika. Dia mahu saya tidak lagi ketagih Dunhill, Benson & Hedges atau Marlboro.

Lelaki itu bukan sahaja meninggalkan bekas tangannya yang dingin dan lembap ke telapak tangan saya, malah doanya, solatnya dan cerita lelaki yang baru saya salam itu membekas di dada saya, bagai terkepung dalam kepala saya sehinggalah saya pulang meninggalkan seberkas wang dalam sebuah tabung bertulis 'Tabung NSTP untuk Gaza' di pintu keluar. Betul, saya tidak pernah menderma. Malah saya tidak peduli lagi keping-keping dalam beg duit saya yang sudah kosong ditelan oleh tabung itu. Bukan itu sahaja, selera saya pun mati untuk menjamah cendol atau ABC. Entah apa anginnya, saya rasa mual. Kepala saya pening. Saya rasa nak termuntah apabila tercium bau rokok yang berselisih angin dengan jemaah yang berpusu-pusu keluar dari masjid itu.

Sepetang saya jadi mabuk dek terlantun-lantun pesan lelaki yang baru saya salam itu di lohong telinga. Terlupa langsung saya kepada janji mahu meraikan hari jadi anak saya yang sulung. Mujur isteri tolong ingatkan. Itu pun setelah keningnya berkerut menanti saya selesai solat Isyak terlebih dahulu. Malamnya saya dengan selera tawar gagahkan diri juga keluar lalu memilih ke Jaya Jusco yang baharu dibina di Taman Keramat, harap-harap dapat mengelak tercium bau ayam KFC atau roti gebu dan kentang goreng McDonald. Mujur juga mereka mahu mendengar setelah berkeras bersilat menolak pujukan isteri yang mahu saya membawa anak-anak ke Carrefour Wangsa Maju atau pasar besar Tesco di Kajang.

Dalam pada saya mencari-cari kedai makan yang saya berkenan mahu juga saya mengelak-elak restoran yang sudah saya boikot itu. Malangnya, terserempak juga mereka. Akhirnya saya tewas diseret kehendak isteri dan anak-anak yang sudah tersihir lama dengan aroma ayam KFC atau roti gebu McDonald itu. Saya rasa seperti manusia yang kalah perang. Jenuh saya bersilat, berahi pula mereka menjilat. Walaupun saya tidak berselera, mereka tetap meninggalkan saya walaupun perut saya sebenarnya sedang menjerit-jerit meminta-minta. Harap-harap saya tidak terserempak dengan lelaki yang saya salam tangannya tengah hari tadi. Saya malu nak makan. Saya biarkan mereka lahap meratah ayam goreng, sedang saya termanggu di atas kerusi panjang di luar restoran segera itu.

Menyesal saya memilih bertandang ke Jaya Jusco yang serba indah dengan lampu-limpah, ruang-ruang makanan segera dan ruang jualan yang dikelompokkan pada satu sudut itu. Sebut sahaja apa yang mahu semuanya ada. Dari Barat hingga ke Timur, macam-macam ada. Saya bertambah kecewa kerana restoran segera di situ penuh dengan pelanggan yang muka-muka di dalamnya macam muka saya. Saya geleng kepala. Sejak saya bersalam dengan lelaki tengah hari itu, saya sudah pandai geleng kepala.

Sibuk melayan perasaan, saya melihat seorang lelaki yang berjarak 50 meter dari tempat duduk saya berkali-kali melambai-lambaikan tangannya. Saya membiarkan sahaja gamitan itu. Lama memerhati baru saya sedar, lelaki yang sedang duduk di luar restoran McDonald itu menggamit tangannya ke arah saya. Di tangannya ada dua bekas polistirena putih berisi makanan. Saya bingkas menapak menuju ke arah lelaki itu. Semakin dekat saya melangkah, baru saya perasan tampang tubuh lelaki itu. Ya Allah dia, lelaki yang saya baru salam itu! Hati saya tiba-tiba sebak membuak-buak.

INFO

IBNU AHMAD AL-KURAUWI nama pena bagi Azman Ahmad yang dilahirkan di Kuala Kurau, Bagan Serai, Perak, pada Januari 1974 dan kemudiannya berpindah ke sebuah Tanah Rancangan Felda, di Triang Pahang. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab, di Universiti Mu'tah Jordan ini pernah menjadi penulis pojok ruangan agama, majalah Dewan Masyarakat. Cenderung menulis dalam genre ilmiah dan banyak mendapat tempat dalam media arus perdana. Karya kreatifnya juga mendapat perhatian majalah dan akhbar arus perdana. Cerpennya, Sepekat Tinta Jawi Sedalam Cinta Umi, menang tempat pertama Sayembara Cerpen Dalam Tulisan Jawi Sempena Ulang Tahun ke-50 Kemerdekaan Negara. Novel pertamanya, Tinta Elipsis diterbitkan oleh DBP pada 2007. Novel keduanya, Insyirah menang hadiah pertama Sayembara Menulis Novel Remaja DBP 2007. Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perancang Bahasa, di Bahagian Buku Teks dan Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP. Kini Pegawai Khas, Pejabat Ketua Pengarah, DBP dan boleh dihubungi melalui azmarini@yahoo.com atau http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com

INFO

PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Sabtu, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris ditaip di atas kertas A4, langkau dua baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Jika dihantar secara kiriman pos, alamatkan kepada Kreatif, Sabtu, Berita Harian, 31, Jalan Riong, Bangsar, 59100, Kuala Lumpur.

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.