Tepung Talam dan Lelaki Dari Lisbon

Oleh Hafizah Iszahanid




DINDING kedai itu kemas berukir. Ukiran bentuk bujang cantik, bebas dan tersendiri memaut hati. Ada bulan, ada bintang, ada matahari di situ.

Ruang kedai berukiran 20 x 70 itu terpisah-pisah dengan pembahagi ruang yang juga berukir. Ada ukiran bentuk pemidang kemas dengan motif tidak berbelit. Di situ ada itik pulang petang, ada badak mudik dan setampuk manggis.

Amina tarik nafas dalam-dalam, dia mohon pada hati supaya tenang. Amina tidak tahu mengapa hatinya merusuh sejak tadi, sejak dihulurkan menu oleh pelayan berkebaya pendek penuh kerawang dan berkain batik lepas.


"O que você quer comer," dia ingat waktu pelayan cantik bersanggul lintang, dengan kebaya pendek penuh kerawang dan berkain batik lepas tersenyum memandangnya. Amina terjeda seketika melihat sanggul lintang yang tidak padan dengan raut wajah Eropahnya.

"O que você quer comer," pelayan bermata bukan hitam itu mengulang suara dengan senyum yang dipaksa. Amina terjeda seketika melihat kerawang pada baju kebayanya. Sulaman ayak dengan paduan bunga suji di hujung kebaya kelihatan tebal. Oh, untuk menyudahkan sulam jenis itu payah terlalu.

"Ainda não decidir," Amina membalas. Dia pergi dengan lenggang tidak menjadi, dengan sopan dan lembut si pemakai kebaya yang tidak semula jadi.

Hafizah Iszahanid

Amina letakkan lengan kiri di atas timbunan buku sambil memegang bucu menu. Tangan kanan memegang bucu menu yang satu lagi. Berulang ulang dia baca menu itu. Sungguh, Amina tidak tahu hendak memesan apa. Ingatannya terbang pulang pada emak di kampung, jauh di utara Semenanjung Malaysia.

"Kuih ini namanya kuih lapis. Kalau dah masak, potong dengan pisau plastik, kalau tak ia melekat. Kalau memasak, bawah penutup kukus mesti lap setiap kali buat lapisan baru. Ha, api jangan kuat nanti mukanya menggerutu,"

Suara emak bergema-gema di hujung telinga. Kuih lapis emak cantik dengan warna putih dan merah jambu. Dulu, sewaktu kecil Amina akan makan selapis demi selapis. Sebab, takut cepat habis.

Kuih lapis emak buat banyak, tetapi semuanya untuk dijual. Kalau ada baki, barulah perut Amina terisi, kalau tidak emak hanya sepotong emak beri, upah menjual kuih keliling kampung sebelum emak mampu miliki gerai kecil di pinggir jalan.

Ya, Amina membesar dengan duit itulah. Duit emak menjual kuih. Dan duit abah mengukir kayu. Berada jauh di negara sendiri, hatinya teringat-ingat jeritan sendiri dan kakak, 'kuih kuih ... mari beli kuih,"

Amina penat memikir apa mahu dipesan. Menu di hadapan muka buat mata Amina berkaca-kaca dan hatinya berlagu lara.

Amina terasa-rasa keenakan kuih seri muka buatan emak di hujung lidah. Amina terasa-rasa menggigit pulut yang dikukus dulu sebelum kepalanya dituang. Amina ingat waktu emak tangkas meratakan pulut dan menuang kepala hijau adunan air pandan dan tepung gandum.

Seri Muka emak tiada tandingan!

Amina letak menu di sisi. Dia tarik nafas panjang. Di luar, cahaya musim panas seakan menerobos masuk.

Amina teringat sudah hampir lima tahun tidak pulang ke Malaysia. Amina terlalu ingin untuk pulang. Tetapi, dia ragu-ragu adakah dia dialu-alukan?Adakah ada tempat untuk orang sepertinya?

Jenuh memikir, Amina letak menu di sisi. Timbunan buku buat penampung lengan dialih. Pandangan dibuang ke luar. Ke luar kafe cantik tengah Lisbon, bandar bekas jajahan Moor, bandar yang dibina antara tujuh bukit.

"Belum habis memikir?," suara itu membuat Amina tersenyum. Pandangan bertemu. Bandar Lisbon tiada lagi dalam pandangan. Dia menarik menu di bawah lengan. Di bibir, ada senyum bersisa masih.

"Ini tepung talam nyonya, enak ... ah kamu tentu lebih tahu keenakannya. Ini ...,"

Amina angkat tangan kanan dan berhenti di depan mukanya. Lelaki itu terkejut. Riak itu benar-benar dilihat pada wajah hitam manisnya. Dia lelaki Lisbon, lelaki yang membuat saya terbayang pada Alfonso de Albuquerque.

Dia lelaki Lisbon, lelaki yang membuat Amina terbayang pada runtuhnya empayar Melaka 1511.

"Salahkah kata-kata saya?,"

Pada Amina, apabila sudah hampir menamat kajian sarjana kebudayaan dan bahasa Melayu, lelaki itu sepatutnya tahu kata-katanya memang tidak betul.

Amina tidak menjawab. Mata jatuh lagi pada wajah Kota Lisbon, kota atas tujuh bukit. Kota yang menaungi puluhan muzium seni moden dan purba, kota penuh jiwa budaya dan sejarah, kota sang penakluk yang menawan Melaka.

"Begini, globalisasi memungkinkan semua ini. Kamu harus terima dengan penuh rela. Kerana, apabila perjalanan mengelilingi dunia semakin pantas, bukan saja budaya, warisan, sejarah, seni malah penyakit juga mudah tersebar. Kamu jangan terlalu sentimental,"

Amina diam. Fonso, lelaki itu seperti mana dia mahu dipanggil memandang pada wajah Amina yang masih menyeluruhi Lisbon dari bucu jendela kaca.

Menyedari Amina tidak membalas renungan, dia mengalih pandangan. Kuih tepung talam dalam piring kecil miliknya disuap ke mulut. Dia sudah menghabiskan secawan kopi dan sehiris tepung talam, tapi saya masih tercari-cari menu terbaik mengalas perut.

Kemudian Amina teringat, sedang melengat kuihkah emak petang ini?

II

Waktu kaki kecil anak dara sunti berusia enam tahun sampai ke pintu rumah itu, ada wanita 30-an menyambut dengan senyum.

"Emak bagi."

"Terima kasih, buka puasa dengan kuih saja?."

Dia geleng, jambul dua ekor kuda di kepala terikut sama.

"Tak, ada nasi, ada bihun, ada kuih."

Wanita berkebaya pendek itu senyum. Hidung kembangnya dan mata sepetnya seakan ikut tersenyum. Tangannya cepat mencuit seri muka dalam pinggan.

"Sedap."

Kemudian, wanita itu yang dipanggil Nyonya Lin kerap juga meminta emak mengajarkan seri muka. Emak ajar penuh adap dan caranya. Mulanya kuih seri muka itu tidak menjadi, kurang keras dan ada kala terlalu lembik. Lama mencuba, seri muka Nyonya Lin makin enak dijamah.

Kemudian, kuih koci dia minta emak ajarkan, karipap, buah melaka, tepung talam dan melarut-larut hingga puteri dua sebilik, tako, ketayap dan lemang juga ketupat. Rendang Nyonya Lin pula kurang pedas sebab lidahnya nipis menahan picar cili.

Emak meniaga kuih di gerai kecil tepi jalan. Reputasi emak memang hebat. Kuih emak sedap dan memikat. Sebab itu Nyonya Lin mahu belajar dengan emak. Katanya belajar daripada guru yang terbaik.

Kemudian, Nyonya Lin orang peranakan itu membuka kedai depan kedai emak. Kedai menjual kuih. Emak tidak kisah pun, kata emak rezeki ketentuan Tuhan jua, kita sebagai manusia usaha dengan giat lagi.

Tidak mahu bermusuh, tidak suka bergaduh, persaingan itu sihat. Jadi persahabatan emak dan Nyonya Lin masih akrab bagai dulu-dulu.

Kemudian, gerai kecil Nyonya Lin berkembang maju dan makin maju. Waktu gerai kecil itu berubah wajah menjadi kedai kopi cantik dengan bangunan binaan batu gerai emak di hadapannya masih tidak berubah wajah. Masih gerai kayu dan masih jua laku.

Tapi, ada anak dara kecil emak bersungut, bila kuih tepung talam emak menjadi kuih tepung talam nyonya, bila kuih koci emak jadi kuih koci nyonya.

Kalau emak jual RM1.00 lima ketul kuih, Nyonya Lin jual RM1.20 dua ketul, tapi aneh masih laku.

"Biarlah rezeki Allah yang beri. Buat apa hendak bersungut," tutur emak lembut saja menusuk hati. Anak dara kecil emak diam walau hatinya merusuh penuh amarah.

"Anak kecil kerap cepat marah sebab rasanya yang terbeban di kepala bukan akalnya," emak senyum lagi.

Dan resah itu berlalu begitu saja waktu panjang masa emak ambil menutup kedai waktu ayah jatuh sakit. Sepanjang itu juga orang tidak mencari kuih emak, kata mereka kuih Nyonya Lin lebih sedap dijamah.

Dan, akhirnya ayah meninggal dunia selepas panjang sakitnya. Bahana merokok meninggalkan paru-paru kehitaman, berlubang, rosak dan berjelaga. Sel barah menyelinap bersama nikotin yang masuk ke otak bertahun-tahun lamanya.

Namun, pesan ayah tidak mudah luput dari ingatan. Pesan sebelum melafaz syahadah dan akhirnya pergi dengan senyum dan damai sekali.

"Hidup kita tidak berharta kalau budaya kita tergadai, kalau akal kita tidak upaya menilai kalau bahasa kita terjual."

Sungguh, anak kecil tujuh tahun tidak faham maksudnya. Namun, waktu ayah menutup mata, dia tahu pesan ayah harus dibawa hingga mati.

III

"Dalam banyak-banyak bidang, yang itu juga yang kamu mahu?," ayah saudara yang usianya 10 tahun lebih tua memandang dengan sinis.

"Kalau tidak mahu jadi doktor atau peguam, ambil yang mudah saja, yang senang lulus, yang mudah dapat kerja pedulikan dengan segala falsafah di sebaliknya."

Dia mengomel lagi.

Amina dengar. Tapi hati Amina sungguh tidak terusik. Sebab bulat sudah Amina bernekad.

"Portugis itu negara penjajah dan di negara itu kamu hendak tuntut ilmu. Belajar undang-undang saja, kamu dapat bela negara juga dapat bela bangsa juga."

Sungguh, Amina malas melayan ayah saudara itu. Kalau Amina menutur kata-kata, tentu saja dia dianggap derhaka atau kurang ajar, pantang yang sangat besar bagi orang Melayu.

Tapi apabila suara itu makin bingit, Amina bangun juga akhirnya dari duduk yang kaku. Amina tatap ayah saudara di anak mata hitamnya.

"Sudah tamat hikayat tentang Melaka?"

Ayah saudara itu menggelengkan kepala.

"Orang cerita lain � kamu ke Melaka pula."

"Dulu waktu penjajah Portugis itu menjajah Melaka, Alfonso de Albuquerque dan Giovanni da Empoli bawa pulang semua manuskrip sejarah budaya, seni, bahasa dan warisan Melayu Melaka dalam Flor De La Mar,"

"Kapal karam tu?."

"Ia karam. Tapi Giovanni da Empoli sempat mengirim sebahagian besar manuskrip itu melalui kapal lain yang keluar kemudian dari Melaka. Sebabnya Flor De La Mar sudah sarat dengan rempah dan sutera."

Ayah saudara ketawa.

"Aku tidak pernah baca pun dalam buku sejarah."

"Sebab ia tiada dalam sejarah darjah enam atau tingkatan enam. Surat Giovanni itu sampai dulu ke tangan bapanya dan manuskrip itulah yang kini ada di Lisbon. Anehkan, bila kita perlu mengkaji tentang budaya dan bahasa sendiri, tetapi kita perlu pergi jauh ke negara orang sebab di negara sendiri kalau ada pun ia terhad, dipandang sepi dan beginilah, bila mahu dipelajari dilarang tiada masa depan. Warisan bangsa tiada sama taranya dengan kerjaya dan orang lain pula yang mengkaji, mempopularkan dan menghargai."

"Dan kamu fikir semua itu boleh memberi kamu makan?."

"Ya, secara psikologinya."

Derhaka atau kurang ajar atau debat terbuka. Semuanya sama saja. Imej Amina sebagai anak gadis pingitan di mata ayah saudara sudah berkecai.

Waktu Amina ke Lisbon, semua tertanya-tanya apakah pekerjaan yang boleh dia peroleh apabila mengkhusus dalam pengajian Melayu. Sedangkan anak muda sebaya berebut-rebut menjadi penyanyi, pelakon dan penari!

"Mengapa jauh sampai ke sana," ayah saudara bertanya lagi dalam nada tidak manis.

"Sebab segala-galanya sudah menjadi haram dan subversif di sini."

"Sebab tiada nilai ekonomi?."

"Sebab tiada orang menghargai, sebab semua orang mahu melupai."

Ayah saudara menjuih bibir, namun mengiring Amina masih, terbang ke Lisbon. Ya, sekurang-kurangnya dia masih mahu mengiring ke lapangan terbang. Dia sayang Amina, tentunya. Dia juga wali yang Amina ada. Namun sayang tidak terucap seperti kebiasaannya lelaki Melayu. Mengucap sayang dan meluah rasa itu lembik!

IV

"Belum habis mengeja menu ya?."

Fonso di hadapan bertanya. Amina diam saja. Menu sudah lama ditutup.

"Kamu terlalu mengambil masa."

Amina diam. Ya, Amina terlalu mengambil masa dari sudut mana pun. Waktu emak menge-melkan pertanyaan bila mahu pulang, Amina pun tiada jawapan. Sebab di tangan Amina ada Ijazah Sarjana Muda Sejarah Bahasa dan Kebudayaan Melayu yang diperoleh dari Lisbon. Amina tidak tahu apakah masih ada tempat untuk orang sepertinya di negara sendiri lewat segala-galanya sudah diInggeriskan dan disekularkan di negara sendiri.

"Hey, tolong buat keputusan cepat," Fonso menjerit lagi di telinga.

Amina hela nafas dan pandang keliling. Nama kedai ini, Kopitiam Nyonya Lin. Ia sudah bertapak di tanah rantau ini sejak lima tahun lalu. Ia mempunyai francais di seluruh Asia, dua di Eropah, 10 di Amerika dan hampir di setiap wilayah di Britain. Amina tahu itu, sebab Amina membaca mengenainya dalam Malaysian Bisnes, versi atas talian.

Dan waktu Amina menjatuhkan mata pada wajah Fonso, Amina tahu mengapa dia terlalu berat untuk memesan makanan dalam menu di depan mata, seperti mana hatinya terlalu berat menerima lelaki dari Lisbon.

INFO: Penulis

HAFIZAH ISZAHANID, berasal dari Chemor, Perak dan lulusan Sarjana Muda Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, pada 2000. Pernah berguru dengan Allahyarham Dr Othman Puteh dan Prof Madya Rahman Shaari dalam Minggu Penulis Remaja 1994. Prolifik dalam berkarya dan pernah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Karyanet DBP pada 2004 dan tempat kedua Hadiah Sastera Berunsur Islam 2005. Sudah menghasilkan dua novel dengan dan terbaru keluaran Buku Prima, Kala Hujan Menitis, pada Oktober 2008. Beliau boleh dihubungi melalui hafizahiszahanid.blogspot.com.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.