Doa akhir tahun

TIGA hari lagi Zulhijjah akan berlalu. Meninggalkan pohon-pohon mangga di batas sawah dan tiang-tiang eletrik yang membarisi jalan kerdil di desa membisu di benang waktu. Meninggalkan debu-debu berterbangan di merah tanah yang belum diturap asphalt. Kesian, khabarnya desa itu sudah lima puluh dua tahun merdeka! Lumut-lumut di alor dan kali juga akan ditinggalkan, meski dalam diam ia tetap menyediakan rumah-rumah cantik buat labi-labi dan ikan kepala batu dan cecuri. Anak-anak seluang dan marak yang merah merelit sudah dipersiapkan oleh induk masing-masing untuk merayakan pertukaran tahun dengan zikir-zikir yang istimewa dengan harapan mendapat kehidupan yang lebih afdal.

Zulhijjah pasti meninggalkan Siska dan dia. Lampias dalam ruang-waktu dan bergentayangan bagai frekuensi dan puing-puing zarah semesta alam, terkunci dalam miqat dan ketentuan. Zulhijjah akan memberi laluan pula kepada Muharam 1431 Hijrah dengan rakaman-rakaman baru sebagai jejak-jejak di denai sejarah yang tak mungkin terubah.

Ya, sudah lebih empat puluh Muharam berlalu meninggalkan jejak Siska dan jejaknya, puisi Siska dan puisinya. Sudah lupakah kau akan pantun-pantun cinta kita? Atau lagu-lagu yang pernah kita senangi bersama? Masakan…

Tentu kau belum melupakan tiupan seruling batang padi yang kutiupkan, sementara kau menyanyikan sebuah pantun nyanyian al-marhumah biduanita Saloma?

Anak punai anak merbah

Hinggap mari membuat sarang

Anak sungai lagi berubah

Inikan pula hati orang

Siska, kau punya suara penaka buluh perindu. Tapi kau selalu menuduhku gemar bermain dengan kata-kata. Hatiku bukan anak sungai dan ia takkan berubah, percayalah…

Hujan lazimnya adalah teman setia Zulhijjah. Selalu pula ia membawa kenangan dari lipatan-lipatan sejarah yang tak pernah dicatatkannya. Suara Peggy Tan yang lunak masih terngiang-ngiang di telinga ketika dia dan beberapa teman sedarjah mengasah kuku di lantai. Ada berita Mrs. Hamdan akan membuat pemeriksaan kesihatan diri. Beliau cikgu yang garang dan berdisiplin. Di bumbung zink sekolah rentak hujan mempersembahkan lagu alam yang mengasyikkan. Tapi kadangkala hujan turut mengundang ribut. Sungguhpun begitu rakaman yang kejap di liang jisim tetap abadi hingga ke akhir masa.

Syawal melangkah, Zulkaedah melangkah, Zulhijjah melangkah, Muharam melangkah, sementara kita semacam dipaku oleh jarum waktu?

Pada sisi yang lain dia membayangkan dirinya seekor albatros, terbang meninggi di ruang angkasa Antartika. Atau Kutub Utara? Tentulah bersama Siska. Sayap panjangnya pasti saja akan menewaskan kesejukan. Sayap putih terkembang garang itu jugalah yang akan membawanya dan Siska mengembara ke segenap cakerawala. Inilah peluang terbaik untuk melihat kecantikan planet al-'Ard dari Zuhal, Musytari atau Marikh? Tentu sekali dia akan dapat gambaran yang sama sekali berlainan dengan apa yang pernah dicatat oleh al-Biruni, al-Batani, Copernicus, Galileo atau yang pernah dipaparkan oleh gambar-gambar pelik dari satelit Hubble.

Siska dan dia akan buktikan betapa karutnya keputusan IAU menurunkan pangkat Bluto!

Imbang

Dan sesudah itu segalanya diharapkan akan menjadi imbang dan tenang. Lebihlebih lagi segala sesuatu yang melibatkan perasaannya dan perasaan Siska. Pada waktu-waktunya dia merasakan Siska seperti mahu merampas kebebasannya. Selebihnya dia semacam takut kepada dirinya sendiri. Bagaimana kalau Siska berubah sesudah bersatu nanti? Kebebasan sudah sebati dengannya. Lihat saja apa yang terjadi pada sahabat-sahabatnya, Razali dan Datuk Ismail? Bandingkan pula dengan murai batu dan kelicap daun yang bernyanyi girang di pohon jambu kepal. Jika perasaan tidak selesa, percutian-percutian akhirnya menjelma bagai pelarian-pelarian tanpa makna. Tentulah semuanya berpunca daripada perasaan yang tidak seimbang itu. Larilah ke ceruk dan bucu manapun di jagat raya ini, rasa yang tidak seimbang akan membara sebagai gundu huru-hara - amarah, dendam, benci, tamak, panas baran dan lupa diri. Di kemuncaknya ia adalah garuda gila yang akan membakar segala belukar, padang dan lata. Lalu menukarkan semuanya kepada padang jarak padang tekukur.

Tapi Siska belum pasti bersamamu. Atau milikmu.

Belum?

Ilusi dan mimpi apakah ini?

Alangkah sempurnanya Allah mencipta sunatullah, ada getusan seni di dasar hatinya seperti menyanggah semua itu.

"Kau tau, sunatullah adalah sesuatu yang tak bisa diubah lagi. Semesta alam dan isinya, termasuk kau dan solat kau, dan solatku."

"Solat kau dan solatku?"

"Iya. Konfigurasi 5 waktu, 17 rakaat dan 13 rukun adalah sunatullah ciptaan-Nya! Ia memastikan keseimbangan."

"Sejak bila kau jadi ustaz, hah?"

"Aku bukan ustaz, tapi khalifah."

"Khalifah?"

"Haah, sejak firman-Nya di Surah al-Baqarah, ayat 30."

"Iye ke? Aku dah lama tak baca…"

Tapi Buyung baru saja menawarkan percutian hujung tahun. Gratis! Begitulah biasanya setiap tahun. Dia hartawan dan masih bujang, walau hayatnya sudah mencecah setengah abad. Dia masih berpegang teguh kepada maxim:

"Kenapa harus beli lembu, susu kan lebih murah?"

"Yung, hujan ribut lagi berhenti…"

"Kita telah berkawan sejak kecil kan? Kau tahu tanggung jawab sosialku kan? Kau tahu berapa juta yang kudermakan kepada anak-anak yatim setiap tahun kan? Dan lebih penting daripada itu, kau tahu apa puncanya kan?"

"Aku bukan mempersoalkan tanggung jawab sosial atau zakat harta kau Yung….Aku bercakap fasal aqidah…aku berdoa agar kau sedar…"

"Yang penting, aku hidup bertuhan…"

"Belum cukup, Yung…"

"Belum cukup, kau kata?"

"Hidup bertuhan, mesti turut perintah Tuhan."

Buyung sudah cukup kaya. Dia boleh beli helikopter atau jet Grumman, kalau dia mahu. Setakat ini nampaknya dia hanya minat pada kereta mewah. Sudah dua belas buah dikumpulnya. Empayar bisnesnya tersebar hampir ke tujuh benua. Sayangnya kejayaan itu tidak diiringi oleh kesedaran terhadap agama. Malahan dia mengaku sudah tidak solat Jumaat lebih tiga puluh tahun.

"Kau fikir pahala sedekah jariah dapat cover dosa kau tak solat?"

Buyung hanya membatu. Dia tahu Buyung tidak akan marah. Mereka biasa makan sepinggan dan tidur sekelambu. Dia pernah mendengar ada bapak menteri yang berpendapat "asal bertuhan cukup, agama apa pun tak jadi soal…" Di akhbar-akhbar dan Internet dia membaca ism-ism itu berkembang biak di Jakarta. Dan Buyung sering ke sana. Apakah Buyung sudah diserap pegangan yang sama? Apakah menteri itu tidak dapat melihat dikotemi antara sistem kepercayaan dan agama?

"Walau apapun terima kasihlah kerana mengambil berat tentang diriku…kau sahabat sejati…"

Dia agak terkejut. Itulah kali pertama Buyung mengucapkan kata-kata itu apabila beliau dinasihati. Biasanya Buyung akan merungut dalam bahasa yang kurang difahaminya. Atau bila tertembung dengan moodnya yang tidak baik, dia akan meletup dengan carutan dan maki hamun.

"Lupakanlah, benang sudah menjadi kain…"

Dia sudah mendengar cerita Su meninggalkan Buyung banyak kali. Dia sendiri tidak mengenali Su, kecuali menerusi beberapa keping gambar lusuh yang ditunjukkan oleh Buyung kepadanya.

"Cantik, kan? Lagi cantik kalau Su buat fesyen rambut 'si ekor kudo" Buyung memuji macam nak rak. Buyung juga tidak dapat mengesan di mana mantan kekasihnya berada sekarang.

"Lalu kau mahu letakkan dendam ke atas semua wanita yang kau temui di atas muka bumi ini?"

Keras hati

Buyung adalah dari jenis manusia yang keras hati. Bila dia kalah berhujah, cepat-cepat dia akan mengubah maudu'k bicara.

"Nak pergi tak?"

"Ke mana?"

"Kau pilih."

"Main golf di Pondok Indah. Jangan lupa ajak kekasih kau yang mongel tu…"

"Iryana? Lupakan, dia sudah jadi isteri orang. Lupakan Jakarta yang kepayahan dalam kabut asapnya. Ah, di Bangkok juga ada Iryana."

"Iryana, di Bangkok?"

"Kenapa? Iryana juga ada di Halmahera, Vientienne dan Ulan Baatar….Kau tau di Ulan Baatar model-modelnya, fuuh!"

"Apa Iryana-Iryana itu maukan si botak seperti kau?"

"Kita menganut apa selama ini, hah?"

"Apa?"

"Bukankah kita semua penganut kapitalisme totok! Lupakan kemanusiaan…di tangan penyair seperti kau, kemanusiaan adalah daun-daun kayu!"

"Haa?"

"Ia luruh saban hari, pagi dan petang, pantang dijentik angin! He! He! He!"

"Tapi martabat kemanusiaan lebih tinggi daripada daun-daun atau kapitalisme…"

"Oo, habis kenapa biarkan Siska menanti di pantai lagi?"

Pertanyaan Buyung memagut tangkai jantungnya. Kenapa Siska dibiarkan bagai menunggu burung tak bergetah?

Dia teringat pertemuannya dengan Siska beberapa hari lalu. Dia tahu Siska kecewa.

"Kenapa tak cuba ajak sahabat-sahabat kau berubah angin hujung tahun nanti?"

"Ke mana?"

"Buat umrah."

Dia terdiam.

Siska menambah, "Doa akhir dan awal tahun dah hafal?"

"Eugg…"

"Nanti I emelkan…"

Matanya sudah terlabuh di skrin komputer. Siska baru saja menelefonnya dan memberitahu 'doa akhir dan awal tahun' sudah diemelkannya. Nada dering lagu Bugih Lamo berbunyi. Panggilan dari Buyung lagi.

"Bangkok, O.K. tak? Nanti aku booking tiket. Usah khuatir, aku takkan beli tiket tambang murah sampai lutut kau berlaga. Siang kita melawat pembunuh-pembunuh ulat di kilang sutera, malam kita temankan manusia menggulati kehidupan di Rose Garden, mau? Kalau minat adventure, kita jelajahi Pat Pong!"

"Kau mabuk?"

"Selagi aku belum bercerita tentang kembang kudup dan cinta kumbang, aku belum mabuk…hikk…"

Ah, sirkit kemelutkah ini?

"Nanti aku fikirkan, Yung."

Dia membaca pembuka dan penutup doa akhir tahun di skrin.

Pujian

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Amat Penyayang, segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam….Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Dia turut membaca penutup doa awal tahun.

Dan kami mohon daripada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah. Kami pohon juga kepada-Mu Ya Allah akan rasa sedia ingin membuat amal kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu.

Dia teringatkan saranan Siska.

Razali dan Datuk Ismail juga mempelawanya bercuti ke luar negara. Tapi dengan satu syarat. Dan syarat itu harus dilestarikan di Casino De Melbourne. Atau kasino di Edgware Road, London atau Walker Hill di Seoul.

"Atau di Croupiers, Cardiff, di mana kau belajar mengumbut daun!"

Datuk Ismail memilih untuk mengingatkan babak-babak yang mahu dilupakannya.

"Asal jangan kasino di Genting Highlands," Datuk Ismail menambah syarat lagi.

"Kenapa?"

"Oi, di situ kan kena tangkap. Di Melbourne, London atau di Seoul, siapa tahu?"

Jawapan itu datang hampir serentak dari mereka.

"Siapa tahu, kata kalian?"

"Haah."

"Allah tak tau?"

Sepasang kawan lama ini tidak pernah kenal yang mana renyai dan yang mana hujan, yang mana kering kontang dan yang mana kemarau. Pada mereka semuanya hanyalah cuaca semata-mata."

"Kalian tahu aku sudah pencen, kan?"

"Itulah rasional kenapa ujian harus dilakukan di sana!"

"Kan aku cakap dah pencen…aku dah lupakan tai sai, black jack, poker dan roulette…"

"Bagaimana dengan banco player? Hei, kita kan pernah beli Porsche secara tunai, tajaan kasino di Seoul!"

Dia meneruskan gelengan.

"Aku belikan kau chips. Kau tak perlu main."

"Habis, chips tu untuk apa?"

"Kalau tak sentuh chips tu maknanya kau lulus ujian."

"Ujian? Ujian apa?"

"Ujian immmaaaan…."

Oleh kerana perkataan 'iman' itu disebut serentak oleh Razali dan Dato' Ismail, dia spontan membayangkan badut-badut yang menukang kelakar dan jegela di istana-istana lama. Dia juga teringat bagaimana al-marhum P. Ramlee menyebut dan menggayakan perkataan itu setelah tertusuk jembia Marjiana, pembantu rumah Kasim Baba di dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapuk'.

"Aku mati dalam immaaaannn…"

Tapi perkataan itu bukan untuk main-main.

"Kau main-mainkan iman, Yung?"

"Aku tidak bermaksud begitu. Maaf, jika kau tersinggung."

Baginya 1430 Hijrah sudah menampakkan penambahbaikan berbanding 1429 Hijrah. Dia mahu mempertahankannya. Yang sudah, sudahlah. Ribut, badai dan taufan juga akhirnya teduh. Gelombang di tengah segara juga akhirnya dijinakkan oleh pantai yang landai. Benar kata Buyung. Sampai bila dia harus menunggu burung tak bergetah?

"Tapi dia penyabar."

"Betul, tapi sampai bila? Sampai ganyut? Dia terpelajar, cantik…dan yang lebih penting, dia gila habis dengan kau!". Buyung memang pragmatik.

Ketika dia, Siska dan kakaknya melangkah ke kaunter check-in di KLIA mereka nampak Buyung di kaunter sedang meletakkan beg di konveyor. Dia memakai kopiah putih. Siska memandang kepadanya, seperti meminta penjelasan.

"Sahabatku itu memang suka buat kejutan. Nampaknya dia sahut cabaranku…"

"Cabaranmu?" Siska terpinga-pinga.

"Kataku kalau dia tak bertangguh, dan ikut kita, aku juga takkan bertangguh lagi untuk melamar kau."

"Bila?" suara Siska seakan lemas.

"Sebaik saja kita selamat kembali."

"Sahabat you lagi dua orang tu?"

"Mereka nak terus menunaikan haji musim akan datang."

"Alhamdulillah."

Siska menghadiahkannya sebuah senyuman yang cukup bermakna. Siklus kehidupan sememangnya penuh dengan kejutan dan tanda tanya.

Mingguan Malaysia 20.12.2010

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.