Fort Margherita

MATAHARI hampir ke tengah ketika Suntong leka mencari rezeki di Sungai Sarawak. Jala ditebar ke permukaan air lalu menyerkap udang dan ikan. Suntong bertubuh sasa membongkok mengutip ikan dan udang yang sangkut pada jalanya. Jauh sudah dia berkayuh dari kampung Boyan menuju ke arah Astana. Kayuhannya lancar. Nasib baik dia tidak terpaksa menyungsung benak, fikirnya. Benak hanya milik Batang Lupar dan Batang Sadong. Suntong kini menghampiri tebing di bawah lembayung daun pokok pukul lima.

“Kubu Margherita memang kukuh, bahan binaannya adalah batu. Dulu ketika pemerintahan James Brooke kubu di Berlidah dibuat daripada kayu belian dan kerap diserang musuh. Tetapi Kubu Margherita tetap kukuh tanpa sebarang percubaan serangan oleh pejuang. Di situ ada gudang senjata dan bilik tahanan banduan sebelum menjalani hukuman mati.” Suntong teringat kata-kata Datu Bujang.

“Tiap-tiap malam, dari situ datangnya suara gagah pengawal-pengawal berteriak menyatakan keadaan terkawal. Itu kerja kau, kalau kau sanggup. Yang penting kau belajar guna senjata orang putih.” Masih terngiang-ngiang di telinga Suntong pujukan Datu Bujang agar dia setuju masuk pasukan Renjer Sarawak.

Suntong pernah berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan menjaga kubu putih. Tetapi kini Suntong mahu meruntuhkan kubu itu dan mengusir Brooke. Dia pernah meluahkan hasratnya kepada Datu Bujang. Dia tidak takut menyatakan hasrat kepada bapa saudaranya. Dia boleh berjuang walaupun sendirian. Badannya tegap berotot kuat.

“Bercakap kena berfikir, pandang-pandang, jangan ikut sedap mulut nanti badan binasa.” Datu Bujang menepuk bahunya.

“Sampai bila kita nak diam?" Suntong memprotes dengan nada geram. Datu Bujang mahu Suntong berhati-hati menyusun rancangan dan usah gopoh. Suntong diingatkan tentang kegagalan Syarif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Gapur dalam usaha menyerang Kuching. Rahsia pecah hingga sampai ke telinga Raja Charles Brooke.

Geram hati Suntong menjadi-jadi ketika melihat tebing tinggi bertanjung itu. Dia melihat kubu berwarna putih tegak megah. Kubu itu diberi nama Margherita sempena nama isteri raja penjajah. Kubu putih itu seolah-olah mengejek Suntong yang mahu merapati tebing. Itu yang dirasakan hati Suntong. Berkayuh ke tepian sungai tidak sepayah hati melihat kubu. Tiap kali berkayuh ke situ hatinya pedih diejek kemegahan Kubu Margherita. Kubu itu seperti berteriak ke arahnya, “Lihatlah aku akan kukuh melindung Brooke untuk memerintah 100 tahun lagi.”

Suntong terus berkayuh sambil memerhati letak alam di sekitar bagi melupakan sebentar kubu yang memanaskan hatinya. Di seberang sana bertentangan dengan kubu, ada pejabat Syarikat Borneo dan deretan kedai Cina yang membentuk sebuah kota. Suntong tahu di atas Bukit Mata Kucing ada banglo-banglo mewah kerana dia pernah ke situ. Persekitaran Sungai Sarawak masih lagi indah alamnya dengan tebatan pokok-pokok besar. Dari jauh kelihatan Tugu Charles Brooke. Di tebing sungai sebelah sana sebuah stor menyimpan minyak kepunyaan Syarikat Borneo agam berdiri. Di sebelah kubu putih, letak Astana kediaman Raja Putih.

Suntong memerhati pula pondok-pondok penduduk di tebing bersebelahan Astana. Sungguh daif. Perbezaan latar itu menyentuh hatinya.

Namun Suntong dibayangi peringatan Datu Bujang agar jangan bertindak terburu-buru. Kadang-kadang Suntong menganggap nasihat itu satu halangan. Halangan yang cuba dibuat agar golongan belia bangsa seperti dia tidak bangun memberontak. Suntong kerap berfikir tentang halangan itu. Ada prejudis tumbuh dalam benaknya terhadap kepemimpinan orang tua seperti Datu Bujang.

Kepimpinannya

Bagi Suntong Datu Bujang laksana kerbau dicucuk hidung. Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri. Kepemimpinannya hanya menghambat anak muda daripada memberontak. Pemimpin yang takut kehilangan kuasa jika anak buah memberontak. Aku fikir itu tujuan Raja Brooke membawa orang seperti Datu Bujang dalam pentadbiran, agar tiada pemberontakan. Hati Suntong merungut lagi. Warna-warna hitam melekat di hati.

Suntong menyelak lipatan sejarah dalam kepala tatkala tangan kekarnya masih berkayuh mencari tempat menebar jala. Dia ingat orang Melayu pernah memberontak pada akhir tahun 1830-an terhadap pemerintahan orang Melayu Brunei. Datu Patinggi Ali berjaya meniup semangat juang orang Melayu agar bangkit daripada penindasan. Kota Kuching akhirnya bebas dan Pangeran Indera Mahkota balik ke Brunei. Bebas hanya beberapa ketika sahaja. Datang Pangeran Raja Muda Hasyim mengambil jalan mudah menentang pemberontakan dengan mengundang bantuan asing. Orang Melayu hidup di bawah telunjuk askar pencen yang dilantik menjadi raja.

“Aku bukan melarang atau menahan kau daripada menentang Raja Brooke. Tapi aku mahu tindakan kita tidak berbuah kecewa. Ramai yang akan mati dan hidup kita semakin hina.” Suntong ingat kata-kata Datu Bujang yang seperti membela diri.

“Setiap perjuangan memang perlukan pengorbanan. Kita perlu mencuba sebelum berfikir tentang kegagalan.” Suntong pula menyanggah pendapat bapa saudaranya.

“Suntong, aku tahu kau berdarah pejuang. Dalam diri aku pun mengalir darah yang sama. Kita tunggu masa mengatur langkah pertama. Jangan terburu-buru. Langkah pertama lebih bermakna jika sudah cukup bekalan di dada dan di tangan.” Kata-kata Datu Bujang membunuh prejudis Suntong walaupun bukan semuanya padam.

“Khabar dari Astana Perlembagaan Sarawak untuk anak Sarawak. Sarawak akan diperintah rakyat Sarawak. Majlis Negeri diberi kuasa memerintah. Perlembagaan ini ke arah memerdekakan Sarawak. Jika benar, mudah kerja kita tanpa menggunakan kekerasan.” Datu Bujang mengkhabarkan hasrat Raja Charles Vyner Brooke ketika perayaan 100 tahun memerintah Sarawak. Khabar itu masih lagi panas dan menjadi buah mulut sesiapa yang mengerti.

Kuasa asing

“Adakah Datu mudah mempercayai kuasa asing? Sekadar janji manis mengumpul sokongan orang seperti Datu.” Suntong menggoyah keyakinan Datu Bujang yang bergayut pada janji Raja Muda. Hati Datu Bujang terhiris oleh sembilu lidah Suntong. Dia cuba digolongkan anak saudaranya dalam kelompok orang yang mudah menelan janji. Dia bersabar. Perasaan berang disimpan kemas dalam hati, apa lagi terhadap anak saudara harapannya. ‘Kata-kata Suntong ada benar’ pada fikirannya. Janji Charles Vyner Brooke ketika hari ulang tahun ke-100 pemerintahan keluarga askar pencen itu, mungkin tersembunyi cita-cita ingin memerintah 100 tahun lagi.

Suntong tidak percaya janji Brooke. Mahukah dia merdekakan Sarawak yang banyak mengandung untung. Bau sudah melahirkan emas dan antimoni untuk Brooke. Perut Miri pula sarat dengan minyak. Agak susah untuk Suntong percaya janji Charles Vyner Brooke mahu melepaskan semua kekayaan itu. Tidak semudah itu dia melepaskan Sarawak kembali dipimpin orang Melayu.

“Kita tunggu dulu. Jika kita ditipu juga, maka aku akan bersama kamu. Kita ganyang mereka!" suara Datu Bujang perlahan tetapi tegas. Kata-kata itu menjadi pegangan Suntong untuk menagih janji satu masa nanti.

Suntong menutup lembaran sejarah dan kisah silam dalam kepalanya apabila perahu hampir ke tebing batu. Dia terasa hembusan angin di situ sungguh sejuk dan mendamaikan jiwanya yang resah menahan ledakan darah pejuang. Tebing batu berlumut dan pokok-pokok besar megah berdiri. Suasana menyenangkan hatinya. Di permukaan air arus sungai tidak lagi meluncur laju. Di situ airnya tenang.

Suntong menebarkan jala. Dia masih leka. Rezeki Tuhan diambil tetapi pemberi rezeki dilupakan. Dia memang lupa. Jala menerkam rezeki yang ada di dalam sungai. Terasa berat jala diangkat ketika dibawa ke perut perahu. Lipatan jala mula dibuka dan diangkat batu-batu pemberat. Ikan dan udang melompat-lompat.

Benarkah Sarawak akan merdeka dengan mudah? Orang Melayu akan memerintah kembali bumi di lembah Sungai Sarawak? Tiba-tiba pertanyaan itu menerjah lagi dalam kotak fikiran tatkala dia membongkok mengutip udang bersepit biru dan ikan yang menari di dasar perahu. Ketika menoleh ke pangkalan penambang, baru dia sedar hari itu ialah penghulu segala hari tatkala retina matanya melihat beberapa orang berkain pelekat, berbaju Melayu dan bersongkok hitam berdiri di tepi pangkalan menunggu perahu untuk ditumpang ke seberang. Dia teringat kalendar di rumah Datu Bujang, semalam kalendar itu berangka Khamis, 18 Disember 1941. Dia bergegas hendak berkayuh balik ke rumah di Kampung Boyan.

Dentuman

Tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Tidak pernah didengar bunyi dentum sekuat itu. Dentuman menggegar bumi berturut-turut disertai bunyi belon yang berdengung di atas langit. Dia mendongak. Beberapa buah belon terbang rendah dan melepaskan bom, berdentum menyentuh bumi. Bumi terbakar dan bangunan musnah. Deretan kedai bertukar jadi sarang api. Bunyi teriak orang di pasar seberang kedengaran seperti tangisan dari neraka. Banyak nyawa melayang pergi meninggalkan jasad. Bunyi dentuman kedengaran bertalu-talu. Sempat juga Suntong menaruh harapan pada bom-bom itu agar meruntuhkan Fort Margherita. Suntong lupa dia dalam bahaya. Dia masih di permukaan air. Tiba-tiba sebutir bom jatuh di tengah sungai bertentangan dengan kubu putih. Air sungai berkocak kuat seperti ada buaya besar menyerang mangsa. Suntong sekuat kudrat mengawal perahu. Tarian perahu akhirnya berhenti kerana tangan kekar Suntong mahir mengemudi. Suntong melompat naik ke tebing.

Dari tebing batu itu Suntong berdiri menyaksikan perubahan pada kota Kuching. Dia melihat sebuah stor minyak Syarikat Borneo di tebing sungai menjadi gunung api. Kebakaran amat dahsyat. Api dengan lahap menjilat minyak. Kepulan asap tebal menjulang ke awan. Cahaya terang pada tengah hari Jumaat yang panas itu bertukar malap hingga ke petang. Suntong kecewa kerana bom yang hampir mengenainya hanya bernoktah di situ.

“Brooke lemah. Jepun yang menggugurkan 24 biji bom dari Simpang Tiga hingga ke tengah sungai tidak mampu ditentang. Kita guna senjata Jepun ini jahanamkan Brooke.” Suntong membelek-belek senapang dan bom tangan hasil rampasan. Suntong terbayang kecekapan kawan-kawan dalam serang hendap di Matang. Beberapa kepala Jepun berjaya dipancung. Terbayang juga pancutan darah hanyir Jepun mengenai bajunya.

“Kita serang dari sungai. Aku sudah beberapa kali menjala di situ. Aku sudah tahu benar keadaan di situ. Aku pasti kita berjaya mendaki tebing tinggi hingga ke kubu. Kita bergerak malam ini.” Suntong memerhati bebola mata tujuh orang rakan pejuang bergilir-gilir. Suntong yakin dia dan rakan-rakan akan berjaya sekali lagi. Lapan orang pejuang bekas Renjer Sarawak itu cekap dan gagah. Selepas pembubaran Renjer Sarawak pejuang itu memenuhi dada dengan ilmu persilatan.

Pada malam penentuan itu, kecekapan, pengalaman dan ilmu telah menjayakan pejuang-pejuang mendaki tebing curam berlumut secara senyap. Belukar dan siratan akar-akar kayu dirempuh dengan mudah. Suntong dan rakan-rakan bersiap sedia dengan rifel dan machine gun. Muncung dihala ke arah pengawal yang mundar-mandir di atas benteng panjang di sebelah kiri kubu.

Dengan isyarat tangan Suntong memberi arahan untuk menembak. Gema tembakan bagaikan bertih digoreng tepat mengenai sasaran. Pengawal di atas kubu jatuh satu persatu. Kemudian naik beberapa orang lagi ke atas benteng. Tembakan berbalas dari Fort Margherita. Suntong melontar pula bom tangan sekuat hati. Bom jatuh di dinding dan menggegar kubu. Tembakan dari arah kubu semakin rancak dituruti dentuman bom. Suntong semakin bersemangat dan geramnya menggila untuk memusnahkan kubu. Dia berlari sambil menembak dan berguling-guling berlindung di tanah tinggi-rendah. Dengan semangat dan keberanian di tahap puncak dia menghampiri kubu dan melontarkan bom tangan sekuat tenaga. Sasaran tepat, bom melambung tinggi dan menjunam di tengah kubu. Hati Suntong puas melepas geram. Dia berundur menghampiri rakan di tebing sungai. Dia tahu pasukannya kurang peluru. Bom tangan pun sudah habis.

Tiba-tiba tembakan datang dari arah kanan kubu. Tembakan itu disasarkan ke arah kubu. Tembak menembak saling berbalas.

“Ayuh kita berundur menuruni tebing curam. Itu tentera Maeda. Biar pemusnah memusnahkan perosak.” Suntong bergerak ke arah tebing tinggi dan turun ke sungai dituruti rakan-rakan tanpa cedera.

Tatkala tentera Maeda mengambil alih Kuching dengan rasmi pada pukul lima petang hari yang malang itu, ketua tentera masih dihantui kisah semalam. “Siapa penyerang yang menodai Margherita sebelum Maeda?"

l Glosari;

Belon (Bahasa Melayu Sarawak) ialah kapal terbang.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.