Bukan dia yang haram
(Cerpen ini telah tersiar di Mingguan Malaysia, 20 Jun 2010)
“Wahai semut, kasihanilah hamba. Hamba ini tidak meminta tinggal di perkampungan kalian. Jika diberi peluang, bukan sahaja menetap di sini, menghirup udara di sini pun, hamba tidak mahu,” hanya kalbuku yang mampu menjerit.
Sejak 10 jam aku menjadi warga dunia, aku belum menatap keindahan. Aku keluar dari perut wanita ibu dengan sentapan kuat seorang lelaki. Tempat mereka memilih untuk melahirkanku adalah tandas kotor di sebuah ladang kelapa sawit. Aku kemudian dibalut dengan sehelai kain batik yang bertengik darah lalu dimasukkan dalam sebuah beg. Beg itu dizipkan.
“Kau tunggu di sini sayang. Aku akan buang ‘cinta’ kita ini di lokasi paling strategik,” kata lelaki yang ‘menyimpan’ aku di dalam beg yang kini teroleng-oleng di tangannya. Lelaki itukah pasangan ibu? Aku menjerit kerana lemas. Lelaki itu membuka zip beg lalu menyumbat mulutku dengan kain yang sama. Beg itu dizipkan semula. Aku menderita.
“Wahai semut, berikan hamba sedikit cinta. Hingga saat ini, tiada siapa yang menyenangi kelahiran hamba hatta matahari pun belum menyambutku dengan cahayanya. Dan kau semut, kau juga mahu menggigit diri hamba?” Aku berbisik kepada sang semut yang ingin masuk ke mataku pula. Semut-semut itu terus melata ke segenap wajahku. Rasa kegelian menyirap dan kesakitan tidak tertanggung. Oh ibu, mengapa kau mahu membunuh anakmu?
Aku ingin menyerah diri. Jika jodohku dengan kehidupan, aku berjanji pada Tuhan, aku tidak mahu menjadi manusia yang kejam. Aku tidak mahu membunuh manusia sesuka hati seperti yang ibu lakukan padaku. Aku juga tidak akan menggigit orang lain dan menceroboh wilayah-wilayah yang bukan kepunyaanku seperti semut- semut kecil ini. Malah, aku tidak pernah terfikir bahawa manusia yang dikurniakan akal fikiran dan perasaan sanggup melakukan kezaliman terhadap manusia lain. Aku tentu dapat memaafkan semut, tetapi ibu?
Aku mahu menangis lagi. Badanku rasa sangat gatal dan sakit. Aku juga lapar. Semut-semut tidak mahu menolongku. Dalam beg yang gelap itu, aku tidak dapat mengecami makhluk yang lain. “Tolong semut, tolong bukakan zip beg ini,” jeritku namun sekadar di dalam hati. Tuhan, dengarkan janjiku, aku tidak akan membuat orang terhina dengan mencampakkan mereka ke tempat sampah. Seperti ibu dan pasangannya yang telah membuangku di sini. Tuhan, jikalau kehidupan menjadikan aku manusia zalim, maka aku rela Kau mengambil nyawaku sekarang.
DUA
Dalam kerajaan kami, pemimpin adalah yang tertinggi. Segala cakap dan arahannya akan kami patuhi, membangkanginya tidak sekali. Kata pemimpin lebih ampuh daripada arahan ibubapa. Mungkin ramai yang berkata, kami ini ahli yang taksub, tetapi itulah yang berlaku dalam kerajaan kami; kerajaan semut.
Kerja kami setiap hari adalah mengangkut makanan-makanan di setiap penjuru dunia untuk diberikan kepada kerajaan dahulu kemudian baharulah kepada keluarga. Kami tidak patut mengatakan sistem ‘melebihkan’ pemimpin ini sebagai sistem yang tidak adil. Ini kerana, setiap kami bekerja untuk semut-semut yang lain, bukan untuk seekor atau sebuah keluarga semut sahaja. Hasil pengumpulan makanan tadi diagihkan kepada seluruh masyarakat semut yang tidak berkasta. Masyarakat kami tiada yang miskin, tiada yang kaya, malah tiada yang sederhana. Kami semua sama; 1 Semut. Jika pada hari itu makanan lebih, maka semua keluarga semut akan ‘kaya’. Sebaliknya juga begitu. Tapi dalam masyarakat kami, tiada istilah ‘miskin’ kerana manusia sangat ‘pemurah’ kepada bangsa semut. Kami tidak sukar ‘mencuri’ makanan manusia hatta dalam mulut atau dalam telinga mereka sekalipun.
Ketua kami adalah orang yang sangat berwibawa. Ia dari bangsa semut yang pernah memberi arahan kepada Nabi Sulaiman A.S. Ketokohannya sangat menonjol. Kerjanya sebagai pemikir dan perangka strategi untuk masyarakat semut tidak menghalangnya untuk sama-sama turun padang mencari makanan. Ketika ketua semut bersama kami, sukar dibezakan statusnya. Malah tubuhnya lebih kecil daripada kami. Entah dari mana dia mendapat ‘akal’ kerana memang setiap kami tidak dikurniakan akal fikiran oleh Yang Maha Esa. Inilah yang dinamakan anugerah atau bakat semulajadi seorang pemimpin. Dengan hal itu, sewajarnyalah kami memberikan segala ketaatan kepadanya.
Hari ini, ketua semut bersama kami keluar mencari makanan. Lokasinya adalah sebuah kawasan sampah di pinggiran taman perumahan. Ketua semut membahagikan kami kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan bekerja meneroka sumber-sumber makanan yang terdapat dalam tong sampah besar, manakala kumpulan kedua bersiap sedia mengangkut makanan yang dijumpai. Kami menjalar ke setiap pelosok sampah. Bau hanyir dan tengik sangat menakjubkan. Malahan, kami terpaksa bersaing dengan binatang kecil lain seperti ulat dan cacing yang sama-sama gemar menikmati sampah. Kaum semut tidak bergaduh dengan binatang lain. Jika sesuatu kawasan telah diteroka oleh kumpulan ulat, maka kami akan mencari lokasi yang lain. Kami menganggap ianya bukanlah rezeki untuk kami. Rezeki Yang Maha Esa amat luas. Sisa-sisa makanan manusia misalnya, kami yang menghabiskan. Apakah di kalangan manusia ada yang cemburu pada kami, kerana walaupun saiz tubuh kami amat-amat kecil, kami tidak pernah mendapat penyakit kencing manis walau sebanyak manapun gula yang kami makan. Hal ini adalah kelebihan dariNya buat bangsa semut yang tidak dikecapi manusia.
Sebuah beg hitam yang berada dalam tong sampah itu masih tidak diusik ulat-ulat. Kami ke sana dengan berbaris panjang. Ketua kami paling hadapan dan menyelinap melalui lubang zip. Kami merangkak ke atas tubuh seorang manusia kecil. Masuk ke rongga dan menggigit kulitnya yang lembut. Tiba-tiba ketua menjerit lantang.
“Semua keluar dan jangan sesiapa menggigit budak kecil ini lagi,”kata ketua. Kami serta-merta berhenti dan tidak bertanya mengapa arahan itu dikeluarkan. Kami berbaris semula dan mengikut ketua mencari makanan di luar beg hitam itu.
“Budak itu masih bernyawa. Kita tak boleh membunuhnya. Dia diperlukan masyarakat Islam untuk melawan Yahudi dan zionis. Aku mendengar dia berikrar kepada Tuhan tadi bahawa jika dia hidup, dia akan menjadi manusia yang baik. Kita patut menyokongnya,” kata ketua. Kami mendengar sambil terus menghidu makanan.
“Wajarlah dia menjadi ketua semut, dia mempunyai hati yang murni dan tidak zalim,” bisik salah seekor daripada kami tanpa didengar oleh ketua semut.
TIGA
Menjadi pengutip besi buruk bukanlah pilihan hidup. Tetapi itulah kerjanya sehari-hari kerana miskin dan tidak berilmu. Dia bangun awal pagi sebelum Subuh dan melihat tidak ramai orang Islam yang berjemaah di masjid. Dia, kadang-kadang bertemankan anjingnya, pergi mencari besi buruk di setiap tong sampah di kawasan perumahan itu. Oleh kerana acap disergah anjing-anjing lain, dia menukar strategi untuk tidak membawa anjingnya lagi.
Dia lelah dengan kehidupan. Kadang hatinya terdetik bahawa kematian dapat menamatkan penderitaannya ini. Namun, terkenangkan kata Samad, jirannya bahawa ‘orang kafir’ akan masuk neraka, dia jadi teramat takut. Betulkah aku akan masuk neraka? Dia sendiri buntu. Apakah agama yang diyakininya sekarang benar atau salah? Samad pernah menceritakan tentang agama Islam padanya. Katanya Islam itu agama rahmat untuk sekalian makhluk. Islam tidak membezakan orang kaya atau orang miskin, orang berkulit putih ataupun berkulit hitam sepertinya. Islam adalah satu-satunya agama Allah Yang Maha Esa. Sesiapa yang menganut agama Islam akan dijamin syurga apabila mati kelak.
Dia terfikirkan kata-kata Samad itu. Tetapi ada hal lain yang menghalangnya daripada memeluk agama Islam. Bila melihat kelakuan Samad sendiri dan orang-orang Melayu di daerahnya, mereka tidak berkelakuan seperti yang mereka serukan. Misalnya, Samad suka menghabiskan masa di kedai kopi, menuduh orang itu dan ini salah. Bermuka-muka dan suka mengampu. Malah Samad selalu memanggilnya ‘ keling hitam.’ Dia rasa malu dan terhina dengan ejekan Samad. Justeru, hatinya juga tertutup untuk memeluk agama yang dianuti oleh Samad.
Tangannya menarik keluar sebuah beg hitam. Pelik. Beg itu terasa berat. Apakah ada besi di dalamnya? Spontan dia membuka zip. Dan matanya terpaku tidak berkelip. Bayi? Dia terus mengangkat bayi yang berbungkus kain itu. Kesan darah melekat di tangannya. Jemarinya mendekati hidung dan ubun-ubun si bayi. Ya! Dia masih hidup. Bayi ini masih hidup!
Fikirannya kini bergalau resah. Kepada siapakah mahu diserahkan bayi comel ini? Tentu pada orang Melayu kerana bayi ini bukan dari kaum lain. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke masjid di depan tamannya. Biasanya, orang Islam yang pergi ke masjid adalah orang baik. Dia berlari sambil fikirannya tidak berhenti berfikir, mengapa orang Islam sanggup membuang anak? Bukankah Islam agama yang sejahtera?
Di depan tangga masjid, dia menunggu para jemaah selesai menunaikan solat Subuh. Melihat para jemaah itu berbaris dalam satu saf dengan wajah tunduk ke lantai, hatinya rasa sayu. Inikah kebenaran Islam yang sebenar? Dia terusik apabila mendengar sang imam membaca al-Quran. Tangannya semakin kuat memeluk bayi yang terpejam lena. Selesai solat, para jemaah membaca zikir dan berdoa. Kakinya sudah tidak sabar lagi mendekati mereka. Bayi di tangannya sudah bergerak-gerak.
“Pak Imam” jeritnya. Semua jemaah yang sedang bersalaman menoleh padanya. Dia menggamit Imam mendekatinya. Hatinya sendiri rasa kotor untuk memijak lantai masjid yang suci. Iman dan beberapa jemaah berlari padanya. Tanpa bicara dia menyerahkan bayi itu kepada imam.
“Allahh,..kau jumpa di mana budak ni?” tanya imam.
“Dekat tong sampah besar di sana..” katanya. Pak Imam memeluk bayi kecil yang mulai merengek. Di mata Imam sudah mengalir air jernih.
“Sanggup mereka buang anak yang tidak berdosa ni. Aku malu! Malu anak bangsaku sendiri tergamak buang bayi. Samy..terima kasih. Kau dah selamatkan budak ni. Moga-moga, Allah beri kau hidayah dan kehidupan yang lebih baik,” kata imam padanya.
“Haramkah?” tanyanya. Semua mata memandangnya.
“Tidak..bayi ini tidak haram. Yang berdosa adalah ibu dan lelaki yang membuangnya. Mereka itu sama sahaja dengan sikap zionis Israel. Allah sahajalah yang dapat membalas kejahatan puak-puak ini,” kata Imam lagi. Dia mengangguk kemudian menggigit bibir.
“Er..maksud saya, haram atau tidak saya masuk ke tandas masjid, saya nak basuh tangan yang berdarah ini?” katanya. “Eh..pergilah..pergilah..” kata imam menepuk bahunya sambil diiringi senyum para jemaah.
Siapa Haram?
Labels: Ummu Hani
Awan idea dalam sebuah cerpen
Saya ingin berkongsi pengalaman menyatukan kepulan ‘awan-awan idea’ dalam cerpen Teman, Cukuplah Kami. Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 bagi kategori Cerpen Remaja.
Mari kita teroka awan-awan idea itu:
Teman, Cukuplah Kami
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
SATU
Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?
Ayat yang dihitamkan di atas ditaip ketika penulis berada di depan Baitul Haram, Mekah al-Mukarammah pada Julai 2007. Penulis menemukan idea tersebut dalam perjalanan mengerjakan umrah di Bangladesh (transit 9 jam di Dhaka). Setelah melihat sendiri kemiskinan umat Islam di sana, penulis berasa resah dan berazam menulis sebuah cerpen tentang itu. Alhamdulillah, walaupun belum dapat menyiapkan sebuah cerpen di sana, penulis telah diberi ilham olehNYA dua ayat pertama di atas. Dua ayat ini penulis taipkan di telefon bimbit.
Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.
Di Bangladesh, saya dan rombongan umrah telah dibawa bersiar mengelilingi bandar Dhaka. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel penginapan, saya melihat ‘bangsal-bangsal kayu berdindingkan kain’ menjadi rumah keluarga-keluarga miskin di bandar ini. Warga rumah terdiri daripada ibubapa dan anak-anak. Kasihan, mereka berkongsi kemiskinan ini dengan senyum gembira.
Abang selalu bertanya pada ibu, mengapa hidup kami sekeluarga miskin? Adakah nenek dan datuk kami yang berasal dari Madras dulu yang mewariskan kemiskinan ini? Ibu mengangguk. Abang kemudian merayu kepada ibu mahu bersekolah. Menurut abang, hanya sekolah yang boleh memberi keajaiban dalam kehidupan kami. Entah dari mana abang mendapat kepercayaan itu. Mungkin dari anak-anak Tuan Syaheed yang kasut mereka dicuci oleh abang setiap hari. “Tidak boleh! Kamu lihat gigi ibu yang berkarat ini. Kita tidak mampu membeli ubat gigi pun, bagaimana kamu mahu membayar yuran sekolah?” jerit ibu. Selepas itu, abang jarang-jarang pulang ke rumah.
Tempat yang kerap dikunjungi ibu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Zia. Kami berasak bersama manusia-manusia hamis lain dengan niat mencari sesuap nasi. Orang yang turun dari tangga kapal terbang tentulah orang berduit. Sekurangnya mereka lebih beruntung dapat terbang di awan daripada kami yang seumur hidup berjalan kaki di tanah. “Tuan yang baik, puan yang baik, tolonglah kami. Anak saya ini perlukan makanan, sudah dua hari (kekadang ibu menyebut tiga hari atau lima hari) tidak menyentuh makanan,” jerit ibu pada orang-orang yang keluar dari pintu utama lapangan terbang. Yang melilau, menjerit, berlari dan menagih simpati orang bukanlah ibu sahaja. Dalam mata kecil saya, beratus wanita meminta sedekah. Dan beratus-ratus (ataukah beribu) anak-anak kecil seperti saya menjadi kutu-kutu simpati ibu mereka. Jika ada seorang yang bersimpati, maka tangan yang bertuah sahaja dapat mencapai duit. Acapnya, jika tidak mendapat duit, kami akan diberikan pisang oleh orang-orang bermurah hati yang turun dari kapal terbang.
Sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, yang menyambut penulis dan penumpang lain adalah tangan-tangan yang meminta sedekah. Mereka ada yang datang mengendong anak kecil, ada lelaki tua yang uzur, ada kanak-kanak lelaki yang tidak berbaju dan kanak-kanak perempuan yang comot. Masing-masing menghulurkan tangan dari celahan pagar mohon diberikan wang untuk makan. Oleh kerana peminta sedekah terlalu ramai, penulis hanya terkebil simpati sambil mendoakan mereka dalam hati.
Di rumah, ayah dan ibu jarang bersuara. Masing-masing pulang dengan pandangan yang hambar. Ayah sudah memahami ibu dari riak wajahnya. Ibu memaklumi ayah dari tona matanya. Banyak bercakap atau bertengkar tidak akan membawa kemudahan apatah lagi kekayaan kepada kami. Orang miskin seperti kami biarlah kaya dengan toleransi. Sekurangnya, ayah dan ibu saya tidak pernah bergaduh dan saling memburukkan diri, itu sudah menjadi syurga kepada saya dan abang. Kadang-kadang, orang seperti ayah yang masa luangnya di kedai teh (yang lebih mirip sebuah bangsal buruk) terdorong juga bercakap tentang isu semasa. Kepada ibulah ayah mensyarahkan semua yang diketahuinya daripada mulut-mulut rambang; pembonceng beca, teman-teman di kedai teh dan Tuan Syaheed. Ibu pula, sebagai seorang isteri solehah yang buta huruf, perkataan yang keluar dari mulut ayah sangat mengagumkan dirinya. Ayahlah yang paling pintar setidakpun daripada abang dan saya sendiri dalam keluarga kami.
“Harga minyak di Bangla sudah naik. Aduh..” keluh ayah. “Bukankah hidup kita tidak bergantung sangat pada minyak? Tengoklah, abang cuma membawa beca bukan kereta,” jawab ibu. Pada saya, jawapan ibu menunjukkan dia boleh menjadi orang pintar jika berpeluang belajar. “Walaupun ini masalah Tuan Syaheed. Dia pastinya akan memotong gaji saya atau menaikkan sewa beca sehingga upah tinggal 10-20 taka. Apa kita mahu makan? Apabila harga minyak naik, makanan menjadi mahal termasuklah tepung dan kekacang. Aduhh..” ayah memberatkan lagi keluhannya. “Mengapalah tidak ada sistem yang membezakan antara orang kaya dengan orang miskin?” balas ibu. Saya dan ayah tertanya-tanya. Apakah maksud kata-kata ibu? “Apabila harga barang makanan naik, orang kaya tetap membeli pada harga yang terpaksa dibeli orang miskin. Bayangkan, Tuan Syaheed masih boleh menambah dua pinggan nasi berbanding kita yang miskin, tidak boleh makan nasi langsung akibat mahalnya barang-barang makanan. Ini tidak adil!” Jerit ibu. Ayah memejamkan matanya. Saya pula terlongo. Memang benar, jika ibu bersekolah dahulu mungkin sekarang ibu sudah menjadi menteri, fikir saya.
Idea ini paling menarik untuk saya kongsikan dengan pembaca. Saya menemuinya dari mantan mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Ketika itu, saya dan teman penulis, Ghafirah Idris telah pergi menjemput Dr Asri untuk menjadi panel diskusi anjuran Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR). Sebelum pulang, saya telah menanyakan kepada Dr Asri, apa beban besarnya selama menjadi mufti. Beliau menjelaskan agak sukar menegur ‘orang-orang besar’ lalu mengeluh hal kapitalis telah menjurangkan rakyat dan pemimpin ke jurang kezaliman dan ketidak adilan. Idea Dr Asri inilah yang saya masukkan dalam dialog di atas. Terima kasih atas pandangan Dr Asri.
“Kita ni ibarat hampas kelapa sahaja. Diperah habis-habisan oleh orang-orang kaya tu,” kata ayah sebaik membuka matanya kembali. Saya maklum, orang kaya yang dimaksudkan ayah adalah orang tempatan seperti Tuan Syaheed dan orang-orang asing yang ‘membeli’ negara kami dengan kekayaan mereka. “Inilah akibatnya jika negara menjadi lembu yang dicucuk tanduk oleh Amerika. Sama seperti negara asal kita di India dan Pakistan, membuka pintu seluasnya kepada pedagang bebas. Entahlah nasib kau nak. Bukan niat ibu mengajar kau jadi peminta sedekah, pintu untuk orang miskin seperti kita telah ditutup.” Ibu mengusap-ngusap rambut saya. Air merenek di mata ibu dan mencambah di mata ayah.
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kedah, abah telah berkata pada saya bahawa sistem kapitalis ibarat kelapas dan hampas kelapa. Orang kaya memerah kudrat orang miskin hingga tinggal hampas. Saya mengingati kata-kata abah dan memasukkannya dalam cerpen ini.
DUA
Negara kami di mata dunia memang sudah terkenal sebagai negara yang mengandungkan orang-orang miskin. Barangkali kerana penduduk kami terlalu ramai menyebabkan kerajaan sukar mengagihkan bantuan. Barangkali juga kerana ketidakmampuan kami mengeksploit sumber negara, memaksa kerajaan memberi secara bebas kepada orang-orang yang mampu hak dan kuasa ekonomi. Di Utttara, salah satu bandar besar Dhaka, bukan tidak ada hotel dan pasaraya mewah, namun hanya ‘orang-orang terpilih’ boleh mamasukinya.
Saya mengejip mata dan menelan liur sahaja melihatkan orang-orang yang keluar masuk ke pasaraya besar. Usia saya sudah 12 tahun. Kalau dulu, saya dikendong ibu meminta sedekah di lapangan terbang tetapi kini saya betah berdikari menjadi peminta sedekah di seluruh bandar Dhaka. Ruang kami hanya terhad di kawasan jalanan. Dengan badan tanpa pakaian, bau kami sahaja tidak diizinkan menyelinap ke kawasan ‘orang-orang bertuah.’ Acapnya, di depan pasaraya, saya akan menunggu pengunjung keluar kemudian berlari dan merengek (seperti yang ibu tuturkan dulu) “Tuan, puan, kasihanilah saya. Sudah beberapa hari saya tidak makan. Tolonglah..tolonglah..kasihanlah,” kata saya sambil menarik sedikit pakaian mereka. Selepas mendapat habuan, saya dan kawan-kawan akan membeli sedikit tepung kemudian kami akan memasaknya sendiri di tepi jalan berhampiran masjid. Ketika azan berkumandang, saya dan kawan-kawan ketawa dengan makanan yang dianugerahkan pada hari itu. Apabila wajah langit mulai kelam, baharulah saya berlari pulang ke pondok buruk menemui ayah dan ibu.
Di Bangladesh, saya bersama teman seperjalanan, Kak Salbiah telah mengunjungi sebuah pasaraya di Bandar Dhaka. Depan pasaraya tersebut ada askar yang menjaga agar tidak ada peminta sedekah yang masuk. Mereka adalah kanak-kanak yang tidak berbaju, wanita miskin dan orang tua yang selekeh. Saya simpati dengan nasib orang miskin di sini yang dicurigai orang awam.
Abang sudah lama pergi dari rumah. Kami sekeluarga tidak tahu sama ada abang masih hidup atau mati. Untuk melegakan hatinya, ayah berkata pemergian abang mungkin ada hikmahnya kerana kuranglah sedikit tanggungannya. Tapi saya tahu, ayah berasa sedih lebih-lebih lagi abang telah mencuri kasut anak Tuan Syaheed menyebabkan ayah dibuang kerja. Sejak itu, saya pula menggantikan tempat abang. Kerja mencuci kasut dan meminta sedekah serta tidur di kaki lima bangunan bersama teman-teman. Wang upahan setiap hari saya berikan kepada ibu dan ayah.
Patutlah abang gembira, tidur di kaki lima atau di kerusi taman amat menyeronokkan. Bulan dan bintang menjadi payungan. Kipas kami adalah angin yang berpuput ikhlas tanpa bayaran. Bau hamis ‘air kotor’ tidak menjadi masalah kerana itulah yang kami hidu sejak kami dilahirkan. Kami hanya perlu berfikir, apakah kerja kami esok untuk mendapatkan secebis makanan?
Golongan yang sentiasa gembira di Bangladesh adalah kanak-kanak peminta sedekah. Selepas mendapat duit, mereka membeli makanan, memasaknya di taman dan makan ramai-ramai. Saya yakin mereka gembira dengan hidup begitu.
“Keluarga kau agama apa?” tanya seorang teman saya. Kami berbaring tanpa bantal dan tilam empuk. Cukup hanya bertilamkan simen. “Aku orang Islamlah. Namaku sahaja orang sudah tahu Islam, Naseem bin Muslim. Apalah kau ni,” tempelak saya. Teman saya itu tersengih. “Kau pernah lihat ibubapa kau sembahyang?” sambungnya. Saya bangkit dari perbaringan. Berasa terfikir dengan soalan si teman ini. Saya menggeleng kepala. “Kau? Ibubapa kau sembahyang tak?” Dia juga menggeleng kepala. “Islamkan?” Dia mengangguk. “Kenapa kau tanya soalan tu? Apakah agama penting dalam kehidupan kita? Agama boleh buat kita hidup senang?” Saya bertanya pula. Dia mengangkat bahu. Kami tidak boleh tidur lagi dan memandang sepi bintang-bintang di langit. “Esok aku mahu ke masjid. Sudah lama aku mendengar suara azan bertalu-talu di bandar ini, sekalipun aku tidak pernah menjejak lantai masjid,” kata si teman. “Perlukah? Orang dewasa pun tak pernah mahu ke masjid, kita budak-budak ni tak payahlah,” balas saya. “Aku mahu pergi. Terpulanglah pada kau,” teman saya itu kemudiannya berbaring semula dan memejamkan matanya.
Perkara di atas adalah hal yang saya fikirkan dengan sangat mendalam untuk menulis cerpen ini. Kebanyakn orang miskin di sini adalah orang Islam yang tidak menyedari bahawa agama mereka adalah sebaik-baik penyelesai masalah mereka.
Itulah kali pertama saya memasuki sebuah tempat yang begitu indah dan suci. Sejak dilahirkan, hanyir tanah melumati nafas dan diri saya sehingga tidak pernah terfikir bahawa masjid membawa haruman yang mengasyikkan. Saya dan teman berasa seronok dapat mandi air paip kemudian seorang lelaki berkopiah menghulurkan berus gigi kepada kami. “Cepat, orang dah nak sembahyang,” kata lelaki itu. Kami kemudiannya berbaris bersama-sama lelaki berkopiah yang kebanyakkannya mempunyai janggut panjang.
Banyak masjid di Bangladeh mirip Masjid India. Orang yang kuat agama boleh dikenali melalui pakaian dan janggut panjang mereka seperti jemaah Tabligh. Masjid di sini sentiasa hidup. Apabila mendengar azan berkumandang, kita akan berasa sayu dan tenang. Namun, seperti di negara kita, masjid lengang dengan manusia jemaah.
“Allah menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurgaNya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.” Suara imam yang menuturkan itu menyebabkan mata saya tidak lagi mengantuk. Perihal ‘orang-orang miskin’ segera menarik perhatian kami. Betulkah khabaran ini? bermakna, kami ini miskin di dunia kerana akan dikayakan di syurga kelak. Wah! Saya tidak sabar berkongsi berita ini kepada ayah dan ibu. Begitu, tidak mengapa kami miskin sepanjang hidup.
Sepulang dari mengerjakan umrah, saya telah menziarahi al-Fadhil Ustaz Zainul Asri di Kolej Islam Darul Ulum. Saya telah menceritakan kepada ustaz tentang pengalaman berada di Bangladesh dan keharuan saya pada orang-orang miskin di sana. Ustaz lalu menyebutkan seperti ayat yang dituturkan imam dalam perenggan di atas.Terima kasih ustaz atas pandangan yang murni ini.
“Malang sekali di Tanah Bangla ini, orang-orang miskinnya sangat jahil. Mereka bukan sahaja kebuluran tanpa makanan tetapi menjauhkan diri daripada Penolong sebenar mereka. Orang-orang miskin sepatutnya lebih mendekatkan diri kepada Allah. Jika seumur hidup tidak pernah menunaikan sembahyang, hah! Teruslah hidup melarat di dunia kemudian masuklah mana-mana neraka Allah di akhirat,” suara imam bergegar kemarahan. Saya berasa takut. Terbayang di mata saya, kami sekeluarga sama-sama terjun dalam api yang membuak-buak panas.
“Aku tak akan meninggalkan sembahyang lagi,” kata saya pada teman. “Kau mahu masuk ke syurga atau tidak mahu masuk ke neraka?” tanyanya. “Kedua-duanya,” balas saya. Kami keluar dari masjid yang wangi dan kembali menjadi budak-budak peminta sedekah. Nanti waktu Zohor, saya akan kembali ke masjid, azam saya.
“Kau bayangkan, jika banjir dan bencana alam berlaku lagi, beribu-ribu orang akan mati. Entahlah mereka itu ramai yang masuk syurga atau neraka. Orang miskin macam kita patutnya lebih peka untuk bersembahyang. Kata imam tadi, syurga dah pun ada untuk kita di akhirat,” kata saya yang baru mendapat kesedaran pagi ini. “Sayangnya, ramai yang tidak tahu termasuk ibubapa kitakan Naseem?” balas si teman diiringi anggukan ikhlas saya.
Ini adalah suara hati saya untuk sahabat-sahabat Muslim di negara seperti Bangladesh. Juga untuk diri sendiri juga.
TIGA
Sembahyang menjadi titik-tolak kejayaan saya pada hari ini. Sejak bersembahyang, saya menjadi orang miskin yang mengenal potensi diri. Allah bukan menciptakan kemiskinan untuk kami tanpa kudrat. Sekurang-kurangnya kami ada tangan untuk berusaha, ada kaki untuk bergerak dan ada otak untuk berfikir dan menggali yang terbaik untuk diri kami.
Saya berusaha keluar dari pekerjaan warisan; peminta sedekah. Setiap kali berdoa, saya bermohon Allah menjadikan saya sekurang-kurangnya orang yang mempunyai pekerjaan lebih baik daripada meminta sedekah. Ketika berumur 15 tahun, saya terpilih bersama beribu-ribu pemuda lain bekerja di Arab Saudi sebagai buruh binaan dengan gaji tawaran 800 riyal. Itulah kegembiraan paling besar saya boleh berikan pada ayah dan ibu. Sejak itu, tidak putus kegembiraan lain mengiringi hidup saya terutama kaabah. Saya boleh menunaikan solat di hadapan kaabah setiap waktu sembahyang. Ya Allah..
Dalam pesawat dari Bangladesh ke Mekah, kami berhimpitan dengan penumpang Bangladesh yang diambil kerja di seluruh Arab Saudi.Bagi membantu negara-negara Islam yang susah, kerajaan Arab Saudi mengambil tenaga buruhnya dari kalangan negara seperti Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Afrika. Buruh-buruh ini banyak yang bekerja sebagai pecuci lantai Baitullah Kaabah dan Masjid Nabi. Saya cemburu pada mereka yang boleh menunaikan solat depan Kaabah setiap hari.
*********
Gadis comel bersama kamera besarnya terhinggut-hinggut menangis. Dia yang sejak tadi setia mendengar kisah hidup bekas si peminta sedekah ini berhenti mencatat. “Kenapa kau menangis pemudi Malaysia?” tanya saya. “Saya tidak menyangka, selain umrah yang saya dapat di Tanah Haram ini, kisah saudara begitu menginsafkan. Rupanya, kami di Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di negara saudara. Tetapi kami juga leka untuk bersyukur,” katanya. “Teman, cukuplah kami..” balas saya.
Frasa ‘Teman, Cukuplah Kami’ yang saya jadikan tajuk cerpen ini adalah pesanan untuk diri sendiri. Perjalanan menunaikan umrah adalah perjalanan tarbiah buat saya.Iktibar ini saya ingin kongsikan dengan para pembaca agar selalu mensyukuri nikmat Tuhan.
Sesungguhnya, proses kreatif adalah proses menggerakkan akal dan mengumpulkan pesan alam , agar penulis menemui sesuatu yang melembutkan jiwanya kembali kepada fitrah. Setelah itu, baharulah dia dapat menukilkan karya yang baik untuk hadaman minda ummah.
Moga cerpen ini memberi manfaat kepada semua!
Labels: Ummu Hani
Singkowoton
(sdar2, ingin saya kongsikan cerpen Singkowoton yg pernah terbit
di Dewan Sastera, Februari 1989 ini dgn sdr2., untuk menunjukkan
salah satu cara utk mengangkat budaya masyarakat tempatan ke dlm
karya. terutama sekali utk Sdr Wansalmah :) kita cerpen ni dah
memenangi Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Malaysia)
SUASANA sekeliling terasa amat sepi bagi Solisir. Kesepian itu
mencengkam pernafasannya. Dia bagaikan terdmpar dan tersisih di
sudut yang suram. Terjerumus pada musim tengkujuh yang berpanjangan
mendungnya. Tanpa cahaya matahari. Tanpa penghuni.
Mata bundar Solisir yang kelabu terus merenung ke hadapan. Rambutnya
yang bersanggul lintang, teguh mengapuk belakang kepalanya, biarpun
dipuput bayu senja dari lereng bukit. Dengan tidak sernena-mena, dia
tersedu sedikit. Tubuh gendutnya yang bersalut pakaian daripada kain
sutera itu, tersandar lesu di kerusi empuk. Bintik-bintik peluh
kelihatan di garis bibirnya yang nipis oleh senyrman tawar. Sebuah
senyuman yang lahir daripada kedukaan dalam dadanya.
`Singkowoton,' rintih hatinya. `Ah, benarkah singkowoton bagi seorang
gadis itu adalah mahkota kegadisannya?'
Himpunan orang ramai yang bertolak-tolakan dan
asak-mengasak di padang bandaran itu, tidak berjaya
menarik perhatiannya. Suara manusia, pekikan hon
kenderaan, bunyi deruman perahu berenjin sangkut dari
kenderaan, bunyi deruman perahu berenjin sangkut dari
arah Sungai Longongan yang hingar-bingar dan de-
ngungan paluan gong serta irama kayu lansaran yang
dienjut oleh kaki para penari, tidak berjaya menyentuh
kesepian jiwanya.
Lampu elektrik yang terpasang di sekitar dewan
lansaran itu, bagaikan jutaan kunang-kunang di mata-
nya. Lampu bangunan-bangunan yang tersergam indah
berhampiran padang itu, bagaikan kerdipan bintang-
bintang kejora dalam sinar bulan yang pudar.
Orang rumai daripada suku kaum Murut Tagol dan
Sumambu yang bersusah payah datang dari perkam-
pungan mereka di Hulu Tomoni, Kemabong, Rundum,
Nabawan, Pensiangan dan lain-lain, kelihatan segak-
dengan cawat dan baju tradisional yang diperbuat dari-
pada kulit kayu. Siput-siput laut yang menghiasi baju
tradisional itu, berkilauan disinari cahaya lampu.
Solisir terus memerhati para penari di dewan lansar-
an. Semakin tinggi para penari melambung di atas kayu
lansaran itu, semakin kuyu kelopak mata bundar
Solisir. Setiap penari kelihatan seperti berebut-rebut
melonjak untuk mencapai tengkorak antik yang
dijadikan singkowoton.
Solisir sedar. Tengkorak ialah alat maha suci dan
mulia bagi kaumnya. Benda yang tidak ternilai
harganya itu, asalnya daripada kepala musuh yang
harus dihormati dan dipuja. Empat keping lemak yang
telah dikeringkan, kelihatan mengapit tengkorak yang
bergoyang-goyang di bahagian tengah dewan ansqran.
"Solisir, apabila engkau memakan lemak ini, roh
tengkorak itu tak akan mengganggu kau," kata ibunya
suatu ketika dulu. Ibunya mengoyak secebis lemak
kering yang diambil ketika upacata kukui. Kemudian,
dengan cermat lemak itu diserahkannya kepada Solisir.
"Betul, bu?" tanya Solisir yang masih gadis sunti.
"Betul, nak," sahut ibunya serius. "Hah, malah kau
juga akan dilindungi daripada segala bentuk mala-
petaka."
"Singkowoton itu tidak akan marahkah, bu?" tanya
Solisir sambil mengerling ke arah tengkorak yang diapit
lemak kerinE, yan9 kini cuma tinggal tiga keping.
"Tidak," balas ibunya sambil tersenyum. Sebentar
kemudian dia memegang bahu anak gadisnya. "Jangan
bimbang, Solisir. Ah, bagi seorang gadis, singkowoton-
nya adalah mahkota kegadisannya, tau?"
Hampir ketawa Solisir apabila mengingati perbual-
an dengan ibunya itu. Aneh, fikir Solisir. Sambil me-
nasihatinya, ibunya terus meneguk air tapai. Segelas
demi segelas. Seolah-olah ibunya tidak mahu kalah
dengan bapanya yang terkulai mabuk di sisi taiau tapai.
Tubuh bapanya yang kering lisut seperti tengkorak yang
disaluti kulit kering, terjerembap di atas lantai buluh
rumah panjang yang hancing.
Mata Solisir menerawang mernerhati kesemua adik-
nya yang seramai sepuluh orang itu. Tubuh mereka juga
kering, berbopeng-bopeng dan berkudis buta. Tulang-
tulang mereka kelihatan menonjol. Dengan perut
buncit, berkaki ayam, tanpa pakaian yang sempurna,
mereka bergelumang bebas bersama anjing-anjing.
Tiba-tiba Solisir berasa tali perutnya mengecut.
Ketakutan yang tidak tahu dari mana puncanya, men-
cengkam dadanya.
"Ah, biarpun keempat-empat lemak kering yang
bergantungan bersama tengkorak antik yang dijadikan
singkowoton di tiang bahagian tengah dewan lansaran
itu mereka makan, belum tentu mereka akan terselamat
daripada malapetaka."
"Ubahlah cara berfikir," tegas orang yang mem-
punyai kuasa.
"Untuk apa?" tanya orang-orang kampung. "Kami
senang dengan cara hidup kami ini."
"Berusahalah lebih kuat," kata orang yang mem-
punyai kuasa lagi. "Hah, barulah boleh menikmati
hidup senang."
"Bagaimana?"
"Gandakan usaha!"
"Tapi ... tuan," kata orang-orang kampung dengan
linangan air mata. "Bagaimana kalau padi huma
kering-kontang? Bagaimana kalau tanaman tidak
menjadi? Bagaimana kalau ikan di sungai banyak yang
mati? Binatang buruan pula lari jauh ke dalam hutan?
Apa yang adi lagi pada kami? Apa yang nak kami
makan?"
"Ah, itu alasan kamu saja!" bentak orang yang
mempunyai kuasa.
"Benar, tuan. Alam telah tercemar," rintih orang-
orang kampung. "Pembalakan pula berleluasa! Ah,
apalah yang bol.h dilakukan oleh orang-orang kam-
puog seperti kami? Tidak ada sijil dan tidak ada
pengetahuan tentang selok-belok dunia luar? Apa yang
boleh kami buat ...?"
"Ah, itu cuma alasan!'
Solisir yang masih gadis sunti pada ketika itu, terkejut.
Perbualan di antara orang-orang kampungnya dan orang
yang mempunyai kuasa, membentangkan dunia kenyataan
buat tatapannya. Kuntum-kuntum bunga ditaman,
hilang keharumannya serta-mer ta. Lapisan-lapisan
pelangi, hilang sinarnya. Cahaya matahari, hilang
kehangatanoyu. Udura yang datang dari
daerah pedalaman, hilang kesegarannya. Aliran air Su-
ngai Longongan yang berhampiran dengan rumah
panjang, hilang kejernihannya.
_ `Hah, beginikah. balasan orang yang mempunyai
kuasa setelah menerima layanan dirumah panjang?
Patutkah tradisi melayan tetatuu dan meogadakan
majlis makan minum- oleh semua keluarga yang telah
menjadi tradisi bagi kaum mereka, diberikan kepada
orang-orang yang tidak pandai menghargai budi? pada-
hal, penghuni rumah panjang sendil ,uiggop berlapar
demi memenuhi selera orang lain!"
Begitu besar penghormatan yang diberikan oleh 30
keluarga yang menghuni rumah panjang usang itu.
Kemudian mereka dihidangkan pula dengan bertajau-
tajau tapai dan dibawa menari tarian magalang di atas
lansaran yang seperti spring itu, dengan iringan
paluan gong. Acara itu berlangsung hingga ke subuh.
Terngiang-ngiang semula suara orang yang mem-
punyai kuasa itu menghina. Suara parau yang meng-
gerunkan. Suara lelaki. Apabila seseorang itu mem-
punyai kuasa, dia boleh berkata apa-apa sahaja.
Apabila telah berkuasa, mereka tidak perlu memerah
keringat dan membanting tulang empat kerat untuk
mencari nafkah. Mereka mempunyai wang. Mereka
mampu menguasai jalan hidup mereka. Mereka juga
mampu mengubah jalan hidup orang lain.
`Aku hendak memiliki kuasa seperti mereka. Aku
harus jadi seperti mereka. Untuk tujuan itu, aku harus
mempunyai semangat yang kuat. Aku harus sanggup
berkorban untuk memiliki kuasa itu!'
"Singkowoton bagi seorang gadis, adalah mahkota
kegadisannya." Dia teringat lagi kata-kata ibunya itu'
Tetapi entah berapa kali dia telah mengorbankan sing-
kowotonnya untuk mencapai kuasa yang diimpikannya'
Sungguhpun dia amat menyayangi kedua-dua ibu
bapa dan adik-adiknya, namun dia begitu benci pada
kemiskinan yang melingkungi penghidupan keluarga-
nya. Dia bertekad untuk tidak terus mewarisi kemiskinan
keluarganya. Dia bertekad untuk tidak dikuasai tetapi
untuk menguasai. Lantas, dadanya yang kembang, ber-
goncang dengan tekad yang bulat' Setiap detik yang
berdetak dalam dadanya, mengembang sebagai bunga
keyakinan. Ibarat kuntum melati merah yang mampu
menebarkan warnanya hingga ke akhir fajar.
Mujur juga dia dikurniakan dengan otak yang baik.
Pertama kali dia terpaksa melakukan pengorbanan
untuk memperolehi biasiswa. Dengan biasiswa itu, dia
mendaki satu demi satu tangga untuk menuju kejayaan.
Dia terlupa langsung tentang kewujudan kuasa ghaib
tertinggi yang mereka kenali sebagai ``aki kopuuno' (dewa)
pencipta langit dan bumi serta segala makhluk di atasnya.
Langsung dia tidak lagi memerlukan `babalian' sebagai
orang perantaraannya dengan kuasa ghaib yang mereka
puiaiebetum ini. Langsung dia tidak lagi mempercayai
kewujudan makhluk-makhluk halus yang mendatang-
kan iibut, petir, bah, hujan, kemarau, sakit dan mati
dalarn penghidupannya.
Solisir cukup yakin, dia tidak memerlukan lagi per-
lindungan makhluk-makhluk halus itu untuk meng-
harapkan hujan turun pada masa yang dikehendaki,
Dia iiaak perlu lagi memohon perlindungan, kerana dia
lebih melindungi dirinya sendiri. Dia pun mampu me-
lindungi orang lain dengan kuasa yang telah diperolehi,
jika dia mahu.
Ya, seandainya dia mahu!
Kini kuasa menjadi miliknya. Pada mulanya dia
terpilih sebagai pemimpin dalam pelbagai persatuan
pelajar. Suara lantangnya bukan saja digeruni oleh
kaum pelajar, tetapi dihormati oleh pertubuhan-pertu-
buhan wanita di seluruh negara.
"Kita kaum wanita, jangan jadi pengecut! Kita
jangan mudah dipijak-pijak oleh kaum lelaki! Apa yang
dilakukan oleh kaum lelaki, boleh juga dilakukan oleh
kaum wanita!" Semalaman Solisir tidak dapat melelap-
kan matanya. Dia resah gelisah. Lembaran sejarah
hidup dirinya dan kaumnya yang penuh getir, meme-
nuhi fikirannya. Seolah-olah ternampak olehnya suku
kaumnya yang masih menjalankan pertanian pindah.
Menanam padi huma di kawasan yang berbukit-bukit.
Menanam jagung, pisang, sayur-sayuran, ubi kayu dan
lain-lain, sebelum berlakunya hakisan tanah akibat
pembalakan yang berleluasa.
Suatu ketika dulu, dia juga pernah melalui hidup
yang sama, masih terasa tapak tangannya yang kasar,
menggali dan mengambil isi ubi kayu. Berekar-ekar
luasnya. Sebahagian daripada ubi itu ditumbuk dan
sebahagian lagi direbus hingga lembik sebelum diperam
ke dalam tajau untrk dibuat tapai. Semalaman dia
mengerang mengenangkan nasib anggota keluarganya
yang begitu ramai di kampung. Dia tidak sanggup mela-
lui penghidupan yang sama seperti dahulu.
"Cik tak boleh melakukan begitu," bantah pa-
kar ginekologi itu. Dia menggelengkan kepalh ke-
rana hampir tidak percaYa.
"Mengapa?"
"Cik akan menyesal nanti," pujuk pakar ginekologi
itu lagi. "Percayalah."
"Ah, saya tak akan menYesal."
"Tapi ini telah menyalahi undang-undang," bantah
pakar ginekologi itu lagi. "Saya tak berani, walau
dibayar sebanyak mana sekalipun."
"Bagaimana pula menyalahi undang-undang?"
"Cik mahu saya membantu cik untuk menafikan
kewanitaan cik," kata pakar ginekologi itu. "Jika saya
mengikut kehendak itu, cik akan menyesal nanti. Per-
cayalah, tiada seorang lelaki pun yang akan mahu
mengahwini seorang wanita yang menafikan kewanita-
annya!"
"Perkahwinan?" tanya Solisir. Seolah-olah dia
dihina dengan pertanyaan itu.
"Ya, perkahwinan. Tidakkah cik mahu kahwin
suatu hari nanti?"
"Berkahwin?" tanya hati Solisir. Dia tidak mahu
berkahwin! Dia tidak rela dimasukkan ke dalam
pasaran perkahwinan. Dia tidak rela ditawar-tawar se-
perti barangan dagangan bagi menentukan harga dan
bentuk berian dalam perkahwinannya kelak. Yang pen-
ting, dia tidak mahu dijadikan alat oleh keluarganya
untuk meminta'berian sampai mati' daripada keluarga
lelaki yang dikahwininya kelak.
Ya, dengan kuasa yang ada padaku, aku boleh
melakukan apa sahaja, fikirnya. Aku boleh membeli apa
sahaja. Aku boleh memusnahkan apa sahaja! Aku boleh
buat apa yang aku suka, orang lain peduli apa?
"Ah, persetan!" bentak hatinya. Buat apa kahwin,
kalau dia boleh memperolehi segala-galanya tanpa
berkahwin?" Kini, dia salah seorang yang mempunyai
kuasa. Dia seorang yang pandai berdikari sebagaimana
yang dilakukan oleh orang lelaki. Dia belajar untuk
tidak memerlukan sesiapa. Dia belajar untuk tidak
mempercayai sesiapa. Dia belajar untuk tidak menangis
di hadapan sesiapa.
Dia yakin. Masih wujud sesuatu yang menjadi
penghalang baginya untuk terus maju ke hadapan
dalam kariernya. Sesuatu yang menyeksa batinnya, se-
tiap kali ibunya menambah jumlah adik-adiknya, tahun
demi tahun. Sesuatu yang menggerunkannya, apabila
memikirkan tentang ekonomi keluarganya yang sentiasa
meleset.
`Jahanam! Apa yang pakar ginekologi itu fikir?'
bentak hatinya. Jika pakar itu enggan melakukan, dia
boleh melakukannya sewaktu dia menjalankan tugas
rasmi di luar negeri. Lebih baik begitu. Tiada sesiap
yang akan tahu. Dia tidak perlu teragak-agak lagi. Apa
yang dilakukannya kelak, adalah haknya. Hak seorang
manusia merdeka. Hak mutlak. Biar apa pun ibunya
katakan, dia berhak melakukan pembedahan peman-
dulan itu ke atas dirinya!
"Kau sudah gila, Solisir!" bentak ibunya dengan air
mata bercucuran. "Apabila kau mati kelak, rohmu
tidak akan diterima di syurga, di puncak Kinabalu-
Rohmu akan berkeliaran mengganggu orang!"
Tiba-tiba Solisir tersentak. Terasa bahunya disen-
tuh dan digoyang lembut oleh seseorang. Dia mengisar
punggungnya di atas kerusi empuk dan mendongak me-
mandang wajah pegawai daerah yang tersengih-sengih-
Angin dari lereng bukit semakin kencang dirasakannya.
"Hmmm ..?" tanya Solisir.
"Yang Berhormat, dipersilakan," jemput pegawai
daerah itu.
Solisir bingkas berdiri. Langkahnya ke dewan
lansaran diiringi paluan gong yang bergemuruh. Orang
ramai bertepuk tangan memberi dorongan kepadanya.
Suasana sekeliling semakin kelam. Bagi merasmikan
majlis keramaian itu, dia dikehendaki mengenjut-enjut
di atas kayu gelegar dewan lansaran, untuk mengambil
barang-barang berharga yang dijadikan singkowoton di
tiang bahagian tengah dewan lansaran.
Dengan sedikit teragak-agak, Solisir mengenjut-
enjut di atas kayu-kayu lansaran itu. Perlahan-lahan tu-
buhnya melambung-lambung di atas permukaan kayu-
kayu lansaran. Semakin lama, semakin tinggi. Semakin
lama, semakin terasa seperti dia berada di awang-
awangan. Tangannya yang dipenuhi barang-barang
kemas, tergapalgapai di udara. Dia cuba mencapai
singkowoton yang sengaja digantung rendah, khas
untuknya. Semakin lama, kepalanya semakin pening.
Tiba-tiba dia terdengar suatu suara halus menusuk
gegendang telinganya. Suara halus yang menembusi
suara jerit pekik keseronokan dan kemeriahan orang
ramai yang menontonnya. Suara yang mengusap
jiwanya yang didakap kedukaan.
"Singkowoton bagi seorang pahlawan adalah teng-
korak manusia yang dimenanginya dalam peperangan,"
kata suara halus itu, bagai sedang berlagu merdu. ^Siug-
kowoton bagi seorang gadis adalah mahkota kegadisan-
nya. Singkowoton bagi seorang wanita adalah anak-
anak yang bakal lahir dari rahimnya. ..."
Serta-merta Solisir berhenti mengenjut. Nafasnya
sesak. Dadanya sebak' Dia terasa seperti tersisih dan
menetap di sudut yang suram. Musim tengkujuh se-
makin panjang dalam dadanya Cahaya matahari pudar
selama-lamanya' Setiap bakal penghuni alam telah
terbunuh dalam rahimnya. Kini, kesepian semakin
mencengkam jiwanya.
Labels: Azmah Nordin
Al Burj
(1)
PAGI Muharam telah pecah di horizon. Kesekian kali jasad bermusafir di suatu ruang asing. Kesekian kali minda di ulit kelainan yang luar biasa.
Simbiosis sekali di tengah ruang. Saujana mata memandang di pagi musim dingin. Tahun baru. Dasawarsa baru. Kurun 21.
Warna-warna padang pasir yang bangkit dari tidur membentuk satu lukisan indah. Panorama alam dari percikan mentari yang bangkit di timur. Satu sambutan melankolik di luar kehidupan digital yang melebar globalisasi dan tiba-tiba tanpa wi-fi dan jaringan telekomunikasi. Telefon bimbit dan Internet mati di padang pasir. Janggal tetapi menyenangkan minda. Tidak tergambarkan perasaan dilontar kesyahduan.
Beralih penumpuan pada semerbak bau gurun dari ruang kosong. Bau yang merentas sentuhan rohani. Menguasai suasana yang tenang. Waktu seakan terhenti. Semuanya terhenti dalam alun-alun gelombang bukit-bukau pasir yang mengelilingi. Ada bukit pasir yang setinggi pencakar langit, ada sebesar bangunan, sehebat piramid. Malah sehebat gunung-ganang.
Mencengkam pandangan. Indahnya keajaiban ciptaan Allah SWT. Kerdilnya diri di antara makhluk yang tidak pernah jemu berzikir. Makhluk yang memerangkap satu keinsafan bertalu.
Mata terpegun mengamati landskap yang berubah warna mengikut pasir dan limpahan mentari. Sebuah lukisan terpampang yang hidup di layar alam. Catatan yang menggambar seribu ilusi. Foto yang bercerita ribuan hikayat kemanusiaan dan peradaban. Mengasyikkan untuk membaca dari roh imej-imej yang melantun dari semua arah.
Semuanya bertaluan menggamit kesyukuran. Refleksi masa lalu pun singgah, menghuni emosi. Jauh perjalanan menambah pengalaman. Mengutip ilmu dari perjalanan yang semakin singkat ke destinasi hayat.
Seketika dalam menghela nafas, saya berdiri untuk meninjau sesuatu yang seakan kemilau. Mencorak prisma cahaya dari balikan sesuatu yang menerpa. Nipis serakan melantun bersinar ke anak mata. Berbalam dari kejauhan.
Lantas spontan tertanya-tanya apakah gerangan itu. Mengerling ke arah Jamal di tepi khemah dengan seekor unta, sahabat yang menjadi hos di lembah padang pasir UAE. Sahabat yang beriya-iya memujuk saya menyambut tahun baru di sebuah gurun. Entah di mana kami berada. Tiada GPS untuk menentukan lokasi koordinat.
Teringat pembacaan mengenai kembara Wilfred Thesiger yang pernah menjelajah padang pasir Empty Quarter dan menaiki unta dari Abu Dhabi ke Dubai sekitar 1948 dahulu. Lelaki berani itu berkawan dengan kaum Badwi untuk survival. Catatannya menjadi bahan sejarah. Sesuatu yang berharga. Orang Badwi masih menjadi sebahagian dari padang pasir yang sebahagiannya kini ternyata berubah di mana-mana. Berubah mengikut zaman dan kekayaan melimpah hasil petroleum yang disedut dari bawah padang pasir.
Sesungguhnya keramahan orang Badwi masih tidak lupus walau ramai mereka sudah menjadi penghuni kota dan bertukar kehidupan. Walau ramai dari mereka tidak lagi menunggang unta yang bertukar dengan kereta mewah dan sport menjalar. Kemah berganti vila tersergam dalam tembok batu bagai penjara.
Petrol dan gas menukar habitat dan kehidupan mereka dalam dua dekad. Termasuk generasi kedua seperti Jamal yang masih mahu pulang ke padang pasir untuk menikmati warisan keturunan. Kata Jamal, sesekali menjadi Badwi padang pasir yang tinggal dalam khemah, menunggang unta dan menikmati alam semula jadi, tanpa kemodenan yang turut membawa pelbagai gejala. Termasuk lupa daratan dan lupa asal usul.
Begitulah pagi itu, Jamal, hanya berpakaian jubah seperti seorang Badwi nomad walau semalamnya lengkap bersut sewaktu di satu majlis di Dubai, tersenyum.
Hanya kami berdua di ruang gurun terbentang. Datang dengan kenderaan pacuan empat roda yang di parkir agak jauh. Itulah satu-satu imej peradaban moden yang seakan ganjil antara makhluk lain yang merapat mesra. Mesra dan santun menyapa hati seorang Melayu perantau. Melayu yang sudah lama tidak bercakap bahasa Melayu.
Jamal seakan tahu apa yang sedang mendesah berada di fikiran saya. Tetapi suaranya seakan mengejek. Tidak sekali berbangga dan tidak megah apabila menjawab soalan di minda.
“Itulah Al Burj, bangunan tertinggi di dunia, 80 km dari sini!”
(2)
Saya bukan seorang arkeologis. Tetapi berminat dengan kajian mereka yang menggali kesan sejarah untuk mendapat maklumat dan bahan sejarah untuk pengetahuan. Kebetulan Jamal juga sama berminat. Kami pertama kali bertemu di piramid Gaza. Sama-sama mengagumi binaan manusia yang menghampar keangkuhan silam ribuan tahun. Lawatan yang menyerlah simbol kehebatan manusia yang sisa-sisanya memberi pengajaran.
Dari piramid kami meneroka lain-lain peninggalan peradaban termasuk piramid kaum Mayan di Amerika Selatan. Kali akhir sebelum ke padang pasir Abu Dhabi, kami bersama menjejak Menara Babel yang disahkan arkeologis wujud 3,000 tahun sebelum Masehi. Dikatakan berdiri setinggi 90 meter yang didirikan di Babylon, kota yang pernah wujud antara Sungai Tigris dan Eufrat.
Ironi, menara pencakar langit beralih kedudukan tertinggi dari benua ke Amerika, berligar di Asia sebelum kembali ke padang pasir. Ke tanah Arab yang dihuni kaum Badwi.
Putaran yang melengkapkan perjalanan usia dunia. Pelbagai bangsa merebut takhta pembina menara tertinggi. Mengejar imej dan ikon yang tidak pernah surut kerana naluri kemanusiaan yang juga saling mahu menyaingi demi kemegahan dan maruah nasionalisme.
Tidak juga mengejutkan kalau menara tertinggi di padang pasir semenanjung Arab dibina oleh kaum Badwi yang mungkin pencakar langit tertinggi yang terakhir. Kaum Badwi yang sedekad lalu masih ramai hidup nomad dan menjadi pengembala kambing.
“Itu bukan kebetulan!” Jamal berkata sambil menikmati teh panas. “Bukankah itu tanda-tanda akhir zaman seperti yang pernah disebut dalam hadis Nabi SAW?”
Saya mengangguk perlahan. Pernah mendengar mengenai hadis tersebut. Hanya tidak pernah membaca dan memahami sepenuhnya. Memang saya bukan dari mereka yang berminat dan ambil tahu. Terlalu sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan hobi, tidak semestinya mengikut susunan begitu. Tidak banyak peduli mengenai sirah. Sekadar tahu dari pelajaran di sekolah dan pembacaan di Internet.
“Kau tahu, kemuncak pembinaan Al Burj, seramai 14 ribu pekerja pada satu-satu masa. Pekerja dari 45 buah negara dan bercakap 35 bahasa, itulah globalisasi dalam aksi selama 95 juta jam dengan komponen-komponen dari seluruh pelosok dunia untuk mendirikan ikon dengan konkrit 45 ribu meter padu, seberat 110,000 tan dan menelan hampir lima bilion dolar... duit pinjaman!”
Jamal meneruskan perbualan santai di padang pasir yang masih kosong. Alun-alun bukit pasir terus mengelilingi. Angin menderu memberi udara segar yang nyaman. Memang tenang sekali. Hanya kami berdua di suasana petang mengasyikan di sebuah padang pasir emiriah Abu Dhabi yang bersempadan dengan Dubai. Dua emiriah dalam satu persekutuan yang saling bersaing. Yang nampak seiring tetapi menurut Jamal sendiri penuh dengan semangat perjuangan kabilah. Kekadang rasis sesama sendiri. Perbezaan darjat mengikut nama keluarga. Tetapi mereka lebih baik dari kebanyakan negara Arab lain yang tidak pernah bersatu walau satu bangsa dan seagama. Jauh lebih bersistem dan ke depan dalam prasarana dan perancangan. Hebat untuk maju dalam dua dekad sahaja.
Seperti biasa, Jamal kritikal dengan fakta, “Malangnya tidak pasti ada komponen buatan atau pakar tempatan untuk sebuah ikon megalomania!”
(3)
Sehari di padang pasir yang luas tidak menjemukan. Jamal membawa ke sebuah wadi kecil. Kami berhenti rehat dan mandi manda. Airnya sejuk. Makan dari bekalan dan minum teh dari air yang dimasak. Sungguh santai dan mendamaikan.
“Begitulah kehidupan tanpa materialistik, kosmetik, slapstik dan penuh perlumbaan nilai, pertembungan nilai dan pertempuran ideologi. Kau bayangkan sebuah utopia di mana nilai manusia tidak pada kedudukan dan harta. Nilai manusia pada budi dan rohani!”
Jamal terus berfalsafah. Seorang Badwi dengan sarjana falsafah dalam alam sekitar yang gigih bekerja sebagai penyelidik mengenai masalah alam sekitar walau boleh sahaja mengumpul kekayaan melalui bisnes. Setidaknya sebagai penaja syarikat luar yang dimestikan mempunyai penaja dari rakyat tempatan yang jumlahnya hanya sekadar 10 peratus dari penduduk UAE.
Melihat mentari semakin menghampir ke horizon, saya bersiap dan bertanya kepada Jamal mengenai jadual kami.
Tetapi Jamal seakan mahu mendera saya. Atau dia sekadar mahu mengusik. Dia tidak begitu mengendahkan pertanyaan yang diulang lagi. Waktu telah gelap. Bersedia untuk solat Maghrib. Dan sama bersiap untuk berangkat.
“Bila kita akan bertolak ke Dubai?”
Itulah matlamat saya transit di Abu Dhabi dalam perjalanan ke benua Afrika untuk urusan bisnes sebagai usahawan yang mahu bertaraf global. Dipelawa oleh Jamal untuk singgah dan sama melihat perasmian sebuah menara tertinggi di dunia.
Jamal ketawa. Bersahaja sambil tangannya terus mengitip tasbih. Tidak lekang dengan tasbihnya.
“Tidak perlu ke Dubai!”
Saya terkejut. Memandang Jamal yang memandang jauh ke horizon. Wajahnya dilontar warna padang pasir.
“Kita lihat sahaja pembakaran jutaan wang dalam bentuk bunga dari jauh. Tentu lebih indah dari sini!”
Ah! Dari jarak 80 km di tengah-
tengah gurun yang gelap dan sejuk? Suhu sekadar 10 darjah selsius.
“Al Burj setinggi 828 meter dengan 160 tingkat bernilai bilion Dirham di sana tiada perbandingan dengan kehebatan menara, bangunan, gunung-ganang pasir di sekeliling kita!”
Saya terdiam. Tidak pasti untuk memberi reaksi dan respons. Teringat cerita Jamal mengenai pengeboman di Gaza oleh Israel setahun lalu sewaktu dia menjadi sukarelawan. Dalam kesejukan dan kegelapan dihujani peluru dan bom.
bantuan
Jutaan wang bantuan yang dijanjikan rupanya tidak pernah sampai kepada anak-anak Palestin. Sama ada tidak diberikan langsung oleh mereka yang berjanji demi publisiti atau masuk poket-poket mereka yang bergelar pemimpin dan pihak berkuasa.
Itulah antara sebab Jamal semakin tidak percaya pada majoriti kepimpinan Arab. Semakin curiga dengan apa sahaja yang dikatakan ‘persaudaraan Arab’ apabila masalah yang melanda dunia Arab tidak pernah selesai walau simpanan dana minyak dan dolar berjumlah trilion.
Dia mahu murtad dari seorang Arab, sekadar seorang Muslim. Membuang nasionalisme lapuk yang memerangkap generasi demi generasi.
Lagipun katanya, dia hanyalah seorang anak Badwi padang pasir yang tidak signifikan dalam pentas perjuangan yang dipenuhi permainan politik menjijikan. Diperkudakan oleh kuasa Barat proksi Yahudi di sebalik perjuangan nasionalisme. Lebih ramai orang Arab di bunuh oleh pemimpin Arab dari Israel. Lebih ramai orang Arab miskin dan buta huruf kerana kepimpinan yang korup.
Sebaik mentari tergelincir, kami bersolat di atas pasir. Suara Jamal gemersik mendayu ke segenap ruang. Terasa sungguh khusyuk. Airmata saya tumpah. Membayangkan berada di tanah suci Mekah yang juga padang pasir. Tempat yang saya masih belum berkesempatan untuk singgah walau usia semakin meningkat, keluarga bertambah, kerja semakin banyak, terus kesibukan terbang sana sini mencari lebih banyak wang dan waktu yang terus tidak mencukupi.
Dalam hati teringat isteri dan anak-anak yang terlintas pertanyaan, apakah yang saya kejar? Tidak pernah cukup dan tidak pernah puas. Sedangkan saya sendiri tidak juga dapat menikmati hasil pendapatan dari keringat yang terus tumpah. KPI dan NKRA yang terus bertambah mengikut matlamat syarikat. Misi dan visi untuk kaya raya.
Sebaik solat, Jamal tersenyum kemudian ketawa. Memang dia mahu mengusik.
“Jom, kita bergerak ke Dubai. Sempat lagi untuk tiba sebelum majlis perasmian!”
Dalam perjalanan yang berliku-liku di padang pasir terbuka, turun naik mengikut bukit-bukau pasir dan arah alat GPS, semakin hampir saya kepada Al Burj, semakin terasa tiada apa-apa pada gah sebuah menara yang dibanggakan sebagai tertinggi di dunia.
Benarlah kata Jamal, padang pasir yang dipenuhi menara pasir, bangunan pasir, lembah pasir, gunung-ganang pasir jauh lebih hebat. Bertambah hebat dari seorang Melayu yang pernah berbangga dengan dua menara di tengah-
tengah Kuala Lumpur. Bak kata orang Inggeris, Been there, done that!
“Lihat padang pasir dan dongak ke langit dengan trilion bintang-
bintang, kita hanya sebutir pasir diantara bunga-bunga api yang indahnya seketika di kegelapan malam, itulah kita di dunia sementara ini!”
Sepatah kata Jamal sebaik kilau dari persembahan bunga api dan pancaran laser memenuhi langit Dubai. Gamat, gawat dengan sorakan manusia yang antaranya terlupa dengan kebesaran di sekeliling dan dalam diri mereka. Lupa yang semakin bersaing para Badwi yang dulunya gembala di padang pasir untuk membina menara menongkah langit, semakin hampir pada akhir zaman.
Dan saya rupanya sempat melihat keadaan yang disebut lebih seribu tahun lalu.
Hebat pertunjukan bunga api memenuhi ruang. Al Burj bagai pecah berderai. Bersepai. Ilusi yang menepati realiti. Al Burj telah siap tetapi akan kosong untuk bertahun akan datang dalam kemelut ekonomi berpanjangan. Ikon sebuah fenomena zaman.
Dalam kemeriahan suasana, terasa lebih janggal. Jamal memberitahu menara yang dikenali sebagai Al Burj itu tiba-tiba bertukar nama. Sekelip mata sahaja kemelut seakan selesai. Magis sekali malam yang bersejarah di sebuah padang pasir.
Sambil mengerling ke semua arah dalam ribuan manusia di pinggiran kota Dubai, Jamal sempat berbisik, “Tindakan terdesak tetapi bijak demi satu lagi bail-out dan menjaga air muka satu kabilah Badwi!”
Mingguan Malaysia 17.1.2010
Labels: Fudzail
Doa akhir tahun
TIGA hari lagi Zulhijjah akan berlalu. Meninggalkan pohon-pohon mangga di batas sawah dan tiang-tiang eletrik yang membarisi jalan kerdil di desa membisu di benang waktu. Meninggalkan debu-debu berterbangan di merah tanah yang belum diturap asphalt. Kesian, khabarnya desa itu sudah lima puluh dua tahun merdeka! Lumut-lumut di alor dan kali juga akan ditinggalkan, meski dalam diam ia tetap menyediakan rumah-rumah cantik buat labi-labi dan ikan kepala batu dan cecuri. Anak-anak seluang dan marak yang merah merelit sudah dipersiapkan oleh induk masing-masing untuk merayakan pertukaran tahun dengan zikir-zikir yang istimewa dengan harapan mendapat kehidupan yang lebih afdal.
Zulhijjah pasti meninggalkan Siska dan dia. Lampias dalam ruang-waktu dan bergentayangan bagai frekuensi dan puing-puing zarah semesta alam, terkunci dalam miqat dan ketentuan. Zulhijjah akan memberi laluan pula kepada Muharam 1431 Hijrah dengan rakaman-rakaman baru sebagai jejak-jejak di denai sejarah yang tak mungkin terubah.
Ya, sudah lebih empat puluh Muharam berlalu meninggalkan jejak Siska dan jejaknya, puisi Siska dan puisinya. Sudah lupakah kau akan pantun-pantun cinta kita? Atau lagu-lagu yang pernah kita senangi bersama? Masakan…
Tentu kau belum melupakan tiupan seruling batang padi yang kutiupkan, sementara kau menyanyikan sebuah pantun nyanyian al-marhumah biduanita Saloma?
Anak punai anak merbah
Hinggap mari membuat sarang
Anak sungai lagi berubah
Inikan pula hati orang
Siska, kau punya suara penaka buluh perindu. Tapi kau selalu menuduhku gemar bermain dengan kata-kata. Hatiku bukan anak sungai dan ia takkan berubah, percayalah…
Hujan lazimnya adalah teman setia Zulhijjah. Selalu pula ia membawa kenangan dari lipatan-lipatan sejarah yang tak pernah dicatatkannya. Suara Peggy Tan yang lunak masih terngiang-ngiang di telinga ketika dia dan beberapa teman sedarjah mengasah kuku di lantai. Ada berita Mrs. Hamdan akan membuat pemeriksaan kesihatan diri. Beliau cikgu yang garang dan berdisiplin. Di bumbung zink sekolah rentak hujan mempersembahkan lagu alam yang mengasyikkan. Tapi kadangkala hujan turut mengundang ribut. Sungguhpun begitu rakaman yang kejap di liang jisim tetap abadi hingga ke akhir masa.
Syawal melangkah, Zulkaedah melangkah, Zulhijjah melangkah, Muharam melangkah, sementara kita semacam dipaku oleh jarum waktu?
Pada sisi yang lain dia membayangkan dirinya seekor albatros, terbang meninggi di ruang angkasa Antartika. Atau Kutub Utara? Tentulah bersama Siska. Sayap panjangnya pasti saja akan menewaskan kesejukan. Sayap putih terkembang garang itu jugalah yang akan membawanya dan Siska mengembara ke segenap cakerawala. Inilah peluang terbaik untuk melihat kecantikan planet al-'Ard dari Zuhal, Musytari atau Marikh? Tentu sekali dia akan dapat gambaran yang sama sekali berlainan dengan apa yang pernah dicatat oleh al-Biruni, al-Batani, Copernicus, Galileo atau yang pernah dipaparkan oleh gambar-gambar pelik dari satelit Hubble.
Siska dan dia akan buktikan betapa karutnya keputusan IAU menurunkan pangkat Bluto!
Imbang
Dan sesudah itu segalanya diharapkan akan menjadi imbang dan tenang. Lebihlebih lagi segala sesuatu yang melibatkan perasaannya dan perasaan Siska. Pada waktu-waktunya dia merasakan Siska seperti mahu merampas kebebasannya. Selebihnya dia semacam takut kepada dirinya sendiri. Bagaimana kalau Siska berubah sesudah bersatu nanti? Kebebasan sudah sebati dengannya. Lihat saja apa yang terjadi pada sahabat-sahabatnya, Razali dan Datuk Ismail? Bandingkan pula dengan murai batu dan kelicap daun yang bernyanyi girang di pohon jambu kepal. Jika perasaan tidak selesa, percutian-percutian akhirnya menjelma bagai pelarian-pelarian tanpa makna. Tentulah semuanya berpunca daripada perasaan yang tidak seimbang itu. Larilah ke ceruk dan bucu manapun di jagat raya ini, rasa yang tidak seimbang akan membara sebagai gundu huru-hara - amarah, dendam, benci, tamak, panas baran dan lupa diri. Di kemuncaknya ia adalah garuda gila yang akan membakar segala belukar, padang dan lata. Lalu menukarkan semuanya kepada padang jarak padang tekukur.
Tapi Siska belum pasti bersamamu. Atau milikmu.
Belum?
Ilusi dan mimpi apakah ini?
Alangkah sempurnanya Allah mencipta sunatullah, ada getusan seni di dasar hatinya seperti menyanggah semua itu.
"Kau tau, sunatullah adalah sesuatu yang tak bisa diubah lagi. Semesta alam dan isinya, termasuk kau dan solat kau, dan solatku."
"Solat kau dan solatku?"
"Iya. Konfigurasi 5 waktu, 17 rakaat dan 13 rukun adalah sunatullah ciptaan-Nya! Ia memastikan keseimbangan."
"Sejak bila kau jadi ustaz, hah?"
"Aku bukan ustaz, tapi khalifah."
"Khalifah?"
"Haah, sejak firman-Nya di Surah al-Baqarah, ayat 30."
"Iye ke? Aku dah lama tak baca…"
Tapi Buyung baru saja menawarkan percutian hujung tahun. Gratis! Begitulah biasanya setiap tahun. Dia hartawan dan masih bujang, walau hayatnya sudah mencecah setengah abad. Dia masih berpegang teguh kepada maxim:
"Kenapa harus beli lembu, susu kan lebih murah?"
"Yung, hujan ribut lagi berhenti…"
"Kita telah berkawan sejak kecil kan? Kau tahu tanggung jawab sosialku kan? Kau tahu berapa juta yang kudermakan kepada anak-anak yatim setiap tahun kan? Dan lebih penting daripada itu, kau tahu apa puncanya kan?"
"Aku bukan mempersoalkan tanggung jawab sosial atau zakat harta kau Yung….Aku bercakap fasal aqidah…aku berdoa agar kau sedar…"
"Yang penting, aku hidup bertuhan…"
"Belum cukup, Yung…"
"Belum cukup, kau kata?"
"Hidup bertuhan, mesti turut perintah Tuhan."
Buyung sudah cukup kaya. Dia boleh beli helikopter atau jet Grumman, kalau dia mahu. Setakat ini nampaknya dia hanya minat pada kereta mewah. Sudah dua belas buah dikumpulnya. Empayar bisnesnya tersebar hampir ke tujuh benua. Sayangnya kejayaan itu tidak diiringi oleh kesedaran terhadap agama. Malahan dia mengaku sudah tidak solat Jumaat lebih tiga puluh tahun.
"Kau fikir pahala sedekah jariah dapat cover dosa kau tak solat?"
Buyung hanya membatu. Dia tahu Buyung tidak akan marah. Mereka biasa makan sepinggan dan tidur sekelambu. Dia pernah mendengar ada bapak menteri yang berpendapat "asal bertuhan cukup, agama apa pun tak jadi soal…" Di akhbar-akhbar dan Internet dia membaca ism-ism itu berkembang biak di Jakarta. Dan Buyung sering ke sana. Apakah Buyung sudah diserap pegangan yang sama? Apakah menteri itu tidak dapat melihat dikotemi antara sistem kepercayaan dan agama?
"Walau apapun terima kasihlah kerana mengambil berat tentang diriku…kau sahabat sejati…"
Dia agak terkejut. Itulah kali pertama Buyung mengucapkan kata-kata itu apabila beliau dinasihati. Biasanya Buyung akan merungut dalam bahasa yang kurang difahaminya. Atau bila tertembung dengan moodnya yang tidak baik, dia akan meletup dengan carutan dan maki hamun.
"Lupakanlah, benang sudah menjadi kain…"
Dia sudah mendengar cerita Su meninggalkan Buyung banyak kali. Dia sendiri tidak mengenali Su, kecuali menerusi beberapa keping gambar lusuh yang ditunjukkan oleh Buyung kepadanya.
"Cantik, kan? Lagi cantik kalau Su buat fesyen rambut 'si ekor kudo" Buyung memuji macam nak rak. Buyung juga tidak dapat mengesan di mana mantan kekasihnya berada sekarang.
"Lalu kau mahu letakkan dendam ke atas semua wanita yang kau temui di atas muka bumi ini?"
Keras hati
Buyung adalah dari jenis manusia yang keras hati. Bila dia kalah berhujah, cepat-cepat dia akan mengubah maudu'k bicara.
"Nak pergi tak?"
"Ke mana?"
"Kau pilih."
"Main golf di Pondok Indah. Jangan lupa ajak kekasih kau yang mongel tu…"
"Iryana? Lupakan, dia sudah jadi isteri orang. Lupakan Jakarta yang kepayahan dalam kabut asapnya. Ah, di Bangkok juga ada Iryana."
"Iryana, di Bangkok?"
"Kenapa? Iryana juga ada di Halmahera, Vientienne dan Ulan Baatar….Kau tau di Ulan Baatar model-modelnya, fuuh!"
"Apa Iryana-Iryana itu maukan si botak seperti kau?"
"Kita menganut apa selama ini, hah?"
"Apa?"
"Bukankah kita semua penganut kapitalisme totok! Lupakan kemanusiaan…di tangan penyair seperti kau, kemanusiaan adalah daun-daun kayu!"
"Haa?"
"Ia luruh saban hari, pagi dan petang, pantang dijentik angin! He! He! He!"
"Tapi martabat kemanusiaan lebih tinggi daripada daun-daun atau kapitalisme…"
"Oo, habis kenapa biarkan Siska menanti di pantai lagi?"
Pertanyaan Buyung memagut tangkai jantungnya. Kenapa Siska dibiarkan bagai menunggu burung tak bergetah?
Dia teringat pertemuannya dengan Siska beberapa hari lalu. Dia tahu Siska kecewa.
"Kenapa tak cuba ajak sahabat-sahabat kau berubah angin hujung tahun nanti?"
"Ke mana?"
"Buat umrah."
Dia terdiam.
Siska menambah, "Doa akhir dan awal tahun dah hafal?"
"Eugg…"
"Nanti I emelkan…"
Matanya sudah terlabuh di skrin komputer. Siska baru saja menelefonnya dan memberitahu 'doa akhir dan awal tahun' sudah diemelkannya. Nada dering lagu Bugih Lamo berbunyi. Panggilan dari Buyung lagi.
"Bangkok, O.K. tak? Nanti aku booking tiket. Usah khuatir, aku takkan beli tiket tambang murah sampai lutut kau berlaga. Siang kita melawat pembunuh-pembunuh ulat di kilang sutera, malam kita temankan manusia menggulati kehidupan di Rose Garden, mau? Kalau minat adventure, kita jelajahi Pat Pong!"
"Kau mabuk?"
"Selagi aku belum bercerita tentang kembang kudup dan cinta kumbang, aku belum mabuk…hikk…"
Ah, sirkit kemelutkah ini?
"Nanti aku fikirkan, Yung."
Dia membaca pembuka dan penutup doa akhir tahun di skrin.
Pujian
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Amat Penyayang, segala pujian itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam….Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.
Dia turut membaca penutup doa awal tahun.
Dan kami mohon daripada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah. Kami pohon juga kepada-Mu Ya Allah akan rasa sedia ingin membuat amal kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu.
Dia teringatkan saranan Siska.
Razali dan Datuk Ismail juga mempelawanya bercuti ke luar negara. Tapi dengan satu syarat. Dan syarat itu harus dilestarikan di Casino De Melbourne. Atau kasino di Edgware Road, London atau Walker Hill di Seoul.
"Atau di Croupiers, Cardiff, di mana kau belajar mengumbut daun!"
Datuk Ismail memilih untuk mengingatkan babak-babak yang mahu dilupakannya.
"Asal jangan kasino di Genting Highlands," Datuk Ismail menambah syarat lagi.
"Kenapa?"
"Oi, di situ kan kena tangkap. Di Melbourne, London atau di Seoul, siapa tahu?"
Jawapan itu datang hampir serentak dari mereka.
"Siapa tahu, kata kalian?"
"Haah."
"Allah tak tau?"
Sepasang kawan lama ini tidak pernah kenal yang mana renyai dan yang mana hujan, yang mana kering kontang dan yang mana kemarau. Pada mereka semuanya hanyalah cuaca semata-mata."
"Kalian tahu aku sudah pencen, kan?"
"Itulah rasional kenapa ujian harus dilakukan di sana!"
"Kan aku cakap dah pencen…aku dah lupakan tai sai, black jack, poker dan roulette…"
"Bagaimana dengan banco player? Hei, kita kan pernah beli Porsche secara tunai, tajaan kasino di Seoul!"
Dia meneruskan gelengan.
"Aku belikan kau chips. Kau tak perlu main."
"Habis, chips tu untuk apa?"
"Kalau tak sentuh chips tu maknanya kau lulus ujian."
"Ujian? Ujian apa?"
"Ujian immmaaaan…."
Oleh kerana perkataan 'iman' itu disebut serentak oleh Razali dan Dato' Ismail, dia spontan membayangkan badut-badut yang menukang kelakar dan jegela di istana-istana lama. Dia juga teringat bagaimana al-marhum P. Ramlee menyebut dan menggayakan perkataan itu setelah tertusuk jembia Marjiana, pembantu rumah Kasim Baba di dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapuk'.
"Aku mati dalam immaaaannn…"
Tapi perkataan itu bukan untuk main-main.
"Kau main-mainkan iman, Yung?"
"Aku tidak bermaksud begitu. Maaf, jika kau tersinggung."
Baginya 1430 Hijrah sudah menampakkan penambahbaikan berbanding 1429 Hijrah. Dia mahu mempertahankannya. Yang sudah, sudahlah. Ribut, badai dan taufan juga akhirnya teduh. Gelombang di tengah segara juga akhirnya dijinakkan oleh pantai yang landai. Benar kata Buyung. Sampai bila dia harus menunggu burung tak bergetah?
"Tapi dia penyabar."
"Betul, tapi sampai bila? Sampai ganyut? Dia terpelajar, cantik…dan yang lebih penting, dia gila habis dengan kau!". Buyung memang pragmatik.
Ketika dia, Siska dan kakaknya melangkah ke kaunter check-in di KLIA mereka nampak Buyung di kaunter sedang meletakkan beg di konveyor. Dia memakai kopiah putih. Siska memandang kepadanya, seperti meminta penjelasan.
"Sahabatku itu memang suka buat kejutan. Nampaknya dia sahut cabaranku…"
"Cabaranmu?" Siska terpinga-pinga.
"Kataku kalau dia tak bertangguh, dan ikut kita, aku juga takkan bertangguh lagi untuk melamar kau."
"Bila?" suara Siska seakan lemas.
"Sebaik saja kita selamat kembali."
"Sahabat you lagi dua orang tu?"
"Mereka nak terus menunaikan haji musim akan datang."
"Alhamdulillah."
Siska menghadiahkannya sebuah senyuman yang cukup bermakna. Siklus kehidupan sememangnya penuh dengan kejutan dan tanda tanya.
Mingguan Malaysia 20.12.2010
Labels: Malim Ghozali PK
Menikmati Mencari Tuhan
Menikmati Mencari Tuhan
Jauh dan mendalamnya unjuran jangkauan imaginasi dan pemikiran manusia. Dia menyelongkar seluruh dan segala ceruk relung yang membakar jiwa raganya. Dia
menjadi pemberani tanpa
memikirkan hal-hal lain kecuali
membuktikan bahawa apa yang difikirkan dan yang dicarinya sememangnya 'betul'. Begitulah gigihnya tingkah manusia yang sangat rajin mengetuk pintu-pintu sejarah.
Lihatlah bagaimana Newton yang ditimpa epal tidak pernah merasakan bahawa itu hanyalah satu peristiwa biasa yang sia-sia. Columbus percaya bahawa di seberang sana, masih ada dunia lain yang mesti dijelajahi. Wright Brothers yakin manusia juga mampu menjadi seperti burung. Tatkala Singapura dilanggar todak, Hang Nadim tidak pernah berfikir bahawa idea dan inovasinya menyebabkan dirinya pendek umur. Penyakit tidak begitu gemarkan manusia yang panjang akal itu tidak terhenti pada zaman kuno, pada abad-abad yang lampau saja. Rupa-rupanya sehingga saat ini, yang berkudrat lebih gemar memelihara manusia yang pendek-pendek akalnya.
Dahulu kala para penulis tanpa nama tidak pernah menegur secara 'blak-blakan' bahawa tindakan-tindakan pembesar yang salah dan berteraskan kudrat biasanya tidak mampu membuahkan sebarang kebaikan. Dalam terang orang mungkin kelihatan patuh, namun di dalam gelap mereka tidak pernah taat. Ramai yang merunduk tapi tidak pernah sedikit pun terdetik rasa hormatnya. Anak yang kecil sekalipun memprotes jika terlalu dipaksa-paksa.
Ya, jika telah sampai pada titik tumpahnya, tipping point anak yang kecil juga akan memprotes jika terlalu sering dipaksa-paksa. Bagi saya itulah salah satu iktibar besar yang mahu disogok Azizi Haji Abdullah dalam Mencari Tuhan. Jika para panglima perang turun ke medan perang lengkap dengan segala senjata dan peralatan perangnya, maka demikianlah juga tingkahnya para panglima agama kita. Maka bertaburanlah segala huraian dengan pelbagai istilah: Muktazilah, Jabariah, Wahabi dan uluhiyah dan lain-lain. Itulah kaedah berhujah dan memperkasakan wibawa. Katakanlah segala tamsil dan ibarat, hujah-bidasan tidak lagi mampu menumbangkan musuh, para panglima agama kita telah kehilangan tempat untuk berlindung dan sembunyikan diri. Pak Mat Siak yang pekaknya kronik di sebelah kanan, mungkin tidak pedulikan semua ini. Apakah mungkin para panglima agama bersikap demikian? Panglima, sesuai dengan taraf kepanglimaannya tidak mungkin membiarkan semua ini berlaku. Tidak mungkin. Kuku yang ada perlu dimanfaatkan.
Sang Wahabi yang "kurus melengking macam tempinis dalam paya, kulitnya hitam. Kalau pakai jubah putih, serban putih ketayap merah, nampak macam Sudan cari bini hilang. Linglong sana, linglong sini." Bukan itu saja, sang Wahabi yang "tidak membaca doa qunut, belajar bermain biola dengan anak murid penyanyi Abdul Wahab, berani pula "ingin mengajak jemaah berbincang, bukan tunduk mendengar bacaan kitab. Dia tidak mahu masyarakatnya mentahqikkan kewujudan Tuhan dengan akta dan seksyen."
Hah, Azizi bukanlah Azizi namanya jika tidak ada cop-cop karya seperti di atas. Saya jadi teringat akan seorang teman Sudan yang sangat berani, istiqomah dalam perjuangan. Where are you Brother Salahuddin? Lalu apakah kesudahannya pada 'kesesatan' Wahabi yang nyata ini?
Apakah telah merajuk, marah atau sakit hati yang amat sangat Sang Wahabi ini tatkala dia lari kepada alam semesta bersama-sama biolanya? Ketika menggesek biolanya di belakang masjid, dia hanya terdengar gesekan mencemuhnya sebagai Wahabi. Nah, masjid bukan lagi tempat yang sesuai untuknya mencari Tuhannya. Ya, jika dia masih mahu mencari Tuhan bersama biolanya. Baginya alam semesta lebih simpati dan mengerti. Baginya alam semesta yang kaya dengan pelbagai nota muzik tanda yang sedikit tentang kebesaran dan keagungan Tuhannya, jauh lebih prihatin dan mengerti. Muzik yang terlalu kecil itu adalah manifestasi keagungan itu. Segalanya begitu merdu hatta layah daun yang gugur menyembah bumi jua adalah muzik.
Apakah muzik itu semestinya melalaikan sehinggakan nyanyian dedaunan, "kecipak daun-daun dari dahan dan ranting pokok banir" itu telah kehilangan maknanya?
Sesungguhnya bagi saya betapa nikmatnya membaca lukisan yang ditukangi Azizi ini. Ah, alam dan muzik.
Pada saya masih terngiang-ngiang terjahan soalan Azizi seperti: Klausa apa dan akta mana yang mahu digunakan untuk menghukum penyebab dan penyebar fahaman yang melalaikan ini?
Katakanlah dari sudut kaedah pemikirannya semua panglima agama kita adalah sehebat Newton misalnya, apakah masih begini keadaan ummah kita hari ini? Kita merasakan sekiranya itu sudah berlaku, segala dan pelbagai masalah nikah cerai yang sangat asas telah lama kita atasi. Apakah kita tidak perlukan Hang Nadim yang cerdik dan inovatif dalam memanfaatkan dengan berkesan segala harta wakaf dan zakat kita?
Sesungguhnya persoalan agama yang kita hadapi ini jauh lebih besar daripada tragedi mengheret kepala lembu dan perlumbaan merebut mayat. Sebagai sasterawan, sesuai dengan latar ilmunya, Azizi telah menerokai relung dan daerah baru yang mungkin kadangkala dilihat terlarang atau tabu. Dalam Sangeetha misalnya Derus telah 'mengislamkan' Viralal pada saat-saat pemergiannya. Apakah Sang Wahabi mahu membuka pintu sejarah agama yang lebih radikal bahawa semua para panglima agama mestilah mampu melihat realiti semasa, bahawa persoalan kita, ummah hari ini jauh lebih besar, ruwet atau kompleks, mencabar daripada doa qunut. Ada contohnya? Ada pasangan yang begitu letih dalam urusan nikah cerai sehingga mahu melakukan hal-hal yang sangat merunsingkan. Kita masih mahu bercakap tentang klausa dan akta?
Apakah di abad ke 21 ini kita masih perlukan para panglima dalam mentadbir segala urusan negara ini? Termasuk agama?Mingguan Malaysia 3.1.2010
Labels: Barabarajiwa
Tunggu Ana di Karbala
Tunggu Ana di Karbala
MATA hijau Munir berkaca-kaca. Semangkuk bubur oat yang disediakannya sudah saya hirup habis. Husin, adiknya duduk di sisi tersenyum-senyum penuh rahsia bagaikan menyembunyi sesuatu. Saya membetulkan kot dan mengemaskan serban membalut tengkuk. Kelmarin hujan membasahi Karbala dan suhu jatuh mendadak. Kemudian Munir memberanikan diri bertanya, "Akhi, adakah enta seorang Syiah?"
Giliran mata saya berkaca-kaca. Saya ingin menjawab seperti mana jawapan yang diberi oleh ulama terkenal Indonesia, Hamka. Arwah pernah ke Karbala dua kali. Pada tahun 1950 dan tahun 1968. Almarhum pernah diajukan soalan yang sama. Jawapan Hamka seperti yang beliau nukilkan pada prakata buku terjemahan Al Husain Bin Ali karya asal alHamid alHusaini ialah; "Saya tidak bermazhab Syiah, tetapi saya mencintai Husain!" Tetapi kata-kata awal Hamka itu saya telan kerana saya rasa tiada maknanya buat mereka berdua. Hanya yang saya luahkan ialah, "Saya pencinta Husin. Seperti kamu berdua. Bukankah Rasulullah SAW bersabda: "Kedua anak ini adalah anakku dan anak dari puteriku. Ya Allah, sesungguhnya aku mencintai kedua-duanya, maka cintailah kedua-duanya dan cintailah orang yang mencintai kedua-duanya." Saya ingin mendapat cinta Allah, maka saya mencintai Hasan dan Husin."
Husin, adik Munir, merekahkan senyuman di bibir sebelum ketawa halus. Seakan-akan saya memberitahu yang saya mencintainya. Duhai, tidakkah indah seorang Sunni dan seorang Syiah bersatu mencintai cucunda Rasulullah?
Begitulah perkenalan singkat saya dengan Munir dan Husin. Mereka berdua datang ke Karbala dari Kazimiyyah, Baghdad untuk menjadi sukarelawan melayan penziarah makam Saidina Husin.
"Dua minggu," ujar Munir membuat isyarat jari.
"Kami akan membersihkan sampah sarap dan memberi tetamu Imam Husin makan. Kami tiada duit yang banyak. Tetapi apa yang ada akan kami berikan untuk Husin." Celah Husin lebih bersemangat.
Entah kerana ada angin dingin yang menyerbu muka saya membuatkan rasa keharuan menggigit atau sememangnya saya sedia menahan sebak pilu setiap kali menghadap ke jihat makam Saidina Husin dan Abal Fadz.
Di jalanan sudah ada perarakan duka sejak subuh. Makam Imam Husin, kubah emas dengan bendera merah berkibar lesu tampak berbalam-balam diserkupi dingin musim sejuk. Saya sebetulnya sedikit resah. Komputer riba saya dirampas oleh askar Amerika sebaik masuk ke sempadan Iraq. Saya bernasib baik mendapat kamar untuk disewa. Kamera Nikon kesayangan saya harus ditinggalkan di kamar tumpangan demi tujuan keselamatan. Khabarnya pernah beberapa kali letupan berlaku di Karbala dengan bom kecil disembunyikan pada kamera, telefon bimbit dan komputer. Jadi, saya rasa gelisah kerana tidak dapat merakami apa yang patut saya lakukan sebagai seorang musafir.
Sejak saya belum berjaya meloloskan diri perbatasan dan mengunjungi Karbala, saya sudah bertanyakan kepada pengawal sempadan di Kermanshah, dia kelihatan seperti orang yang tahu. Pengawal itu yang bernama Redza menyatakan, "Saudara orang Sunni? Saudara merujuk Sunan Tirmidzi?"
Saya tidak menjawab. Sunni atau Syiah tidaklah terlalu penting jika hati kita bersama Allah, Rasul dan ahli keluarganya sepertimana yang kita ucapkan tatkala berselawat dalam solat. Pengawal itu menyambung, seraya mencapai kitab Imam Tirmidzi yang dicapai dari rak bukunya yang kelihatan padat. "Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860: Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin." Orang bertanya kami, mengapa syiah menangis? Saya ingin bertanya, mengapa sunni tidak menangis? Mengapa pula tidak boleh menangis?"
Saya rasa mengerdil kerana tergagap di hadapan seorang pengawal sempadan berpangkat rendah.
Redza menerangkan lagi, "Isteri Rasullullah SAW, Ummu Salamah sendiri menangis mengenangkan pembunuhan Imam Husin, mengapa tidak kita? Nabi tidak pula melarang isterinya. Bahkan Nabi Muhammad menjelma di hadapan Ummu Salamah dalam keadaan kesedihan sehingga berlumuran debu. Nabi Yaakub a.s menangisi kehilangan Nabi Yusuf sampai matanya buta, Allah pun tidak melarang. Mengapa ada orang bertanya mengapa kami menangis mengenang tragedi penyembelihan dan pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw. Tidakkah itu aneh?"
Malu
Buat seketika, saya jadi malu sendiri. Saya belajar ilmu syariah di peringkat ijazah tetapi saya tidak pernah menerokai sedalam ini. Hari ini, setelah meninggalkan bidang syariah secara akademik dan menceburi bidang kesusasteraan bandingan saya kembali berazam untuk menekuni setiap lapis yang ada. Saya kini jelas akan sebuah hadis yang berbunyi: Mahmud bin Ghailan menceritakan kepada kami, Abu Daud al Hafari menceritakan kepada kami dari Sufyan dari Yazid bin Abu Ziyad, dari Ibnu Abi Nu'am, dari Abu Sa'id al Khudri radiallahuanhu, ia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Hasan dan Husin adalah pemimpin pemuda penghuni syurga." Dalam benak saya bergumul satu pertanyaan, adakah orang tua di syurga? Jika saya cintakan Husin seperti yang dituntut Rasulullah SAW apa buktinya? Kematiannya yang tragis dan ngeri itu pun saya tidak tahu dengan terperinci dan benar, bagaimana saya boleh mengaku mencintainya dan ada hati pula untuk menjadi penghuni syurga? Bukankah jika kita tidak mengenal maka kita tidak mencinta. Soalnya jika saya kenal, kenalkah saya sungguh-sungguh mengapa Saidina Husin, penghulu di syurga itu sampai syahid dibunuh dan apa pula falsafah di sebalik pengorbanan besar baginda itu.
Sewaktu di Kolej Islam Kelang, dalam sebuah usrah yang dibimbing oleh seorang naqib saya bertanyakan soalan mengapa Nabi Muhammad meminta kita mencintai Saidina Husin cucunya? Naqib itu yang hari ini menjadi seorang ulama tersohor menjawab. "Ia cinta seorang datuk kepada cucunya." Sejak hari itu saya memutuskan diri dari kata-kata batil sedemikian. Masakan itu sekadar cinta seorang nenda kepada cucunda? Nabi Muhammad adalah seorang utusan Allah. Setiap kata-katanya, tindak-tanduknya adalah daripada Allah swt. 'Dan tidaklah yang diucapkannya (Nabi Muhammad) itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.' Demikian firman Allah dalam surah An Najm pada ayat 3 dan 4.
Tentu, Saidina Husin terbunuh di Karbala kerana gabungan perbuatan khianat penduduk Kufah dan kezaliman Yazid serta sekutunya; akan tetapi duhai, tidakkah kejadian itu sebenarnya mempunyai sebab. Seperti mana yang saya kuasai ketika menulis fiksyen, plot itu adalah sebab dan akibat. Nah, 'akibat'nya ada di Karbala; dan saya baru pulang dari Madinah mengerjakan haji dan ziarah, 'sebab'nya pula ada di Madinah. Sebab yang menyayat hati, akibat yang amat tragis. Sejarah ada kausaliti. Sebab dan akibat. Saya harus mencari. Kerana itu saya bergegas ke sini. Segera saya teringat bab-bab awal buku Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam karangan Taha Husain yang telah diterjemah ke bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990.
"Kenapa enta di sini?" Soal Husin bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan saya. Lamunan saya mati andar. Sungguh, saya memberanikan diri menyeberangi sempadan Iran menuju ke sini kerana saya ingin mencari. Saya sedang memburu bahan untuk menyiapkan sebuah buku akademik mengenai drama perkabungan (ta'ziyeh) Imam Husin untuk dibandingkan dengan drama perkabungan Jesus (liturgy) dalam Kristian bermazhab Katholik. Di tanah air saya diasak tohmahan yang saya adalah seorang syiah kerana minat saya mengkaji wilayah kabur ini. Saya tidak apa-apa dituduh. Hanya Allah dan Nabi Muhammad SAW yang akan menilai duduk iman saya. Saya tidak akan berkongsi kubur dengan sang penuduh.
Mencintai
Husin tiba-tiba berbicara, "Faisal, kalau kita benar-benar mencintai Rasulullah maka kita pun meraikan kelahiran baginda, kita raikan pula israk mikraj, kita raikan setiap kegembiraan baginda Nabi Muhammad SAW. Mengapa ketika kesedihan dan kedukaan Nabi Muhammad kita mahu melupakannya dan tidak mahu menangisinya seperti yang Rasulullah SAW lakukan? Bolehkah enta mencintai Rasulullah dan hanya bersama dengannya ketika senang dan meninggalkan baginda nabi ketika baginda bersedih? Tidakkah itu janggal sekali? Dan adalah jelas, Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa."
Petang itu saya harus berangkat ke Samarra. Jalanan sudah kian sesak dengan penziarah yang siap berkabung mengenang Saidina Husin, cucu Rasulullah SAW. Saya bimbang menongkah arus manusia di jalanan akan melambatkan pergerakan menuju ke Baghdad yang penuh bahaya.
"Tunggu ana di sini, di Karbala." Kata saya kepada Munir dan Husin. "Ana ke Samarra hanya seharian, esok kembali ke sini."
Munir mengangguk. Husin tersenyum. Matanya bening. Saya memegang tangan Husin dan membuka genggamannya, pada telapak tangan anak muda itu saya letakkan pengikat kunci Menara Berkembar Petronas. Dia memeluk saya. Sungguh gembira. Katanya dia mahu mengumpul wang untuk belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Kemudian Munir dan Husin memberikan saya sekeping gambar yang siap dibingkai. Foto Makam Imam Hasan Askari dan Hadi Naqi di Samarra yang dibom pengganas wahabi. Saya memegang bahu Husin, "Ana akan kembali. Tunggu ana di Karbala. Di sini."
Mereka berdua menghantar saya naik teksi. Husin menangis. Munir menyabarkan. Saya sendiri mengulum sebak. Malam itu dalam perjalanan ke Samarra, teksi yang saya tumpangi berkali-kali ditahan askar di pos kawalan. Ketika tiba di Baghdad, pengawal di salah sebuah pos kawalan memberitahu sesuatu kepada pemandu teksi. Dalam keadaan terlayang dek kepenatan dan kurang mendengar buah butir percakapan mereka, saya hanya mengabaikan. Hanya apabila kami berhenti untuk solat subuh di sebuah masjid di tepian jalanan pemandu tersebut mengkhabarkan, "Ada letupan di Karbala. Letupan itu 150 meter dari zarih Imam Husin. Ratus penziarah syahid di hadapan bapa sekian syuhada."
Saya menunaikan solat subuh dalam keadaan bergenang air mata. Saya berdoa supaya Allah menjaga Munir dan Husin. Saya ingin menemui mereka lagi di Karbala. Saya ingin meneruskan persahabatan ini. Saya mahu Munir dan Husin belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur nanti.
Dan apabila saya patah kembali ke Karbala di penghujung hari, menunggu di tempat yang sama. Tampang mereka berdua tiada. Saya mencari Munir dan Husin di tempat biasa mereka memasak bubur oat yang lemak itu. Seorang teman mereka, Musa, memberitahu dengan wajah sayu, dengan tutur kata bercampur duka dan ria.
"Mereka telah syahid. Mereka terkorban dalam letupan kelmarin. Dan pada tangan Husin tatkala ia berpaut pada zarih Imam Husin ada pengikat kunci. Ada pengikat kunci enta yang dibawanya ke syurga bersama."
Duhai, dukaku Husin. Dukaku Husin. Saya menangis tanpa henti pada hari itu. Saya masih ingat. Ia pagi sepuluh Muharram. Saya kehilangan dua Husin. Muharram ini hampir setahun saya berkenal dengan Munir dan Husin, kata-kata saya, 'Tunggu ana di Karbala', masih bergaung dan bergema; menalun dalam dada. Dan saya sering bertanya, 'Mengapa mereka membunuh Husin, mengapa?"Mingguan Malaysia 3.1.2010
Terpanggil
Oleh Peter Augustine Goh
"Insya-Allah, Aliman!" Begitulah kaumenamatkan ayat tunggal itu. Tetikus kauseret ke kotak 'hantar'. Sengaja kauhantar mel elektronik pada awal pagi. Aliman, sepupu kau yang lapan tahun lebih muda daripada kau akan menerimanya seawal pagi itu di kamar kerjanya di Kota Suria.
Sebelum kau ke Pekan Mawar, kau terfikirkan e-mel sepupu kau yang amat pendek juga. Dia hanya meminta bantuan kaumenangkap buaya. Dia akan menceritakan sepenuhnya dalam masa terdekat apabila berjumpa nanti di Kota Suria. Nadanya serius. Tetapi fikiran kau kalut.
Di tengah-tengah kekalutan fikiran, kautersenyum pahit berbaur penuh sinis. Pahit, kerana menangkap buaya adalah suatu perkara berat. Walaupun kau penangkap buaya yang berpengalaman, sepupu kau tidak pula. Silap hari bulan, buaya ganas boleh menghantar mangsa ke neraka. Tidak ada pengalaman yang mendebarkan atau berbahaya lain ke? Buaya juga yang hendak didekatinya? Penuh sinis, kerana … ah, senakal-nakal Aliman, kalau cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga. Aliman, Aliman. Kau buat aku mentertawakan kau saja. Begitulah yang kaufikirkan dengan begitu prihatin.
Di dada skrin komputer riba, kau bagaikan ternampak kau mendapatkan kerjasama dan bantuan seorang pawang terlebih dahulu. Pawang itu menggunakan mantera, menyeru buaya yang hendak ditangkap.
Sejurus selepas itu, kau terus bayangkan kau bersama-sama Aliman dalam sebuah perahu jalur. Aliman di sebelah kiri dan kau di sebelah kanan. Kau rasa Aliman pasti berkeringat seluruh tubuh dan titik peluh kasar satu-satu, dalam bulan gelap. Tidak kurang jantungnya berdegup rancak.
Tiba-tiba sepasang mata bersinar disuluhi cahaya. Air sungai berdebur keras. Buaya itu timbul bertentangan perahu. Tidak lama kemudian, ia memusingkan badannya 90 darjah ke kiri, selari dengan perahu, bersedia untuk melibas mangsa. Kau tahu inilah saat paling mencemaskan. Kau dan Aliman mesti bertindak pantas. Mampukah Aliman? Kaumemejamkan mata rapat-rapat. Pada tahap ini kauberbisik sendirian. “Tak usahlah tangkap buaya. Cuti kau kali ini lebih baik kauhabiskan beradvencer di Paris atau di London saja.”
| Peter Augustine Goh |
Kau bagaikan terdengar, “Tidak. Teruskan. Seronoknya!”
Kau pasti menyanggah, “Otak kau! Kau fikir buaya boleh main-main, ha?”
Aliman tentu akan ketawa lebih nakal, walaupun agak gemuruh. Mata kau masih terpejam. Dalam pejam mata, kau tampak terus. Kayu panjang lima hasta yang diletakkan pada mata tempuling atau tombak direjam sekuat kudrat. Tempuling terpacak di badan buaya itu. Sasaran yang bengis itu tentu melibas kesakitan. Berguling-guling. Meronta-ronta. Ah, rasakan! Kau terdengar Aliman menghambur puas.
Kau terus berbisik dalam hati sendirian. Tidak semudah itu, Aliman. Buaya itu tidak akan pedulikan perahu yang berbolang-baling dipukul ombak. Seguling tali belati yang terikat pada tempuling harus dilepaskan segera. Cepat! Jangan berlengah-lengah lagi! Kalau tidak, perahu kecil akan karam. Masih sanggup ke kau teruskan, Aliman?
Kau terbayang lagi. Perahu dihalakan ke tebing. Inilah masanya kau dan Aliman harus terjun ke air sungai dan berenang ke tebing. Kemudian harus berlari dan menambat hujung tali ke pokok. Pada tahap itu, buaya itu akan terus melibas-libas dan meronta-ronta.
Dan kaumendengar, “Meronta-ronta lemah buaya itu, Johar.”
“Atau kau yang lemah nanti!”
Kau nampak sepupu kauketawa puas. Tapi kau khuatir. Manakan tidak? Aliman pernah mengadu sejak kebelakangan itu dia sering keletihan. Usia semakin meningkat, katanya. Kaumengusik, bukan usia, tetapi kenakalannya di Kota Suria yang bertambah!
Apabila kaumembuka mata semula, kau bagaikan terdengar sanggahan Aliman terngiang-ngiang keras. “Kita teruskan. Aku tak lemah. Seronoknya!”
Apabila dia berkata begitu, sekali lagi kau akan cuba menolak kepalanya lalu meningkah, “Otak kau!” Aliman ketawa lagi. Ada percikan puas hati berbunga di wajahnya. Kau mengetap-ngetap bibir.
Tiga hari kemudian, di Kota Suria, suara ketawa kaumengisi ruang sebuah restoran. Ketawa geli hati kerana rupa-rupanya sangkaan kau meleset. Tapi Aliman tetap berdurja serius. Dia menggenggam-genggam penumbuknya. Giginya dikancing kuat-kuat menahan marah tak terkata. Matanya mencerlang garang. Macam hendak makan orang layaknya. Dari galak matanya jelas ada kala jengking yang liar. Basah dengan dendam. Benar-benar mencerminkan kejengkelan hati.
“Bersabar, bertenang. Minum teh limau berais ini dulu.”
Aliman yang berusia 30 tahun, berkulit cerah, berbadan tegap dan sasa macam kau dan berambut belah tengah itu menurut.
“Dalam e-mel kau, kauberjanji hendak menceritakannya. Ah, ceritakanlah.”
Aliman mengotai janjinya. Kau yang sederhana tinggi, berkulit sedikit gelap, berkumis nipis dan berambut kerinting mendengar penuh khusyuk.
Cerita Aliman bagaikan memercikkan rasa kurang senang kepada kau. Kau tahu sepupu kau yang lebih tinggi itu semakin bersemangat meskipun di hujung wilayah batinnya ada tanah resah yang terbenam. Masakan tidak? Kerana kau tidak begitu bersetuju dengan caranya. Dengan kata lain, kau tidak mahu menolongnya.
“Kau gila ke? Kau tahu aku ini penangkap buaya di air, bukan buaya di darat!”
“Betul, aku tak nafikan. Tapi kita perlukan taktik seperti itu!” tekan Aliman.
“Maksudmu?”
“Umpannya mesti busuk juga. Kau telah memberitahu aku buaya tak makan mangsa, ia telan. Oleh itu, kita berumpankan ayam yang busuk.”
“Siapa yang jadi umpan busuk?”
Dugaanmu terjawab, apabila Aliman menyahut, “Aku sendiri. Kerana aku ‘busuk’. Aku menjadi ‘busuk’ kerana Jufri. Biar dia rasa bagaimana abang perempuan yang dicekutnya dan dipermainkan ini mengajar dia nanti. Tapi aku perlukan pertolongan kau. Aku tak boleh melakukannya seorang diri.”
Nama ‘Rina’ seolah-olah menyalakan semula jiwanya. Kau melihat satu peninju yang sudah disediakan, seolah-olah mahu menumbangkan Jufri dengan beberapa penumbuknya.
“Apa perananku?” sengaja kaumenduga.
Aliman hanya tersenyum. Ada semacam kelegaan bertunas. Kepuasan pada jiwa tidak sukar diterjemahkan dengan kata-kata yang terhambur keluar juga sudahnya. “Setelah umpan ini memperdayakan dia tentang ada ayam muda yang hendak berkenalan dengannya, di sebatang lorong belakang, kau sama-sama tolong aku membelasah dia. Dia itu besar gagah. Tapi aku percaya kau dan aku boleh mengatasinya.”
Kaumengetap-ngetap bibir. Menggeleng-geleng. Satu tanda yang cukup terang kau tetap tidak bersetuju. Aliman cuba mengemis pengertianmu bahawa buaya darat bernama Jufri yang licik harus diajar seperti buaya di air yang perlu ditangkap dan dinyahkan dari muka bumi ini.
Kau tahu pada tahap itu, Aliman sebenarnya resah. Malam Khamis dalam restoran yang dingin itu dia berpeluh, dipanaskan oleh api dendam. Sebenarnya Aliman telah lama menanam benih kemarahan sejak adiknya yang tersayang, Rina dipermainkan si mata keranjang itu. Dan benih tu semakin lama semakin subur, membesar hingga menjadi pokok kebencian. Pokok yang pada pandangan kau harus ditebang. Ditebang buat selama-lamanya. Jangan berakar lagi. Kalau tidak, amat buruk padahnya. Silap hari bulan, Jufri boleh menjadi mangsa bunuh. Dan Aliman dicap pembunuh yang tali gantung saja layaknya. Dan kau pula, boleh dituduh bersubahat yang tak boleh diampun.
Dengan berani, kau menekan panjang lebar dan bernada keras, “Aliman, apa kurangnya dengan kau? Kalau dia buaya yang lapar dan ganas, kau juga sama. Kalau tak kena adik kesayangan kau sendiri, kau tak akan sedar. Kau sudah lupa betapa banyak betina yang telah kautelan. Kau memang busuk! Busuk!! Kalau kau nak teruskan dengan rancangan dan niat jahat kau ini, kaubuatlah. Tapi jangan panggil aku saudaramu! Keturunan datuk nenek kita sebelah ayahku dan ayahmu bukan keturunan orang jahat-jahat. Bumi yang kita pijak, ada undang-undang.”
Aliman tidak bersuara sepatah pun. Yang dibahasakannya hanyalah dengan beliakan biji matanya sampai kau yang duduk bertentangan dengannya di meja bundar di satu sudut restoran agak terkejut. Apakah penumbuknya akan singgah di muka kau sebelum menyinggah di muka buaya darat bernama Jufri itu nanti?
Tetapi kau tidak gentar. Kaumenambah, “Kau tanyalah diri kau sendiri. Kau nak pulang menghadap Tuhan dengan keadaan suci bersih atau dengan keadaan kotor dan busuk berlumuran dosa yang besar?”
Aliman diam lagi. Dia tunduk. Penumbuknya tak tergenggam erat-erat lagi. Malam yang dingin itu terasa tidak dingin lagi. Ia bagaikan dihangatkan oleh suasana tegang. Dalam perjalanan pulang untuk bermalam di rumah Aliman, kau berdua tidak banyak bercakap. Masing-masing melayan diri sendiri.
Di Pekan Mawar kau sibuk. Kembali sibuk menangkap buaya di Sungai Endau, atas permintaan penduduk di sebuah desa kerana dua orang penduduk tua di situ telah menjadi korban binatang buas itu.
Dalam bilik kau yang bermandikan cahaya lampu 40 wat, kaupasangkan komputer riba. Kaubuka kotak e-mel. Banyak penghantarnya. Satu-satu kautatal dengan kursor. Mata kauberlari dengan cepat. Tiada satu yang kau utamakan, kecuali daripada seorang pengirim yang telah lama tidak kaumendengar khabar berita - tidak lain daripada Aliman!
E-mel Aliman kaubaca penuh minat, seolah-olah melepaskan rindu:
“Saudaraku, Johar. Buaya darat itu sudah menjadi buaya yang alim. Jufri telah menjalani pemindahan jantung beberapa minggu setelah kaumeninggalkan Kota Suria. Kini dia sudah menjadi macam malaikat. Tangan sentiasa memegang tasbih. Mulut sentiasa berkumat-kamit dan tidak putus-putus menyebut Allah dan Rasul. Kaki selalu berpijak di rumah suci. Apakah penerima jantung baru seorang penderma yang beriman menjadikan dia beriman juga? Atau suatu kebetulan? Sila baca petikan laporan dalam bahasa Inggeris ini yang aku dapati daripada sebuah jurnal sains:
“Scientists have documented more than 100 cases of transplant patients taking some of the personality traits of the organ donors.”
Kau hanya tersenyum sinis, lalu membalas dan menamatkan ayat terakhir e-mel sebelum kauhantar kepada Aliman, berbunyi:
“Apa pun, ini tidak penting. Yang penting, apakah kau juga perlu menjalani pemindahan jantung daripada penderma jantung seorang yang beriman agar keperibadian kau berubah daripada yang buruk kepada yang baik? Atau apakah kau mahu terus menjadi buaya dan ditangkap penangkap buaya yang lebih hebat. Lebih tepat, lebih dahsyat. Maaf, jika bahasa aku kasar lagi keras dan tidak menyenangkan. Aku tahu teguranku seperti ubat yang amat pahit, tapi perlu ditelan untuk menyembuhkan penyakit. Hapuskan penyakit busuk itu. Ingatlah, umur semakin meningkat dan hayat semakin singkat. Sebelum terlambat, dapatkan umur yang berkat. Assalamualaikum.”
E-mel kau berbalas pendek. Aliman berterima kasih atas teguran kau. Dia akhiri juga dengan salam mesra. Selepas itu kotak e-mel kau tidak lagi didatangi berita daripada Aliman. Agak lama juga.
Dalam diam tetapi tidak diam kaumendengar berita Aliman meninggal dunia di Tanah Suci. Dan kebetulan juga kau sama-sama menunaikan ibadah haji musim haji tahun ini, tetapi dalam rombongan pakej haji yang berlainan. Senyap-senyap dia telah menyahut panggilan Kaabah.
Di sebuah bilik hotel di Tanah Suci setelah kembali dari Mina pada hari raya pertama Aidil Adha, kau teringat dengan jelas dan penuh keterharuan teguran kau kepada sepupu kau tempoh waktu untuk membuat satu pilihan yang berbunyi: “Kau nak pulang menghadap Tuhan dengan keadaan suci bersih atau dengan keadaan kotor dan busuk berlumuran dosa yang besar?”
Maha Suci Allah! Kau mampu tersenyum kesyukuran berbaur keterharuan dalam air mata yang kini masih tersisa di Tanah Suci. Penuh kesyukuran dan keterharuan kerana Aliman telah membuat pilihan yang tepat.
INFO: Penulis
PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang
penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenangi nya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional
dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai
(1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.
Berita Harian
Labels: Peter Augustine Goh

