Sebidang Tilam

Sebidang Tilam
Oleh A Rahman CM

2010/05/15

RAHIM memandang wajah anaknya Abdul yang sedang membuka surat di kerusi di hadapannya. Isterinya Tina juga menumpukan perhatian pada wajah Abdul yang kelihatan seperti ragu-ragu untuk membuka surat yang baharu diterima daripada posmen itu.

Akhirnya surat itu muncul juga di tangan Abdul. Dia menatap. Tidak lama. Kepalanya melayah ke belakang, lalu Abdul bersandar pada kusyen. Seluruh raut wajahnya menggambarkan satu kekecewaan yang berat.
Rahim berdiri lalu mencapai surat yang terkulai di tangan Abdul anaknya itu. Dia balik duduk di sebelah isterinya. Dia membuka surat itu. Tina ikut memandang surat itu. Lalu kemudian wajah keduanya memandang pada Abdul.
Mata Rahim luas pada wajah Abdul. Tina cuma berwajah kering seperti Abdul menunjukkan kekecewaannya.

“Dah berapa kali kamu temu duga?” Tanya Rahim. Matanya tetap luas pada wajah Abdul.

Abdul tidak menjawab.

“Bedulull!” Suara Rahim sedikit tinggi.
Abdul memandang wajah ayahnya.

“Ayah tanya, dah berapa kali kamu temu duga?”

“Lima kali,” desis Abdul.

“Lima kali?” Badan Rahim terdorong ke hadapan.

Abdul mengangguk.

“Ini saja jawapan mereka, maaf, tuan tidak berjaya, begitu?”

Abdul mengangguk lagi.

Tina memandang wajah suaminya di sisi. Lama.

“Apa kena dengan kamu?”

Abdul tunduk. Dia kelu.

Rahim menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mustahil kamu tak layak. Tentu ada silap di mana-mana dalam masa kamu ditemu duga.”

Abdul tunduk terus. Dia jadi bisu.

“Macam mana rambut kamu masa temu duga?” Tanya Rahim.

“Biasalah ayah.”

“Biasa, kamu sikat tak?”

“Sikat.”

“Pakaian kamu?”

“Biasalah ayah.”

“Cakap kamu. Ada kamu beri salam ketika masuk bilik temu duga?”

“Ada?”

“Kamu duduk sebelum di suruh duduk?”

“Tidak.”

“Sikap kamu macam mana?”

Tina memandang anaknya Abdul agak seketika yang sedang menghadapi temu duga daripada suaminya. Kemudian wajahnya balik pada suaminya. Dia rasa sesuatu yang lain penerimaan suaminya hari itu terhadap kegagalan anaknya dalam temu duga untuk memasuki maktab perguruan.

“Maksud ayah?”

“Yalah! Penemuduga tu memerhati seluruh badan kamu, wajah kamu, cara kamu bercakap, cara kamu bergerak. Ada kamu tunjuk sikap kurang ajar kamu di hadapan mereka?” Wajah Rahim kering pada wajah anaknya itu.

“Tidak. Saya hormat. Suara saya perlahan sekadar cukup mereka dengar.”

Rahim menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia kemudian menoleh pada Tina isterinya di sebelah. Agak sejurus dia memandang anaknya di hadapan.

“Ini tentu ada silap kamu di mana-mana, Bedul. Pergi ambil semua sijil kamu, ayah nak tengok,” kata Rahim.

Rahim berdiri. Dia berlalu ke dalam.

“Dulu Bedul temu duga askar, gagal. Sedangkan dia layak. Lepas tu temu duga kerani, gagal juga. Temu duga polis, gagal. Temu duga bomba, gagal juga. Ini yang kelima. Gagal lagi. Dia sudah lulus peperiksaan bertulis untuk masuk maktab perguruan tu. Tapi gagal juga. Apa cerita?” Wajahnya pada wajah Tina.

Tina tidak tahu untuk menjawab.

Abdul datang dengan sebuah fail. Dia serahkan fail itu kepada ayahnya. Dia balik duduk pada kerusinya di hadapan ayahnya.

Rahim membuka fail anaknya. Dia capai Sijil Rendah Pelajaran (SRP) Abdul. Dia menatap sijil itu. Tidak ada cacat di mana-mana. Rahim simpan. Dia capai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Abdul. Rahim renung butiran dalam sijil itu. Tidak ada cacat apa-apa. Bahasa Melayu B, Bahasa Inggeris B, Fizik A. Matematik A, Kimia B, Agama Islam A, Biologi B, Matematik Tambahan C, Prinsip Akaun A dan Sejarah A.

Lama mata Rahim merenung sijil itu. Dia puas hati terhadap sijil itu. Rahim membiarkan Tina mencapai sijil itu. Agak sejurus kemudian Rahim mencapai Sijil Berhenti Sekolah (SBS) Abdul pula. Dia teliti fasal demi fasal. Elok dengan kegiatan ko-korikulumnya. Tetapi tiba-tiba matanya luas apabila sampai pada ruangan kelakuan pelajar. Mata Rahim luas memandang tulisan ‘Hampir Baik’ yang tertulis di ruangan itu.

“Hahhhh!” Rahim merengus. Dia memandang wajah anaknya Abdul yang juga sedang memandang padanya itu.

Tina di sebelah Rahim terkejut. Dia lalu menatap wajah suaminya itu. Dia nampak suaminya itu memamah giginya sendiri.

“Apa yang kamu buat di sekolah?” Tinggi suara Rahim.

Abdul tunduk.

“Ayah tanya Bedul?”

Abdul jadi batu.

“Bedullll! Apa yang kamu buat di sekolah?”

“Ta...ta...tak ada apa-apa. Biasa saja.”

“Mana boleh. Ini puncanya kamu gagal dalam lima kali temu duga itu,” kata Rahim sambil mengangkat SBS Abdul.

Abdul tunduk. Ia jadi kayu pula.

Tina mencapai SBS Abdul dari tangan suaminya.

“Kelakuan anak awak tidak baik. Cuma hampir baik. Temu dugalah seratus kali untuk jawatan apapun, dia tak akan berjaya. Tidak ada majikan yang akan mengambil calon pekerja yang kelakuannya tidak baik,” kata Rahim. Dia bersandar pada kusyen.

Tina memandang wajah anaknya Abdul di hadapannya.

“Saya nak jumpa pengetua sekolah Bedul. Kamu ikut, Bedul” kata Rahim. Dia terus berdiri.

“Saya ikut,” Tina ikut berdiri.

“Awak ikut buat apa?”

“Bedul anak saya. Nak juga saya tahu hal Bedul di sekolah.”

Rahim merengus.

“Abang tu panas baran. Nanti abang mengamuk di sekolah tu. Tak pasal-pasal abang masuk lokap polis nanti,” kata Tina pula.

Bedul yang masih di kerusi kaku.

“Kenapa kamu Bedul?” Bulat mata Rahim pada wajah Abdul.
Abdul jadi tunggul.

“Kamu kena ikut ayah ke sekolah kamu. Faham?” Tinggi suara Rahim.

Rahim berdiri. Tina ke biliknya menghias diri secara sederhana. Dia kemudian meluru keluar membuntuti suaminya yang menarik tangan Abdul keluar rumah.

Sampai di hadapan pintu pagar sekolah, mereka dibenarkan masuk oleh jaga yang bertugas, tetapi terpaksa berjalan kaki. Kereta mesti ditinggalkan di luar pagar sekolah. Hanya kereta dari Jabatan Pelajaran sahaja yang boleh masuk ke dalam kawasan sekolah. Pelawat-pelawat biasa lain mesti masuk dengan berjalan kaki.

Mereka kemudian berhadapan dengan pengetua setelah menunggu beberapa minit kerana pengetua ada hal dengan seorang guru.

Pengetua menjeling pada Abdul. Dia kenal. Kemudian dia senyum pada Rahim.
“Ada apa-apa boleh saya bantu, Encik Rahim?” Tanya Pengetua. Dia bersandar.

Rahim tidak segera membuka mulut. Dia mengunjukkan SBS Abdul ke hadapan Pengetua yang segera dicapai oleh Pengetua.

Pengetua memandang sejurus pada SBS Abdul. Dia senyum. Kemudian dia memandang wajah Rahim.

“Saya nakkan penjelasan kenapa ruangan kelakuan anak saya ini ditulis ‘Hamir Baik’?”

“Penjelasan akan diberikan oleh guru disiplin, warden asrama dan ustazah. Boleh Encik Rahim sabar. Saya akan panggil mereka,” jawab Pengetua.

Abdul memandang kakinya sendiri. Wajah di hadapannya itu pernah merotannya di khalayak murid semasa perhimpunan.

Pengetua mengangkat intercall. Dia memberitahu kerani yang menjawab supaya menjemput Cikgu Samad, Cikgu Syukur, Cikgu Zaini dan Ustazah Ramlah. Pengetua kemudian meletakkan intercall. Dia balik memandang Rahim.

“Lima kali anak saya ini alami temu duga, tetapi gagal. Saya rasa sijil itulah puncanya,” kata Rahim.

“Kami tulis berdasarkan kelakuan pelajar kami di sini,” kata Pengetua.

“Apa salah anak saya, tuan?” Tanya Tina.

“Ia melebihi kesalahan biasa. Ada bersifat peribadi. Ada melibatkan guru dan ada yang melibatkan sekolah. Kami tidak kisah kalau ia hanya melibatkan peribadi. Kerana hal peribadi itu bergantung dirinya dengan Allah,” kata Pengetua.

“Tetapi anak saya bijak. SPMnya baik,” kata Rahim.

“Akademik yang baik tidak mencerminkan kelakuannya juga baik. Ada yang dapat 10A pun berkelakuan macam samseng di sekolah. Dan kami tidak akan kompromi kalau kelakuan pelajar melibatkan orang lain atau sekolah,” kata Pengetua.

Cikgu Samad, Cikgu Syukur dan Ustazah Ramlah masuk. Mereka serentak memberi salam. Mereka mencapai kerusi lalu duduk pada ruang agak ke belakang Pengetua.

“Encik Rahim, ayah Abdul ini hendakkan penjelasan kenapa kelakuan Abdul ditulis ‘Hampir Baik’,” kata Pengetua lalu menyerahkan SBS Abdul kepada Ustazah Ramlah.
Abdul terus tunduk.

“Untuk makluman Encik Rahim Abdul ini terlibat melakukan kesalahan terhadap gurunya sendiri,” Pengetua memandang wajah Rahim yang kering di hadapannya.

“Saya nak tahu,” kata Rahim.

Pengetua mengangguk.

“Saya guru disiplin,” kata Cikgu Samad. Dia memandang Rahim dan Abdul bergilir-gilir.

Mata Rahim pada wajah Cikgu Samad.

“Abdul pernah tunjukkan buku lucah kepada guru sejarah yang masih gadis,” kata Cikgu Samad.

Seperti spring wajah Rahim ke kepala anaknya yang tunduk.

“Itu kesalahan melibatkan orang lain,” kata Pengetua.

Rahim memamah giginya sendiri.

“Abdul pernah curi tilam asrama,” kata Cikgu Syukur warden asrama.
Mata Rahim bulat pula pada kepala anaknya yang tunduk.

“Itu kesalahan melibatkan sekolah,” kata Pengetua.

Rahim memamah giginya lagi. Tangannya kedua-dua belah bergerak-gerak. Mujur ada Tina di tengah-tengah antaranya dengan Abdul. Dia kemudian dengan wajah kering memandang Pengetua.

“Tentang dia merokok, itu hal peribadi dia, kami tak kisah. Malah ada kes-kes gaduh dengan pelajar lain, kami selesaikan.” kata Pengetua lagi.

Sejak Tina mendengar suara Cikgu Samad yang mengatakan anaknya Abdul pernah menunjukkan buku lucah pada guru sejarahnya yang masih gadis tadi, Tina menundukkan kepalanya. Dan kepala itu terus tunduk. Dia terasa seperti mukanya disimbah dengan najis oleh anaknya sendiri.

“Lalu macam mana tuan, tak boleh ke sijil itu diganti?”

“Boleh. Tapi Abdul kena hantar balik tilam asrama. Kedua dia mesti mohon maaf dengan Cikgu Zaini, guru sejarahnya yang dia tunjukkan buku lucah itu. Itu saja. Kami sudah hukum dia sebagai kesalahan disiplin. Tetapi Abdul belum minta maaf dengan gurunya itu,” jawab Pengetua.

Rahim berdiri. Dia ke belakang Abdul.

Tina ikut berdiri. Dia memegang bahu suaminya.

“Encik Rahim, ini pejabat saya. Jangan berlaku apa-apa di sini,” kata Pengetua.
“Tak, tak, tak ada. Saya cuma nak tanya Bedul.”

Abdul yang seperti batu itu tegak menghadap ayahnya.

“Benar apa yang cikgu kamu sebut tadi?” Agak tinggi suara Rahim.
Abdul hanya mampu menganggukkan kepalanya.

Rahim mengangkat tangan kanannya tetapi segera dipegang oleh Tina. Tangan kirinya kemudian menunjal bahu Abdul mengarahkan Abdul duduk. Rahim menahan perasaan mengkalnya lalu balik pada kerusinya.

Agak sejurus masuk Cikgu Zaini. Dia beri salam. Semua menjawab salam. Dia memandang pada Tina. Dia kenal. Cikgu Zaini lalu ke sisi Tina. Dia hulurkan tangannya ke hadapan Tina. Mereka bersalam. Tina memandang Cikgu Zaini. Lama wajahnya pada Cikgu Zaini. Ya Alahhhh! Malu aku. Tina kenal Cikgu Zaini, anak saudara Datin Rugayah jirannya. Tangan mereka berpisah. Cikgu Zaini kemudian ke sisi Ustazah Ramlah.

“Ini Cikgu Zaini, macam mana Abdul?” Tanya Pengetua.

Abdul mendongak. Ada air mata pada kelopak matanya.

“Bolek kamu minta maaf?” Tanya Pengetua lagi.

Abdul kaku. Wajahnya kering tetapi air matanya kemudian laju mengalir. Lambat-lambat dia tegak.

“Tak apalah Cikgu. Saya dah maafkan dia. Cuma saya nak tanya dia,” kata Cikgu Zaini.

Rahim dengan Tina seperti hilang akal. Rahim memandang bergilir-gilir guru di hadapannya termasuk Pengetua.

Abdul memandang wajah Cikgu Zaini.

“Kamu dah taubat?” Tanya Cikgu Zaini.

“Yaaa! Cikgu,” desis Abdul.

“Baguslah. Boleh kamu terus terang dengan cikgu,” kata Cikgu Zaini lagi.

Abdul menanti.

“Kamu sembahyang tak?”

Abdul menggelengkan kepalanya.

“Taubat apa kalau tak sembahyang,” sampuk Ustazah Ramlah.

Rahim balik tunduk. Tina merasakan mukanya disimbah najis lagi.

“Tak apalah. Itu soal peribadi Abdul,” kata Pengetua. “Hal dia dengan Cikgu Zaini dah selesai. Sekarang hal dia dengan sekolah. Boleh kamu hantar balik tilam asrama?” Tanya Pengetua.
Abdul mengangguk.

“Selesai Encik Rahim, nanti apabila Abdul hantar balik tilam asrama seperti asalnya, sijil ini saya akan koyak dan ganti yang baru dengan memasukkan ‘Baik’ pada ruangan kelakuannya,” kata Pengetua. Matanya berseri pada wajah Rahim.

“Malu aku. Maluuuuu!” kata Rahim berkali-kali semasa memandu pulang.
Tina menepuk-nepuk badan Rahim.

Sampai di rumah, sebaik sahaja keluar dari kereta, Rahim menendang badan Abdul hingga Abdul mencium tanah.

“Dah terlambat abang nak ajar dia,” kata Tina. “Sepatutnya masa dia kena rotan di hadapan murid-murid dalam perhimpunan sekolah dulu kerana merokok, abang tampar dia. Abang lupa apa yang abang buat? “ Sambung Tina.
Mata Rahim bulat pada wajah isterinya.

“Abang jumpa Cik Samad di kedai kopi, abang marahkan cikgu tu.”

Rahim memandang sayu pada wajah Tina.

“Cikgu tu jawab selamba. Saya ingat jawab Cikgu Samad, anak encik nak merokok satu dos pun saya peduli apa, tetapi jangan merokok di sekolah. Malah kalau anak encik hisap dadah pun saya tidak peduli, tetapi jangan di sekolah. Abang lupa? Abang marah dan hendak menerkam Cikgu tu, mujur ada orang ramai,” kata Tina.

Rahim terduduk.

“Satu lagi abang lupa. Abang izinkan Bedul bawa kereta dulu, konon nak ambil tilam di rumah kawan. Bedul tak ada lesen memandu. Mujur tak ditahan oleh polis. Kalau tak dengan abang sekali ke lokap polis,” kata Tina lagi.
Giliran Rahim jadi batu.

“Abang tahu tak, langkah abang itu mendidik anak melanggar undang-undang negara. Masa itu saya tertanya-tanya, abang nak jadikan apa Bedul ini. Tapi tak berani saya bersuara,” kata Tina lagi.

Mereka ke kamar Abdul. Tina melihat Abdul menepuk-nepuk tilam asrama itu. Tina terharu.

“Tilam itu dah koyak Bedul. Kita gantikan yang baru,” kata Tina.

Dan esoknya, pagi-pagi Rahim dengan Abdul ke sekolah membawa tilam baru.

INFO: A Raahman CM

NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960-an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

Suria Masih Menanti

Suria Masih Menanti
Oleh Peter Augustine Goh

2010/04/10

TAHUKAH anda pantun dua kerat itu mengingatkan saya pada air jernih yang kerap kali tumpah dari kolam mata ibu? Betapa air mata itu mencucuh lalu mengalir deras di tebing pipi ibu saya yang kedut. Pantun ibu itu walaupun pendek, meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup saya sampai kini. Berkesan, kerana pernah suatu masa dahulu ( 3 tahun sudah), saya tanpa sengaja seperti mentertawakannya. Dan tanpa berkurang ajar sedikit pun, ucapan terlontar dari bibir saya, “Jangan terbawa-bawa, mak. Sudah setahun. Redalah. Tuhan lebih menyayangi ayah. Kalau mak sakit, mak juga yang susah nanti.”

Ibu meningkah pilu, “Kau mana tahu.” Diikuti dengan terharu, pantun dua kerat yang sayu.
Dan kini bila terkena batang hidung sendiri, saya terdiam macam orang bodoh. Malah, lebih kelihatan kebodoh-bodohan daripada ibu. Terasa saya diketawakan penuh sinis.
Oh, bagaimana dapat saya melupakannya. Kata-kata keramat dalam pantun itu ada benarnya. Sedikit pun tidak ada yang tidak benarnya. Semuanya ada kaitan dengan seorang wanita. Wanita kesayangan saya bernama Suria.

(ii)
“SUDAH dua tahun kita tak berjumpa, Suria.”

“ Ya, terasa begitu lama. Ke mana kaumenghilang? Jangan-jangan dalam dua tahun itu, kau ada mata air baru. Betul kan?” ucap Suria dengan nada suara yang halus mersik.
“Tak benar, Suria. Kaulah satu-satunya dalam hidupku. Aku menangis dan ketawa untuk kau saja, manis. Tak percaya tanya ibu.”

Suria tunduk malu, tersenyum manis bunga cengkih. Dia tahu ibu saya tak pernah berbohong. Tapi matanya ketika itu terpejam sambil mengunyah makanan di restoran Cina Islam itu.

“Mengapa kaupejamkan mata? Agak lama pula tu.”

Dengan mata masih terpejam, Suria menyahut satu-satu, “Apabila kita pejamkan mata, khayalan kita seolah-olah lebih jelas. Dengan mata terkatup, makanan dalam mulut kita lebih nikmat.”

Saya tertawa. Dan dia melihat saya masih tertawa. “Ada-ada saja kau ni, Suria. Sesungguhnya makanan di sini memang lazat. Kalau tidak, masakan restoran ini adalah antara yang terbaik di kota ini.”

Memandangkan saya berbuat sedemikian, Suria menanya dan sekali gus menduga saya pula, “Aliman, mengapa kaupejamkan mata sambil ketawa?”

“Apabila aku memejamkan mata, idamanku untuk melamar kau sebagai tunangku lebih jelas lagi. Dan dengan mata terkatup, ketawaku lebih puas. Dan aku pasti, apa yang aku fikirkan paling indah dalam dunia ini terletak pada perkara-perkara yang tidak nampak. Dan tidak nampak itu akan menjadi nampak jika kau terima lamaranku. Bagaimana?”

Pada tahap ini, mungkin anda mentertawakan saya kerana cuba berfalsafah. Dan saya akan membuat anda berhenti ketawakan saya dan menghadiahi anda bunga pertanyaan. Apakah benar falsafah saya itu berkembang dan harum hingga dipetik Suria ketika itu? Jawapannya tentulah ‘ya’. Selepas setahun mengikat tali pertunangan, Suria akan menjadi isteri saya.

(iii)
IBU dan ayah sempat melihat puteranya yang berusia 30 tahun ketika itu bertunang. Tetapi di tengah-tengah kebahagiaan saya menjunjung piala pertunangan, ayah telah kembali menyahut panggilan Ilahi kerana sakit jantung.

Innalillahi wainnailaihi rajiun. Siang malam ibu kaya dengan air mata. Dan saya pula tidak lokek memberikannya nasihat. Nasihat supaya ibu reda saja kepada Allah. Barang yang lepas jangan dikenang. Kalau tidak, nanti merana diri.

(iv)
KATA orang malang tidak berbau. Dan saya sedikit pun tidak menafikannya. Kerana tidak dapat bau busuknya hati Abu Bakarlah maka saya telah diberkas kerana kesalahan dadah. 80 biji pil ecstasy telah menendang saya ke penjara.
Senang saja hakim menjatuhi saya hukuman. Dari mulutnya selepas perbicaraan beberapa hari itu, tercatat dengan rasmi dalam rekod mahkamah rendah - lima tahun penjara dan 10 kali sebatan.

Ya Allah! Apalah dosa saya sampai boleh terperangkap dalam hati busuk Abu Bakar yang tak berbau itu? Saya tak pasti. Tapi apa yang amat pasti, semasa di penjara reman, tunang saya, lebih tepat bakal isteri saya dan sekali-sekali ibu saya yang uzur melawat saya. Begitu setia Suria. Kesetiaannya begitu menebal hingga rela dan sanggup menanti dengan sabar akan rayuan saya didengar di atas kes saya yang berat itu.

(v)
Berani kerana benar. Itulah saya. Suria telah sama-sama membelanjakan banyak wang untuk mendapatkan khidmat peguam. Peguam bela berbangsa Sikh dalam kes rayuan saya itu menyanggah keterangan saksi pendakwa, kenalan saya, Abu Bakar.

Ya, dia menyanggah habis-habisan yang saya bukan pembekal dadah kepada Abu Bakar. Memang saya telah diberkas oleh sekumpulan ahli narkotik di sebuah pusat penjaja yang ketika itu sedang membawa sebuah beg plastik mengandungi pil jahanam itu. Tetapi tiada sebiji pil pun dijumpai pada tubuh saya atau di rumah saya. Ujian air kencing pun tidak berani menderhaka kepada saya. Masakan berani, kerana saya tidak pernah berjinak-jinak dengan apa jenis dadah sekalipun. Apatah lagi menghisap rokok.

Abu Bakar keterlaluan. Dia benar-benar telah membakar hangus sebuah persahabatan hingga menjadi abu ketidaksenangan. Hatinya terbakar kerana saya dituduhnya merampas Suria daripadanya. Padahal dia sendiri telah menodai kasih Suria. Siapa mahukan seorang lelaki kaki botol dan kaki judi sebagai suami? Juga kaki pukul dan kaki hisap dadah? Saya telah menyelamatkan Suria daripada sungai suasana yang keruh.

Peguam bela saya telah melawan kes hingga ke akhir. Dia benar-benar mendebatkan bahawa testimoni saksi pendakwaan bernama Abu Bakar itu tidak konsisten. Sudah tentulah kewibawaannya tergugat dan dipersoalkan. Saksi tunggal (hanya saya saja yang tahu Abu Bakarlah yang telah memasukkan pil-pil jahanam itu ke dalam beg plastik) mempunyai motif untuk membohongi mahkamah kerana dia hendak mendapatkan hukuman yang lebih ringan untuk dirinya sendiri.

Saya berani bersumpah dengan nama Allah SWT yang saya telah bertemu dengan Abu Bakar di pusat penjaja pada suatu malam Ahad itu kerana hendak mengambil balik wang sebanyak $300/- daripada dia yang telah saya pinjamkan kepadanya tiga bulan sebelumnya.

Maha Suci Allah. Dia telah membuka mata hati hakim. Hakim berbangsa Cina itu menyesali akan pihak pendakwa raya yang tidak mengemukakan kenyataan objektif seperti teks pesanan ringkas saya dengan Abu Bakar atau bekas cap jari di beg plastik yang mengandungi barang kes penting itu.

Allahuakbar! Saya di pihak yang benar. Hakim yang mendengarkan kes rayuan itu bersetuju dengan hujah peguam bela saya yang dalam lingkungan usia 40-an tahun. Hakim yang bijaksana lagi adil juga berpendapat cerita saya adalah sesuatu yang wajar dan konsisten semasa pemeriksaan balas.

Dengan cerita dan hujah peguam bela saya itu, saya dibebaskan daripada hukuman yang dikenakan ke atas saya sebelum itu.

Saya tidak mahu bercerita panjang lagi akan Abu Bakar. Saya tidak bermusuh dengan dia walaupun dalam erti kata sebenarnya, dia telah menganiayai saya.
Juga saya tidak membencinya sebagai manusia. Kerana membenci seseorang itu samalah seperti membenci satu ciptaan Tuhan yang mulia. Apa yang saya tidak senangi ialah sifatnya amat bercanggah sebagai satu ciptaan Tuhan yang sempurna itu. Tidak lebih daripada itu.

Abu Bakar telah menunjukkan betapa orang yang tidak jujur, lidahnya juga berbelit-belit hingga apa yang dihujahnya tidak lurus. Dia juga lupa doa seorang yang dizalimi amat dimakbulkan Tuhan. Saya mendapat tahu kemudiannya, Abu Bakar telah diserang angin ahmar dan mulutnya herot. Badannya mati sebelah.

Seperti saya katakan tadi, saya tidak pernah bermusuh dan mendendaminya. Saya doakan dia sembuh dan kembali bertaubat sebelum terlambat. Dia juga ada ibu, bapa dan orang-orang yang disayanginya. Saya juga tahu perasaan orang-orang yang menyayanginya tentu remuk. Sedih bertali-temali. Sebusuk-busuknya darah daging sendiri, dimamah juga.

Tahukah anda, Suria telah bertepuk tangan dan menangis penuh kesyukuran dan kelegaan atas keputusan itu. Ibu lebih-lebih lagi.

(vi)
TIDAK lama setelah saya dibebaskan, ibu kembali ke Rahmatullah kerana sakit tua. Atau kerana terlalu rindukan ayah? Dan dia tidak sempat melihat saya mendirikan masjid dengan orang yang saya cintai. Tapi saya tidak pernah lupa rintihan hatinya.

“Kau mana tahu? Perasaan dan air mata seorang anak kepada bapa tak sama macam perasaan dan air mata seorang isteri kepada suami. Lebih-lebih lagi kalau suami itu adalah yang terbaik baginya.”

Tidak cukup dengan itu, ibu berpantun:

“Orang Cina orang Melayu,

Belum kena belum tahu.”

(vii)
TIDAK ada sakit, tidak ada sebarang penyakit. Dalam tidurnya yang lena, Suria menyahut panggilan Ilahi juga. Sudah suratan, dia turut berpulang setelah hampir setahun menjadi isteri saya.

Saya tidak dapat melupakan diri saya terasa diselubungi keharuman yang nyaman sekali apabila saya turun ke liang lahad untuk menolong mengalihkan muka Suria supaya menghadap kiblat. Itu tandanya malaikat-malaikat telah datang menyambut arwah.

Saya juga menghadiahkan surah Yassin kepada arwah Suria kerana saya tahu dengan iringan doa kuburnya selalu harum.

(viii)
KINI sudah hampir setahun Suria meninggalkan ‘pelabuhan usang’ ini. Dia telah lama belayar bersama-sama ibu dan arwah ayah saya. Tapi saya tetap di takah lama. Masih kaya dengan air mata seperti ibu kepada arwah ayah dulu.

Di dalam kamar tidur yang pernah saya kongsi bersama Suria menjunjung piala kasih sayang sebagai suami isteri, saya membiarkan angin 11.00 malam mengusap-usap muka saya yang bujur sirih. Dari mulut saya yang bergetar, terucap penuh keterharuan, “Benar mak. Kata mak dulu sedikit pun tidak ada yang tidak ada benarnya. Bukan saya tidak reda. Tapi tanpa diminta-minta, air jernih ini tetap juga mahu tumpah dari kolam mata. Hati pula begitu sayu sekali. Saya tak terdaya mengusirnya.”

Dalam hati saya pula berbisik. Khas untuk Suria, “Sayangku, abang tahu Suria masih terus menanti. Tidak cukup di dunia ketika abang ditimpa masalah berat itu, di Janatum-Naim pun Suria akan berbuat sedemikian. Insya-Allah!”

Terima kasih saya ucapkan kepada anda budiman kerana masih setia mendengar secebis kisah saya. Nilailah sendiri pantun dua kerat itu. Mudah-mudahan anda mendapat semacam iktibar juga. Selamat malam.

INFO

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenangi nya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003.

Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Sabtu, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris ditaip di atas kertas A4, langkau dua baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Nombor akaun Maybank atau CIMB perlu disertakan bagi urusan pembayaran honororium jika karya tersiar.

Pertama kali Itu

Pertama kali Itu
Oleh Fudzail

2010/04/03

Hari Keenam: (Dari Bab 25 Novel 'Wainuiomata' yang dalam proses pembikinan)

SUATU hari nanti, barangkali aku akan menoleh kembali pada satu hari musim luruh bulan April tahun 1983 dengan perasaan bercampur baur. Memori haru biru. Catatan pinggiran nostalgia yang tersimpan di sebuah cakera liut. Terutama kalau aku belum nyanyuk untuk bercerita sebuah biografi kepada anak-anak dan cucu-cucu. Kalau juga aku masih bernafas dan tidak dihantar ke rumah kebajikan orang-orang tua.

Selagi serebrum, serebellum dan batang otak berfungsi untuk menyimpan jutaan memori, tidak akan aku lupakan satu hari yang mengubah perspektif mengenai apa yang dikatakan ‘fear’ atau ketakutan. Mengubah tanggapan mengenai faktor-faktor luaran yang selama ini ditakuti kerana ia tidak diketahui. Banyak perkara yang menakutkan. Bermula dari kegelapan. Hantu. Ular-ular. Ketinggian. Kegagalan. Mati. Masa depan.
Ah! Juga cinta. Menakutkan kalau dalam prasangka dan pernah kegagalan. Aku mahu berdepan dengan ketakutan yang selalu menyebabkan aku mengundur. Tidak mengambil kesempatan dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaha. Melihat hidup dari satu pandangan sehala. Jalan yang selamat, sudah terbiasa dan diketahui tidak akan menggagalkan. Mahu membuat pelbagai advencer, tetapi sekadar advencer biasa-biasa sahaja. Bukan sesuatu yang memberi kejutan, yang membuatkan tunggang terbalik dan boleh menambahkan komplikasi.

Mesti berfikir secara lateral. Di luar lingkaran takutkan risiko. Takut tanpa justifikasi dan analisis kualitatif.

Aku memerlukan advencer penuh adrenalin, sebuah advencer luar biasa dalam advencer biasa-biasa. Menyemarak satu eksplorasi yang bermula dari satu idea. Idea yang juga bermula dengan kelucuan. Sangkaan awal, tidak mungkin sekali ianya menjadi realiti. Idea bodoh dan membodohkan.

Tepuk dada, tanya iman. Bolehkah, beranikah seorang budak Melayu Felda Keratong melakukannya. Sesuatu yang pertama dalam hidup. Sesuatu yang sebelum tiba di Queenstown, tidak langsung terfikirkan. Diluar imaginasi, ilusi, halunisasi dan mimpi-mimpi. Bagaimanapun, seperti kata Rozita dalam perbualan kami di atas kapal TSS Earnslaw di tengah-tengah tasik Wakatipu, “There is always a first time in life!”
Ya, akan selalu ada pertama kali dalam hidup ini. Pertama yang tidak semestinya terakhir kali. Pertama yang tidak semestinya juga berulangan sebagai satu kebiasaan. Tetapi tanpa pertama kali, sama ada pertama kali gagal atau pertama kali berjaya, dunia tidak mungkin akan seperti hari ini. Tiada kemajuan dalam apa bidang pun. Tiada teknologi yang menambah kemeriahan. Tiada keturunan berkembang dan tiada darah kacukan yang menjadikan dunia sejagat sebuah kampung manusia. Ya! There is always a first time !

“Aku telah berjaya melakukannya semalam dengan cemerlang, gemilang dan terbilang!”

Bangga, Park Jin-young, teman lelaki Sandra, yang berasal dari Korea itu memberitahuku di kantin asrama sewaktu sarapan pagi. Bersarapan roti bakar dengan jem. Lelaki Korea yang bercita-cita menjadi juruterbang itu mahu dipanggil sebagai Edward sahaja. Hanya aku dan Edward di meja makan. Rozita dan Sandra masih belum turun. Aku diperkenalkan dengan Edward dan Sandra sewaktu bertembung di ruang legar asrama petang semalamnya. Tubuh Edward kecil sahaja berbanding dengan aku, mungkin saiz badan orang Asia sebegitu, walau aku pernah melihat di kaca TV, orang Korea bersaiz pemain bola keranjang Amerika yang bertubuh besar dan sasa.

Dia lelaki Korea yang bangga kerana telah melakukan sesuatu yang aku budak Melayu Felda keratong masih teragak-agak dan was-was.

“Itulah perkara yang paling menyeronokkan dan menikmatkan yang pernah saya lakukan dalam hidup setakat ini. Kamu mesti melakukannya, sudah sampai masanya untuk kamu menghadapi dan menewaskan rasa takut!”

Aku tidak boleh membayangkan apa yang dikatakan oleh Edward. Tidak juga boleh merasakan keseronokan dan kenikmatan. Tidak pernah melakukannya. Kata-kata Edward bagai mencabar keseluruhan kejantanan dan kelakian seorang budak Melayu Felda Keratong. Cabaran yang mesti direalisasikan sebagai satu kejayaan, kejayaan untuk mengatasi dan menyahkan faktor ketakutan daripada membelenggu pergerakan. Membebaskan kongkongan psikologi yang mungkin menyebabkan pasukan bola sepak Malaysia masih sahaja corot walau sudah ada liga profesional.

“Sandra juga sama menikmati keseronokan, kamu dan Rozita juga mesti melakukannya. Ada pelbagai stail yang kamu boleh lakukan. Pilihannya, sama ada mahu atau tidak sahaja untuk melakukannya!”

Aku segera memikirkan baik dan buruk untuk melakukannya. Kesan, implikasi dan impak, sama ada dari segi jangka pendek atau panjang. Ianya bukan sesuatu yang menjadi budaya orang-orang Melayu. Seperti berdemonstrasi dan memprotes di tepi-tepi jalan.

Dalam usia 19 tahun, aku masih muda dan sihat. Tiada penyakit apa-apa. Mempunyai stamina yang baik. Mempunyai tahap daya tahan yang baik. Mempunyai kejantanan untuk menyambut cabaran Edward dan Sandra.

Hmm, bolehkah pula Rozita melakukannya? Sanggupkah dia? Bersetujukah dia untuk melakukannya pertama kali? Walhal kami hanya baru berkenalan.

“Keberanian, selain ada sedikit keperatusan gila! Buat sahaja keputusan, pejam mata dan lakukan terus. Tiada risiko apa-apa. Ianya satu perkara yang selamat dan menyihatkan jasmani dan rohani. Jangan terlalu banyak berfikir, nanti kamu boleh berubah fikiran dan mengundur diri. Merugikan kerana mungkin tiada peluang lain untuk melakukannya di sini!”

Sekali kata-kata Edward mengasak fikiran. Mengasak seluruh kewarasan dan keimanan.

“Kena pakai bahan perlindungan demi keselamatan, itu mesti sebagai perlindungan, tidak mahu pula kemuncak keseronokan menjadi fatal. Malang tidak berbau, yang berbau ialah ketakutan dan aku terbau itu daripada nafas kamu!”
Bersungguhan Edward meracun pemikiran dengan kata-kata yang terus terang. Tidak perlu berkias. Tidak perlu berpantun. Mesejnya jelas, aku budak Melayu Felda Keratong yang penakut.

Rangsangan daripada cerita keseronokan dan kenikmatan ‘pertama kali’ disahut oleh para setan dan iblis. Terus membisikkan kata-kata pujukan, menaikkan semangat dan melontarkan imej-imej seorang hero. Lebih berani daripada Hang Tuah yang menghilangkan kerana terlalu setia. Keputusan muktamad, aku berani untuk melakukannya dan bersedia untuk menjadi lebih berani setelah dapat menewaskan ‘rasa takut’, rasa gentar, rasa tidak yakin terhadap diri sendiri.

Rasa takut itu, legasi daripada budaya keturunan yang terlalu bersopan santun, lemah lembut, daripada sentimen penuh hipokrasi yang boleh menjadikan seorang budak Melayu Felda Keratong terus berada dalam kepompong kekampungan. Tiada anjakan pradigma, tidak berani merenangi samudera biru, hanya berani sebagai jaguh kampung. Di luar kampung, sekadar seekor tikus di makmal eksperimen.

Lantas, satu hari musim luruh pada bulan April tahun 1983, aku mahu melakukannya pertama kali. Biar apa sahaja akibat daripada tindakan tersebut. Aku berani untuk menghadapinya. Rozita juga nampak bersedia dengan keputusan itu.

“New Zealand adalah negara yang bebas, mana ada halal dan haram untuk melakukannya, kalau sudah berani dan cukup bersedia dari segi mental dan fizikal, semuanya BOLEH!”

Ya! Aku sudah bersedia. Memandang wajah Rozita yang nampak cemas. Panik.
Sungai Kawarau akan menjadi saksi kehebatan seorang budak jantan Melayu Felda Keratong dalam mempamerkan kejantanan kepada dunia, lihatlah dunia, aku sudah tidak takut untuk melakukannya. Akulah si jantan yang bakal menjelma secara magis sebagai lelaki dewasa di Queenstown, bukan lagi remaja Felda Keratong yang tidak pernah melakukannya.

Selalu ada pertama kali dalam hidup dan masanya telah tiba!
Ya! Pertama kali di Sungai Kawarau yang memungkinkan ulangan berkali-kali kerana aku telah menjadi seorang jantan. Tidak takut kepada cabaran, tidak takut kepada segala yang dulu menakutkan. Segalanya akan berubah, aku akan jadi seorang Melayu Baru.

Dalam kefanaan, terdengar jauh daripada sepasang tua warga Amerika yang sudah melakukannya berkali-kali dan menjadi begitu ‘fetish’, membuat laungan seperti bunyi jeritan Arab Badwi. Barangkali kata-kata menyuntik semangat. Barangkali mahu memberi sokongan padu. Aku tidak peduli lagi.
“Segalanya hanya dalam minda!”

Terdengar setan dan iblis sama memberi sorakan. Mengelilingi setiap ruang Queenstown yang terus indah berlatarbelakangkan The Remarkables dan Tasik Wakatipu. Tersergam dan mengancam.

“Relaks. Tarik nafas dalam-dalam. Pandanglah ke saujana pergunungan yang indah. Hanya 5 saat yang menyeronokkan. Bersedia. Lima. Empat. Tiga. Dua. Satu. Terjun!”

Dua saat berikutnya adalah letupan angin dari atas, menyilaukan kelajuan yang meluruhkan jantung. Terbang bergemuruh dan memekakkan, melayang dan terus meluncur ke bawah, seolah-olah disedut melalui penyedut vakum raksasa. Sedutan dari bawah yang menghantar klimaks ke persada otak.
Zoom!

Tiba-tiba perut meloyakan. Aku mahu termuntah. Membuka mata dan terbeliak.
Ironi sekali. Tidak bermimpi dan belum gila. Luas sekali ruang realiti yang tiba-tiba melegakan. Tiada lagi pertempuran adrenalin yang meratah urat saraf. Nah! Bila aku membuka mata, aku masih di situ. Di hujung platform papan yang bergoyang-goyang. Menggigil-gigil, menggeletar walau kaki sudah ditambat secukupnya mengikut piawaian keselamatan antarabangsa. Bagai sahaja mahu terbuang air kecil, kalau belum lagi seluar kebasahan dari jarak setinggi 45 meter atas jambatan Sungai Kawarau yang jernih mengalir.

Itulah pertama kali aku, budak Melayu Felda Keratong, benar-benar mencuba untuk terjunan bungee bersama ketawa yang memecahkan sejenak suspen, dalam percubaan paling spontan untuk memartabatkan bangsa di persada sukan terjunan bungee!

INFO:

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com

Kucing Berduri Kota & 8 1 0 0

Kucing Berduri Kota & 8 1 0 0
Oleh A Ghani Abdullah

2010/03/27

pix_gal0
MALAM makin pekat. Berjalan di antara pokok ke pokok. Merayap ke sungai, ke lautan, ke gunung-ganang. Menyusup ke rumah, ke ladang, ke bendang dan seluruh alam untuknya.

“Akan terlepaskah atau tertangkapkah?” sebuah suara terdengar dalam kegelapan malam itu.
Suara itu seperti seekor kucing berduri kota yang sering membesarkan-besarkan perkara kecil. Tujuan untuk melenyapkan pandangan kucing hutan yang dirinya tidak membunuh anak ayam desa.
Malam pekat macam minyak hitam tumpah di tanah. Macam permukaan sungai berbayang. Jalan tidak boleh dijangka bengkang-bengkoknya. Barangkali ada ular. Jangan terpijak!

Jika ada sedikit cahaya malam. Boleh nampak pokok bermacam-macam bentuk. Kucing bunuh tikus mondok. Kepala orang dibelit ular. Kucing ketayap tikus. Macam-macam cerita tanpa suara.

Langit mendung berduka, tetapi tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Ada tiupan angin sombong bagai orang sesat di tengah hutan. Takut ditimpa pokok tumbang. Takut melaung dibaham binatang buas. Takut tergetar hati disambar kilat petir.

Zic 9295 dalam rumah di ruang tetamu. Tubuh putih. Hanya memakai baju singlet tidak berlengan. Pakai seluar panjang merah berpetak kecil putih. Dia pandang tembok.
Tembok kaku bagai marah Zic 9295. Tembok memprotes tindak-tanduknya jahat dan kejam. Dia pembunuh. Mangsanya adalah orang-orang yang tidak berdosa.

“Terlepaskah aku atau tertangkapkah aku? Aku adalah kucing berduri kota yang membunuh anak-anak ayam desa.” Cik-cok gelodak jiwanya.

Tembok batu kelabu berdiri merenung nasib Zic 9295. Dia sepatutnya sudah lama ke penjara atau ke tali gantung. Tetapi serigala gearbok pun menyebelahi kucing berduri. Mereka punyai kuasa. Mereka menyebelahi Zic 9295. Mereka melindunginya.
Mereka suka etnik 8100 musnah. Mereka tidak suka etnik 8100 ada kepala dan agama yang terang. Serigala gearbok lagi zalim.

“Kucing berduri kota tidak suka 8100 membina empayar pendidikan. Bukankah 8100 memahami dan mendekati pencipta alam? Jadi kamu suka roh mereka kosong tentang pegangan agama? Tentang akalnya biar hilang hingga hidup seperti haiwan?” Tanya suara hati Zic 9295, seperti kucing berduri kota. Berkawan serigala gearbok.

“Ya, benarlah! Biar 1800 hapus. Kubunuh anak-anak ayam. Itu sebabnya perlu pembunuhan.” Jawab hati Zic 9295.

“Engkau sungguh kejam!” Zic 9295 menghukum diri. Macam kucing berduri kota puas selepas membunuh anak ayam.

Nasib Zic 9295 kena heret ke mahkamah atau tidak? Masih jadi tanda tanya. Kucing berduri kota bebas sebab keluarga ayam tidak punya senjata panah atau lastik. Apatah lagi peluru berpandu.

Zic 9295 melarikan diri. Dia tidak mahu dituduh membunuh walaupun dia membunuh 1800. Dia cemas dan cemas. Dia dalam ketakutan gelap hatinya.

Kepanasan siang padat mencengkam dan menggigit kalbu malam. Nasib malang anak ayam kampung. Mereka tidak dapat pembelaan. Tidur dalam rumah kotak. Reban dirobohkan orang. Dibunuh!

Di luar bangunan Zic 9295, ada hembusan angin kering lembut dan keras. Antara nyaman dan membosankan.

Zic 9295 membunuh manusia macam kucing membunuh anak ayam. Ribuan terkorban. Ribuan yang terseksa dan menderita. Zic 9295 berharap dia tidak ditangkap. Dia tidak mahu nyawanya diancam seperti serigala gearbok menangkap anak rusa.

Tidak ada hukuman akan dikenakan kepadanya. Bicara boleh. Bawa ke mahkamah boleh. Hukuman tidak akan terjadi. Itu perkiraannya.

Zic 9295 diburu dengan kenyataan putar-belitnya bahawa dia tidak bersalah. Dia tidak akan dikenakan hukuman.

Zic 9295 berambut putih. Hatinya pekat-likat hitam. Dia menipu hati tengkoraknya. Walaupun dia tahu perbuatannya salah tetapi kesalahannya bagai angin panas. Hanya meresahkan.

Zic 9295 membunuh orang. Tetapi dia tidak mengaku membunuh. Dia hanya mengarahkan askarnya membunuh. Manusia hanya anak ayam dan dirinya kucing berduri kota.

Itu fikirnya. Bagai lidah-lidah api membakar hangus manusia seperti seekor naga raksasa yang menyemburkan sungai api.

Sebuah helah meloyakan. Dia seorang pemimpin seperti Hitler suka berperang dan menyaksikan mayat bergelimpangan di sana-sini.

Zic 9295 membayangkan dirinya berada di sebuah mahkamah. Dia memakai cermin mata putih bulat besar berbingkai coklat kejernihan daun teh. Dia memakai tali leher merah limpa dengan baju putih berjalur. Baju kot merengkuh bahunya. Wajahnya wajah tua. Dia dilihat bertaring lekok di bawah bibirnya hingga ke dagu.

Kalau dia berada di mahkamah, dia seperti didatangi oleh etnik 8100. Kepalanya dipenggal dan lehernya dikelar. Dia mengelak dan kemudian ketawa. Dia menghilangkan ketakutan memburu darahnya. Otaknya berputar seperti lari dari muncung meriam yang dihalakan kepadanya.

Mata Zic 9295 menjeling hangus. Dalam hatinya tersimpan kesumat dan dendam jahat. Dia membunuh 8100 yang tidak berdosa. Dia melakukan pembunuhan. Tetapi dia menafikan. Berdolak-dalih.

Dia berlagak tegas. Dia menjulang tangan bahawa perbuatannya betul. Baginya membunuh satu kebaikan untuk keselamatan diri. Dia kucing berduri kota membunuh ribuan anak ayam. Apa salahnya?

“Pembunuhan itu rekaan? Bagaimana menjadi rekaan sedangkan 8100 benar-benar tidak bernyawa. Terbunuh. Menjadi mayat.” Bagai dia tahu akan pertanyaan hakim jenayah nanti. Dia takut juga.

“Alasan kamu terlalu mudah.” Kalau jawapan itu yang diberikan oleh pihak 8100, maka dia mesti lekas-lekas membantah.

“Aku mesti belajar daripada ular. Ditanya kenapa ular makan katak. Maka aku akan jawab: Memang makanan aku! Ha! Ha!” Ketawa Zic 9295 dengan kuat.

Zic 9295 terdiam seketika.

“Apa lagi yang perlu aku beritahu hakim jenayah perang bagi membohongi segala pertuduhan jenayah yang aku lakukan?” Bisik Zic kepada dirinya. Itu pun jika dia ditangkap.

Zic 9295 mengurut-ngurut dagunya tanpa janggut itu.

Dia hanya mengemutkan daging dalam mulut sebelah bawah dan atas bibirnya seperti orang tidak bergigi.

Zic 9295 membunuh. Dia memberi alasan licik. Dia mahu jadi seekor belut yang mudah melepaskan diri daripada pertuduhan atau tangkapan. Mengapa tidak?
Dirinya seorang ketua pemerintah. Dirinya punyai kuasa dan punyai rakan pembela. Dia kucing berduri kota boleh membunuh ribuan anak ayam desa. Macam serigala gearbok.

Tangan kanan Zic 9295 mendepa jari bagi menafikan pertuduhan. Dia macam peguam bela yang terkenal. Bijak membohongi fakta dan pandai memutarbelitkan hujah dan pertuduhan.

Wajah yang diburu oleh roh 8100.

Zic 9295 berkerut dahinya. Wajahnya bagai dikeringkan oleh bahang api di tugu pemanggang daging panas. Dengan kuasa yang ada padanya, dia pernah berkata, “Etnik 8100 mesti dihapuskan daripada wujud di muka bumi!”

Kaum 8100 mesti diusir keluar dari negerinya.

Zic 9295 takut bayang-bayang sendiri. Dia takut 8100 menelannya. Bagai ular sawa menelan kambing hitam.

Zic 9295 memberontak di tempat tidur. Bayangan mahkamah sentiasa memburunya. Dia mesti belajar bijak memutarbelitkan segala kenyataannya. Dia tidak mahu dirinya ditangkap.

Dia sengaja membuat kenyataan mengelirukan. Dia mahu memperbodohkan semua hakim yang bertanya soalan kepadanya. Apakah hakim bodoh seperti yang disangkakannya? Atau hakim itu adalah orang-orang Zic 9295 yang menyamar sebagai hakim.

Zic 9295 membiarkan rambut putihnya menjadi kusut. Dia bimbang dirinya akan dijatuhi hukuman bunuh oleh rakyat dunia.

Kini dia mesti mencari jalan dan peluang membohongi segala apa yang telah dilakukannya. Dia mencari alasan lagi. Walaupun Zic 9295 tahu bahawa 1800 tidak melakukan kesalahan atau melakukan apa-apa jenayah.

Wajah Zic 9295 tersungkur dalam longgokan tulang-tulang. Dia lemas, tetapi cepat-cepat ditarik wajahnya yang tersungkur. Begitu igauan buruk memburunya.
Kini kelihatan wajah mukanya merah menyala. Kulit merah putih terbakar oleh pemburuan darah naluri kejamnya. Dia menggali dan mengejar ayat-ayat bohong dari lubuk kotor hati.

Dalam bayangan dirinya, roh 1800 datang menikam tubuhnya.

Bagi Zic 9295, pemimpin merupakan orang yang berkuasa besar. Boleh melakukan apa sahaja. Katanya dengan wajah berani, tetapi kecut di perut. Di kucing berduri kota boleh membunuh anak ayam desa. Dia mesti menghebohkan hal remeh yang ditimbulkan oleh etnik 8100.

Lagaknya selamba seperti laku seekor Firaun. Semua orang takut dan tunduk. Dia menjadi batu besar di atas gunung. Rakyat di kaki gunung. Rakyat takut batu menggolek dan membunuh.

Watak seekor Firaun bersalutkan serigala gearbok. Sedangkan dalam dirinya sang anai-anai membina busut tinggi dan keras. Busut ini akan menujah otaknya. Otak itu akan keluar di depan mata.

Apa yang terfikir di kepalanya, dia membunuh 8100. Menjadi kucing berduri kota bersalutkan serigala gearbok bersama-sama membunuh anak ayam desa.

Jika bercanggah pendapat, dia dikeluarkan. Dia lagi lega diasingkan. Dia senang bercakap sesuka hati. Kelompok yang menjadikan dirinya manusia, itu tidak penting lagi. Asalkan dia masih ada kuasa. Dia boleh mencerca siapa yang mengutuknya. Dia masih bebas. Dia belajar dengan kehidupan pokok enau dalam belukar.

Zic 9295 terbayang kucing berduri kota lagi. Selagi bernama kucing, dia boleh mencakar, mengiyau dan membunuh. Kuasanya di misai kucing. Malam hari, lagi mudah membunuh.

Itu yang difikirkan. Itulah dikatakan kepada semua orang. Setiap pertuduhan, dia hanya ketawa dan menafikan yang dirinya kejam atau bersalah. Mengiyau-ngiyaulah dia!

Malam makin menggigit. Tengah malam sudah berlalu lebih dua jam. Bunyi kenderaan tidak kedengaran di jalan raya. Apatah lagi bunyi motosikal. Bunyi kokokan ayam belum lagi. Barangkali sejam lagi adalah kokokan ayam itu. Jam tiga pagi nanti.

Malam di luar ada angin sejuk dan nyaman. Di dalam kamar masih dibelenggu oleh peluh panas dan masam. Kepanasan hati menjadikan semuanya panas walaupun tempat sejuk. Sikap kejamnya menjadinya dirinya diuliti oleh roh jahat.

Pembunuh berbadan besar. Zic 9295 mahu menghapuskan golongan etnik 8100. Itu tekadnya.

Zic 9295 membesarkan sikap bongkak. Dia memelihara katak di bawah terowong tertutup. Dia kucing berduri kota boleh bila-bila menangkap katak. Dia tahu bahawa bila-bila waktu dirinya akan dihentak hanyut oleh empangan air pecah yang tiba-tiba menerjah. Dia bersedia.

Itu komplot fikirannya. Kacau.

Bagi Zic 9295 bahawa etnik 8100 jelek. Zic mengejar nama tumpang serigala gearbok. Dapat publisiti murah dan mudah. Tak perlu berdiri lama sebagai pemimpin. Dia perlu naik macam serigala gearbok. Heboh orang kata dia berani tetapi poyo, maknanya tak guna.

Etnik 8100 mesti dihapuskan. Mereka perlu dibunuh. Biar roh pegangan agama 8100 merayap ke tempat gelap. Biar akal etnik 8100 hilang. Biar 8100 jadi katak bawah tempurung kaca tanpa pendidikan.

Sikapnya melampau dan hilang pertimbangan.

Etnik 8100 beragama Islam. Mereka mengagungkan kebaikan dan melarang permusuhan. Mereka bersolat berzakat. Mereka percaya Nabi Muhammad saw itu Rasul utusan Allah.

“Kepungan menjadi punca!” antara kata-kata Zic 9295 kepada orang yang mahu mengheretnya kena hukum, dipenjarakan.

“Kenapa kepungan?” Tanya Hakim Jenayah. Barangkali itu pertanyaan hakim.

“Apabila mereka terkepung mudah membunuh. Bukankah saya kucing berduri kota? Mudah seperti membunuh anak-anak ayam desa. Membunuh tidak salah. Itu hukum alam!,” tegas Zic 9295 meninggi. Perkiraannya menyeleweng. Undang-undang ciptaan diri.

“Apa dosa 8100?” Zic 9295 mencongak soalan hakim.

“8100 mahu merdeka.” Zic 9295 menghentak kaki. Dia menyembunyikan sebab utama yang terbuku hitam di hatinya.

“Apa salahkah merdeka untuk 8100?” kalau itu disoal hakim.

“8100 tak perlu merdeka. Kami perlu perkosa merdeka mereka.” Alasan Zic 9295 yang mahu merosakkan roh pegangan etnik 8100.

“Merdeka ketakutan kamu?” tanya hakim. Kira-kira begitu.

“Jika kaum 8100 merdeka, maka kami akan lelah dan gelisah.” Zic 9295 tahu etnik 8100 sedang berlumba maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan.
“Lelah! Gelisah?” Tanya hakim semula.

“Saya tak mahu etnik 8100 merdeka. Nanti aku tak muncul menjadi hero. Aku tak dapat liputan dunia. Aku baru dalam dunia ini. Aku perlukan orang selalu menyebut namaku dengan kukuh!” Zic 9295 mahu terkenal dan berkuasa seperti Firaun.

“Apakah suara orang lain tidak perlu ?”

“Suara 8100 hanya perlu di depan senapang dan dimuntahkan peluru kepada mereka semua.”

Dialog Zic 9295 yang sentiasa mengancam kemunculan etnik 8100 di muka bumi. Suara Zic 9295 yang telah membunuh 8100.

“Yang Arif jangan salahkan saya kerana membunuh 8100.” Dia cuba menjawab soalan hakim jika benar-benar dia ditangkap.

Dia bercakap seperti dirinya didatangi ribuan wartawan dan pemimpin dunia. Dirinya diangkat sebagai tokoh paling terkemuka. Pemimpin dunia akan hormat dan tunduk kepadanya. Pemberita akan berebut-rebut datang menemuramahnya. Itu rancangannya.

Ketika itulah datang polis antarabangsa menangkapnya. Dia perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Dia perlu ke mahkamah Jenayah Antarabangsa. Hari sudah subuh.
Dia hendaknya dikenakan hukuman bagi setiap perbuatan kejamnya membunuh 8100 yang tidak berdosa. Ini satu pengajaran kepada setiap pemimpin dunia lain.
Kuasa tidak boleh disalahgunakan. Termasuklah Perdana Menteri Israel itu!



Profil

A GHANI Abdullah, anak kelahiran Kampung Ramuan Cina Kecil, Melaka, pernah menjawat beberapa jawatan seperti Pegawai Perancang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena); Setiausaha Barisan Bertindak Bosnia (BBB); Penyelaras Kelab Sastera DBP; Pengarah/ Pengurus Pentas/ Pelakon Drama Pentas; Penyelaras Pertandingan Drama Sekolah Menengah Malaysia; Fasilitator PPSB/PLKN Selangor; Penilai Manuskrip Sastera; Hakim /Penilaian Hasil karya Kreatif; Penulis novel, cerpen, drama, puisi dan esei; Editor Urusan Jalur Sejahtera Sdn.Bhd. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah AFP Sdn Bhd ; Konsultan Kreatif dan Strategi; Perunding Kreatif Wajah Masih Terpaut (BAJAP-JPM); Sidang Editor Dewan Sastera; Sidang Editor Dewan Budaya; Pengarang/Penyelaras Dewan Perintis (Sabah); AJK/SU Cempaka Berbunga (Zaman Usman Awang); Presiden KPPDBP; Ahli Majlis Bersama Jabatan Badan Berkanun Malaysia; Lawatan sambil belajar ke Maghribi, Sepanyol, Turki, Jordan, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Palestin dan Mesir.

Pernah memenangi pelbagai hadiah penulisan kreatif. Antara novel beliau ialah Camar Putih di Awan Biru (DBP); Permaisuri (CESB); Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan (PKS); Harimau Oh Harimau (PKS). Lebih 50 bukunya diterbitkan dalam pelbagai genre novel, cerpen, cerita kanak-kanak dan lain-lain. Kini penulis bebas.

PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Sabtu, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris ditaip di atas kertas A4, langkau dua baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Nombor akaun Maybank atau CIMB perlu disertakan bagi urusan pembayaran honororium jika karya tersiar.

Rinduku Ke Syurga

Cerpen: Rinduku Ke Syurga
Oleh Md Nizar Parman

2010/05/08

BEGITULAh kesudahannya; aku hanya sempat mengenali lelaki itu lima tahun lapan bulan. Aku tahu dia telah pergi. Linangan air mata ibu yang menuruni cerun pipinya yang putih dan gebu ketika bersimpuh di sebelah sesusuk tubuh yang terbujur kaku berbalut kain kapan cukup untuk menggambarkan kedukaannya.

Kancapuri rumahku seolah-olah sebuah perkuburan sepi. Aku yang duduk di ribanya didakap erat. Entah berapa kali ibu mendaratkan bibirnya ke dahi, pipi dan ubun-ubunku. Antara dengar atau tidak, berulang kali ibu berbisik ke telingaku, “Abah Firdaus telah pergi … Abah Firdaus telah pergi.”

Saat sekujur tubuh abah diangkat pergi oleh beberapa orang penduduk kariah dan dimasukkan ke dalam van jenazah berwarna putih, ibu rebah - beberapa kali ibu rebah. Mujur sempat disambut oleh beberapa orang penduduk kariah wanita.
Aku membuntuti van jenazah yang membawa tubuh kaku ayah hingga ke tanah perkuburan – malah aku turut berdiri betul-betul di bibir lubang kuburnya.
Tubuh abah disambut oleh penggali kubur lalu dibaringkan di liang lahad. Sebaik sahaja keranda menutupi jasadnya dan dikambus dengan tanah oleh para penggali kubur, air mataku tiba-tiba berlinangan. Baharu aku tahu ertinya mati.

Aku sempat menjeling ke arah ibu yang duduk di sebuah pondok yang terletak agak jauh dari tempat ayah disemadikan. Dia duduk bersimpuh sambil tunduk – tidak henti-henti menyeka air matanya. Beberapa orang saudara-mara terdekat mendakap erat tubuhnya. Dan, di situ entah berapa kali ibu rebah lagi.

Hari-hari yang berlalu benar-benar membuahkan sepi. Saban petang, aku masih duduk di muka pintu menanti kepulangannya walaupun aku tahu dia tidak akan menjelma. Tiada lagi kelibat lelaki yang bertubuh sasa itu merangkul lalu mendukung tubuhku dan menghadiahkan ciuman yang bertubi-tubi ke pipiku sehingga aku ketawa kegelian.
“Fir, sudah hampir senja. Pergi mandi. Selepas itu solat Maghrib dengan ibu,” tegur ibu lembut.

“Kalau kita selalu solat dan berdoa, ayah akan pulang? Kita akan jumpa ayah?”

Ibu diam. Masih ada mendung hiba yang terlukis di wajahnya. Belakangan ini juga, ibu lebih banyak menitiskan air mata berbanding senyum dan tawanya. Dia merapati tubuhku lalu mendakapku; lembut jari-jemarinya mengusap-usap ubun-ubunku.

“Abah tidak akan pulang lagi, Fir. Tapi kalau kita selalu berdoa, kita akan berjumpa dengan abah suatu hari nanti,” balas ibu.

“Jumpa di mana?”

“Di syurga.”

“Syurga? Di mana? Jauh?”

Ibu angguk. “Jauh … Kalau Fir jadi anak yang baik dan selalu berdoa untuk abah, Fir juga akan ke sana, berjumpa dengan abah.”
“Di syurga?”

Ibu angguk lagi.

Malam terus melagukan senandung pilu. Tiada lagi suara merdu abah meninabobokkan aku di kamar ini. Tiada lagi hangat dakapannya. Malam ini dan malam-malam seterusnya aku hanya mendakap sunyi.

2
SEJAK ketiadaan abah, ibu terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan kami. Seminggu ibu bekerja pada sebelah siang, seminggu lagi ibu bekerja pada sebelah malam; kerja kilang. Kata ibu, abah tidak meninggalkan wang simpanan yang banyak untuk kami. Abah hanya kerani.

Entah sampai bila aku harus melalui hidup seperti ini – lebih banyak menghabiskan masa di rumah pengasuhku berbanding di rumahku sendiri. Aku tidak menyalahkan ibu. Ibu punya tanggungjawab yang amat berat. Aku mesti memahaminya walaupun aku mula berasakan ada kerenggangan dalam hubungan kami berdua.

Setiap kali pulang dari kerja, ibu sering mengadu keletihan. Sudahnya aku sering terbiar; kesepian. Jika abah masih ada, tentu ruang-ruang kosong ini diisi oleh gurau senda dan gelak ketawanya. Seletih mana pun ayah, kemahuanku seboleh-bolehnya akan dipenuhi.

Dunia kecilku yang sepatutnya dipenuhi rona-rona indah bertukar menjadi kelam sejak ketiadaan abah. Kubilang-bilang, sudah hampir lima purnama abah bersemadi di sana. Kali terakhir aku menziarahi pusaranya kira-kira tiga bulan lalu; menemani ibu mencacakkan batu nisan yang bertulis nama ayah, tarikh lahir dan tarikh kematiannya. Di situ, ibu menangis lagi.

Sepi dan derita yang menghunjam hidup ibu rupa-rupanya tidak lama. Taman sepi dalam hati itu rupa-rupanya kembali dihiasi bebunga harum aneka warna dan rupa. Ibu sudah bisa tersenyum dan ketawa ceria.

“Esok Fir pakai baju yang cantik-cantik. Ikut ibu jalan-jalan. Sudah lama Fir tidak bersiar-siar di kota,” ujar ibu. Di bibirnya sentiasa menguntum senyuman.
“Jalan-jalan?” Tentu sahaja aku agak kaget. Lazimnya ibu terlalu sibuk dan akhirnya kepenatan mengurusi aku dan rumah. Dunianya hanya aku, rumah dan kilang. “Dengan siapa?”

Ibu tidak menjawab – tersenyum lagi. Senyuman yang lebih panjang dan pastinya mengandung makna yang sangat mendalam. Ibu lebih senang membiarkan aku terpinga-pinga. Dan, akhirnya keseronokan bersiar-siar di kota lebih mengujakan daripada keanehan sikap ibu. Dan, inilah detik yang terbaik untuk mengimbas kenangan bersama abah semasa hayatnya. Setiap awal bulan, pasti ayah akan membawa aku dan ibu ke kota.

3
MASIH terlalu awal. Meskipun dia meladeni aku dengan baik, namun dalam hati ini masih ada sekelumit rasa curiga. Aku tidak tahu, apakah kebaikan yang dilakukannya hanya untuk membeli hatiku?

Pesan ibu, jangan buruk sangka. Seboleh-bolehnya, ibu berusaha meyakinkan aku bahawa lelaki itulah calon yang terbaik untuk menggantikan arwah abahku.
“Fir masih terlalu mentah untuk mengerti. Tapi Fir percayalah, apa yang ibu lakukan adalah untuk kebaikan Fir juga,” ujar ibu pada suatu malam ketika aku sedang menonton rancangan kanak-kanak kegemaranku di televisyen.

“Ibu sudah lupa pada abah?” Entah mengapa tiba-tiba pertanyaan itu terpacul dari mulutku. Ibu sedikit tersentak. Apabila ibu mengerling tajam ke arahku, aku segera tunduk. Betapa cabulnya mulutku. Aku segera masuk ke kamar. Tidak sanggup untuk bertentangan mata dengan ibu.

Akhirnya ibu telah diijabkabulkan dengan lelaki itu. Lelaki yang kata ibu mampu menjadi abah yang terbaik buatku walaupun statusnya hanya abah tiri. Saban pagi, lelaki itulah yang menghantarku ke sekolah tadika dan menjemputku beberapa jam kemudiannya. Kadang-kadang, dia mengajak aku minum di sebuah warung yang letaknya tidak jauh dari rumahku. Memang ada kesungguhannya untuk memenangi hatiku. Malah, setiap masa seolah-olah dia tidak mahu berenggang denganku; lebih-lebih lagi apabila ibu ada di rumah.

Curiga. Ah, entah mengapa perasaan itu berterusan mengasak jiwaku! Aku tidak pandai berbohong. Setiap kali aku meluahkan perasaanku, ibu tetap meyakinkan dialah lelaki terbaik untuk menggantikan tempat abah. Akhirnya aku diam.

4.
SETELAH hampir sebulan dia menikahi ibuku, aku mula menghidu perubahan pada dirinya. Jika sebelum ini dia akan menjemput aku tepat pada waktunya, tapi kali ini acap kali dia lewat. Mujur guru prasekolah membenarkan aku berada di dalam kelas sehingga abah tiriku tiba.

“Budak kecil seperti kamu, apakah perlu bertanya ke mana abah pergi?” jerkahnya pada suatu hari apabila aku bertanya mengapa dia kerap lewat menjemputku. Sejak itu, aku diam sahaja – tidak lagi bertanya-tanya.

Entah. Tiba-tiba aku berasa asing di rumahku sendiri – rumah ini satu-satunya pusaka abah yang begitu banyak menyimpan kenangan yang cukup sentimental; seolah-olah di segenap ruang di dalam rumah ini ada dia.

Sedikit demi sedikit ibu mula membuang kenangan itu. Gambar abah tidak lagi tersangkut di ruang tamu atau di kamar. Disorokkan entah di mana. Malah, semua pakaian abah dibungkus – ada yang dihantar ke kampung dan ada yang diberikan kepada orang.

Bersuara? Cukuplah sekali peritnya pipiku menerima sentuhan pertama abah tiriku kerana pernah bertanya kepada ibu tentang soal itu pada suatu ketika. Rupa-rupanya abah tiriku tidak menyenangi sikapku.

“Abah kamu sudah mati! Kamu faham? Buat apa menyimpan barang orang yang sudah mati?” tengking abah tiriku sebaik sahaja ibu melangkah keluar dari rumah untuk pergi kerja.

Pada saat aku mengenal kehidupan, aku juga mengenal penderitaan. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana rasanya diperlakukan begitu. Hanya jerit kesakitan dan tangisan yang dapat kuluahkan.

Rupa-rupanya dendam abah tiriku tidak pernah tiris dari hatinya. Sekecil mana pun kesalahan yang aku lakukan, pasti aku akan dihukum dengan sekeras-kerasnya. Lebih-lebih lagi selepas dia keluar dari kamar dengan mata yang merah dan terhoyong-hayang.

Ibu? Cinta dan kepercayaannya kepada ayah tiriku melebihi kebenaran kata-kataku.
“Sejak bila Fir pandai berbohong? Abah tiri Fir baik. Kenapa Fir selalu cerita yang buruk-buruk tentang dia? Ibu lebih mengenali dia,” kata ibu tegas.

Aku diam seperti seperti seorang penjenayah yang berada di kandang pesalah dan dibela oleh seorang peguam bela yang berpaling tadah.

Abah tiriku semakin bertindak buas dan ganas sejak dia mengetahui aku mengadukan perihal perlakuannya terhadap diriku kepada ibu.

“Kecil-kecil sudah pandai mengadu domba! Bikin cerita yang bukan-bukan.”
Serentak itu kepalan penumbuknya singgah di perutku. Senak yang teramat sehingga aku tidak mampu untuk mengeluarkan suara. Tidak cukup itu, belakang badanku dilibas dengan tali pinggang kulitnya – melelas kulitku. Aku merayu kepadanya agar tidak diperlakukan begitu, tetapi dia benar-benar sudah dirasuk syaitan – syaitan dadah!

Saat aku terkulai tidak bermaya, dia lesap entah ke mana. Meskipun badanku lebam-lebam, aku tidak berani membuka mulut. Dia terlebih dahulu memberitahu ibuku bahawa belakangan ini aku terlalu nakal dan lasak bermain dengan anak-anak jiran. Ibu percaya.

5
KERINDUANKU terhadap abah membuak-buak sejak akhir-akhir ini. Dalam mimpi, dia sering datang dengan wajahnya yang jernih dan bersih. Dia sering mengajak aku mengikutnya. Katanya, di sana lebih tenteram dan damai.

Sudah hampir seminggu aku tidak ke sekolah. Aku benar-benar sakit. Perutku berasa sangat pedih seperti usus-ususku telah putus. Ada juga ibuku mengusulkan kepada abah tiriku agar membawaku ke klinik.

“Salah makan tu. Budak-budak, pantang nampak makanan sedap, semua hendak ditelannya,” kata abah tiriku yang duduk sambil menyandarkan tubuh kurus keringnya di dinding. Namun matanya menjeling tajam ke arahku.

“Kalau teruk sangat, esok abang bawa ke klinik, ya,” ujar ibuku yang sedang duduk sambil melipat kain. Abah tiriku hanya mengangguk malas.

Malam itu, abah datang lagi dalam mimpiku. Kali ini aku dapat merasakan dia menyentuh tubuhku – lembut jari-jemarinya membelai-belai rambutku. Ah, betapa rindunya! Sekali lagi dia mengajakku ke sana. Kali ini, aku angguk.

Aku terjaga daripada tidur apabila terdengar suara abah tiriku merungut-rungut sambil menyelongkar almari pakaianku.

“Abah cari apa?” soalku lalu perlahan-lahan bangkit. Dia langsung mencekak leherku dan mengoncang-goncang tubuhku.

“Mana tabung kamu, ha? Mana?” jerkah ayah. Matanya membulat – merah.
“Tak boleh! Itu tabung peninggalan abah, Fir,” ujarku dengan suara yang tersekat-sekat.

Dia semakin menguatkan cengkamannya. Entah berapa kali dia menghantukkan kepalaku ke lantai. Kepalaku berasa sakit dan pening. Dia melepaskanku dan terus menyelongkar almari pakaianku. Bertaburan isi perut almari itu. Akhirnya dia menemui tabung yang hampir penuh itu.

Aku merayu kepadanya agar tidak mengambil tabung itu kerana duit syiling di dalam tabung itu adalah pemberian daripada abahku. Dia tidak mempedulikan. Ketika aku cuba menghalang, dia menghentak kepalaku dengan tabung yang diperbuat daripada seramik itu.

Aku terjelepuk. Mataku memandang ke atas. Aku dapat merasakan ada cecair hangat mengalir keluar dari kepalaku; membuak-buak. Pandanganku mula berpinar-pinar. Dalam keadaan yang semakin berbalam-balam, sekonyong-konyong muncul wajah bersih abahku. Semakin lama semakin dekat. Semakin hampir.

Kreatif: Valija, saya mahu dekat dengan-Nya
Oleh Mawar Shafei

2010/03/20

SAYA mengenali Valija, lama dahulu. Perempuan bijak, tajam penaakulan, cerdas memahami gerak rasa apatah lagi untuk menguasai ilmu baru. Perempuan kulit hitam yang lahir daripada cantuman baka profesor dalam bidang linguistik dan ketua orkestra simfoni. Ya, ibunya adalah konduktor yang juga penggesek cello, biola dan pianist yang hebat. Seingat saya Valija pernah menjadi kekasih dan kemudian isteri saya. Begitulah Valija diingati semula, ketika melewati sebuah toko muzik. Rentak itu seperti dari Peabody, berjaya keluar dari pintu kaca toko tersebut, melangkaui deretan kedai di sepanjang jalan ini. Muzik itu meneruskan perjalanan bersama angin, bersama kenangan. Rentak itu membawa saya ke ruang perkenalan kami lebih tiga puluh tahun lampau. Ya, begitulah. Ini cerita tentang masa lalu, tiga puluh tahun usianya. Dan saya ditakdirkan melihatnya kembali dari kota tepian pelabuhan ini, Kota Ketam Baltimore, kota berwajah seni juga. Baltimore adalah kota Valija.

Nama saya Hanafi. Sewaktu menyeberang jalan dari hotel penginapan ke bahu air ini, saya mula menyelak ingatan yang lebih awal apabila pertama kali Valija datang ke negara saya, menyertai himpunan anak-anak bijak. Dan itu adalah pertemuan kami untuk julung kalinya. Puluhan anak-anak datang dari banyak penjuru benua. Atas impian dan kecintaan mendalam pemerintah negara, kami anak-anak bijak ini ditemukan untuk beberapa minggu, saling mengenali dan berbahagi kelebihan yang dikurniakan. Kami, saya dan Valija di kelas yang sama, diasuh mengembangkan kreativiti dengan menulis. “Masih ingat saya mengarang kisah menjadi angkasawan dan sangat mengagumi hamparan galaksi. Saya memerhati segalanya dari kapal Exodus Mark III.” Valija membuka cerita lama. Ya, mulanya saya rasa aneh, takjub membaca kisah dengan lakaran naif Valija tentang dunia nujum, ruang bintang yang penuh rahsia. Tetapi setelah mengenali dia sekian lama dan cinta kepadanya tumbuh bercambah-cambah, saya makin mengenali dia dan segala rahsia yang dia punya. “Ah, sayangku. Rahsia akan tetap namanya rahsia. Apa yang kau tahu itu bukan rahsia diriku. Rahsia tetap tersimpan di sini dan di sini.” Valija menepuk dada dan kemudian tangan hitamnya berpindah ke tepi kepala. Ah, Valija si pencinta bahasa Arab, Sepanyol, Latin dan Greek Purba kemudiannya bahasa Cina. Valija yang senang juga dengan fotografi, lukisan dan bermain pedang samurai dalam seni laido. Valija si saintis biologi sel dan molekul ini, saya lihat seperti anak Athens yang pintar, yang lasak menyertai program Akademi Plato! Saya bersyukur mengenali dan kemudian mencintai Valija dan kerana itu saya mahu mendekati Tuhan untuk berterima kasih.

Bersama tipis kabus, saya berlari mengelilingi Inner Harbor. Suatu pagi yang basah, sedikit berbaki dari hujan dinihari. Langit dengan wajah kelabu seperti mahu menyelimuti saya yang terus mahu berlari dan berlari. Beberapa kapal peribadi, kapal hujung minggu untuk anak-anak bermain lanun-lanunan, dengan sebuah kapal besar untuk jamuan makan malam, berbaris di sepanjang lekuk air. Sesekali merpati berani datang dan sesekali pula burung putih bersayap lebar, melayah dan hinggap di atas kapal. Kemudian, semuanya pergi. Dan, kapal itu pula ada sejarahnya. Dalam kapal itulah saya dan Valija disatukan. Ia adalah sebuah sejarah selepas berkali-kali kami bertemu dan membuat pertimbangan.

Menjelang usia ranum di universiti, kami bertemu lagi, entah jodoh yang selalu di titik yang sama, tak siapa dapat menduga. Kali ini kami, anak-anak bijak dihimpunkan di Dewan McAuley yang masyhur itu. Saya terpilih, dihantar pemerintah ke kota Valija. Dia menyambut saya di ruang pendaftaran dengan mawar kuning di tangan. Ah, Valija memang selalu aneh. Saya yang harus membawa jambangan mawar merah tanda cinta dan rindu kepadanya. Namun dia dengan spontan menyambut saya dengan dakapan dan kucupan di pipi seraya menarik tangan saya ke satu sudut. Di samping mawar kuning, dia mengucap hello dan khabar. Saat itu rasanya semua mata menelanjangi saya. Atau itu hanya perasaan anak Timur yang mengepung. Dan saya rasanya menjadi mawar kuning yang malu. Ah, saya lelaki Melayu didakap perempuan asing! Oh Tuhan, saya tidak melihat hitamnya kulit Valija, tapi saya rasakan gelora yang hebat dalam dada saya ketika itu. Ada waktunya mengingati detik itu kembali, saya jadi malu dengan Tuhan dan saya mahu dekat dengan-Nya.

Penat berlari, saya tiba di penjuru kafe yang masih belum dibuka, duduk di sebuah kerusi menghadap pagi yang gerimis. Di hujung sana ada lelaki berjambang penuh sedang khusyuk memegang buku kecil yang saya agak Injil. Berada di ruang makan kosong ini saya membayangkan bagaimana kali pertama saya mengunyah crab cake yang padat dengan isi ketam entah beberapa ekor digoreng seperti begedil kentang yang pernah emak hidangkan di rumah. Enak sekali crab cake diapit dengan kentang goreng, sos mayonis, sos cili serta coleslaw dengan perahan lemon, di sudut kedai makan Muzium Seni Baltimore. Saya teringat juga begedil emak yang menjadi hiasan untuk lontong dengan sisipan sambal tumis ikan bilis. Tapi dalam samar lampu yang tergantung, mata saya menangkap senyum aneh perempuan kulit hitam itu. Saat itulah detak hati, Valija akan menjadi isteri saya. Ya, keyakinan itu merecup. Ketika itu juga saya disinggul Kelsey, si finalis US Stockholm Junior Water Prize dan melihat tangan Hayden hinggap di bahu Moria, kedua-duanya genius Matematik. Sekejap saya menoleh pasangan renceng biologis, Boyd dan Ann, yang mencintai seni teater dan puisi. Beberapa kali si leher jenjang Ann membaca puisi naratif The Raven Edgar Allen Poe di makmal robotik kami. Aneh. Puisi tentang kematian. Puisi tentang kesedihan Poe atas pemergian Lenore alias Virginia, isteri tercintanya.

Sedang antara baris-baris itu, saya mengingat pula catatan Muhammad Haji Salleh dalam puisinya, Unggulku. Entah mengapa sebagai pelajar yang banyak membaca sains, saya diperkenalkan kepada penyair bangsa saya ini. Dalam saya ghairah mahu melafazkan bait Unggulku, yang terbersit adalah Intelektualnya,

Di sini tak ada pilihan,
hanya keterlibatan,

hanya kepedihan dan kejayaan
pergelutan di antara kata-kata
dan idea yang payah dikahwinkan.

Saya senang sekali membaca puisi. Saya menyaring fikiran penyair di sebuah ruang kotak kepintaran. Saya menemui kehidupan. Saya dibimbing dengan saksama oleh guru sains untuk menghargai hasil sastera bangsa. Tidak seperti sesetengah teman saya dari negara lain yang tidak dibenarkan mengambil subjek kesusasteraan kerana dimomokkan pemerintahnya sebagai subjek yang tidak munasabah. Sastera tidak memberi teknologi dan masa hadapan. Betapa malangnya mereka!

Pada ketika tertentu, betapa saya melihat kami dikumpulkan seperti sedang menyediakan bank besar baka bijak, selain bersama-sama berbincang tentang penyelidikan yang akan dijalankan. Banyak pasangan yang akan melahirkan keturunan seterusnya. Termasuk saya dan Valija, Boyd dan Ann, dan banyak lagi. Nanti dari kromosom kami akan ditemukan anak genius dalam bidang yang pelbagai seperti robotik, arkeologi, kriptologi atau neurosains. Setelah melepasi saringan ujian kepintaran SCAT atau SAT atau ACT, kami dikelaskan dalam beberapa aliran yang sesuai dengan minat serta kecenderungan. Kami teroka pelbagai penjuru, mencipta mencari yang baru. Menentang fahaman sebelumnya. Mengemukakan teori. Menarik juga seperti satu kegilaan, kebanyakan kami turut menyenangi seni, kreativiti yang sangat mendambakan imaginasi. Kata Pat Wallace seusai kelas Art Meets Science, cubalah pertimbangkan bagaimana teori relativiti Einstein memberi wajah yang tersendiri dalam tema dan nuansa puisi abad ini. Atau bagaimana kenangan zaman kecil menjadikan kami lebih memahami neurosains. Hah, ataupun membaca karya Italo Calvino, John Donne, atau Alan Lightman (saya membaca kembali Balada Hilang Peta A Samad Said, Watak Tenggara Muhammad Haji Salleh dan Lawatan Lain Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah) membuatkan kelas kami meriah menemukan konsep matematika atau sains tabii.

Ah, saya mengenang kembali tatkala menjadi pelajar terbaik kebangsaan. Kecemerlangan saya dalam setiap ujian, rupanya sering menjadi perjudian ibu bapa dan guru-guru. Mereka yang bertaruhkan saya, tidak akan dikecewakan, saya akan memastikan mereka menang! Wahai Tuhan, sedangkan saya mahu menangis mengingat semula betapa galaunya perjudian itu. Betapa pada suatu ketika saya tidak dapat memenuhi semua yang dikehendaki. Betapa suatu masa saya akan berhenti daripada menjadi bijak! Betapa ketikanya Tuhan mahu saya bersyukur bukan hanya saat menerima nikmat, tetapi detik nikmat itu menghilangkan dirinya. Saya mahu terus dekat dengan Tuhan, mendapatkan al-Quran dan duduk di penjuru kafe kosong ini.

Ya, saya dan teman-teman di makmal McAuley banyak dinilai dengan kecerdasan yang bermacam. Banyak antara kami punya minat yang tebal dalam sains dan kesusasteraan. Kami membaca bahan yang melangkaui usia, kreatif menjana idea baru, belajar dengan pantas lancar. Tapi dalam banyak ruang pula, saya seperti dihimpit dua tembok harapan atau keyakinan atas apa sahaja yang saya lakukan, termasuk soal mengahwini Valija, si perempuan pintar kulit hitam itu. Bila mengenang Valija begini, saya seperti pernah melihat dia di tangga bergerak di salah sebuah muzium di Washington. Newseum? Atau ketika saya menuju ke patung Pulau Easter di Smithsonian? Valija memimpin anak kecil berkulit Mohican dengan lelaki bertopi yang membelek kepingan brosur. Oh, bukankah Valija itu isteri saya? Kami bertemu pertama kalinya di Kuala Lumpur, kemudian menjalin cinta di Kota Ketam, kemudian teman-teman dari kumpulan McAuley meraikan perkahwinan di dalam perut kapal besar. Saya masih ingat sekali ayah mentua saya, si penyokong setia kelab bola Ravens Ungu dengan ngauman orkestra Peabody, kemudiannya menggenggam tangan saya tanda menerima menantu baru. Ketika yang sama saya melihat ibu dan ayah duduk di majlis perkahwinan kami yang dihadiri kurang lebih lima puluh orang. Mereka seperti pasangan pengantin dengan sut baju Melayu yang menawan, tapi kian berbalam. Mereka yang saya cinta semakin hilang. Saya melihat juga bunga manggar dan tiba-tiba gegar kompang mendatangi pintu kapal besar itu. Oh, adakah Tuhan kian memberi kebolehan kepada saya untuk memahami pandangan mujarad, mengaplikasikan konsep abstrak dan mensintesisnya? Bagaimanakah jika saya kehilangan Valija, cinta pertama saya. Mungkinkah Valija meninggalkan saya? Bukankah dia diciptakan untuk saya yang tidak boleh hidup sendiri. Si pendekar laido itu milik saya! Dan oleh kerana perasaan itu, saya mahu sekali dekat dengan Tuhan. Hanya Dia yang Tahu bahawa saya sangat sukar menerima kelemahan, ketidakupayaan, kekalahan diri dan kemenangan orang lain. Dan kesannya saya akan mengurung diri dengan kemurungan yang begitu aneh. Sehinggakan saya mahu diri saya bukan lagi diri yang sekarang, saya mahu menjadi orang lain!

* * *

Nama saya Razak, Razak Hassan Abdul Muiz. Saya tiba di tengah banyaknya orang yang tidak putus-putus berjalan dan berjalan di sepanjang Broadway ini. Orang banyak itu seperti setiap yang saya kenali dalam hidup, datang dan pergi dan meninggalkan saya sendiri. Ternyata saya tidak sendiri jika saya wujud dan kewujudan itu adalah kepintaran yang saya punya. Tuhan, petaka itu membuat saya mahu dekat dengan-Mu. Setelah berhenti di Penn Station, saya mengatur langkah dari Madison Square Garden. Tidaklah sangat lelah atau membuang keringat seperti berjalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Angin musim luruh yang terkepung antara bangunan-bangunan tinggi, agak meringankan langkah. Berhenti dekat dengan Ground Zero, saya berdiri antara simpang yang riuh, gema manusia yang kebanyakannya menyarung trench coat dengan but tinggi. Tidak jarang juga bunyi siren kereta polis yang berulang alik dengan kenderaan lain termasuk teksi kuning NYC atau bas dua tingkat yang sarat pelancong. Dalam renyah itu saya melihat susuk lelaki yang sedang sujud antara gerai yang menjual bagel, roti tebal yang direbus. Saya sangat tahu sujudnya yang beralas kanvas gerai jualan itu diiringi segala pujian kepada Yang Satu. Sujud panjang tanda pengharapan dan pengakuan sebenar, hanya Dia yang Maha Besar. Hanya Dia, Tuhanku. Bukankah lelaki itu adalah saya? Atau dia lelaki Hanafi yang pernah mengucup bibir tebal Valija dalam sebuah kapal besar di pinggir Kota Ketam suatu masa dahulu? Atau dia lelaki yang saya lihat di Newseum bersama Valija? Dan saya tiba-tiba berada di ruang sumpahan Smithsonian!

INFO:
MAWAR Shafie dilahirkan di Singapura, pada 27 Februari 1971. Menulis dalam genre cerpen dan kritikan. Banyak memenangi hadiah sastera. Kini pensyarah kanan dan Ketua Program (2007-2010) di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, pengkhususan sastera dan kreativiti. Kumpulan cerpennya, Masitah (2007, 2009) disenarai pendek untuk HSPM 2006/7. Buku ilmiah terbarunya ialah Novel Intertekstual Melayu (2010). Mawar boleh dihubungi di blog peribadi www.mawarshafei.blogspot.com dan mar@ukm.my

Ramadan Terakhir Di Kaherah
Oleh Syafiq Zulakifli

2010/03/08

SATU“INI Ramadan terakhir kita!”

Empat ratus orang mahasiswa berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Al-Azhar Kaherah. Masing-masing menyarung abaya hitam yang disulam khas sempena Majlis Konvokesyen Graduan Mahasiswa Universiti Al-Azhar. Siapa yang tidak kenal pada Al-Azhar; universiti yang telah mencetak hampir berjuta-juta mahasiswa di bumi peradaban Islam ini. Kota sejarah yang terus sarat dengan ulama dan pemikir Islam terulung di dunia. Rata-rata mengakui bahawa Mesir merupakan kubu kuat pemerintahan dan pentadbiran jejak-jejak sirah Islam yang masyhur. Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al-Azhar.
Persiapan dan kelengkapan atur cara konvokesyen mahasiswa graduan Al-Azhar yang akan berlangsung sebentar lagi telah pun tersusun rapi. Tidak mungkin program besar sebegini berjaya tanpa bantuan tenaga daripada ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM); salah sebuah persatuan tertua di bumi Mesir ini. PMRAM yang sudah bertapak di bumi Mesir selama hampir lapan puluh tahun ini tidak pernah culas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan kepada semua mahasiswa di bumi Mesir.
Graduan dan graduanita sudah berpusu-pusu masuk ke dalam ruang dewan besar program. Walaupun tidak ditemani oleh kedua ibu-bapa, nikmat yang dikecapi bakal mewarnai dunia seorang wira dan wirawati sebagai seorang mahasiswa. Menjulang segulung sijil bernama ijazah sarjana muda sudah menjadi harapan semenjak mereka menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.

“Ini Ramadan terakhir kita di sini. Dunia permusafiran kita akan berakhir tidak lama lagi.” Aku memulakan bicara selepas mendapatkan kerusi di dalam dewan tersebut.

“Alangkah bertuahnya adik-adik kita masih mempunyai peluang menjamah hidangan ilmu yang disediakan oleh ulama-ulama di Masjid Al-Azhar. Mereka masih punya masa berbaki yang banyak, sedang kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia Mesir tidak lama lagi.” Nuaim yang berada di sebelah membalas.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tentang Al-Azhar. Aku saling bertukar-tukar pandangan terhadap dunia permukiman di Kota Kaherah yang akan berakhir tidak lama lagi. Barangkali air mata syahdu jikalau ditangiskan hanya menjadi air mata kering yang tidak bernyawa. Usah dikatakan peluang berguru dengan syeikh sudah tamat; malah keperluan untuk mengisi ruang menghafaz al-Quran juga sedikit sebanyak menjejaskan keadaan. Rata-rata mengakui bahawa peluang di negara sendiri amat tipis untuk mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih dekat. Malah, untuk mendapatkan fatwa secara langsung daripada Darul Ifta’; sebuah pusat fatwa terkemuka di Mesir juga bakal tergantung. Dunia akan terus berubah. Rutin harian juga bakal diwarnai dengan polemik kehidupan yang berbeza di Malaysia. Tanggungjawab yang bakal digalas juga akan lebih mencabar.
Ramadan ini sungguh asing bagi diriku. Tiada yang lebih istimewa daripada meneguk segelas rasa syukur duduk menetap di bumi asing. Siapa yang menyangka hidangan percuma di masjid-masjid sekitar Mesir menjadi hidangan harian untuk semua penduduk dan mahasiswa perantauan di kota bersejarah ini. Malah sebagai anak perantauan, mengisi waktu iftar di masjid-masjid sudah menjadi rutin biasa. Wang saku boleh disimpan untuk keperluan akan datang. Jimat.

Senja terakhir Ramadan, aku mengambil peluang berbuka di masjid berdekatan. Harapnya nanti Ramadan ini bakal disinari dengan cahaya gemerlapan bersama warga Arab Mesir.

“Kamu orang muda berasal daripada mana?”

“Malaysia.”

“Kamu sebaik-baik manusia di muka bumi ini.”

Orang Arab Mesir amat bermurah hati dengan segala pujian. Malah setiap tutur bicaranya dan kalam-kalam pujian dengan nama-nama Allah pasti akan meniti di bibir mereka. Sungguh Ramadan ini terasa kelainannya. Nikmat yang dikecapi, pengalaman yang dirasai, bakal menjadi hidangan sunyi pastinya selepas ini.

“Aku berbangga melihat kamu wahai anak. Sungguh cekal hatimu menuntut ilmu di sini.” Lelaki muda berdagu pandak itu mula menegur.

“Aku berhijrah ke sini kerana inginkan ilmu. Di sini imam mazhabku disemadikan.”

“As-Syafie?”

“Ya.”

“Aku mahu mendalami ilmu Tuhan ini dengan sebaik-baiknya. Tetapi, masaku dan kehidupanku sungguh terbatas. Aku akan meninggalkan kota ini tidak lama lagi. Ini Ramadan terakhir aku.”

Lelaki muda itu sedikit terperanjat.

“Kamu sudah lama di sini?”

Aku mengangguk tanda membenarkan percakapannya.

“Hampir lima tahun aku di sini. Aku melayari dunia pendidikan Islam yang paling gemilang. Aku ingin menjadi seorang ulama. Aku memahami bahawa tanggungjawabku untuk menjadi seorang pendakwah dan ulama adalah satu kewajipan yang amat besar. Tetapi aku takut akan segalanya.”

“Golongan yang tidak takut kepada Allah tidak boleh dianggap sebagai ulama. Barangkali orang muda sepertimu akan mencapai kejayaan insya-Allah. Aku mendoakan agar engkau bersama golongan orang-orang yang dipelihara Tuhan.” Lelaki itu cuba menerangkan.

“Wahai orang muda, aku harap engkau tidak tertipu dengan ilmu yang engkau ada hari ini.”

“Tertipu?”

“Orang yang berilmu boleh terpedaya dengan ilmunya. Bukankah engkau tidak mengetahui, dunia kini sering berkejar-kejaran. Barangkali mereka yang hebat menyampaikan itu, merekalah paling berilmu. Wahai anak muda, Imam Ghazali pernah menyatakan antara golongan yang terpedaya ialah ahli fekah yang menguasai ilmu ketaatan, tetapi tidak mengamalkannya. Sebahagian daripada mereka menguasai ilmu sehingga mereka mengenali perkara yang maksiat, tetapi mereka tidak menjauhinya.”

Aku kaget melihat lelaki muda itu. Barangkali sepanjang permukimanku di sini, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir aku mampu mendengar kata-kata ini diperdengarkan di cuping telingaku.

Tiba-tiba aku teringatkan Ahmed Yassin. Seorang teman sekuliah. Dia berasal dari bumi Iskandariah. Sebuah kota besar di utara negara Mesir. Pernah juga dia menasihatkan aku agar tidak terpedaya dengan segala ilmu yang telah tertanam di dalam diri seorang penuntut ilmu.

Aku memandang lelaki itu berulang-ulang kali. Tentunya ada maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya itu sebentar tadi.

DUA

“BULAN Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin dan papa.” Imam Masjid Al-Azhar menasihatkan melalui tazkirahnya pada malam Ramadan terakhir itu.

Lazimnya, semua masjid di sini tidak mengadakan solat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Selepas empat rakaat Tarawih, imam akan menyampaikan tazkirah bagi mengingatkan manusia tentang keperluan Ramadan dan hak-hak Ramadan.

Imam mengingatkan lagi bahawa, Islam bukan sesuatu yang mudah meletakkan nilai Ramadan. Malah, nilai ketakwaan merupakan dasar utama kejayaan sesebuah Ramadan dan pengertian puasa itu sendiri. Ramadan bukan sekadar mengosongkan perut daripada makan dan minum. Tetapi, lebih daripada itu Ramadan adalah bulan yang mengajar manusia sebagai hamba mengenal hakikat ketakwaan terhadap Tuhan sebagai pencipta.

“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan kepada Allah Taala dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah Taala, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” Imam menyandarkan beberapa hadis berhubung dengan Ramadan.

Aku mengumpul kekuatan pada akhir Ramadan. Takut-takut ini Ramadan yang terakhir di dalam kamus peribadi. Biarpun ini Ramadan terakhir di dataran Wadi Nil, aku lebih rela dan sanggup mengharungi makna yang tersirat di sebalik Ramadan dengan sebaiknya. Islam bukan mengajar menghayati makna Ramadan mengikut tempat, malah jika teman-temanku mengakrabi kekuatan Ramadan pastinya malamnya tidak akan renggang dengan solat-solat sunat yang memberikan ganjaran yang besar kepada pelaksananya.

Usai menyelesaikan kewajipan, aku segera pulang bersama teman-teman ke asrama tempat kami menginap. Beberapa teman-teman mempelawa singgah ke kedai makan dengan alasan ‘moreh’ katanya.

Kaherah menjanjikan malam Ramadan yang amat berlainan. Warganya berpusu-pusu mengisi peluang untuk menjamah makanan. Barangkali juga aku boleh sandarkan bahawa pesta bulan bagi mereka adalah bulan Ramadan. Jikalau di negara sendiri, pesta lelong baju dan pesta pakaian hari raya menjadi santapan muda-mudi, orang dewasa dan warga tua tetapi sungguh berlainan di sini.

Kota yang lebih menjanjikan kesetiaan, kemakmuran dan permuafakatan sesama ahli keluarga dengan berkumpul beramai-ramai di ruang-ruang legar kedai makan. Tentu juga kedai makan seperti As-Syabrawi, Abu Mazen dan El-Mo’men sungguh laku pada malam-malam Ramadan. Gerai-gerai tidak akan ditutup selagi azan Subuh tidak dilaungkan.

TIGA

“TUK. Tuk. Tuk. Tuk. Tuk.” Siapa yang mampu memejamkan mata tatkala bunyi cemeti kecil dipukul di atas tin kosong bersaiz besar itu mula bersuara. Lazimnya, ketika jam menunjukkan tepat dua pagi, bunyi itu mula bergema. Warga kota akan dikejutkan untuk bersahur. Juga, dalam musim panas sebegini keadaan pula memaksa mata berdiri gagah sehingga ke waktu Subuh. Tentu, waktu sahur terakhir ini kudrat yang ada tidak sama dengan kekuatan pada awal Ramadan.

Teman-teman serumah bergilir-gilir menunaikan tanggungjawab memasak. Barangkali, aku juga tidak ketinggalan melunaskan tugasan. Jika bukan aku yang menggalas beban memasak, pastinya peluang menunaikan qiamullail akan dilaksanakan.

Allah berfirman dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang Tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Qiamullail adalah kekuatan yang paling utama di dalam madrasah Ramadan. Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin bahawa qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik oleh Allah Taala untuk melaksanakannya. Namun, sebagai penguat zahir dan batin diri, aku berdoa moga-moga kekuatan yang masih berpuput tidak akan hilang dengan semangat yang tidak tetap, niat yang tidak kuat dan azam yang tidak kental.

EMPAT

ORANG dapur sudah memulakan rewang. Ada yang ditugaskan memotong bawang, mengupas kentang, memotong daging dan ayam. Semuanya atas dasar satu kesaksamaan; menyambut lebaran di perantauan yang tidak akan serupa menyambutnya di negara sendiri. Tiga tahun lalu, tatkala menyambut lebaran aku ditugaskan untuk menjadi penyambut tetamu. Namun, kini sebagai abang senior tugas itu dipundakkan kepada adik-adik baharu.

Suasana malam lebaran itu masih serupa dan sama dengan suasana sebelum ini. Kerjasama, bantuan dan semangat berpasukan teman-teman seangkatan tidak pernah luntur. Kami memahami tanggungjawab masing-masing. Yang Dipertua persatuan awal-awal lagi telah mengingatkan kami bahawa perpaduan dan kerjasama berpasukan itu dituntut di dalam Islam. Allah mengingatkan hambanya, bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.

Hari ini, kehidupan bekerjasama dan saling membantu kami rasai. Sejarah membuktikan bahawa ketika Perang Badar berlaku, umat Islam hanya mempunyai tiga ratus tiga belas orang berbanding musuh seramai seribu orang. Namun, atas dasar dan sikap tolong-menolong dan kefahaman mereka terhadap perintah Allah, maka kemenangan telah berpihak kepada umat Islam. Pengalaman sirah ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kami selaku mahasiswa Islam di perantauan.

Azan Maghrib berkumandang di udara. Gerombolan mahasiswa berpusu-pusu ke surau menjamah sebiji kurma dan terus menunaikan solat Maghrib. Usai menunaikan solat, takbir Syawal bergema di dalam dewan asrama. Laungan takbir, Allahu Akbar terus berulang-ulang mengingatkan kebesaran Allah.

Tatkala itu, air mata menjadi pinjaman sementara kepada seluruh mahasiswa. Terkenang yang jauh, merindui keluarga dan sahabat handai di negara sendiri sudah mengakrabi diri. Kini, tugas menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar menjadi seorang murabbi kepada bangsa, agama, masyarakat dan negara merupakan keperluan yang utama. Dan, amanah itu bakal digalas selepas ini.

“Kita sudah tiba di akhir Ramadan.” Nuaim mengingatkan.

INFO: SYAFIQ Zulakifli yang lahir pada 8 Ogos 1985 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif dan bergiat dalam genre puisi dan cerpen. Karyanya pernah mendapat tempat dalam media arus perdana seperti Berita Minggu, Majalah Fokus SPM, Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia. Kini menuntut di Kaherah, Mesir dan pernah mengikuti Bengkel Penulisan Karyawan Muda Luar Negara.

Cerpen: Durian Tembaga dan...

Oleh A Rahman CM

2010/07/24

JUNID memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Junid mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat.

Lalu Junid menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Junid tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.

eberapa hari juga Junid menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Junid tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Monyet muncul, monyet ditembaknya.

Tupai datang, tupai ditembaknya.

Kera tiba, kera ditembaknya.

Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Junid akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Junid nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga.
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Junid.

Terima kasih kerana Tuk Ku sudi.

Aku yang patut berterima kasih.

Junid nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis.

Junid bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Junid. Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah.

Junid memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Junid.

Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu.

Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu.

Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam.

Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya.

“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid.

Junid senyum.

“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya.

Junid sadin.

“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.”

“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.”

“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.”

“Saya bimbangkan kera.”

“Hammm! Yalah.”

“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Junid.

“Perangai kera.”

Mata Junid pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya.

Janah senyum melihat itu.

“Baru terasa lapar?” Tanya Janah.

Junid sengih.

Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu.

Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu.

Pagi itu setelah selesai solat Subuh Junid sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Junid mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Junid kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Junid segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya.

Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Junid. Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Junid, beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Junid.

Mata Junid segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Junid segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Junid lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Junid tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Junid.

Sepi buat seketika.

Junid balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Junid menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ.

Angin pagi yang lembut menyamankan Junid. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Junid ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Junid membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya.

Junid pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu.

“Dah gugur? ” Tanya Janah.

“Rezeki awak,” kata Junid sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Junid menghulurkan kepada Janah.

Dengan senyum Janah mencapai seulas.

Junid juga mencapai seulas.

“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Junid.

“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.”

Junid dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Junid. Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’

“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Junid.

Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca.

Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Junid berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Kipli anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Kipli.

Junid kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya.

“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Kipli.

Junid sengih pada wajah Kipli.

“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Kipli lagi.

Junid memandang wajah Kipli.

Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Kipli meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka.
Durian gugur lagi.

Kipli pula yang datang mengambil buah durian itu.

“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Kipli sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu.
Junid sengih pada wajah anaknya.

“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Kipli.

“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Junid.

Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Junid. Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu.

Keluarga Junid terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’
Petang itu tinggal Kipli dalam kebun durian itu. Junid ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Junid merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’

Anak dan cucu-cucu Junid sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Junid dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Junid sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Junid gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.

Junid diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya.

Junid merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak.

“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan.

“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “

“Pakai lastik.”

“Tak sampai.”

“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Junid.

“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”.

“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?”

“Apa daya saya,” kata Junid. Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu.

Buah-buah durian tembaga Junid sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Junid dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Junid tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu.

Dan Junid, sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Junid siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu.

Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur.
Junid tetap menunggu.

Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.
Junid tetap patuh menanti.

Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur.
Junid tetap setia menunggu.

Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur.
Junid tetap taat menanti.

Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Junid mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Junid. Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Junid segera ke tempat itu.

Junid sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Junid menggeleng-gelengkan kepalanya.

Kenapa kamu baru gugur?

Tidak ada harganya lagi.

Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat.

Bau masam kamu menyesak hidung.

Kasihan.

Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu.

Junid menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam.

Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa.

Junid terus menggeleng-gelengkan kepalanya.

INFO: Penulis
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat, mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.