Suria Masih Menanti

Suria Masih Menanti
Oleh Peter Augustine Goh

2010/04/10

TAHUKAH anda pantun dua kerat itu mengingatkan saya pada air jernih yang kerap kali tumpah dari kolam mata ibu? Betapa air mata itu mencucuh lalu mengalir deras di tebing pipi ibu saya yang kedut. Pantun ibu itu walaupun pendek, meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup saya sampai kini. Berkesan, kerana pernah suatu masa dahulu ( 3 tahun sudah), saya tanpa sengaja seperti mentertawakannya. Dan tanpa berkurang ajar sedikit pun, ucapan terlontar dari bibir saya, “Jangan terbawa-bawa, mak. Sudah setahun. Redalah. Tuhan lebih menyayangi ayah. Kalau mak sakit, mak juga yang susah nanti.”

Ibu meningkah pilu, “Kau mana tahu.” Diikuti dengan terharu, pantun dua kerat yang sayu.
Dan kini bila terkena batang hidung sendiri, saya terdiam macam orang bodoh. Malah, lebih kelihatan kebodoh-bodohan daripada ibu. Terasa saya diketawakan penuh sinis.
Oh, bagaimana dapat saya melupakannya. Kata-kata keramat dalam pantun itu ada benarnya. Sedikit pun tidak ada yang tidak benarnya. Semuanya ada kaitan dengan seorang wanita. Wanita kesayangan saya bernama Suria.

(ii)
“SUDAH dua tahun kita tak berjumpa, Suria.”

“ Ya, terasa begitu lama. Ke mana kaumenghilang? Jangan-jangan dalam dua tahun itu, kau ada mata air baru. Betul kan?” ucap Suria dengan nada suara yang halus mersik.
“Tak benar, Suria. Kaulah satu-satunya dalam hidupku. Aku menangis dan ketawa untuk kau saja, manis. Tak percaya tanya ibu.”

Suria tunduk malu, tersenyum manis bunga cengkih. Dia tahu ibu saya tak pernah berbohong. Tapi matanya ketika itu terpejam sambil mengunyah makanan di restoran Cina Islam itu.

“Mengapa kaupejamkan mata? Agak lama pula tu.”

Dengan mata masih terpejam, Suria menyahut satu-satu, “Apabila kita pejamkan mata, khayalan kita seolah-olah lebih jelas. Dengan mata terkatup, makanan dalam mulut kita lebih nikmat.”

Saya tertawa. Dan dia melihat saya masih tertawa. “Ada-ada saja kau ni, Suria. Sesungguhnya makanan di sini memang lazat. Kalau tidak, masakan restoran ini adalah antara yang terbaik di kota ini.”

Memandangkan saya berbuat sedemikian, Suria menanya dan sekali gus menduga saya pula, “Aliman, mengapa kaupejamkan mata sambil ketawa?”

“Apabila aku memejamkan mata, idamanku untuk melamar kau sebagai tunangku lebih jelas lagi. Dan dengan mata terkatup, ketawaku lebih puas. Dan aku pasti, apa yang aku fikirkan paling indah dalam dunia ini terletak pada perkara-perkara yang tidak nampak. Dan tidak nampak itu akan menjadi nampak jika kau terima lamaranku. Bagaimana?”

Pada tahap ini, mungkin anda mentertawakan saya kerana cuba berfalsafah. Dan saya akan membuat anda berhenti ketawakan saya dan menghadiahi anda bunga pertanyaan. Apakah benar falsafah saya itu berkembang dan harum hingga dipetik Suria ketika itu? Jawapannya tentulah ‘ya’. Selepas setahun mengikat tali pertunangan, Suria akan menjadi isteri saya.

(iii)
IBU dan ayah sempat melihat puteranya yang berusia 30 tahun ketika itu bertunang. Tetapi di tengah-tengah kebahagiaan saya menjunjung piala pertunangan, ayah telah kembali menyahut panggilan Ilahi kerana sakit jantung.

Innalillahi wainnailaihi rajiun. Siang malam ibu kaya dengan air mata. Dan saya pula tidak lokek memberikannya nasihat. Nasihat supaya ibu reda saja kepada Allah. Barang yang lepas jangan dikenang. Kalau tidak, nanti merana diri.

(iv)
KATA orang malang tidak berbau. Dan saya sedikit pun tidak menafikannya. Kerana tidak dapat bau busuknya hati Abu Bakarlah maka saya telah diberkas kerana kesalahan dadah. 80 biji pil ecstasy telah menendang saya ke penjara.
Senang saja hakim menjatuhi saya hukuman. Dari mulutnya selepas perbicaraan beberapa hari itu, tercatat dengan rasmi dalam rekod mahkamah rendah - lima tahun penjara dan 10 kali sebatan.

Ya Allah! Apalah dosa saya sampai boleh terperangkap dalam hati busuk Abu Bakar yang tak berbau itu? Saya tak pasti. Tapi apa yang amat pasti, semasa di penjara reman, tunang saya, lebih tepat bakal isteri saya dan sekali-sekali ibu saya yang uzur melawat saya. Begitu setia Suria. Kesetiaannya begitu menebal hingga rela dan sanggup menanti dengan sabar akan rayuan saya didengar di atas kes saya yang berat itu.

(v)
Berani kerana benar. Itulah saya. Suria telah sama-sama membelanjakan banyak wang untuk mendapatkan khidmat peguam. Peguam bela berbangsa Sikh dalam kes rayuan saya itu menyanggah keterangan saksi pendakwa, kenalan saya, Abu Bakar.

Ya, dia menyanggah habis-habisan yang saya bukan pembekal dadah kepada Abu Bakar. Memang saya telah diberkas oleh sekumpulan ahli narkotik di sebuah pusat penjaja yang ketika itu sedang membawa sebuah beg plastik mengandungi pil jahanam itu. Tetapi tiada sebiji pil pun dijumpai pada tubuh saya atau di rumah saya. Ujian air kencing pun tidak berani menderhaka kepada saya. Masakan berani, kerana saya tidak pernah berjinak-jinak dengan apa jenis dadah sekalipun. Apatah lagi menghisap rokok.

Abu Bakar keterlaluan. Dia benar-benar telah membakar hangus sebuah persahabatan hingga menjadi abu ketidaksenangan. Hatinya terbakar kerana saya dituduhnya merampas Suria daripadanya. Padahal dia sendiri telah menodai kasih Suria. Siapa mahukan seorang lelaki kaki botol dan kaki judi sebagai suami? Juga kaki pukul dan kaki hisap dadah? Saya telah menyelamatkan Suria daripada sungai suasana yang keruh.

Peguam bela saya telah melawan kes hingga ke akhir. Dia benar-benar mendebatkan bahawa testimoni saksi pendakwaan bernama Abu Bakar itu tidak konsisten. Sudah tentulah kewibawaannya tergugat dan dipersoalkan. Saksi tunggal (hanya saya saja yang tahu Abu Bakarlah yang telah memasukkan pil-pil jahanam itu ke dalam beg plastik) mempunyai motif untuk membohongi mahkamah kerana dia hendak mendapatkan hukuman yang lebih ringan untuk dirinya sendiri.

Saya berani bersumpah dengan nama Allah SWT yang saya telah bertemu dengan Abu Bakar di pusat penjaja pada suatu malam Ahad itu kerana hendak mengambil balik wang sebanyak $300/- daripada dia yang telah saya pinjamkan kepadanya tiga bulan sebelumnya.

Maha Suci Allah. Dia telah membuka mata hati hakim. Hakim berbangsa Cina itu menyesali akan pihak pendakwa raya yang tidak mengemukakan kenyataan objektif seperti teks pesanan ringkas saya dengan Abu Bakar atau bekas cap jari di beg plastik yang mengandungi barang kes penting itu.

Allahuakbar! Saya di pihak yang benar. Hakim yang mendengarkan kes rayuan itu bersetuju dengan hujah peguam bela saya yang dalam lingkungan usia 40-an tahun. Hakim yang bijaksana lagi adil juga berpendapat cerita saya adalah sesuatu yang wajar dan konsisten semasa pemeriksaan balas.

Dengan cerita dan hujah peguam bela saya itu, saya dibebaskan daripada hukuman yang dikenakan ke atas saya sebelum itu.

Saya tidak mahu bercerita panjang lagi akan Abu Bakar. Saya tidak bermusuh dengan dia walaupun dalam erti kata sebenarnya, dia telah menganiayai saya.
Juga saya tidak membencinya sebagai manusia. Kerana membenci seseorang itu samalah seperti membenci satu ciptaan Tuhan yang mulia. Apa yang saya tidak senangi ialah sifatnya amat bercanggah sebagai satu ciptaan Tuhan yang sempurna itu. Tidak lebih daripada itu.

Abu Bakar telah menunjukkan betapa orang yang tidak jujur, lidahnya juga berbelit-belit hingga apa yang dihujahnya tidak lurus. Dia juga lupa doa seorang yang dizalimi amat dimakbulkan Tuhan. Saya mendapat tahu kemudiannya, Abu Bakar telah diserang angin ahmar dan mulutnya herot. Badannya mati sebelah.

Seperti saya katakan tadi, saya tidak pernah bermusuh dan mendendaminya. Saya doakan dia sembuh dan kembali bertaubat sebelum terlambat. Dia juga ada ibu, bapa dan orang-orang yang disayanginya. Saya juga tahu perasaan orang-orang yang menyayanginya tentu remuk. Sedih bertali-temali. Sebusuk-busuknya darah daging sendiri, dimamah juga.

Tahukah anda, Suria telah bertepuk tangan dan menangis penuh kesyukuran dan kelegaan atas keputusan itu. Ibu lebih-lebih lagi.

(vi)
TIDAK lama setelah saya dibebaskan, ibu kembali ke Rahmatullah kerana sakit tua. Atau kerana terlalu rindukan ayah? Dan dia tidak sempat melihat saya mendirikan masjid dengan orang yang saya cintai. Tapi saya tidak pernah lupa rintihan hatinya.

“Kau mana tahu? Perasaan dan air mata seorang anak kepada bapa tak sama macam perasaan dan air mata seorang isteri kepada suami. Lebih-lebih lagi kalau suami itu adalah yang terbaik baginya.”

Tidak cukup dengan itu, ibu berpantun:

“Orang Cina orang Melayu,

Belum kena belum tahu.”

(vii)
TIDAK ada sakit, tidak ada sebarang penyakit. Dalam tidurnya yang lena, Suria menyahut panggilan Ilahi juga. Sudah suratan, dia turut berpulang setelah hampir setahun menjadi isteri saya.

Saya tidak dapat melupakan diri saya terasa diselubungi keharuman yang nyaman sekali apabila saya turun ke liang lahad untuk menolong mengalihkan muka Suria supaya menghadap kiblat. Itu tandanya malaikat-malaikat telah datang menyambut arwah.

Saya juga menghadiahkan surah Yassin kepada arwah Suria kerana saya tahu dengan iringan doa kuburnya selalu harum.

(viii)
KINI sudah hampir setahun Suria meninggalkan ‘pelabuhan usang’ ini. Dia telah lama belayar bersama-sama ibu dan arwah ayah saya. Tapi saya tetap di takah lama. Masih kaya dengan air mata seperti ibu kepada arwah ayah dulu.

Di dalam kamar tidur yang pernah saya kongsi bersama Suria menjunjung piala kasih sayang sebagai suami isteri, saya membiarkan angin 11.00 malam mengusap-usap muka saya yang bujur sirih. Dari mulut saya yang bergetar, terucap penuh keterharuan, “Benar mak. Kata mak dulu sedikit pun tidak ada yang tidak ada benarnya. Bukan saya tidak reda. Tapi tanpa diminta-minta, air jernih ini tetap juga mahu tumpah dari kolam mata. Hati pula begitu sayu sekali. Saya tak terdaya mengusirnya.”

Dalam hati saya pula berbisik. Khas untuk Suria, “Sayangku, abang tahu Suria masih terus menanti. Tidak cukup di dunia ketika abang ditimpa masalah berat itu, di Janatum-Naim pun Suria akan berbuat sedemikian. Insya-Allah!”

Terima kasih saya ucapkan kepada anda budiman kerana masih setia mendengar secebis kisah saya. Nilailah sendiri pantun dua kerat itu. Mudah-mudahan anda mendapat semacam iktibar juga. Selamat malam.

INFO

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenangi nya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003.

Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Sabtu, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris ditaip di atas kertas A4, langkau dua baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Nombor akaun Maybank atau CIMB perlu disertakan bagi urusan pembayaran honororium jika karya tersiar.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.