Strawberi Dari Pergunungan

Strawberi Dari Pergunungan
Oleh Mohamad Kholid Hamzah


2010/05/22

pix_gal0
SINAR pagi mencelah, memecahkan kabus yang memutih menguasai kehijauan. Sesekali bayu pergunungan berhembus, dingin menggigit. Mengemaskan tubuh yang dibalut dengan baju panas, memerangkap haba yang mahal harganya tika suhu persekitaran hanya sekitar 18°C.

“Sayur! Sayur! Lima belas paket sepuluh!”
Teriakan penjual-penjual sayur yang rata-rata gadis-gadis manis dari tanah seberang menggamit. Sesekali Solleh menoleh, melayani keramahan gadis-gadis apatah lagi dia boleh berbahasa seperti mereka.
“Melayu semakin tersisih di mana-mana,” jelas Adzlan Sulong, mahasiswa Tahun Akhir yang menjalankan penyelidikan beberapa minggu di daerah tanah tinggi itu.

“Kenapa? Bukankah pegawai kerajaan, penguatkuasa semuanya berbangsa Melayu?
Masakan boleh tersisih,” tukas Solleh. Setiap orang mempunyai kewajipannya dan jika mereka menunaikan kewajipan mengikut laras undang-undang dan kemanusiaan – dunia ini sudah cukup sempurna.

“Lihat pemilikan harta dan perniagaan. Lihat rumah-rumah setinggan Melayu di pinggir-pinggir kota malah mungkin di sini juga. Bukankah seharusnya mereka mendapat pembelaan?” ujar Adzlan Sulong tegas.
Solleh faham perasaan Adzlan Sulong. Mahasiswa yang penuh idealis, antikapitalisme dan beranggapan dirinya pejuang rakyat marhaen.

“Kita semua mempunyai pilihan,” kata Solleh tenang. “Desakan hidup mungkin menjadi satu sebab tetapi kita sebagai manusia mempunyai pilihan untuk mengatasinya. Malangnya, orang sukar mahu berubah. Apatah lagi mahu berhijrah.

Malah dalam membuat pilihan, mereka sering membuat pilihan yang salah.
Contohnya kaulihat antara pekebun sayur di tanah tinggi ini dan pekebun di kampung – pekebun di sini membeli kenderaan serba guna atau pick-up, sebaliknya pekebun di kampung membeli kereta. Bukankah pekebun sewajarnya memerlukan kenderaan pick-up untuk memasarkan hasil pertanian?”

Kata-kata Solleh ada benarnya, harga getah melambung dan ramai penoreh getah yang membeli kereta. Sewajarnya mereka membeli lori atau pick-up yang kemudian boleh digunakan untuk kegunaan pengangkutan pertanian.

“Kau kena hentikan sikap menyalahkan Adzlan. Melayu tak mungkin akan maju jika bersikap menyalahkan. Lihat, apabila bencana alam melanda – ada yang menyalahkan kerajaan kerana sistem saliran cetek. Malah ada yang menyalahkan Tuhan barangkali kerana rumah dan keretanya hapus ditelan bah. Bukankah ia takdir dan sebagai manusia yang beriman kita harus menerima dengan pasrah,” kata Solleh panjang lebar. Dia sudah berumur lewat empat puluhan, sudah masak dengan hukum perniagaan, hukum rimba dan hukum alam.

Mereka mencari sebuah bangku di sudut kebun strawberi. Bernaung di bawah teduhan para-para strawberi yang bergantungan. Seorang pelayan manis, ramah menanyakan pesanan.

“Kita juga kena lihat bagaimana peluang dibuka untuk mereka hidup. Bagaimana mahu memulakan langkah mahu berniaga jika ruang dan peluang tidak dibuka?” tanya Adzlan Sulong dengan mata yang mengecil.

Solleh ketawa kecil.

“Manusia tidak akan belajar dengan mudah. Kau tidak pernah baca buku Budaya Usahawan oleh Salleh Majid? Mahasiswa dan lepasan sekolah hendaklah berfikir untuk menjadi majikan dan bukan menjadi pekerja. Setiap langkah yang gagal akan menjadikan seorang usahawan lebih kuat biar berapa kali pun dia rebah.”

Solleh mencintai buku, bukan hanya sebagai peminjam di perpustakaan, tetapi dia membeli dan membaca dengan tekun. Malah setelah beberapa kali menghadirkan dirinya ke perpustakaan, Solleh kecewa. Perpustakaan hanya layak menjadi santapan remaja – dengan buku-buku remaja, sedikit buku ilmu dan tidak mengikut keluaran terkini. Dirasakan himpunan buku-buku di rumahnya lebih bermakna dari bangunan indah perpustakaan yang sunyi. Entah di mana silapnya, Solleh tidak pasti. Tetapi dia pasti satu perkara – mungkin pustakawan juga sudah jelak melihat buku-buku yang menimbun di hadapan matanya. Lantas mengambil mudah dalam persembahan kepada khalayak. Tiada majlis bersama penulis, pertandingan bercerita atau membaca, diskusi mengenai buku mahupun lontaran suara daripada pengucapan puisi. Perpustakaan sepatutnya lebih hidup.

“Ya, benar katamu itu. Melayu sepatutnya lebih kuat dan berdaya saing,” Adzlan Sulong mengakui.

“Suatu masa dahulu ada seorang Orang Asli pernah mengadu pada kami. Buruh-buruh Bangladesh, Indonesia dan Nepal sudah menguasai tanah tinggi ini. Mereka sudah kehilangan pekerjaan. Jika dahulu Orang Asli yang bekerja di kebun-kebun, sekarang tidak lagi. Mereka hanya mengambil upah mencari kayu pancang tomato.
Aku fikir-fikir – ada rasionalnya majikan ambil buruh asing untuk perkebunan.
Mereka rajin dan tidak kuat mengelat seperti buruh-buruh yang lama itu.”

“Sekarang kau faham – antara kehendak majikan dan keperluan pekerja hendaklah sealiran,” balas Solleh sambil menepuk bahu temannya itu. Sekali lagi dia membalas lirikan penjual strawberi itu dengan senyuman.

“Strawberi, bang. Manis,” pujuk penjual sayur itu.

“Tentu semanis anda,” balas Solleh.

Adzlan Sulong ketawa dengn gelagat Solleh. Sahabatnya itu bukan orang Melayu sejati, sebaliknya Melayu celup katanya. Lahir dan dibesarkan di Christchurch. Hanya berdarah Melayu mengikut jurai bapa. Malah hanya belajar berbahasa Melayu setelah meningkat umur.

“Itulah kekurangan untuk menghidupkan wajah Melayu perlu berfikir dan hidup seperti orang Melayu. Bukan Melayu celup dan kemudian mengeluarkan idea dan pandangan seperti Melayu sejati,” sanggah Adzlan Sulong satu waktu dahulu sebaik sahaja mereka berkenalan dalam satu persidangan.

Solleh memahami kini dan dia sudah melihat bangsanya melalui mata orang Melayu juga. Orang Melayu yang sepatutnya jarang marah-marah, jarang menyalahkan orang lain dan melebihkan ibadat berbanding kepentingan yang lain.

“Tetapi wajah Melayu itu semakin hilang,” beritahu Solleh.

“Bagaimana?”

“Mudah. Sudah ramai yang tidak membaca buku dan akhbar tulisan orang Melayu.
Ramai yang membaca akhbar Inggeris kerana pada pandangan mereka akhbar Inggeris lebih keras dan lantang mengupas isu. Sedang akhbar Melayu sepatutnya lebih jujur,” jelas Solleh tanpa berselindung.

“Ayuh,” ajak Adzlan Sulong lalu bangkit dari bangkunya.

“Kenapa?” tanya Solleh, masih enggan untuk melepaskan bangku enak di bawah payungan para-para strawberi yang mula merah jingga.

“Terasa bahangnya kata-katamu itu,” balas Adzlan Sulong sambil tersenyum.

“Nah. Itulah jiwa Melayu. Mengakui apa yang sebenarnya berlaku,” jelas Solleh sambil ketawa, menyelongkar isi hati Adzlan Sulong dengan jujur.

Mereka berjalan beriringan antara ratusan pelancong yang mengerumuni Ladang Kea. Sesekali penjual sayur menggamit mengajak mereka singgah dan hanya dibalas dengan senyuman yang mesra. Tanah tinggi ini hidup kerana cuacanya, hutannya yang menghijau, perkebunan sayur dan strawberi yang menguasai lembah.

Memberikan nafas yang indah, tenaga dan menakjubkan. Menjadi tempat persinggahan walau hanya sebentar untuk insan lari daripada kepanasan dan kesibukan kotaraya.

“Hari ini aku akui yang Solleh bukan Melayu celup lagi,” kata Adzlan Sulong sewaktu mahu berpisah.

“Kau sudah berfikir seperti orang Melayu dan itu yang bukan mudah untuk difahami. Bila kita bercakap mengenai integrasi dan perpaduan, mungkin hanya lidah kita yang menggerakkan. Bukan lidah orang lain.”

“Setiap sesuatu mesti dimulai dengan satu langkah – pastikan langkah itu kita sendiri yang lakukan. Sedar atau tidak budaya dan pemikiran inilah yang menjadi ikutan,” balas Solleh bersungguh-sungguh.

Solleh melepaskan Adzlan Sulong pergi. Mereka berpisah dengan fikiran yang sarat daripada perbualan panjang. Adzlan Sulong akan kembali ke kampus di kota raya dengan sebekas strawberi jingga ranum dari pergunungan. Kata orang manis jika digigit dalam hawa yang nyaman di pergunungan, masam apabila melalui kepanasan perjalanan ke tanah datar.

PROFIL

MOHAMAD Kholid Hamzah dilahirkan di Tanjung Karang, Selangor pada 15 hb Disember 1970. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Datuk Manan, Tanjung Karang dan menengah di Sekolah Menengah (Lelaki) Bukit Bintang, Petaling Jaya. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia dan mendapat Diploma Pembangunan Manusia pada 1991. Mendapat Diploma Psikologi (Kaunseling), Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 2001.

Menulis dalam genre puisi, cerpen, novel kanak-kanak dan novel dewasa. Cerpen dan puisinya mendapat tempat dalam di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Melayu Mingguan dan Tunas Cipta. Novel kanak-kanaknya, Siri Penyiasat Ekstrovert mendapat sambutan di kalangan pembaca. Terowong Rahsia, Sesat di Bukit Fraser, Serangan Amfish, Lolongan Misteri, Pedang Yamashita, Misteri Vila Penn, Kucing Utusan, UFO, Nota dari Laut dan Merpati Pelumba Maraton ialah antara tajuk novel dalam Siri Penyiasat Ekstrovert yang diterbitkan PTS One Sdn Bhd. Novel dewasanya, Kabus di Perbukitan (DBP, 2006), Desir Angin di Perbukitan (DBP, 2007) dan Rahang Maut (PTS, 2009).

Cerpennya, Anugerah, memenangi hadiah sagu hati Hadiah Sastera Berunsur Islam XI, 2005. Novel Kabus di Perbukitan memenangi hadiah sagu hati Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006. Cerita Bersiri Pengembaraan Si Belimbing memenangi hadiah utama katogeri kanak-kanak, Pertandingan Menulis Cerita Bersiri Kanak-kanak/Remaja Karyanet-DBP, 2006.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.