Sebidang Tilam

Sebidang Tilam
Oleh A Rahman CM

2010/05/15

RAHIM memandang wajah anaknya Abdul yang sedang membuka surat di kerusi di hadapannya. Isterinya Tina juga menumpukan perhatian pada wajah Abdul yang kelihatan seperti ragu-ragu untuk membuka surat yang baharu diterima daripada posmen itu.

Akhirnya surat itu muncul juga di tangan Abdul. Dia menatap. Tidak lama. Kepalanya melayah ke belakang, lalu Abdul bersandar pada kusyen. Seluruh raut wajahnya menggambarkan satu kekecewaan yang berat.
Rahim berdiri lalu mencapai surat yang terkulai di tangan Abdul anaknya itu. Dia balik duduk di sebelah isterinya. Dia membuka surat itu. Tina ikut memandang surat itu. Lalu kemudian wajah keduanya memandang pada Abdul.
Mata Rahim luas pada wajah Abdul. Tina cuma berwajah kering seperti Abdul menunjukkan kekecewaannya.

“Dah berapa kali kamu temu duga?” Tanya Rahim. Matanya tetap luas pada wajah Abdul.

Abdul tidak menjawab.

“Bedulull!” Suara Rahim sedikit tinggi.
Abdul memandang wajah ayahnya.

“Ayah tanya, dah berapa kali kamu temu duga?”

“Lima kali,” desis Abdul.

“Lima kali?” Badan Rahim terdorong ke hadapan.

Abdul mengangguk.

“Ini saja jawapan mereka, maaf, tuan tidak berjaya, begitu?”

Abdul mengangguk lagi.

Tina memandang wajah suaminya di sisi. Lama.

“Apa kena dengan kamu?”

Abdul tunduk. Dia kelu.

Rahim menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mustahil kamu tak layak. Tentu ada silap di mana-mana dalam masa kamu ditemu duga.”

Abdul tunduk terus. Dia jadi bisu.

“Macam mana rambut kamu masa temu duga?” Tanya Rahim.

“Biasalah ayah.”

“Biasa, kamu sikat tak?”

“Sikat.”

“Pakaian kamu?”

“Biasalah ayah.”

“Cakap kamu. Ada kamu beri salam ketika masuk bilik temu duga?”

“Ada?”

“Kamu duduk sebelum di suruh duduk?”

“Tidak.”

“Sikap kamu macam mana?”

Tina memandang anaknya Abdul agak seketika yang sedang menghadapi temu duga daripada suaminya. Kemudian wajahnya balik pada suaminya. Dia rasa sesuatu yang lain penerimaan suaminya hari itu terhadap kegagalan anaknya dalam temu duga untuk memasuki maktab perguruan.

“Maksud ayah?”

“Yalah! Penemuduga tu memerhati seluruh badan kamu, wajah kamu, cara kamu bercakap, cara kamu bergerak. Ada kamu tunjuk sikap kurang ajar kamu di hadapan mereka?” Wajah Rahim kering pada wajah anaknya itu.

“Tidak. Saya hormat. Suara saya perlahan sekadar cukup mereka dengar.”

Rahim menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia kemudian menoleh pada Tina isterinya di sebelah. Agak sejurus dia memandang anaknya di hadapan.

“Ini tentu ada silap kamu di mana-mana, Bedul. Pergi ambil semua sijil kamu, ayah nak tengok,” kata Rahim.

Rahim berdiri. Dia berlalu ke dalam.

“Dulu Bedul temu duga askar, gagal. Sedangkan dia layak. Lepas tu temu duga kerani, gagal juga. Temu duga polis, gagal. Temu duga bomba, gagal juga. Ini yang kelima. Gagal lagi. Dia sudah lulus peperiksaan bertulis untuk masuk maktab perguruan tu. Tapi gagal juga. Apa cerita?” Wajahnya pada wajah Tina.

Tina tidak tahu untuk menjawab.

Abdul datang dengan sebuah fail. Dia serahkan fail itu kepada ayahnya. Dia balik duduk pada kerusinya di hadapan ayahnya.

Rahim membuka fail anaknya. Dia capai Sijil Rendah Pelajaran (SRP) Abdul. Dia menatap sijil itu. Tidak ada cacat di mana-mana. Rahim simpan. Dia capai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Abdul. Rahim renung butiran dalam sijil itu. Tidak ada cacat apa-apa. Bahasa Melayu B, Bahasa Inggeris B, Fizik A. Matematik A, Kimia B, Agama Islam A, Biologi B, Matematik Tambahan C, Prinsip Akaun A dan Sejarah A.

Lama mata Rahim merenung sijil itu. Dia puas hati terhadap sijil itu. Rahim membiarkan Tina mencapai sijil itu. Agak sejurus kemudian Rahim mencapai Sijil Berhenti Sekolah (SBS) Abdul pula. Dia teliti fasal demi fasal. Elok dengan kegiatan ko-korikulumnya. Tetapi tiba-tiba matanya luas apabila sampai pada ruangan kelakuan pelajar. Mata Rahim luas memandang tulisan ‘Hampir Baik’ yang tertulis di ruangan itu.

“Hahhhh!” Rahim merengus. Dia memandang wajah anaknya Abdul yang juga sedang memandang padanya itu.

Tina di sebelah Rahim terkejut. Dia lalu menatap wajah suaminya itu. Dia nampak suaminya itu memamah giginya sendiri.

“Apa yang kamu buat di sekolah?” Tinggi suara Rahim.

Abdul tunduk.

“Ayah tanya Bedul?”

Abdul jadi batu.

“Bedullll! Apa yang kamu buat di sekolah?”

“Ta...ta...tak ada apa-apa. Biasa saja.”

“Mana boleh. Ini puncanya kamu gagal dalam lima kali temu duga itu,” kata Rahim sambil mengangkat SBS Abdul.

Abdul tunduk. Ia jadi kayu pula.

Tina mencapai SBS Abdul dari tangan suaminya.

“Kelakuan anak awak tidak baik. Cuma hampir baik. Temu dugalah seratus kali untuk jawatan apapun, dia tak akan berjaya. Tidak ada majikan yang akan mengambil calon pekerja yang kelakuannya tidak baik,” kata Rahim. Dia bersandar pada kusyen.

Tina memandang wajah anaknya Abdul di hadapannya.

“Saya nak jumpa pengetua sekolah Bedul. Kamu ikut, Bedul” kata Rahim. Dia terus berdiri.

“Saya ikut,” Tina ikut berdiri.

“Awak ikut buat apa?”

“Bedul anak saya. Nak juga saya tahu hal Bedul di sekolah.”

Rahim merengus.

“Abang tu panas baran. Nanti abang mengamuk di sekolah tu. Tak pasal-pasal abang masuk lokap polis nanti,” kata Tina pula.

Bedul yang masih di kerusi kaku.

“Kenapa kamu Bedul?” Bulat mata Rahim pada wajah Abdul.
Abdul jadi tunggul.

“Kamu kena ikut ayah ke sekolah kamu. Faham?” Tinggi suara Rahim.

Rahim berdiri. Tina ke biliknya menghias diri secara sederhana. Dia kemudian meluru keluar membuntuti suaminya yang menarik tangan Abdul keluar rumah.

Sampai di hadapan pintu pagar sekolah, mereka dibenarkan masuk oleh jaga yang bertugas, tetapi terpaksa berjalan kaki. Kereta mesti ditinggalkan di luar pagar sekolah. Hanya kereta dari Jabatan Pelajaran sahaja yang boleh masuk ke dalam kawasan sekolah. Pelawat-pelawat biasa lain mesti masuk dengan berjalan kaki.

Mereka kemudian berhadapan dengan pengetua setelah menunggu beberapa minit kerana pengetua ada hal dengan seorang guru.

Pengetua menjeling pada Abdul. Dia kenal. Kemudian dia senyum pada Rahim.
“Ada apa-apa boleh saya bantu, Encik Rahim?” Tanya Pengetua. Dia bersandar.

Rahim tidak segera membuka mulut. Dia mengunjukkan SBS Abdul ke hadapan Pengetua yang segera dicapai oleh Pengetua.

Pengetua memandang sejurus pada SBS Abdul. Dia senyum. Kemudian dia memandang wajah Rahim.

“Saya nakkan penjelasan kenapa ruangan kelakuan anak saya ini ditulis ‘Hamir Baik’?”

“Penjelasan akan diberikan oleh guru disiplin, warden asrama dan ustazah. Boleh Encik Rahim sabar. Saya akan panggil mereka,” jawab Pengetua.

Abdul memandang kakinya sendiri. Wajah di hadapannya itu pernah merotannya di khalayak murid semasa perhimpunan.

Pengetua mengangkat intercall. Dia memberitahu kerani yang menjawab supaya menjemput Cikgu Samad, Cikgu Syukur, Cikgu Zaini dan Ustazah Ramlah. Pengetua kemudian meletakkan intercall. Dia balik memandang Rahim.

“Lima kali anak saya ini alami temu duga, tetapi gagal. Saya rasa sijil itulah puncanya,” kata Rahim.

“Kami tulis berdasarkan kelakuan pelajar kami di sini,” kata Pengetua.

“Apa salah anak saya, tuan?” Tanya Tina.

“Ia melebihi kesalahan biasa. Ada bersifat peribadi. Ada melibatkan guru dan ada yang melibatkan sekolah. Kami tidak kisah kalau ia hanya melibatkan peribadi. Kerana hal peribadi itu bergantung dirinya dengan Allah,” kata Pengetua.

“Tetapi anak saya bijak. SPMnya baik,” kata Rahim.

“Akademik yang baik tidak mencerminkan kelakuannya juga baik. Ada yang dapat 10A pun berkelakuan macam samseng di sekolah. Dan kami tidak akan kompromi kalau kelakuan pelajar melibatkan orang lain atau sekolah,” kata Pengetua.

Cikgu Samad, Cikgu Syukur dan Ustazah Ramlah masuk. Mereka serentak memberi salam. Mereka mencapai kerusi lalu duduk pada ruang agak ke belakang Pengetua.

“Encik Rahim, ayah Abdul ini hendakkan penjelasan kenapa kelakuan Abdul ditulis ‘Hampir Baik’,” kata Pengetua lalu menyerahkan SBS Abdul kepada Ustazah Ramlah.
Abdul terus tunduk.

“Untuk makluman Encik Rahim Abdul ini terlibat melakukan kesalahan terhadap gurunya sendiri,” Pengetua memandang wajah Rahim yang kering di hadapannya.

“Saya nak tahu,” kata Rahim.

Pengetua mengangguk.

“Saya guru disiplin,” kata Cikgu Samad. Dia memandang Rahim dan Abdul bergilir-gilir.

Mata Rahim pada wajah Cikgu Samad.

“Abdul pernah tunjukkan buku lucah kepada guru sejarah yang masih gadis,” kata Cikgu Samad.

Seperti spring wajah Rahim ke kepala anaknya yang tunduk.

“Itu kesalahan melibatkan orang lain,” kata Pengetua.

Rahim memamah giginya sendiri.

“Abdul pernah curi tilam asrama,” kata Cikgu Syukur warden asrama.
Mata Rahim bulat pula pada kepala anaknya yang tunduk.

“Itu kesalahan melibatkan sekolah,” kata Pengetua.

Rahim memamah giginya lagi. Tangannya kedua-dua belah bergerak-gerak. Mujur ada Tina di tengah-tengah antaranya dengan Abdul. Dia kemudian dengan wajah kering memandang Pengetua.

“Tentang dia merokok, itu hal peribadi dia, kami tak kisah. Malah ada kes-kes gaduh dengan pelajar lain, kami selesaikan.” kata Pengetua lagi.

Sejak Tina mendengar suara Cikgu Samad yang mengatakan anaknya Abdul pernah menunjukkan buku lucah pada guru sejarahnya yang masih gadis tadi, Tina menundukkan kepalanya. Dan kepala itu terus tunduk. Dia terasa seperti mukanya disimbah dengan najis oleh anaknya sendiri.

“Lalu macam mana tuan, tak boleh ke sijil itu diganti?”

“Boleh. Tapi Abdul kena hantar balik tilam asrama. Kedua dia mesti mohon maaf dengan Cikgu Zaini, guru sejarahnya yang dia tunjukkan buku lucah itu. Itu saja. Kami sudah hukum dia sebagai kesalahan disiplin. Tetapi Abdul belum minta maaf dengan gurunya itu,” jawab Pengetua.

Rahim berdiri. Dia ke belakang Abdul.

Tina ikut berdiri. Dia memegang bahu suaminya.

“Encik Rahim, ini pejabat saya. Jangan berlaku apa-apa di sini,” kata Pengetua.
“Tak, tak, tak ada. Saya cuma nak tanya Bedul.”

Abdul yang seperti batu itu tegak menghadap ayahnya.

“Benar apa yang cikgu kamu sebut tadi?” Agak tinggi suara Rahim.
Abdul hanya mampu menganggukkan kepalanya.

Rahim mengangkat tangan kanannya tetapi segera dipegang oleh Tina. Tangan kirinya kemudian menunjal bahu Abdul mengarahkan Abdul duduk. Rahim menahan perasaan mengkalnya lalu balik pada kerusinya.

Agak sejurus masuk Cikgu Zaini. Dia beri salam. Semua menjawab salam. Dia memandang pada Tina. Dia kenal. Cikgu Zaini lalu ke sisi Tina. Dia hulurkan tangannya ke hadapan Tina. Mereka bersalam. Tina memandang Cikgu Zaini. Lama wajahnya pada Cikgu Zaini. Ya Alahhhh! Malu aku. Tina kenal Cikgu Zaini, anak saudara Datin Rugayah jirannya. Tangan mereka berpisah. Cikgu Zaini kemudian ke sisi Ustazah Ramlah.

“Ini Cikgu Zaini, macam mana Abdul?” Tanya Pengetua.

Abdul mendongak. Ada air mata pada kelopak matanya.

“Bolek kamu minta maaf?” Tanya Pengetua lagi.

Abdul kaku. Wajahnya kering tetapi air matanya kemudian laju mengalir. Lambat-lambat dia tegak.

“Tak apalah Cikgu. Saya dah maafkan dia. Cuma saya nak tanya dia,” kata Cikgu Zaini.

Rahim dengan Tina seperti hilang akal. Rahim memandang bergilir-gilir guru di hadapannya termasuk Pengetua.

Abdul memandang wajah Cikgu Zaini.

“Kamu dah taubat?” Tanya Cikgu Zaini.

“Yaaa! Cikgu,” desis Abdul.

“Baguslah. Boleh kamu terus terang dengan cikgu,” kata Cikgu Zaini lagi.

Abdul menanti.

“Kamu sembahyang tak?”

Abdul menggelengkan kepalanya.

“Taubat apa kalau tak sembahyang,” sampuk Ustazah Ramlah.

Rahim balik tunduk. Tina merasakan mukanya disimbah najis lagi.

“Tak apalah. Itu soal peribadi Abdul,” kata Pengetua. “Hal dia dengan Cikgu Zaini dah selesai. Sekarang hal dia dengan sekolah. Boleh kamu hantar balik tilam asrama?” Tanya Pengetua.
Abdul mengangguk.

“Selesai Encik Rahim, nanti apabila Abdul hantar balik tilam asrama seperti asalnya, sijil ini saya akan koyak dan ganti yang baru dengan memasukkan ‘Baik’ pada ruangan kelakuannya,” kata Pengetua. Matanya berseri pada wajah Rahim.

“Malu aku. Maluuuuu!” kata Rahim berkali-kali semasa memandu pulang.
Tina menepuk-nepuk badan Rahim.

Sampai di rumah, sebaik sahaja keluar dari kereta, Rahim menendang badan Abdul hingga Abdul mencium tanah.

“Dah terlambat abang nak ajar dia,” kata Tina. “Sepatutnya masa dia kena rotan di hadapan murid-murid dalam perhimpunan sekolah dulu kerana merokok, abang tampar dia. Abang lupa apa yang abang buat? “ Sambung Tina.
Mata Rahim bulat pada wajah isterinya.

“Abang jumpa Cik Samad di kedai kopi, abang marahkan cikgu tu.”

Rahim memandang sayu pada wajah Tina.

“Cikgu tu jawab selamba. Saya ingat jawab Cikgu Samad, anak encik nak merokok satu dos pun saya peduli apa, tetapi jangan merokok di sekolah. Malah kalau anak encik hisap dadah pun saya tidak peduli, tetapi jangan di sekolah. Abang lupa? Abang marah dan hendak menerkam Cikgu tu, mujur ada orang ramai,” kata Tina.

Rahim terduduk.

“Satu lagi abang lupa. Abang izinkan Bedul bawa kereta dulu, konon nak ambil tilam di rumah kawan. Bedul tak ada lesen memandu. Mujur tak ditahan oleh polis. Kalau tak dengan abang sekali ke lokap polis,” kata Tina lagi.
Giliran Rahim jadi batu.

“Abang tahu tak, langkah abang itu mendidik anak melanggar undang-undang negara. Masa itu saya tertanya-tanya, abang nak jadikan apa Bedul ini. Tapi tak berani saya bersuara,” kata Tina lagi.

Mereka ke kamar Abdul. Tina melihat Abdul menepuk-nepuk tilam asrama itu. Tina terharu.

“Tilam itu dah koyak Bedul. Kita gantikan yang baru,” kata Tina.

Dan esoknya, pagi-pagi Rahim dengan Abdul ke sekolah membawa tilam baru.

INFO: A Raahman CM

NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960-an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.