Sayap-sayap kecil di graha jentayu

SEBELUM menutup mata, ingin sekali ayahanda melihat buku ini terbit dalam edisi kulit tebal. Itu impian setiap pengarang, bukan? Karya yang punya kandungan cerita yang berhemah, perlulah dipersembahkan di dalam bentuk yang bermaruah."

Saya hanya memandang dengan perasaan yang sebak. Matanya mula berkaca-kaca seperti kaleidoskop - seolah-olah ada kepingan-kepingan kaca yang membentuk pelbagai imej yang mewakili setiap perasaan lelaki tua itu. Saya dapat melihat di dalam setiap imej kaleidoskop itu fragmen- fragmen dirinya sebagai pengarang yang sudah terlalu lama mengabdikan diri di dalam jagat kesusasteraan ini.

"Adakalanya, Anum, ayahanda jadi malu dengan rakan-rakan penulis sama ada yang di tanah air atau sesekali ayahanda mewakili tanah air ke luar negara. Ayahanda tidak dapat membawa buku-buku sendiri kerana urusan untuk mendapatkannya seperti dirumitkan."

"Barangkali ayahanda patut maklumkan kepada saya. Insya-Allah, saya boleh uruskan pesanan itu," saya menawarkan kelegaan kepadanya sambil menghirup kopi yang masih berasap tipis. Bibir saya yang dingin kerana pendingin hawa di dalam Graha Jentayu ini terkejut dengan sentuhan hangat itu. Saya kembalikan cawan kopi itu ke piringnya yang sama putih seperti meja bulat kecil di pojok kedai buku saya ini.

"Sayang sekali, kita lambat berkenalan walaupun saya sudah kenali ayahanda dari jauh. Buku-buku ayahanda menjadi peneman saya walau di mana-mana. Saya mengambil masa terlalu lama untuk mewujudkan Graha Jentayu!"

Dia hanya tersenyum mendengar pengaduan saya.

"Semua yang berlaku itu ada hikmahnya, Anum. Tuhan yang mengatur segala-galanya. Seperti juga impian ayahanda mahu melihat buku-buku ini terbit dalam edisi kulit tebal. Entah-entah, semakin ramai yang takut hendak membeli kerana faktor harga dan berat untuk dibawa ke mana-mana. Tentang itu sahaja, ayahanda harus bersyukur."

Seperti selalunya, dia pasti ada mutiara bicara buat saya.

"Tapi, kata-kata ayahanda tadi, ada benarnya. Buku-buku yang berkualiti harus terbit dalam keadaan yang bermaruah. Ada buku yang harus dipilih untuk terbit dalam dua edisi: kulit nipis dan kulit tebal. Amalan di Barat, seringkali yang kulit tebal itu dikejar pembaca. Sesudah itu barulah edisi kulit nipis dan juga edisi paperback."

Giliran ayahanda pula mendekatkan cawan ke bibirnya yang dihiasi misai halus yang sudah hampir putih. Saya suka melihat wajahnya yang bersih. Adakalanya, saya sendiri tidak menyangka bahawa wajah yang tenang ini menyimpan segala derita dan gelora rasa seorang pengarang. Ya, ayahanda pengarang yang tiada hubungan biologi dengan saya tetapi dipanggil demikian oleh segenap penulis muda dan penggemar karya-karyanya. Kulit-kulit di bahagian pipinya yang sudah mengendur itu pernah menyaksikan banyak dekad perubahan sejak sebelum merdeka sehingga kini.

"Itu di Barat, Anum. Di tanah air kita, hal begitu sudah hampir mustahil. Siapa pula yang terkejar mahu mendapatkan buku kulit tebal, jika ada kulit nipis yang ditawarkan. Kalau boleh mereka tunggu lagi, jika ada jualan gudang pula, supaya dapat membelinya dengan harga yang sama dengan sebatang ais krim!"

Ah, saya berasa terpukul seketika. Saya juga pembaca yang pernah berasa bahagia membeli buku dengan harga sebatang ais krim. Saya fikir, sayalah pembeli yang paling beruntung kerana dapat memiliki buku dengan harga seringgit, malah ada juga yang dijual dengan harga tiga-seringgit.

Ya, dahulu saya pernah berasa bahagia. Sehinggalah, saya bertemu ayahanda ketika hampir-hampir mahu membuka Graha Jentayu. Baru saya sedar tentang konsep pengedaran dan penjualan buku. Dahulu, saya hanya menilai sebuah buku berdasarkan timbangan kertas sahaja. Sehinggalah saya bertemu ungkapan 'membayar harga buku bukan sekadar membeli kertas dan tinta, sebaliknya anda sedang membeli sebuah kehidupan'. Mutiara kata yang dipetik daripada buku Christopher Morley, The Haunted Bookshop itu saya sesuaikan, lalu diabadikan pada setiap penanda buku Graha Jentayu.

"Ayahanda paling suka apabila Anum menukar konsep jualan buku-buku sastera. Anum sanggup mengusung ke hulu ke hilir buku-buku ini ke majlis-majlis sastera. Mendekatkan buku dan sastera kepada khalayak yang betul. Kita semua tahu yang buku-buku sastera bukanlah untuk sebarang orang. Namun, jika diletakkan di tempat yang betul, barulah kena. Barulah adil."

Saya cuba menyembunyikan senyuman. Siapa pula yang tidak berbangga apabila dipuji seorang sasterawan. Memang Graha Jentayu yang memulakan idea gila-gila itu. Malah, idea itu bukanlah terlalu luar biasa. Saya cuma meniru perbuatan Ibu Zubaidah yang banyak menerbitkan karya sendiri. Saya lihat dia selalu mengusung buku-bukunya di dalam bagasi yang boleh ditarik-tarik seolah-olah berada di lapangan terbang. Dia juga ada meja kecil yang boleh dilipat-lipat. Sesekali anakandanya membantu. Setelah dipamerkan orang pun lalu lalang. Ada yang berhenti singgah dan melihat-lihat. Ada yang lalu begitu sahaja. Tidak kurang juga ada yang langsung tidak menjeling walaupun dengan hujung mata.

Ibu Zubaidah langsung tidak menghiraukan apa yang orang lain kata. Hal itu yang saya mahu contohi.

"Kalau mahu jual sebuah buku, kau perlu ada sepuluh naskhah sebagai pengiringnya. Usah kau bayangkan sepuluh buku akan terjual licin pada satu kali jualan. Itu memang kaedah menjual apa-apa barang sekalipun. Kita membelinya kerana kuantiti. Oleh itu, pamerkanlah kuantiti untuk orang menikmati kualitinya!"

Atas semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan Ibu Zubaidah, saya turut melakukan hal yang sama. Kala itu, Graha Jentayu ialah kedai yang bergerak dan berpindah-randah dari satu lokasi ke satu lokasi. Pameran bersifat nomad itu saya sesuaikan buku-buku yang dijual supaya kena dengan khalayaknya.

"Saya mula faham tentang pengkategorian buku pada ketika itu, ayahanda. Jika tidak, saya fikir sebuah buku itu sifatnya misterius. Sesiapa sahaja mungkin menjadi pembelinya. Sedangkan setiap buku sudah ada sasaran pembacanya."

Ayahanda mengangguk-ngangguk mendengar pengakuan saya.

Saya menjeling sekilas di kaunter bayaran. Pekerja saya sudah sibuk menguruskan pelanggan. Ada senyuman di wajahnya seperti yang sering tertera pada wajah pencinta buku mendapat kuras-kuras idaman. Rasa bahagia itu singgah di jiwa saya jauh lebih dalam dan bermakna berbanding pulangan wang ringgit atas jualan itu.

"Saya semakin yakin juga ayahanda bahawa pembaca itu ada banyak kumpulan. Kelompok yang menggemari fiksyen tidak semestinya menggemari buku-buku umum. Ada juga pembaca yang hanya membaca komik kerana fikiran mereka lebih selesa melihat sesuatu yang visual berbanding teks. Semua itu tidak boleh dipaksa-paksa."

"Itu satu lagi harapan ayahanda yang harapnya ada yang sudi menyambung jika ayahanda tidak sempat melihatnya. Buku-buku ayahanda ini harus wujud dalam beberapa versi dan edisi," dia memintas segera sebelum saya dapat menyambung.

"Maksud ayahanda, edisi mahal dan edisi murah itukah?"

"Itu satu hal juga. Tetapi, bukan itu yang ayahanda maksudkan. Ayahanda mahu ada edisi dipermudah untuk bacaan kanak-kanak atau remaja. Bukan semua orang mampu membaca edisi asal, bukan?"

Ah, kalaulah saya punya banyak wang untuk menjadi penerbit, impian ayahanda itu pasti sayalah yang menunaikannya!

"Saya sangat setuju, ayahanda. Teringat pula pada buku A Tale of Two Cities tulisan Charles Dickens. Semua orang mengenali nama itu. Malah, kalau di England, selain Shakespeare, jangan sesekali kita mengutuk Dickens tak tentu fasal. Dickens ialah lambang patriotisme rakyat negara itu."

"Lalu, mengapa dengan Dickens?" ayahanda mengembalikan saya semula yang telah melencong dari mauduk asal.

"Novel itu tebal dan ditulis dalam bahasa sastera Inggeris yang tinggi. Namun, saya mengenali novel itu melalui edisi untuk kanak-kanak. Saya hayati ceritanya. Apabila remaja, saya baca pula edisi yang lebih panjang, pun masih bukan edisi yang asal. Lalu, setelah dewasa, barulah saya selesa membaca versi asal dan lebih mengerti apa yang cuba Dickens sampaikan."

"It was the best of times. It was the worst of times."

Ayahanda langsung menyebut ayat pertama di dalam novel A Tale of Two Cities yang pernah ibu saya wariskan itu. Tanpa membaca versi dipermudah itu, barangkali sehingga kini saya akan menjauhi teks asalnya.

Lantas, saya sungguh-sungguh menyokong saranan ayahanda bahawa setiap karya yang baik, apatah lagi karya-karya ayahanda yang sudah sampai ke tahap novel agung dan klasik ini, perlu sangat dirakyatkan supaya sastera tidak hanya menjadi milik sekumpulan pembaca elitis.

Perbualan itu saya abadikan di dalam jiwa sampai hari ini, seperti mana foto ayahanda dan barisan sasterawan tanah air saya aturkan pada dinding yang terpilih. Sengaja saya tidak meletakkan nama-nama mereka pada bahagian bawah setiap gambar. Jika ada pelanggan yang memandang penuh dengan rasa ingin tahu, saya akan tersenyum kepadanya. Andai naluri ingin tahunya cukup mendesak, pelanggan itu akan bertanya.

Pada ketika itu, saya berbangga berkata, "Itulah Ishak Haji Muhammad yang dikenali dengan nama Pak Sako. Sangat terkenal dengan karyanya Putera Gunung Tahan dan juga Sidang Serangga."

Atau saya berkata begini, "Itulah Zainal Abidin bin Ahmad dikenali dengan karyanya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III dan Ilmu Mengarang Melayu. Orang lebih mengenali kependekan namanya - Za'ba."

Saya hanya menerangkan nama-nama pengarang itu kepada yang sudi bertanya. Tidak kira sama ada orang dewasa, remaja ataupun anak-anak. Setiap yang bertanya itu berhak mendapat jawapannya. Paling penting, Graha Jentayu menjual buku-buku mereka ini kerana buku-buku inilah yang mesti terus dilangsungkan pengedarannya. Inilah warisan dan khazanah yang mereka tinggalkan.

"Masih adakah yang mahu membaca buku-buku lama ini, Anum?" soalan ayahanda tidak lama dahulu.

"Soalnya ayahanda, Graha Jentayu menawarkan. Pilihan itu di tangan pelanggan. Jika saya tidak menjualnya, tiada siapa yang mungkin tahu kewujudan buku-buku yang baik ini, seandainya mereka tidak singgah ke kutub khanah. Jika mereka tidak mahu membeli, saya hanya menanggung rugi tetapi saya tidak menanggung dosa!"

"Apa maksudmu, Anum?"

"Dosa-dosa penerbit dan dosa-dosa pengedar buku juga ada, ayahanda. Penerbit yang berdosa ialah penerbit yang sekadar menerbitkan buku kemudian tidak menjalankan promosi yang wajar. Pengedar yang berdosa pula tidak menjalankan amanah mengedar dan menjual buku kepada pelanggan."

"Wah, kamu semakin berfalsafah sejak bergelar usahawan buku!" Ketawa ayahanda masih terngiang-ngiang di gegendang.

"Pada saya, lebih baik penerbit yang menolak manuskrip penulis, berbanding mereka yang menerbit tetapi dibiarkan sepi di dalam gudang. Ayahanda, kebanyakan buku yang saya jual ini tidak mendapat harga pengedar yang berpatutan. Saya tidak salahkan penjual-penjual yang lain kerana mereka juga perlu hidup. Namun, adakalanya saya tidak faham apabila penerbit begini seperti tidak suka buku mereka terjual."

Ketawa ayahanda semakin keras. Saya pula yang terpinga-pinga kerana gagal mencari lelucon ayahanda.

"Kau tahu apa yang ayah fikirkan, Anum?"

Geleng.

"Suatu hari nanti, dengan keadaan cuaca dunia yang tidak menentu dan negara kita tiba-tiba didatangi Zaman Ais. Lalu, kita yang tidak bersedia ini cuba menyelamatkan diri. Bayangkan kita berdua terperangkap di dalam gudang buku yang Anum sebutkan tadi. Untuk memanaskan badan, kita tidak ada pilhan kecuali membakar buku-buku yang ada di dalam gudang ini. Pada ketika itu, barulah buku-buku yang tidak dijual itu menjadi sangat berguna!"

"Ya, barangkali itulah caranya penerbit-penerbit itu menebus dosanya."

Lelucon ayahanda sinis. Saya sebak dengan analogi itu.

"Ayahanda, ada ketikanya saya faham mengapa Ibu Zubaidah tegar mahu menerbitkan buku-bukunya sendiri. Inilah yang dikesalkan barangkali. Suatu hari nanti, seperti cerita ayahanda tadi, buku-buku itu hanya sesuai menjadi bahan bakar sahaja. Tiada siapa yang mampu menilainya lagi. Entah-entah igauan Ray Bradbury dalam bukunya Fahrenheit 451 itu bakal menjadi nyata. Suatu hari ini, buku-buku ini bukan sahaja tidak dibaca malah ditakuti manusia. Bayangkan manusia terjerit-jerit apabila disuakan buku seperti gadis yang ternampak tikus."

Seandainya perkara itu terjadi, saya membayangkan buku-buku ini dapat menyelamatkan diri sendiri. Setiap buku akan bertukar menjadi sayap-sayap kecil. Ketika itu, buku-buku berkulit tebal akan menumpangkan buku-buku berkulit nipis dan paperback. Mereka sama-sama terbang keluar mencari tempat yang lebih selamat. Buku-buku itu mengipas-ngipas dengan kulit buku yang terbuka dan kuras-kurasnya ialah seperti tubuh seekor burung.

Mereka bukanlah burung atau rama-rama tetapi mereka masih boleh terbang. Saya mahu semunya terbang dan singgah di Graha Jentayu. Seperti sifat burung jentayu yang menyelamatkan sebuah negara dari serangan garuda, andai patah sayapnya, masih ada paruh tempat bertongkat. Andai patah paruh bertongkat lagi dengan siku. Patah siku bertongkat pula dengan dagu. Andai patah jua dagu itu, dengan kuku pun Graha Jentayu tetap bertahan.

Air mata saya menitis lagi.

"Gambar siapakah ini?" seorang pelanggan tiba-tiba muncul di sisi saya. Langsung saya lekas-lekas menghilangkan mutiara jernih di pipi.

Saya mahu menjawab, dialah ayahanda kepada semua bangsa. Ikon sasterawan yang mengimpikan buku-bukunya terbit dalam edisi kulit tebal, edisi dipermudah dan edisi murah supaya karyanya dapat dirakyatkan.

Tiada kata yang terkeluar dari bibir saya. Namun, saya terpandang buku yang dibelinya dari Graha Jentayu. Saya tersenyum kerana buku itu ialah buku ayahanda yang sudah lama pergi dan saya masih lagi berbicara dengan potretnya.

Ayahanda, bukumu dalam edisi kulit tebal masih ada mahu!

1 comments:

wan salmah 6:05 PM  

Bagus bangat perempuan ini, ya, demi masa depan dia, dunianya, akhiratnya. Bukankah memilih yang betul akan menentukan masa depannya?

mungkin akan timbul persoalan, ya, persilalah menambah umurmu, tanpa ada sesiapa lelaki bergelar suami. Mungkin itu ada kebenarannya, tetapi, perempuan itu akan menjawab, apakah pentingnya lelaki di sisi jika dia akan hanya membuatkan hidupku jerih, perit dan kabur dari pandangan-Nya?

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.