Saat cinta menggapai

Suasana petang itu agak kedinginan. Pesawat milik Syarikat La Royal Air Maroc selamat mendarat di Dubai. Penerbangan diteruskan ke Casablanca. Orang kata kota bulan madu. Begitu indah dan mengasyikkan. Damai segala-galanya. Kebenaran itu adalah hakikatnya. Arenim sudah lama berhijrah meninggalkan Malaysia untuk menuntut jurusan sarjana pengurusan perniagaan di Marrakesh.

Bumi asing itu begitu jauh untuk seorang anak gadis. Nah! Benar kata orang. Rupa-rupanya sungguh cantik pemandangan hidup di luar. Arenim tegar menghantar dirinya. Kekuatan diri membaluti benak dan mengatasi segala-gala rintangan yang datang.. Biar bertandang rindu nan silih berganti. Hidupnya terdampar keseorangan sudah menjadi kebiasaan. Saban waktu dan ketikanya hanya ditemani rakan-rakan sekuliah. Ralit berulitkan buku-buku tebal. Kini, kebanyakannya menjadi rakan seperniagaan pula. Kelmarin ditinggalkan. Tiada lagi dalam kamus hidupnya. Hari ini dunia urus niaga mula digauli dan diterjahnya. Inilah mandala barunya.

"Arenim kental jiwanya."

"Arenim ada prinsip sendiri."

"Jati dirinya merentasi segala."

Siang bagai malam. Malam bagai siang. Bulan dan bintang sama sahaja bagi Arenim. Tabah dan kental hati Arenim bersilang baur mewarnai hidupnya. Seusai raya korban 10 tahun yang lampau, kota Marrakesh yang asing dijejaki dengan setia tapak demi tapak. Arif benar Arenim dengan simpang siur bandar pelancongan yang popular di Morroko itu. Kedai Souk dan supermarket Marjane begitu setia dikunjungi saban waktu. Apa ada di sana? Segala keperluan harian mudah diperoleh di situ. Sekali sekala Arenim beralih arah pula ke Casablanca mencari ayam panggang. Denai demi denai laluan berkuda masak dihafalnya. Tegar laluan itu bersarang dalam mindanya.

Bumi itu tidak lagi begitu asing bagi Arenim. Petah berbahasa Perancis dan Belanda memberi input barunya. Sikap tidak malunya ketika bertutur menjadi aset berharga dalam dirinya. Terus terang Arenim katakan dia suka bertutur dalam bahasa asing. Lidahnya kian petah menari-nari menuturkan buah bicara. Semua kliennya hampir tidak mengetahui Arenim adalah orang Asia. Namun, lidah Melayunya masih berbekas dengan nasi lemak sambal sotong. Makan tengah hari yang masih erat bersulam sambal belacannya.

"Ah! Apa yang hendak dimalukan."

"Lidah Arenim lebih Arab dari Arab. Lebih Perancis dari Perancis."

Hobi mempelajari bahasa asing menjadi aset utama Arenim. Ya! Memang tidak rugi bertemankannya saat kesukaran berkomunikasi. Sesiapa sahaja boleh menjadi rakan bicaranya. Sikapnya peramah. Semua mata merenung kaku ke arahnya bila Arenim mula berbicara. Gerak bibirnya memukau. Arenim tidak rasa terhimpit dengan masalah bual bicara. Ini semua mematangkan dirinya di perantauan.

Irama

Hidangan demi hidangan sampai. Selera Arenim mula terbuka. Semuanya enak-enak belaka. Irama dan lagu silih berganti tambah memanaskan lagi halwa telinga. Menariknya penari-penari tradisional Morocco saban waktu bertukar-tukar senyuman. Tidak menjemukan. Ruang restoran bertaraf lima bintang di Fantasia Czes Ali yang dipenuhi oleh para delegasi dunia itu meriah dengan pertunjukan ala-ala tradisional orang Morocco. Macam bunyi ghazal pun ada. Macam bunyi kompang Jawa pun ada. Yang penting irama pukulan gambus sebati dengan alunan muzik mereka.

Untuk seketika terbuai-buai naluri pengunjung dibuatnya. Wah! Memang sungguh ramai pengunjung tika itu. Pelbagai ragam. Senyum dan tawa riang, saling bertebaran di sana sini melihat acara bersilih ganti. Tenggelam Arenim dalam keasyikan. Ralit dibawa irama 1,000 satu malam. Kheeder kembali menguak rasa meneruskan bicara. Bicara yang sering terputus-putus. Irama petikan piano oleh Sebastian lewat lagu "Can't Help Falling In Love" gubahan muzik oleh Carol Klose mengambil tempat dalam situasi yang tidak dijangka. Namun, harapan digantung setinggi mungkin. Bagai menggapai awan nan biru di angkasaraya.

"Kheeder bercakap seperti seorang pemidato yang sedang mempertahankan hujahnya."

"Kheeder memperkatakan tentang masa depan yang harus dibentangkan di hadapan."

"Jalannya seakan-akan lurus."

Kheeder dengan keras merenung keayuan mata Arenim tanpa mengerdip kelopak mata bundarnya. Kheeder tahu Arenim tidak memberi sebarang respons kepada bual bicaranya. Mencabar sungguh mahu dijinakkan hati si dara nan satu ini. Getus Kheeder dalam diam. Mindanya masih waras dan berasakan dirinya tidak mungkin tersungkur ke bumi lantaran dek keegoon Arenim. Tiba-tiba Kheeder diam terpana lalu diajaknya Arenim keluar dari restoran dan menonton persembahan teater terbuka.

Namun, Arenim hanya terpaku kepada kegagahan dan kecekapan penunggang-penunggang kuda anak kelahiran Morocco. Kelihatan begitu gagah dan begitu mempersonakan. Tangkas dan bergaya memacu ke arah yang dituju. Rata-rata ketangkasan pemuda Morocco itu jelas terpamer pada persembahan acara berkuda. Dentuman demi dentuman yang meletus dari muncung senapang yang dibawa pemuda Morocco nan gagah tambah mendebarkan jiwa Arenim. Serta merta nalurinya bergetar. Dengan menghimpun seluruh tenaganya, Arenim menoleh kasihan ke arah Kheeder yang tidak jemu-jemu mengocak jantung hatinya.

Nampaknya Arenim harus akur kepada ketentuan takdir. Puas sudah ditangkis, namun kenyataannya si teruna ini tidak pernah mahu mengalah jua tidak jemu menganyam kasih menyimpul sayang dengan selambanya. Kenapa pemuda ini begitu degil memancing cintanya. Pintar pula mengatur bicara. Murah dengan sejuta senyuman bagaikan perisai pelengkap diri. Adakah ini wajah sebenar kekasih Arenim. Bagaimana lagi kata putus lagi pasti yang mahu diberikan. Cuping telinganya sudah panas dipasak dengan ayat-ayat cinta berlagu rindu bikinan Kheeder.

"Ayuh! Berilah jawapan segera. Mengapa masih membisu."

"Adakah tiada sekelumit ruang di hatimu untukku isi dengan cebisan cinta ini."

Kheeder tetap sabar dan akur. Kekasih yang disukainya itu keras membatu. His! Bagaimana lagi mahu dirayu. Ya, lambat laun pasti gadis Asia ini akan cair, getus naluri Kheeder. Perlukah dihamparkan ambal merah merentasi Czes Ali ke Marjane. Kelihatannya, Arenim begitu berhati-hati. Dan, tiada seorang jejaka di Morocco ini yang berjaya dan berupaya mengetuk pintu hatinya. Walau apapun alasan yang dimuntahkan di hadapannya, Kheeder tetap setia menanti dengan apa jua yang terjadi. Apa istimewanya gadis ini yang diburu hatinya untuk kesekian kalinya. Dadanya berkocak gementar.

Jantungnya berdegup tidak keruan. Bagi Kheeder, ternyata Arenim sudah matang. Mindanya cukup matang sesuai dengan usianya. Kheeder tidak pernah jemu bercerita tentang perancangan masa depan mereka. Dunia perniagaan tinggalan legasi keluarga. Kheeder bakal merubah kehidupan baru yang sedang dicari-cari jalan penyelesaiannya. Tembok kasih yang bakal dibina dipercayai dapat mengutuhkan lagi empayar perniagaan yang terbentang luas di hadapan mata. Semua masalah boleh diatasi. Apa yang penting asalkan Arenim boleh menerima kehendak takdir dan suratan jodohnya. Nah! Ternyata Arenim akur dengan pantun Melayu lama yang berbunyi:

Jika menanam pohon selasih;

Jangan ditebang pohon lenggudi;

Jika hendak orang mengasih;

Hendaklah baik bicara budi.

Demi sekelumit cinta sejatinya, Arenim akur dengan naluri kewanitaannya. Ingin dicintai dan mencintai. Kheeder, pemuda Morocco bertubuh sasa, berjambang lebat yang ditemui setelah beberapa tahun berpisah ketika jamuan makan malam di Czes Ali Marrakesh kembali mengocak naluri kewanitaan merentas jiwa keibuannya. Arenim kurang mengenalinya. Pemuda itu mengasak dengan pelbagai topik. Bicaranya biasa-biasa sahaja. Topik bertukar antara benua. Roti Perancis yang keras kematu terbiar tidak diindahkan. Hidangan kus-kus dihias campuran sayur kentang dan lobak merah masakan tradisional Morocco dijamah sedikit demi sedikit. Agak enak rasanya. Biar asing, namun itulah juga rutin harian makanan Arenim sejak bertapak di Morocco.

Arenim berkhayal. Alam fikirnya menerawang entah ke mana-mana benua. Mindanya menerjah ke bulan, ke bintang. Namun, Kheeder benar-benar amat mengerti jiwanya. Kasih Kheeder tersimpul erat untuk si jantung hati. Bagi Kheeder, Arenim gadis penuh istimewa. Seawal tahun pertama perkenalan lagi Kheeder mengasak cinta Arenim. Benar. Memorinya tidak banyak bertaut. Arenim tidak pernah mahu tahu dunia lain. Tragedi cinta dalam hidupnya amat mematangkan langkah Arenim lebih-lebih lagi setelah berada di Morroko. Onak dan duri pasrah dilalui. Arenim leka dengan nota kuliah hingga lupa dirinya patut dicintai dan mencintai. Lantaran itulah sikapnya yang sebenar. Fokus dan fikirannya tertancap utuh kepada nota-nota pelajaran. Sikapnya yang tetap keras mengental memang tidak suka bersosial dan bergaul. Dunianya hanya buku. Arenim dikenali dalam kalangan rakan-rakannya sebagai melekat dengan sikap ulat bukunya. Kitaran hidupnya hanya berlingkar segar antara universiti, perpustakaan dan asrama penginapan.

Tersenyum

Arenim hanya tersenyum dan sekali sekala membalas setiap pertanyaan yang dilontarkan kepadanya. Jiwa Arenim sudah lama dikebumikan di bumi kelahirannya lantaran tandusnya kasih sayang terhadap keluarga di kampung halaman. Air matanya sudah kering kontang. Tidak lagi meluncur sederas curahan hujan. Ah! Sudah tiada apa yang ingin ditangisi. Tiada siapa yang boleh membantunya kecuali berbekalkan semangat dan motivasinya untuk maju yang cukup tinggi. Tegas hatinya berulang-ulang kali. Langkahnya ingin maju ke hadapan membawa sinar yang kian cerah.

Entah mengapa Arenim tidak mahu pulang ke tanah leluhurnya. Kejayaannya menamatkan pengajian dengan susah payah sepatutnya menjadi kebanggaan. Kecewa dengan pemberontakan jiwanya yang kian parah, mengasak nalurinya untuk terus berkhidmat di Marrakesh. Pasrah benar dengan rezekinya di rantauan. Memang Arenim berwawasan tinggi dan benar-benar tidak mahu pulang. Begitu jitu hati anak gadis ini.

Sekeras-keras kerikil, maka keras lagi naluri dan jiwanya. Teman-teman sekuliah terbiasa memanggilnya sebagai Are. Sikapnya digeruni. Arenim seorang gadis timur yang dilahirkan pintar, berbudi bahasa dan berakhlak tinggi. Bekerja keras. Tahan diuji. Lasak dengan masalah.

Siang di Marrakesh. Seawal suria pagi memancarkan sinarnya, peserta leka berseminar, berdiskusi dan berbual mesra. Kes demi kes dibentangkan di Dewan Karam I, Hotel Kongres, Marrakesh. Kadang-kala kedinginan dewan yang bernada serius diserikan dengan gelak tawa peserta. Serentak dengan itu semua dewan seminar penuh sesak dengan para delegasi perniagaan dari serata dunia membentangkan kes negara masing-masing dalam sesi selari. Sesekali deraian tawa peserta terburai jua di luar dewan oleh peserta yang kedinginan yang masih tidak jemu-jemu menikmati guyuran sinar mentari biar peserta lain di dalam dewan tegar berdiskusi dengan selantang-lantangnya.

Mereka pula leka di luar sambil menjamah biskut disulam dengan kopi o panas. Perdebatan antara peserta kian hangat berlanjutan dalam membicarakan soal-soal pemasaran dan penjenamaan produk masing-masing untuk merentasi antara benua. Jua segar berlingkar sekitar sistem pengurusan perniagaan yang enak dibicarakan bersilang baur dalam sesi acara tidak rasmi di dewan makan. Poster-poster bergantungan. Paling menarik poster kempen ke Malaysia, Indonesia, Korea dan Jepun. Masing-masing melobi untuk mendapat tempat penganjuran peringkat dunia. Arenim juga mendapat kipas percuma tanda mata berkempen sumbangan agensi pelancongan Korea. Beberapa orang si cantik manis kelahiran Bali juga tidak kurang berkempen mewakili negaranya.

Setiap kali langkah dihayun, dada Arenim berkocak gelombangnya. Warna-warni bumi Marrakesh membenamkan cinta Arenim pada keseniannya. Cantik, indah dan menawan. Taman bunganya dipenuhi mawar di sana sini. Merah jambu, putih, merah bersilang baur mewarnai taman. Ah! Keharumannya menusuk-nusuk kalbu. Kota yang rata-rata dipenuhi dengan bangunan yang disinari dengan warna coklat ini tambah menarik menjelang lembayung senja. Setiap sore penduduk tempatan tidak jemu-jemu menatap keindahan taman ini. Pepohonan tamar pula tetap gagah membarisi jalan-jalan utama ke Hotel Kongres, Marrakesh. Hah! Terlalu mengasyikkan dan saujana mata memandang. Aliran kesenian nampak terus berkembang pesat di kota ini menampakkan lagi keindahan seni bina, arca dan lukisannya yang unggul. Kecantikan seninya jelas terserlah di sana sini. Ini menandakan kemajuan kota ini dari segi seni binanya. Semuanya terpana di jiwa Arenim. Setiap apa yang terdampar di hadapannya betul-betul sama dengan apa yang wujud dalam kehidupan seharian Arenim.

Demikianlah. Kembara Arenim berakhir di sini. Arenim menemui cinta baru di Marrakesh. Melihat mentari terbenam ke perut bumi, hati Arenim tersentuh. Kesetiaan Kheeder memadamkan kedegilan hatinya untuk dicintai. Mengapa dahulu Arenim tidak pernah sekelumit pun memikirkan siapakah pasangan hati belahan jiwa untuk masa depannya. Sekian lama, Arenim kelaparan, kehausan dan mengalami kedinginan yang melampau di rantauan. Namun Arenim tetap tabah.

Tersadung hati Arenim melihat ragam manusia. Ada ketikanya Arenim bernasib baik menemui insan yang berhati mulia menghulurkan simpati. Marrakesh yang begitu terkenal dengan kota pelancongan terus menggamit nalurinya untuk terus menapak di denai-denai harapan. Arenim jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadinya. Cinta sejati jua ditemui di sini. Inikah yang dikatakan cinta berlainan benua? Benarlah, jauh berjalan luas pandangan. Saat umat Islam sedang sibuk mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah, Arenim akhirnya terkorban dan akur dengan panahan cinta Kheeder. Impiannya agar Marrakesh menjadi kota cinta bagi mereka berdua.

"Ahhh….aku cinta padamu."

"Cintamu maha agung dan luar biasa."

Adaptasi semangat korban tambah menyerlahkan lagi kebahagiaan Kheeder dan Arenim dalam mengenal erti penghayatan sebenar kehidupan mereka yang menanti dengan tenang di hadapan.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.