Kreatif: Valija, saya mahu dekat dengan-Nya
Oleh Mawar Shafei

2010/03/20

SAYA mengenali Valija, lama dahulu. Perempuan bijak, tajam penaakulan, cerdas memahami gerak rasa apatah lagi untuk menguasai ilmu baru. Perempuan kulit hitam yang lahir daripada cantuman baka profesor dalam bidang linguistik dan ketua orkestra simfoni. Ya, ibunya adalah konduktor yang juga penggesek cello, biola dan pianist yang hebat. Seingat saya Valija pernah menjadi kekasih dan kemudian isteri saya. Begitulah Valija diingati semula, ketika melewati sebuah toko muzik. Rentak itu seperti dari Peabody, berjaya keluar dari pintu kaca toko tersebut, melangkaui deretan kedai di sepanjang jalan ini. Muzik itu meneruskan perjalanan bersama angin, bersama kenangan. Rentak itu membawa saya ke ruang perkenalan kami lebih tiga puluh tahun lampau. Ya, begitulah. Ini cerita tentang masa lalu, tiga puluh tahun usianya. Dan saya ditakdirkan melihatnya kembali dari kota tepian pelabuhan ini, Kota Ketam Baltimore, kota berwajah seni juga. Baltimore adalah kota Valija.

Nama saya Hanafi. Sewaktu menyeberang jalan dari hotel penginapan ke bahu air ini, saya mula menyelak ingatan yang lebih awal apabila pertama kali Valija datang ke negara saya, menyertai himpunan anak-anak bijak. Dan itu adalah pertemuan kami untuk julung kalinya. Puluhan anak-anak datang dari banyak penjuru benua. Atas impian dan kecintaan mendalam pemerintah negara, kami anak-anak bijak ini ditemukan untuk beberapa minggu, saling mengenali dan berbahagi kelebihan yang dikurniakan. Kami, saya dan Valija di kelas yang sama, diasuh mengembangkan kreativiti dengan menulis. “Masih ingat saya mengarang kisah menjadi angkasawan dan sangat mengagumi hamparan galaksi. Saya memerhati segalanya dari kapal Exodus Mark III.” Valija membuka cerita lama. Ya, mulanya saya rasa aneh, takjub membaca kisah dengan lakaran naif Valija tentang dunia nujum, ruang bintang yang penuh rahsia. Tetapi setelah mengenali dia sekian lama dan cinta kepadanya tumbuh bercambah-cambah, saya makin mengenali dia dan segala rahsia yang dia punya. “Ah, sayangku. Rahsia akan tetap namanya rahsia. Apa yang kau tahu itu bukan rahsia diriku. Rahsia tetap tersimpan di sini dan di sini.” Valija menepuk dada dan kemudian tangan hitamnya berpindah ke tepi kepala. Ah, Valija si pencinta bahasa Arab, Sepanyol, Latin dan Greek Purba kemudiannya bahasa Cina. Valija yang senang juga dengan fotografi, lukisan dan bermain pedang samurai dalam seni laido. Valija si saintis biologi sel dan molekul ini, saya lihat seperti anak Athens yang pintar, yang lasak menyertai program Akademi Plato! Saya bersyukur mengenali dan kemudian mencintai Valija dan kerana itu saya mahu mendekati Tuhan untuk berterima kasih.

Bersama tipis kabus, saya berlari mengelilingi Inner Harbor. Suatu pagi yang basah, sedikit berbaki dari hujan dinihari. Langit dengan wajah kelabu seperti mahu menyelimuti saya yang terus mahu berlari dan berlari. Beberapa kapal peribadi, kapal hujung minggu untuk anak-anak bermain lanun-lanunan, dengan sebuah kapal besar untuk jamuan makan malam, berbaris di sepanjang lekuk air. Sesekali merpati berani datang dan sesekali pula burung putih bersayap lebar, melayah dan hinggap di atas kapal. Kemudian, semuanya pergi. Dan, kapal itu pula ada sejarahnya. Dalam kapal itulah saya dan Valija disatukan. Ia adalah sebuah sejarah selepas berkali-kali kami bertemu dan membuat pertimbangan.

Menjelang usia ranum di universiti, kami bertemu lagi, entah jodoh yang selalu di titik yang sama, tak siapa dapat menduga. Kali ini kami, anak-anak bijak dihimpunkan di Dewan McAuley yang masyhur itu. Saya terpilih, dihantar pemerintah ke kota Valija. Dia menyambut saya di ruang pendaftaran dengan mawar kuning di tangan. Ah, Valija memang selalu aneh. Saya yang harus membawa jambangan mawar merah tanda cinta dan rindu kepadanya. Namun dia dengan spontan menyambut saya dengan dakapan dan kucupan di pipi seraya menarik tangan saya ke satu sudut. Di samping mawar kuning, dia mengucap hello dan khabar. Saat itu rasanya semua mata menelanjangi saya. Atau itu hanya perasaan anak Timur yang mengepung. Dan saya rasanya menjadi mawar kuning yang malu. Ah, saya lelaki Melayu didakap perempuan asing! Oh Tuhan, saya tidak melihat hitamnya kulit Valija, tapi saya rasakan gelora yang hebat dalam dada saya ketika itu. Ada waktunya mengingati detik itu kembali, saya jadi malu dengan Tuhan dan saya mahu dekat dengan-Nya.

Penat berlari, saya tiba di penjuru kafe yang masih belum dibuka, duduk di sebuah kerusi menghadap pagi yang gerimis. Di hujung sana ada lelaki berjambang penuh sedang khusyuk memegang buku kecil yang saya agak Injil. Berada di ruang makan kosong ini saya membayangkan bagaimana kali pertama saya mengunyah crab cake yang padat dengan isi ketam entah beberapa ekor digoreng seperti begedil kentang yang pernah emak hidangkan di rumah. Enak sekali crab cake diapit dengan kentang goreng, sos mayonis, sos cili serta coleslaw dengan perahan lemon, di sudut kedai makan Muzium Seni Baltimore. Saya teringat juga begedil emak yang menjadi hiasan untuk lontong dengan sisipan sambal tumis ikan bilis. Tapi dalam samar lampu yang tergantung, mata saya menangkap senyum aneh perempuan kulit hitam itu. Saat itulah detak hati, Valija akan menjadi isteri saya. Ya, keyakinan itu merecup. Ketika itu juga saya disinggul Kelsey, si finalis US Stockholm Junior Water Prize dan melihat tangan Hayden hinggap di bahu Moria, kedua-duanya genius Matematik. Sekejap saya menoleh pasangan renceng biologis, Boyd dan Ann, yang mencintai seni teater dan puisi. Beberapa kali si leher jenjang Ann membaca puisi naratif The Raven Edgar Allen Poe di makmal robotik kami. Aneh. Puisi tentang kematian. Puisi tentang kesedihan Poe atas pemergian Lenore alias Virginia, isteri tercintanya.

Sedang antara baris-baris itu, saya mengingat pula catatan Muhammad Haji Salleh dalam puisinya, Unggulku. Entah mengapa sebagai pelajar yang banyak membaca sains, saya diperkenalkan kepada penyair bangsa saya ini. Dalam saya ghairah mahu melafazkan bait Unggulku, yang terbersit adalah Intelektualnya,

Di sini tak ada pilihan,
hanya keterlibatan,

hanya kepedihan dan kejayaan
pergelutan di antara kata-kata
dan idea yang payah dikahwinkan.

Saya senang sekali membaca puisi. Saya menyaring fikiran penyair di sebuah ruang kotak kepintaran. Saya menemui kehidupan. Saya dibimbing dengan saksama oleh guru sains untuk menghargai hasil sastera bangsa. Tidak seperti sesetengah teman saya dari negara lain yang tidak dibenarkan mengambil subjek kesusasteraan kerana dimomokkan pemerintahnya sebagai subjek yang tidak munasabah. Sastera tidak memberi teknologi dan masa hadapan. Betapa malangnya mereka!

Pada ketika tertentu, betapa saya melihat kami dikumpulkan seperti sedang menyediakan bank besar baka bijak, selain bersama-sama berbincang tentang penyelidikan yang akan dijalankan. Banyak pasangan yang akan melahirkan keturunan seterusnya. Termasuk saya dan Valija, Boyd dan Ann, dan banyak lagi. Nanti dari kromosom kami akan ditemukan anak genius dalam bidang yang pelbagai seperti robotik, arkeologi, kriptologi atau neurosains. Setelah melepasi saringan ujian kepintaran SCAT atau SAT atau ACT, kami dikelaskan dalam beberapa aliran yang sesuai dengan minat serta kecenderungan. Kami teroka pelbagai penjuru, mencipta mencari yang baru. Menentang fahaman sebelumnya. Mengemukakan teori. Menarik juga seperti satu kegilaan, kebanyakan kami turut menyenangi seni, kreativiti yang sangat mendambakan imaginasi. Kata Pat Wallace seusai kelas Art Meets Science, cubalah pertimbangkan bagaimana teori relativiti Einstein memberi wajah yang tersendiri dalam tema dan nuansa puisi abad ini. Atau bagaimana kenangan zaman kecil menjadikan kami lebih memahami neurosains. Hah, ataupun membaca karya Italo Calvino, John Donne, atau Alan Lightman (saya membaca kembali Balada Hilang Peta A Samad Said, Watak Tenggara Muhammad Haji Salleh dan Lawatan Lain Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah) membuatkan kelas kami meriah menemukan konsep matematika atau sains tabii.

Ah, saya mengenang kembali tatkala menjadi pelajar terbaik kebangsaan. Kecemerlangan saya dalam setiap ujian, rupanya sering menjadi perjudian ibu bapa dan guru-guru. Mereka yang bertaruhkan saya, tidak akan dikecewakan, saya akan memastikan mereka menang! Wahai Tuhan, sedangkan saya mahu menangis mengingat semula betapa galaunya perjudian itu. Betapa pada suatu ketika saya tidak dapat memenuhi semua yang dikehendaki. Betapa suatu masa saya akan berhenti daripada menjadi bijak! Betapa ketikanya Tuhan mahu saya bersyukur bukan hanya saat menerima nikmat, tetapi detik nikmat itu menghilangkan dirinya. Saya mahu terus dekat dengan Tuhan, mendapatkan al-Quran dan duduk di penjuru kafe kosong ini.

Ya, saya dan teman-teman di makmal McAuley banyak dinilai dengan kecerdasan yang bermacam. Banyak antara kami punya minat yang tebal dalam sains dan kesusasteraan. Kami membaca bahan yang melangkaui usia, kreatif menjana idea baru, belajar dengan pantas lancar. Tapi dalam banyak ruang pula, saya seperti dihimpit dua tembok harapan atau keyakinan atas apa sahaja yang saya lakukan, termasuk soal mengahwini Valija, si perempuan pintar kulit hitam itu. Bila mengenang Valija begini, saya seperti pernah melihat dia di tangga bergerak di salah sebuah muzium di Washington. Newseum? Atau ketika saya menuju ke patung Pulau Easter di Smithsonian? Valija memimpin anak kecil berkulit Mohican dengan lelaki bertopi yang membelek kepingan brosur. Oh, bukankah Valija itu isteri saya? Kami bertemu pertama kalinya di Kuala Lumpur, kemudian menjalin cinta di Kota Ketam, kemudian teman-teman dari kumpulan McAuley meraikan perkahwinan di dalam perut kapal besar. Saya masih ingat sekali ayah mentua saya, si penyokong setia kelab bola Ravens Ungu dengan ngauman orkestra Peabody, kemudiannya menggenggam tangan saya tanda menerima menantu baru. Ketika yang sama saya melihat ibu dan ayah duduk di majlis perkahwinan kami yang dihadiri kurang lebih lima puluh orang. Mereka seperti pasangan pengantin dengan sut baju Melayu yang menawan, tapi kian berbalam. Mereka yang saya cinta semakin hilang. Saya melihat juga bunga manggar dan tiba-tiba gegar kompang mendatangi pintu kapal besar itu. Oh, adakah Tuhan kian memberi kebolehan kepada saya untuk memahami pandangan mujarad, mengaplikasikan konsep abstrak dan mensintesisnya? Bagaimanakah jika saya kehilangan Valija, cinta pertama saya. Mungkinkah Valija meninggalkan saya? Bukankah dia diciptakan untuk saya yang tidak boleh hidup sendiri. Si pendekar laido itu milik saya! Dan oleh kerana perasaan itu, saya mahu sekali dekat dengan Tuhan. Hanya Dia yang Tahu bahawa saya sangat sukar menerima kelemahan, ketidakupayaan, kekalahan diri dan kemenangan orang lain. Dan kesannya saya akan mengurung diri dengan kemurungan yang begitu aneh. Sehinggakan saya mahu diri saya bukan lagi diri yang sekarang, saya mahu menjadi orang lain!

* * *

Nama saya Razak, Razak Hassan Abdul Muiz. Saya tiba di tengah banyaknya orang yang tidak putus-putus berjalan dan berjalan di sepanjang Broadway ini. Orang banyak itu seperti setiap yang saya kenali dalam hidup, datang dan pergi dan meninggalkan saya sendiri. Ternyata saya tidak sendiri jika saya wujud dan kewujudan itu adalah kepintaran yang saya punya. Tuhan, petaka itu membuat saya mahu dekat dengan-Mu. Setelah berhenti di Penn Station, saya mengatur langkah dari Madison Square Garden. Tidaklah sangat lelah atau membuang keringat seperti berjalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Angin musim luruh yang terkepung antara bangunan-bangunan tinggi, agak meringankan langkah. Berhenti dekat dengan Ground Zero, saya berdiri antara simpang yang riuh, gema manusia yang kebanyakannya menyarung trench coat dengan but tinggi. Tidak jarang juga bunyi siren kereta polis yang berulang alik dengan kenderaan lain termasuk teksi kuning NYC atau bas dua tingkat yang sarat pelancong. Dalam renyah itu saya melihat susuk lelaki yang sedang sujud antara gerai yang menjual bagel, roti tebal yang direbus. Saya sangat tahu sujudnya yang beralas kanvas gerai jualan itu diiringi segala pujian kepada Yang Satu. Sujud panjang tanda pengharapan dan pengakuan sebenar, hanya Dia yang Maha Besar. Hanya Dia, Tuhanku. Bukankah lelaki itu adalah saya? Atau dia lelaki Hanafi yang pernah mengucup bibir tebal Valija dalam sebuah kapal besar di pinggir Kota Ketam suatu masa dahulu? Atau dia lelaki yang saya lihat di Newseum bersama Valija? Dan saya tiba-tiba berada di ruang sumpahan Smithsonian!

INFO:
MAWAR Shafie dilahirkan di Singapura, pada 27 Februari 1971. Menulis dalam genre cerpen dan kritikan. Banyak memenangi hadiah sastera. Kini pensyarah kanan dan Ketua Program (2007-2010) di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, pengkhususan sastera dan kreativiti. Kumpulan cerpennya, Masitah (2007, 2009) disenarai pendek untuk HSPM 2006/7. Buku ilmiah terbarunya ialah Novel Intertekstual Melayu (2010). Mawar boleh dihubungi di blog peribadi www.mawarshafei.blogspot.com dan mar@ukm.my

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.