Citra Venezia

Aku masih tak percaya Tuhan, Zah."
Zahra tersenyum.
Sedikit pun ujaran jujur tidak membekas di hatinya. Alistair barangkali melontar provokasi.

Tambahan pula, lelaki itu baru sahaja menghadiri pembentangan kertas kerjanya. Zahra bahkan lebih terkejut dengan kehadiran Alistair ke persidangan sains dan agama yang berlangsung di Universita Ca' Forsica. Alistair Henry tidakkah paling anti sebarang cubaan, perkaitan malahan bukti-bukti yang menghubungkan sains dengan agama?

"Tahan juga telinga engkau menadah pembentangan aku, ya?"

Usikan Zahra berdesir bersama pawana petang. Mereka beriringan, santai menelusuri sesiar kaki sepanjang Canalasso. Nyaman angin semulajadi menyegarkan Zahra yang seharian dikurung dewan persidangan. Alistair memintas di wijil hotel penginapan tatkala dia cuba meloloskan diri meninjau sekitar kota sebelum majlis rasmi malam nanti, mengajak duduk-duduk minum kapucino atau mengunggis cornetto.

Namun julung kali berkunjung ke kota seribu terusan biar atas urusan kerja cuma, Zahra lebih teruja untuk menatap Ponte di Rialto, jambatan agam disokong puluhan tiang putih yang menjadi antara penghubung bahagian-bahagian utama kota yang dipisahkan sistem pengairan berusia beratus-ratus tahun itu.

"Aku mengaku, konsep keseimbangan materi dalam takungan hidrokarbon yang katamu boleh diunjur sebagai bukti kewujudan Tuhan itu menarik juga."

Zahra tertawa. "Aku menunggu bahagian kedua, yang bermula dengan 'tapi,'" dia menyakat lagi; terlalu memahami pendekatan Alistair dalam melontar kritikan. Tidak seperti rakan-rakan akademikus senegara yang lantang dan telus, lelaki itu sinonim menabur pujian terlebih dahulu, sebelum kritis menyuarakan hujahan. Pugar payau hanyir air bertakung di pinggir Canalasso merebak. Tampang sisi jejaka kacukan Kaukasia - Afrika yang membesar di projek perumahan kos rendah di Bronx, New York itu diseluruhi.

Sebetulnya, mereka saling mengenali ketika bergelar mahasiswa ijazah sarjana muda. Kini Alistair telah mempunyai dua ijazah doktor falsafah dan mengetuai makmal di Fakulti Fizik, Universiti Cornell. Dia juga sudah dua kali menduda, dan memiliki seorang anak remaja. Manakala Zahra pula sedang mengusahakan tesis untuk kelayakan akademik tertinggi yang kedua. Dia turut mengajar di sebuah universiti awam di Johor Bahru; dalam bidang Kejuruteraan Petroleum yang digeluti sejak awal dewasa, serta baru-baru ini dipelawa mengajar secara sambilan dalam kursus-kursus rentas pengkhususan di Fakulti Pengajian Islam, Wahyu dan Falsafah.

Namun, seperti mana status Zahra yang kekal solo, perawakan fizikal Alistair juga tidak berubah. Dia masih Alistair yang tegap lampai, setaraf dengan status silam selaku point guard pasukan bola keranjang varsiti. Dan seperti pengakuan sebentar tadi, secara batini juga dia kekal sama. Alistair Henry masih seorang ateis.

"Tapi, sekadar meneliti dari buku program, hampir kesemua kertas kerja membincangkan perkara senada, tanpa menghujahkan intipati baru yang menggegarkan. Balik-balik, semua orang bercakap tentang setiap cabang sains menjurus kepada bukti kewujudan Tuhan, kepada keperluan memiliki agama."

"Termasuklah aku, begitu?" Zahra mengenyit mata.

"Ali, barangkali, kalau hampir semua orang memperakui, mungkin ia benar."

"Bohonglah."

Zahra tertawa lagi. Deruman kasar vaporetti, bot bermotor yang menjadi raja lalu lintas terusan-terusan Venezia menggugah ketenangan perbualan dua sahabat lama.

lenguh

Ponte di Rialto masih jauh, tetapi kedua-dua kaki Zahra telah lenguh. Salahnya, kerana terlalu teruja seketika bebas aturcara, sehingga kasut bertumit yang dikenakan sejak pagi tidak sempat diganti sepatu lebih selesa. Mereka menyandari tembok batu-bata berhampiran kuartet pemuzik jalanan memainkan konserto pertama Le Quattro Stagioni gubahan Vivaldi berjudul La Primavera, atau Musim Bunga. Namun keruh air muka lelaki itu menggugah atma perempuannya. Riak itu asing sekali - Alistair yang dikenali sinonim yakin diri.

Zahra mengangguk kepada pasangan pelancong Kaukasia yang melepasi kedudukan mereka Barangkali menyangka dia penduduk tempatan lantaran kulit yang berona sawo matang persis gadis Italia, pasangan itu berpatah balik, bertanya kan pandu arah ke Piazza San Marco. Alistair fasih menerangkan laksana seorang pemandu pelancong. Kekeliruan bergulir semakin pekat.

"Sejak bila kau berpindah ke Venice?"

"Berpindah tu tidaklah. Cuma memang aku kerap berulang-alik ke ke sini."

"Betah juga kau tinggalkan makmal di Cornell itu. Dulu kau berumah tangga di sana, sehingga rumah tangga hakiki lebur lebih sekali, dan anak gadis engkau itu pun tak kenal bapa sendiri. Mesti kajian baru ini bagus prospeknya. Tentang apa?"

"Tentang Tuhan, tentang agama."

Zahra terbuntang.

"Seperti kata kau sebentar tadi, makmal sudah jadi rumah kedua, bukan, rumah pertamaku. Aku abaikan keluarga, hubungan sosial dan pelbagai lagi keperluan asasi manusia selain makan, minum dan pakai. Setiap perbuatanku berpaksikan kerja, kajian dan penemuan sains. Selepas beberapa tahun, aku mula merasa kosong. Secara fizikal, kerana rumah hakiki yang tak ubah seperti hotel itu gelap, sejuk dan kaku tanpa penghuni lain yang menyambut saban kali aku menjejaknya. Juga secara, er, spiritual."

"Spiritual bagaimana?" Zahra sebetulnya lebih terkejut kalimah akhir yang sepatah terkandung dalam kosa kata lelaki itu.

"Entahlah, Zah. Kekosongan, kesunyian menjuruskan aku terhadap persoalan-persoalan tentang tujuan kehidupan. Aku menghambakan diri pada penyelidikan, pada kerja sehingga ia bukan lagi sekadar keperluan untuk kemandirian, tetapi mencapai tahap ketagihan, atau setepatnya pengabdian. Argh, engkau juga orang sains, Zah. Masakan tak pernah sekilas terbit di hati engkau tentang hal serupa ini?"

Zahra menyambut soalan dengan senyuman paling manis. Retinanya menyorot alur air dibelah laluan gontai sebuah gondola sewa.

"Kalau mengabdi pada yang berhak, tentunya tidak, Ali."

"Kau masih seperti dulu. Tak habis-habis tentang Tuhan, tentang bukti-bukti sains yang menjustifikasikan."

"Kau pun dengar sendiri tadi, bukan? Mahu aku ulang tentang keseimbangan material dalam takungan hidrokarbon itu lagi?" Cabarnya nakal.

Alistair tidak membantah. Zahra menarik nafas, sedikit ralat kerana gurauan disambut serius. Namun menjadi kepantangannya berpatah menarik kata. Itu akauntabiliti.

minyak

"Mari kita ambil sebuah takungan minyak yang mempunyai takungan gas di atasnya sebagai contoh. Takungan hidrokarbon sebegini digelar takungan minyak tepu, kerana gas tidak boleh larut lagi di dalam minyak. Oleh itu, gas wujud sebagai fasa berasingan. Selain itu, kita anggap juga takungan hidrokarbon ini dikelilingi oleh akuifer, atau takungan air yang besar di bawahnya. Apabila telaga minyak digali, hidrokarbon akan mengalir naik ke permukaan. Keadaan ini menyebabkan terdapatnya kelompongan dalam takungan tadi, kerana sebahagian daripada keseimbangan bendalir di dalamnya telah diganggu."

"Tetapi konsep kesimbangan material menyatakan keadaan itu tidak menjungkir balik isipadu takungan..." Alistair mencelah. Zahra mengangguk.

"Secara teori, konsep keseimbangan material menyatakan bahawa setiap titik hidrokarbon, atau sebarang bendalir yang keluar dari takungan akan diganti oleh unsur atau elemen lain dalam jumlah kapasiti yang sama. Di atas kertas, ini bermaksud isipadu asal hidrokarbon sebelum pengeluaran berlaku adalah sama dengan jumlah isipadu hidrokarbon yang ditinggalkan dalam takungan dan perubahan isipadu elemen-elemen lain. Ini penting kerana sekiranya ruang kosong tadi tidak diisi, maka permukaan bumi di atas takungan berkenaan akan memendap."

"Baik. Tapi sekali lagi, tolong sebutkan apa elemen-elemen lain tu?"

"Pertama gas yang nyahlarut dari minyak, kedua influks air dari akuifer, ketiga pengembangan air dan batu akibat penurunan tekanan secara konsisten apabila takungan 'diusik,' dan keempat, bendalir tambahan yang disuntik ke dalam takungan untuk membantu pengeluaran hidrokarbon, jika ada."

"Dan ini, membuktikan Tuhan itu ada." Alistair mengurut-urut dagu. Barangkali masih menghadam informasi.

Zahra tersenyum lembut. Lunak reaksi Alistair merupakan perubahan besar daripada penolakan langsungnya selama ini. Hatinya girang, tetapi ditahan agar laku terpamer profesional. Matlamat bukanlah untuk pantas mengislamkan, namun memadai sebagai mukadimah perintis opsyen ke jalan kebenaran. Bukan sekali kisah-kisah kurang enak tentang kenalan yang berpaling kepada cara hidup asal lantaran kegopohan orang terdekat mencerahkan disampaikan kenalan yang lain. Argh, biarlah dia mengambil jalan jauh. Hidayah itu bukankah hak Tuhan?

konsep

"Bukan sahaja konsep penting dalam bidang kejuruteraan petroleum ini, Ali, bahkan banyak lagi konsep sains yang lain. Tetapi asasnya sama, iaitu mesti ada dua bahagian untuk membentuk sesuatu persamaan. Setiap yang dapat dicerna oleh mata kasar, misalnya hidrokarbon yang naik ke permukaan bumi lalu diproses dan dijual serta diproses lagi menjadi pelbagai produk kegunaan manusia itu mestilah datangnya daripada sesuatu yang lain."

Alistair membangkang dengan sekilas biasan retina. Zahra sudah bersedia.

"Dalam persamaan keseimbangan material itu Ali, satu-satunya pembolehubah yang tidak diketahui nilainya dan seringkali disusun balik menjadi perkara rumus adalah isipadu asal hidrokarbon sebelum takungan ditebuk telaga minyak. Meski pun setelah mengganti pembolehubah lain berdasarkan data pengeluaran hidrokarbon yang sahih serta analisis dari makmal, tetapi hakikatnya, tiada siapa yang pernah tahu berapakah nilai sebenar hidrokarbon yang bertakung di dalam perut bumi sejak berjuta-juta tahun lalu itu secara tepat."

"Tetapi untuk mengekstrapolasi bagi menyokong hujah bahawa dunia ini serta segala isinya ada kerana suatu entiti yang lebih besar, atau di sini kau merujuk Tuhan, wujud terlebih dahulu tidakkah terlalu jauh perkaitannya?"

Nada suara Alistair sedikit meninggi. Tona beransur keras. Zahra membiarkan alunan pawana bergulir antara bibit-bibit ketegangan. La Primavera sudah lama tamat. L'estate, Musim Panas kini berkumandang sudah di pertengahan.

Namun Venezia kekal jelita dalam apa citra sekali pun, Zahra menyimpulkan. Dia menoleh, anak matanya tunak mencenung sepasang iris hitam arang milik Alistair Henry. Dalam dan tidak berdasar.

"Terpulanglah. Tetapi padaku, pemerhatian ini sudah cukup untuk mengukuhkan kepercayaanku kepada ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan tentang kewujudan Sang Pencipta. Salah satu yang menjadi amalan hafalanku adalah Ayat 164 dalam Surah Al Baqarah dari kitab Al-Quran iaitu: 'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.'"

Diam yang panjang. Kuartet pemuzik jalanan memulakan L'autunno, Musim Luruh yang kelam. Zahra terangguk-angguk beberapa kali mengikut alunan gesekan biola dan celo. Esok, dia bakal terbang balik ke Kuala Lumpur sebelum kembali diam di kampus universiti nun di negeri selatan di mana tidak lagi bisa dinikmati muzik klasikal di jalanan seperti ini.

Venezia, kota yang dibentuk gugusan pulau di kawasan berpaya yang pernah menyaksikan pertembungan antara golongan saintis liberal dan para inkuisitor gereja Katholik pada zaman Renaissance ini entah bila akan dijejaki lagi. Alistair pula entah apakah bakal berkesempatan untuk ditemui lagi. Zahra diterpa nostalgik tiba-tiba.

"Zah…" Alistair memanggil, mengacau rencam rasa.

"Dalam cabang ilmu fizik tentang daya, ada suatu teori yang dipanggil Hukum Newton Ketiga."

Alistair berjeda, tetapi Zahra tidak mencelah. Halkum lelaki itu dilihat bergetar kerap. Zahra lekas mengerti bahawa bukan kerongkong kering menuntut dilegakan. Sebaliknya, ada gemuruh lain, yang lebih besar, sedang cuba diredakan. Dia menanti dengan sabar.

"Asas teori ini mudah sahaja, iaitu setiap aksi lawannya reaksi. Dalam erti kata lain, setiap perlakuan yang melibatkan penghasilan daya atau aplikasinya dalam sesuatu arah, mestilah terhasil daya dalam jumlah yang sama pada arah yang bertentangan. Sebagai contoh, momentum. Senapang misalnya, akan tersentak ke belakang setelah melepaskan peluru kerana momentum yang dihasilkan jisim senapang dan kelajuan sentakan itu sama dengan kelajuan dan jisim peluru yang meluncur ke hadapan. Mungkinkah ini, er, satu lagi mesej Tuhan untuk kaum-kaum yang berfikir seperti dinyatakan dalam kitab sucimu itu, Zah? Seperti hipotesis kertas kerjamu, bahawa di sebalik terciptanya sesuatu, secara tersurat dan tersiratnya Dia lebih dahulu ada?"

Polos sepasang iris hitam arang menagih jaminan. Zahra gamam, semakin terang memahami bahawa Alistair masih belum menemui ketenangan yang didamba.

"Bantulah aku, Zah," lirih rayuan selanjutnya menikam ulu hati. Konserto terakhir, L'inverno; Musim Dingin nan sunyi ditamatkan dengan penuh dramatik. Khalayak bertepuk menzahirkan apresiasi, berkumpul terlalu hampir mencampak not-not kecil mata wang Euro ke dalam tadahan topi. Getar peti suara Alistair dan riuh khalayak bertindih tetapi koklea Zahra cekatan menangkap butir kata.

"Aku ingin belajar tunduk pada yang berhak, Zahra. Aku mahu tergolong dalam sebahagian kaum yang berfikir."

Citra Venezia menari-nari, gelincah menyerikan suasana.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.