Awan idea dalam sebuah cerpen

Saya ingin berkongsi pengalaman menyatukan kepulan ‘awan-awan idea’ dalam cerpen Teman, Cukuplah Kami. Cerpen ini telah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 bagi kategori Cerpen Remaja.

Mari kita teroka awan-awan idea itu:

Teman, Cukuplah Kami
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan




SATU
Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?

Ayat yang dihitamkan di atas ditaip ketika penulis berada di depan Baitul Haram, Mekah al-Mukarammah pada Julai 2007. Penulis menemukan idea tersebut dalam perjalanan mengerjakan umrah di Bangladesh (transit 9 jam di Dhaka). Setelah melihat sendiri kemiskinan umat Islam di sana, penulis berasa resah dan berazam menulis sebuah cerpen tentang itu. Alhamdulillah, walaupun belum dapat menyiapkan sebuah cerpen di sana, penulis telah diberi ilham olehNYA dua ayat pertama di atas. Dua ayat ini penulis taipkan di telefon bimbit.

Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.

Di Bangladesh, saya dan rombongan umrah telah dibawa bersiar mengelilingi bandar Dhaka. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel penginapan, saya melihat ‘bangsal-bangsal kayu berdindingkan kain’ menjadi rumah keluarga-keluarga miskin di bandar ini. Warga rumah terdiri daripada ibubapa dan anak-anak. Kasihan, mereka berkongsi kemiskinan ini dengan senyum gembira.

Abang selalu bertanya pada ibu, mengapa hidup kami sekeluarga miskin? Adakah nenek dan datuk kami yang berasal dari Madras dulu yang mewariskan kemiskinan ini? Ibu mengangguk. Abang kemudian merayu kepada ibu mahu bersekolah. Menurut abang, hanya sekolah yang boleh memberi keajaiban dalam kehidupan kami. Entah dari mana abang mendapat kepercayaan itu. Mungkin dari anak-anak Tuan Syaheed yang kasut mereka dicuci oleh abang setiap hari. “Tidak boleh! Kamu lihat gigi ibu yang berkarat ini. Kita tidak mampu membeli ubat gigi pun, bagaimana kamu mahu membayar yuran sekolah?” jerit ibu. Selepas itu, abang jarang-jarang pulang ke rumah.

Tempat yang kerap dikunjungi ibu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Zia. Kami berasak bersama manusia-manusia hamis lain dengan niat mencari sesuap nasi. Orang yang turun dari tangga kapal terbang tentulah orang berduit. Sekurangnya mereka lebih beruntung dapat terbang di awan daripada kami yang seumur hidup berjalan kaki di tanah. “Tuan yang baik, puan yang baik, tolonglah kami. Anak saya ini perlukan makanan, sudah dua hari (kekadang ibu menyebut tiga hari atau lima hari) tidak menyentuh makanan,” jerit ibu pada orang-orang yang keluar dari pintu utama lapangan terbang. Yang melilau, menjerit, berlari dan menagih simpati orang bukanlah ibu sahaja. Dalam mata kecil saya, beratus wanita meminta sedekah. Dan beratus-ratus (ataukah beribu) anak-anak kecil seperti saya menjadi kutu-kutu simpati ibu mereka. Jika ada seorang yang bersimpati, maka tangan yang bertuah sahaja dapat mencapai duit. Acapnya, jika tidak mendapat duit, kami akan diberikan pisang oleh orang-orang bermurah hati yang turun dari kapal terbang.

Sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, yang menyambut penulis dan penumpang lain adalah tangan-tangan yang meminta sedekah. Mereka ada yang datang mengendong anak kecil, ada lelaki tua yang uzur, ada kanak-kanak lelaki yang tidak berbaju dan kanak-kanak perempuan yang comot. Masing-masing menghulurkan tangan dari celahan pagar mohon diberikan wang untuk makan. Oleh kerana peminta sedekah terlalu ramai, penulis hanya terkebil simpati sambil mendoakan mereka dalam hati.
Di rumah, ayah dan ibu jarang bersuara. Masing-masing pulang dengan pandangan yang hambar. Ayah sudah memahami ibu dari riak wajahnya. Ibu memaklumi ayah dari tona matanya. Banyak bercakap atau bertengkar tidak akan membawa kemudahan apatah lagi kekayaan kepada kami. Orang miskin seperti kami biarlah kaya dengan toleransi. Sekurangnya, ayah dan ibu saya tidak pernah bergaduh dan saling memburukkan diri, itu sudah menjadi syurga kepada saya dan abang. Kadang-kadang, orang seperti ayah yang masa luangnya di kedai teh (yang lebih mirip sebuah bangsal buruk) terdorong juga bercakap tentang isu semasa. Kepada ibulah ayah mensyarahkan semua yang diketahuinya daripada mulut-mulut rambang; pembonceng beca, teman-teman di kedai teh dan Tuan Syaheed. Ibu pula, sebagai seorang isteri solehah yang buta huruf, perkataan yang keluar dari mulut ayah sangat mengagumkan dirinya. Ayahlah yang paling pintar setidakpun daripada abang dan saya sendiri dalam keluarga kami.

“Harga minyak di Bangla sudah naik. Aduh..” keluh ayah. “Bukankah hidup kita tidak bergantung sangat pada minyak? Tengoklah, abang cuma membawa beca bukan kereta,” jawab ibu. Pada saya, jawapan ibu menunjukkan dia boleh menjadi orang pintar jika berpeluang belajar. “Walaupun ini masalah Tuan Syaheed. Dia pastinya akan memotong gaji saya atau menaikkan sewa beca sehingga upah tinggal 10-20 taka. Apa kita mahu makan? Apabila harga minyak naik, makanan menjadi mahal termasuklah tepung dan kekacang. Aduhh..” ayah memberatkan lagi keluhannya. “Mengapalah tidak ada sistem yang membezakan antara orang kaya dengan orang miskin?” balas ibu. Saya dan ayah tertanya-tanya. Apakah maksud kata-kata ibu? “Apabila harga barang makanan naik, orang kaya tetap membeli pada harga yang terpaksa dibeli orang miskin. Bayangkan, Tuan Syaheed masih boleh menambah dua pinggan nasi berbanding kita yang miskin, tidak boleh makan nasi langsung akibat mahalnya barang-barang makanan. Ini tidak adil!” Jerit ibu. Ayah memejamkan matanya. Saya pula terlongo. Memang benar, jika ibu bersekolah dahulu mungkin sekarang ibu sudah menjadi menteri, fikir saya.

Idea ini paling menarik untuk saya kongsikan dengan pembaca. Saya menemuinya dari mantan mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Ketika itu, saya dan teman penulis, Ghafirah Idris telah pergi menjemput Dr Asri untuk menjadi panel diskusi anjuran Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR). Sebelum pulang, saya telah menanyakan kepada Dr Asri, apa beban besarnya selama menjadi mufti. Beliau menjelaskan agak sukar menegur ‘orang-orang besar’ lalu mengeluh hal kapitalis telah menjurangkan rakyat dan pemimpin ke jurang kezaliman dan ketidak adilan. Idea Dr Asri inilah yang saya masukkan dalam dialog di atas. Terima kasih atas pandangan Dr Asri.

“Kita ni ibarat hampas kelapa sahaja. Diperah habis-habisan oleh orang-orang kaya tu,” kata ayah sebaik membuka matanya kembali. Saya maklum, orang kaya yang dimaksudkan ayah adalah orang tempatan seperti Tuan Syaheed dan orang-orang asing yang ‘membeli’ negara kami dengan kekayaan mereka. “Inilah akibatnya jika negara menjadi lembu yang dicucuk tanduk oleh Amerika. Sama seperti negara asal kita di India dan Pakistan, membuka pintu seluasnya kepada pedagang bebas. Entahlah nasib kau nak. Bukan niat ibu mengajar kau jadi peminta sedekah, pintu untuk orang miskin seperti kita telah ditutup.” Ibu mengusap-ngusap rambut saya. Air merenek di mata ibu dan mencambah di mata ayah.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kedah, abah telah berkata pada saya bahawa sistem kapitalis ibarat kelapas dan hampas kelapa. Orang kaya memerah kudrat orang miskin hingga tinggal hampas. Saya mengingati kata-kata abah dan memasukkannya dalam cerpen ini.

DUA
Negara kami di mata dunia memang sudah terkenal sebagai negara yang mengandungkan orang-orang miskin. Barangkali kerana penduduk kami terlalu ramai menyebabkan kerajaan sukar mengagihkan bantuan. Barangkali juga kerana ketidakmampuan kami mengeksploit sumber negara, memaksa kerajaan memberi secara bebas kepada orang-orang yang mampu hak dan kuasa ekonomi. Di Utttara, salah satu bandar besar Dhaka, bukan tidak ada hotel dan pasaraya mewah, namun hanya ‘orang-orang terpilih’ boleh mamasukinya.

Saya mengejip mata dan menelan liur sahaja melihatkan orang-orang yang keluar masuk ke pasaraya besar. Usia saya sudah 12 tahun. Kalau dulu, saya dikendong ibu meminta sedekah di lapangan terbang tetapi kini saya betah berdikari menjadi peminta sedekah di seluruh bandar Dhaka. Ruang kami hanya terhad di kawasan jalanan. Dengan badan tanpa pakaian, bau kami sahaja tidak diizinkan menyelinap ke kawasan ‘orang-orang bertuah.’ Acapnya, di depan pasaraya, saya akan menunggu pengunjung keluar kemudian berlari dan merengek (seperti yang ibu tuturkan dulu) “Tuan, puan, kasihanilah saya. Sudah beberapa hari saya tidak makan. Tolonglah..tolonglah..kasihanlah,” kata saya sambil menarik sedikit pakaian mereka. Selepas mendapat habuan, saya dan kawan-kawan akan membeli sedikit tepung kemudian kami akan memasaknya sendiri di tepi jalan berhampiran masjid. Ketika azan berkumandang, saya dan kawan-kawan ketawa dengan makanan yang dianugerahkan pada hari itu. Apabila wajah langit mulai kelam, baharulah saya berlari pulang ke pondok buruk menemui ayah dan ibu.

Di Bangladesh, saya bersama teman seperjalanan, Kak Salbiah telah mengunjungi sebuah pasaraya di Bandar Dhaka. Depan pasaraya tersebut ada askar yang menjaga agar tidak ada peminta sedekah yang masuk. Mereka adalah kanak-kanak yang tidak berbaju, wanita miskin dan orang tua yang selekeh. Saya simpati dengan nasib orang miskin di sini yang dicurigai orang awam.


Abang sudah lama pergi dari rumah. Kami sekeluarga tidak tahu sama ada abang masih hidup atau mati. Untuk melegakan hatinya, ayah berkata pemergian abang mungkin ada hikmahnya kerana kuranglah sedikit tanggungannya. Tapi saya tahu, ayah berasa sedih lebih-lebih lagi abang telah mencuri kasut anak Tuan Syaheed menyebabkan ayah dibuang kerja. Sejak itu, saya pula menggantikan tempat abang. Kerja mencuci kasut dan meminta sedekah serta tidur di kaki lima bangunan bersama teman-teman. Wang upahan setiap hari saya berikan kepada ibu dan ayah.

Patutlah abang gembira, tidur di kaki lima atau di kerusi taman amat menyeronokkan. Bulan dan bintang menjadi payungan. Kipas kami adalah angin yang berpuput ikhlas tanpa bayaran. Bau hamis ‘air kotor’ tidak menjadi masalah kerana itulah yang kami hidu sejak kami dilahirkan. Kami hanya perlu berfikir, apakah kerja kami esok untuk mendapatkan secebis makanan?

Golongan yang sentiasa gembira di Bangladesh adalah kanak-kanak peminta sedekah. Selepas mendapat duit, mereka membeli makanan, memasaknya di taman dan makan ramai-ramai. Saya yakin mereka gembira dengan hidup begitu.

“Keluarga kau agama apa?” tanya seorang teman saya. Kami berbaring tanpa bantal dan tilam empuk. Cukup hanya bertilamkan simen. “Aku orang Islamlah. Namaku sahaja orang sudah tahu Islam, Naseem bin Muslim. Apalah kau ni,” tempelak saya. Teman saya itu tersengih. “Kau pernah lihat ibubapa kau sembahyang?” sambungnya. Saya bangkit dari perbaringan. Berasa terfikir dengan soalan si teman ini. Saya menggeleng kepala. “Kau? Ibubapa kau sembahyang tak?” Dia juga menggeleng kepala. “Islamkan?” Dia mengangguk. “Kenapa kau tanya soalan tu? Apakah agama penting dalam kehidupan kita? Agama boleh buat kita hidup senang?” Saya bertanya pula. Dia mengangkat bahu. Kami tidak boleh tidur lagi dan memandang sepi bintang-bintang di langit. “Esok aku mahu ke masjid. Sudah lama aku mendengar suara azan bertalu-talu di bandar ini, sekalipun aku tidak pernah menjejak lantai masjid,” kata si teman. “Perlukah? Orang dewasa pun tak pernah mahu ke masjid, kita budak-budak ni tak payahlah,” balas saya. “Aku mahu pergi. Terpulanglah pada kau,” teman saya itu kemudiannya berbaring semula dan memejamkan matanya.

Perkara di atas adalah hal yang saya fikirkan dengan sangat mendalam untuk menulis cerpen ini. Kebanyakn orang miskin di sini adalah orang Islam yang tidak menyedari bahawa agama mereka adalah sebaik-baik penyelesai masalah mereka.

Itulah kali pertama saya memasuki sebuah tempat yang begitu indah dan suci. Sejak dilahirkan, hanyir tanah melumati nafas dan diri saya sehingga tidak pernah terfikir bahawa masjid membawa haruman yang mengasyikkan. Saya dan teman berasa seronok dapat mandi air paip kemudian seorang lelaki berkopiah menghulurkan berus gigi kepada kami. “Cepat, orang dah nak sembahyang,” kata lelaki itu. Kami kemudiannya berbaris bersama-sama lelaki berkopiah yang kebanyakkannya mempunyai janggut panjang.

Banyak masjid di Bangladeh mirip Masjid India. Orang yang kuat agama boleh dikenali melalui pakaian dan janggut panjang mereka seperti jemaah Tabligh. Masjid di sini sentiasa hidup. Apabila mendengar azan berkumandang, kita akan berasa sayu dan tenang. Namun, seperti di negara kita, masjid lengang dengan manusia jemaah.

“Allah menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurgaNya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.” Suara imam yang menuturkan itu menyebabkan mata saya tidak lagi mengantuk. Perihal ‘orang-orang miskin’ segera menarik perhatian kami. Betulkah khabaran ini? bermakna, kami ini miskin di dunia kerana akan dikayakan di syurga kelak. Wah! Saya tidak sabar berkongsi berita ini kepada ayah dan ibu. Begitu, tidak mengapa kami miskin sepanjang hidup.

Sepulang dari mengerjakan umrah, saya telah menziarahi al-Fadhil Ustaz Zainul Asri di Kolej Islam Darul Ulum. Saya telah menceritakan kepada ustaz tentang pengalaman berada di Bangladesh dan keharuan saya pada orang-orang miskin di sana. Ustaz lalu menyebutkan seperti ayat yang dituturkan imam dalam perenggan di atas.Terima kasih ustaz atas pandangan yang murni ini.

“Malang sekali di Tanah Bangla ini, orang-orang miskinnya sangat jahil. Mereka bukan sahaja kebuluran tanpa makanan tetapi menjauhkan diri daripada Penolong sebenar mereka. Orang-orang miskin sepatutnya lebih mendekatkan diri kepada Allah. Jika seumur hidup tidak pernah menunaikan sembahyang, hah! Teruslah hidup melarat di dunia kemudian masuklah mana-mana neraka Allah di akhirat,” suara imam bergegar kemarahan. Saya berasa takut. Terbayang di mata saya, kami sekeluarga sama-sama terjun dalam api yang membuak-buak panas.

“Aku tak akan meninggalkan sembahyang lagi,” kata saya pada teman. “Kau mahu masuk ke syurga atau tidak mahu masuk ke neraka?” tanyanya. “Kedua-duanya,” balas saya. Kami keluar dari masjid yang wangi dan kembali menjadi budak-budak peminta sedekah. Nanti waktu Zohor, saya akan kembali ke masjid, azam saya.
“Kau bayangkan, jika banjir dan bencana alam berlaku lagi, beribu-ribu orang akan mati. Entahlah mereka itu ramai yang masuk syurga atau neraka. Orang miskin macam kita patutnya lebih peka untuk bersembahyang. Kata imam tadi, syurga dah pun ada untuk kita di akhirat,” kata saya yang baru mendapat kesedaran pagi ini. “Sayangnya, ramai yang tidak tahu termasuk ibubapa kitakan Naseem?” balas si teman diiringi anggukan ikhlas saya.

Ini adalah suara hati saya untuk sahabat-sahabat Muslim di negara seperti Bangladesh. Juga untuk diri sendiri juga.


TIGA
Sembahyang menjadi titik-tolak kejayaan saya pada hari ini. Sejak bersembahyang, saya menjadi orang miskin yang mengenal potensi diri. Allah bukan menciptakan kemiskinan untuk kami tanpa kudrat. Sekurang-kurangnya kami ada tangan untuk berusaha, ada kaki untuk bergerak dan ada otak untuk berfikir dan menggali yang terbaik untuk diri kami.

Saya berusaha keluar dari pekerjaan warisan; peminta sedekah. Setiap kali berdoa, saya bermohon Allah menjadikan saya sekurang-kurangnya orang yang mempunyai pekerjaan lebih baik daripada meminta sedekah. Ketika berumur 15 tahun, saya terpilih bersama beribu-ribu pemuda lain bekerja di Arab Saudi sebagai buruh binaan dengan gaji tawaran 800 riyal. Itulah kegembiraan paling besar saya boleh berikan pada ayah dan ibu. Sejak itu, tidak putus kegembiraan lain mengiringi hidup saya terutama kaabah. Saya boleh menunaikan solat di hadapan kaabah setiap waktu sembahyang. Ya Allah..

Dalam pesawat dari Bangladesh ke Mekah, kami berhimpitan dengan penumpang Bangladesh yang diambil kerja di seluruh Arab Saudi.Bagi membantu negara-negara Islam yang susah, kerajaan Arab Saudi mengambil tenaga buruhnya dari kalangan negara seperti Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Afrika. Buruh-buruh ini banyak yang bekerja sebagai pecuci lantai Baitullah Kaabah dan Masjid Nabi. Saya cemburu pada mereka yang boleh menunaikan solat depan Kaabah setiap hari.


*********
Gadis comel bersama kamera besarnya terhinggut-hinggut menangis. Dia yang sejak tadi setia mendengar kisah hidup bekas si peminta sedekah ini berhenti mencatat. “Kenapa kau menangis pemudi Malaysia?” tanya saya. “Saya tidak menyangka, selain umrah yang saya dapat di Tanah Haram ini, kisah saudara begitu menginsafkan. Rupanya, kami di Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di negara saudara. Tetapi kami juga leka untuk bersyukur,” katanya. “Teman, cukuplah kami..” balas saya.

Frasa ‘Teman, Cukuplah Kami’ yang saya jadikan tajuk cerpen ini adalah pesanan untuk diri sendiri. Perjalanan menunaikan umrah adalah perjalanan tarbiah buat saya.Iktibar ini saya ingin kongsikan dengan para pembaca agar selalu mensyukuri nikmat Tuhan.

Sesungguhnya, proses kreatif adalah proses menggerakkan akal dan mengumpulkan pesan alam , agar penulis menemui sesuatu yang melembutkan jiwanya kembali kepada fitrah. Setelah itu, baharulah dia dapat menukilkan karya yang baik untuk hadaman minda ummah.

Moga cerpen ini memberi manfaat kepada semua!

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.