Senja Sudah Berlalu

Oleh Julia Nazri




PINGGAN yang berisi nasi, sedikit sayur kubis dan sepotong ikan kayu yang digoreng garing dipandang tanpa nafsu. Hanya sirap dingin yang menerobos masuk ke kerongkongnya. Sepotong tembikai kuning dicucuk-cucuk menggunakan garpu. Hatinya terasa pedih. Ironinya di hadapan dia saat ini hanya sepotong tembikai; bukan hatinya.

“Makan cepat, masa makan sudah hampir tamat.” Seorang lelaki separuh umur menegur sambil menepuk perlahan bahunya.

Dia mengangkat wajah. Lelaki itu diamati lama. Berkaca mata seperti bingkai gambar di kedai foto, lebih banyak kulit kepala kelihatan berbanding helaian rambutnya, perutnya seperti wanita mengandung lima bulan, atau tujuh bulan agaknya (dia sendiri kurang pasti), berbaju dan berseluar putih, namun dia tertarik dengan gigi lelaki tersebut; putih dan tersusun cantik.

Dia kemudian bangun. Nasi yang masih belum terusik dipandang sayu. Lagak seperti pejuang memandang isteri tersayang sebelum ke medan tempur. Halkumnya turun naik menelan liur. Selera yang hilang entah ke mana membuatkan tekaknya seakan mahu menunjal keluar andai dia memaksa untuk menelan. Dia mula melangkah.

“Pergi masuk ke bilik, jangan merayau. ” Suara lelaki tadi agak lantang. Dia hanya mengangguk. Saat ini dia terbayangkan katilnya yang bercadar putih bersih. Dia mahu berehat. Langit mendung seolah-olah memahami derita hatinya. Guruh berdentum, kilat sabung-menyabung. Titik-titik hujan mula membasahi bumi. Bertempiaran lari semuanya. Dia kehairanan. Bukankah hujan satu rahmat? Bukankah hujan satu keindahan? Pohon dan alam akan bertasbih memuji kebesaran Pencipta. Hujan juga lambang kesenian; bagi pencinta seni.

Dia masih di situ. Tubuhnya kian lencun dek deraian hujan yang kian menggila. Titik-titik hujan ini mengingatkan dia tentang dosa semalam. Biarlah air suci ini membasuh noda di tubuhnya. Irama yang lahir daripada dentuman guruh dan rintik yang menimpa bumi membuai jiwanya. Damai dan mengasyikkan.

Julia Nazri

“Kamu ini manusia hipokrit! Berpura-pura di balik topeng kemanusiaan!” Suaranya keras. Namun tiada sesiapa yang mendengar. Masing-masing sibuk mencari tempat untuk berlindung.

“Cuba kamu tanya pada diri. Kehadiran kamu di atas muka bumi ini untuk apa? Adakah kamu boleh merubah sebuah kesengsaraan? Boleh memberi harapan pada sebuah kehidupan? Bolehkah? Manusia bodoh!” Herdiknya lagi.

Guruh berdentum lagi bagai mengiringi kata-katanya. Umpama sebuah pentas opera yang lengkap dengan simfoni orkestranya. Ironinya saat ini dia sedang melakonkan watak dari pentas kehidupan yang nyata. Bukan ilusi fatamorgana. Matanya dikerdipkan. Jemarinya meraup wajah yang kebasahan. Bukan kerana deraian hujan. Namun dek air mata yang laju menuruni pipi. Sesekali tersekat dek jerawat batu yang meliar di wajahnya. Titis-titis kemudian berakhir di hujung janggutnya yang separas dada.

“Manusia macam kamu semua ni ibarat enau dalam belukar! Memijak dan menindas. Kamu tidak fikir nasib orang-orang yang kamu dagangkan. Pergi jahanam dengan manusia yang berakarumbikan haloba. Kamu umpama mengunyah daging saudaramu sendiri! Manusia keparat! ” Bibirnya dijuihkan. Tanda kebencian yang amat sangat. Matanya dicerlangkan. Bagai harimau mahu membaham mangsa.

Digagahinya menghayun langkah yang kian tidak bermaya. Bibirnya kebiruan. Tubuhnya menggigil kesejukan. Kakinya yang telanjang tanpa disalut secebis apapun sesekali terdengkot-dengkot. Kepedihan dek kerikil tajam yang tanpa simpati merobek kulitnya. Sedikit pincang caranya melangkah.

Dia menyanyi lagi. Kali ini lebih nyaring, lebih lantang. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Suara-suara sumbang yang tidak senang dengan kehadirannya tidak diendahkan. Dunia ini bukan milik sesiapa. Dia anak merdeka. Bukan lagi hidup dalam belenggu angkara. Mereka itu yang sebenarnya masih terjajah hati dan minda. Terkurung di bawah kaca, nampak di mata, namun tidak tercapai dek tangan. Sanggup bertopeng untuk mencapai maksud dan cita. Sering terpesona dengan ilusi fatamorgana. Sedang realiti tidak seindah yang disangka.

‘Aku juga pernah seperti kamu’ Dia bermonolog sendiri.

Hujan mula teduh. Manusia yang tadinya bagai takut-takut untuk melata di bumi, kini kembali memenuhi ruang. Ada yang menekup hidung dan ada yang berjalan terjengket-jengket. Yang menekup hidung; Loya dengan haruman ‘asli’ yang terbit dari longkang-longkang tersumbat. Yang terjengket-jengket; bimbang andai kasut atau pakaian berjenama mahal terkena kotoran dek limpahan air longkang.

Sampah sarap yang berbagai rupa tenggelam timbul menunjuk diri. Bukti pada kedangkalan dan kedaifan insan yang bernama manusia. Semua membutakan mata dengan apa yang terhidang. Ada yang berbisik-bisik. Tidak kurang yang menggeleng. Konon suci. Tidak terlibat langsung dengan apa yang terjadi. Manusia hipokrit! Bentaknya.

Bukankah manusia yang terbenih daripada generasi yang kononnya berilmu, berkualiti, berwawasan dan bakal menjadi peneraju negara sepatutnya boleh membuat keputusan tentang ‘baik’ dan ‘buruk’? Membuang sampah merata-rata; baikkah itu? Hujan yang menyimbah disalahkan bila banjir besar berlaku. Tunding-menunding mula berlaku. Tidak sedar yang satu jari ke arah orang lain, empat lagi jari menunding ke arah diri sendiri. Lagak seperti meludah ke langit, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri. Dasar manusia hidung tinggi. Bangga dengan kebodohan sendiri. Bolehkah mereka ini bersatu? Bolehkah?

Dia berjalan ke arah pondok menunggu bas yang kosong. Dia melabuhkan duduk. Tapak kakinya terasa pedih. Bekas luka dek tujahan botol kaca kembali berdarah. “Kerana terpijak kerikil tadi agaknya.” dia mengeluh sendiri. Dia menyumpah manusia yang sembarangan membuang botol kaca yang pecah.

Terpandang longkang yang membuak busuk membuatkan jiwanya makin sakit. Semalam dia terbaca tentang pembinaan terowong untuk mengelak banjir. Dia hanya tersenyum sumbing. Walau berjuta terowong atau tangki tadahan yang dibina, jika pemikiran dan jiwa manusia masih berada di takat lama, semuanya tidak bererti. Bukit ditarah, hutan digondol, kononnya membina pembangunan. Namun hasilnya tetap kemusnahan. Dia bukan antikerajaan. Bukan juga pembenci kemasyhuran. Dia hanya pemerhati. Entah esok atau lusa dia akan kembali ke alam yang sebenar. Alam yang tiada wasangka.

Dia benci dengan manusia yang berbolak-balik. Dia muak dengan manusia yang tidak mahu mengakui kesalahan diri. Things do not happen. Things are made to happen: Kata-kata John F Kennedy ada benarnya.

Dia ingin memberontak. Dia mahu menentang. Bila difikirkan kembali; Apa yang diperjuangkannya? Apa yang dituntutnya? Dia menekur. Lama. Berfikir sebenarnya. Mencari jawapan pada persoalan yang dia sendiri masih kabur untuk memahami. Dia bingung. Diramas rambut yang kebasahan. Perit dirasakan hingga ke kulit kepala. Dia ingin melempar jauh perasaan gundah yang bertandang. Namun terselit satu rasa di benaknya; untuk apa ketidakpuasan hati ini andai tidak dilontarkan?

Dikeluarkan buku nota kecil berwarna hitam dari bundutan yang berwarna biru tua (sehelai kot lama yang diikat menjadi bundut) hampir lunyai kerana kebasahan. Tekun dia menyelak satu persatu helaian yang kelusuhan. Dia bukan pendeta. Jauh sekali seorang ahli falsafah atau pujangga. Dia tidak mampu membuai perasaan bagi yang membaca baitannya. Dia hanya seorang pemuja. Dia mencari pedoman buat mengharungi badai kehidupan.

Hidup ini satu perjuangan. Kalau tidak berjuang menggunakan senjata, berjuanglah menggunakan akal atau pena : Amir Shakib Arselan.

Dia berpegang pada kata-kata itu. Kerana itu dia suka menulis. Meluahkan apa yang dirasakan. Baginya cinta tidak semestinya bersatu. Namun dia tetap mengagungkan kalimah keramat itu. Hidup tanpa cinta seperti unggun api yang tidak pernah menyala; entah di mana dia pernah mendengar kata-kata ini.

Retinanya memerhati seekor katak hitam yang terlompat-lompat tanpa arah. Sesekali menguak. Tidak puas agaknya bermandi hujan. Nasib dia dan nasib si katak serupa. Tiada teman, tiada haluan, tempat mereka bukan di sini. Bukan di tengah kota raya ini. Bas berbelang biru yang datang laju tanpa kasihan menggelek si katak yang hampir menjadi temannya. Dia bangun. “Hei! kenapa kaulanggar kawan aku ha? Manusia keparat! ” Pekiknya.

Dia sedar yang dia menjadi perhatian. Manusia memang begitu. Kain orang dijaga, kain sendiri berlubang seolah dibangga. Dia mencebik. Si katak sudah tiada. Perutnya pecah. Kuakannya juga sudah tidak kedengaran. Dia sendiri lagi. Manusia di sekeliling hanya menggeleng. Mungkin kehairanan. Mungkin kasihan. Mungkin kebencian. Ah! persetankan itu semua! Dia membentak.

Tekaknya sedikit perit. Dahaga. Dari celahan bundut dia menarik botol plastik yang berisi air kosong. Tidak sampai suku botol. Dia meneguk rakus. Cukup sekadar membasahkan tekak. Cebisan karipap yang berbungkus plastik dicapai. Lahap kunyahannya. Masih belum hilang dahaganya. Perutnya mula berkeroncong. Dia meraba saku bajunya. Hanya dentingan syiling yang kedengaran. Dia mendengus kuat. Seingatnya dia masih punya wang. Hampir tiga puluh ringgit. Namun kerana panas hati, dia telah melempar kesemua duitnya ke muka peniaga gerai. Marah kerana layanan buruk yang diterimanya. ‘Mereka sangka aku tidak punya duit agaknya’ bentaknya kasar. Mereka menilai dia hanya kerana wajahnya hodoh dan pakaiannya compang-camping. Sesiapa yang tidak berfikir panjang, kesusahan telah tersedia di hadapan : Kong Hu Chu. Hari ini dia terlupa pada falsafah yang selalu dibacanya. Dia menggeleng. Mudah benar dia dibuai bisikan iblis. Amarah mengatasi kewarasan akal. Dia tewas hari ini. Raqib dan Atid sudah menuliskah agaknya?

Di hadapannya tersergam rangka bangunan yang masih dalam pembinaan. Manusia yang lain benar bahasa pertuturannya mula mengerumuni pondok bas. Ini pun salah satu daripada kebanjiran. Dia mencebik lagi. Bukan membenci. Namun jelak dengan segelintir yang tidak tahu menghargai budi. Mengambil kesempatan di atas kebaikan kerajaan. Bunuh, rogol, rompak dan peras ugut terlalu banyak membabitkan pendatang seperti mereka. Mungkin tidak semua. Dia bangun. Tidak betah dia berlama-lama di situ.

Matanya meliar mencari pili air. Tekaknya masih dahaga. Dia menyeberang ke kiri jalan. Mencari tandas awam. Tekaknya makin mual dengan bau yang mencemar rongga. Manusia bodoh! Bentaknya. Tandas yang sepatutnya dijaga, sebaliknya dirosakkan. Memang manusia tidak bertamadun! Sumpahnya lagi. Pintu yang terkopak, sinki dan cermin yang dipecahkan, dinding penuh dengan luahan perasaan dan yang paling jijik; najis yang dibiar tanpa dicuci. Memang manusia keparat! Hinanya lagi. Niatnya mahu mengambil air untuk diisi ke dalam botol dibatalkan. Kembang tekaknya.

Harga setiap manusia adalah kebaikan yang dilakukannya: Saidina Ali

Manusia yang tidak punya iman tidak akan pernah memahami kata-kata hikmah sahabat Rasulullah. Walau agama apa pun yang dianuti, kebersihan adalah tunggak utama. Tidak ada agama yang suka kepada kekotoran dan kemusnahan. Memang manusia zaman ini sudah tidak lagi mampu berfikir dengan baik. Manusia bodoh! Ulangnya lagi.

Dia melangkah keluar menuju ke paip di depan surau. Botol yang kosong diisi penuh. Warna air yang kekeruhan tidak menghalangnya daripada meneguk rakus. Menyeringai apabila kepayauan mula bersatu dengan rongga rasanya. Dicepakkan mulutnya. Serasa mahu dimuntahkan kembali.

Masih ada mata-mata yang memandang. Seolah jijik dengan keadaan dirinya. Dia menekur. Kaki yang tidak bersepatu. Penuh dengan kudis dan kuku yang panjang kehitaman. Seluar yang compang-camping, baju kemeja yang dulunya putih bertukar kehitaman, rambut yang berombak kasar tidak bersikat; penuh dengan kutu, wajah yang berjerawat batu, jambang yang meliar, tubuh yang hanya terbonjol tulang berbanding isi. Dia senyum. Terlihat tunggul gigi yang kekuningan. Masih ada lendir saki-baki karipap yang tidak terhadam oleh giginya. Memualkan sesiapa yang terpandang.

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan bentuk tubuh kamu, tetapi dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu: Sabda Rasulullah saw.

Mereka kata dia gila. Sebab itu dia tidak mementingkan kebersihan diri. Gilakah dia? Tubuhnya tiba-tiba bergoyang (lebih tepat seperti digoyangkan).

“Bangun. Pergi mandi. Dah petang ni.” Matanya masih berat untuk dibuka. Seorang lelaki berjambang nipis memandangnya tajam. Dia tersentak. Bingkas dia terduduk. Dia meraba wajahnya. Tidak ada lagi janggut dan jambang meliar, rambutnya tidak lagi berombak; dicukur botak, kukunya juga telah dipotong bersih. Pakaiannya juga putih bersih. Matanya melingas memerhati sekeliling. Yang ada hanya katil yang tersusun kemas. Dia bingung. Lama dia diam. Dia baru tersedar; semalam adalah senja terakhir dia sebagai pengembara. Masih terbayang wajah bengis abang-abang berbaju biru yang memaksanya menaiki trak hitam gelap. Kerana itu dia di sini. Dia bukan lagi seorang pengembara. Tidak ada lagi suara sumbang yang akan mengganggu keheningan senja, tidak akan ada lagi suara sayu yang melagukan senandung kehidupan, tidak akan ada lagi. Yang ada hanya kebisuan. Yang tinggal hanya sebuah penyesalan. Senja yang dulu sudah berlalu.

Profil Penulis:
JULIA Nazri yang dilahirkan pada 2 Julai 1982 adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif negara ini. Beliau pernah mengikuti bengkel kursus penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah bimbingan Saudara Zaharah Nawawi. Juga [ernah mengikuti bengkel Penulisan Skrin anjuran Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah bimbingan Saudara Martias Ali. Berkhidmat sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan di Tenaga Nasional Berhad Petaling Jaya. Anak jati perak dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Berita Harian

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.