Holograf Klasik Dari Nagasaki

TUAN yakin ia holograf yang asli?” pertanyaan Dr. Humaira menyerpihkan kesepian yang memenuhi ruang bilik berhawa dingin itu lebih tiga minit yang lalu.

Di atas meja kayu jati bervarnis coklat cair, jam bandul besi buatan Itali yang setia berayun sejak tiga tahun lalu tidak sedikit pun menarik perhatian Profesor Junichi Inamoto dan Dr. Sonoko Megure yang sememangnya sedari tadi menantikan reaksi spontan daripada Dr. Humaira.

“Ya, kenapa tidak? Keasliannya telah disahkan sendiri oleh Agensi Akreaditasi Barang-barang Purba dan Artifak Nasional di Jepun. Menurut mereka, holograf ini dipercayai ditulis sekitar lima puluh tahun yang lalu berdasarkan jenis kertas dan dakwat yang digunakan. Dan, oh ya, bukankah pada waktu itu Malaysia yang dikenali sebagai Tanah Melayu masih menggunakan ejaan dan tulisan Jawi berbentuk sedemikian rupa? Jika puan masih mahukan bukti yang lain, kami turut mempunyai beberapa sampel tulisan Jawi yang kami fotokopi daripada Muzium Perang Nagasaki.”

Professor Junichi Inamoto mengeluarkan beberapa sampel holograf bertulisan Jawi dan langsung meletakkannya di atas meja. Disusunnya holograf itu dari kanan ke kiri, sesuai dengan cara menulis dan membaca tulisan Jawi. Beberapa keping gambar hitam-putih tentang kesan pengeboman Hiroshima-Nagasaki yang lusuh turut disertakan. Semuanya berjilid kemas dalam sejenis album khas yang berlabel. Melihat Profesor Junichi agak sibuk menyusun, Dr. Sonoko mengambil peluang untuk mencelah.

“Dr. Humaira, saya rasa saya sudah menanti terlalu lama untuk semua ini. Terlalu banyak masa yang telah saya korbankan untuk mencari dan menemui puan. Nampaknya pada hari ini Tuhan telah memakbulkan doa saya.”

Dr. Humaira mengerut dahi - respons bahawa dia tidak mengerti dengan butir bicara Dr. Sonoko sebentar tadi.

“Menanti terlalu lama? Maksud awak? Demi mencipta kembali titisan darah pada parut bangsa saya yang sudah mula melupakan peristiwa pilu itu? Cengkaman penjajahan yang cukup memeritkan sehinggakan kesannya hanya mampu dilihat di perpustakaan?” sinis Dr. Humaira mengundang kocak keruh di tembang jiwa Dr. Sonoko. Melihat Dr. Sonoko seperti diminta untuk ditinggalkan secara peribadi, Profesor Junichi meminta izin untuk merokok di luar.

“Bukan begitu maksud saya, puan. Apa yang pernah berlaku antara bangsa kita, adalah satu sejarah yang tidak dapat kita putuskan pada masa kini. Rantaiannya terlalu jauh dan mustahil untuk kita kejar dan capai pun. Kita tidak ada autoriti ketika itu. Puan, niat saya ke mari kerana saya mahu menjejaki waris Tuan Guru Umar Mushashi yang kini menjadi legenda di negara saya.” Jelas Dr. Sonoko cuba meyakinkan. Tangannya kemudian disilangkan di dada, seperti mententeramkan perasaannya yang sedang berombak kencang.

“Legenda? Saya tak faham. Datuk saya hanya seorang petani miskin yang ditangkap di sebuah kampung terpencil, dibawa ke Jepun dengan tongkang kecil yang sesak, lalu dibiarkan menjadi buruh landasan kereta api di sana dan dipenjarakan dengan penuh kekejaman hanya kerana mempertahankan agamanya. Bagaimana mungkin pemuda yang hampir-hampir dipancung kepalanya oleh Jeneral Heijie Hatsutori itu boleh menjadi seorang legenda dalam masyarakat Jepun yang berpegang utuh pada tradisi negara bangsa seperti kalian?” pantai amarah Dr. Humaira seolah sudah mula menghempaskan ombak perasaan. Hawa dingin dari air conditioner Samsung 7B 500K seperti tersejat dengan bahang emosinya.

“Puan, sudah saya katakan, semua itu di luar kekuasaan kita. Ia kesilapan pemimpin kami yang terdahulu. Namun pada hari ini, rakyat Jepun menyanjung datuk puan sebagai Yakusu San yang menjadi salah seorang legenda dalam sejarah Perang Dunia Kedua.”

“Yakusu San? Maksudnya? Saya kurang mengerti. Maklumlah, saya bukan fasih dalam bahasa Jepun.” Soal Dr. Humaira kemudian. Pen Parker perak dipusingkan pada ruas jemari. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.

“Yakusu San dalam bahasa Melayu membawa maksud Tuan Penterjemah. Menurut sejarahnya, sebaik sahaja beliau ditangkap oleh tentera Jepun atas arahan Jeneral Heijie Hatsutori dan dibawa ke Jepun untuk dijadikan buruh paksa bagi membina landasan kereta api, beliau telah dipenjarakan oleh Maharaja Hirohito kerana didapati mengetuai sekumpulan orang-orang Melayu dalam satu tunjuk perasaan menentang tindakan Jeneral Heijie Hatsutori yang menghalang keinginan orang-orang Melayu untuk bersolat. Di penjara, Tuan Guru telah mengisi waktu senggangnya dengan menulis puisi-puisi. Beliau menghasilkan kira-kira 105 buah puisi dalam tempoh kurungan tersebut sehinggalah dibebaskan pada Januari 1946 setelah Jepun mengaku kalah.”

“Saya mengerti semua itu. Sejarah itu telah pun dibukukan oleh keluarga kami secara persendirian. Lalu, apa relevannya puisi-puisi ini dengan kurniaan ‘legenda’ yang kalian berikan kepada datuk saya?” soalan Dr. Humaira sekali lagi berdesing. Jari telunjuknya yang merah berinai ditujukan kepada helaian-helaian holograf bertulisan Jawi yang terdedah di atas meja itu.

“Tuan Guru Umar Mushashi seorang penyair yang hakikatnya mampu meramalkan masa depan, puan. Ini kepercayaan purba bangsa kami. Puisi-puisinya seolah-olah satu mahakarya yang memerikan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Mengandungi nilai mistik dan kosmologi yang tersendiri. Ya, barangkali sudah terlalu lewat untuk menyesali semua itu kerana semua ini disedari setelah Nagasaki musnah dalam pengeboman nuklear Fat Man pada 6 Ogos 1945 atas perintah sang presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman.”

“Meramal masa depan? Maksudnya? Dan puisi-puisinya? Maaf, saya kurang mengerti apa kaitannya puisi yang datuk saya hasilkan dengan pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki?” pertanyaan Dr. Humaira pada kali ini agak berlembut. Dr. Sonoko cuba mengukir ulas senyuman di bibir, mencicip permulaan baik yang sudah tiba untuk meneruskan perbincangan berhemah.

Rintik

“Ya, meramal masa depan. Tuan Guru Yakusu San mencipta lebih seratus buah puisi. Akan tetapi, satu puisinya yang ini benar-benar bermakna. Cuba puan tafsirkan tiga baris terakhir dalam puisi ini. Puisi bertajuk Hujan Yang Turun Menjelang Senja ini ditulis oleh Tuan Guru Yakusu San beberapa bulan sebelum Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat.” Dr. Sonoko memberikan kertas kusam bertulisan tangan dalam tulisan Jawi kepada Dr. Humaira.

“Setelah bertahun langit ini memayung, dua rintik hujan yang turun di bumi gersang, memusnahkan seladang harapan.” Dr. Humaira membaca bait puisi itu perlahan-lahan. Sejenak, dia menongkat dagu berfikir dan ketika tunak matanya menikam bebola mata Dr. Sonoko, dia kian mengerti apa yang dirasakan oleh Dr. Sonoko saat ini.

“Bagaimana? Sebagai seorang pensyarah Kesusasteraan Melayu, pasti mudah bagi puan untuk mentafsirkan puisi ini bukan? Kerana nilai puisi ini begitu tinggi, puisi ini telah dimuatkan di dalam sebuah Shinsedai Shinshuu di Jepun kini agar ia dapat dihayati oleh generasi muda Jepun supaya mereka belajar daripada kehancuran Hiroshima dan Nagasaki.” alis kening Dr. Sonoko sedikit terangkat sewaktu menyudahkan pernyataan itu.

“Sebentar... Memusnahkan seladang harapan itu membawa maksud musnahnya harapan rakyat Jepun pada ketika itu untuk melihat Jepun menjadi kuasa utama ketika perang berlaku. Maksud ayat setelah bertahun langit ini memayung ialah permulaan kepada kejatuhan empayar perang Jepun di bawah pemerintahan Maharaja Hirohito setelah beberapa tahun tentera Jepun berkuasa. Jadi, dua rintik hujan di bumi gersang itu membawa maksud pengguguran nuklear di...”

“Ya, pengguguran dua butir bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan Empayar Ketenteraan Maharaja Hirohito serta-merta dan kemusnahan empayar Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Walaupun labelnya sebagai seorang pidana, Tuan Guru Yakusu San telah mempamerkan kebijaksanaan dan kehebatan pemikiran orang Melayu melalui penghasilan puisi itu.” Celah Dr. Sonoko tanpa sempat Dr. Humaira menghabiskan kata-katanya.

“Tak mungkin...” Dr. Humaira membisik kecil, sambil menggeleng, tanpa tunak matanya sedikit terkalih daripada menatap holograf lusuh itu.

“Puan perlu meyakininya, puan. Inilah kebenarannya. Kebenaran yang tercipta daripada pemikiran penyair Melayu. Jika anak-anak muda kami pada hari ini memuji kehebatan puisi dan pemikiran ini setelah hanya menatap ia di Shinsedai Shinshuu, mengapa tidak puan meyakininya? Saya sendiri sejak dahulu percaya kepada kebenaran yang dituliskan oleh penyair-penyair Melayu. Orang-orang Melayu mempunyai kosmologi minda yang tinggi yang menjadi sangkar bukan sekadar pada susuk, bahasa dan kebudayaannya malah turut memagari pemikiran dan ideologi bangsanya sendiri. Kalian adalah bangsa terpilih! Selama bertahun, inilah yang saya kerjakan di dalam tesis doktor falsafah saya. Segala-galanya, sehinggakan saya berharap agar saya mampu menemui waris penyair hebat ini pada suatu hari nanti.”

“Dr. Sonoko, jadi maksudnya, datuk saya sebenarnya awal-awal lagi sudah dapat menjangkakan bahawa Hiroshima dan Nagasaki akan ditimpa bencana seperti ini? Begitu? Tuhan, begitu hebat dan agungnya anugerah yang Kau berikan kepada penyair-penyair Melayu!”

“Ya, dia seperti sudah dapat menjangkakan semua ini. Sejujurnya, kalaulah puisi ini ditafsirkan lebih awal, barangkali ia akan dapat mengubah sejarah. Barangkali juga, ia mampu menyelamatkan ratusan ribu nyawa yang terkorban, termasuk datuk dan nenek saya atau pun sekurang-kurangnya mengecilkan jumlah insan yang terpaksa mewarisi tempias radiasi perang ini untuk beberapa generasi.” Dr. Sonoko menyingsing lengan. Beberapa tompok hitam dan putih pada kulit yang mengelupas jelas mencacatkan tona kulit lengannya yang mulus itu.

“Jadi Dr. Sonoko, awak adalah...” belum sempat Dr. Humaira membertihkan butir kata, Dr. Sonoko lantas menambah.

“Ya, salah seorang daripada mangsa yang terpaksa mewarisi radiasi pengeboman nuklear di Hiroshima dan Nagasaki. Generasi saya merupakan bukti kekal yang terhasil daripada sikap haloba manusia yang meratah sajian kuasa tanpa terselit kemanusiaan di dada. Saya meratapi kekesalannya pada hampir setiap masa, sehinggakan kadangkala mempersoalkan mengapa begini sukar takdir yang tercipta, dan alangkah indahnya sekiranya puisi ini mampu ditafsirkan oleh sesiapa sebelum segala-galanya bermulanya. Tetapi saya tahu, bangsa Melayu mempunyai kehebatan yang bukan hanya pada mencipta aksara dan retorik puisi melalui kata. Kalian mempunyai kekuatan jati diri dan kemanusiaan yang tinggi. Bukankah kalian sudah lama diajar untuk menuliskan riwayat bangsa yang tekal di semenanjung emas ini dan sebagai pelayar agung dalam sejalur pelayaran di segenap buana, kalian merupakan sang nakhoda yang tidak pernah gentar pada ribut dan taufan samudera?”

Bicara

Dr. Humaira terpana. Dengan nafas berat yang dihelanya, dia tabah menyusun butir bicara, diselangi perasaan yang sedikit sebak di dada. “Dr. Sonoko, terima kasih kerana menyedarkan saya tentang kekuatan yang sebenarnya telah lama ada dalam diri bangsa saya.”

Dr. Sonoko tersenyum manis.” Sama-sama. Saya lebih berbangga andai ia perkara yang mampu menyelesaikan dendam silam antara bangsa kita. Kita lupakan segala kesilapan pemimpin kita yang terdahulu, dan kita cuba mulakan satu keharmonian hidup yang baru. Saya mempercayai kekuatan bangsa ini sebagai bangsa yang mampu menggegarkan dunia andai mengiktibarkan kepahitan kisah yang dulu. Kita perlu berganding bahu, dan menciptakan coretan sejarah yang baru.”

“Ya, benar. Coretan sejarah yang baru, dan sekeping holograf ini adalah permulaannya. Dr. Sonoko, awak tahu, datuk saya pernah berpesan. Katanya, kita tidak perlu takut untuk jatuh, kerana ia akan mengajar kita bagaimana untuk bangun. Oh ya. Kalau Dr. tidak keberatan, boleh saya fotokopi kesemua holograf ini dan menyimpannya sebagai koleksi peribadi saya?” tanya Dr. Humaira.

“Tidak perlu fotokopi. Simpan sahaja kesemuanya kerana sebagai waris mutlak, puan lebih berhak untuk menyimpannya. Tetapi, sebagai pengerasnya, puan perlu memenuhi permintaan saya.” Pinta Dr. Sonoko sambil tersenyum manis.

“Apa dia?” soal Dr. Humaira hairan.

“Ajarkan saya bagaimana mahu menghasilkan puisi Melayu.”

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.