Kematian YB Kampung Bahagia

BERIKUT adalah catatan peristiwa berikutan kematian seorang YB di Kampung Bahagia. Suasana sugul dan suram menyelubungi kediaman Yang Berhormat Datuk Haji Polan berikutan pemergian arwah tepat jam 12.00 tengah malam semalam.

Kematiannya yang tidak dijangka dan diduga benar-benar memeranjatkan bukan sahaja ahli keluarga, malah keseluruhan warga Kampung Bahagia. Datuk YB bukanlah seorang yang asing bagi kebanyakan penduduk di Kampung Bahagia. Menjadi seorang wakil rakyat, Datuk YB telah mengabdikan diri untuk menyampaikan masalah penduduk untuk perhatian mereka-mereka yang bertanggungjawab.

Suara lantang Datuk YB didengar lantang menggegar Dewan, acap kali mengundang kontroversi dan mendapat liputan meluas oleh semua media. Seperti di satu ketika, Datuk YB telah membangkitkan isu tanah kediaman milik penduduk India yang diambil bagi pembinaan laluan keretapi laju negara. Datuk YB dengan tegas menyelar pihak berkuasa yang menindas penduduk India, dengan memaksa mereka menyerahkan semula tanah (yang telah diberi oleh kerajaan juga atas hasil keceluparan Datuk YB) pada harga yang amat rendah. Percakaran di antara pihak berkuasa dan juga Datuk YB mendapat liputan yang meluas, sehingga semua proses pembinaan keretapi itu terpaksa dihentikan. Perbincangan di antara pihak kerajaan dan penduduk India Kampung Bahagia (atau lebih tepat Estet Kampung Bahagia), yang rata-rata merupakan penoreh getah yang bekerja di estet, masih lagi berlangsung tanpa kata putus walaupun telah berulangkali bertemu dan perkara ini berlarutan selama tiga tahun.

Seawal jam 8.00 pagi, perkarangan banglo lima tingkat Datuk YB telah dikerumuni oleh warga penduduk yang turut bersedih dengan pemergian Datuk YB. Di satu sudut, berkumpul keluarga-keluarga dari masyarakat India (kesemua mereka tuan tanah yang mahu diambil ) yang jelas menangisi pemergian YB. Di satu sudut yang lain, berkumpul tauke-tauke yang rancak membincangkan masalah yang menyelebungi mereka, dan semakin rumit dengan pemergian Datuk YB ke rahmatullah. Perbincangan mereka rancak berkisar tentang hasrat mereka mendapatkan bantuan kerajaan untuk membina bangunan baru di sebuah sekolah Cina di tengah Pekan Bahagia. Permintaan ini diajukan kepada kerajaan, melalui suara lantang Datuk YB yang mahu bangunan lama (yang telah wujud sejak dari zaman penjajah Inggeris) yang menunggu hari mahu runtuh, supaya diganti dengan bangunan baharu dan dibina secepat mungkin.

Tepat jam 8.45 pagi, isteri Datuk YB yang ketiga menerima panggilan yang mengejutkan dirinya sendiri. Panggilan dari pejabat menteri itu memberitahu bahawa YB Menteri akan turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada YB Kampung Bahagia. Perkembangan terbaru ini membangkitkan sedikit keriuhan di kalangan ahli keluarga terdekat YB, yang tergopoh-gapah menelefon katerer untuk menyiapkan makanan yang sedap-sedap untuk menyambut ketibaan tetamu kehormat yang tidak diundang. Pada ketika ini, sukar untuk ditafsirkan sama ada mereka (ahli keluarga Datuk YB, terutamanya isteri ketiga YB) bersedih atau bergembira dengan berita kedatangan YB Menteri itu. Satu-satunya orang yang dapat dipastikan keadaannya adalah Datin, isteri pertama YB yang ditemani isteri kedua YB yang dari tengah malam semalam setia duduk di sebelah katil yang menempatkan tubuh kaku Datuk YB, terus tekun membaca surah Yassin, sambil dari masa ke semasa menitiskan air mata dan tersedu-sedu kesedihan. Mungkin kerana status Datin sebagai isteri yang paling sulung, segala urusan pengebumian telah diserahkan secara bulat-bulat kepada isteri kedua dan ketiga, anak sulungnya yang baru menjejakkan kaki di sebuah menara gading dan beberapa pembantu dan teman setia YB yang setia bersama YB semenjak dari hari pertama YB melangkah masuk ke dunia politik. Oleh itu, berikutan kunjungan hormat YB Menteri , satu mesyuarat tergempar telah diadakan di antara pengurus-pengurus ini.

Mengebumikan

Kesemua mencapai kata sepakat untuk mengebumikan YB kesayangan Kampung Bahagia itu selepas Zohor, dan bukan sebelum Zohor seperti yang dipersetujui oleh mereka semua sebelum ini. Selain itu, isteri ketiga dan teman-teman setia YB telah ditugaskan untuk menguruskan ketibaan, makan minum dan segalanya yang melibatkan YB Menteri. Urusan jenazah dan lain-lain yang berkaitan tentang jenazah akan diuruskan oleh anak sulung YB dengan bantuan pembantu-pembantu YB. Kesemua keputusan yang telah dibuat ini, dilaporkan kepada Datin yang hanya mengangguk lemah dan terus dipujuk oleh isteri kedua Datuk YB.

Sementara itu, perkarangan rumah Datuk YB terus menerima tetamu dari kalangan penduduk Kampung Bahagia. Jumlah tetamu yang ramai, bertambah-tambah berikutan berita kedatangan YB Menteri yang dijangkakan akan tiba pada jam 12.00 tengah hari nanti. Tepat jam 11.00 pagi, keadaan tetamu-tetamu di luar halaman rumah Datuk YB sedikit riuh dengan kedatangan wartawan-wartawan media cetak dan elektronik yang membuat liputan pemergian Allahyarham Datuk YB. Wartawan-wartawan dari stesen-stesen tv mula merakamkan perkembangan terkini yang turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Hampir kesemua mereka melaporkan kesedihan, suasana sugul dan muram yang dapat mereka rasai di kalangan para tetamu yang semakin ramai. Keadaan ini adalah amat berbeza sewaktu pemergian Tok Wan Timah, salah seorang penduduk awal Kampung Bahagia. Berita kematian Tok Wan Timah, yang terlibat dalam satu kecelakaan jalan raya amat mengejutkan hampir kesemua komuniti Melayu di Kampung Bahagia. Lebih menyedihkan, peristiwa ini berlaku dalam bulan Ramadan tahun lalu. Ironiknya, tragedi ini bermula dengan usaha Datuk YB yang tidak pernah kenal penat, mendapatkan pelbagai kemudahan awam telah diberikan kepada penduduk Kampung Bahagia, yang ternyata telah berjaya meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Pembangunan pesat Kampung Bahagia, mendorong Datuk YB untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan, di mana jalan raya yang dahulunya satu lorong, telah diperbesarkan kepada dua lorong.

Kemudahan ini, telah berjaya menarik pemandu-pemandu lori yang menghantar barangan dari utara ke selatan negara untuk menggunakan jalan sepanjang Kampung Bahagia, sebagai jalan alternatif untuk mengurangkan kos membayar tol. Dengan itu, kedai-kedai makan dan tempat-tempat rehat di sepanjang Kampung Bahagia menerima rahmat rezeki yang melimpah ruah dan menguntungkan. Pun begitu, kehadiran pemandu-pemandu ini juga mendatangkan satu masalah kepada kesemua penduduk di Kampung Bahagia.

Dek kerana ini, hampir kesemua penduduk kampung sentiasa dilanda dengan kisah-kisah kemalangan yang tak pernah kunjung selesai. Dan mangsa yang terkini, tak lain dan tak bukan Tok Wan Timah. Diberitakan, Tok Wan Timah sedang dalam perjalanan pulang dari surau, yang terletak di seberang rumahnya. Kerana usia Tok Wan Timah yang lanjut, langkah yang mampu diatur adalah sedikit perlahan dibanding dengan Tok Wan Timah yang pernah menembak mati lima orang komunis di Kampung Bahru di Pekan Bahagia satu masa dulu. Langkah yang perlahan, dan lori-lori yang gagah dan laju ini menjadi sebab kepada gugurnya pahlawan tempatan ini.

Suasana muram yang menyelubungi kediaman Datuk YB kini mula diselubungi panas terik matahari yang tak pernah segan dan silu menjalankan tugasnya. Dan apabila tegak sahaja matahari di tengah langit, ia disambut dengan kedatangan seorang pemimpin yang dinanti-nanti. YB Menteri menyambut kesemua tangan yang dihulur untuk bersalaman. Kesemua hadirin yang hadir ada di perkarangan rumah Allahyarham Datuk YB tak kira Melayu, Cina, atau India bagai terlupa niat kehadiran mereka, dan berebut-rebut untuk memegang tangan YB Menteri (atau sekurang-kurangnya merasa ditolak ke tepi oleh pengawal peribadi YB menteri). Kesemua ini dilakukan supaya akan ada cerita yang boleh diwariskan pada anak-anak dan cucu-cucu. Hati YB Menteri menjadi pilu melihat Datin yang sebak membaca surah Yasin, mendoakan semoga arwah suaminya di tempatkan bersama-sama mereka yang soleh. YB Menteri lalu berlutut, dan dan cuba memujuk dengan menyatakan bahawa semua ini dugaan dari Allah. Tidak dapat dinyatakan di sini sama ada Datin mendengar dan memberi perhatian kepada kata-kata YB Menteri itu, kerana sepanjang perbualan di antara mereka, Datin hanya tunduk dengan sekali sekala tersedu-sedu menahan sebak. Setibanya di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahagia, konvoi YB Menteri dikejutkan oleh segerombolan kumpulan manusia yang membanjiri tanah perkuburan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin yang mereka sayangi (tak kurang juga mereka yang hadir untuk menyaksikan YB Menteri dengan mata kepala mereka sendiri). Setelah itu, jenazah diturunkan daripada pengusung dan dibawa terus ke tempat persemadian yang akhir.

Kesemua hadirin yang hadir bersama-sama dengan rombongan YAB menteri turun menyusul di belakang YB Menteri untuk bersama-sama menghadiri upacara pengebumian YB kesayangan mereka. Sejurus sampai ke kuburan, terlihat satu kumpulan manusia yang telah siap sedia menjalankan tugas mereka yang sudah turun menurun mereka lakukan. Kebanyakan dari mereka adalah orang Kampung Bahagia yang telah mengabdikan hampir separuh abad usia mereka menguruskan jenazah-jenazah dari Kampung Bahagia dan kampung berhampiran. Kesemua mereka telah bersedia mengambil tempat di belakang van, untuk membawa jenazah YB ke perjalanannya yang terakhir. Sambil diperhatikan oleh YB menteri, kesemua mereka dengan penuh semangat bergilir-gilir memangku keranda yang mengandungi Allahyarham YB terus ke lot kubur yang telah ditetapkan. Penggunaan ‘lot’ dalam pengurusan tanah perkuburan di Kampung Bahagia bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara ini juga adalah cadangan daripada Allahyarham YB bagi memaksimumkan tanah, dan bagi mewujudkan satu sistem penjagaan yang lebih teratur. Dan sesuai dengan pengaruh dan jasa yang telah ditaburkan, tempat persemadian YB adalah hampir dengan pintu masuk ke tanah perkuburan itu bagi memudahkan pelawat-pelawat menziarahi pusara YB di masa-masa hadapan. (Tidak seperti Tok Wan Timah, yang mana lotnya berada betul-betul di hujung tapak tanah perkuburan, hampir tidak diendahkan berdasarkan kepada tinggi lalang yang semakin meninggi).

Menimbus

Pergerakan menimbus dilakukan dengan cermat dan tangkas, di mana meraka yang di atas akan menolak tanah masuk ke dalam liang dan pemuda yang masih berada di dalam liang pula akan memastikan tanah yang dimasukkan semula itu masuk sama rata, di setiap ruang tanah yang telah dikorek.

Pada waktu ni juga, terdengar tangisan sedih dari isteri-isteri, dan anak-anak Datuk YB yang kini berpelukkan antara satu sama lain. Tak lama kemudian, pemuda-pemuda yang berada di dalam liang pun keluar setelah menjalankan tugas mereka memastikan tanah yang diturunkan dimasukkan sama rata. Mereka yang lain, yang ditugaskan untuk menarik dan memasukkan tanah semula ke dalam liang masih lagi terus setia menjalankan tugas mereka, sehingga habis kesemua tanah yang tadinya membusut tinggi dimasukkan semula menutupi liang YB.

Setelah selesai, satu tikar yang lain dihamparkan bersebelahan kuburan YB, di mana Ustaz Hj. Ismail, imam Kampung Bahagia mengambil tempat di hadapan sekali, diikuti oleh YB menteri dan anak sulung Datuk YB, dan seterusnya saudara-saudara lelaki Datuk YB yang terdekat. Menyedari keadaan yang agak bising, YAB Menteri memohon bantuan dari pengawal peribadinya untuk mengawal dan menenteramkan hadirin yang hadir.

Sesudah menghadiri majlis arwah Datuk YB, satu sidang akhbar teah diadakan di perkarangan banglo Allahyarham Datuk YB. Sidang akhbar itu, yang dipengerusikan oleh YB Menteri menyatakan bahawa satu pilihan raya akan diadakan dalam masa empat belas hari lagi bagi memilih pengganti Datuk YB Kampung Bahagia yang baharu. Selain itu, YB Menteri telah mengumumkan satu projek perumahan baru bagi menempatkan penduduk estet Kampung Bahagia, selain memberikan mereka pampasan yang sesuai.

Selain itu, beberapa bangunan baru bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Cina akan dibina mulai minggu hadapan. Dan untuk memperingati jasa Tok Wan Timah membunuh lima orang komunis ketika zaman darurat, Tok Wan Timah akan diberikan penghormatan sebagai wira negara, dan akan diberikan gelaran Datuk.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.