Gemerlap cahaya Syawal

KERETA Mercedes berona ungu Shamsul letak di hadapan balai raya, jarak dua ratus meter dari rumah ayah ibu. Dia berdiri menyandar di belakang kenderaan yang baru dua bulan dibeli menggantikan Mercedes lama yang sudah berumur lima tahun.

Matanya memantau jika nampak kelibat ayah. Setelah 20 minit memerhati, Shamsul membuka but kereta.

Sekampit beras, tiga ekor ayam, lima kilogram daging segar dan lain-lain keperluan untuk hidangan pagi raya Shamsul pikul dan jinjit ke rumah ibu. Suasana nampak sepi. Kelibat ayah tidak kelihatan menerusi pintu dan jendela yang terbuka.

Perlahan Shamsul menolak daun pintu dengan siku. Bunyi keriut ensel membuat Shamsul menahan nafas. Dia berjalan menjengkit menuju dapur. Semua bahan mentah diletak dalam tudung saji atas meja makan agar tidak dikerjakan belang.

Shamsul terdengar suara ayah dalam bilik. “Biarpun Shahril duduk percuma sahaja di rumah ini, bil air, api dan telefon tidak pernah dia tolong bayarkan, bini pun aku tanggung makan minumnya tapi dia baik. Ringan tulang. Budi bahasa sopan. Aku sayang dia walau sekolah sampai tingkatan tiga, kerja sebagai buruh sapu jalan.”

Shamsul duduk di kerusi menghadap tudung saji yang berisi barang-barang dibawanya tadi.

“Abang tidak boleh membezakan anak. Shamsul itu berpelajaran tinggi. Lulusan luar negara. Bergaji besar. Berkereta mewah. Dia selalu bawakan barang-barang keperluan dapur untuk kita tapi abang tolak. Suruh dia angkut balik. Apa dosa Shamsul pada abang sampai abang tidak mahu bercakap dengan dia?” Suara Mak Piah nyaring dan tegas membela Shamsul. Luka hati Shamsul sedikit terubat.

“Saya tidak perlukan sesen pun duit anak awak itu. Biar saya membanting tulang seumur hidup. Cakap dengan dia jangan jejak lagi rumah aku. Yang aku perlukan dalam hidup ini bukan kebijaksanaan anak, tapi ...” setakat itu suara keras Pak Mail terhenti. Dia enggan meneruskan bicara.

“Kenapa? Bukankah Shamsul pun anak kita? Apa dosanya pada abang sampai begitu sekali abang marah?” Suara Mak Piah sedikit dikendurkan. Dia memang tidak tahu kenapa Pak Mail begitu benci pada Shamsul. Anak sulungnya itu bukan calang-calang orang. Jadi tokoh masyarakat apabila mengetuai sebuah badan belia sejak sebelum berangkat ke Amerika Syarikat melanjutkan pelajaran di peringkat Ph.D. Bila balik terus memimpin badan belia berpengaruh itu sebelum dilantik menjadi setiausaha badan politik yang jutaan ahli di seluruh negara.

Suara Pak Mail masih belum kedengaran.

“Tapi apa bang? Beritahu Piah apa yang berbuku di hati abang. Bukankah Shamsul itu anak kita. Piah mahu dia balik jenguk Piah selalu. Kalau dia balik abang tidak boleh halau dia. Kalau abang halau dia bermakna abang halau Piah!” Petang puasa ke 27 itu sedikit tegang dengan pandangan dan harapan berlainan.

“Kalau Shamsul balik raya ni, abang tidak boleh halau dia macam beberapa tahun lalu. Syurga Shamsul terletak di bawah telapak kaki Piah. Kalau abang halau juga dia macam, Piah akan ikut dia pergi.”

“Ah, suka hati awaklah. Layanlah anak awak tu macam raja. Macam sultan. Puja dia macam dewa.” Pak Mail meluru ke tepi dinding, mengambil baju yang disangkut pada sebatang paku, dan menggantikan kain kembannya dengan seluar kelabu lusuh yang juga disangkut di tempat sama. Dia mahu mencari ketenangan di luar sana. Mahu bersembang dengan beberapa rakan tentang kemenangan calon parti yang disokongnya, biarpun kempen parti lawan hebat sekali. Dia suka berbahas dengan Nuar yang menyebelahi parti lawan. Nuar biasanya kalah atau sengaja mengalah dalam perbahasan itu. Kemenangan calon parti kesukaannya Pak Mail rasakan seperti kemenangannya sendiri.

Sebaik menuruni tangga rumah sekerat papan sekerat batu itu, dia terkejut melihat kasut Shamsul terletak di situ. Rasa geramnya tiba-tiba membuak. Dia tendang kasut Shamsul sekuat tenaga hingga terpelanting jauh, jatuh berhampiran si belang yang asyik menghendap burung tinjau di dahan rambutan.

Gelagat

Shamsul memandang gelagat ayahnya dari celah tingkap dapur sedikit terbuka. Dia menggeleng. Wajahnya murung. Mak Piah yang melihat perlakuan keanak-anakan suaminya juga menggeleng. Dia segera turun mahu mencari kasut Shamsul untuk diletak kembali di tempat asal. Shamsul yang melihat ayahnya sudah sedikit jauh juga turun untuk mencari kasutnya. Namun sebelum Mak Piah dan Shamsul tiba di kelompok pokok pandan yang agak luas dan subur itu, Kaisara yang sedang menyidai kain baju di ampaian lebih dahulu mencari kasut tersebut sebelum disiram Belang dengan air wangi.

“Kenapa ayah marah sangat dengan Shamsul, mak?” sambil menjinjit sebelah kasut dan mencari sebelah lagi Kaisara memandang sayu wajah Mak Piah. Dia pernah bertanya kepada Shahril namun Shahril juga tidak tahu.

“Entahlah. Puas mak tanya ayah engkau tak mahu cakap.”

“Apa kata kita tanya Shamsul sendiri,” Kaisara menoleh Shamsul yang baru tiba dengan memakai selipar jepun Shahril yang sudah licin tapaknya.

“Barangkali ayah tidak suka Sham....” Shamsul membongkok mengambil sebelah kasutnya yang dilihat terlentang tapak ke atas berhampiran parit kecil tidak jauh dari kelompok pokok pandan itu. “Kerana Sham kahwin dengan orang kulit hitam semasa masih belajar. Ayah kata habiskan belajar dulu, selesaikan hutang PTPTN, tebus dulu tanah yang ayah terpaksa gadai untuk membiayai pelajaran Sham sebelum dapat pinjaman biasiswa.” Shamsul menyambut sebelah lagi kasut yang dihulur Kaisara ke tangannya.

“Emak tidak fikir itu sebabnya,” Mak Piah memandang anak mata Shamsul dengan seribu persoalan yang belum terungkai.

“Engkau sudah selesaikan hutang PTPTN. Tanah yang digadai itu pun sudah engkau tebus. Tentang kahwin dengan Laily, emak tidak nampak sebab ayah engkau jadi begitu marah. Laily itu baik orangnya. Berbudi bahasa. Berbudi pekerti. Baik hati. Ringan tulang. Sopan santun. Lemah lembut. Cuma kulitnya saja yang hitam. Hatinya putih.”

“Entahlah mak. Mungkin juga ayah marah Shamsul sebab Shamsul jadi orang kuat parti politik yang berlawanan dengan parti ayah.” Shamsul memungut beberapa ranting kering yang bersepah di tanah, lalu dikumpul berhampiran unggun bakaran daun-daun kering yang sudah mati apinya.

“Mai tak fikir itu sebabnya,” Kaisara yang sejak tadi mendengar penuh minat perbincangan menjelang tengah hari itu membawakan suatu cerita lain. “Abang Shahril juga tidak masuk parti yang ayah ketuai cawangannya di kampung kita.”

“Iya?” Shamsul yang baru tahu memandang tepat ke muka Kaisara.

“Dia masuk parti apa Dik Ra?”

“Ayah jadi ketua cawangan Parti Payung. Abang orang kuat Parti Tongkat. Abang Shahril sebenarnya jadi AJK Parti Cangkul.”

“Ayah tahu tak?” Shamsul memandang pula muka ibu yang syahdu dan mulus.

“Tahu.” Ibu memegang lengan Shamsul.

“Betul kata Kaisara, ayah kau tak marah pun pada Shahril? Mungkin ada sebab lain yang membuat ayah kau jadi begitu. Cuba di fikir dalam-dalam. Masak-masak. Apa yang ayah engkau pernah cakap. Atau pernah minta. Atau pernah bantah.”

“Sudah lama Sham fikir mak. Bahkan setiap lepas solat, Sham mohon Allah kembalikan hati ayah seperti dulu. Seperti Sham belum ke luar negara menggali ilmu. Sham buntu. Buntu betul. Sham bimbang nanti Sham tak cium bau syurga kerana derhaka kepada ayah.”

Mak Piah segera memeluk Shamsul. Air matanya gugur deras di pipi. “Jangan cakap begitu nak. Engkau tidak pernah derhaka kepada ayah. Cuma ayah engkau itu yang angin. Keras kepala tidak tentu hala. Kalau ia pun engkau ada buat salah dengan dia, beritahulah apa kesalahan itu supaya jalan penyelesaian dapat dicari. Ini tidak. Marah tak tentu fasal. Susahlah melayan kerenah orang tua ni,” Mak Piah melonggarkan pelukannya. Dia menyeka air mata dengan kura tangan. Shamsul mengambil sapu tangan dari kocek belakang seluar, mengesat genang di mata dan pipi ibu.

Muram

“Sara ada satu jalan,” tiba-tiba Kaisara tunduk. Rona wajahnya berubah muram. “Barangkali jika Sara dan Abang Shahril pindah dari sini baru ayah hargai kasih sayang Abang Sham.”

“Dik Sara, kenapa cakap begitu?” Berkerut sakit dahi Shamsul memandang Kaisara. Kemarahan ayah pada abang tiada kaitan dengan Shahril dan Dik Sara. Jangan melakukan sesuatu yang menambah kusutkan hati emak.” Tinggi suara Shamsul namun nadanya masih lembut.

“Betul Sara. Engkau dan Sham tidak boleh ambil tindakan itu. Emak perlukan Shahril dan engkau di rumah ini. Emak sayangkan engkau dan Shahril sama seperti emak sayangkan Shamsul. Cuma ayah engkau itu, setan apa agaknya yang menghasut sampai dia mogok besar pada Sham?”

“Mak,” Shamsul merangkul bahu Mak Piah.

“Ya Sham. Cakap apa yang Sham nak cakap. Jangan disimpan dalam hati macam ayah engkau tu.”

“Mak, petang esok Sham akan balik ke sini bersama Laily, dan cucu emak yang berdua itu. Afiq selalu kata dia ada atuk macam tak ada atuk. Kawan-kawan beraya di rumah atuk, dia tidak.” Shamsul menambah eratkan pelukannya.

“Betul. Betul. Bawa anak isteri engkau balik. Pedulikan songeh ayah engkau itu. Emak tekad apa nak jadi pun, jadilah. Balik ya. Sham tentu rindu untuk merasai raya-raya bahagia semasa Sham kecil dulu.”

“Sara setuju Abang Sham. Baliklah. Tentu raya kita tambah dengan keletah dan hilai tawa Afiq dan Marissa.” Bersinar mata jeli Kaisara merenung wajah bersih Shamsul.

Panjang Shamsul berfikir. Jika dia balik petang, kalau ayah ada di rumah, di mana dia hendak letak muka andai ayah menghalaunya di depan anak isteri? “Baik balik malam lepas berbuka. Ayah biasanya pergi ke masjid bersolat Tarawih.” Keputusan itu Shamsul buat dengan yakin.

Dia sampai sekitar jam 9.00. Ibu, Kaisara dan Shahril menyambut cukup gembira. Kereta ungu Shamsul dipakir di depan balai raya agar ayah tidak melihat. Bimbang jika ayah tidak jadi balik andai terpandang kereta Shamsul di depan rumah. Kasut anak isteri juga kasutnya sendiri Shamsul sorok di bawah tangga.

Mak Piah memadam semua lampu yang pada awalnya terang benderang. Dia tidak mahu suaminya mengesyaki sesuatu. Hanya sebuah lampu di ruang tengah yang masih menyala seperti biasa.

Sewaktu Pak Mail melangkah masuk dia tergamam melihat ada keluarga sedang bersolat di ruang tamu. Seorang lelaki mengimamkan solat. Seorang kanak-kanak lelaki bersama ibu dan seorang kanak-kanak perempuan sebagai makmum.

Mak Piah, Shahril dan Kaisara mengajak Pak Mail makan sate yang dibeli Shahril di gerai Pak Leman sambil berbual-bual tentang masalah di Kampung Buah Betik serta pembinaan kuil yang jadi tajuk panas media tempatan. Sebagai orang politik Pak Mail memang gemar bercakap mengenai isu-isu semasa.

“Siapa yang tengah sembahyang anak-beranak tu Yir?"

“Abang.” Shahril menyua secucuk sate ke tangan ayahnya.

Pak Mail bingkas bangun mahu pergi meninggalkan rumah. Namun Shahril memegang kejap lengan kirinya dan Mak Piah memaut lengan kanannya. “Duduk dulu bang. Malam-malam raya begini baiklah bertakbir dan bertahmid daripada berborak di kedai kopi cakap fasal politik sampai pagi.” Mak Piah meruntun tangan Pak Mail sehingga lelaki itu terduduk.

Sebaik Shahril memulakan takbir dan tahmid, Shamsul memberi salam. Laily berjalan ke depan mencium tangan Shamsul diikuti Afiq dan Marissa.

Selepas itu Shamsul bingkas mendekati ayah yang sedang memandangnya. Dia melutut di depan ayah sambil mencium tangan. Perbuatan Shamsul diikuti Laily, Afiq dan Marissa yang bukan setakat mencium tangan malah memeluk dan mencium pipi Pak Mail serta berebut mahu duduk di atas riba atuk.

“Atuk,” Afiq merangkul bahu Pak Mail. Songkok comelnya jadi senget bila terkena dagu Pak Mail. “Afiq sayang atuk. Afiq rindu atuk.” Dia berdiri di atas ruang sempit di sebelah paha Pak Mail mahu mencium pipi atuknya.

Di bawah sedar Pak Mail menitiskan air mata. “Sudah. Sudah. Mari...” Pak Mail merangkul kedua-dua cucunya. Afiq cium pipi kanan, sementara Rissa cium pipi kirinya.

“Mari makan sate,” tangan Pak Mail menyua sebatang seorang sate ke tangan Afiq dan Marissa sedang matanya gemerlap dengan cahaya Syawal memandang Shamsul dan Laily.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.