Es Teler Pagi Raya

Nanar

Pohon kelapa berayunan saling melambai. Langit biru di terjah gempulan awan putih, seperti pantai didatangi ombak, beriak dan berkocak. Ada sudut-sudut tertentu, matahari menerikkan cahayanya, terang tetapi tenang. Saya tercegat di bawah matahari berhadapan kubah Bandara Iskandar Muda. Jika saya tidak memberitahu, tidak ada yang tahu bahawa saya antara arkitek yang menyolekkan bandar udara baru Nanggroe Aceh Darussalam.

"Inikah Aceh? Seperti anak dara belum diusik ya?" Kedua-dua tetamu saya yang baru tiba dari Malaysia panasaran. Seorang menghalakan kameranya ke selatan, seorang lagi mencekak pinggang, mata melilau ke utara bandara. "Ini kampung saya di Kedah. Itu.. sawah bendang hijau terbentang, pokok kelapa tinggi melayang, " kata seorang mereka. "Ini juga kampung saya di Pahang. Tengok, cik adik itu pakai, baju kurung Pahang!" kata seorang lagi sambil menunjukkan ke arah seorang pramugari yang baru menukar pakaian kerjanya. Saya senyum-senyum saja. "Selamat pulang ke kampung masing-masing. Di Aceh, bukan sahaja ada Kedah dan Pahang, bahkan Perak, Kelantan dan seluruh Malaysia!" balas saya yang bercadang untuk bercerita kepada mereka berdua tentang Puteri Kamaliah dari Pahang yang berkahwin dengan Sultan Iskandar Muda pada abad ke 17 dulu.

Labi-labi menurapi jalan kampung menuju ke Desa Darussalam. Kedua tetamu saya, Kalsum dan Hafsah bertambah nanar. Pemandu labi-labi seperti faham, penumpangnya hari ini dari negara jiran lalu memberikan kerjasama dengan memperlahankan roda labi-labi. Entah apa menariknya pokok asam jawa, rumah kayu beratap rumbia, bunting padi, kanak-kanak berlari tanpa selipar, makcik tua dengan sirihnya, pakcik tua meneguk kopi bercampur ganja dan anak-anak gadis laju menunggang 'kereta'. Semua itu dirakam oleh Kalsum.

Sinting

Matanya tajam memerhatikan anak-anak gadis turun dari labi-labi. Kuntum senyum Kalsum dibalas sekilas jelingannya. Saya mendekati Teuku Hadi, menariknya masuk ke dalam bilik. "Jangan kacau kawan-kawan kakak dari Malaysia!" arah saya pada si bongsu 22 tahun. "Malaysiee..Malaysiee.." ulangnya sambil menari-nari. Saya menutup pintu bilik dan kembali menghadap dua tetamu yang kini dilayan oleh mama. "Kamu berdua sudah tengoklah bandara baru yang cantik itu, hah! Cut Mutialah arkiteknya!" bangga mama. Kalsum mencubit siku saya, "Tawaduknya awak," katanya. "Selepas tsunami, anak-anak tempatan diberi peluang terlibat dalam industri antarabangsa, itu bukan hasil tangan saya seorang tetapi anak-anak Aceh yang lain juga," kata saya lebih berbangga memperkenalkan bangsa sendiri.

"Kalau bukan bulan puasa, mama jemput kamu berdua ke dapur dulu," kata mama. Kalsum dan Hafsah ketawa dan masih galak menangkap gambar.

Rumah saya tidaklah besar. Ada empat bilik tidur dan dua bilik air. Selain saya dan Hadi, mama dan papa tidak mempunyai anak yang lain. Saya lebih tua dari Hadi tiga tahun, tetapi saya selalu merasakan lebih tua daripadanya 20 tahun. Rumah kami juga dibisingkan oleh burung-burung dan anak-anak kucing. Sebahagiannya telah mati dibawa arus Tsunami lima tahun lepas.

"Cut!" Hafsah datang mendekat. Dia menunjukkan skrin kameranya kepada saya. Terpantul gambar Hadi sedang menikmati keropok sambil bermain dengan Si Gedek, kucing kesayangannya. "Dia tak puasakah?" bisik Hafsah. Saya menutup mulut lucu. "Puasakan hanya wajib untuk seorang mukallaf yang mumayyiz," balas saya. "Jadi…?" Hafsah mengerutkan dahi. "Dia memang kacakkan? Tetapi akalnya masih bayi. Itulah kelebihan adikku Teuku Hadi," kata saya.

Sederhana

Saya memboncengkan Hafsah, manakala Kalsum menunggang sendiri 'kereta' papa. "Orang Banda Aceh kaya-kaya, semua pakai 'kereta'. " Kalsum ketawa sebaik mengetahui, kereta di sini adalah motosikal bertayar dua. "Orang Malaysia lebih beruntung, jika seorang arkitek seperti saya entahkan boleh memakai dua Proton Saga," balas saya yang sememangnya kagum dengan Malaysia kerana telah mengeluarkan produk automobilnya sendiri. Hafsah dan Kalsum berpandangan, ada rona kasihan di wajah mereka. "Alhamdulillah, Allah masih memberikan kita nyawa, itulah kenderaan paling penting buat seorang manusia," kata saya bersambut senyuman dua anak Malaysia yang mulus ini.

Saya tidak pernah memikirkan keadaan di Aceh ada juga di negara lain. Bagaimanakah saya boleh memikirkannya, jika tidak pernah keluar dari bumi tercinta ini? Biar perang gerila berlaku, biar tsunami meratah bumi, biar kami disisih orang-orang yang lebih beruntung, saya dan keluarga masih setia berkhidmat untuk tanah ini. Namun, kenyataan Kalsum sungguh mengejutkan saya. Tidak menyangka bahawa di Malaysia juga ada negeri-negeri yang memakaikan tudung pada pemodel papan-papan iklan. "Oh, saya sangka Aceh satu-satunya buana yang memakaikan jilbab pada model wanitanya. Di sini, wanita Muslim wajib memakai tudung.." kata saya. "Shh... walaupun berseluar ketat atau berbaju nampak pusat?" tanya Hafsah pula menghalakan lensa kameranya pada si penjual bakso yang berpakaian sedemikian. Saya menggigit bibir, tersenyum menyorokkan malu. Inilah kenyataan yang perlu dihadapi negara Islam dunia. Pemerintah tempatan telah cuba membumikan budaya Islam, namun pengaruh global internet dan televisyen lebih cepat menular.

Lurus

Di depan kami terhidang pelbagai makanan yang menurut Kalsum tidak banyak bezanya dengan Malaysia. "Karipap ada, mi goreng ada, bihun ada, murtabak ada, kueh loyang, agar-agar, donut, pecal, tauhu..ah, semua ada di Malaysia!" beritahu Kalsum. "Ini ada?" Papa masuk ke dapur sambil menjinjit plastik es teler. Kalsum dan Hafsah mengerut dan berfikir. "Santan itu kita campurkan dengan air gula merah, sirap, kekacang, sagu, cendol, isi jagung, agar-agar, jeli dan buah nangka kemudian masukkan ais," terang saya. 'Oh! Di Malaysia namanya air batu campur atau ABC!" Jerit keduanya. "Makanya, kita hanya dibezakan oleh bahasa sahajalah," kata papa meletakkan es teler yang baru dibelinya di atas meja. Belum sempat saya memasukkannya ke dalam bekas, Hadi mencekau plastik es teler dan berlari masuk ke dalam biliknya. Saya menarik nafas dan berpandangan dengan papa. "Tak mengapa Cut, bukan rezeki kita, makanan lain masih banyak" pujuk Hafsah.

Saya senang melihat Hafsah dan Kalsum tidak kekok di hadapan papa. Pelbagai soalan ditanya mereka, dan pelbagai jawapan diberikan papa. "Kalsum, Hafsah, kamu berdua memang tidak wawancara orang yang salah, papa Cut ini pencenan profesor di Universiti Syiah Kuala. Dia mengajar mata kuliah Kenegaraan," kata saya menjelaskan siapa papa. Hafsah tersedak dan menutup mulutnya. "Kenapa? Kamu tak percaya ya?" saya menyuakan air kepada Hafsah. "Bagaimanalah nak percaya? Tengok sahajalah rumah profesor seperti taman binatang dan hanya guna motokar buruk tahun 70-an. Profesor di Malaysia sebaliknya bukan?" kata papa. Hafsah senyum mengiyakan kata-kata papa. "Papa Cut seorang yang lurus dalam kerjanya. Apa yang diterima, diambil. Yang bukan miliknya, tak akan disentuh. Motokar buruk di depan rumah tu, satu-satunya motokar yang papa guna sepanjang 30 tahun mengajar di universiti," kata saya. "Kesenangan di dunia ini tidak kekal ananda semua, yang penting di akhirat esok kita bahagia," kata papa.

Satu jeritan mengganggu perbualan kami. "Kamu nakal lagi, mama tak bagi minum es teler!" sayup suara mama dari bilik Hadi. Saya berpandangan dengan papa dan tersenyum pada teman-teman Malaysia. "Laku Hadi boleh bikin tsunami lagikan papa?" Papa mengangguk. Teman-teman ketawa.

Berani

Kapal apung seberat 3600 tan terdampar jauh dari lautan dibawa kemarahan tsunami. Apatah lagi seorang manusia atau seekor kerbau atau sebuah rumah? Namun, ada yang tidak ditelan oleh tsunami kerana belas kasihanNya. Sisa-sisa itu dapat menjadi benih baru menumbuhkan Aceh sekarang. Badai tsunami seolah-olah mengirimkan angin kemerdekaan bersamanya. Ia melenyapkan ketakutan, mengurangkan sengketa politik, dan turut bersama adalah simpati dunia terhadan insan Aceh yang masih berbaki. Tuhan telah menjatuhkan ar-Rahim-Nya ke dalam nurani manusia terpilih. Mereka telah menyuap kami dengan kemurahan dan simpati. Berterusan dan bertubi-tubi.

"Banyak pertubuhan dari Malaysia datang ke Aceh membina rumah-rumah anak yatim dan sekolah. Ya Allah, hormatku pada kalian hanya Tuhan yang tahu," kata saya mengesat air mata. "Pengorbanan Sultan Aceh mengislamkan Parameswara lebih besar, Alhamdulillah, umat Melayu Islam semuanya," balas Kalsum pula. Kami menjejaki pembangunan Aceh yang pesat. Hospital elit tajaan negara Jerman, taman perumahan tajaan negara Turki, bangunan universiti baru tajaan Kerajaan Arab Saudi dan... ah! banyak lagi.

Hafsah memeluk pinggang saya. Ada tompok kebimbangan di wajahnya ketika saya memotong lori dan motokar. Menjadi gadis Aceh bermakna menjadi pahlawan 'kereta', hanya itu satu-satunya kenderaan yang mempercepatkan kami ke tempat kerja. Ya! Kenderaan yang mampu dibeli oleh kebanyakan kami. "Jangan risaulah, para wanita di sini, cekalnya seperti lelaki." "Tapi ini jalan raya Cut, kemalangan tak kenal kawan atau musuh," kata Hafsah menguatkan pegangan. Saya menepuk tangannya. "Jangan takut, ini Cut Mutia, keturunan Cut Nyak Dien!" balas saya terus yakin meredah kesibukan Banda Aceh yang luar biasa selepas tsunami. "Patutlah Tsunami serang orang Aceh.." "Apa Hafsah?" tanya saya kurang jelas kata-kata Hafsah diganggu bunyi kenderaan. "Err... tak ada apa-apa. Allah SWT menurunkan ujian pada orang yang layak," balas Hafsah. Saya berasa disindir dan senyum sendiri.

Kanak-Kanak

"Malaysiee... jahat! jahat!" Terbeliak mata saya melihatkan Hadi mengejek Kalsum dan Hafsah yang baru melangkah ke dalam rumah. Saya mengetap bibir dan menarik tangan Hadi masuk ke dalam biliknya. "Serang Malaysie! Perang dengan Malaysie! Dush! Dush!" ejek Hadi lagi. saya mengutil telinganya.

"Masya-Allah, orang Malaysia itu saudara sebangsa dan seagama kita sayang. Jika kita perang dengan mereka, siapa lagi akan bantu kita kalau tsunami datang semula? Atau jika orang Inggeris jajah kita lagi? Hadi suka ramai musuh atau ramai kawan?" pujuk saya. "Tapi dia curi barang Hadi..." "Barang apa?" tanya saya pula. "Dia curi kakak dari Hadi. Mama pukul Hadi sebab orang Malaysie tuu.." Ya Allah..saya menepuk kepala sendiri dengan kelakuan Hadi yang keanakan.

Hafsah dan Kalsum tidak terusik dengan ejekan Hadi. Cuma saya dan mama berasa malu tidak menyediakan ruang yang selesa buat tetamu yang dianggap seperti saudara sendiri. "Tak apalah Cut, kami tak ambil hati. Lagipun Hadi insan istimewa, dia bercakap bukan dari hati dan akal yang sempurna. Orang yang sihat tak akan mengejek dan nak berperang sesama bangsa dan agamanya," pujuk Kalsum.

Tiba-tiba kami dikejutkan tangisan Hafsah. "Cum, Cut, pasport saya hilang!"

Es teler

Pagi raya yang sayu. Walaupun di wajah Kalsum dan Hafsah tampak ceria, saya maklum jauh di sudut hati mereka memendam gundah-gulana. Sayalah yang lebih rasa bersalah atas kehilangan pasport Hafsah. Saya yakin, ia terjatuh ketika saya memecut laju di tengah kota walaupun telah dipesan berkali-kali oleh Hafsah.

"Insya Allah, walaupun tak merancang berhari raya di Aceh, nampaknya ia tak jauh beza dengan Malaysia. Ada lontong, tapai dan..es teler!" kata Hafsah yang sudah jatuh cinta dengan es teler buatan mama. Papa mengisyaratkan saya pergi ke bilik Hadi.

"Malaysie..baik..baik.." kata Hadi sebaik Kalsum menghulurkan gelas es teler kepadanya. Hadi meneguk es teler dengan girang. Baju batik Jawa yang dipakainya comot dititis cairan manis es teler. Kalsum senyum dan merenung Hadi. "Cum teringatkan adik di rumah," balas Kalsum. Saya berjalan ke tingkap, menelan rasa bersalah dengan kata-kata Kalsum itu. Barang apakah yang boleh ditukar-ganti dengan benda sepenting pasport? Ya Allah.

"Hadiah untuk Malaysie, nah!" sua Hadi pada Kalsum yang duduk rapat di sisinya. Saya dan Kalsum terpana. Itukan pasport milik Hafsah?

"Hadiiiiiiii!" saya menarik telinganya kuat.

GLOSARI

1. Bandara - Bandar udara atau lapangan terbang

2. Kereta - bagi kebanyakan penduduk yang tinggal di Banda Aceh menggelarkan motosikal dengan perkataan kereta.

3. Labi-labi - van pengangkutan awam

1 comments:

Radzi Sapiee 9:17 AM  

Salam. Satu catatan menarik yang saya jumpa secara tidak sengaja ketika menggoogle untuk mencari tahun Aceh menyerang Pahang. Saudari nampaknya orang Aceh tetapi menulis dengan gaya bahasa Melayu orang di Malaysia. Saya pula orang Malaysia yang berminat tentang Aceh lalu pernah menulis tiga buah novel dalam siri trilogi bertajuk "Berpetualang ke Aceh". Silalah bertandang ke sini...


http://berpetualangkeaceh.blogspot.com/

http://artmelayu.blogspot.com/

http://www.merahsilu.blogspot.com/

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.