Tanah, Air, Api & Angin

Oleh Muhd Nasruddin Dasuki




KATAMU: Apakah engkau masih tidak tahu, setitik api marahku mampu menghanguskan sepulau lalang di seberang lautan? Lalu apakah engkau harus membiarkan sepulau lalang itu terus menjadi bara dan memamah pulau itu sehingga lenyap di muka bumi?

Kemudian aku menjawab: Air selautan sekalipun bukan caranya untuk meludah api supaya terpadam. Bahkan hanya setitik air mata mampu membuatkan api itu menjadi beku dan membatu selama-lamanya.

Masih mahu menidakkan, engkau berkata lagi: Aku bukan pemetik api yang gemar melontar bara pada rerumput kering?


Kemudian, kerana jawapan itu mengundang cuak, aku bertanya: Lalu benarlah jika sememangnya lalang sepulau itu sengaja membakar dirinya semata-mata mahu menguburkan kebenaran kata-katamu?

Engkau pun segera menjawab: Tidak mustahil! Untuk apa melontar tuduhan jika memang benar itu semata-mata hanya helah mahu merebut simpati?

Tetapi bukankah engkau sebenarnya yang sejak azali menanam benih dengki dan api cemburu, tidak gemar melihat tanah, air dan api bersatu? Engkau desir angin yang gemar menggoncang tunggul setelah engkau luruhkan daun-daunnya?

Kami dulu memang tidak pernah bersatu, hanya kerana berbeza asal usul, fahaman dan tanggapan menilai sesuatu. Tetapi akhirnya kami boleh duduk semeja, berbicara dalam satu bahasa dari ruang langit yang ternganga.

Kami pernah menjemputmu, berbincang agar muka bumi ini tidak hanya didominasi oleh puak-puak tertentu, tetapi kamu menolak dengan alasan: Angin tidak pernah memerlukan semua itu. Lalu dengan angkuh, engkau mengatakan: Lihatlah! Bagaimana aku mengasuh mentari, bulan dan bintang agar terus diam dan tidak menjerit ketika kamu semua memetik malam dari pohon-pohon siang.

Balas Angin: Ya, ya. Memang aku pernah kata begitu. Itu kehebatan aku, malah aku pernah menukar segeluk keringat menjadi wangian dan wangian itu sudah melata dan menjadi pakaian mereka yang berwajah busuk. Bukankah itu satu bakti, menukar kebusukan menjadi wangian

Pantas sahaja aku jawab: Kita sama-sama menjilat nasib yang tumpah di hamparan. Kita masing-masing ada tugas untuk memakmurkan semesta ini, tetapi kemakmuran hanya ibarat nyala api membakar akar yang sudah mereput.

Tidak bersetuju dengan kata-kataku, Angin segera mencelah: Selagi kita asyik bersilat lidah, mengeja kepercayaan dengan perkataan yang sangsi, selagi itu kita tidak mungkin duduk semeja, satu hamparan, satu padang, satu pemikiran dan selama-lamanya akan berbeza pendapat.

Segera aku menjawab kata-kata itu: Jika begitu, baik engkau dengar cerita aku dahulu. Ketika aku bercerita, engkau jangan mencelah, jangan menyampuk dan dengarlah sehingga selesai. Selepas itu giliran kamu untuk bercerita dan aku akan diam sebagaimana kamu diam ketika aku bercerita.

Kemudian kita bersemuka Tanah dan Api, biar mereka pula bercerita dan kita menjadi pendiam pula. Bagaimana? Selepas itu buatlah andaian dan fikir sendiri.

CERITA AIR:

Sebelum pulau ini wujud satu ketika dahulu, akulah yang mula-mula bertapak di sini. Di sini, aku buat perkampungan untuk seluruh pengikutku dan diamlah mereka dalam aman dan damai untuk bertahun-tahun lamanya.

Sehinggalah pada satu hari, sekepal tanah tiba-tiba jatuh di lautan air. Lama kelamaan menjadi sebuah pulau. Ia semakin besar dan membesar.

Di atas pulau itu tumbuh pokok-pokok dan lalang sehingga kelihatan menghijau, lalu ia menjadi persinggahan para pelayar. Dari tidak berpenghuni, ia menjadi berpenghuni oleh pelbagai jenis makhluk yang entah dari mana.

Itulah pulau lalang yang satu ketika pernah hangus terbakar hanya kerana sepercik api yang dilontar dari tanah besar. Tanpa angin yang menyembur dari tanah besar, sepulau lalang itu tidak akan terbakar hangus. Tetapi itulah yang terjadi. Semua kerana gara-gara angin yang cemburu kerana aku dan sebuah pulau menjadi jiran paling akrab.

Keakraban itu tidak disenangi angin. Satu ketika aku pernah terdengar angin bertembang lagu kesunyian seolah-olah mengharapkan tanah, air dan api, sudi menjadi teman penglipur lara.

Masih ingatkah engkau, satu ketika engkau melemparkan ribut ke atas pulau itu dan habis ranap semua pohonan? Pulau itu kelihatan seperti tunggul botak. Lama kemudian barulah pulau itu pulih semula seperti sedia kala.

Tidak bolehkah engkau melihat keakraban di antara aku, tanah dan api menjadi satu? Engkau mahu melihat kami menjadi seteru. Katamu: Selagi kita masih menjadi penghuni alam, berlainan pendapat mentafsir sejarah hari depan, kita akan bersilat lidah selamanya.

Alam ini sebenar terlalu jelita untuk kita! Lantaran cemburu, hasad dan seumpamanya, kita menjadi semakin resah apabila melihat siang beristerikan malam untuk sepanjang hayat dan kita hanya mampu menjadi patung melihat kemesraan orang lain.

Itulah kamu! Kamu Angin yang sering berlari di bawah bulan, menghasut dan menghasut supaya kami terus berseteru dan tidak lagi menghuni alam yang amat setia. Apa yang kamu mimpikan itu sudah dan pernah menjadi nyata. Sekarang berilah peluang kami menikmati hidup paling sejahtera di semesta alam ini.

Jika kamu mampu meleraikan awan-awan menjadi debu, jika kami bersatu, kami juga mampu meleraikan mentari bersidai di ampai awan dan akan sembunyikan mentari di saku sunyi kami.

Rasanya cukup setakat ini aku berhujah dan aku akan diam tatkala engkau melontar isi hati kamu. Terima kasih kerana tidak mencelah.

CERITA ANGIN:

Sebenarnya tidak ada sesiapa layak mendakwa dialah penghuni awal wujud di sini. Kita wujud sini atas kehendak-Nya. Jika kata-Nya jadi, maka jadilah. Kita pun menjadi sedemikian sebagaimana yang sudah disusun atur.

Sebelum wujudnya pulau itu, bukankah hanya aku dan kau sahaja di sini. Biarpun kita tidak pernah menjadi rakan sangat akrab, tetapi aku melihat engkau adalah rakan yang boleh dijadikan teman berbicara ketika sepotong senyap berkeliaran di sini.

Aku pernah berharap satu ketika akan aku pinang engkau air menjadi teman sepanjang hayat, tetapi kewujudan tanah di pulau itu membuatkan aku jadi terpinggir. Sapaanku yang berulang dipandang sepi olehmu apabila engkau semakin akrab dengan pulau itu.

Siapalah alam tanpa aku, tanpa kau dan sesiapa sahaja yang mengaku dirinya penghuni setia jika masing-masing melihat wajah dengan kebisuan? Aku sudah berusaha mengumpul kekuatan untuk menghadapi hari-hari pertualangan sehingga impian semakin menipis dikerat hari, tetapi kesudahannya saat langit menghamilkan bulan dan bintang, aku masih sahaja menjadi patung menjadi tempat bertenggek kupu-kupu dan rama-rama.

Dengan apakah lagi untuk aku melunakkan kesabaran selain ingin melihat buah dendam yang lama bergantungan dan semakin ranum itu menjadi racun untuk melekakan kalian daripada terus berakraban.

Sesekali apabila aku bertukar menjadi ribut, itu petanda amarahku sudah tidak terkawal. Masihkah kalian tidak sedar? Aku masih berkuasa di sini. Kalian usah cuba memutar kebenaran menjadi seperti musafir haus di gurun pasir, siang malam menyalahkan takdir, menanti saat lara bilakah akan berakhir?

Wahai Air! Satu saat aku terdengar engkau menyindir. Sindir untuk angin yang menyelak nasib di penjuru langsir.

Demi tanah, air dan api, di sini aku berhenti dari membiarkan lidah saling bersilat dan memijak kebenaran. Tidak ada gunting sebenarnya yang boleh memotong keinginanku untuk merebut kemerdekaan.

Katamu: Biarkan tanah dan api meluahkan isi hatinya.

CERITA API:

Di antara tanah, air dan angin, barangkali akulah yang paling minoriti. Bertahun-tahun aku menternak nasibku di ladang kelaparan. Memang benarlah. Kelaparan itu mengajar aku mengecap getir dan pahitnya bersahabat dengan musuh yang kemudiannya menjadi akrab.

Melihat dengan mata mustahil, cermin perasaan tidak berkilau lagi saat menatap ada kejujuran, ada keberanian, ada kesamaan, ada titik matlamat mahu diburu bersama.

Aku tidak pernah mengkhianati perjuangan. Kita berjuang untuk melihat sama-sama menegakkan kebenaran. Biarpun aku menjadi api yang galak meranapkan sepulau lalang, aku tidak berani berbuat demikian tanpa angin yang meniup sekencang ribut.

Jangan aku dipersalahkan. Aku ingin bersahabat dengan semua penghuni alam. Namun di dalam keadaan tertentu, kesilapan membiarkan diri diperguna berlaku di luar kemampuan.

Kita sebenarnya sudah lama bersatu seperti darah dan urat nadi, seperti angin dan kalbunya, seperti malam disolek siang, seperti bulan bergelangkan bintang. Kita wujud di sini juga atas kehendak-Nya. Tidak ada sesiapa boleh mendakwa siapa lebih berkuasa di sini melebihi daripada Yang Berkuasa.

Kita wujud di sini sebagai pemain sandiwara di panggung alam. Aku melihat diriku sebagai api yang memanaskan dari segala kesejukan, bukan menghangus dan meranapkan seperti di pulau lalang itu.

Memang benar sepulau lalang itu pernah hangus diranapkan olehku, tetapi itu sebenarnya permainan orang lain yang berselindung atas nama diriku. Ditambah pula dengan semprot angin yang sengaja membesarkan bara sekecil batu kerikil.

Peringatlah diri, kita hanya pemain sandiwara yang sudah ditetapkan wataknya. Aku tidak mungkin menjadi tanah, tidak mungkin menjadi angin, jauh sekali untuk menjadi air.

Biarpun pada masa kasar kita dilihat sebagai musuh, tetapi hakikatnya kita saling memerlukan. Tanah masih perlukan air untuk menyuburkan pohonan, angin masih diperlukan untuk mengimbangi kepanasan dan api masih perlu untuk mengimbang kesejukan.

Menyimpan sejarah dendam tidak akan melunaskan persengketaan. Alangkah nikmatnya alam ini tanpa seurat benang perbalahan yang akhirnya akan mengikat dan memenjara diri!

Aku tidak akan berkata apa-apa selepas ini. Ia aku anggap telah berakhir.

Tidak mahu aku dengar lagi kita bersilat lidah, siapa sebenarnya sang juara.

CERITA TANAH:

Aku mengaku, sejarah sudah tertulis aku hanya pendatang di sini. Kewujudan aku di sini juga di atas kehendak-Nya. Tidak perlu untuk kita berbalah kerana itu. Aku melihat di sini, sengketa paling dahsyat di antara angin dan air. Aku tidak akan berhujah panjang atau mahu memenangkan sesiapa.

Ya, kalian berdua memang penjinak paling pintar. Pemain sandiwara yang layak menjulang trofi aktor di panggung. Kami (api dan tanah) sekadar menjadi penonton yang kadang-kadang berasa keliru. Permainan siapakah yang paling banyak memanipulasi keadaan.

Aku bermula dengan sekepal tanah, kemudian membesar menjadi sebuah pulau. Seperti api bermula dengan sebesar batu kekiril. Kami tidak ada kekuatan untuk menandingi kehebatan kalian. Angin mampu meranap dan menterbalikkan dengan sekali tiupan ganas. Air mampu menenggelamkan pulau malah mampu memanjat bukit dengan sekali gegaran.

Di sesetengah tempat, tidak pernahkah terdengar ganasnya angin meranapkan bangunan dan pohonan sehingga menjadi padang jarak? Bukankah itu sebenarnya sengaja mahu mempamer kehebatan pemain sandiwara di panggung?

Mari kita sama-sama melukis di langit dengan warna paling damai, paling tenang untuk tatapan keturunan masing-masing. Mari kita memetik buah anggur yang lama ranum, kita hadiahkan kepada alam yang memberi peluang kita menjadi pemain dan pengarah di panggungnya.

Biodata

MUHD Nasruddin Dasuki, lahir di Meru, Klang, Selangor. Banyak mengha55silkan cerpen dan novel. Beberapa kali memenangi anugerah sayembara cerpen dan novel. Di antaranya tempat kedua sayembara. Menulis Novel Alaf Baru, 2001 dan sagu hati Sayembara Mengarang Novel sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Karya terbaru, e-book Cara Mudah Menulis Novel, untuk memilikinya layari http://muhdnasruddin.wordpress.com dan untuk mendapatkan prebiu percuma e-book berkenaan, sila e-mel ke: mnasd_326@yahoo.com

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.