Saya Yang Tak Punya Apa-apa

Oleh Ismas Saring

KETIKA dia balik ke kamar 803 Hotel Palace, jam di atas meja kecil di hujung ranjang sudah menunjuk ke angka hampir 12 tengah malam waktu tempatan. Lazimnya waktu begitu orang sedang lena atau diulit mimpi. Tapi dia baru saja balik daripada assignment bersama teman lain dalam lawatan ke taman Sun City sebuah destinasi pelancongan baru di Afrika Selatan.

Dia berpeluang menjadi tetamu kepada penganjur atas tiket penulis kembara yang sering membuat liputan ke merata destinasi pelancongan yang baru diperkenalkan kepada warga dunia untuk menarik mereka berkunjung sebagai pelancong bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

Sebelum itu, dia pernah menjadi tetamu kepada Bandaraya Fukuoka di Jepun. Selama seminggu dia bersama rakan-rakan lain yang juga menjadi tetamu kepada Datuk Bandar Fukuoka ekoran pelancaran penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke pulau ketiga besarnya di negara matahari terbit itu. Puas juga dia melawat bukan sahaja di sekitar Bandar Raya Fukuoka, tetapi juga ke Wilayah di luar bandar raya itu seperti ke Bandar Raya Nagasaki, Kumamoto, Beppu, Amakusa dan lain-lain.


Kali ini dia mendapat tawaran melawat Afrika Selatan khususnya di Sun City selain dari Johannesberg (Joberg), Cape Town, Bukap (Perkampungan Melayu Cape), Tanjung Pengharapan, Zoo Kwe Maritani dan lain-lain. Lapan hari amat cepat masa berlalu dirasakan dan kalau boleh mahu dia berada lebih lama di negara yang pernah terkenal dengan sistem apartheidnya itu. Harapannya untuk melawat ke penjara di Pulau Robin, tempat Presiden pertama Kulit Hitam Nelson Mandela dipenjarakan, tidak kesampaian atas alasan tiada dalam senarai.

Menurut pegawai promosi, Robin Islands tidak termasuk dalam senarai liputan dan ia adalah di luar tanggungan penganjur. Jika mahu juga ke sana, atas biaya sendiri. Bukanlah dia tidak mampu, tetapi banyak perkara yang perlu diubah seperti penukaran tiket dan jadual penerbangan balik, tempoh penginapan yang perlu diperpanjangkan sekurang-kurangnya untuk jangka waktu tiga hari. Kerana ketika itu tiada penerbangan harian dari KLIA ke Joberg atau Cape Town, urusan pengangkutan dan semuanya membabitkan kos yang bukan sedikit jumlahnya.

Jika dia mahu melakukannya boleh juga. Yang perlu dia hanya memberitahu pihak pengurusan bagi melanjutkan tempoh dan jika memerlukan kewangan, dia boleh mendapatkannya daripada pihak pengurusan dan boleh dipotong daripada jumlah elaun yang diperuntukkan kepadanya untuk liputan selama lapan hari itu. Elaun atau disebut wang saku ini tidak pernah dia memberitahu sesiapa termasuk isteri dan anak-anaknya, kecuali hanya menyatakan segalanya “on the board” yang dibayar dan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur.

Selesai mandi, jam sudah menunjuk ke angka satu pagi. Walaupun letih, tetapi tidak rasa mengantuk. Mungkin kerana terlalu letih, tidak ada rasa mengantuk. Dia membuat kopi bagi menyegarkan tenaganya. Dia membaringkan diri di ranjang dan ingatannya kembali mengenang nostalgia masa yang pernah dilaluinya sepanjang menjalankan tugas selaku penulis kembara. Banyak pengalaman ditimba daripada kerjaya itu. Walaupun dia tidak berkelulusan dari menara gading, jauh-jauh lagi mempunyai gelaran Dr atau Prof, tetapi dia bersyukur kerana tugasnya itu sudah membawanya terbang ke beberapa negara yang mungkin tidak dinikmati oleh golongan sepertinya. Bersyukur dia kepada Allah SWT atas segala rahmat yang dianugerahkan kepadanya. Nostalgia menguasai kepala otaknya yang seketul.

Sebab itu pernah satu hari dia diperlekeh oleh kawan-kawannya yang mendakwa dirinya bodoh kerana tidak mendapat bayaran daripada kerjanya membuat liputan kecuali penerbangan, penginapan, pengangkutan, lawatan dan makan minum, semuanya percuma dan ditanggung oleh penganjur.

“Kalau aku, aku tak mau. Buat apa kerja penat-penat dan menghadapi risiko dalam penerbangan dan perjalanan, tiada upah,” begitu kata Udin memperlekeh usahanya.

Dia tidak menjawab. Hanya tersenyum dan diam menerima tempelakan rakannya. Tetapi dalam hatinya berkata sendirian, “bodoh-bodoh aku kalaupun tak dapat bayaran, dapat juga pengetahuan, pengalaman dan melihat negara orang, tetapi kalau aku tak pergi lagi dua kali bodoh, tak dapat bayaran dan tak dapat melihat negara orang.”

“Habis …? Macam ‘tu ke selalu kau pergi? Tak ada elaun?” Tanya lagi Udin mencungkil rahsianya.

“Iyalah. Buat apa aku bohong. Kalau ada wangnya pun, takkan aku nak bagi kau,"jawabnya selamba, "tak apalah. Kalau tak ada upahnya pun, aku dapat pergi tengok tempat orang. Kalau aku tak terima dan buat, lagi dua kali bodoh. Dahlah tak dapat duit, tak dapat pergi pulak. Macam kaulah. Kerana nak cari duit sangat, tak ke mana pun. Paling Jauh aku dengar kau buat rombongan ke Phuket,” sambungnya memulangkan paku buah kerasnya.

Kenangannya kembali ke zaman sekolah sewaktu di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah Inggeris. Memang tiada dalam kamus cita-citanya dia ingin menjadi penulis, sebaliknya dia bercita-cita ingin menjadi pelukis. Sejak dia menyaksikan pameran lukisan di dewan sekolahnya oleh pelukis tempatan, hatinya terbetik ingin menjadi seorang pelukis terkenal jika pun tidak sebagai Picaso, tapi menjadi pelukis tempatan seperti Cikgu Idris Salam dan Hashim Haji Siraj pun sudah memadai.

Sejak itu, dia mula jinak dengan alat lukisan. Pencil warna. Kertas lukisan dan sebagainya dibelinya secara beransur-ansur dalam keadaan tidak berduit. Dia pun mulai mengarak alat lukisan ke sana ke mari, termasuk di tepi pantai, tepian sawah, di kampung dan di mana saja dia akan membawa alat lukisan dan mulai mencakar kertas lukisan tanpa garis panduan untuk jadi seorang pelukis.

Bagaimanapun, cita-citanya menjadi pelukis bukan sahaja terencat, tetapi mati bagai pelanduk dibaham harimau kerana apabila gurunya mengadakan kelas lukisan, murid di tingkatan itu dikehendaki melukis seekor anjing yang sedang menyalak. Dan apabila masa cukup, semua murid menyerahkan hasil lukisan masing-masing termasuk lukisannya. Malangnya apabila sampai kepada penelitian guru terhadap lukisannya dia dipanggil.

“Kudus … apa yang kaulukis?” tanya CT Rajadurai gurunya yang berkelulusan di sebuah universiti di India dan berasal dari Ceylon (sekarang Sri Lanka). Semua murid memanggilnya Cikgu CT.

Dia tidak menjawab, hanya menatap wajah gurunya yang tersenyum sinis sambil menatap lukisannya.

“Saya suruh kamu lukis anjing, tapi apa yang kamu lukis?” kata lagi gurunya dengan wajah bercampur agak lucu.

“Anjing Cikgu,” jawabnya tenang. Tetapi hati menggeletar. Takut kalau-kalau cikgunya bukan sahaja marah, tetapi merotannya.

“Ini bukan anjing … ini kambing,” kata Cikgu CT, “anjing mana ada tanduk,” sambung Cikgu CT sambil menunjukkan lukisan kepada Kudus.

“Itu bukan tanduk Cikgu. Itu telinga,” jawab Kudus agak berani, “itu telinga anjing marah. Telinganya tegak. Itu bukan tanduk.”

“Dah, pergi duduk tempat kamu,” arah Cikgu CT sambil menahan ketawa lucu, menatap terus lukisan Kudus.

Apabila semua kertas dikembalikan kepada murid, Kudus menerima semula kertas lukisannya dengan mendapat markah “kosong”. Sejak hari itu dia bukan sahaja berhenti daripada melukis, tetapi juga membuang semua alat lukisan ke dalam Sungai Kelang sewaktu dalam perjalanan balik dari sekolah ke rumahnya di Kampung Kuantan.

Hati Kudus berdebar-debar, cemas dan agak takut ketika waktu rehat dia dipanggil oleh Cikgu CT. Semua rakan sekelasnya bubar, keluar dengan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan mengisi masa rehat. Tetapi Kudus ditahan gurunya dan dia duduk berhadapan dengan Cikgu CT.

“Saya beritahu kamu dan saya harap kamu tidak marah,” Cikgu CT bersuara, “kamu tidak ada bakat jadi pelukis. Itu pemerhatian dan daripada pengalaman saya. Tapi .…”

“Tapi apa dan mengapa?” Tanya Kudus memintas. Memberanikan diri bertanya mengapa Cikgu CT membunuh cita-citanya jadi pelukis.

“Tapi kamu ada bakat dalam persuratan. Dalam penulisan,” Cikgu CT memberi jawapan ringkas, “saya percaya kalau kamu lakukan bersungguh-sungguh, satu hari kamu pasti menjadi penulis yang berjaya.”

“Penulis?” Sambut Kudus menggelengkan kepala. Tidak terlintas walau sebesar zarah pun di hatinya dia nak jadi penulis.

“Ya … penulis,” tegas Cikgu CT, “kalau terus kamu pelajari bagaimana jadi penulis, saya yakin satu hari nanti kamu pasti berjaya menjadi penulis. Tak taulah sama ada penulis aliran Inggeris atau Melayu,” sambungnya memberi perangsang kepada Kudus.

“Macam mana saya nak jadi penulis Cikgu,” kata Kudus memberanikan diri, “saya orang miskin, tak ada duit nak beli buku untuk belajar jadi penulis,” dia berterus terang ketidakmampuannya kerana miskin. Untuk membayar yuran sekolah pun terkadang terhutang beberapa bulan.

“Jangan pesimis,” Cikgu CT memberi semangat, “kalau tak ada duit beli buku, boleh baca dan pinjam di perpustakaan. Kalau tak mampu ke perpustakaan, kamu kutiplah majalah atau akhbar yang orang buang dan baca serta pelajarilah dengan serius, saya yakin kamu akan berjaya akhirnya.”

“Terima kasih Cikgu,” tapi saya tidak ada cita-cita menjadi penulis, “namun saya akan cuba ikut nasihat Cikgu. Doa dan restulah saya, semoga saya akan bersedia menghadapi cabarannya,” jawab Kudus menerima nasihat gurunya dan tanpa disedari air matanya berlenang membasahi pipi.

“Kamu menangis,” tanya Cikgu CT, “jangan menangis. Percayalah. Segala kejayaan bermula daripada kepayahan dan setiap kepayahan sering mengalirkan air mata dan air mata adalah semangat serta boleh memberi kejayaan. Saya harap, kamu bersabar dan ikutlah nasihat saya.”

“Saya menangis,” kata Kudus terharu, “saya menangis kerana saya sedar, saya yang tak punya apa-apa. Mana boleh mencapai kejayaan seperti yang cikgu harapkan.”

“Jangan bimbang, perjalanan seribu batu, bermula daripada langkah yang pertama, Ingatlah pesanan ini. Jadikanlah ia panduan untuk berusaha,” Cikgu CT membaja tunas yang dikenal pasti daripada bakat anak muridnya, “kamu kena ingat, jika gagal, jangan putus asa. Cuba-cuba dan cuba lagi, kamu akan berjaya akhirnya,” tambah Cikgu CT memberi rangsangan.

Sejak itu, Kudus benar-benar mengubah pendirian daripada ingin menjadi seorang pelukis kepada penulis. Kudus ternyata berubah dan mula kuat membaca serta rajin ke perpustakaan mengikut nasihat gurunya.

Masa berlalu dan dia meninggalkan sekolah itu, namun segala nasihat dan harapan Cikgu CT cuba diamalkan dan akhirnya kini berjaya juga menjadi seorang penulis kreatif dan wartawan yang diiktiraf dan kini dia berada di kamar 803 Hotel Palace Sun City, Joberg, Afrika Selatan adalah kerana nasihat dan janjinya kepada Cikgu CT bahawa dia akan berusaha menjadikan harapan Cikgunya menjadi kenyataan.

Dia masih teringat, bukan sahaja setiap Hari Guru diraikan, dia akan mengirim poskad kepada Cikgu CT Rajadurai, malah di mana saja dia berada di luar negara, dia akan mengingati gurunya itu

Ketika dia membuat liputan di Frankfurt Jerman, dia menulis kepada Cikgu CT dengan kata-kata, “segalanya bermula daripada nasihat dan semangat yang cikgu berikan dulu, tanpa itu semua saya tidak berada di sini sekarang … daripada Kudus (I who have nothing).

INFO

ISMAS Saring atau nama sebenarnya, Saring Sirad, berpengalaman sebagai Polis Khas (SC) ketika darurat 1956 hingga 1959. Dilantik sebagai Penolong Pengarang Angkatan Baru Kuala Lumpur pada 1966 hingga 1967 dan Penolong Pengarang Syarikat Karyawan Kuala Lumpur (1968). Berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian pada 1977 hingga 1993 sebelum beralih sebagai Penulis Kembara (1994-2003). Menerima Anugerah Tokoh Kebudayaan (media massa) Negeri Selangor pada 2005 dan Anugerah Tokoh Kewartawanan Negeri Selangor (2006).

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.