Romansia II

Oleh Aidil Khalid




GEMPAR

GAWAT, oh gawat seluruhnya, sebaik sahaja berita itu pecah. Gempar, oh alangkah gemparnya, sejurus sahaja khabar itu tersebar. Manusia bercinta dengan robot? Homosapien berasmaradana dengan mesin?

Maka adapun sebermula kisahnya adalah apabila Farid, si pencipta, telah berjaya mencipta sebuah robot yang kemudiannya diberi nama Romansia atas singkatan daripada kata RObot dan MANuSIA, memandangkan robot ini naturalnya luar biasa. Robot ini juga punya naluri keinginan - malah telah meminta kepada Farid agar diciptakan pasangan buatnya kerana kononnya merasa sunyi berseorangan. Maka Farid pun akur lalu menciptakan sebuah lagi robot yang kemudiannya diberi nama Romantina, atas singkatan daripada kata RObot, MANusia dan beTINA. Maka Romansia dan Romantina pun bermadu kasihlah sehingga lahir generasi Romansia-Romantina yang terkemudian - generasi pertama, kedua dan seterusnya.


Kisah ini terjadi entah pada generasi yang ke berapa tidak begitu dapat dipastikan, tetapi ketika itu Farid sudah tidak ada. Generasi Romansia-Romantina waktu itu sudah berkembang biak, malah hidupnya sudah begitu sekali leluasa, sehingga ‘seolah-olah’ kelihatannya mereka ini sudah hampir-hampir diiktiraf sebagai sebuah bangsa baharu di tengah-tengah berbilangnya bangsa dunia. Adapun nama Romansia dan Romantina itu sendiri tidaklah lagi merujuk kepada nama robot secara individu semata-mata, tetapi sudah merujuk kepada keseluruhan bangsa robot - yakni seperti halnya manusia merujuk kepada kaum Adam dan kaum Hawa sebagai lambang kepada jantina lelaki dan jantina perempuan. Pun begitu, pengiktirafan terhadap mereka tidaklah pula sampai ke taraf yang membenarkan golongan robot ini bercinta atau bersekedudukan dengan manusia.

TERTANGKAP

OLEH hal yang demikian manusia yang telah tertangkap bercengkarama berasmaradana dengan robot berjantina romantina itu pun dibawa ke mahkamahlah untuk dibicarakan. Kes ini mendapat sorotan luar biasa bukan sahaja daripada rakyat negeri ini, tetapi juga daripada masyarakat seantero dunia.

“Gila lagi memualkan!” komen seorang sosiologis yang dilaporkan oleh sebuah akhbar dari sebuah negeri di bawah angin. “Tidak pernah berlaku dalam sejarah peradaban manusia!” tambahnya lagi. Seorang ahli teologi dari sebuah negeri di atas angin pula dilaporkan mengatakan, “Inilah padahnya apabila manusia tidak lagi merujuk kepada langit dalam hal-hal seharian.” Tetapi seorang pejuang hak asasi kerobotan romansia-romantina pula menyanggah, dengan menyoal kembali, “Apakah salah, mereka, yang suka sama suka dan tidak pernah mengganggu siapa-siapa ini, hendak berkasih? Lalu kenapa harus masyarakat dunia menghalang?” Seorang saintis pakar robot juga ada memberikan pandangannya: “Inilah kemuncak teknologi perobotan, sehinggakan antara robot dan manusia sudah begitu sekali hampir - kalaupun tidak sama - setara.”

Ruang galeri awam kamar bicara penuh. Masing-masing berhimpit rapat duduk di kerusi yang ternyata tidak mencukupi. Malah ramai juga yang terpaksa berdiri sahaja bertindih-tindih sampai ke dinding belakang kerana tidak mendapat tempat duduk - dan hakim yang arif lagi bijaksana seolah-olah merestui - tidak menghalau keluar mereka yang berdiri ini - kerana sedia maklum bahawa kes ini akan menjadi penanda aras akan letak duduknya taraf romansia-romantina di tengah-tengah masyarakat dunia. Oleh itu orang ramai (dan robot ramai) mempunyai hak untuk menyaksikan.

Pihak polis terpaksa mengawal keadaan dengan memisahkan tempat duduk di galeri awam - deretan kerusi di sebelah kiri dikhaskan untuk manusia sahaja, sedang deretan kerusi di bahagian kanan pula khusus untuk golongan romansia-romantina sahaja - bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

DI KANDANG TERTUDUH

MAKA perbicaraan pun bermulalah.

Di kandang tertuduh kelihatan Robert Aduka yang berwajah kacukan dengan kulit cerah, hidung mancung, mata cekung ke dalam, serta rambut tersisir rapi bersebak tengah, tenang mendengarkan pertuduhan dibacakan. Hanya dia seorang sahaja yang dituduh melakukan kesalahan, sedang pasangannya, sebuah romantina bernama Ellize Izlina, tidak dituduh sama, kerana ternyata belum ada peruntukan perundangan yang dapat digunakan bagi membuat pertuduhan terhadap robot sepertinya.

Ya, hanya sebuah robot!

Hanya sebuah robot yang ternyata tidak lebih daripada sekadar sebuah mesin pintar yang tidak bernyawa - begitulah kira-kira pendapat majoriti ahli parlimen ketika pernah diusulkan kira-kira dua tahun lalu untuk menggubal undang-undang baharu supaya golongan robot ini dapat diiktiraf dalam sistem perundangan. Dan kini, apabila kes ini timbul, barulah masing-masing berkelam dan berkabut hendak mengusulkan kembali rang undang-undang yang pernah mereka sendiri tolak itu. Tetapi segalanya sudah terlambat sekarang kerana berdasarkan doktrin perundangan secara umumnya, seseorang itu tidak boleh disabitkan atas kesalahan secara retrospektif. Itu pun kalau Ellize Izlina boleh diiktiraf sebagai ‘seseorang’.

Maka tetaplah Ellize Izlina sebagai sebuah romantina yang tidak diiktiraf di mahkamah. Dia hanya dapat duduk di galeri awam bersama-sama robot-robot lain bagi menyaksikan kekasihnya di kandang tertuduh dibicarakan seorang diri. Selaku sebuah robot, dia akan hanya boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah seperti mana barang-barang bukti yang lain - bukan pesalah, bukan juga saksi. Penyaksian sebuah mesin sepertinya tidak dianggap sah.

PERTUDUHAN

PERTUDUHAN yang dibacakan kepada Robert Aduka berbunyi: “Bahawa kamu, manusia bernama Robert Aduka, dituduh telah melakukan kesalahan berasmaradana dan bersanggama dengan sebuah romantina bernama Ellize Izlina lantas telah melanggar garis pemisah antara manusia dan robot - dan hal ini dikhuatiri akan merosakkan galur keturunan manusia dan jalur keturunan robot.”

Peguam pendakwa raya bangun membentangkan hujahnya. Tetapi hujah pihak pendakwaan ternyata bukan hujah biasa-biasa. Hal ini kerana, pihak pendakwaan tidak perlu menghujahkan bukti sama ada benar tidaknya Robert Aduka dan Ellize Izlina telah bercengkerama; tidak perlu saksi dibawa bagi membuktikan tuduhan itu - tidak perlu semua itu, kerana sememangnya pasangan manusia dan romantina ini sudah sedari awal-awal lagi mengaku melakukannya. Lantas yang menjadi pokok persoalannya kini bukanlah tentang kejadian permukahan itu, sebaliknya tentang sama ada hal tersebut adalah salah dan boleh dianggap sebagai suatu jenayah ataupun tidak.

Dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang diguna pakai di negeri ini, peruntukan yang barangkali paling relevan bagi menyabitkan kesalahan terhadap Robert Aduka adalah seksyen 377A, iaitu persetubuhan luar tabii. Seksyen tersebut menyebutkan bahawa: “Mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.”

Tetapi soalnya, peruntukan itu menyebut dengan jelas kata ‘seseorang lain’, oleh itu, sebuah romantina yang dianggap sebagai robot tidak termasuk dalam lingkungan maksud ‘seseorang lain’ itu. Tambahan pula romantina tidak punya dubur mahupun mulut. Justeru, pangkas peguam bela, seksyen 377A tidak boleh diguna dalam kes ini.

Seksyen 377 pula hanya memperuntukkan kesalahan persetubuhan luar tabii dengan haiwan. Dan sebuah romantina sudah barang tentu tidak termasuk dalam definisi ini. Sedang andai hendak dimasukkan di bawah seksyen 377D pula, iaitu kesalahan melanggar kesopanan, juga adalah tidak relevan kerana secara jelas dinyatakan bahawa hal tersebut hanya menjadi salah andai dilakukan “dengan orang yang lain”. Sekali lagi, Ellize Izlina adalah sebuah romantina, bukan orang.

Lantas dalam kebuntuan - kerana ternyata setiap hujahannya telah disangkal semuanya oleh peguam bela tertuduh - peguam pendakwa raya pun akhirnya cuba menggunakan peruntukan mudarat awam di bawah seksyen 268 sebagai benteng terakhir untuk membuktikan kesnya. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa: “Seseorang adalah melakukan mudarat awam, jika ia melakukan apa-apa perbuatan, atau melakukan sesuatu ketinggalan yang menyalahi undang-undang, yang menyebabkan apa-apa bencana, bahaya atau kegusaran am kepada awam ....”

Pihak pendakwaan berhujah, bahawa apa yang dilakukan oleh Robert Aduka adalah memudaratkan kepentingan awam. Lihat sahaja bagaimana seluruh dunia gawat dan gusar oleh berita percengkeramaan antara manusia dan robot itu.

“Bantahan, Yang Arif,” tiba-tiba bangun pula peguam bela di pihak tertuduh, ingin menyangkal. “Adapun suasana panik ini tidak semestinya bermaksud apa yang dilakukan itu adalah suatu kemudaratan. Boleh sahaja jadi panik ini kerana rasa ghairah ingin tahu di kalangan orang ramai dan tidak ada sangkut pautnya dengan kemudaratan.”

BERBALAS HUJAH

KAMAR bicara senyap semuanya. Masing-masing yang hadir benar-benar tertambat pada perdebatan yang berlangsung antara kedua-dua belah pihak. Hakim di hadapan pula lebih banyak menunduk - mencatat - dan hanya sesekali mengangkat wajah bagi memandang peguam yang berhujah.

Bagi membuktikan bahawa apa yang dilakukan oleh Robert Aduka bersama Ellize Izlina itu memang benar-benar termasuk dalam kategori mudarat awam, makanya pihak pendakwa raya telah memanggil Robert Aduka sendiri untuk untuk disoal jawab. Seperti biasa, awalnya dimulakan dengan soalan berbasa-basi sahaja, sambil-sambil menyusun strategi bagi menjerat Robert Aduka kemudiannya.

“Apa benar, kamu bercinta dengan Ellize Izlina?” soal peguam pendakwa raya.

“Ya,” jawab Robert Aduka.

“Maksud kamu Ellize Izlina robot berjantina romantina itu?”

“Ya,” jawab Robert Aduka lagi.

“Kamu cinta kepadanya?”

“Ya.”

“Kamu sayang kepadanya?”

“Ya.”

Peguam pendakwa raya mendengus dalam nada mengejek. Wajahnya juga mencemik. “Kamu tak tahukah bahawa dia hanya sebuah robot? Lihat sahaja paras rupanya,” dia berhenti di sini, berjalan mendekat ke galeri awam seraya menggawangkan tangannya lalu dihalakan tepat ke arah Ellize Izlina yang duduk, sebelum meneruskan, “lihatlah paras rupanya - seluruh tubuhnya dilitupi buckypaper berwarna kelabu metalik, kepalanya persegi empat, tidak ada mata, cuma ada lampu berkelap-kelip pengimbas, tidak ada hidung, cuma ada lubang-lubang kecil tempat udara masuk dan keluar bagi tujuan penyejukan enjin di dalamnya - mampukah seorang manusia seperti kamu jatuh cinta kepada benda serupa ini?” Ada getar sinis dalam kata-katanya.

Robert Aduka mengangkat muka, lalu memandang tepat ke arah peguam pendakwa raya itu. “Ketahuilah,” jawabnya tenang, “bahawa cinta saya tidak didasarkan kepada indah rupa, sebaliknya cinta saya didasarkan kepada indah jiwa.” Tenang sekali.

Berderai satu kamar bicara dalam gelak tawa hadirin. Hakim di hadapan pun turut tersedak mendengarkan jawapan tersebut, tetapi segera pula mengawal diri kembali serius lalu mengetuk menyuruh diam. Manakala Ellize Izlina tertunduk sipu.

“Cinta indah jiwa,” kata peguam pendakwa raya, lantang, mengulangi kata-kata Robert Aduka tadinya, sepatah-sepatah, sengaja mengajuk. “Indah jiwa,” ulangnya lagi, sambil menggeleng-geleng kepala dengan senyuman di wajah. “Soalnya, wujudkah jiwa pada sebuah robot?” Sedikit meninggikan suara, dia menyambung lagi, “Robot adalah hanya sebuah mesin, sebuah mesin yang bergerak atas tindak-balas mekanikal, robot bukan benda hidup, mana mungkin ada jiwa!”

MANUSIA, TINDAK BALAS MEKANIKAL

ROBERT Aduka tenang dalam kandang. Sama sekali tidak gugup kerana sebetulnya jawapannya telah disediakan dalam benaknya sedari sebelum perbicaraan lagi. Lalu dengan teratur dia bersuara, “Bagaimana tuan tahu dia tidak punya jiwa?” Diam sejemang, kemudian menyambung, “Atau lebih utama lagi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan jiwa? Bagaimana tuan tahu bahawa tuan sendiri - yakni kita ini, manusia seluruhnya - punya jiwa? Dapat kiranya tuan buktikan?” Robert Aduka berhujah seolah-olah dia pula yang menjadi jaksa.

Peguam pendakwa raya yang merasa tercabar, segera menjawab dengan lantang, “Jiwa dan roh adalah apa yang menjadikan kita manusia. Kita punya perasaan, kita punya segala, itu yang menjadikan kita manusia. Kita menangis saat bersedih, kita ketawa saat bergembira, itu bukti kita ada jiwa, bahawa kita manusia, bukan mesin, bukan robot.”

“Ah,” jawab Robert Aduka pantas, “kalau begitu, juga romansia, juga romantina, pun boleh menangis saat bersedih, boleh ketawa saat gembira. Tidak begitu?”

“Tapi itu hanyalah tindak balas mekanikal yang telah ditetapkan dalam cip memori mereka. Bahawa andai mengalami kejadian-kejadian tertentu, Farid si pencipta telah menetapkan bahawa robot-robot ini akan menangis dengan mengeluarkan ratapan menerusi speaker, andai mengalami kejadian yang lain pula, mereka ketawa, juga menerusi speaker, itu hanyalah memori yang sudah disimpan sedari awal. Mereka menangis bukan kerana bersedih, mereka tidak ada jiwa, tidak ada emosi, tidak dapat merasakan, dan lebih utama lagi mereka tidak ada akal, mereka cuma memberikan ekspresi sesuai dengan tindak balas yang ditetapkan dalam cip memori!” Suara peguam pendakwa raya semakin meninggi. Wajahnya dibengiskan. Marah sekali.

“Dan apakah bezanya pula mereka dengan kita manusia?” jawab Robert Aduka kembali. “Kita juga bertindak balas secara mekanikal, hanyasanya namanya sahaja yang lain - dipanggil tindak balas anatomi - tetapi konsepnya tetap sama. Misalnya ... misalnya manusia, otaknya untuk dapat berfungsi harus ada bahan-bahan kimia seperti serotonin, norepinephrine dan dopamine - untuk kemudiannya menjadi penghubung antara sel-sel saraf dalam otak bagi memastikan sistem saluran maklumat berjalan lancar. Nah, tidakkah itu sama sahaja seperti tindak balas mekanikal sebuah robot? Cuma anatominya yang beda. Malah robot sendiri, bagaimana kita tahu mereka tidak merasakan emosi? Emosi itu bukankah niskala? Emosi kita sendiri pun tidak dapat kita perjelaskan.”

Peguam pendakwa raya mendengus bengis. Hidungnya kembang dan kempis.

Peguam bela pula, yang seharusnya membela Robert Aduka, terlongo, tercenung-cenung, penuh takjub, mendengarkan hujah anak guamnya sendiri. Benar-benar tidak menyangka. Apa benar yang didengarnya itu?

Sedikit sore, hakim menangguhkan bicara untuk disambung besoknya - meninggalkan semua yang menyaksikan, semua hadirin, terutama yang manusia, dalam persoalan mendalam tentang diri sendiri: Apakah ertinya menjadi manusia?

INFO

AIDIL Khalid yang dilahirkan pada 30 Jun 1984, memulakan dunia penulisan kreatifnya dalam genre puisi pada penghujung 2005 sebelum beralih ke cerpen. Karya mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007 ini mendapat tempat dalam majalah dan akhbar arus perdana seperti Tunas Cipta, Majalah I, Al Islam, Dewan Budaya, Nur, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Remaja dan URTV selain turut pernah menulis skrip drama radio untuk Klasik Nasional FM. Novel sulung pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) in, Bila Nysrah Kata Tak Mahu diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing pada Julai 2008. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@gmail.com atau layari http://aidilkhalid.blogspot.com.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.