Potret di dinding biru

Oleh DilFroz Sayhals




POTRET di dinding biru, berbingkai kuning emas warna kegemaran bonda, hampir dua dekad digantung di situ. Setiap kali kurenung air mataku bergenang. Seluruh ahli keluarga jelas teruja tatkala potret hendak diturunkan. Potret kebanggaan itu terdiri daripada ayah, bonda, abang, kakak dan adik diambil beberapa hari sebelum dia berangkat keluar negara menyambung kuliah.

Adel berjaya ke menara gading ketika usia mencecah remaja. Usia yang terlalu muda untuk berdikari. Dia belum lagi menerima keputusan peperiksaan Cambridgenya, tetapi sudah ditawarkan biasiswa.

“Dia memang pelajar pintar.” Pengetua memberi penghargaan yang cukup tinggi.


“Dia unik.” Ucap Cikgu Freida kepada bonda ketika mengiringi Adel ke Lapangan Terbang. Bait-bait ucapan Cikgu Freida kekal di jemalaku. Adel murid kesayangan Cikgu Freida. Sementara bonda pula teruja bercampur duka melepaskan abang, satu-satunya putera kesayangan, permata sari bonda kebanggaan keluarga.

Dia bakal memartabatkan nama keluarga kami. Anak pintar yang kerap menglipur dengan gelagat selamba. Ada saja perlakuan Adel mencuit naluri bonda, sehingga ada ketikanya kakak dan aku turut ketawa berdekah-dekah. Hari-hari bersama Adel tidak pernah berasa sepi.

Adel mencapai beg galas dari kerusi sambil membuka zip mengeluarkan kad boarding dan pasport sambil memastikan semuanya dibawa bersama. Tangan bonda digenggam erat. Adel berbisik, “Bonda, Adel pergi dulu. Doakan kejayaan Adel. Doakan Adel dalam setiap nafas bonda.” Sambil memeluk erat, bonda mengucup pipi Adel sepuas-puasnya. Jelas di kelopak mata yang hadir malam itu terkumpul manik-manik air mata. Adel dipeluk lama. Bonda mahu bekalan kasih apabila Adel berada di Ireland nanti. Jangka masa empat tahun bukannya sekejap. Jika dicongak darab musim akan bersilih-ganti sebanyak enam belas kali.

“Eleh! Selfish! Semua doa untuk dia, dia, dia.” Sofea menghadapku diikuti senyum sinis dengan leret mata yang penuh cemburu.

Sepanjang perjalanan pulang, bonda tidak banyak berbicara. Dia sepi. Ayahku pula sibuk berperang dengan Sofea yang membuka lampu untuk membaca buku. Buku Haiku karya Master Basho, hadiah pemberian Adel, dua hari lepas ketika dia membeli alat tulis keperluan diri. Sikap Sofea itu mengganggu bonda dan aku.

“Tutuplah lampu tu! Mengganggu! Bukankah ayah sedang memandu? Bosan, wei!” Bonda tersohor dengan sifat tegasnya.

“Yalah! Yalah!” Jawab Sofea dalam nada geram mematikan lampu di langit kereta. Dia melemparkan pandangan ke luar jendela.

Kakakku Sofea pintar seperti Adel, tetapi lebih menggemari sastera dan Haiku. Dia orang Sastera. Banyak membaca karya Hamka, Tongkat Waran dan Za’ba. Pertuturan Sofea sendat dengan lenggok bahasa juga kalimah-kalimah indah.

Sesekali kerja sekolahku dia tolong bereskan. Namun mestilah dengan sedikit imbuhan. Aku diminta menjadi penonton ketika dia mendeklamasi sajak. Sudah beberapa kali nukilan sajaknya disiarkan majalah sekolah. Ada ketika, Sofea meminta aku mengulas sajak ciptaannya, biarpun dia tahu aku bukan orang Sastera. Mata penaku terjurus ke arah Algebra, Kalkulus, Tangen dan angka-angka.

Sudah lima hari Adel terbang sehingga kini dia belum lagi menelefon. Masuk hari keenam, telefon villa agam kami berdering. Seolah-olah si penelefon itu merasakan bahawa ratu villa agam sedang merindu. “Di sini nak masuk musim luruh. Petang-petang sejuk.” Cerita Adel ringkas selepas bertanya khabar bonda, ayah dan Sofea serta aku.

Kerinduan bonda sedikit terubat. Cahaya puas menyerlah di raut wajahnya. Bonda meletakkan gagang telefon ke tempatnya. Sambil menoleh jauh kepada kakak dan aku yang duduk di sudut meja makan menyudahkan kerja sekolah. “Adel kirim salam kat Sofea dan Soraya. Dia baik-baik di sana.” Tegas bonda. Aku membalas salam Adel sementara Sofea tidak berkata apa-apa. Kukira, mungkin dia membalas dalam hati.

Pemergian Adel menjadikan villa agam sepi meruntun kerinduan. Pepohon, dedaun malah rumput di laman juga merindui Adel. Setiap petang sebelum Maghrib, Adel lazimnya beriadah di laman rumah. Wajah riang Adel terbayang di kelopak hati setiap daripada kami.

Sudah masuk musim ke sembilan Adel di perantauan. Suatu petang tatkala gerimis tiba-tiba Villa agam bonda menerima tetamu datang dari jauh. Adel muncul pada petang Jumaat itu. Kepulangan Adel memberi kejutan kepada semua. Sebenarnya itulah yang Adel rancangkan. Membuat kejutan. Bonda senyum panjang sekali.

“Di Ireland sekarang musim panas.” Cerita Adel.

“Abangku pulang!” Sapa Sofea dengan nada menyindir. Hairan, walaupun sudah lapan musim tidak bersua muka, namun sifat cemburu Sofea terhadap Adel tidak pernah lekang. Mungkin dia beranggapan Adel hebat dan sering mendapat perhatian bonda. Sofea merasakan dirinya menjadi agenda nombor dua dalam diari bonda. Aku tidak kisah. Aku pasti kasih-sayang ayah bonda tidak berbelah bahagi terhadap anak-anaknya.

Adel pulang kerana cuti semester. Adel rindukan keluarga. Dia rindukan masakan bonda.

“Esok nak makan apa Del?” Dengan wajah senang dan tenang bonda menanti jawapan Adel.

“Hmmm ... asam pedas, ayam goreng madu, sambal tumis udang … hmmm … apa lagi, ek?” Tanya Adel.

“Saya nak tempura udang! Satu lagi ... unagi goreng … yum … yum!” Sofea melirik mata memandangku.

Semasa makan, Adel banyak berceloteh pengalamannya di bumi Ireland. Ada-ada masa, ceritanya lucu. Benar, diakan penglipur lara keluarga kami?

Sepanjang bersama Adel waktu berlalu tanpa disedari. Pepohon, dedaun dan rumput di laman jika boleh berbicara pasti akan berkata demikian juga. Villa agam bonda bagaikan bercahaya, cahaya Adel. Itulah kepulangan terakhir Adel yang paling indah buat kami.

Musim luruh kali ke-12 sudah pun berlabuh. Salji kian menebal di Eropah. Semua menjadi putih seperti kapas. Warga Eropah menyambut hari Natal pada musim ini biarpun pandangan serta udara menjadi beku. Adel abangku sudah jarang menelefon. Mengutus warkah jauh sekali. Sesekali menatap potret keluarga di dinding biru, bertanya aku kepada diri, bagaimanakah keadaan abangku di sana? Masihkah ada ruang di kamar hati Adel untuk kami semua?

Panggilan terbaru Adel menggigit tampuk hati bonda. Batinnya terseksa. Bonda menjadi pemarah. Sifat lunak dan pengasih keibuannya berubah.

“Dia harimau terluka. Carikan penawar pengubat kesakitan bonda.” Puisi spontan ciptaan Sofea di suatu Subuh ketika bonda marah-marah selepas menerima panggilan telefon daripada Adel. Adel sudah jauh berubah. Udara tercemar kota metropolitan Dublin menewaskannya. Adel menelefon meminta restu untuk bernikah dengan rakan sekuliah beragama Kristian. Bonda terkejut. Bonda tidak menyangka Adel sudah tidak menghormati adat dan budaya. Sudah berani membelakangkan orang tua; kahwin pula dengan wanita berlainan agama.

Hari konvokesyen Adel juga tidak membenarkan ayah dan bonda pergi. Alasan Adel mudah, tidak mahu menyusahkan keluarga. Sebenarnya, Adel sudah mempunyai keluarga Esther Katherin Muranyi, gadis tinggi lampai kelahiran Hungary. Esther ratu baru bertakhta dalam hati Adel, menggantikan tempat bonda. Bonda menerima nasib seperti melukut. Saat gemilang menaiki pentas persada menerima ijazah sarjana dalam bidang perakaunan mahu dikongsi dengan keluarga Muranyi. Keluarga permata sarinya.

Bonda bertambah pilu. Hari-harinya gundah. Sesekali dia ke kamar Adel melepas rindu. Rindu membara yang terluka. Hati yang raju kian dimamah kecewa. Ada ketika kelopak mata bonda bengkak dek air mata. Bonda sudah jarang beriadah. Bimbang sejagat raya akan mentertawakannya. Buah hati pengarang jantungnya sudah tekad berhijrah ke Hungary pula, bermastautin di Budapest, kota kelahiran Esther. Itulah pilihan Adel.

Melihat keadaan bonda, aku menjadi gundah-gulana. Gundah yang menyentak kewarasanku. Seandainya kupunya sayap, inginku terbang membawa Adel pulang. Meminta dia memohon kemaafan di atas segala peri lakunya. Namun apakan daya, dia abangku. Dia lebih tua. Dia berhak mencorakkan destinasi hidupnya.

“Bonda, jangan bersedih. Panjatkan doa kepada Adel dan isteri supaya bahagia.” Pujukku dengan naluri simpati. Melihat bonda diselubungi awan kerisauan, aku melanjutkan bicara, “Tak ke mana pun perginya belut, dia pulang juga ke lumpur.” Ucapku penuh puitis.

Sofea kakakku sudah bermusim meninggalkan kami. Dia terbang ke negara matahari terbit menyambung kuliah. Dia rimas berada di rumah, katanya bonda amat mengagungkan Adel. Kini dia berhijrah pula ke Universiti Tokyo mendalami Sastera Jepun. Sofea bercita-cita menjadi bunga bangsa terkenal dalam penulisan Haiku. Harapannya, kelak dia boleh menyaingi Haiku-Haiku penulisan Madam Chiyoni, Master Isa dan Master Basho. “Orang-Orang ini insan seni teragung di negara matahari terbit.” Terang Sofea kepadaku suatu masa dahulu.

“Sudah-sudahlah tu Tijah! Jangan difikirkan lagi. Cuma menambah sengsara. Awakkan ada Soraya dan saya?” Ayah menghadap bonda yang berwajah sugul sambil membetulkan kopiah di kepala. Kopiah baru bingkisan Adel dan Esther ketika singgah di Pakistan sebelum terbang ke bumi Afghanistan menjengok khemah-khemah pelarian di sana. Esther bergiat cergas dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. ‘Ingat juga abangku kepada keluarga walaupun sudah bermusim tidak bersua muka.’ Bisik hatiku. Bagus sekali cita rasa mereka, sedondon pula dengan warna sarung dipakai ayah.

Bonda menangis pabila disapa sebegitu. “Bukan apa bang, saya..." bonda cuba bertahan.

"Cukup! Jangan diungkit kisah silam!" Ayah menoktahkan ayat bonda. “Saya nak ke Surau. Awak tak ikut?” Jelas ayah dalam nada suara antara dengar dengan tidak.

Tersentak aku daripada lamunan selepas menatap potret keluarga bersaiz kecil sama seperti pernah digantung di dinding biru. Potret keluarga hadiah Sofea kepadaku. Potret keluarga di dinding biru sudah lama diturunkan atas permintaan bonda.

Dari sudut jendela, kuperhatikan langkah kedua-dua orang tuaku menuju ke kereta. Enjin dihidupkan, perlahan kereta pun hilang dalam malam yang penuh dengan percikan kegelapan demi mencari segaris cahaya ketenangan.

Aku kembali menatap potret bersaiz kecil pemberian Sofea. Di belakang potret Sofea coretkan serangkap Haiku;

Potret salju....

di dinding biru....

Oh! Aku rindu zaman itu....

Biodata

DIL Froz Sayed Halem Shah atau nama penanya, DilFroz Sayhals dilahirkan di Kepong, Selangor. Pemegang Sarjana Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini berminat dalam penulisan cerpen, puisi dan pantun. Beliau bertugas sebagai Pengurus Pentadbiran di syarikat yang mengusahakan alat pemancar televisyen. Penulisan ilmiahnya pernah beberapa kali disiarkan dalam majalah kampus UiTM dan Ruang Akademi akhbar Kosmo. Penulisan terakhirnya, Aminuddin Baki Selepas Tiga Dekad, disiarkan pada 25 Disember 2007. Cergas dalam kerja kebajikan di sekitar Bandar Baru Bangi. Kini sedang melanjutkan pelajaran ijazah kedoktoran di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.