Pasport

Oleh Fudzail




1) SYAABAN

Pertemuan singkat dalam bulan Syaaban lalu yang berkebetulan juga bulan Ogos di Dubai membawa mereka berdua ke alam perkahwinan. Siapa menduga yang pertemuan dalam sebuah majlis sambutan ulang tahun kemerdekaan anjuran komuniti ekspatriat Singapura tiba-tiba mengubah kehidupan.

Pandangan pertama menikam kalbu dan pertemuan selanjutnya mengikat dua hati. Cinta itu tidak selalunya buta. Cinta, selain wang dan politik, juga menjadikan bumi berpusing, sama ada kerana kedamaian atau peperangan.


Dalam percintaan dan bulan madu berpanjangan, memang tidak begitu terasa yang masa berlalu cepat sekali. Apalagi dalam kehidupan kota Dubai yang sentiasa berputaran ke semua arah. Bersama ruang yang pesat berubah, telah setahun masa berlalu dan Ogos muncul kembali.

Yang tidak berubah adalah mereka masih berdua. Belum ada orang ketiga. Belum ada penyeri rumah tangga walau rumah mereka tidak bertangga.

“Belum ada rezeki!” Jawapan bercampur malu untuk menutup setiap soalan tentang zuriat. Soalan-soalan nakal dan kadang sindiran mesra yang semakin kerap menjadi bahan gurauan.

Fudzail

Gurauan yang semakin menjadi asakan krisis dalam benak minda. Kerana sebenarnya ada yang lebih dari kehadiran seorang orang baru. Sesuatu yang merungkai minda. Sesuatu yang meresahkan emosi.

2) Syawal

“Semasa masih kecil, saya sentiasa merasakan saya anak jati Singapura yang tipikal. Seperti kawan-kawan sebaya lain. Nenek moyang pun dari darah campuran Melayu, Cina dan India. Setelah bersekolah baru saya tahu yang darah tidak sepenting apa yang tertera dalam kad pengenalan di bawah kategori ‘bangsa’!”

Batrisya kembali bernostalgia sambil menatap gemerlapan neon dan lampu dari bangunan di Marina Dubai. Mereka berjalan perlahan menyusuri benteng sebaik selesai makan malam di sebuah restoran masakan Thai. Teringat berhari-raya di Singapura bersama keluarga dan sahabat handai.

Kuan Yew mendengar dengan tekun sambil sekali sekala menatap skrin telefon bimbit iPhone yang berdering dalam nada senyap. Cuba memfokuskan perhatian pada kata-kata Batrisya walau bukan kali pertama didengar keluhan tersebut.

“Bayangkan, arwah ayah saya pernah terasa begitu kecewa yang dia tidak pernah dipanggil untuk menyertai Khidmat Negara hanya kerana dia seorang lelaki Melayu. Seolah tidak lengkap kewarganegaraan kerana kalau negara diserang, dia tentunya tidak diperlukan untuk mempertahankan tanah air sendiri, walhal keturunan kami ratusan tahun mendiami pulau Singapura, sejak sebelum Raffles mendarat lagi!”

Beberapa kanak-kanak berlari sambil gelak ketawa. Menceriakan suasana Syawal yang agak hambar. Sekadar hari cuti umum untuk warga kerja Dubai terutama ekspatriat berehat kalau tidak pulang berhari raya di negara masing-masing.

“Saya juga terkeliru kerana kawan-kawan bangsa Cina sering menakrifkan Khidmat Negara sebagai ‘Tentera’. Dalam keluarga saya, para lelaki Melayu yang mendapat panggilan untuk menyertai Khidmat Negara seperti menang hadiah loteri. Bernasib baik. Ada yang dipanggil, lebih ramai yang tidak. Kebanyakan daripada keluarga kami menyertai pasukan Polis kerana kerajaan tidak begitu selesa kalau orang Melayu menyertai tentera!”

Sebahagian daripada dialog kitar semula dari blog peribadi Batrisya yang pernah membuatkan Kuan Yew insaf tentang sesuatu yang dahulunya dianggap mitos. Memberi perspektif berbeza mengenai persepsi yang pernah menutup minda.

“Setiap ulang tahun hari kemerdekaan juga kami sambut dengan hati terguris, terasa seperti anak tiri dan warganegara kelas ketiga. Kaum Melayu Singapura seolah-olah tidak diperlukan oleh negara kelahiran sendiri!”

Bergema kata-kata Batrisya dalam gegendang telinga Kuan Yew. Sesuatu yang berdentum dalam ruang segar Dubai Marina. Sesuatu yang memecah tembok persepsi hitam dan tragedi yang menguasai pemikiran.

3) Zulkaedah

Halaman dan dalam dua banglo besar bersebelahan seperti istana di bandar Al-Ain itu dipenuhi eskpatriat Muslim dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Mereka datang dari Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, Ras al-Khaimah, Umm al-Quwain dan Fujairah untuk bergotong-royong dalam menjayakan ibadat korban dan memasak di pagi Aidiladha. Lebih kurang empat ratus orang kesemuanya. Ada yang bermalam di Al-Ain sehari sebelumnya dan ada yang tiba selepas subuh.

Al-Ain adalah bandar universiti, perladangan dan pelancongan di sebuah wadi bersempadanan dengan Oman dan terletak dalam Emiriyah Abu Dhabi. Hanya satu jam setengah perjalanan dari Abu Dhabi dan Dubai.

Dua banglo tersergam 12 bilik tiap satu itu dihuni oleh tujuh puluh empat rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jurutera pesawat jet kepunyaan tentera UAE di Lapangan Terbang Al-Ain. Kesemua mereka adalah pesara TUDM yang kini merantau mencari rezeki di bumi UAE. Sudah senior dari segi usia dan dipanggil pak cik oleh ekspatriat muda lain serta atuk oleh kanak-kanak.

Gamat dan meriah suasana. Suara kanak-kanak bermain dengan kambing-kambing yang berjumlah 40 ekor dan 2 ekor lembu yang bakal di korbankan menceriakan ruang. Jerit dan ketawa berselang-seli dengan tangisan. Bagai sebuah mini Arafah kecuali mereka tidak berpakaian ihram dan berbaju Melayu dan kurung di ruang gurun.

Itulah pertama kali untuk Kuan Yew bersama-sama berada dalam suasana sebegitu. Terasa kelainan sekali. Dalam mengamati suasana dan berkenalan dengan ramai ekspatriat lain yang belum pernah ditemui sebelum itu.

Sedikit sebanyak Kuan Yew memahami erti kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Dia ada membaca buku yang diberikan oleh Batrisya. Kisah korban yang bermula dari Habil dan Qabil. Simbolis sekali di zaman moden dan canggih ini. Begitu menduga keimanan manusia yang semakin parah dikorbankan oleh kebendaan dan nafsu serakah.

“Teringat pada cucu-cucu!” Tiba-tiba Pak Kasim, salah seorang penghuni banglo, menunjukkan gambar yang tertera di skrin telefon bimbit Blackberrynya. Tergenang air mata Pak Kasim yang pertama kali berhari raya jauh daripada keluarga. Dia baru tiba dalam bulan Syawal lalu. Masih dalam kerinduan terutama pada isteri.

Kuan Yew terasa serba salah. Sayu hinggap dalam sanubari. Teringat ayah dan ibunya yang sebaya dengan Pak Kasim di Pulau Pinang. Masih belum bersara kerana kedai runcit milik mereka tiada siapa yang mahu mewarisi. Kesemua lima adik beradik Kuan Yew berjaya dalam kerjaya dan bisnes sendiri. Tiada siapa mahu berkorban untuk meneruskan sebuah kedai runcit yang makin terancam oleh persaingan pasar raya besar yang tumbuh bagai cendawan.

“Merantau untuk mencari makan seperti kita ini juga satu pengorbanan!” Perlahan Pak Kasim berkata dengan jari-jarinya menghantar SMS. “Malah mengerjakan ibadat haji juga satu pengorbanan dengan meninggalkan segalanya untuk berhimpun di sebuah gurun demi menuruti perintah Allah!”

Kuan Yew teringat catatan Batrisya dalam blognya semalam. Batrisya menyatakan yang syariat dan ibadat korban tidak bermaksud sekadar menyembelih haiwan setahun sekali. Pengertian utama ialah keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah yang pasti akan menguji iman setiap yang mahukan keredaan. Allah telah menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail melalui mimpi. Realitinya, Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Pengorbanan ayah dan anak itu sebagai iktibar untuk manusia sejagat.

Kuan Yew mengerti erti pengorbanan dari apa yang dia lalui biar tidak seberapa. Dia juga telah berkorban dengan meninggalkan kepercayaan tradisi. Bukan lagi sekadar demi sebuah cinta terhadap Batrisya, tetapi demi taufik dan hidayah yang datang dari manis percintaan.

Bumi UAE banyak memberi pengajaran dan pengalaman mengenai pengorbanan, secara langsung atau tidak dalam kehidupan yang semakin mencabar oleh persaingan dan pelbagai krisis dunia.

“Sudah lama bekerja di UAE?” Tanya Pak Kasim sambil menyalakan rokok. Kemudian menghembuskan asap ke ruang Al-Ain yang hijau dan tiada pencemaran udara.

“Sudah lima tahun dan memang tidak terasa perjalanan masa!”

“Gembira di bumi yang penuh sejarah perjuangan dari Nabi Ibrahim ke Muhammad SAW ini?”

Kuan Yew mengangguk keharuan. Tersenyum sambil melihat ke arah Batrisya yang datang berlari ke arah mereka berdua dengan wajah ceria. Kuan Yew memperkenalkan Batrisya kepada Pak Kasim. Menambahkan sayu Pak Kasim yang terkenang anak perempuan bongsunya yang masih belum berkahwin walau sudah melebihi usia tiga puluhan. Masih belum habis tanggungjawabnya.

“Ini panggilan abang Johari dari Makkah!”

Kuan Yew bercakap mesra dengan abang iparnya. Johari sudah menjadi warganegara New Zealand yang berkahwin dengan seorang wanita Maori. Kuan Yew dan Johari sentiasa berhubung melalui e-mel. Selalunya berdiskusi mengenai rasisme dan diskriminasi antara ekspatriat di UAE dan imigran bukan kulit putih di New Zealand.

Sesuatu yang menjadi sebahagian daripada rencah kehidupan. Realiti selalunya pahit, tetapi kepahitan boleh menjadi penawar.

Pernah Kuan Yew menulis penuh emosi kepada Johari, “Bayangkan, kekadang hidup penuh dengan ironi, parodi, satira dan paradoks. Sejak kecil, saya pernah terasa menjadi warganegara kelas kedua di tanah air sendiri walaupun nenek moyang telah berhijrah ratusan tahun dahulu, sejak empayar Melaka. Masih bukan bumiputera di bawah perlindungan Akta 513. Kini, saya menjadi ekspatriat kelas kedua dalam sebuah negara asing kerana warna kulit berbeza dan negara ini bukan negara orang kulit putih, apalagi negara ini adalah negara Islam!”

Catatan itu adalah cetusan rasa daripada persepsi selepas tragedi 13 Mei yang semakin terburai dengan kesedaran. Prasangka antara kaum terus menghantui sebuah negara makmur dan mewah dengan sumber alam untuk dikongsi bersama. Perbezaan sepatutnya menjadi kekuatan, bukan kelemahan yang menghancurkan.

Kini interaksi bersama warga sawo matang Nusantara lain di UAE, selain berdialog dan berdiskusi di laman forum dan blog di alam siber, Kuan Yew semakin memahami apa yang telah berlaku dari sejarah sebuah negara merdeka yang dipanggil tanah air. Memahami daripada perspektif mereka yang selama ini dianggap musuh.

Lebih-lebih lagi setelah mengahwini Batrisya, wanita Melayu yang lahir di Singapura, warganegara Singapura. Pulau yang sejak ribuan tahun dahulu adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Jodoh menemukan Kuan Yew bukan sahaja dengan seorang Muslimah yang patriotik, tetapi menghurai persoalan sensitif yang hinggap dalam jiwa memberontaknya. Yang menjadi tembok kemesraan.

“Aku teringat filem Malcom X yang insaf dalam ribuan manusia mengenai rasisme, prejudis dan persaudaraan dalam Islam. Kini bagaikan Malcom X yang terasa dihargai sebagai Negro di Arafah dan sama seperti Malcom, Arafah mengubah persepsi Melanie, isteri aku, juga terhadap Islam. Rasa-rasanya dia mungkin satu-satunya Maori dalam jutaan manusia yang berihram ini dan tidak janggal menjadi minoriti dalam suasana global!”

Johari sebenarnya jauh telah berubah sejak meninggalkan Singapura dan suasana alam Melayu. Pemikirannya telah menjadi liberal dan begitu terbuka. Katanya dia mahu jadi Muslim yang universal, suatu definisi yang kabur dan mengelirukan. Kerana itu sejak menjadi warganegara New Zealand, dia bukan sahaja memendekkan namanya sebagai Joe dan mengambil nama keluarga isterinya sebagai nama keduanya, malah mengahwini budaya dan cara hidup orang tempatan sepenuhnya. Dia Maori bertubuh Melayu.

“Semuga Obama juga akan menjejak langkah Malcom X!” Sepatah kata Kuan Yew mengakhiri perbualan yang bergema dalam dirinya.

Jauh di sudut hati Kuan Yew, dia mengharapkan ayah ibunya dan adik-beradik lain sama menyambut Hari Raya Korban, sebagai Muslim. Sama menikmati keindahan perasaan yang tidak tergambarkan.

Begitupun realitinya, dia masih tidak dapat membayangkan dia atau adik-beradik lain boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mustahil juga untuk Batrisya dan Melayu lain dinobatkan sebagai Perdana Menteri Singapura dalam waktu terdekat.

Apatah Melanie, tidak mungkin menjadi Maori pertama sebagai Perdana Menteri New Zealand walau berbangsa Maori yang menjadi pribumi New Zealand ribuan tahun dahulu dan New Zealand sudah ada Gabenor dan Perdana Menteri dari kalangan wanita!

4) Muharam

“Antara Kanada, Australia, New Zealand dan Britain, paling menarik ialah Kanada. Negara luas, masih kurang penduduk dan khabarnya kurang diskriminasi terhadap imigran dari Asia!”

Kuan Yew mendengar Batrisya berhujah sebaik mereka selesai membuat carta perbandingan. Sedang membuat analisis untuk berhijrah. Sudah hampir tiga bulan melakukan penyelidikan, seakan sebuah tesis untuk masa depan.

Masa depan yang menentukan kewarganegaraan seorang anak yang bakal lahir.

Johari yang transit di Dubai bersama keluarga setelah pulang dari mengerjakan haji, masih ketawa kecil. Teringat hujah kedua mereka sebaik mengetahui Batrisya sudah berbadan dua. Kegembiraan menjadi ayah dan ibu yang masih diselaputi keresahan.

“Kalau bayi ini lahir di Malaysia, dia akan menjadi seorang Cina kerana bapanya seorang Cina. Tetapi kalau dia lahir di Singapura, ibunya rakyat Singapura berketurunan Melayu, dia akan jadi Melayu dalam kad pengenalan!”

“Bagaimana kalau dia lahir di Dubai? Dia tidak jadi Arab ke?”

Tanya Johari berjenaka disambut ketawa.

“Tidak seperti Amerika, negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak sekali-kali akan memberi kewarganegaraan kepada anak ekspatriat yang lahir di sini. Kalau tidak, sudah tentu lebih ramai Emirati yang berketurunan India dan Pakistan. Kalau mengikut nisbah, sudah lama orang Arab menjadi rakyat minoriti di negara sendiri, boleh dipanggil Emiriyah India Pakistan Bersatu!!!”

Penjelasan Kuan Yew sedikit melucukan. Memang orang India dan Pakistan yang berperang di tanah air sendiri, nampak boleh bersatu di negara orang, kecuali kalau ada pertandingan kriket.

Tetapi begitulah realiti di sebuah negara Arab yang kaya pendapatan dari petroleum dan perdagangan, tetapi miskin dengan penduduk pribumi. Terpaksa mengimport tenaga luar untuk memajukan dan memakmurkan negara, sehingga menjadi minoriti di tanah air sendiri dan berdepan dengan ancaman sekuriti, pertembungan nilai agama, budaya yang kronik dan ketikdakseimbangan demografi.

“Sememangnya bertuah kalau menjadi warga Emirati. Kemudahan yang diberikan oleh pemerintah cukup baik dan banyak. Malah mereka dianggap antara yang terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita yang cukup tinggi. Walau tanpa demokrasi canangan Amerika, Raja UAE menjaga kebajikan warganegara sepenuhnya. Rumah murah pun harga sejuta ringgit, biasiswa, perubatan percuma, kahwin pun dapat duit!”

Sambung Batrisya yang pernah berangan untuk menjadi warganegara UAE melalui perkahwinan, tetapi jodoh menemukan dia dengan Kiew Siew, warganegara Malaysia berbangsa Cina.

Mungkin ada rahmatnya juga kerana kes perceraian di UAE agak tinggi dan selalunya, lelaki Emirati akan mengambil wanita bukan Emirati sebagai isteri kedua. Kerana kalau mereka mempunyai isteri pertama yang bukan wanita Emirati, mereka akan kehilangan banyak kemudahan, terutama elaun perkahwinan sebanyak 70 ribu dirham.

“Tetapi kalau bayi ini lahir di sini, apakah mungkin, dia boleh didaftarkan sebagai Melayu di Malaysia atau sebagai Cina di Singapura?” Tanya Melanie, isteri Johari yang agak terkeliru. Menggaru kepala yang tidak gatal.

Mereka ketawa. Di luar Festival Membeli-belah Dubai terus meriah walau dunia dalam krisis ekonomi. Sesuatu yang tidak janggal dan pelik.

“Kalau lahir di Dubai, terpulang mahu daftar mengikut negara ayah atau ibu. Rasanya sama sahaja, tetap sebagai Cina di Malaysia, dan Melayu di Singapura!”

“Jadi kamu berdua merasakan dengan berhijrah ke negara lain sebagai satu penyelesaian? Bayi ini bukan lagi Melayu, Cina, atau rakyat Malaysia, rakyat Singapura? Tetapi bangsa Asia warganegara Kanada, misalnya?”

Batrisya dan Kuan Yew berpandangan. Terdiam.

Perlahan Kuan Yew berkata, sambil menggenggam erat tangan Batrisya, “Sebenarnya ada yang lebih utama dari kewarganegaraan, bangsa dan warna pasport, bayi ini mesti seorang Muslim, sebaiknya seperti Ismail yang berkorban demi ketaatan kepada Allah!”

Mendengar itu, Johari tersenyum. Wajahnya nampak bersih setelah mengaku sebagai seorang Muslim fundamental yang lahir semula. Katanya mahu terus meninggalkan rokok, alkohol dan lain-lain kenakalan yang menjadi sebahagian daripada Muslim liberal dan universal. Hidayah datang daripada filem Malcom X yang membawa dia ke Arafah bersama Melanie sebagai seorang haji dan hajah. Selain kesedaran daripada taburan uban-uban yang semakin menebal di kepala walau dicuba pelbagai ubat dan pewarnaan.

“Kalau begitu, tentu kau tahu jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah teknikal jati diri seorang bayi yang belum lahir ini, bukan?”

Kuan Yew dan Batrisya terpinga-pinga. Menanti jawapan daripada Johari yang mengangkat salah satu pasport di atas meja.

Biodata Penulis

FUDZAIL nama pena bagi Fudzail Mohd Nor, ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom Emiriyah Arab Bersatu. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi melalui fudzail@yahoo.com dan kerjadubai.blogspot.com.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.