Kuntum Perdamaian

(Tujuan saya menyiarkannya kembali cerpen yg telah diterbitkan dlm antologi persendirian Wizurai terbitan DBP ini di sini, adalah untuk mengongsikannya dgn pengunjung yg berada di luar negara dan tak dpt membelinya. Saya mendapat idea utk cerpen ini, setelah menyaksikan Presiden Arafat memberikan ucapan ttg perdamaian sambil memegang sekuntum bunga mawar merah, lewat kaca tv :))


Kuntum Perdamaian


Dari jauh kedengaran bunyi beberapa ledakan bom, berdentum hingga ke bumbung bangun-
an hospital. Namun begitu, hatinya tidak tergerak untuk menjenguk ke luar melihat bangunan hospital yang rosak teruk dibom sepanjang malam itu. Tiada apa-apa keistimewaan yang dapat dilihat di luar sana. Tiada kecerahan dan kejernihan lagi. Di sana sini, suasana langit begitu kabut dengan kepulan asap hitam bercampur merah, yang menabun mengitari bumi Teluk. Malah, dinding hospital itu
kerap digegarkan oleh ledakan bom yang menggila, terus-terusan menjunam di bumi yang malang.

Suara esak tangis dan teriak kanak-kanak, suara orang dewasa yang melenting marah pada sesuatu yang di luar keupayaan mereka untuk menentang, suara helang laut yang riuh-rendah cuba menyambar ikan mati di permukaan laut yang berminyak pekat, semuanya tidak berjaya menahan Khadijah daripada terus-terusan mencuci tangannya di sinki usang itu.



Sinki yang usang itu telah dikunjunginya, entah berapa kali, sejak satu jam yang lalu. Sambil mencuci tangan dengan sabun antiseptik berulang-ulang kali, matanya mengerling ke bilik bedah. Cuping telinganya sempat menangkap bunyi tapak
selipar yang bergerak resah di lantai bilik bedah itu. Dia juga turut mengeluh resah. Bunyi itu seperti mengingatkan dia pada perjalanan masa yang ber-
gerak pantas. Kian lama kian jelas. Kian lama kian mendesak. Aduhai! rintih hatinya, kepiluan. Mengapa sampai begini jadinya? Mengapa? Alang-
kah letihnya jiwa ini!

Dengan mata yang terkedip-kedip, dengan tubuh yang dibaluti pakaian seragam berwarna
hijau muda yang lusuh, dia tcrus mencuci tangannya. Sengaja dia tidak menutup paip, biarpun dia sedar catuan air perlu diambil kira. Biarpun kulit jari-jemarinya scmakin kembang kini. Sengaja dia tidak menutupnya, kerana dia tidak mahu mende-
ngar suara mereka di bilik bedah itu, menyentuh pendengarannya. Dia tidak sanggup mendengar perbualan mereka tentang tubuh kecil di meja bedah itu. Dia tidak sanggup lagi. Sungguh!

Entah mengapa, biarpun dia cuba memujuk hatinya agar menjalankan tugasnya seperti biasa, lebih-lebih lagi apabila mengenang betapa kes serupa itu telah acap kali dilaluinya; dia tidak berupaya menggesa kakinya melangkah ke bilik bedah
itu lagi, buat kali ini. Dia tidak dapat melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hatinya!

Entah mengapa, sejak lima bulan yang lalu, sejak menjejakkan kaki ke bumi Teluk ini, dia berasa seperti berada dalam mimpi ngeri. Tanpa sedar, dia cuba menggapai semula kenangan manis di tanah airnya yang aman permai, yang amat dirinduinya. Dia begitu teringin berada dalam suasana yang melingkari damai dalam jiwanya, yang tidak
mampu dihulurkan oleh bumi Teluk ini. Apakah dia menyesal mendaftarkan dirinya
sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah dahulu? Apakah sia-sia sahaja dia bertungkus-lumus belajar bahasa Arab dahulu? Ah, sesungguhnya, dia sudah tidak tahu lagi!

Pada saat melihat tubuh gadis kccil itu disorong ke bilik bedah, keinginannya untuk kembali ke bumi Malaysia, semakin mendesak. Meledak-ledak, membakar urat-urat sarathya. Tersengguk dia di sinki usang itu tiba-tiba.

"Siapa nama gadis kecil itu?" tanya Khadijah, pada suatu ketika dahulu. Dia menyoroti wajah gadis kecil yang memegang sekuntum bunga merah.

"Atiqah," ujar jururawat terlatih di sisinya.

Lantas Khadijah, terus memerhatikan gadis kccil yang bernama Atiqah itu yang sedang bergegas ke bilik rawatan ccmas. Pada ketika itu, semua petugas di hospital itu, berpura-pura tidak melihat akan gadis itu, biarpun kehadirannya di bilik rawat-
an cemas itu, melanggar peraturan hospital. Sedetik, kelihatan gadis kecil itu meneliti tangan ibunya yang lebam-lebam akibat disuntik dengan jarum. Biarpun ditambah dengan pelbagai jenis dadah, silih berganti botol saban hari, yang mengalir terus ke dalam pembuluh darah ibu gadis kecil itu; ibunya tetap terus nazak. Ibunya yang terhumban ke tanah dari lori minyak yang dipandu oleh ayahnya,
terus diam membisu. Dan lori itu terbakar rentung bersama-sama ayahnya.

Dari meja tulisnya, Khadijah nampak gadis kecil itu mengeluh panjang. Sejurus kemudian gadis kecil itu kelihatan memanjat ke pinggir katil lalu menyematkan bunga berwarna merah itu, di celah-celah rambut ibunya yang sedang nazak.

"Ibu, bangunlah ibu," rayu gadis kecil itu seraya mengucup ibunya, bertubi-tubi. "Bercakap-lah dengan saya, bu. Bercakaplah!"

Khadijah segera melarikan pandangannya ke arah pesakit lain. Terasa kelopak matanya berat dengan takungan air jernih. Entah mengapa, memerhatikan Atiqah terbongkok-bongkok di pinggir katil ibunya yang nazak, terbayang pula dia akan wajah arwah ibunya sendiri. Dia terbayang ibunya yang beruban rambutnya, tenang menerus-
kan tradisi kaum asalnya; kaum Idaan. Dia seperti melihat ibunya amat tekun menganyam tikar mengkuang, menganyam bakul raga dan sebagainya. Kadang-kadang, ibunya yang sentiasa menguntum senyuman manis itu, kelihatan terbongkok-bongkok menuai padi di sawah yang luas terbentang. Ah, betapa dia merindui ibunya!

Khadijah terus tercegat di sinki usang itu. Nafasnya dihela panjang-panjang. Dan serta-merta, gambaran wajah arwah ibunya menerjah tiba lagi. Lantas, dengan pandangan mata yang berpinar-pinar, dengan wajah sayu yang tersirat dengan ber-
juta rasa pilu, diamat-amarinya keadaan di bilik bedah itu, meresap dan membawa ingatannya kepada cerita ibunya yang berketurunan Idaan, tentang kepercayaan nenek moyang mereka yang berasal daripada Nunuk Ragang. Tempat yang terletak di Tampias, di suatu kawasan di hulu Labuk dalam daerah Ranau itu, terdapat Sungai Liwagu dan
Sungai Gelibang yang mengalir ke arah timur Ranau dan Tambunan. Alangkah gementar hatinya apabila terbayangkan bentuk pohon ara yang sebesar enam pemeluk dan daun-daun yang merimbun, berdiri teguh di tebing sungai!

Sesungguhnya, keharmonian kehidupan orang Dusun Idaan yang membina tujuh buah pondok
berukuran 185 meter persegi setiap satu, di bawah pohon ara merah atau Nunuk Ragang itu, bagaikan hanya wujud dalam impiannya. Saban hari orang Dusun Idaan ermandi-manda di sungai itu, sebelum memanjat pohon itu bagi menjemurkan diri
mereka di dahan-dahannya. Benarkah akar-akar pohon ara yang berbunga merah itu, mampu menyembuhkan pelbagai penyakit? tanya hatinya, kerusuhan.

"Ah ...!" rintih Khadijah. Kalaulah cerita tentang pohon ara yang berbunga merah dan mempunyai keajaiban pada akarnya itu, bukan legenda semata-mata, alangkah mudahnya kerja menyembuhkan sesuatu penyakit dilakukan? Contohnya, penyakit ibuku. Sayang sekali ibuku tidak dapat diselamatkan. Ibuku meninggalkanku juga, akhir-
nya. Entah mengapa, serta-merta seluruh hatinya terasa amat sepi. Kesepian vang begitu menguasai dirinya, dan dia berasakan lorong hidupnya bagaikan sentiasa terpencil di sudut suram, sejak kematian ibunya. Tertaut kabus berbau amunasi yang berpanjangan. Justeru itu dia berkejaran terus-terusan, menghela nafas yang tersepit, pada batas-batas telaga hati, menyongsong sinar matahari yang ter-
sembunyi. Terasa bagai menyongsong kelangsungan hidup insan lain yang tanpa tempat mengadu, untuk survival; biar apa pun yang datang melanda.

Kelopak mata kuyu Khadijah terus merenung tajam jari-jemarinya yang kian kembang berendam dalam air. Tubuhnya yang berusia awal tiga puluhan itu, masih terkaku di sinki usang. Bintik-bintik peluh, memercik di seluruh garis wajahnya yang
ketegangan. Suara kanak-kanak dan orang dewasa yang hingar-bingar berbaur dengan deruman enjin kenderaan yang bersimpang-siur di luar sana, tidak berupaya melenyapkan kesepiannya. Digagahi dirinya untuk tidak mengizinkan matanya meliar memerhatikan sekujur tubuh kecil yang terbaring di meja bedah. Sedaya upaya dia
bergelut dengan perasaannya untuk tidak mengizinkan pintu hatinya tcrbuka sehingga memboleh kan wajah cornel yang bernama Atiqah itu, menggugah perasaannya. Scdaya upaya dia mencuba.

"Doktor Khadijah, boleh kita mulakan sekarang?" tegur seorang jururawat dengan logha
Timur Tengah yang pekat.

"Dah siap semuanya?" tanya Khadijah, biarpuh, sesungguhnya, dia lebih arif dengan jawapannya. Bukankah dia sendiri yang menyaksikan bagaimana jururawat hospital itu memeriksa darah Atiqah bagi memastikan jenis tisu yang dimiliki olehnya? Hisy! Bukan mudah untuk melakukannya. Semuanya perlu dikenal pasti melalui protein yang
tertentu - antigen - yang terdapat pada tubuh kecil yang terbaring kaku di meja bedah itu.

"Sudah, puan doktor," ujar jururawat itu. "Malah, pesakit yang akan menerima organ itu pun, sudah siap menanti. Doktor Syeikh Abdullah El-Ahmad juga sudah berada di bilik bedah, puan doktor."

"Baiklah, beri saya beberapa minit lagi."

Khadijah memerhatikan jururawat itu beredar pergi dengan ekor matanya. Lantas, dengan tangan yang terketar-ketar, dia menutup paip yang menjadi tumpuannya tadi. Setelah mengesat tangan dan memakai sarung tangan, pandangannya terus ter-
tumpu kepada jari-jemarinya yang kembang itu. Mata dan fikirannya tertuju terus kepada pesakit yang bakal menjalani pemindahan buah pinggang - menerimanya daripada gadis kecil bernama Atiqah.

Khadijah sedar, buah pinggang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu, mengalami jangkitan kuman berterusan sejak kecil lagi. Dia tahu, kanak-kanak itu diberikan ubat immune suppression, menanti sehingga mendapat organ buah pinggang yang sesuai dengannya. Namun begitu, kemungkinan kegagalan itu, amat tinggi dan lebih cende-
rung membawa kesan mudarat kepada pesakit yang melalui pembedahan organ tersebut.
Tetapi, bukankah wajar pesakit itu diberi cahaya untuk terus hidup? tanya harinya, keresahan. Tambahan lagi, buah pinggang kanak-kanak lelaki itu, telah kecut dan bertompok-tompok dengan kesan jangkitan kuman.

Khadijah mengeluh lagi. Matanya tergenang dengan air jernih. Perlahan-lahan, pandangannya bergerak ke arah tubuh kecil yang bernama Atiqah. Dia tersedak pilu. Memang, sejak pertama kali dia melihat wajah gadis cornel itu, empat bulan yang
lalu, hatinya sudah tersentuh.

"Apa yang berlaku?" tanya Khadijah, ketika itu. "Mengapa gadis kecil itu menjerit-jerit?"

"Dia membuat ragam, puan doktor," jawab jururawat yang bertugas mengikut giliran itu. "Dia terpaksa dihalang oleh dua orang pembantu hospital daripada terus-terusan menyerang Dr. Abdullah dengan penumbuk kecilnya."

"His! Saya bukan tak kasihan kepadanya. Tapi, ibunya sudah nazak hampir satu minggu. Dan tak punya harapan untuk hidup lagi. Apabila saya jelaskan kepadanya mengapa mesin bantuan pernafasan itu perlu ditanggalkan daripada ibunya, dia menga-
muk," jelas Dr. Abdullah, lelaki Timur Tengah itu. "Lagipun, ramai lagi pesakit yang memerlukan katil itu."

Hati Khadijah tersentuh pilu. Dia berpaling ke arah gadis kecil itu. Setiap kali gadis itu datang melawat ibunya, dia pasti membawa sekuntum bunga berwarna mcrah, yang semerah bunga dari pohon Nunuk Ragang itu. Bunga itu diselitkan di celah rambut ibunya, seraya merayu-rayu agar ibunya sedar daripada keadaan nazaknya. Sesungguhnya, bukan Khadijah tidak bcrsimpati dengan nasib gadis kecil itu. Masalahnya, seperti kata Dr. Abdullah El-Ahmed, berapa ramai lagi pesakit lain yang
memerlukan perhatian. Ah, serba salah dia! Lantas, dia cuba memujuk gadis itu pula.

"Atiqah, tentu engkau mengerti, bukan,"
pujuknya, lagi.

"Jangan! Jangan biarkan ibuku mati!" jerit gadis kecil itu, seraya menangis teresak-esak. Dia berundur ke tepi katil ibunya seraya merenung muka Khadijah seperti' merenung musuh ketatnya. "Huh! Kalau siapa berani mcnanggalkan mcsin
bantuan pernafasan itu, saya bunuh!"

Tersentak nafas Khadijah. Dia hampir tergelak. Gadis sekecil itu, mahu mengugut orang dewasa yang dua kali lebih besar daripadanya? tanya hatinya. Tetapi, setelah diamat-amati wajah bengis gadis kecil itu, dia dapati ada sinar yang tersirat, tetapi tidak tersurat di mata yang galak itu; sinar harapan yang tidak pernah padam. Sinar mata yang berjaya menarik Khadijah menyebelahinya.

Buat seketika, dia menyoroti wajah wanita yang terlantar dalam keadaan nazak itu. Apabila memerhatikan wajah wanita itu, mengingatkannya lagi kepada wajah ibunya sendiri yang terbujur di katil wad kelas tiga, hospital kerajaan di Malaysia.
Dia melihat gadis sunti yang berusia sepuluh tahun itu, dengan wajahnya yang sedang sayu, menatap wajah ibunya yang tidak bernafas lagi. Ibunya yang menjanda sejak ayahnya yang bertugas sebagai tentera itu terkorban di perbatasan, menderita demam
panas yang parah. Gadis sunti itu ialah dirinya, dua puluh tahun yang lalu. Lantas, dia mengeluh panjang dan langsung mendesak Dr. Abdullah El-Ahmed untuk mempertimbangkan keputusannya.

"Baiklah, saya beri dia satu minggu saja lagi,"tegas Dr. Abdullah El-Ahmed, sebelum beredar pergi. "Selepas itu, ah... Khadijah, bukan awak tak lihat berapa ramai pesakit yang memerlukan rawatan di katil itu!"

Khadijah mengeluh lega. Ketika Dr. Abdullah dan pembantu-pcmbantu hospital itu beredar pergi, dia melangkah ke meja tulisnya. Dengan ekor matanya, dia melihat gadis kecil yang bernama Atiqah itu memanjat naik ke pinggir katil ibunya. Dia
lihat gadis kecil itu mcnyematkan sekuntum bunga berwarna merah di rambut ibunya, sebelum merayu-rayu dan mencium ibunya bertalu-tali. Suara gadis kecil itu kedengaran jelas kepada Khadijah.

"Ibu, jangan bimbang. Saya takkan biarkan mereka putuskan mesin banrnan pernafasan itu bu," ujar gadis kecil itu seraya melemparkan sebuah jelingan tajam ke arah Khadijah. "Saya tak kan benarkan. Saya tahu, ibu masih ada harapan untuk pulih. Saya tahu. Oh, ibu! Buktikanlah kepada mereka. Buktikanlah yang ibu boleh pulih
Ibu mesti cepat pulih, tahu! Mesti! Kerana, saya sayang ibu!"

Sejenak Khadijah termangu. Dia memandang wajah wanita yang sedang nazak itu, seolah-olah turut mengharapkan sesuatu perubahan berlaku Namun, tiada sebarang pergerakan sebagai tindak balas kepada rayuan anaknya. Setiap malam, gadis itu masuk ke bilik rawatan ibunya. Setiap kali dia datang, dia tidak lupa membawa sekuntum bunga berwarna merah yang diselitkan di rambut ibunya bagi menggantikan bunga yang sudah layu. Dia terus merayu-rayu. Sehinggalah seminggu kemudian, sehari sebelum tarikh terakhir yang diberikan oleh Dr. Abdullah El-Ahmed untuk menanggalkan
mesin bantuan pernafasan itu, gadis itu terus datang dengan sekuntum bunga berwarna merah. Dia terus merayu dan merayu ibunya yang sedang nazak itu. Seperti biasa, tiada sebarang tindak balas daripada wanita yang terkujur nazak itu. Gadis kecil itu seperti dapat merasakan saat untuk ibunya hidup sudah hampir ke hujung jalan. Tanpa sedar, dengan suara yang sedikit keras, gadis itu memerintahkan ibunya supaya memberikan tindak balas.

"Ibu, bangunlah! Buktikan kepada mereka, bu!" gesa gadis kecil bernama Atiqah itu. "Saya sayang ibu, dan kalau ibu juga sayang saya, gerak-kanlah jari relunjuk ibu. Gerakkanlah! Cepat!"

Sesungguhnya, Khadijah scndiri hampir tidak percaya apabila menyaksikan jari telunjuk wanita yang terkujur nazak itu, bergerak perlahan-lahan. Seolah-olah mengikut perintah anak kesayangannya itu. Gadis kecil itu terus melonjak keriangan dan memanggil Khadijah menghampiri katil ibunya.

"Lihatlah! Ibu saya sudah pulih!"

Peristiwa yang di luar jangkaan itu, menarik perhatian semua doktor dan kakitangan hospital itu. Masing-masing cuba memberikan bantuan. Biarpun dalam keadaan letih, mereka datang memeriksa tekanan darah, memeriksa IV tubes, suction fluid daripada jantungnya dan sebagainya. Namun begitu wanita itu kadang-kadang sedar dan kadang-
kadang kembali tidak sedarkan diri, tetapi seperti gadis kecil bernama Atiqah itu juga, mereka tidak mahu menyerah kalah. Mereka turut memberikan antibiotik untuk melawan fenomena yang mencengkam jantung wanita itu. Sementara itu, Khadi-
jah turut memastikan agar wanita itu mendapat terapi fizikal.

Pada keesokan malamnya, setelah ibunya memberikan tindak balas dengan menggerak-gerakkan jari telunjuknya, Atiqah terus datang. Dengan mata yang bersinar-sinar, dengan terkinja-kinja keriangan, dia membawa dua kuntum bunga. Sekuntum diselitkan di celah rambut ibunya dan sekuntum lagi diletakkan dalam botol berisi air lalu
diletakkan di meja tulis Khadijah. Khadijah terkejut, kehairanan. Harinya berde-
sis, apakah bunga berwarna merah itu, bererti gadis kecil itu dan aku, sudah berdamai kini? Apakah bunga ini, kuntum perdamaian buat kami? Lalu, dia terbayang akan pohon Nunuk Ragang yang berbunga merah itu. Serta-merta, dia menjadi ter-
haru. Khadijah memerhatikan gadis kecil itu terus berulang-alik ke hospital itu dengan dua kuntum bunga berwarna merah, setiap hari sehinggalah ibunya cukup kuat untuk dihantar pulang.

"Siapalah yang akan meletakkan bunga berwarna merah di dalam botol itu nanti, ya?" usik Khadijah, sewaktu gadis kecil itu menyorong kerusi roda ibunya ke arah kereta ambulans yang akan menghantar mereka pulang. Gadis kecil itu tersenyum kesipu-sipuan.

Sesungguhnya, sedikit pun dia tidak menyangka akan dipertemukan semula dengan
gadis kecil bernama Atiqah itu. Setelah beberapa bulan berlalu, setelah dia hampir lupa akan gadis kecil itu, dalam keadaan sibuk merawat para pesakit yang bertali arus, tiba-tiba gadis kecil itu muncul kembali dalam hidupnya. Tetapi dalam keadaan
yang sama sekali berbeza. Gadis kecil itu tidak seperti dahulu lagi. Tidak lagi terkinja-kinja keriangan. Ketibaan gadis itu, pada kali ini, dalam keadaan terlantar di atas usungan, terbujur lesu dengan bernafas nyawa-nyawa ikan!

"Gadis kecil ini mengalami kecederaan teruk di kepalanya," jelas Dr. Abdullah El-Ahmed, perlahan. "Serpihan peluru berpandu yang meledak di kawasan penempatan awam itu, masih terdapat di dalam otaknya. Maafkan kami, tiada apa pun yang
dapat kami lakukan untuk membantunya."

Ramai antara petugas di hospital yang mengenali gadis kecil itu, menangis teresak-esak bersama-sama ibu gadis kecil itu. Ibu gadis kecil yang masih
berkerusi roda itu, tidak putus-putus menyebut nama Tuhan dan menvesali perbuatan kejam mereka yang gila kuasa itu. Khadijah turut terseret dalam emosi wanita yang terseksa jiwanya itu. Khadijah terikut-ikut marah.

"Jika boleh, ingin saya katakan bahawa gadis kecil ini mempunyai harapan. Tapi, saya tak boleh," tambah Dr. Abdullah, kesayuan. "Err ...bagaimana kalau saya cadangkan agar puan pertimbangkan untuk menderma organ buah pinggang gadis kecil ini. Saya mahu, puan pertimbangkan untuk kepentingan diri puan sendiri. Percayalah,
setelah masa berlalu, suatu ketika nanti, ia akan memberi erti yang besar kepada puan."

Serta-merta, suara halus naluri Khadijah membantah. Dia ingin menjerit: Sudahlah! Sudahlah! Jangan disakiti jasad gadis kecil itu lagi. Biarkanlah dia sendiri! Begitulah yang ingin dijeritkan oleh Khadijah. Tetapi suaranya tersekat di kerongkongnya.

"Alhamdulillah," ujar wanita, ibu kepada gadis kecil itu. "Saya fikir, itulah tindakan yang paling wajar dilakukan. Anak saya, Atiqah, memang penyayang orangnya. Dia sentiasa mahu memberi kasihnya kepada orang lain. Saya percaya, jika Atiqah masih boleh bercakap, pasti dia juga akan memberikan persetujuannya."

Jasad gadis kecil itu segera disorong ke bilik bedah. Biarpun didapati otaknya mati atau tidak berfungsi lagi, mereka dapati buah pinggang gadis kecil itu berada dalam keadaan baik. Semua bantuan pernafasan diteruskan bagi membantu denyutan jantung gadis kecil yang kian lemah itu. Pesakit lain yang bakal menerima organ buah pinggangnya dihubungi dan dipersiapkan untuk menjalani pembedahan. Masa kian suntuk. Mereka cuma mempunyai 48 jam sahaja. Kalau tidak, buah pinggang
yang dikeluarkan dari tubuh gadis kecil itu, tidak boleh digunakan lagi.

Aduhai! rintih hatinya, kepiluan. Mengapa sampai begini jadinya? Mengapa? Alangkah letihnya jiwa ini!

"Boleh kita mulakan sekarang, Khadijah?"

Khadijah tersentak. Dia berpaling dan tersua wajah Dr. Abdullah El-Ahmed, reman seperjuangannya. Dia mengeluh lagi. Matanya yang bergenang air jernih, terkedip-kedip merenung Dr. Abdullah. Bagaikan ada suatu daya tarikan yang
halus berseni, cepat telinganya menangkap suara kanak-kanak yang sedang menyanyi - sayup-sayup dari jauh. Menyanyi di kalangan pejuang bangsanya. Terdengar juga kicau burung layang-layang yang pulang ke sarangnya, di celah bumbung bangunan hospital itu. Seterusnya dia terdengar bunyi tapak kaki yang cornel, berkejaran di sana
sini, menambahriuhkan keadaan di koridor hospital. Kanak-kanak yang berkeliaran bebas dari kawasan penempatan yang kerap dihujani bom itu, bergaul mesra bagaikan tiada apa yang perlu dirisaukan lagi. Seolah-olah mereka sudah lali dcngan keadaan
kacau-bilau itu.

"Khadijah?" ulang Dr. Abdullah, lembut.

Khadijah mengangguk Iemah. Lambat-lambat, dia melangkah ke bilik bedah. Sedetik itu, dia memegang pisau bedah. Lantas, dengan himpunan seluruh kekuatan luaran dan dalaman, biarpun dalam kengiluan apabila mcngenang wajah comel yang bercahaya dan berseri-seri itu, dalam suasana bumi Teluk yang meledak di sana sini, dia meng-
hela nafas seraya membaca sepotong ayat suci.

Sejurus, dengan tangan yang terketar-ketar, dia menghiris kulit halus gadis kecil itu, sepanjang perutnya. Dengan segala kemahiran yang ada padanya, dibantu oleh Dr. Abdullah El-Ahmcd, Khadijah mengeluarkan organ buah pinggang daripada tubuh gadis kecil yang malang itu. Organ itu diletakkan di dalam sterile plastic containers dan kemudian diletakkan di dalam chloroform chest yang dipenuhi ketulan ais – sebelum dipindahkan kepada pesakit lain yang sedang menanti.
* * *
Pada suatu senja yang tenang, ketika Khadijah sedang berehat setelah keletihan menjalankan tugas sehariannya tadi, tiba-tiba terdengar pintu bilik rehat itu diketuk orang.

“Ada orang nak jumpa awak, Khadijah.”ujar Dr. Abdullah, tersenyum penuh rahsia. “Tetamu istimewa.”

Khadijah mengerut kening. Sebaik saja Doktor Abdullah membuka pintu bilik rehat itu lebar-lebar, seorang kanak-kanak lelaki masuk ke dalam bilik rehat itu. Kanak-kanak lelaki itu menguntum senyuman manis sambil menghulurkan sekuntum bunga berwarna merah yang disembunyikan di belakangnya tadi.

“Terima kasih, puan doktor,” bisik kanak-kanak itu, tersipu malu.

Khadijah yan gmasih kebingungan itu, sedikit teragak-agak, membongkok lalu menyambut huluran bunga itu. sebelum sempat dia bertanya apa-apa, kanak-kanak itu melonjak dan terus mencium pipinya. Dan kemudian, kanak-kanak itu
terus berlari pergi.

"Siapa budak itu?" tanya Khadijah, kehairanan.

"Mahrnoud Noor, budak yang menerima buah pinggang daripada Atiqah dulu," jelas Dr.
Abdullah, tersenyum lembut. "Ingat Atiqah lagi?"

Atiqah? desis Khadijah dalam hati. Ah, ingatkah dia akan gadis kecil yang bernama Atiqah itu? Ingatkah dia akan gadis kecil yang berupaya memberikan cahaya kehidupan kepada ibunya yang sedang nazak itu? Ingatkah dia akan gadis kecil yang memberikan cahaya kehidupan kepada kanak-kanak lelaki yang menanggung sakit buah pinggang
itu? Ingatkah dia akan gadis kecil yang membawa sekuntum bunga berwarna merah yang diletakkan di dalam botol di atas meja tulisnya? Ingatkah dia lagi?

"Soalan itu tidak melucukan," desisnva, tersendu keharuan.

Dengan terketar-ketar, dia terus memegang kuntum bunga berwarna merah itu. Nafasnya sesak. Dadanyakian sebak. Aneh, bunga berwarna merah itu mengingatkan dia kepada pohon Nunuk Ragang yangg bcrbunga merah; pohon yang boleh dibuat ubat untuk pcibagai jenis penyakit - dari akar hingga ke pucuknya.

Sejurus kemudian, Khadijah meletakkan tangkai bunga itu ke dalam botol berisi air. Dia terus merenung bunga berwarna merah itu, tanpa mem pedulikan Dr. Abdullah yang ternyata ingin sekali mengubat hatinya. Dia terus merenung bunga itu. Aneh, pada bunga yang kembang mekar itu, dia seperti mclihat raut wajah gadis kecil yang bernama Atiqah itu. Wajah itu, seperti sebutir bintang pada tengah malam yang gelap pekat, bercahaya-cahaya dalam suasana yang penuh damai - sedamai sekuntum perdamaian antara dia dengan gadis kecil itu dahulu.

Tiba-tiba, Khadijah merasakan perjuangannya di bumi Teluk ini, sesungguhnya, tidak sia-sia! Dan, alangkah baiknya kuntum perdamaian seperti itu diwujudkan untuk mereka yang gila kuasa itu?

Alangkah!

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.