Janji

Oleh Peter Augustine Goh




SUDAH dua bulan ayah pulang ke Rahmatullah. Pemergian ayah tersayang telah menjadikan ibu seorang yang asing untuk bergelar ibu. Aku tidak boleh lagi membiarkan wanita berusia 52 tahun itu terus dijala semacam keterasingan. Tidak boleh! Ia harus dihentikan. Harus!

Kalau aku tidak melakukan sesuatu samalah aku menzalimi ibu. Samalah aku mendorong dia terperlus lebih jauh ke dalam kancah kemurungan yang maha dahsyat. Memanglah tidak mudah untuk menarik ibu keluar semula dari kancah itu. Kisah lama persis menampal sendu demi sendu yang kian banyak. Kesenduan itu berbaur kepiluan yang hebat hingga ibu bukan lagi ibu yang dahulu, yang ceria dan kaya dengan senyuman manis bunga cengkih. Apakah ini yang menarik perhatian ayah? Yang telah mencuri hati ayah? Sampai ayah jadikan ibu isterinya selama 20 tahun yang lalu? Hingga mereka dikurniakan seorang cahaya mata, iaitu aku ini yang bernama Sakinah?

Ya Allah. Tengoklah ada air jernih menitis dari kelopak mata ibu. Ibu termenung panjang di sofa. Merenung keluar menerusi jendela kaca berlangsir hijau daun memandang langit, seolah-olah ada ayah yang melambai-lambai kepadanya. Seolah-olah di langit mendung 6.00 petang itu mengimbau semula kisah silam itu. Aku dapat merasakan apa yang ibu rasakan.


Kesibukan dan keletihan yang merantai diriku sejak pagi di Akademi Seni Halus Mawar, tidak akan aku izinkan terus membungkus diri dan mengetepikan ibu kali ini. Cukuplah. Aku harus lebih berani menghentikan kekalutan yang menyelimuti urat nadi ibu selama ini.

Aku masih ingat dengan jelas bagaimana aku menegur ibu untuk kembali kepada kenyataan. Ibu masih ada aku, satu-satunya anak perempuan yang amat menyayanginya. Ibu tidak boleh merenggangkan diri antara dia dengan aku. Ibu tidak boleh hidup dalam dunianya sendiri. Berkurung dalam bilik sepanjang masa. Atau duduk di dapur atau di sofa di ruang tamu memikirkan ayah siang dan malam.

“Apakah mak senang bersendirian begini seolah-olah saya tidak wujud?”

Ibu diam.

“Apakah mak tak sayangkan saya lagi?”

Ibu diam terus.

“Kalau mak lapar, mak makanlah makanan yang saya beli tadi.”

Ibu diam lagi. Ini membuat aku pula yang merembaskan air jernih, menitis keluar dari kelopak mataku. Dadaku sebak. Aku rasa tidak terdaya untuk membawa ibu keluar daripada kekalutan itu.

Perlahan-lahan apa yang aku dengar dari mulut ibu, yang itu, itu juga. “Jangan ganggu lagi!”

Ya Allah. Kata-kata itu sebenarnya berupa rayuan berulit rintihan dan aku sendiri terpukul apabila ibu menambah dengan mata yang kuyu dan wajah yang layu, “Ibu tak ada sesiapa kecuali ayahmu.”

Oh, ibu benar-benar kehilangan suami tersayang. Dia benar-benar merindui ayah.

“Tapi ibu masih ada saya!”

Ibu diam. Pada tahap itu, ingin aku membantah dengan menambah ibu hanya mementingkan diri sendiri! Sampai hati ibu. Namun, sebelum sempat aku menghamburkannya, ibu seperti dapat membaca bahasa gerak geriku lalu berkata

bersahaja, “Kau tahu apa? Ayah kau adalah lelaki terbaik yang pernah aku temui dalam hidupku. Dia pernah menyelamatkan aku daripada putus asa dan tanpa dia, aku terumbang-ambing. Bekas tunang ibu yang ibu kasih setengah mati, tinggalkan ibu kerana perempuan lain. Dia tidak bertanggungjawab dan memaksa ibu melakukan sesuatu yang di luar batas. Bertunang tidak semestinya lesen melakukan yang terkutuk.”

Aku terdiam. Kelu lidahku untuk terus berbicara. Dalam tafsiranku. Kalaulah benar kata ibu, lelaki yang bergelar bekas tunang itu tentulah bukan seorang manusia yang layak menerima kasih sayang ibu. Sesungguhnya pula, kalau benar juga kata ibu, lelaki yang bergelar arwah suami ibu tentulah seorang insan yang pandai menghargai cinta ibu yang sejati. Dan pemergian ayah terbukti telah memulangkan harum kasihnya sampai ibu berkeadaan sebegitu rupa.

Kini, aku masih ingat bagaimana pasangan seperti belangkas itu pulang selepas satu majlis cukur rambut anak sahabat ayah suatu petang bulan Disember yang dingin dan basah. Ketika itu aku di rumah menonton televisyen.

Masih jelas aku nampak ayah dan ibu melangkah ke dalam rumah. Ayah tiba-tiba mengadu sakit kepala. Dia terjerit dalam bilik air, lalu tercangkung. Kemudian dia berasa tidak sedap badan dan muntah-muntah. Tubuhnya terasa lemah. Mukanya kebas. Begitu juga lengan dan kaki sebelah kiri. Pertuturan ayah yang biasanya lancar dan jelas seperti telah turut menderhaka kepada dirinya. Pandangannya sudah mula pandai mengibarkan bendera kekaburan. Sudahnya dia hilang imbangan. Yang menyayat hati seterusnya, ayah hilang kesedaran dan ketidaksedaran itu merupakan tiket satu hala ayah ke Rahmatullah.

Ayahhhh!!!

“Saluran darah dalam otak suami puan telah terputus. Pembedahan yang kami lakukan segera tak dapat menyelamatkannya. Maaf.”

Ibu menceritakan kemudian, sebelum dia pengsan (semasa ayah di hantar ke hospital dengan ambulans), mata ayah layu. Bibirnya kering dan telinganya runduk. Sangkaan ibu tepat walaupun dia tidak merelakan, malam itu ayah pergi.

Ya Allah. Angin ahmar yang menyerang ayah telah menjadikan isteri tersayangnya menjadi janda dan aku anak yatim dalam usia yang baru hendak menjangkau 19 tahun.

Perlahan-lahan aku membuka mataku semula. Spontan, seakan-akan menghalau kenangan dua bulan yang lalu di hospital itu. Ibu masih di sofa. Aku menekad. Biarlah lewat petang ini aku berjaya menghalau kemurungan itu. Sekali gus memutuskan rantai kekalutan yang tidak aku relakan.

Aku masih di kamar tidurku. Sejurus kemudian, dengan memegang sebuah lukisan berukuran 21 inci X 18 inci pada bingkai kayu di kiri dan kanan, aku mendatangi ibu di sofa.

“Ibu .…”

Seperti biasa ibu buat acuh tak acuh saja. Dia terus memandang keluar merenung langit mendung. Aku duduk bertentangan ibu.

“Ibu, saya ada sesuatu yang ingin saya katakan. Sesuatu yang pernah arwah ayah pernah menasihati saya,” ucapku satu persatu.

Sebaik sahaja mendengar nama ayah, ibu bagaikan ada semacam dorongan untuk memberikan perhatian kepadaku. Apakah umpan aku sudah mengena?

“Ayahmu? Apa katanya?” Mata ibu yang kuyu dan layu kembali berseri.

“Ibu, semasa ayah masih hidup, dia pernah membacakan sajak yang amat mengilhamkannya. Dia kata, dia mahu terus bersemangat dalam hidup walau ada kesusahan atau bencana yang menimpa dan sekiranya terjadi sesuatu, ayah mahu saya memberitahu ibu,” terangku sedikit panjang.

“Apa kata ayah lagi?”

“Ayah mahu saya hasilkan sesuatu berpandukan sajak kegemarannya itu. Dia mahu saya berjanji melakukannya. Sekalipun tak terjadi apa-apa bencana atau kesusahan, dia mahu saya hasilkannya dan mempamerkan khas untuk ibu!”

Mata ibu tidak terkebil-kebil. Apakah ibu begitu taksub mendengarnya? Sampai dia dibantai kehairanan? Didera kebingungan? Atau sampai begitu terharu dibuatnya? Atau kesemuanya dalam satu?

Aku teruskan, “Ibu, sebelum itu izin saya bacakan sajak bertajuk ‘Seperti Rumput Di Dataran’ dari diari ini.”

“Bacakan!” pinta ibu.

Aku tunaikan dengan membacanya:



“ Seperti rumput di dataran

tanpa sempadan

datang dan pergi setiap musim

api yang terbakar tidak dapat menghapuskannya

ia akan berdiri tegak semula

dalam angin musim bunga.”



“Apakah maksudnya?” pinta ibu.

“Ayah pernah memberikan maknanya. Jelas ayah, kita hendaklah jadi seperti rumput di dataran. Rumput yang tumbuh di dataran boleh memberikan kita satu pedoman hidup yang baik, penuh ketenteraman dan penuh kesabaran,” terangku.

“Lagi?” wajah ibu semakin berseri.

“Setiap tahun ia akan kering dan layu tapi ia akan segera tumbuh subur semula. Api boleh membakar hangus dataran tapi tidak akan melenyapkan rumput. Bila datang musim bunga, rumput akan tumbuh semula,” tambahku.

“Lagi?”

“Rumput menunjukkan semangat tak mudah luntur dalam menghadapi waktu kesusahan dan ayah pernah berpesan, sekiranya terjadi sesuatu yang tak diingini ke atas dirinya, dia juga mahu saya berjanji menjaga ibu, seperti mana dia menjaga ibu dulu. Dia mahu ibu dan saya menjadi seperti rumput di dataran.”

“Ayahmu kata begitu?”

Aku mengangguk. Aku cuba menahan air mata daripada mengalir, tetapi ternyata gagal. Gagal kerana air jernih berjujuh deras dari kelopak mata ibu. Pada tahap itu, aku amat pasti percikan terharu berbunga di mata hati ibu. Bahunya terenjut-enjut. Menahan sebak di dada pastinya.

“Ibu, ini lukisan yang saya hasilkan setelah sekian lama, sesuatu yang dicipta dengan kerelaan hati untuk ibu daripada dorongan ayah. Terimalah, kerana menerimanya samalah seperti menerima kasih ayah pada ibu.”

Lukisan yang masih pekat bau minyak warnanya berpindah tangan. Ibu menatap lukisan minyak itu. Ada rumput-rumput hijau subur di dataran. Sedap mata memandang. Lama ibu menatap sebelum memekapnya ke dadanya. Matanya terpejam. Kemudian mencelikkan semula matanya lalu menatap sekali lagi.

Tiba-tiba air mata yang cepat kering kerana hembusan angin lewat petang menitis lagi perlahan-lahan. Aku pasti ia bagaikan cuba merenjis rumput hijau yang terlukis indah di lukisan kanvas itu. Seolah-olah membentuk wajah arwah ayah, Omar Selamat yang empat tahun lebih tua daripada ibu.

Aku bangun dan duduk di sebelah kiri ibu. Aku mendemah-demah belakang tubuh ibu yang terenjut-enjut bahunya. Sekali gus air jernih dari kelopak mataku turut menitik di permukaan lukisan yang aku hasilkan minggu lepas. Seolah-olah membentuk wajah ibu bersama ayah. Aku bersuara halus mersik, “Ibu, saya pasti kalau ayah masih ada, dia pun mahu ibu menjadi ibu yang dahulu, yang kaya dengan senyuman. Ayah kata senyuman ibu adalah senyuman paling manis yang amat disenanginya. Dan dia berasa bertuah kerana beristerikan ibu.”

Bahu ibu terenjut-enjut lebih hebat.

“Benar, ayah telah memberi ibu kasih. Dan saya pula memberi ibu sayang. Tapi Tuhan memberi ibu nyawa. Nyawa untuk terus bersemangat seperti rumput di dataran yang ayah inginkan sangat selagi hayat di kandung badan. Itu janji saya kepada ayah. Dia mahu ibu begitu jadinya.”

Kepala ibu tersandar ke bahu kananku. Aku dapat merasakan semacam kehangatan berlabuh di jiwaku dan kehangatan kasih ibu bercambah bila ibu memegang bingkai lukisan itu lebih kejap. Seolah-olah dia mendakap ayah erat-erat dan tidak mahu melepaskannya. Juga bagaikan tidak mahu menghampakan harapan suaminya yang begitu hebat dan mulus cintanya.

“Ibu berjanji akan menjadi ibu seperti dahulu seperti mana saya berjanji pada ayah dulu?”

Aku melihat ibu memegang lebih kejap lukisan itu. Terasa kepalanya yang tersandar di bahuku tertekan lebih keras dan tergesel-gesel mesra dua tiga kali di daguku. Dan apabila senyumannya terukir, aku dapat merasakan arwah ayah amat menyenangi senyuman manis itu. Sudah cukup sabagai tanda janji ibu tidak perlu diragukan lagi.

BIODATA

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuklah cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanak-kanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang ( 1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.