Jalan Yang Dipilih

Oleh Farahana Hussain




Tuah Badan
SETIAP manusia ada bahagian masing-masing dalam soal kehidupan seperti yang telah direncana Tuhan. Namun, manusia diberi kudrat untuk memilih dan merubah segala ketetapan dengan doa dan usaha. Ini hanya cebisan cerita, cerita kasih sayang dan cinta serta jalan-jalan luka pilihan manusia. Luka boleh sahaja, sama ada luka dalaman mahupun luka luaran, kesannya tetap sama sakit hingga boleh membuat derita sukar diterjemah menjadi kata-kata. Mata yang melihat, akal menerima isyarat, deria merasa tiap-tiap bahagian derita yang kadang-kadang pilihan manusia.

“Ma, Syahmi tak sengaja. Tak sengaja. Ampun Ma, ampun. Ampun.”

“Bawa mengucap, nak. Mengucap. Ingat, Tuhan nak. Ingat Allah.” Pak Haji Malik mengurut belakang badan Syahmi dan cuba menenangkan.


Jiran-jiran mengintai-intai dari luar pagar rumah dua tingkat lot tepi milik Sarjan Sazali dan isterinya, Naimah. Bunyi siren ambulans yang membawa Naimah yang cedera parah dengan dua das tembakan mengenai lengan kanan dan pinggang telah berlalu pergi dan masih bersaing dengan kekecohan yang dicetus suara ramai orang yang ada di situ. Anggota polis beruniform dengan Pegawai Penyiasat berpakaian biasa sudah tiba di tempat kejadian. Orang ramai sudah mula bersurai perlahan-lahan atas arahan polis. Syahmi, masih berlutut dengan pistol jenis Glock di tangan. Pak Haji Malik, berusaha memujuk Syahmi menyerah diri. Inspektor Dhani, memberi isyarat dengan menundukkan kepala dan mata meminta Pak Haji Malik berundur dan pihak polis ingin menjalankan tugasannya. Pak Haji Malik, mengangguk.

“Syahmi, Pak Haji beransur dulu. Bawa bertenang nak, ingat Allah.”

Allah! Allah ! Allah! Itu yang terngiang di gegendang telinga Syahmi. Dia tidak mendengar pujukan yang sebenarnya satu kenyataan beramaran yang disuarakan Inspektor Dhani supaya meletakkan senjata dan menyerahkan diri, dia hanya terdengar erangan sakit ibunya selepas dua das tembakan itu tersasar mengenai ibunya sedangkan sasar amarahnya adalah dirinya sendiri. Dia menangis, esakan makin kuat. Dari posisi berlutut, dia melepaskan pistol Glock. Inspektor Dhani, mengutip pistol itu dengan cermat, tangannya kemas bersarung tangan getah. Pistol jenis Glock G21, peluru berkaliber .45 auto dimasukkan ke dalam plastik berlabel untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian balistik dan ujian cap jari. Inspektor Dhani mengalih pandangan kepada anak buahnya, yang segera faham. Dua orang anggota beruniform menggari tangan kanak-kanak berusia 10 tahun itu dan membawanya pergi untuk tujuan siasatan. Menurut saksi dan bukti sedia ada, hanya Syahmi merupakan suspek kepada kejadian ini.

Farahana Hussain

“Cik, kita nak bawa budak ni ke mana ye? Boleh ke kanak-kanak seusia dia ni, kita sumbat dalam lokap?,” tanya Konstabel lelaki yang membawa Syahmi ke dalam van. Anggota polis yang berpangkat Sarjan itu sebaliknya membalas kembali dengan pertanyaan.

“Hah? Apa hal pula tak boleh? Takkan kita nak sumbat dekat stor senjata pula?”

“Entahlah, Cik. Saya rasa patutnya tak bolehkan? Sebab umur dia, baru 10.” Konstabel bertanda nama Fathilah Bukhari mengerjip mata, antara pasti yakin dan tidak.

“Ish, ye ke?” Sarjan Masduki memikirkan kata-kata konstabel muda yang pada perkiraannya ada kebenarannya. Panggilan hormat Cik, digunakan oleh Konstabel muda itu bagi menghormati pangkatnya sebagai Sarjan; yang lebih tinggi daripada Konstabel maka secara tidak langsung dia harus memikul beban pertanyaan anggota bawahannya dengan lebih rinci dan mendalam. Dia bertanggungjawab menangani pertanyaan yang berbangkit daripada persoalan itu. Kedua-dua mereka masih termanggu dalam enigma. Hendak dijalankan prosedur bagaimanakah bagi menangani Syahmi, yang baru berusia 10 tahun ini ? Syahmi, masih kanak-kanak, bapanya Sarjan Sazali terlantar koma kerana serangan jantung, nasib ibunya pula ; Naimah masih samar. Sarjan Sazali masih terlantar koma, gara-gara serangan jantung. Sudah hampir 2 minggu di wad. Naimah, isterinya pula hanya sebatang kara, dimaklumkan juga Sarjan Sazali merupakan anak tunggal dan kedua ibu bapanya sudah tiada. Sarjan Layla yang menguruskan kebajikan anggota polis dan keluarga polis menjadi sedikit buntu. Hendak menghubungi dan memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat nampaknya tidak ada, jadi dia mengurusi kedua-dua mereka sendirian.

Pendedahan
“Abang rasa, dah sampai masanya kita beritahu pada dia.” Sarjan Sazali melepaskan keluhan berat.

“Mah, tak sedia lagi. Mah takut nanti Syahmi kecil hati.”

“Abang rasa dah sampai masanya, kalau boleh sebelum abang berangkat ke Makkah ni. Abang nak dia belajar bertanggungjawab dan tahu asal usul dia, takut-takut abang jadi tetamu selama-lamanya di sana.” Nada tegas mula terkesan dalam percakapan Sarjan Sazali.

“Awak pun tahu, kelmarin abang jumpa dia di kompleks beli-belah ponteng sekolah. Dua hari sebelum tu, abang jumpa majalah dan vcd lucah dalam biliknya. Abang, rasa dah sampai masanya, kita beri dia pilihan. Sama ada nak ikut aturan kita atau kita hantar sahaja dia ke tempat yang sesuai. Akhlak dia dah rosak.” Sarjan Sazali menghela nafas sebelum menyambung,

“Abang hendak dia menghargai kita, Mah. Walaupun dia anak angkat, abang bagi dia segala-galanya. Abang sudah cuba melentur dia dari usia rebung dengan nilai-nilai murni. Sudah abang ajarkan ilmu agama. Abang ni ahli masjid, Mah. Polis pula tu. Apa kata orang kalau anak sendiri tak terdidik? Bukan abang tak bagi peluang, kalau dibiarkan memang rosak budak tu Mah. Kita kena lakukan sesuatu.”

Kata-kata panjang berjela dan hujah suaminya melembutkan hati Naimah.

“Mah, ikut saja rancangan abang. Tapi, abang jangan berkeras dengan dia.”

Sarjan Sazali mengangguk. Dia memegang ubun isterinya.

“Tahun ni bukannya Aidiladha pertama Mah sendirian kan? Mah pun dah biasakan, abang bertugas sewaktu perayaan? Tapi kali ni besar lah pengorbanan Mah. Abang pergi sebentar cuma, jadi tetamu Allah. Anggaplah, ini korban Mah untuk aidil adha kali ni. Abang, janji ada rezeki selepas abang pencen kita ke Mekkah sama-sama ye, Mah? ”

Naimah memandang suaminya dengan penuh kasih sayang.

“Bila abang hendak berbincang dengan Syahmi?,” Naimah menanti jawapan suaminya penuh debaran.

“Lepas Isyak, Mah tunggu abang balik dari masjid. Tahan dia daripada keluar malam. Malam ni kita berbincang.” Sarjan Sazali senyum tawar.

Dengan usia rebung semuda 10 tahun, Sarjan Sazali merasa hampa melihat perubahan mendadak Syahmi. Sudah diberikan kasih sayang dan didikan agama yang sempurna, namun masih begitulah kelakuan Syahmi. Jatuh sudah maruahnya sebagai ahli masjid kerana punyai anak sebegitu. Tercalar sudah pakaian seragam birunya dengan calit tiga di lengan sebagai anggota polis berpangkat sarjan gara-gara kelakuan anaknya. Setelah dia mengadu pada seorang rakannya yang berpengetahuan agama mendalam, dia mengambil keputusan berat. Untuk menghantar Syahmi ke sekolah tahfiz atau mana-mana pusat pemulihan akhlak swasta yang dicadangkan. Sungguhpun Syahmi bukan zuriat yang daripada benihnya dan tidak dicambah biak dalam rahim isteri tercinta, namun kasih sayang pada anak itu tidak sirna. Dia menangis memikirkan mungkinkah kerana asalnya Syahmi daripada benih tidak baik mengakibatkan peri lakunya sebegitu. Akalnya sudah habis diperah. Apa sahaja yang tidak dilakukan Syahmi, ponteng sekolah, menghisap rokok. Paling buruk tentulah apabila dia melihat Syahmi sedang menonton VCD lucah di kamar, dalam keadaan berbogel. Ada juga kariah masjid menyampaikan cerita sumbang, Syahmi meraba di sekolah dan juga mengintai di tandas guru perempuan. Sarjan Sazali mengurut dada, tatkala semua itu datang satu persatu menimpanya. 10 tahun baru usianya, namun barangkali Syahmi mewarisi genetik bapa biologinya yang khabarnya seorang Arab. Tubuh dan perwatakan Syahmi jauh lebih matang daripada usia. Alis mata lentik dengan dagu berbelah dan hidung mancung terletak bak seludang. Ibu biologi Syahmi pula, seorang wanita Indonesia kacukan cina yang dirogol oleh bapa biologinya. Kepala Sarjan Sazali berdenyut kuat tiba-tiba. Wajah mulus kacak, anak angkat kesayangannya berganti - ganti dengan wajah isteri tercinta. Kedua-duanya dia sayangi, tidak mahu satu pun daripada mereka terguris luka, dek ketegasan atau pilihan nekadnya kelak. Syahmi mesti diberi kata dua. Berubah menjadi anak berdisiplin dan mengikut aturan tetapan bapanya atau dihantar ke sekolah tahfiz mahupun pusat pemulihan akhlak swasta. Sarjan Sazali berdoa lama di masjid mencari kekuatan menyusun kata-kata yang bakal diluahkan sebentar lagi.

“Syahmi, jangan keluar nak. Tunggu abah balik sekejap lagi, katanya ada hal nak dibincangkan dengan Syahmi.” Naimah memujuk, tatkala Syahmi sedang menguak daun pintu.

“Apa sahaja la, abah tu Ma? Hari tu tak cukup ke dah malukan Syah dekat sekolah?” Syahmi masih teringat betapa berdengung telinganya gara-gara tamparan Sarjan Sazali di sekolah dahulu. Sewaktu Guru Besar memanggil untuk berbincang, gara-gara Syahmi meninggikan suara pada Guru Besar pipinya dilayangkan tamparan maha kuat. Syahmi menyimpan sisa bara dendam. Hari ini, kalau bapanya mahu menyalakan bara dendam itu menjadi api amarah dia sudah bersedia.

“Siapa yang memalukan siapa?” Sarjan Sazali tercegat di muka pintu.

Syahmi mencemik muka. Naimah tahu situasi kian tegang.

“Abah ingat, abah bagus sangat? Kerja jadi polis hari-hari makan rasuah? Agaknya duit haram, abah yang jadikan Syahmi macam ni.” Syahmi tersengih mengejek.

“Kalau dasar anak haram, ini la natijahnya. Abah dan Ma, kutip kamu nak. Kutip kamu, daripada benih haram. Kami tak percaya cakap orang kalau anak haram tu akan menyusahkan hidup kami. Kami terima kau, nak. Sebagai kain putih. Sudah abah corakkan dengan lukisan paling indah. Sudah Ma, warnakan dengan kasih sayang. Ini balasan kau?” Sarjan Sazali memegang dada, nafasnya turun naik beritma tidak teratur sudah.

“Kalau dah dasar tua nyanyuk, meludah ke langit. Kalau salah Ma dengan abah berzina sampai aku jadi anak haram kenapa aku pula yang disalahkan?” Syahmi menjerit-jerit.

“Syahmi, sudah nak. Sudah. Kau salah faham, kau anak angkat Ma dengan Abah, nak. Bukannya, anak...” Naimah tidak tahu bagaimana hendak menerangkan lagi.

“Dasar mandul. Nak tuding jari pada aku pula. Sekarang kamu berdua nak buat apa? Hantar aku ke sekolah jahat?” Syahmi menjerkah. Naimah mengurut dada Sarjan Szali dan meminta Syahmi mencarikan bekas ubat bapanya. Syahmi berlagak pekak badak dan berlalu pergi. Berlinangan air mata Naimah, meninggalkan suaminya sebentar daripada pangkuan. Mencari bekas ubat dan menelefon ambulans. Naimah melihat persiapan haji suaminya, nampaknya kesihatan suaminya benar-benar terganggu. Naimah khuatir amat kalau hasrat suaminya hendak ke Makkah sebagai jemputan Allah tahun ini tidak tercapai. Naimah hanya mampu berdoa. Naimah pulang ke rumah, melihat kelibat Syahmi mengemas beg pakaian.

“Syahmi, abah koma nak.” Naimah masih memujuk dan memohon anak itu disinari cahaya hidayah. “Ingat dah mampus, bagus la tak mampus lagi. Tak jadi la dia hantar aku ke sekolah jahat?” Syahmi meneruskan urusannya, dia mengumbah pakaian di atas katil.

“Syaitan kau. Abah dan Ma, tak pernah berniat nak buang kau. Kami malah nak menghantar kau ke sekolah tahfiz atau pusat pemulihan swasta. Abah sampai menghibah hartanya atas nama kau sebab takut dia mati di Makkah dan kau tak berhak mendapat faraid. Abah buat semua yang terbaik, tapi ini balasan kau? Ini? ” Naimah terjelepok di lantai, menangis kesal. Sirna ihsan dan sayang pada anak angkatnya itu. Syahmi terkesima. Dia silap perhitungan. Dia menyangka bapanya akan membuangnya. Dia menyesal. Menyesal yang terlambat. Akalnya pendek, sependek usianya. Dia berlari, laju menuju ke bilik bapanya. Mencari-mencari. Dia ke dapur. Masuk ke bilik solat dia menjumpai pistol jenis Glock 21 dalam rak simpanan sejadah, sedikit tersorok. Diacukannya pada tepi kepala belah kanannya, sendiri. Dia menarik picu. Dia menarik nafas. Pemegang pistol jenis Glock 21 yng diperbuat daripada polimer itu erat dalam genggaman. Naimah menjerit. Memujuk. Melarang. Merayu. Syahmi keliru.

“Ma, ke tepi Ma. Jangan halang aku,” Syahmi masih mengacukan pistol ke kepalanya sendiri.

“Jangan nak, jangan. Abah dan Ma, sayangkan kau. Kita sama-sama perbaiki nak, keluarga kita ni.” Naimah nekad hendak merampas sahaja pistol itu. Syahmi terkejut, satu das dilepaskan secara tidak sengaja mengenai pinggang Naimah. Naimah mengerang sakit, Syahmi terkesima das kedua terlepas mengenai lengan. Darah merah membuak-buak.

“Ma, Syahmi tak sengaja. Tak sengaja. Ampun Ma, ampun. Ampun.”

Itula ayat yang terkeluar dari bibir Syahmi sampailah jiran-jiran dan pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

Merdeka
Muka depan akhbar Berita Hari-Hari memaparkan;

Hadiah Aidiladha, kanak-kanak bebas tuduhan membunuh - Bangi. Bernasib baik kerana tatkala dia melakukan jenayah usianya baru 9 tahun 11 bulan 15 hari sementelah ulang tahun ke-10 adalah pada Hari Raya Korban membolehkan kanak-kanak itu bebas daripada tuduhan membunuh s.302 di bawah dalihan kanak-kanak s.82 yang memberi imuniti daripada dia dikenakan hukuman mati.

Biodata penulis:
FARAHANA Hussain, pelajar Tahun 4, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Perak 2004 dan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2002 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah menyertai Perkampungan Penulis Muda, Peringkat Kebangsaan di Gunung Ledang 2002. Cerpennya, Kidung Kasih Farah diterbitkan dalam Antologi Aku Dan Aleeya terbitan DBP 2002. Sajaknya, Aku Anak Polis, dimuatkan dalam Antologi Kepolisian terbitan PDRM. Cerpen dan sajaknya kerap mendapat tempat dalam Tunas Cipta dan Fokus SPM mulai 2002. Lirik ciptaannya dipilih antara 200 lirik terbaik pada Pertandingan Erti Merdeka anjuran Telekom.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.