Istishhadiyah

Oleh Ahkarim




NURFAH mati seperti dijadualkan, sungguhpun terlewat hampir lima belas minit. Mayatnya tidak dikembalikan kepada ibunya Farhah. Farhah pun tidak mengharap akan mendapat kembali mayat anak sulungnya.

Penduduk sekitar Kampung Termin sudah menyediakan sebuah keranda kosong, sebaik mendapat berita yang mengesahkan bahawa anak gadis Kampung Termin sudah mati. Gambar Nurfah sebesar 8 x 12 inci telah dicetak sebanyak 20 keping dan dilekatkan di papan sepanduk.

Besok seluruh warga Kampung Termin akan keluar berarak. Keranda kosong akan diselimut dengan bendera hijau. Keranda akan diusung oleh enam pemuda berbadan sasa. Sepanduk yang memuatkan gambar Nurfah dan beratus lagi sepanduk lain akan dijulang oleh pemuda dan pemudi Barisan Jihad.


Tepat jam 10 pagi besok, perarakan akan sampai ke Jalan Raufah. Di persimpangan Raufah dan Jalan Arafat, perarakan akan menjadi seribu lebih peserta. Ketua Panitia Perarakan Pengebumian Jihad akan mengambil alih pimpinan perarakan daripada pemimpin Termin apabila perarakan sampai ke penghujung Jalan Arafat. Sampai di situ jumlah peserta dianggarkan seramai tiga ribu.

Medan Rafah yang luasnya lebih kurang satu setengah padang bola sepak adalah destinasi yang dituju. Di situ wakil Pimpinan Jihad Hammas akan sedia menunggu ketibaan perarakan. Lebih kurang dua belas ribu peserta akan berkumpul di Medan Rafah.

Medan Raffah tiada sebarang pentas atau tempat khas untuk para pemimpin membuat ucapan. Dua tiga buah jip akan disediakan untuk tujuan itu. Para pejuang yang menutup muka mereka dengan Kiffiah Arafat seramai dua tiga ratus orang akan mengelilingi kawasan itu, sambil memegang rifle atau senapang automatik buatan Russia.

Apabila pimpinan tertinggi berucap dari atas jip, semua peserta akan mengurangkan pekikan ‘AllahuAkbar!’. Dari mula perarakan lagi para peserta sudah melaungkan kata-kata jihad dan berani mati untuk tanah air tercinta. Dentuman bunyi senapang yang akan ditembak ke langit oleh para pejuang menjadikan suasana perang dan kelam kabut di Medan Raffah. Namun nyanyian lagu semangat yang berselang seli dengan nama `Nurfah Wa Jihad, Jihad ul Jannah, Jannah tul Islam ...’ akan dinyanyikan serentak.

Sejam atau dua adalah masa yang diambil bagi menyudahkan perarakan, tergantung kepada berapa orang yang mati. Tetapi besok hanya Nurfah.

Farhah pasti akan menangis sehingga tidak terkawal. Pimpinan tertinggi Pasukan Jihad, yang akan berucap berapi-api lebih kurang lima belas minit sehingga serak suaranya ,bakal mengisytiharkan perarakan tamat. Penamat perarakan bagi mengenangkan syahidnya Nurfah ialah apabila kain bendera hijau penutup keranda dilipat dan diserahkan kepada Farhah sambil dahinya dikucup oleh pemimpin tertinggi Pasukan Jihad. Farhah akan dipimpin keluar oleh Pejuang dan dihantar kembali ke Kampung Termin dengan menaiki jip khas yang disediakan. Di dalam jip, satu sampul surat besar berisi USD 3000 akan diserahkan kepadanya oleh wakil Pimpinan Jihad.

II

Nurfah mendakap erat Farhah. Farhah yang berumur 35 tahun, berbadan tegap dan sedikit berisi, tidak mahu melepaskan dakapan balasnya. Dia mencium seluruh muka Nurfah. Sekali-sekala dia merenggangkan badannya daripada anak gadisnya itu untuk memegang dan memicit-micit bahu dan tangan anaknya itu. Farhah mahu merasa seluruh tubuh anak daranya itu buat kali terakhir.

Anak gadis berusia 19 tahun itu menahan sedu tangisannya agar tidak begitu ketara. Dia mahu kesedihan itu tidak menggugat semangatnya. Juga semangat ibunya. Dia mahu sedu-sedan itu semata-mata paparan kasih sayang ibu dan anak yang akan berpisah buat selamanya. Dia juga tahu sedu-sedan, esakan ibunya adalah tusukan perasaan yang tidak dapat dibendung. Malah dia tahu Farhah, ibunya, mempunyai semangat waja yang kental yang dikaguminya sejak dia mengenal erti hidup insan yang maruahnya dirobek, dicarik-carik.

Dari bilik tidur apartmen usang itu Nurfah menyongsong ibunya ke ruang tamu. Farhah masih belum mahu melepas dakapan erat badan anaknya itu. Dibiarkan Nurfah menarik menyongsong dua badan yang menjadi satu ke ruang tamu. Di ruang tamu, enam orang adik Nurfah duduk murung. Hatim, Nishah, Umair, Nasim, mula menangis apabila melihat kakak dan ibu mereka keluar dalam keadaan berpelukan. Ikhsan dan Aimna masih terlalu kecil untuk memahami apa yang sedang berlaku.

Hatim, Nishah, Umair dan Nasim, baru saja diberitahu yang kakak mereka akan pergi. Itupun mereka masih samar tentang kesudahan pemergian Nurfah. Mereka tahu Nurfah akan meninggalkan mereka dan mungkin selama-lamanya. Namun di mana, bagaimana, bila, dengan siapa dan apa yang akan terjadi atau yang akan dibuat oleh kakak mereka itu, mereka tidak pasti. Hatim rasa dia tahu. Dan sesungguhnya telahan di dalam benaknya itu adalah tepat.

Nishah menolak pinggan makanannya yang baru dua suap dijamahnya dan terus menerpa ke bilik tidur. Dia mencari kakaknya. Apartmen yang tidak sebesar mana itu diselongkarnya. Namun, Nurfah tidak kelihatan.

“Dia ke masjid. Dia akan balik selepas sembahyang Asar dan akan bertolak sebelum Maghrib.” Sebaik habis ayat itu dilafazkan oleh Farhah, Nishah menerpa keluar berlari menuju ke arah masjid yang terletak kira-kira tiga suku kilometer dari apartmen mereka.

Hatim terus makan dengan perlahan sambil menundukkan kepalanya. Sebagai remaja lelaki yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu sejak dia dilahirkan, dia amat faham. Umair, adik Nurfah yang ketiga selepas Hatim dan Nishah, yang berusia 14 tahun merenung wajah ibunya dengan penuh kemusykilan. “Ke mana kakak akan pergi, Ummi?” Umair yang pada mulanya tidak jelas duduk perkara sebenar cuba mendapat penjelasan selepas melihat kakaknya Nishah meluru keluar rumah. Namun, jawapan kepada soalannya itu terjawab apabila ibunya tidak menjawab dan terus memandang kosong ke dinding.

Nasim yang berumur 13 belas tahun itu merasa dia faham, tetapi mendiamkan diri. Dua lagi adik mereka yang berumur tiga dan dua tahun, tidak faham selebih daripada apa yang diberitahu oleh ibu mereka. Tetapi paparan wajah duka sudah mengenali mereka sejak mereka mengenal dunia. Raung tangis sedih sudah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Selepas Asar tadi, Nurfah kembali bersama-sama Nishah yang memegang erat pinggangnya. Selepas Nurfah masuk, adik-adiknya yang lain sekadar melihat Nurfah dengan wajah yang gundah. Nurfah terus ke bilik untuk bersendirian dengan ibunya. Nishah gelisah. Dipunggah beg sekolahnya. Buku-buku sekolahnya dipegang satu demi satu, sekadar cuba menenangkan fikirannya. Namun dia gagal sehingga Nurfah dan ibunya keluar dari bilik sambil menangis teresak-esak.

Suasana di ruang tamu, kalaupun boleh dipanggil ruang tamu dalam apartmen itu, kini menjadi bilik ratapan. Lapan beranak berpelukan. Nurfah membiarkan badannya dipeluk rangkul oleh ibu dan adik-adiknya.

Ketukan lembut disertai salam di pintu apartmen menghentikan raungan lapan beranak itu. Dengan perlahan Nurfah meloloskan dirinya. Dia bangun sambil meraih dukung kedua-dua adiknya yang kecil. Diciumnya pipi mereka bertalu-talu hingga kelihatan kemerahan berbekas.

Farhah bangun longlai, menjawab salam dan menuju ke arah pintu, tetapi Hatim mendahului ibunya dan membuka pintu. Dua wanita berpakaian jubah serba hitam terpacak di hadapan pintu. Menunggu.

Nurfah mengambil beg yang siap di belakang pintu. Nishah tunduk melutut menangis hingga terhinggut-hinggut badannya. Nurfah, yang sudah kering air matanya, meletakkan semula begnya itu dan kembali merangkul badan Nishah. Nishah meraung dalam pelukan kakaknya. Dia hanya dapat berkata, dalam sedu yang menerpa semula, “Sabar dik, kita bertemu di syurga”. Mendengar itu, raungan Nishah menjadi lebih kuat. Farhah yang tercegat di ambang pintu, segera mendapatkan Nishah. Dia memeluk anaknya itu dan mengangkat anaknya itu supaya berdiri. Farhah menyongsong kedua-dua anak daranya ke muka pintu.

Hatim dan Umair sudah berada di luar, di belakang dua wanita yang menunggu tanpa sebarang suara. Setelah reda tangisan Nishah, Nurfah sekali lagi memeluk dan mencium ibunya Farhah, tetapi sekejap dan melepaskannya semula. Di luar pintu, Nurfah memeluk Hatim dan Umair sambil berbisik, “Jaga Ibu dan adik-adik baik-baik”. Mereka mengangguk-angguk dengan genangan air mata dan sendu yang tertahan-tahan.

“Kakak, ambil ini,” Hatim menghulurkan sekeping gambar kepada kakaknya. Nurfah mengambil gambar itu lalu diciumnya dan dimasukkan ke dalam poket sisi begnya.

Nurfah langkah pergi dengan diiringi rapat oleh dua wanita berjubah hitam. Dia melambai dalam samar cahaya senja yang semakin pudar. Tujuh pasang tangan melambai balas sehingga bayang hilang daripada pandangan. Nishah tersepuk pengsan di hadapan pintu.

III

Gambar Wafa Idris di mana-mana.

Salinan dari majalah, keratan akhbar dan cetakan sebaran tertampal di dinding, di kulit buku, di beg dan merata-rata. Yang paling digemari oleh Nurfah ialah wajah Wafa yang dilukis tangan oleh pelukis jalanan yang dibelinya semasa berjalan-jalan selepas kuliah di Rafah.

Istishhadiyah. Label besar yang tertulis di dinding bilik apartmen Nurfah diwarnai terang dengan pena marker. Huruf alif, huruf pertama perkataan Istishhadiyah itu diwarnai merah dengan alir titisan darah. Huruf Ha`mabtutah, huruf terakhir perkataan itu disimpul menjadi sekuntum mawar berwarna merah jambu. Di bawah label itu terlekat gambar Wafa Idris yang dilukis oleh pelukis jalanan yang amat digemari Nurfah.

Sekeping keratan akhbar dilekatkan pula di bawah gambar Wafa yang tertulis: Januari 2002, Jalan Jaffa, Jerusalem. Gadis Palestin pertama syahid sebagai Istishhadiyah … peletup berani mati wanita. Semoga Allah menerima pengorbanannya.

Sekeping kertas bertulis tangan terlekat di sudut kanan dinding:

Wafa Mawar Syurga



Wafa

Wajahmu seiras Mariam

Yang menunggumu di serambi Jannah

Memimpinmu ke alam baqa

Menemui Allah yang Maha Esa



Nurfah Rashd Baghouti



Di sudut kiri dinding bilik Nurfah yang padat dengan pelbagai pelekat itu tertera pula sehelai kertas bercetak komputer yang ditulis dalam Bahasa Inggeris:

The Army of Roses



Wafa Idris

Reem Raisyshi

Loula Abbou

Ayat al-Akhras

“Nurfah Rashd Baghouti ???”



Di bawah tulisan itu tertulis pula dalam warna merah: “Sheikh Ahmad Yassin - Spiritual Leader of Hammas, Comes Out In Defense Of Istishhadiyah, Women Suicide Bomber, He Says, “There Ia a Worlf of a Difference Between Suicide And Martyrdom, Same Act But Different Intent.”

Di sisi katil, di atas sebuah meja kecil, terletak sekeping gambar berbingkai warna perak. Wajah seorang lelaki muda yang kacak bermisai. Di bahagian bawah gambar tertulis: `Rashd Baghouti, syahid Ramadan 2000’. Setiap malam sebelum tidur, Nurfah pasti mencium gambar ayahnya itu dan membisik sesuatu, yang hanya dia yang tahu.

Sungguhpun Nurfah berkongsi bilik dengan ibu serta adiknya Nishah, namun dua dinding bilik itu menjadi miliknya. Ibunya dan Nishah amat faham dengan gelagat Nurfah. Mereka membiarkan saja dia dengan ‘hobiny’ itu. Setiap kali dia berada dalam bilik itu, pasti dia akan menatap semua paparan di segenap dinding. Sekali Nishah pernah menanyakannya mengapa dia meletakkan namanya di senarai ‘Army of Roses’. Nurfah hanya senyum sambil menumbuk tangannya ke langit. Namun Nishah sudah terasa gerun memikirkan kalau ia menjadi kenyataan.

IV

Farhah sudah tidak menangis lagi. Dia mahu terus menangis, tetapi takungan air matanya sudah kemarau kontang. Selepas mendapat berita melalui TV tentang syahidnya seorang pejuang wanita yang meletupkan dirinya di sebuah pasar raya di bandar Tel Aviv yang turut mengorbankan lapan orang Yahudi, Farhah sudah tidak boleh menangis lagi. Tadi selepas dia dihantar pulang dengan sebuah jip berbekalkan USD 3000, dia bersama tujuh orang anaknya telah segera ke tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid Kampung Termin.

Hatim membaca doa di sisi pusara ayah mereka sambil diaminkan oleh ibu dan adik-adiknya. Nishah tiba-tiba meraung apabila Hatim menyebut nama ayahnya Rashd Baghouti dan kakaknya Nurfah. Hatim bukan sekadar meratap doa ke atas roh ayah dan kakaknya, malah mengungkap kata semangat menegaskan sudah terbela kematian ayah mereka. Dia menambah: “wahai ayah kami as-syahid Rashd Baghouti, wahai kakak as-syahidah Nurfah, kami bersumpah di atas pusara syuhada, demi Allah kematian kamu tidak kami persiakan. Kami tidak akan membiarkan ibu, adik-adik kami dan bumi ini terus dijajah. Kami akan pertahankan dengan nyawa kami seperti yang kamu berdua telah lakukan.”

Setiba di rumah tujuh beranak keluarga Baghouti disambut oleh jiran-jiran mereka yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak yang tidak turut serta dalam perarakan tadi. Mereka memeluk Farhah dan anak-anaknya sambil menangis hiba. Di ruang tamu telah tersedia makanan yang dihidangkan oleh jiran-jiran mereka. Beberapa orang jiran terus masuk ke ruang tamu dan makan bersama juadah yang sedia terhidang.

Nishah terus masuk ke bilik. Tidak beberapa minit kemudian dia keluar semula dan memanggil Hatim, Umair dan Nasim masuk ke bilik. Dia menunjukan kepada mereka pelekat di dinding yang bertajuk The Army Of Roses. Di bawah nama “Nurfah Rashd Baghouti ???” baru tertulis pula “Nishah Rashd Baghouti ???” Terbeliak mata dua beradik itu. Mereka saling berpandangan tanpa sebarang kata.

Nishah menunjukkan pula sekeping kertas kosong yang baru dilekatkannya di dinding. Dia menghulurkan pena marker kepada Hatim. Tanpa sebarang soal Hatim terus mengambil dan menulis di kertas kosong itu dan kemudian menghulur pula pena itu kepada Umair. Umair dan Nasim turut membuat perkara yang sama.

Farhah menolak perlahan-lahan membuka pintu bilik. Dia agak musykil kerana empat orang anaknya tiada di ruang tamu bersama jiran mereka. Sebaik melangkah masuk dia amat terkejut lalu menutup mulutnya. Penglihatannya berbalam lantas berkaca merenung tulisan di dinding:

The Army of Rashd Baghouti's Sons

1. Hatim

2. Umair

3. Nasim



Biodata

AHKARIM, nama pena bagi Abdul Halim Karim yang pernah memenangi Sayembara Cerpen Cinta anjuran Majalah Jelita. Beliau turut memenangi Anugerah Cerpenis Alam Siber 2006 dan 2007 anjuran DBP dan esastera.com. Pemegang Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Organisasi (Sheffield) ini adalah bekas pegawai kanan kerajaan dengan jawatan terakhir Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Beliau kini dalam proses menerbitkan novel pertamanya, Diari Lusuh Seorang PTD

Jalan Yang Dipilih


Oleh Farahana Hussain

Pasport

Oleh Fudzail

Menjunjung kasih di pelangi Multazam

Oleh Ina Marjana Ulfah

Potret di dinding biru

Oleh DilFroz Sayhals

Ada wajah Hijrah

Oleh Ilham Hamdani

Abang Anak Mama

Oleh Mazemie Maz




“Mama ...! Abang kena tangkap!” jerit Shamin dalam nada suara termengah-mengah mendapatkan Puan Martina.

“Hah ..., apa? Abang kena tangkap?” Terbeliak biji mata Puan Martina. Mulutnya terlopong seketika.

“Abang kena tangkap polis ...!” ulang Shamin.


“Kena tangkap polis? Kenapa?”

“Kata Abang Yong, Abang hisap dadah?”

“Abang kamu hisap dadah?” nada suara Puan Martina menggeletar. Semakin terkejut.

Shamin angguk.

Muka Puan Martina semakin berubah. Tergambar riak kesedihan. “Sejak bila pula abang kamu tu hisap dadah?”

Shamin menggelengkan kepala. Matanya buntang memandang wajah sayu Puan Martina.

“Apa mama nak buat ni?” Puan Martina makin keliru.

Shamin tidak menjawab. Masih berdiri di depan Puan Martina.

“Papa kamu mana? Tak balik lagi ke?”

Shamin hanya mengangguk. Mengahnya sudah mula berkurangan. “Belum,” jawabnya ringkas.

“Aduh …, kenapa semua ni? Kenapa? Apa dosa mama?” Puan Martina seakan mendesah.

Shamin masih setia berdiri di situ.

“Abang kamu macam mana?” Puan Martina seakan sebak. Sedih dan pilu mula terbuku di dadanya.

“Abang Yong kata? Abang ada dalam penjara.”



2

“Dalam penjara?” seakan bergegar jantung Puan Martina. Dalam sejarah kehidupannya, belum pernah ada keturunan keluarganya yang dimasukkan ke dalam penjara disebabkan kesalahan undang-undang jenayah atau sivil.

“Papa kamu mana ni? Ya Allah … kenapa semua ni?”

Shamin meredupkan sedikit kedua-dua kelopak matanya. Namun pandangannya masih terarah kepada Puan Martina.

“Yong mana?”

“Abang Yong ada di rumah dia.”

“Bila Abang Yong beritahu kamu semua ni?”

Dahi Shamin berkerut. “Apa mama ni? Tentulah Shamin baru dapat tahu mengenai perkara tu. Sebab itulah Shamin terus berlari balik ke rumah beritahu mama. Mama tak nampak Shamin termengah-mengah tadi?” bisik hati kecil Shamin.

“Kamu dengar tak. Mama tanya ni? Bila Abang Yong beritahu kamu yang dia kena tangkap polis?

“Baru … baru sekejap, ma.”

Puan Martina seakan serba tak kena. Ternyata akalnya semakin keliru. Rasa malu tiba-tiba tersinggah di atas pundaknya. Malu kepada keluarga. Malu kepada jiran-jiran. Malah dia juga akan berasa malu kepada rakan-rakan sekerjanya.

“Memang betul Shafiq kena tangkap, mak cik.” Kata Abang Yong yang pernah menjadi rakan sekolah Abang.

“Jadi, kamu tahulah semuanya?”

“Tahu apanya, mak cik?”

“Tahu yang Shafiq pernah hisap dadah?”

“Eh, itu saya tak pasti, mak cik ...!

“Tak pasti?” Puan Martina mengerutkan dahi mendengar jawapan Abang Yong. “Kan kamu kawan rapat dia.”



3

“Tapi saya tak pernah nampak pula dia hisap dadah.”

Puan Martina menarik nafas. “Kamu beritahu mak cik percaya yang benar, Yong. Mak cik langsung tak tahu yang Shafiq hisap benda najis tu. Mak cik juga tak tahu apa dia buat di luar rumah,” Puan Martina seakan sebak.

“Saya pun tak tahu semua tu, mak cik. Macam saya kata tadi, saya tak pernah pun nampak dia hisap benda tu.”

“Kamu jangan berbohong, Yong. Kamu nak nak bersubahat dengan dia pula?”

“Sumpah, mak cik. Saya cakap benar. Saya memang tak tahu apa-apa.”

Puan Martina berasa sedikit lega dengan penjelasan Yong. Mudah-mudahan betul apa yang diperkatakan rakan Abang itu. Tetapi, kalau Abang tak bersalah, kenapa Abang kena tangkap polis kerana menghisap najis dadah, musuh negara nombor satu itu? Takkan polis tersalah tangkap pula?

Apa-apa pun, Puan Martina tetap berdoa supaya anak lelaki sulungnya itu selamat. Selamat dari dakwaan menghisap dadah. Sebab selama ini pun Puan Mertina tak pernah nampak Abang seperti kaki dadah. Lagi pun dalam keturunan keluarganya tiada seorang pun yang jadi penagih dadah. Jauh sekali menjadi pengedar dadah.

“Tapi … mak cik …” Yong teragak-agak.

“Tapi apa, Yong?” Puan Martina tak sabar mahu tahu.

“Berita terbaru yang saya dengar, Shafiq ditangkap polis kerana dia mengedar dadah.”

“Mengedar dadah? Astaghfirullahalazim ...! Betul apa yang kamu dengar tu, Yong?” sekali lagi kedua-dua biji mata Puan Martina terbeliak seakan mahu tersembul keluar. Dia benar-benar terkejut lagi. Dadanya yang tadi sedikit lega, tiba-tiba kembali menjadi sesak. Kedua-dua belah kaki tiba-tiba menggeletar dan lemah.

“Itu yang saya dapat tahu. Betul atau tidak, saya belum tentu lagi, mak cik.”

“Ya Allah ya Tuhanku ...! Kenapa Abang buat perkara tak elok tu? Kenapa kamu malukan mama dan papa? Kenapa kamu sanggup mencalit arang ke muka keluarga kita? Kenapa Abang ...?” rintih hati Puan Martina.

“Tapi … susah nak percayalah, mak cik. Saya tak percaya Shafiq buat semua tu.”

“Mak cik pun rasa macam tu. Sebab mak cik kenal siapa Shafiq tu. Dia kan anak mak cik …”



4

Ternyata hati Puan Martina dicakar resah dan gelisah. Memikirkan Abang ditangkap kerana dan kini merengkok di dalam penjara membuat diri semakin kencang diterjah gundah.

“Kan dari dulu lagi mama dan papa selalu nasihatkan kamu semua, jangan buat perkara-perkara yang tak elok. Yang memalukan mama dan papa. Tapi kenapa semua ni berlaku juga?” Puan Martina meluahkan rasa kesalnya.

“Mama bukan tak faham perangai Abang tu. Kalau dia rasa nak buat sesuatu, dia akan buat juga. Walaupun pun berguni-guni nasihat yang mama dan papa berikan,” ujar Shamin yang ada ketikanya dia tidak menyenangi dengan tindakan abangnya itu dalam hal-hal tertentu.

“Mama percayakan abang kamu tu.”

“Itulah mama. Percaya sangat pada Abang tu. Di rumah memang dia nampak baik. Di belakang, kita tak tahu apa yang dia buat.”

Puan Martina serba salah. Kotak fikirannya putar-putar tidak menentu. Sebelumnya memang Abang tak pernah melakukan sesuatu kesalahan besar yang boleh memalukan keluarga. Dia memang selalu mengingatkan Abang supaya pandai jaga diri. Pandai memilih kawan. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah.

“Bukan mama nak sekat kebebasan Abang. Cuma mama nak Abang tahu jaga diri. Pilih kawan yang elok,” antara nasihat Puan Martina kepada anak sulungnya itu yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan di sebuah kolej tempatan sejak menamatkan SPM dua tahun lalu.

“Mama ni, macam tak percayakan Abang.”

“Mama takut Abang terjebak dalam perbuatan yang tak elok. Siapa susah nanti?”

“Mama jangan risau. Abang tahu apa yang abang buat. Abang takkan buat perkara yang boleh memalukan mama dan papa. Percayalah.”

Sejuk hati Puan Martina sewaktu mendengar pengakuan anaknya itu. Dia tahu Abang anak yang baik. Cukup diajar dan dididik dengan pekerti yang mulia.

Menurut cerita mama, semasa di sekolah rendah, Abang sanggup tak makan di kantin sekolah kerana wang persekolahan yang dibawanya diberikan kepada beberapa orang rakan sekelasnya yang tidak membawa wang ke sekolah.. Bukan sekali dua Abang bertindak begitu, malah sudah banyak kali Abang melakukannya. Memang sejak kecil lagi dia suka menolong kawan-kawannya yang susah dan selalu ringan tulang. Sikapnya itu turut terbawa-bawa hingga ke sekolah menengah.



5

Hinggakan ada rakan-rakan Abang yang menganggap Abang manusia yang paling baik serta jenis yang lurus bendul. Dia bukan saja tidak tahu marah, malah tidak tahu membantah sekiranya ada rakan-rakan meminta bantuan wang atau tenaganya. Dia dengan senang hati akan menghulurkan bantuan setakat yang mampu.

Hari itu, papa pula menasihati Abang. Kata papa, berkawan berhati-hati. Jangan terlalu percayakan kepada orang lain. Kadang-kadang orang yang kita sangkakan baik itu, akan mengenakan kita demi kepentingan mereka. Mereka jenis itu langsung tak pedulikan kesusahan dan penderitaan orang lain. Yang penting hasrat mereka tercapai.

“Suka menolong orang lain memang baik. Tetapi kalau kita nak menolong orang pun, kena berhati-hati juga, walaupun dia kawan kita.”

“Maksud papa?”

“Sebagai contoh, tak kira siapa, sekalipun kawan Abang yang minta tolong hantarkan barang-barang ke sesuatu tempat, Abang kena berhati-hati. Kena ambil tahu apa barang yang dia suruh hantar itu. Mesti ada sikap was-was.”

“Kenapa?”

“Mungkin orang nak mempergunakan Abang. Dalam bungkusan itu mana tahu mungkin dadah … atau barang-barang terlarang lain…”

“Maksudnya, papa tak percayakan kawan-kawan abang?”

“Bukan macam tu. Cuma papa minta Abang berhati-hati.”

Abang seakan sukar menerima. Pada Abang, papa seakan memperlekehkan kawan-kawannya. Sebenarnya papa buka begitu.

Betul cakap papa tu, dalam dunia hari ni ada orang sanggup melakukan apa saja untuk keuntungan dirinya,” celah Puan Martina pula.

“Kawan-kawan Abang takkan sanggup buat mama tu pada Abang.”

“Jangan cakap, Abang. Berwaspada lebih baik. Ingat sebelum kena. Kalau nasi sudah jadi bubur, apa gunanya,” tambah papa, walaupun Abang seakan tidak dapat menerima yang papa dan mama seolah-olah tidak mempercayai kemampuan Abang memilih kawan-kawan. “Oh ya .., jangan salah faham. Papa tak tuduh kawan-kawan Abang sekarang ni jahat dan tak boleh dipercayai. Tapi jangan banyak hal, jangan semuanya diambil mudah.”



6

Nasihat demi nasihat seperti itu sudah kerap benar papa dan Puan Martina berikan kepada Abang. Termasuklah jangan abaikan solat, belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang diidam-idamkan dan jangan mudah berputus asa dalam mencapai sesuatu yang terbaik.

“Mama ni ..., Abang tahulah,” dengus Abang apabila mama menegurnya yang mula lalaikan solat.

“Tahu apanya. Sejak akhir-akhirnya, Abang sering abaikan solat. Keluar rumah selepas Maghrib, kemudian balik pukul satu atau dua pagi … terus tidur. Nak berdalih lagi?”

“Solat tu tiang agama dan kehidupan. Kalau rapuh tiangnya, akan rapuhnya pegangan agama dan kehidupan seseorang. Nasihat mama tu, untuk kebaikan Abang juga. Kenalah fakir mana yang baik dan tak baik,” sampuk papa.

Puan Martina juga selalu menghubungi telefon bimbit Abang, untuk mengetahui di mana Abang berada jika Abang tiada di rumah. Sehinggakan ada kawan-kawan Abang yang menyindir Abang dengan gelaran ‘Abang Anak Mama’.

Papa juga pernah mengingati Abang. Kata papa, dalam kehidupan di dunia, manusia itu akan dinilai dua perkara, iaitu baik atau jahat perbuatannya. Kalau perbuatannya baik, dia akan disukai dan disanjung semua orang. Kalau sebaliknya, dia kenalah terima akibat perbuatannya itu.

“Betul, ma. Abang tak pernah hisap dadah. Pengedar dadah jauh sekali. Malah Abang tak pernah kenal pun dadah. Betul kata Yong tu. Percayalah pada Abang,” Abang bersungguh-sungguh mempertahankan diri.

“Tapi kenapa Abang kena tangkap kalau Abang tak salah?” soal mama.

“Kebetulan Abang ada di rumah tu semasa polis buat serbuan.”

“Abang diperangkap?” celah papa.

“Susahlah Abang nak cakap. Ni semuanya kerana salah faham!

“Tapi ini kes serius, Abang. Kalau didapati bersalah boleh dihukum penjara … atau ke tali gantung.”

“Abang ni …” mama membantah kerana gerun mendengar ‘tali gantung’.

“Papa cakap betul apa?”



7

Puan Martina seakan menahan nafasnya yang sesekali terasa sesak bila memikirkan apa yang sedang dialami Abang itu.

“Sudah berbuih mulut papa dan mama bagi nasihat… nak suruh anak-anak jadi baik… jadi manusia yang tak mendatangkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Jangan anggap semua benda itu mudah. Kita ada akal … kena fakir ikut kewarasan. Bukan hanya redah sembarangan yang boleh menimbulkan masalah di kemudian hari. Berfikir sebelum bertindak,” leter papa lagi.

Tapi Puan Martina dan papa berasa sedikit lega apabila Abang dibebaskan dengan jaminan sehingga tibanya hari perbicaraan.

Hari penentuan setelah empat tahun berlalu.

Lima orang yang ditangkap, termasuk Abang telah dibicarakan atas kesalahan menghisap dan memiliki dadah yang melebihi berat yang boleh disabitkan hukuman gantung sampai mati. Abang dibela oleh seorang peguam yang juga kenalan papa.

Mengikut fakta kes, Abang telah menghantar seorang rakannya yang kenali sebagai Syamil dengan motosikalnya ke sebuah rumah yang didiami seorang lelaki, yang juga rakan kepada Syamil untuk mengambil beg Syamil yang tertinggal di rumah itu. Abang menunggu di sofa di ruang tamu, sementara Syamil masuk ke sebuah bilik untuk berjumpa rakannya.

Kira-kira sepuluh minit selepas itu polis telah membuat serbuan dan menemui dua pemuda lain yang sedang menghisap dadah di sebuah bilik serta menemui sebuah bungkusan berisi dadah di dalam bilik yang didiami rakan Syamil. Abang serta kesemua yang ada di rumah itu telah dibawa ke balai polis berdekatan untuk ditahan disoal siasat.

Perbicaraan yang dijalankan selama lima hari mendapati Abang dan Syamil tidak bersalah dan dibebaskan tanpa syarat. Sementara dua orang didapati menyalahguna dadah dan seorang lagi dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

“Syukurlah anak mama terselamat!” Puan Martina menadah tangan ke langit sambil air matanya terjurai ke pipi. Seketika, dia memeluk Abang kemas-kemas. Papa dan Shamin turut terharu.



Info

MAZEMIE MAZ atau nama sebenarnya Mazemie Muhammad dilahirkan di Kuala Terengganu dan dibesarkan di Dungun. mula menulis sajak dan cerpen pada awal 1980-an. Sajak pertamanya disiarkan dalam Watan dan diikuti majalah Wanita. Cerpen pertama disiarkan dalam Mingguan Perdana. Karyanya masih mendapat tempat dalam media arus perdana tanah air. Pernah bekerja di jabatan kerajaan selama empat tahun sebelum menyertai syarikat penerbitan akhbar dan majalah tanah air bagi melebarkan minat dalam bidang penulisan. Pernah berkhidmat sebagai editor untuk akhbar dan majalah kanak-kanak, kereta dan motor sebelum membuat keputusan menjadi penulis bebas. Beberapa lirik lagi ciptaannya dinyanyikan sejumlah penyanyi popular tanah air. Novel terbarunya, Gerimis Kasih, diterbitkan Buku Prima Sdn Bhd dan kini dalam proses menyiapkan dua lagi novel dewasa.


Xinnian Kuai Tao Le

Oleh Nafisah Hussain




"XINNIAN kuai taole! Xinnian kuai taole!" Mama memerhati gelagat cucu-cucu Uncle Wong dari atas balkoni bilik tidur utama yang ralit bermain bunga api, sambil gelak ketawa dan berkejar-kejaran dalam cahaya samar lampu tanglung yang digantung sekeliling rumah. Cahaya bulan hampir membentuk sebiji guli sesekali mengintai di balik awan mencerahkan lagi persekitaran. Kegembiraan anak-anak kecil itu menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina, metah jelas. Lebih comel lagi bila tubuh anak gadis kecil dilengkapi busana cheongsam walaupun perayaan sebenar belum tiba. Sesekali dari jauh kedengaran bunyi mercun memecah kesunyian malam. Sudah lama mama rindukan suasana yang sama di rumah agam peninggalan nenek moyang Papa. Mama sunyi.

“Dah tahu mercun diharamkan, benda itu jugalah yang anak-anak kamu inginkan.” Itulah alasan Papa setiap kali cucu-cucu merengek minta dibelikan mercun. Akhirnya setiap kali beraya cucu-cucu lebih gemar memerap dalam bilik sambil mengetuk aksara komputer riba melayan kenalan melalui halaman ‘friendster’ atau ‘face book’. Paling tidak ‘Play Station 2’ menjadi teman sejati. Boleh lupa makan minum sampai pagi, lupa rawan di hati, gara-gara datuk yang tidak pernah cuba untuk mengerti. Mama bangga melihat anak cucu Uncle Wong. Walaupun membesar di negara empat musim, dikelilingi tetangga bermata biru, hijau mahupun kelabu, berambut perang asli tanpa pewarna atau inai sebagai penyeri, anak cucu Uncle Wong tidak pernah lupa jati diri, asal usul, kampung halaman, adat resam dan budaya mereka. Bahasa ibunda tetap terpateri, walaupun bahasa asing harus dipelajari. Mama cuba menerapkan nilai yang sama pada anak-anak. Lebih-lebih lagi adat tradisi Baba dan Nyonya yang diwarisi mama. Kebaya pendek bersulam tebuk dan berkerawang indah dipadan dengan kain batik sarung potongan kipas sentiasa melekat pada tubuh mama. Bahasa Melayu menjadi kebanggaan walaupun mama memahami bait-bait ayat yang sering dituturkan Papa dalam Bahasa Mandarin atau Kantonis. Tika itu rindu mama pada Swee Ling semakin meruntun kalbu, menggamit pelbagai memori suka duka. Swee Ling persis mama dalam segala hal.

Sejak kecil mama lihat kelainan dalam diri Swee Ling. Minat dan kecenderungan Swee Ling jauh beza daripada abang-abangnya. Walaupun dari benih dan baja yang sama, tidak semestinya bunga ditanam tumbuh sekata. Swee Ling amat cerewet, lebih-lebih lagi makan minumnya. Swee Ling paling benci bila setiap kali makan besar, Papa hidang khinzir panggang kegemarannya dan abang-abang. Swee Ling tidak suka apa yang mama tidak suka.


“Kalau Papa panggang dan hidang juga daging putih itu tahun baharu ini, Swee Ling tidak mahu makan besar dengan keluarga lagi.” Mama ingatkan lagi Papa. Mama bukan tidak tahu bahaya penyakit yang dibawa haiwan tu. JE lah, nipahlah entah apa-apa lagi. Walaupun sudah dibersih dan dimasak, cacing pada kulit haiwan tu susah hendak mati. Itu yang bawa penyakit. Sebenarnya sejak kecil Swee Ling paling benci tengok haiwan yang dianggap bodoh, hodoh, kuat menyondol dengan lubang hidung besar terhidang atas meja macam hidung Papa dan abang-abangnya. Swee Ling bertuah kerana hidungnya agak mancung. Lebih mancung daripada hidung mama.

“Barangkali kenan hidung mamak yang saban pagi hantar roti ban dan susu segar ke rumah semasa mengandungkan Swee Ling,” jawab mama setiap kali ada yang bertanya. Tetapi lain pula jawapan Swee Ling bila kecantikan dan keayuannya jadi perhatian.

“Tentulah saya cantik. Tengoklah siapa mama saya. Cucu cicit Puteri Hang Li Po dari Melaka. Bekas Ratu Kebaya Tahun 1975.” Seperti mama, Swee Ling bangga mewarisi keturunan Baba dan Nyonya.

Mama masih ingat kali terakhir Swee Ling dipaksa makan daging itu pada usia 7 tahun. Swee Ling muntah-muntah, ceret-beret dan terpaksa tinggal selama seminggu di rumah sakit. Kesian Swee Ling. Kata doktor, Swee Ling alah. Sejak Swee Ling meninggalkan rumah 3 tahun lalu, tiada lagi khinzir panggang untuk upacara makan besar. Entah kenapa, Papa melarang keras. Pasang tanglung dilarang, main mercun tentulah dilarang terus.

“Beraya di rumah ini macam berada di rumah mayat. Semuanya tidak boleh. Musim perayaan, sepatutnya kita bersuka-ria bukannya berkabung,” balas Swee Tin abang sulungnya marah-marah.

Kali terakhir suara gemersik Swee Ling mengetuk gegendang mama, tatkala dia menyampaikan berita tentang pemergiannya ke negara matahari terbit kerana mengikuti suaminya yang dihantar bertugas ke sana. Hanya linangan air mata merestui pemergian Swee Ling. Tahun lalu, mama menerima sekeping kad ucapan Tahun Baharu berserta sekeping gambar keluarga. Di belakang gambar ada catatan ringkas: ?Hanya gambar pengganti diri, bersama suami dan baby.’ Tahun ini Mama masih menanti kad daripada Swee Ling, tetapi hampa. Tanpa mama sedari titisan air jernih mengalir laju dari celah kelopak dan sukar diseka, ibarat titisan hujan yang mengalir deras dari celah daun dan pelepah keladi.

Tahun ini tahun ‘lembu’. Tahun kelahiran Swee Ling. Ini bermakna usia Swee Ling genap 24 tahun. Harapan Mama agar tahun ini bakal membawa kemewahan, kegembiraan dan kegemilangan. Tahun ini mama lihat perubahan Papa yang ketara. Pagi tadi papa pulang dari bandar dengan set pinggan mangkuk yang baru dibeli lalu diletakkan di atas meja dapur. Tanpa sepatah kata, Papa berlalu. Mama yang sedang mengadun bahan-bahan untuk dibuat kuih kapit termanggu melihat kotak besar bersaiz 40 x 40 sm di hadapannya. Dari kulit kotak, jelas apa kandungannya. ‘47 buah set pinggan China’.

“Apa kena dengan orang tua ni? Bila pula aku suruh beli?” Mama mengomel sambil tangan kanannya pantas menoreh pita pelekat lalu disingkap penutupnya. Satu persatu dikeluarkan. Lengkap semuanya, tiada yang pecah atau retak. Fiil Mama setiap kali beli barang baru, semuanya diteliti dan diperhati.

“Bagus juga, dapatlah aku pakai set baharu kali ini.” Mama senyum sendirian. Akhir-akhir ini Mama perhatikan banyak perkara pelik Papa buat. Minggu lepas, Papa balik dari bandar bersama-sama lori perabot. Papa beli set bilik tidur dan permaidani baharu untuk bilik Swee Ling. Sebuah katil kelamin saiz ‘queen’, sebuah katil budak, almari pakaian dan set meja solek semua daripada kayu jenis nyatuh. Permaidani buatan Parsi tebal hampir seinci memenuhi bilik. Papa ubahsuai bilik Swee Ling sepenuhnya. Kata Papa, bilik itu untuk pengantin baharu walaupun hakikatnya Swee Ling sudah tiga tahun berumah tangga, malah sudah punya anak satu.

“Awak kemas sahaja bilik itu elok-elok. Anak bongsu awak hendak balik sambut Tahun Baharu.” Yang peliknya tiada siapa tahu bila Swee Ling hendak balik. Kenapa pula Papa yang beria-ia benar hendak menyambut kepulangan Swee Ling. Semua orang tahu hubungan Papa dengan Swee Ling retak sejak tiga tahun lalu.

“Papa tetap tidak setuju. Tiada kompromi!” Sebaik Swee Ling maklumkan niatnya, Mama sudah nampak api di mata Papa menyala-nyala ibarat percikan bunga api yang cantik dipegang, tetapi bahaya jika terlepas daripada tangan. Biarpun Swee Ling anak kesayangan, anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan, tetapi dalam hal ini, mama pasti Papa tidak akan berganjak.

“Papa tidak adil. Kenapa abang-abang boleh buat pilihan sendiri. Bebas berkahwin dengan siapa saja.” Swee Ling tidak nampak di mana salahnya. Tidak ada seorang pun daripada abang-abangnya yang bertiga itu kahwin sebangsa. Malah bila Swee Tin bawa balik orang putih, Papa terima dan layan mengalahkan orang yang dapat isteri baharu.

“Mereka lelaki, kahwin dengan siapa pun tidak jadi masalah. Pangkal nama keluarga tetap kekal. Awak tu perempuan. Awak pun muda lagi, baru tamat kolej.” Itu sahaja alasan yang dapat Papa luahkan.

“Pangkal ke, hujung ke, nama keluarga perempuan tetap akan hilang walau dengan siapa pun saya berkahwin. Anak-anak akan mengambil nama suami bukan nama isteri. Tengok Mama, yang dipanggil orang Madam Tan, Misses Tan, Puan Tan. Hilang terus nama Agnes Chin. Saya sudah masuk 21 tahun, sudah dewasa mengikut Akta Umur Dewasa.” Pintas Swee Ling dengan nada yang semakin keras. Swee Ling tidak nampak rasional di sebalik alasan Papanya. Papa jeda seketika. Buntu mungkin. Tidak ada sesiapa yang menyangka Swee Ling boleh naik minyak hari itu. Papa paling terkejut. Tapi ego Papa tetap tinggi dan pegangan serta prinsip Papa semakin keras, sekeras berlian, tidak boleh ditoreh dengan kaca atau diketuk dengan tukul. Anak perlu mengalah bukan Papa. Sambutan Tahun Baharu yang sepatutnya mengeratkan ikatan kekeluargaan berakhir dengan perbalahan yang tidak pernah dijangka. Tutur akhir Papa penentu segalanya.

“Kalau kaukahwin juga dengan lelaki pilihanmu, rumah ini jangan kauinjak lagi. Aku tidak ada lagi anak bernama Swee Ling!” Tiba-tiba fikiran Mama jadi kusut memikirkan perubahan Papa. Sekusut pintalan rambut yang tidak pernah disisir. Apakah benar Swee Ling akan pulang atau Papa sudah sampai ke penghujung usia? Itu yang menjadi persoalan Mama. Atau ada rahsia yang tidak mahu dikongsi Mama.

Semalam tauke nurseri datang dengan lori kecil penuh dengan pokok orkid dari jenis ?phalaenopsis’ yang asalnya dari Taiwan. Pokok yang dianggap ada ’feng shui’ oleh masyarakat Cina. Kata Papa untuk hiasan di rumah dan dihadiahkan kepada kawan-kawan serta rakan perniagaan sebagai ganti ?hamper’. Tidak ketinggalan pohon limau lambang keemasan berpasu-pasu dibeli Papa. Siang tadi juga Papa minta tolong anak-anak Uncle Wong menggantung tanglung. Dalam diam Papa juga minta mereka tolong belikan mercun dan bunga api untuk cucu-cucu. Mungkin betul Swee Ling akan pulang tahun ini. Hati Mama berbisik gembira. Paling mengejutkan bila Papa buat kad jemputan untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina dan sambut menantu.

“Tahun Baru kali ini saya hendak buat majlis sambut menantu lepas makan besar keluarga. Mama tidak perlu masak, Papa sudah tempah dengan Hajah Rodziah, tauke Restoran Cita rasa Melayu masak untuk kita. Masakan orang Melayu semua bangsa boleh makan. Halal.” Mama terkesima, antara percaya dengan tidak apa yang didengarnya. Sekali lagi kelopak mata Mama diselaputi air jernih.

“Sambut menantu? Maksud Papa, Swee Ling?” Papa mengangguk sambil menyedut paip yang tidak bertembakau dan tidak berasap. Sekadar menghilangkan ketagih memegang paip. Pelik.

“Papa yakinkah Swee Ling akan balik? Setahu Mama, dia masih berada di negara Jepun sekarang ini.” Ops, pantas Mama menutup mulut. Mama terlepas kata. Risau pula takut Papa bertanya itu ini.

“Dia akan balik. Mama jangan risau.” Lembut bicara Papa sambil melakonkan gaya menghembus asap daripada paip yang disedut. Mama mengurut dada. Lega dengan perubahan Papa. Tetapi kenapa tidak dahulu? Kenapa setelah tiga tahun baru Papa berubah? Mama masih ingat betapa peritnya Mama dan Swee Tin menyembunyikan rahsia. Tanpa restu Papa, Mama dan Swee Tin sekeluarga telah sama-sama meraikan majlis perkahwinan Swee Ling. Majlis resepsi di salah sebuah hotel lima bintang di ibu negara turut dikongsi perbelanjaan dengan keluarga pihak lelaki. Rakan rapat dan ahli keluarga terdekat sebelah Mama turut diundang. Hanya Papa yang tidak tahu. Memang dalam tempoh tiga tahun lamanya Mama memendam perasaan bersalah dan berdosa pada Papa. Jika betul Swee Ling akan pulang, Mama akan berterus terang. Segalanya bukan rahsia lagi. Itu janji Mama. Hati mama berbunga girang.

“Mama, Swee Ling sekeluarga sudah sampai.” Suara Swee Tin menyedarkan Mama untuk kembali ke alam realiti. Cepat-cepat Mama menyeka matanya dek genangan air jernih yang hampir runtuh itu.

“Papa kamu sudah tahu?” Swee Tin menggeleng.

“Papa belum pulang. Katanya ke rumah ketua kampung.” Swee Tin memimpin Mama turun. Belum sempat Mama melangkah anak tangga terakhir, Swee Ling gopoh menerpa tubuh Mamanya. Dahi dan pipi Swee Ling dicium bertalu-talu. Ditenung wajah Swee Ling dalam-dalam. Swee Ling makin manis pada pandangan Mama. Berkebaya labuh, dengan sulaman ayak warna merah saga sedondon dengan suami dan anak sulung mereka. Mama menyambut tangan dan memeluk menantunya tanpa segan silu. Mama melepaskan pelukan bila terasa kain batik sarung yang dipakai ditarik-tarik. Mama membongkok lalu mencium pipi cucu lelaki yang amat dirinduinya itu. Mama cuba mendukung, tapi kudrat mama tidak berdaya.

“Aduh beratnya cucu nenek.” Mama tegakkan badan sambil mengurut-urut belikat. Mama membongkok semula. Mama hulur tangan untuk bersalaman. Huluran tangan disambut jari-jari montel, lalu kedua-dua tangan Mama dicium. Manis pekerti.

“Siapa nama?”

“Danish,” jawabnya pelat dan petah.

“Assalamualaikum.” Seisi rumah menoleh ke arah suara yang memberi salam. Suara yang sering didengar saban hari, saban malam.

“Waalaikummusalam.” Mohd Danial, suami Swee Ling atau Saleha membalas terpinga. Papa merenung wajah Mama. Satu pandangan yang penuh makna.

“Papa! Sejak bila?” Saleha berlari anak, mencium tangan lalu memeluk Papa erat.

“Biarlah Tahun Baharu ini kita sambut dengan azam baharu, cara baharu. Tahun terakhir buat kita. Papa tahu Mama pasti setuju.” Senyuman Mama menjawab segalanya.

Glosari: ‘Xinnian Kuai Taole’ = Tahun Baru akan menjelma/tiba.

INFO: Penulis

NAFSIAH Hussain yang menggunakan nama pena Al-Nafis dilahirkan di Alor Setar, Kedah adalah lulusan Sarjana Undang-Undang (LLM) dari Universiti Malaya dan mula berjinak-jinak dalam genre cerpen dan novel pada penghujung 2004. Beliau terbabit dalam projek penulisan novel industri dewasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan novel pertama, Melayar Impian, terbitan DBP bakal berada di pasaran dalam waktu terdekat.


0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.