Baqis

(saya kongsikan bersama salah satu cerpen saya yg kini telah diantologi persendiriankan dlm Titian Gelora, terbitan DBP, utk pengunjung yg tinggal di luar negara dan tak dpt membelinya. Terutama sekali utk Fatin dan peserta2 bengkel lain, yg mahu melihat bagaimana saya mengangkat latar Mesir ke dlm karya. Terima Kasih DBP :) yg sgt byk membantu saya dlm dunia penulisan, selama ini)
------


BALQIS


DI ANTARA kemerduan irama gambus yang menyesakkan pendengaran, perasaan dan fikirannya, Adam berteleku di tepi jendela bilik penginapannya yang serba ekslusif. Entah mengapa, sejak mengunjungi gudang membuat permaidani tempoh hari, dia merasakan seluruh jiwa raganya dingin beku bagaikan dia terperangkap dalam ketulan ais; bertahun-tahun lamanya. Padahal, dia berbaring di sisi isterinya yang bertubuh hangat lagi gebu!

Malangnya, peristiwa di gudang membuat permaidani itu terus datang dengan gambaran wajah kanak-kanak perempuan yang cornel. Wajah yang tersirat berjuta rasa pilu.
Setelah melalui tiga malam yang dingin berturut-turut dengan segala resah gelisah, sekaligus menyeksakan batin dan kewarasannya, Adam merasakan bumi Kaherah yang dipijak itu bukan saja penuh dengan sejarah, tetapi juga menyimpan suatu sejarah hidup peribadinya, yang sekian lama cuba dikuburkan dan dilupakan.

Perlu mencari kepastian, desis hatinya. Jika tidak, gila jadinya dia. Demikianlah, Adam merasakan irama gambus yang kedengaran sayup-sayup lagi memukaukan itu, menggamit dan bagaikan menyeru-nyeru namanya, dia kian resah. Sewaktu dia melangkah keluar dengan berhati-hati dari bilik penginapannya, terasa seperti dia turut berusaha memecahkan ketulan ais yang sekian lama mencengkam jiwanya. Tetapi gagal.
Ya, sekurang-kurangnya aku berusaha, fikirnya. Dia melangkah cepat-cepat ke lif, seolah-olah sedang dikejar oleh bayang-bayang sejarah silamnya. Sejarah
silam itu menghantui benaknya pada waktu siang dan mengganggu tidumya pada waktu malam. Dan dalam tidurnya, dia mengigau dan terus mengigau. Dia mengigau tentang hidupnya sebagai siswa di Universiti Al-Azhar, sepuluh tahun yang lalu. Tentang pengajian-nya dalam jurusan ekonomi itu. Tentang politik tanah airnya. Tentang ibu bapanya yang sudah lama menjadi arwah. Tentang isteri pilihan keluarga, yang disogokkan kepadanya sebaik-baik saja dia kembali ke tanah air. Tentang cinta. Dan tentang ... Balqis, yang bergerak bagai sedang menarikan tarian perut diiringi irama
gambus.



"Siapakah engkau dan kepunyaan siapakah dirimu?" soal Adam bagaikan tercabar bercampur geram terhadap sikap gadis siswi jurusan sastera yang baru
dikenalinya.

"Namaku, Balqis binti Abu Hurairah bin Abu Qarrun bin Abu Munabbah al-Yamaani. ... Perlu saya teruskan lagi?" soal Balqis, nakal. Dan setelah melihat kening
Adam bertaut, dia ketawa kecil. "Dan ... diriku kepunyaan siapa? Aku diciptakan Allah untuk dirimu... Adam, tidakkah engkau tahu?"

"Mari ke sini!" perintah Adam, semakin geram. Irama gambus yang merdu, menerpa ke jendela hatinya, sebaik-baik saja bas yang membawa rombongan Persatuan Sejarah Universiti Al-Azhar itu, berhenti di hadapan gedung yang bertulis Cleopatra Papyrus
Institute. Gadis Timur Tengah yang nakal itu melirik manja ke arahnya sebelum bergegas turun.

"Engkaulah yang ke mari!" cabar gadis itu, dengan loghat Timur Tengahnya yang agak pekat.

Adam mendengus kasar, mengancing gigi dan menggenggam penumbuk. Dia melangkah turun, lambat-lambat, cuba menenteramkan perasaannya. Dia mengekori ahli-ahli rombongan yang diketuai oleh pensyarah mereka, memasuki sebuah galeri yang penuh dengan lukisan-lukisan reproduksi Mesir Kuno di atas papyrus, kertas asli Mesir. Dan mereka terus ke bengkel pembuatannya, dengan menuruni lorong tangga pula. Biarpun matanya menyorot ke arah beberapa orang remaja lelaki yang duduk meraut batang-batang papyrus, sejenis rumput yang tumbuh di pinggiran sungai, tetapi seluruh fikirannya tertumpu ke arah gadis Timur Tengah yang nakal yang memakai pakaian dari Barat itu. Begitu dia melihat inti batang papyrus dibelah tipis-tipis dan kemudian disusun rapat dua lapis,dia merasakan hatinya yang dibelah tipis-tipis dan kemudian disusun rapat dua lapis - dengan hati Balqis!

"Setelah tepinya dirapikan dan dihaluskan permukaannya dengan batu," jelas ketua rombongan Persatuan Sejarah itu lagi, "hasilnya ialah selembar
kertas yang amat liat dan lentur, dapat digulung kecil
tanpa patah."

Amat liat dan lentur, dapat digulung kecil tanpa patah? Tanya hati Adam tiba-tiba. Dia hampir tergelak. Bagi Adam, semua kaum wanita begitulah sifatnya setelah dirapi tepinya, dihalusi pennukaannya, biarpun liat, ia masih boleh lentur dan dapat digulung kecil tanpa patah. Dia yakin, begitulah sifat Balqis, gadis Timur Tengah yang bagaikan memberontak dan menonjolkan sifat yang liat kerana terbawa-bawa
dengan fahaman pejuang pembebasan hak wanitanya. Jangkaan Adam memang tidak meleset. Setelah bertahun-tahun bersama-sama Persatuan Sejarah, dia dapati gadis itu boleh dilentur dan dapat digulung kecil tanpa patah apabila dimasukkan ke dalam poket peribadinya. Akhirnya, dua minggu sebelum dia berangkat pulang ke tanah air, setelah berjaya menerima skrol ijazah, segera tercetus keinginannya untuk melihat perkampungan Balqis yang jelita itu.

"Mesir ialah kurniaan Nil," ujar Balqis sambil tersenyum.

"Hmm ...?" Adam termangu mendengar jawapan itu apabila dia mengajukan keinginannya.

"Ah, bukankah sejarawan Yunani Herodotus pernah berkata begitu?" tingkah Balqis sambil menahan teksi. "Untuk itu, silakanlah menikmati keindahan kurniaan Nil bersama-sama."

Teksi usang itu meluncur laju. Di sepanjang perjalanan menuju ke kampung Balqis yang terletak di pinggir Sungai Nil, pandangan Adam menerawang ke arah kedai-kedai menjual cenderamata di Giza. Teksi terus dipecut ke Saqqara, sekitar 27 kilometer dari Kaherah. Lalu menyusuri anak terusan cabang Sungai Nil, mengitari seluruh daerah perladangan jagung yang subur, berselang-seli dengan padi dan kapas.
Alangkah indahnya pemandangan itu! Desis hati Adam. Dia disentuh nostalgia apabila melihat rumah-rumah petani dari bata lempung, seakan menghirup nafas di pinggiran sungai. Suasana di sebuah perkampungan petani di pinggiran sungai, di negeri kedah,
menghimbau kembai ke dalam ingatannya. Alangkah indahnya suasana itu. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak berkejaran di bawah pohon kurma, beberapa orang lelaki yang berpakaian jallabiya berkemeja panjang sampai ke buku lali sedang menunggang
keldai yang membawa muatan berat, beberapa orang wanita berpurdah hitam membawa guci dan keranjang di atas kepala; tanpa memperdulikan trak-trak yang bergerak laju dan beberapa penduduk tempatan yang berpakaian Barat.

"Indahnya," ujar Adam yang menikmati sebuah gambaran perkampungan yang tidak banyak berubah sejak ribuan tahun, lengkap dengan beberapa ekor unta yang dikerah membawa batang-batang pelepah daun palem untuk dijadikan atap rumah di kampung itu.

"Silakan," tegur Balqis, sebaik-baik saja teksi berhenti.

"Assalamualaikum ...," tegur seorang lelaki tua yang kemudiannya dikenali sebagai Ab Qarrun, datuk Balqis. "Alhamdulillah, selamat datang, aku amat senang menerima kunjunganmu. Dan aku yakin, jika kedua-dua ibu bapa Balqis masih hidup pun, tentu
mereka juga senang menerima kunjunganmu, cucuku. Ah, aku seperti sudah lama mengenalimu, melalui cerita-cerita yang dibawa oleh Balqis, setiap kali dia
mengunjungiku."

Demikianlah, Adam dilayani penuh mesra oleh Abu Qarrun. Tidak dirasanya masa berlalu sehingga begitu lewat petang. Akhimya, tanpa banyak alasan, tanpa sedikit pun keberatan, Adam menerima pelawaan lelaki tua itu agar dia bermalam saja di rumah usang mereka. Namun, ketika dia hendak bertolak pulang pada keesokan paginya, Abu Qarron mengajukan suatu soalan yang menggugat ketenteraman fikirannya.

"Adam, apa niatmu terhadap cucuku?" soal Abu Qarrun dengan suaranya yang bernada lembut tetapi tegas. "Apa perasaanmu terhadap Balqis? Jelaskan, cepat!"

"Err ... saya amat sayang padanya, tuk," ujar Adam, teragak-agak sedikit. "Hubungan kami amat rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tapi kami
tak pernah. ..."

"Aku tahu, aku tahu ...!" tingkah lelaki tua itu. "Aku banyak mendengar cerita daripada Balqis sendiri, juga daripada teman-teman sekampusnya yang tinggal
sekampung. Seluruh isi kampung juga sudah tahu. Apa tindakanmu untuk membersihkan nama cucuku itu?"

"Niat saya cukup suci, tuk. Saya ingin sekali mengambil Balqis sebagai isteri, jika ...," jelas Adam. Dia ingin menjelaskan kedudukannya sebagai siswa Universiti Al-Azhar yang dibiaya oleh bapa saudaranya. Dia ingin menjelaskan betapa cuma seminggu saja lagi, dia perlu bersiap-siap untuk pulang ke tanah airnya. Dia ingin sekali mengadu betapa dia tidak mampu membiayai tiket penerbangan Balqis ke Kedah,
andainya dia menikahinya. Dia ingin sangat-sangat.

"Kalau begitu, selesai masalah!" pintas lelaki tua itu sambil menyeka air jernih di kelopak matanya. "Alhamdulillah adalah pujian-Mu, dan keagungan adalah sarung-Mu, dan kesombongan adalah sedang-Mu,seluruh makhluk adalah hamba-Mu jadikan malaikat-malaikat dan penghuni langit sebagai saksi; aku, hamba-Mu yang hina ini, nikahkan cucuku Balqis dengan Adam dengan mas kahwin, dan tasbih serta tahlil atas-Mu!"

Balqis yang sejak tadi sibuk di dapur, tiba-tiba muncul di ruang tamu. Lantas, lelaki tua itu menjelaskan akan pemikahan cucunya dengan Adam. Balqis ternyata agak tersentak, tetapi sejurus kemudian mengangkat muka menatap wajah Adam dengan suatu
pandangan yang lembut.

"Mas kahwinku, bagaimana?" soal Balqis, seperti mencabar.

Memikirkan tentang kebiasaan dowry yang mencapai $20000 hingga S30000 di Kaherah itu. “Perlukah aku mengadakan emas, perak atau permata," sela Adam, "Sebagai mas kahwin untuk diberikan kepada Balqis?"

"Tidak perlu," tegas lelaki tua itu. "Mas kahwin Balqis ialah dengan membaca selawat sepuluh kali untuk Nabi Muhammad S.A.W. penghulu seluruh Rasul. Berikanlah selawat kepada Muhammad supaya dengan izin Allah, akan aku halalkan Balqis bagimu.”

Lantas, tanpa membuang masa lagi, Adam pun membaca selawat Nabi. Dan, selama seminggu kemudiannya, sebelum dia berangkat pulang ke tanah air, dia dan Balqis menyempurnakan hidup sebagai suami isteri. Cuma seminggu saja.

Pintu lif yang terbuka, tiba-tiba menyentak lamunan Adam ke alam nyata. Dia melangkah keluar dari perut lif itu, seperti dia melangkah keluar meninggalkan
kenangan silam yang sering menghantuinya. Apalah yang dapat dilakukan lagi, apabila sekembalinya ke tanah air setelah tamat pengajiannya di Universiti Al-Azhar. Dia dijodohkan dengan anak gadis bapa saudaranya; bapa saudara yang dengan murah
hati membiayai pengajiannya hingga ke seberang laut itu. Untuk tidak melukai hati keluarganya, dia menangguhkan berita tentang dia dan Balqis. Dan sewaktu dia mencecahkan dahi untuk membatalkan air sembahyang isteri pilihan keluarganya yang tidak kurang cantiknya jika dibandingkan dengan Balqis, pada malam pertama,
nalurinya memberitahu supaya dia menangguhkan saja dulu berita tentang dia dan Balqis. Dan berita itu tertangguh-tangguh terus, berturut tahun. Seperti surat
yang dijanjikan untuk dikirim kepada Balqis dulu, turut tertangguh-tangguh.

"Good morning, sir," tegur bell captain hotel ketika melihat Adam muncul di lobi.

"Morning ...!" balas Adam, segera berlalu pergi.

Tatkala langit subuh musim dingin belum menampakkan diri, dengan hati yang berat lagi berbelah bagi, Adam menjengah muka di pintu bandar utama. Dia mengeluh singkat, penuh resah. Saat itu, suasana sekitar deretan hotel yang bercambah di pesisiran Sungai Nil yang membelah kota, cuma kelihatan hidup dengan beberapa buah teksi usang bergerak perlahan mencari penumpang.

"Andainya encik ingin pergi sendirian tanpa berkumpulan, eloklah encik menyewa teksi. Belanjanya murah dan selamat pula."

Hampir tergelak Adam mengingati pesanan bell captain hotel itu, ketika dia dan beberapa orang ahli rombongan yang dianjurkan oleh panitia Aga Khan Award supaya mengunjungi Kaherah. Namun, kehadiran isterinya dalam rombongan itu dibiayai oleh bapa mentuanya.

"Berbahaya sendirian ke Kaherah," usik bapa mentuanya sambil mengenyitkan mata. "Gadis-gadis Kaherah cantik-cantik belaka."

Serta-merta dadanya sebak. Nafasnya sesak. Di kembali diganggui oleh peristiwa di gudang membuat permaidani tempoh hari. Peristiwa yang sedikit sebanyak mengembalikan ingatannya kepada sejarah hidupnya di bumi Kaherah, sepuluh tahun yang lalu; juga
seperti bumi Kaherah yang penuh sejarah; dengan piramid dan Sphinx yang amat mengagumkan; dengan makam-makam peninggalan yang bersalutkan emas dengan gadis-gadisnya yang jelita; dengan irama gambus dan tarian perut; dan dengan Balqis!
Serentak, kakinya terus berundur, ingin kembali ke tempat penginapan yang serba eksklusif - di sisi isterinya. Dia perlu mencari kepastian, jika tidak mahu
peristiwa di gudang membuat permaidani tempoh hari terus-terusan menggugat ketenangannya. Dia perlu.

Lalu dia menahan sebuah teksi dan mengarahkan pemandunya ke sebuah perkampungan yang tidak berubah sejak dulu. Dia pernah menginap di salah sebuah rumah di perkampungan itu, bersama-sama Balqis, selama satu minggu.

"Mustahil!" desis hatinya. "Mustahil kalau cuma seminggu, sudah membuahkan hasil. Karut! Kerja gila jika mempercayainya! Tapi. ..."

Teksi usang itu terus meluncur laju. Setiap kali mereka melewati sesebuah bangunan bersejarah, pemandu teksi itu mengerling ke arahnya melalui cermin kecil yang tergantung di hadapannya. Dia bertanya sama ada Adam berminat untuk singgah di Cairo
Marriot, bekas istana mendiang Raja Farouk dan Alexandaria yang gemar berfoya-foya dan kemudiannya digulingkan oleh Gamal Abdel. Adam menggelengkan kepala, menolak tawaran pemandu itu. Teksi usang itu terus meluncur laju melewati bangunan Cleopatra Papyrus Institute, melewati pelancong-pelancong dari Eropah yang kelihatan seronok
menunggang unta di padang pasir, melewati beberapa buah piramid raksasa yang dibina khas untuk Firaun Khufu atau Cheops, melewati sisa-sisa kuil peninggalan zaman silam. Teksi itu terus melewati daerah perdagangan Kaherah, melintasi Universiti Al-Azhar dan kemudian mereka melewati tanah perkuburan yang berbatu-batu panjangnya, merangkap daerah penempatan bagi mereka yang miskin. Hatinya tertanya-tanya, 'apakah di tanah perkuburan ini tempat kedua-dua ibu bapa Balqis dikebumikan? Dia mengeluh panjang. Ah, masih hidup-kah lagi Abu Qarrun, lelaki tua yang memelihara Balqis
sejak kecil itu? Apakah lelaki tua itu juga sudah disemadikan di tanah perkuburan itu kini?

Namun lamunan Adam segera terbang, apabila teksi itu tiba-tiba berhenti di hadapan bangunan yang bertulis Carpet School. Serta-merta wajahnya pucat seperti mayat. Dengan suara yang sedikit kasar, dia mengarahkan pemandu teksi itu meneruskan perjalanan ke tempat yang ditujuinya. Kemudian, dengan suara yang lembut, setelah berjaya mengawal perasaannya, dia menjelaskan kepada pemandu itu bahawa dia telah
pun melawat gudang membuat permaidani itu beberapa hari yang lalu bersama-sama isterinya.

"Allah, bang. Rendahlah mutu permaidani-permaidani ni," bisik isterinya pada ketika itu. "Ah, patut pun, budak-budak kecil yang disuruh buat!"

Begitu isterinya membebel tentang mutu permaidani itu. Adam merasakan bagai terpanggil untuk menghampiri beberapa orang kanak-kanak yang sedang membuat permaidani itu. Kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga ke sepuluh tahun itu,dengan pipi yang kemerah-merahan, mata bulat yang jernih dan sayu, duduk berderet-deret membuhul satu per satu benang-benang sutera untuk dibuat permaida-
ni. Seorang pengawas lelaki yang berwajah dingin dan bengis, memberi arahan dan memerhatikan kerja yang dilakukan oleh kanak-kanak itu. Dengan tidak semena-
mena, salah seorang daripada kanak-kanak itu memberanikan diri mengangkat muka dan menatap wajah Adam, bagai meraih simpati. Beberapa detik kemudian, sinar mata kanak-kanak perempuan yang berumur dalam lingkungan sembilan tahun itu berubah, menjadi bercahaya-cahaya. Dengan tidak semena-mena, dia melonjak datang dan memaut leher Adam.

"Ayah! Saya tahu ayah akan datang ...!" ujar kanak-kanak itu, berulang kali dan tersekat-sekat.

"Saya tahu! Biar apa pun orang lain kata, saya tak peduli. Saya tahu, saya juga ada ayah seperti budak-budak lain. Saya tahu, ayah saya akan datang dan menyelamatkan saya daripada pengawal yang jahat itu!"

Dengan tidak semena-mena, tubuh kanak-kanak perempuan itu tersentak ke belakang dengan kasarnya. Pengawal lelaki yang berwajah bengis itu, tidak putus-putus menghamun kanak-kanak perempuan yang meronta-ronta dalam genggamannya.

"Ayah! Tolonglah saya, ayah!" rintih kanak-kanak perempuan itu, tersedu-sedan. "Jelaskan pada pengawal lelaki yang jahat itu, saya bukan anak yang tidak berbapa. Saya ada ayah juga. Dan ayah saya sudah datang, untuk membawa saya pergi. Tolonglah, ayah ...!"

"Tapi, saya tak pernah mempunyai anak perempuan," jelas Adam, biarpun dia amat bersimpati dengan nasib anak malang itu. "Percayalah, kalau saya ada anak perempuan, saya akan berterus terang. Buat apa saya berbohong. Tapi, saya ada anak lelaki, tiga orang semuanya, nun jauh di negara Malaysia. ..."

Dengan tidak semena-mena, kanak-kanak perempuan itu berhenti meronta-ronta. Dengan teresak-esak, dia menyeka air matanya dan merenung wajah Adam dengan pandangan yang amat sayu. Aneh, air muka yang jernih yang terpancar di wajah kanak-kanak
perempuan itu, seakan-akan pemah dilihat di wajah seorang kanak-kanak lain sebelum ini. Nafas Adam tersentak. Ah, mustahil! Mustahil! Mustahil air muka anak kecil ini serupa dengan air muka anak-anakku! Karut! Karut ...! Bantah hatinya, kerusuhan.

"Ada apa, bang?" soal isterinya, terpinga-pinga dan tidak mengerti sepatah pun perkataan yang diucapkan oleh anak kecil itu.

"Maafkan kami tuan," ujar pengawal berwajah bengis itu. "Saya tak sangka anak ini akan berkelakuan begini ganjil kerana selama ini, dia cuma berangan-angan saja kononnya dia juga mempunyai ayah. Budak ini anak tanpa ayah, anak luar nikah, tuan. Maafkan kami. ..."

"Tak mengapa, tak mengapa ...," jawab Adam, serba tidak kena.

"Saya akui, kelakuan anak itu memburukkan pandangan pelancong terhadap kami. Saya mohon maaf, tuan," tingkah pengawal berwajah bengis itu. "Saya sudah cukup bertimbang rasa padanya. Dia cucu petani miskin. Di sini dia diberi peluang belajar membaca dan menulis, sambil bekerja menenun permaidani. Ah, kalau bukan kerana datuknya, datuk saudara saya juga, dah lama saya halau dia dan sini. Maafkan kami, tuan. ..."

Dengan wajah yang tersirat berjuta-juta rasa pilu, kanak-kanak perempuan itu bergegas menghala ke belakang gudang. Dan sewaktu Adam dan isterinya kembali menaiki teksi untuk segera pulang, sekali lagi kanak-kanak perempuan itu datang secara mencuri-curi; bimbang dilihat oleh pengawal lelaki berwajah bengis itu. Adam dan isterinya menjenguk ke luar tingkap teksi dan meneliti wajah kanak-kanak perempuan itu. Dengan tidak semena-mena, hati Adam disentuh pilu.

"Apa yang pak cik boleh buat untukmu, nak?" soal Adam, lembut.

"Nah, ambillah permaidani kecil ini," ujar kanak-kanak perempuan itu, perlahan. "Permaidani ini memang saya tenun khas untuk ayah saya, apabila ayah saya datang. Bertahun-tahun lamanya, saya menenun dan melukis gambar di permaidani ini. Setiap
wang saku saya, saya gunakan untuk membeli benang-benangnya. Nah, saya harap permaidani itu menyenangkan ... tuan, biarpun tuan tak mengakui saya anak
tuan. ..."

"Siapa namamu, nak?" soal Adam, teragak-agak menyambut pennaidani pemberian anak kecil itu. Diterima salah, tidak diterima mungkin akan membuatkan gadis kecil itu kian parah.

"Nama saya, Ruqqayah binti Adam bin Imran bin Abdul," jawab anak kecil itu, kembali teresak-esak. "Dan arwah ibu saya bemama Balqis binti Abu Hurairah bin Abu Qarrun bin. ...." Tanpa menghabiskan kata-katanya, anak kecil itu terus berlari pergi,
meninggalkan Adam yang berwajah sepucat mayat.

"Ada apa, bang?" tanya isterinya. "Apa yang budak tu cakap? Apa?"

Teksi usang itu terus memecut laju, menyusuri sebuah perkampungan petani di pinggiran Sungai Nil. Teksi itu kemudian beransur-ansur perlahan dan berhenti di hadapan sebuah rumah usang. Adam turun dari teksi sambil menggenggam sehelai permaidani comel sebesar sapu tangan lelaki. Pada permaidani itu tertera dengan lukisan wajah Balqis dan Adam, dalam pakaian perkahwinan ala Barat. Dengan hati yang
berdebar-debar, dia melangkah menghampiri seorang lelaki yang sangat tua yang sedang berdiri di bawah pohon kurma. Lelaki itu terkejut dan kemudian tersenyum.

Adam tersedak hiba. Pada hari ini, dia bertekad akan melangkah keluar dari ketulan ais yang sekian lama memerangkap jiwa dan raganya. Dia wajib menembusi ketulan ais itu, untuk menebus dosanya. Dia perlu!

AZMAH NORDIN

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.