Ada wajah Hijrah

Oleh Ilham Hamdani




"Shahrul, aku sudah fikir masak-masak. Aku akan balik!"

"Balik?! Ke mana? Malaysia?! Bercuti? Tenangkan fikiran?"

Diam, tak berjawab dan lama.


"Tidak. Pulang terus!"

Daerah Canberra, di tengah belantara gurun Australia pada musim-musim panas, meskipun sudah semakin hujung, tetap seperti lahar-lahar api neraka � panas, membara dan menyinga. Debu-debu yang menghimpunkan pasir-pasir halus bagaikan amarah kepanasan membuak-buak, menghadiahi penghuninya dengan kelelahan dan walang yang memuncak.

Anehnya. Pada daerah Canberra yang sama, dengan kuasa Tuhan yang agung, yang Satu itu, pada saat Mac menguakkan tabirnya, buana menyiapkan peraduan alam dengan warna-warni maple menguning dedaunnya, secerahnya, sedang suhu nyaman metah. Kemudian, tidak lama daerah Canberra yang sekarang ini diamuk bara-bara jahanam ini akan menjadi dingin beku dan lagi, daerah-daerah bukit berdekatan � Perisher Blue dan Snowy Mountain yang menjadi garis pemisah antara Canberra dan Victoria akan berkeputihan dengan salju bersih. Agungnya aturan Tuhan!

Shahrul yang rambutnya sudah meraja dengan putih sebagai petanda usia yang semakin senja bersuara, setelah menjerit seteguk air Pepsi,

"Semudah itu kau berputus asa, Kamal? Jangan mudah mengalah, kawan!"

Saya merenung jalan yang libang-libu di tengah bandar Canberra. Northbourne Avenue, pada petang hari kerja, manusia tergesa-gesa, sepertinya berlari-lari, demi mengelak panas yang menggigit. Siang di Canberra pada musim-musim panas, suhu boleh sahaja mencecah hingga 40 darjah sedang malamnya akan bersisa separuh.

"Kita ini perantau, Kamal! 20 tahun dulu, kita kata kita ini merantau kerana ia adalah sepertinya hijrah Nabi, bukankah begitu?"

Tunak Shahrul menembak lensa saya. Saya teralah, menunduk, sedang ada anak peluh mereneh pada pangkal hidung. Mungkin oleh hawa membahang, mungkin oleh aura keresahan.

"Kematian Faridah memadamkan cita-cita aku. Terpadam habis, seperti bara yang disiram air. Aku rasa kehidupan aku di sini sudah tak bertujuan lagi, kosong!"

Pepohon willow yang garing oleh hawa panas terliuk-lentuk oleh angin panas yang mengirimkan bara-bara kehangatan yang meluap-luap. Dari Ali Baba Kebab; tempat kami berada ini, manusia lain kelihatannya bersimpang-siur memilih arah perjalanan sendiri, sama ada mengambil Alinga Street, Ruud Street ataupun menyusuri laluan sesak Northbourne Avenue.

"Kalaulah kerana kematian isteri akan mematikan seluruh cita-cita, lalu aku rasa Nabi lebih terpukul, Kamal. Yang dinamakan orang dengan tahun kesedihan itu kerana Nabi kematian dua orang terpenting dalam hidupnya, isterinya Khadijah dan tiga hari kemudian bapa saudara yang banyak berjasa, Abu Talib."

Bas Action yang entahkan dari Manuka, entahkan dari Tuggeranong atau entahkan dari daerah-daerah kecil mana, melintasi laluan depan kami, meninggalkan suara bingit yang menghilangkan bicara Shahrul. Mentari pada jihat barat hanya seperti sejengkal lagi daripada pembaringannya dan pastilah rembulan sedang siaga menanti waktu untuk menjaringkan pedaerahan Canberra ini dengan malam yang pekat.

"Tetapi, perjuangan Nabi tak terhenti dengan kematian mereka berdua itu, bukan?" Bicara Shahrul ada sambung, rupanya. Dia tersenyum, menawarkan kelegaan, meski sedikit amat.

Saya diam, tak terkata. Di seberang, adalah barisan kedai-kedai pub, antaranya Morshed Pub dan 32 Pub yang akan mulai dibanjiri manusia apakala datangnya Maghrib. Begitulah manusia di Canberra menghabiskan usia-usia hujung minggunya.

Di Canberra ini, selain penjawat awam, sesuai dengan kedudukan bandar Canberra sebagai ibu negara Australia, adalah juga mahasiswa-mahasiswa universiti, sama ada University of Canberra, atau Australian National University; salah satu universiti yang tersenarai antara 20 yang terbaik di dunia.

Dan, pub dan disko inilah tempat mereka bergelandangan pada malam-malam hujung minggu atas nama melepaskan lelah, atas nama menghilangkan tekanan dan atas nama mencari ketenangan. Sedang kata Tuhan pada surah Ar-Ra'ad ayat 26: Dengan menyebut nama-Nya, lalu hati itu menjadi tenang!

"Entahlah, Shahrul," saya mengeluh. Ada resah bertebaran pada tampang saya yang walang, itu yang saya pasti.

"Kamal.�"

Shahrul mati kata. Saya renungi Shahrul yang berwajah persih sambil menanti dengan keluh-kesah.

Tahun 1987, kerana kegawatan ekonomi, kami berdua antara ribuan yang lain bernasib malang � kehilangan pekerjaan. Kami nekad � kita berhijrah, Shahrul, sepertinya Nabi yang berhijrah, dari kota Makkah yang mulia ke kota Madinah. Saya pujuk Shahrul, saya yakinkan dia � Shahrul, di bumi Tuhan yang mana sekalipun, kalau ada usaha, pasti akan datang pertolongan dan jalan keluar daripada Allah.

Tambah saya lagi: Usaha dakwah Nabi ke Taif, misalnya, meski gagal memautkan penduduknya kepada Islam, rupanya dalam perjalanan pulang, ada sekumpulan jin yang beriman kepada dakwah Nabi. Nah, ada usaha, adalah kejayaannya. Begitu saya pahatkan keyakinan kepada Shahrul, saat itu, saat kami membulatkan tekad meninggalkan tanah Malaysia.

Sudahnya, kami terhantar ke tanah gersang, ke tanah Canberra. Saat itu, saat kami sampai ke sini, mencari makanan halal susah sungguh, bilangan Muslim boleh dikira. Sedang Masjid Canberra yang duduk betul-betul berhadapan dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia itu tidak lebih seperti sebuah rumah kecil. Nah, itulah ujian, itulah cabaran yang tidak sedikit, hampir-hampir meluntur nekad yang sudah kami bulat awal-awal.

"Kamal, pekerjaan kau di sini adalah ibadah!"

Shahrul menokok kata. Dari butir bicaranya terlantunlah bujuk, terhantarlah harap, sedang ia tertindan-tindah dengan bimbang dan resah, takut-takut saya bersungguh betul mahu pulang ke Malaysia.

"Tetapi, hidup di sini sudah tak ada makna apa-apa. Kau pun tahu bukan, Faridah itu adalah segalanya bagiku!"

"Jangan berfikiran singkat."

"Kau cakap memang senang, yang menanggungnya aku."

Shahrul diam, seperti melepaskan rasa kecewanya pada bayu petang yang masih mengirimkan bara.

"Dan kepulangan kau ke Malaysia pun, tak ada makna apa-apa juga. Kau sudah tak punya siapa-siapa lagi di sana. Sedangkan kehidupan kau di sini, ibadah. Sedangkan kehidupan kau di sini adalah tanggungjawab agama, bukan?"

Shahrul, saya tahu, dia bermain dengan psikologi. Cuba memujuk saya, cuba memadamkan nekad saya untuk pulang ke Malaysia.

"Kedai daging halal kau tu. Ya, dari satu segi ia tidak lebih sebagai sumber rezeki kau semata-mata. Tetapi, dari satu segi yang lain, kedai tu sumber makanan halal untuk orang di sini. Besar maknanya bagi orang Islam di sini. Bayangkan, dengan jumlah orang Islam yang semakin ramai di sini sekarang, secara logiknya jumlah kedai yang menjual daging halal sepatutnya semakin banyak, bukannya semakin kurang. Tak boleh sekadar mengharapkan kedai Micheal di Yarralumla, kedai Fazal dan Jabal Halal semata-mata. Kalau boleh, kita mahu lebih banyak kedai halal. Kalau boleh, setiap suburb mesti ada satu kedai halal, itu yang bagusnya. Ini fardu kifayah, Kamal!

Bukankah ini roh hijrah yang sama-sama kita pasakkan pada saat kita mengangkat kaki meninggalkan Malaysia 20 tahun yang lampau? Kata kau, hijrah kita ke Australia ini bukan semata-mata mencari sesuap rezeki, tetapi hijrah kita kerana menyebarkan Islam. Buktikan kata-kata kau tu!"

Saya terdiam. Kedu. Shahrul, bicaranya ada noktah lama di situ. Mungkin dia mahu memberi saya ruang berfikir, meski sejenak, meski sesaat, agar kata-putus saya kelak lebih dilandasi atas tuntutan agama, tidak hanya terlantun dek emosi melulu semata.

Saya lihat sekawan burung Cookuu yang rupanya seperti burung kakak tua dengan tubuh putih dan berbalung merah melintasi langit kami, mungkin baru kembali dari tasik Burley Graffin di pinggiran bandar Canberra. Tasik Burley Griffin dengan riak birunya yang kadang-kadang berkucah besar, seperti hati saya yang akhir-akhir ini resah-gelisah

"Dan lagi � urusan-urusan jenazah tu, takkan kau nak serahkan pada Mahmud seorang untuk uruskannya. Aku bimbang tak menang tangan Mahmud uruskannya sendirian, tambah lagi dia tak berapa sihat sekarang.

Semua tu ibadah. Semua itu tanggungjawab, Kamal! Fikirlah betul-betul, renung-renunglah lama-lama. Aku hanya sekadar memberikan nasihat, tetapi kata akhir tetap pada kau. Harap-harapnya, aku tak akan kehilangan kawan yang sama-sama merantau, kawan yang sama-sama berhijrah."

Lama saya merenung Shahrul, ah, ikhlas beriak-riak pada air wajahnya,

"Kau betul-betul buat aku serba-salah, Shahrul!"

Saya lihat Shahrul sempat tersengih.

Sesungguhnya nasihat Shahrul petang ini benar-benar menolak saya ke persimpangan. Sesungguhnya bicara Shahrul petang ini sungguh-sungguh membuka dimensi baru pada niat kepulangan saya ke Malaysia. Saya jadi cukup-cukup berfikir, bahawa keberadaan saya di tanah orang Canberra ini adalah hijrah, adalah kehendak agama dan adalah perencanaan Allah jua.

"Ya, aku faham. Isteri � siapa yang tak sayang isteri. Aku faham, Kamal. Tetapi, inilah ujian yang akan menilai sejauh mana imannya kita pada qada dan ketentuan Allah." Shahrul, matanya berkesip-kesip, mungkin diterpa oleh debu halus, mungkin sahaja dibayangi oleh kehibaan. Dia terdiam lama, seperti katanya tersangkut pada ghalgarah paling atas.

Shahrul sambung kata, "Tetapi, bukankah janji Tuhan itu benar? Di balik kesedihan ada bahagia. Setelah berlalunya awan kelabu, cahaya matahari akan bersinar. Cuma, kita harus bersabar sedikit. Itulah harga sebuah ketabahan. Diuji dan kita bersabar pastinya ada ganjaran istimewa di sisi Tuhan.

Aku takkan lupa, Kamal, nasihat kau � 20 tahun dulu! Kata kau, Nabi pasrah. Dengan berat hati terpaksa meninggalkan bumi kelahiran Makkah, melalui jalan pantai yang penuh liku dan jarang-jarang dilalui orang. Rupanya di tanah Madinahlah kebahagiaan datang, Islam berkembang hinggakan pada saat Khalifah Umar menjadi khalifah, Islam menjadi tuan kepada dua pertiga dunia."

Saya terdiam lama. Laluan Northbourne Avenue tetap sesak dengan kenderaan yang setali, seperti juga indera fikir saya yang sentiasa padat. Ada rupa kedai daging halal di Belconnen yang saya sedang usahakan dan sedang dikembangkan. Terasa sayang sungguh untuk membiarkan benih yang baik itu terkubur tiba-tiba.

Kemudian melintas wajah lelaki separuh baya yang saya kenal keikhlasannya � Mahmud Hanafi! Lelaki kurus tinggi yang mendatang dari kawasan Gaza, Palestin itu adalah pengurus kerja-kerja jenazah di sini, di Canberra. Tatkala saya datang dulu, dengan Shahrul � Mahmud Hanafi � yang sudah saya anggap seperti abang dan seorang guru itu pelawa saya untuk kerja-kerja jenazah itu,

"Kerja ini tak ramai yang berminat! Tetapi, kerja ini kerja mulia, kerja ini yang berkat dan ada makna besar di sisi Tuhan."

Saya ingat amat kata-kata Mahmud Hanafi itu, meski detik peristiwa itu sudah lama berdebu, ya, hampir-hampir 20 tahun yang lampau.

Tidak lama kemudian, saat bola mata saya masih tertancap pada lampu isyarat antara laluan Northbourne Avenue dan Ruud Street, tampang manis Faridah datang merajai indera lihat saya. Rohnya seperti menyapai saya, semberi serasa-rasa seperti semangat saya dibawa terbang, jauh-jauh.

"Abang, kita berhijrah ke sini kerana Tuhan, bukan kerana saya atau mana-mana manusia lain. Abang sering sahaja mengulang kata hadis pertama dari Himpunan Hadis 40 yang masyhur itu, hadis yang bersumberkan daripada Saidina Umar al-Khattab itu: Hanyasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.

Abang, teruskan hijrah ini kerana ada ganjaran besar di sisi-Nya �"

"Kamal �" Panggil Shahrul, mengejutkan.

Saya mencari Faridah, menjejak suaranya. Tiada. Ya, pasti tiada kerana Faridah, isteri yang saya sayang itu sudah bersemadi di bawah dua tiang nisan yang bisu. Tetapi, betapa suaranya meninggalkan semangat yang seperti ditiup-tiup dan seperti disiram-siram. Maka saya jadi seperti seketul bara api yang lip-lap-lip-lap kemudiannya jadi merah nyala tatkala ditiup. Maka saya jadi seperti tanah tandus yang kemudiannya disiram air jadi hijau segar sungguh.

"Shahrul, aku rasa aku akan ikut kata kau. Aku akan terus berkembara di sini."

Shahrul memberi senyum ceria, seperti mentari jingga yang sudah bersedia untuk kelam di peraduan Canberra.

"Aku tahu, semangat hijrah kau takkan terpadam, Kamal."

Shahrul tepuk bahu saya, mesra, "kerana hijrah kita ke sini dulu bukan hijrah biasa, tetapi kerana hijrah untuk Tuhan kita!"

Biodata:

ILHAM Hamdani nama pena bagi Mohd Izuddin Mahamad Nazir yang dilahirkan di Kangar, Perlis. Sangat meminati penulisan kreatif meskipun terdidik dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Ibaraki, Jepun. Beberapa karyanya pernah mendapat tempat dalam media arus perdana dan kini berkhidmat di Canberra, Australia.

0 comments:

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.