Melati di Tapal Batas

Melati di tapal batas (Mingguan Malaysia)

Oleh FUDZAIL
MELIHAT jam di tangan, sudah hampir tiga jam menunggu. Di mana-mana kelihatan masih panjang barisan penumpang ke kaunter, ke tempat pemeriksaan sekuriti dan untuk masuk ke terminal.

Ada yang bersepah-sepah, berkelompok dan berbondong. Kekadang statik dan sesekali bergerak perlahan-lahan. Kekadang bagai zombie yang mengikut arahan. Kekadang bagai kambing terlepas dari kandang, tidak tahu arah tujuan.

Sememangnya Heathrow masih saja agak kalut dan tegang. Sekali lagi dikatakan ada plot pengganas mahu meletupkan banyak kapal terbang yang menuju ke Amarika. Saya hanya tahu sebaik tiba di Heathrow walau sepanjang perjalanan nampak kereta-kereta polis begitu laju, seakan terbang ke semua arah. Tidak begitu peduli kerana fikiran jauh melayang.

Dengan pelbagai gambaran menghuni ruang pandangan. Berdebar meninggalkan sebentar kota London ke destinasi yang selama ini banyak didengari. Sebaik tiba di Heathrow, para penumpang juga tidak dibenarkan ke tempat perlepasan, tetapi ke tempat ketibaan.

Nampak para pengawal keselamatan seakan cemas, sibuk mengejutkan mereka yang sedang tidur di bangku-bangku. Menjerit. Membuat arahan dengan talkie-walkie, masing-masing tak henti berbunyi.

Begitupun tidak banyak komunikasi atau maklumat apa yang sebenarnya sedang berlaku dan orang ramai semakin gelisah, malah ramai yang marah-marah kerana semuanya kebingungan.

Dari perbualan yang dipenuhi khabar angin dan terdengar percakapan antara penumpang, mendapat tahu yang banyak barang tidak dibawa masuk ke dalam kapal terbang. Terutama kalau destinasinya ke Amerika Syarikat.

Setelah pasport, tiket hanya boleh bawa masuk beg duit, wang tunai dan susu bayi serta ubar-ubat yang mendapat preskripsi doktor.

Pengumuman

Tidak banyak yang diketahui dalam kompleks Heathrow. Tiada pengumuman lebih lanjut. Terdengar tidak henti rungutan daripada penumpang. Kelewatan, penangguhan dan pembatalan penerbangan terpapar di skrin berselang-seli.

Menambahkan keributan kerana kaunter-kaunter diserbu setiap kali terpampang maklumat terkini mengenai penerbangan.

Setelah agak lama, saya dapat juga melalui sekuriti. Terpaksa menanggalkan kasut, sahaja yang dibenarkan untuk melalui “pintu gerbang.”

Tiba-tiba seorang perempuan berkulit hitam yang agak berumur secara protes mengherdik kerana mungkin terlalu lama berbaris. “Boleh saya tanggalkan semua pakaian?” Ramai yang ketawa, tetapi tidak pengawal keselamatan yang menarik wanita itu masuk ke bilik pemeriksaan rapi. Tiada masa untuk berjenaka dalam keseriusan dan kritikalnya suasana.

Memang banyak kerenah dan gelagat yang melucukan dalam kejemuan menanti. Bercampur ketegasan, kalau tidak kelam kabutnya para pengawal keselamatan yang mempunyai tugas besar. Dengan ribuan penumpang yang datang dan pergi ke pelbagai negara, Heathrow tiba-tiba menjadi sebuah program realiti tv yang dipenuhi kejutan dan reaksi spontan manusia yang mahu tahu. Dan saya antara pelakon yang berada di masa dan ruang yang salah. Pelakon amatur tanpa bayaran yang membazirkan masa tanpa banyak pilihan.

Bernasib baik laptop dibenarkan, dapat mengakses berita terkini apa yang terjadi di Heathrow, selain iPod yang sentiasa menemani. Di mana ayah telah muat turun banyak lagu yang katanya pernah menjadi siulan semasa dia seusia saya.

Beberapa kali menerima dan menjawab SMS yang dihantar. Ayah bertanya khabar. Sesekali bertanya, lagu apa yang sedang didengar. Sebenarnya saya berselang-seli mendengar lagu-lagu “pilihan” ayah dengan lagu-lagu pilihan sendiri.

Dan setiap kali menerima SMS, saya menukar lagu untuk memastikan jawapan saya membuktikan yang saya memang mendengar.

Jawab saya dengan menyalin nama lagu daripada iPod, “Ikan Di Laut, Asam Di Darat.” Ayah membalas cepat, “Liriknya penuh nasihat, mungkin itu bukan kebetulan.”

Saya tidak pasti kenapa ayah beriya-iya meminta saya mempelajari bahasa Malayu melalui lagu. Agak sukar memahami bahasa yang jarang saya gunakan. Sesekali apabila ayah cuba bercerita tentang nostalgianya. Tentang daerah jauh yang lama ditinggalkan. Itupun lebih banyak melalui blognya.

Cerita-cerita persengketaan dua benua. Tetapi untuk tidak mengecewakan ayah yang kini terlantar, melalui kamus online “Melayu-Inggeris.” dapat juga memahami bait-bait lirik. Lirik pun muat turun dari beberapa blog yang menyimpan pelbagai lirik dan mpeg lagu-lagu Melayu.

Janggal sekali buat saya yang dibesarkan oleh lagu-lagu Rem, Take That, U2, Celine Dion, Mariah Carey sebelum Robin Williams menguasai pop British. Tetapi itulah keadaannya di Heathrow yang penuh peristiwa.

Sambil mengikut irama yang semakin lama, semakin menusuk, terasa hilang dalam wajah-wajah sekeliling yang semuanya memaparkan sejuta emosi. Dalam suasana “homeless” apabila ramai yang akan seakan menjadi persona-non-grata di Heathrow, sebuah lapangan terbang terbesar dan paling terkenal di planet bumi.

Kenyataannya Heathrow bukanlah lapangan terbang yang terbaik di abad ini. Malah yang terburuk dalam pelbagai kemudahan. Berbanding lapangan terbang lain di Asia,

Berdekatan saya, satu famili besar dari Mumbai memberitahu, “Kami hanya tahu yang penerbangan kami dibatalkan terus dan kami tidak tahu apa nak buat. Kena balik hotel? Kena tunggu? Tiada siapa mempunyai maklumat, tiada siapa dapat membantu, penerbangan India pun macam biasa, khidmatnya paling teruk untuk rakyat sendiri!”

Saya juga tidak mempunyai jawaban kerana penerbangan saya sendiri turut tertangguh ke satu masa yang akan diberitahu. Klise sekali, Kuala Lumpur sebagai destinasi yang semakin terbayang dengan warna-warna ekpekstasi. Yang memanggil-manggil bersama alunan lagu-lagu “pilihan” ayah. Nasib juga khidmat wi-fi tidak tergendala, saya boleh juga ke laman-laman web mengenai Kuala Lumpur.

Walau banyak laman web rasmi kerajaannya yang tidak dikemas kini, sedikit sebanyak memberi maklumat berguna. Lalu pula seorang pekerja sebuah syarikat penerbangan yang terpampang logo syarikat di bajunya, nampak gementar. Terdengar dia memberitahu seorang penumpang. “Baru tiba dari Kanada dan tidak tahu apa yang mesti dilakukan!” Kalut dalam waktu kecemasan.

Ternyata persediaan agak longgar di lapangan terbang besar dunia, bayangkan kalau benar-benar ada kecemasan. Haru-biru jadinya. Tentu ramai yang boleh terkorban kerana kekalutan pasukan keselamatan yang sepatutnya menjadi yang terbaik di dunia.

Cuaca Inggeris dengan hujan yang semakin lebat di luar adalah panorama yang tidak membantu untuk menyejukkan kepanasan hati majoriti penumpang yang terperangkap.

Apa lagi musim panas yang kian ke penghujung dilanda suhu yang semakin tinggi. Lantas keributan di Heathrow bukanlah satu yang boleh diterima dengan senyuman gembira.

Datang sekumpulan remaja yang kelihatan terpinga-pinga. Enam orang semuanya. Semua berbaju-t kuning yang sama, terpampang “Malaysia” di dada. Mereka seakan mahu bertanya sesuatu.

Saya menghampiri dan cuba berkata sesuatu yang mesra.

“I sound stupid if i speak Malay... hmm tapi saya cuba bercakap Melayu, kalian mahu terbang ke Kuala Lumpur?”

Mereka nampak terkejut. Kemudian ketawa. Mungkin tidak sangka seorang gadis kulit putih mahu bercakap dalam bahasa Melayu. Lintang pukang dan penuh slogan yang pelat. Menghina bahasa indah kata ayah, digunakan oleh nenek moyangnya dahulu.

Meninggal

Sebelum dia dilarikan ke England oleh ayahnya, iaitu datuk saya yang baru meninggal, ibu saya juga meninggalkan ayah sewaktu saya masih kecil. Kami bernasib serupa. Dari blog ayah, datuk bercerai dengan seorang wanita Melayu yang hanya tinggal nama seiras nama saya, Kathy.

Sewaktu perceraian dan dia dilarikan itu kata ayah, Malaysia sedang dalam proses pembangunan. Ayah hanya bercerita apabila datuk meninggal dan kebetulan ada konsert seorang artis Malaysia di Royal Albert Hall.

Yang mengembalikan seribu nostalgia silam untuk ayah yang tiba-tiba mahu menjadi seorang Melayu kembali.

Saya tahu saya ada darah Asia tetapi oleh kerana keadaan, tidak banyak bergaul dengan orang-orang Asia, walau kota London sudah menjadi kosmopolitan. Dipenuhi jutaan imigran dari benua-benua yang pernah dijajah empayar besar Great Britian satu masa dahulu.

Ayah pun banyak bercerita, hanya membenarkan saya berangkat ke tanah kelahirannya selepas saya berusia lebih 18 tahun. “Nanti ada kejutan budaya...!” Dia berseloroh. Kebetulan kata ayah, daripada berita yang dibacanya secara online, salah seorang daripada ahli keluarganya akan mendirikan rumah tangga, acara yang dianggap “perkahwinan tahun ini.”

Ayah jatuh sakit selepas menonton satu perlawanan bola liga dan meminta saya pergi, walau tidak mendapat undangan.

Sekilas itu, ada suara mencelah.

“Tidak perlu cakap Melayu, kami fasih cakap Inggeris!” jawab seorang mereka yang tertulis nama di tag baju-T nya, Michael Lee.

“Tetapi apa salahnya berbahasa Melayu... kami fasih juga berbahasa Melayu!” Seorang lagi yang tag namanya tertulis Sumintha. Mata bulatnya menonjolkan kecerdasan. Tersenyum melirik seperti seorang pelakon Bollywood yang banyak muncul di Sky TV.

Ya, kami mahu balik ke KL. Tetapi tidak tahu bila jadual penerbangan yang tertangguh, betulkah ada pengganas mahu meletup kapal terbang dengan cecair?”

Saya pula ketawa. Cuba menangkap perkataan untuk memahami. Sumintha sama ketawa melihat kerutan di wajah saya, mengulangnya dalam bahasa Inggeris.

Memahami soalan itu, terbayang imej-imej lucu Bush dan Blair dengan ratusan kartun. Karikatur yang cukup menghina untuk dua pemimpin semasa dunia. Kebetulan, saya dan Blair mempunyai sedikit persamaan, dia pernah menuntut di Oxford dan saya kini sedang menuntut di universiti yang sama. Agak malu pula untuk mengaku sama-sama dari Oxford walau Blair, sebagai perdana menteri termuda pernah menjadi idola kerana karisma dan kewibawaannya, sebelum dia menjadi pengikut Bush yang bodoh setia.

Berijazah dari Oxford tidak semestinya bijak berpolitik. Waktu ini, selepas perang Iraq dan Lebanon, saya cukup benci kedua-dua manusia hipokrit itu kerana menjadi pemimpin dunia yang paling tidak guna dalam hayat saya.

Dan kerana Blair juga, saya turut mahu menjadi seorang perdana menteri yang boleh mengubah dunia ke arah yang lebih selamat dari pengganas bermacam wajah, sama ada Neo-Con, Zionis, Tamil Tigers mahupun al-Qaeda. Perdana Menteri yang melangkaui batas gender, agama, budaya dan sempadan bangsa. Kalau boleh, lebih muda dari Blair yang menjadi perdana menteri sewaktu berusia 43 tahun.

Bergema soalan “innocent” itu di tengah Heathrow yang terus gamat. Eksplosif cecair untuk letupkan kapal terbang? Sungguh biul dan tidak munasabah. Mustahil. Tiada bahan untuk menyejukkan atau mengawal campuran cecair. Bila masa untuk mencampurkannya dalam kapal terbang? Melakukannya dalam bilik air yang kecil yang tidak cukup pengaliran udara? Berapa lama terpaksa membuat campuran menjadi bahan eksplosif? Sehari suntuk?

Tetapi untuk menerangkan sebegini dalam kekalutan Heathrow yang dipenuhi mata dan telinga perisikan tercanggih, mungkin tidak kena tempatnya. Tentunya, remaja yang terpilih mewakili anak-anak Malaysia ke satu persidangan peringkat Commonwealth ini mungkin lebih pandai berfikir mengenai sesuatu yang tidak masuk akal.

Jangan pandang rendah anak-anak yang terdedah dengan dunia blog, iPod, skype, yahoo messenger dan dunia online 24 jam sehari. Mereka lebih terbuka minda daripada majoriti warga Amerika yang hampir semua media massa dikuasai Yahudi. Menelan bulat-bulat propaganda Zionis.

Hati saya berbisik, dalam kepopularan Blair yang terus merundum, mungkin eksplosif cecair ini sekadar gimik, selain cuba menarik perhatian dunia daripada kekejaman Israel yang disokongnya di bumi Lebanon dan Palestin. Selalunya mereka yang ditangkap sebagai pengganas akan dilepaskan beberapa bulan kemudian kerana tiada cukup bukti untuk didakwa. Tetapi dua manusia bernama Blair dan Bush ini yang mesti ditangkap dan didakwa kerana di bawah mereka, ratusan ribu terkorban di merata dunia.

Merekalah pengganas yang sebenarnya di sebalik retorik demokrasi dan kebebasan bersuara. Tiba-tiba ada kiriman SMS dari ayah. Orang tua itu sedang terlantar menghidap sakit tulang belakang. Masih saja mahu tahu keadaan saya dan lagu apa yang sedang di dengar. Saya kembali ke iPod.

Kumpulan remaja itu menanti jawapan saya. Lantas saya menjawab, “mungkin ya, mungkin tidak... belum tahu apa yang sebenarnya berlaku...!”

Saya menjeling ke arah skrin tv yang memaparkan “Breaking News – Live From Heathrow.” Ulasan-ulasan segera yang penuh bias dan racis. Radikal muslim dan pengganas sudah sinonim.

Sumintha tiba-tiba memanga iPod saya.

“Kakak dengar lagu apa ya?”

Tersenyum

Saya serba salah, tersenyum sambil cuba menukar lagu. Sampai pula SMS ayah. “Itu lagu paling tepat untuk kamu, fahami liriknya dan kamu akan mengerti misi ini!” Sumintha terus saja mendesak, matanya ke arah senarai lagu.

“Oh, dengar lagu-lagu Melayu, semua lagu lama ni.., tidak pernah dengar!”

Saya tersenyum. Cuba mencari jawapan yang tidak menimbulkan kontroversi. Yang boleh menamatkan apa saja spekulasi yang mungkin timbul. Luar biasa untuk seorang gadis berkulit putih di terminal Heathrow, duduk mendengar lagu-lagu Melayu lama melalui iPod. Bukan sesuatu yang normal. Tidak masuk akal seperti eksplosif cecair yang boleh meletupkan kapal terbang di udara.

Realiti kekadang lebih aneh dan ganjil daripada fiksyen. Sesuatu yang tidak kena buat mereka yang tidak memahami apa yang sedang berlaku. Lantas dalam suasana Heathrow yang terus kelam kabut, saya cuba sama bernyanyi, menghayati irama bosanova, seperti karaoke di tengah ribuan manusia. Sumintha turut mengikut dari lirik di skrin laptop.

“... duhai puteri muda remaja, suntingan kampung halaman, kembali ke pangkuan bonda, berbakti kita di ladang...!”

Lagu yang menghantui sepanjang menanti di terminal Heathrow dalam penerbangan tertunda ke Kuala Lumpur. Penerbangan janggal mewakili seorang ayah yang enggan dan takut untuk pulang di tanah kelahiran dalam mencari identiti yang hilang.

Saya pun menjadi Melati di tapal batas merentas penerbangan dalam bulan Ogos, sempena ulang tahun kelahiran ayah yang ke-49.

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.