Cerpen: Abang Skizofrenia

SEJAK dulu lagi, abang akan tersenyum-senyum. Ketawa. Bibirnya pernah bergetar. Merengek. Bibirnya pernah berlagu. Menjerit. Intonasinya bagaikan jeritan pejuang di medan perang. Agaknya perang halusinasi. Kadang-kadang entah apa yang ingin dibisikkannya. Antara bisikan dan jeritan, kadang-kadang abang akan melolong. Lolongan yang panjang.

Kata emak, abang sudah lama begitu. Tingkah laku abang mula begitu ketika aku berusia 3 tahun. Aku masih berhingus. Aku tidak mengerti apa-apa. Kini, usia abang melewati 63 tahun.

?Kenapa abang jadi begitu, mak?? tanyaku pada suatu hari ketika aku balik dari sekolah. Kebetulan pula abang baru lepas mengamuk di ruang tamu rumah.

?Abang kamu tu kemalangan!? Suara sayu emak mula bergema. Matanya berkaca. Dapat kulihat titisan air jernih jatuh menitis membasahi pipi emak.

?Kereta Abang Chuan terbabas di Rawang. Kononnya kereta Abang Chuan berpusing dua kali sebelum terjerumus ke dalam gaung. Kepala Abang Chuan luka parah. Abang Chuan terperangkap di dalam keretanya yang sudah remuk itu.? Emak bagaikan penglipur lara mula rancak bercerita.

?Kemudian, mak...??

?Abang Chuan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur. Abang Chuan masuk ICU. Koma. Nyawanya ketika itu kata doktor, nyawa-nyawa ikan!?

Aku difahamkan bahawa emak telah menjaga abang di katil ICU. Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Begitu tabah dan cekal hati seorang ibu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saban hari, emak memanjatkan doa. Emak berdoa kepada Tuhan agar Abang Chuan sedar dan kembali normal. Itulah doa emak. Doa ayah dan doa seisi keluarga, sanak saudara dan handai taulan di Daerah Tanjung Jambu.

Dua purnama kemudian, aku mendapat khabar berita gembira. Abang Chuan sudah sedar daripada koma. Matanya sudah boleh buka dan tutup. Pelbagai tiub dan wayar pada badan Abang Chuan sudah ditanggalkan. Abang Chuan sudah melepasi tahap kritikal. Abang Chuan sudah boleh minum cecair. Nafas dan denyutan nadi Abang Chuan sudah kembali normal. Masuk bulan ketiga, Abang Chuan sudah dibenarkan pulang.

Kepulangan Abang Chuan disambut gembira. Moga-moga Abang Chuan pulih sepenuhnya. Bisnes Abang Chuan dikendalikan oleh Kak Kiew. Biarlah Abang Chuan berehat lebih lama sedikit. Biar Abang Chuan sembuh sepenuhnya. Ayah seperti biasa, masih dengan kerja rutinnya di Syarikat Sin Teck Soon. Kerja sebagai buruh kasar perlu diteruskan untuk sesuap nasi dan seteguk air untuk seisi keluarga. Tauke Sin Teck Soon bukannya siapa, saudara sekampung di Daerah Engchun, Tanah Besar. Biarpun ada bau-bau bacang, namun kerja tetap kerja. Gaji tetap gaji buruh kasar. Ayah tahu gaji buruh kasar ketika itu tidak mampu menjadi kaya. Cukuplah untuk makan dan minum seisi keluarga. Ayah tetap bersyukur. Dengan gaji itulah, ayah dapat menyara kami enam orang adik-beradik. Mujurlah, ada Kak Kiew. Kak Kiew dapat membantu kedai runcit Abang Chuan. Jika tidak, susahlah ayah dan emak untuk mengendalikan ekonomi keluarga. Emak pula suri rumah tangga sepenuh masa. Kini, tanggungjawab emak sudah bertambah sejak Abang Chuan kemalangan.

Bulan silih berganti. Abang Chuan sudah boleh makan dan minum. Abang Chuan sudah boleh mandi dan berjalan sendiri. Abang Chuan sudah boleh berkata-kata. Abang Chuan sudah boleh bernyanyi. Kadang-kadang Abang Chuan akan tersenyum sendirian. Kadang-kadang Abang Chuan akan menyanyi lagu Tionghua yang pernah dipelajarinya ketika zaman kanak-kanak di Tanah Besar. Lagu zaman Dr Sun Yat Sen agaknya atau barangkali lagu pada zaman revolusi Mao!

Perubahan yang mendadak pada Abang Chuan menggemparkan kami sekeluarga, terutamanya ayah dan emak. Emak bertanyakan hal tersebut kepada Abang Chuan. Abang Chuan diam membisu. Kemudian, Abang Chuan tersenyum-senyum.

Dalam diam-diam, emak meluahkan keresahannya kepada ayah. Ayah dan emak kebingungan memikirkan nasib Abang Chuan. Keresahan dan kebimbangan ayah dan emak telah diluahkan kepada doktor pakar Abang Chuan di Hospital Kuala Lumpur.

?Anak Pak Cik mengalami penyakit Skizofrenia....?

?Skizofrenia? Penyakit apa, doktor?? Raut wajah ayah membungakan sejuta kemusykilan. Ayah dan emak kebingungan. Sejuta persoalan bagaikan mengasak kamar minda mereka bertubi-tubi.

?Begini Pak Cik dan Mak Cik...? ujar doktor pakar itu lagi. Barangkali beliau cuba menenangkan hati dan fikiran ayah dan emak.

?Penyakit Skizofrenia tidak memilih jantina atau status sosial. Menurut saintis, kemungkinan penyakit ini dikaitkan dengan perubahan biokimia di dalam otak....? Doktor Mahadevan, Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur memberi pandangan. Ayah dan emak sekadar mengangguk-angguk. Mereka tidak mengerti. Yang penting, penyakit Abang Chuan tidak serius. Penyakit Abang Chuan boleh sembuh cepat. Harap Abang Chuan kembali sebagai Abang Chuan yang asal.

?Pak Cik, Mak Cik... pesakit masih boleh menjalani kehidupan normal. Namun....?

?Namun, apa.... Doktor??

?Personaliti, tingkah laku dan persepsinya akan berubah!?

?Maksud, Doktor??

?Anak Pak Cik akan menunjukkan tingkah laku yang pelik. Anak Pak Cik mungkin lebih suka menyendiri, syak wasangka yang keterlaluan, bercakap atau ketawa sendirian, berbogel dan sebagainya!?

?Oh, Tuhan!?

Mulai saat itu, Abang Chuan telah disahkan mengalami SKIZOFRENIA. Ski-zo-fre-nia, kosa kata Greek yang bermaksud minda yang berpecah. Kesimpulannya, Abang Chuan menderita penyakit mental yang serius.

Malang sungguh abang Chuan. Pada usia semuda 21 tahun, Abang Chuan sudah menjadi ahli seumur hidup kelab SKIZOFRENIA. Harapan Abang Chuan dalam dunia bisnes hancur berkubur.

Keluarga aku kini sudah berubah. Suasana harmoni mula bertukar wajah. Masalah ekonomi semakin erat membelenggu kami sekeluarga. Ayah terpaksa bekerja keras. Emak perlu memberikan perhatian lebih kepada Abang Chuan. Kami sekeluarga harus belajar menerima kehadiran Abang Chuan yang baru! Abang Chuan yang suka termenung dan tersenyum sendirian. Abang Chuan yang suka bergebang sendirian. Abang Chuan yang kadang-kadang suka berlagu. Abang Chuan yang suka menjerit melolong, khususnya pada waktu bulan purnama penuh!

Keadaan malang Abang Chuan menjadi topik perbualan saudara-mara, handai taulan dan jiran tetangga di Tg Jambu. Ada yang berkata bahawa Abang Chuan kena rasuk hantu. Ada yang berpendapat bahawa Abang Chuan terkena buatan orang. Ada yang berkata bahawa Abang Chuan terlanggar akan pantang larang nenek moyang. Maka sial malang telah mewarnai sketsa hidup Abang Chuan.

?Padan muka!? Sindir musuh ketat Abang Chuan dalam dunia perniagaan. Dunia perniagaan runcit dan serbuk kopi di Daerah Tg Jambu.

?Dia tu kena rasuk syaitan!? tegur Mak Cik Song tanpa sebarang dalil yang munasabah.

?Abang Chuan kena tebus karma hidupnya!? syor Nyonya Teh pula.

Dari sehari ke sehari, keadaan Abang Chuan masih tidak menampakkan sebarang perubahan. Ayah semakin kecewa. Ayah semakin putus asa. Dunia marah ayah kembali bersketsa. Perubahan Abang Chuan selepas tragedi kecelakaan itu telah mengubah nasib kami sekeluarga.

Pelbagai ikhtiar telah diusahakan. Abang Chuan menjalani rawatan moden. Abang Chuan menjalani rawatan tradisional. Abang Chuan dibawa berjumpa dengan singse. Dukun Melayu. Bomoh Siam. Banyak wang, tenaga dan masa telah dilangsaikan untuk Abang Chuan. Yang penting bagi emak, Abang Chuan pulih kembali.

Kadang-kadang usaha gigih emak ditegur oleh ayah. Menurut ayah, kita perlu menerima kenyataan. Abang Chuan sudah ditakdirkan begitu. Abang Chuan sudah ditakdirkan gila. Maka, gilalah Abang Chuan. Tiada sesiapa yang dapat mengubah takdir Abang Chuan kecuali Tuhan.

Namun bagi emak sebaliknya pula. Bukan emak tidak mahu menerima takdir. Bagi emak, kita perlu berusaha dan terus berusaha. Selagi ada mentari esok, selagi itulah peluang untuk Abang Chuan sembuh memang ada. Selagi itulah emak akan berusaha.

Abang Chuan mengamuk lagi. Abang Chuan menggila lagi. Ayah dan emak meminta bantuan jiran tetangga. Kami, adik-beradik ketakutan. Mujurlah pada ketika itu, pelbagai senjata yang berbahaya di dalam rumah telah disorok oleh Kak Kiew. Jika tidak akan bertambah dahsyatlah amukan Abang Chuan. Polis telah dipanggil. Abang Chuan dikejarkan ke Hospital Daerah Tg Jambu. Abang Chuan dikurung di dalam bilik khas hospital. Keesokan harinya, ayah perlu menandatangani borang kebenaran. Abang Chuan perlu dirujuk ke Hospital Bahagia, Tg Rambutan.

Hospital Bahagia Tg Rambutan (HBTR) merupakan rumah kedua Abang Chuan. Abang Chuan silih berganti menginap di rumah itu apabila jiwa dan mentalnya terganggu. Banyak wang dan masa dihabiskan untuk Abang Chuan. Biarpun dilanda penyakit skizofrenia, Abang Chuan tetap ahli keluarga ayah dan emak!

?Kahwinkan Abang Chuan!? cadang Nenek Tan pada suatu hari ketika emak bertandang ke rumahnya di pekan Tg Jambu. Nenek Tan, kenalan rapat ayah dan emak. Keluarga Nenek Tan dan keluarga mendiang nenek dan datuk sekampung di Tanah Besar.

?Gila! Gila cadangan Nenek Tan!? jerit ayah pada malam itu ketika emak meluahkan cadangan Nenek Tan.

?Barangkali selepas berumah tangga nanti, penyakit Abang Chuan akan pulih!? ujar emak lagi. Biarpun pada awalnya, ayah membangkang tetapi dengan pujukan dan nasihat Nenek Tan, ayah terpaksa akur.

Malangnya, selepas anak ketiga lahir, keadaan Abang Chuan tidak berubah. Abang Chuan tetap abang skizofrenia! Abang Chuan tetap bernyanyi. Abang Chuan tetap berbisik sendirian. Abang Chuan tetap menjerit melolong. Rumah Tangga Abang Chuan tidak dapat bertahan lama. Selepas bersabar hidup selama sedekad setengah, isteri Abang Chuan kembali ke pangkuan keluarganya. Mereka berpisah hidup tetapi bukan bercerai. Perpisahan kakak ipar dengan Abang Chuan merancakkan masalah keluarga. Ayah dan emak terpaksa memikul beban. Ayah dan emak terpaksa menjaga dan membesarkan cucu-cucu seramai tiga orang itu. Ayah terpaksa bekerja sebagai buruh kasar di Syarikat Sin Teck Soon walaupun usianya sudah lanjut.

Aku masih ingat ketika aku ditempatkan mengajar di SMK Dato Bendahara CM Yusuf, Tg Tualang pada awal 1982, barulah ayah bersara. Selepas bersara, ayah pula membantu adik meneruskan perniagaan kedai runcit Abang Chuan. Kak Kiew dan Kak We sudah berumah tangga. Anak-anak Abang Chuan semakin membesar. Yang sulung bekerja di Hotel Federal. Yang kedua sedang belajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Yang ketiga pula sedang menunggu keputusan SPM! Selepas keputusan SPM, ketiga-tiga anak Abang Chuan meninggalkan ayah skizofrenianya!

Sesungguhnya, manusia tidak boleh lari daripada hukum alam dan lingkaran hidup. Ayah dan emak semakin tua. Sebelum ayah meninggal dunia, pernah ayah memberitahu aku tentang hati budi emak yang mulia dan pemurah.

?Tanggungjawab menjaga Abang Chuan tidak perlu kautanggung lagi!?

Aku cuma dapat membisu sambil mendengar setiap kata yang diucapkan oleh mendiang ayahku.

?Anak-anak Abang Chuan perlu bertanggungjawab!? pesan ayah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Daerah Kuala Kubu Bharu.

Rutin hidup keluargaku perlu diteruskan. Emak mahu aku mendirikan rumah tangga sebelum emak menemui Tuhan. Sebelum membuat keputusan, aku telah berterus-terang dengan bakal isteriku.

Aku meneruskan pengajianku di Institut Bahasa. Kehadiran anak ketiga aku - Wuang Xing mencatatkan kejayaan kepada kerjaya aku sebagai seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah selepas berjaya menggenggam segulung ijazah dari UM. Emak yang ketika itu amat uzur masih sempat berkongsi kejayaanku.

Penghujung tahun 2001, emak jatuh sakit. Nazak betul emak. Semua ahli keluarga kecuali kakak ipar berkumpul di sisi emak.

?Ah Guan, Abang Chuan, abang kandungmu. Susah senang pun, dia abang sulungmu. Jangan biarkan dia hidup melarat di kaki lima....?

?Saya faham, mak....? kataku dalam nada yang terputus-putus. Kelopak mataku sudahpun digenangi air.

?Dan....?

?Dan, apa emak??

?Kakak ipar kau dilarang balik! Kakak ipar kau dilarang balik menyembah aku!? Aku berasa terperanjat akan ayat terakhir dalam wasiat emak.

Upacara pengebumian emak berlangsung dengan teratur dan penuh dengan adat istiadat masyarakat Tionghua. Yang peliknya Abang Chuan tidak keluar dari kamarnya buat beberapa hari. Abang Chuan berkabung. Yang lebih aneh lagi, sejak kematian ayah dan emak, Abang Chuan tidak mengamuk lagi. Abang Chuan banyak bersikap diam membisu. Sesekali, Abang Chuan akan keluar dari kamarnya untuk membancuh teh Boh dan menyedut sebatang dua rokok berjenama Perilly selepas kudapan tengah hari dan makan malam.

Awal tahun 2003, yakni pada minggu Tahun Baru Cina, Abang Chuan menunjukkan tanda-tanda buang tabiat. Abang Chuan masuk ke dalam bilik air untuk mandi tetapi tersesat akan jalan keluar. Langkah Abang Chuan memperlihatkan seolah-olah dia sudah berusia 80-an sedangkan usia sebenarnya lewat 63 tahun.

Aku ingin membawa Abang Chuan ke Klinik Kesihatan Tg Jambu. Abang Chuan tidak mahu. Berkali-kali menurutnya, dia sihat. Justeru, seorang doktor pakar persendirian dijemput ke rumah untuk memeriksa kesihatan Abang Chuan. Ujian Darah diambil. Suntikan diberikan.

Dan pada suatu pagi, menjelang tengah hari, Abang Chuan menghembuskan nafasnya yang terakhir di kamar tidurnya. Doktor mengesahkan bahawa Abang Chuan mengalami komplikasi jantung. Anak menantu Abang Chuan terperanjat mendengar khabar berita kematian Abang Chuan.

Ironinya, Abang Chuan meninggal dalam tenang di sisi aku dan adik bongsuku - Ah Poo. Semoga Abang Chuan - abang skizofreniaku bersemadi abadi di alam baqa!

CHAI Loon Guan dilahirkan di Tg Malim, Perak, pada 9 Februari 1960, pernah mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Ilmu Khas pada 1980 dan Kursus Perguruan Khas, Bacaan & Penulisan (Bapen) di Institut Bahasa (1991).

Beliau yang meminati genre puisi dan cerpen melanjutkan pelajaran di Akademi Pengajian Melayu (RBM), Universiti Malaya, pada 1994-98. Munsyi Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka ini pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1988,1989,1993 & 1995) dan Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992 dan 1993).

Cerpen: Di sini tiada dendam

SEMAKIN bergaung laungan panggilan itu datang bagaikan deru angin yang meniup bara. Bara api membesar kian berbahang. Bumi panas yang ditinggalkan hampir dua puluh tahun lalu bagaikan di depan mata. Engkau warga paling dayus! Engkau hanya melihat kota tanah kelahiranmu dibakar, diinjak-injak kaki penceroboh. Penceroboh bermaharajalela menghujani peluru kepada sesiapa sahaja yang digelarnya pengganas.

Penceroboh yang ganas! Pembunuh tanpa belas. Paparan itu semakin memarakkan api dendam. Mendesak-desak agar bangkit menentang kezaliman penceroboh di tanah air yang telah lama ditinggalkan. Rasa meluat dan benci pada pejuang-pejuang boneka. Enak-enak sahaja merampas kuasa atas restu pengganas. Atas nama berjuang dalam buangan? Enak-enak kembali menjadi pemimpin atas restu penceroboh? Bukan restu tangan rakyat.

Aku akan kembali menghancurkan penceroboh. Aku akan menentang pemimpin boneka! Pemimpin yang tunduk pada penceroboh. Aku ingin membalas dendam pengkhianat yang menceroboh kedaulatan bangsa.

Kota Baghdad yang ditinggalkan itu dapat disaksikan kehancurannya melalui Al-Jazera, TV Al-Arabiya, Agensi, AFP, Reuters, CBS; meski melalui pelbagai tapisan suntingan. Sesungguhnya, peluru berpandu dan senapang automatik tidak bermata. Membunuh Mujahidin. Kanak-kanak. Wanita. Darah merah dan mayat hanyir bergelimpangan. Pemandangan ngeri yang sering dipaparkan. Cukup membuakkan lautan api kemarahan dan dendam Ayed untuk bangkit menuntut bela.

Sah, memang sah wajah saudara sedarah sedaging yang terpapar dalam laporan Al-Jazera itu, meski agak mengelirukan kerana nama tubuh pejuang itu bukan nama yang dia kenali. Bukan lagi bernama Shaban, seorang petani di lembah padang pasir. Tubuh itulah yang mendorong Ayed untuk ke Kota Baghdad menimba ilmu. Katanya, perjuangan memerlukan senjata ilmu dan semangat. Ilmu tanpa semangat, perjuangan akan sia-sia. Semangat tanpa ilmu akan binasa. Kata-kata azimat itu kini bagaikan amanah yang terbeban di pundak.

Dia masih dapat membayangkan kampus Universiti Mustanasiriyah yang ditinggalkannya. Dia tidak dapat menamatkan pengajian pada tahun pertama. Dia melarikan diri daripada buruan pemimpin yang jelas tidak sehaluan dengannya. Minoriti sepertinya terpaksa tutup mulut. Sedikit sahaja bersuara tentang perjuangan dianggap menentang. Jalan terbaik, dia meninggalkan kampus. Ayed hanya sempat mengirimkan khabar kepada Shaban @ pejuang Hassan al-Manna dan berkirim salam kepada keluarga. Hassan al-Manna pejuang berani mati, tubuhnya berkecai bersama calon boneka penceroboh. Mudah-mudahan syahidlah engkau wahai abangku, menghapuskan boneka musuh kita. Musuh bangsa! Musuh agama!

Ayed melarikan diri daripada buruan tuduhan menentang pemerintah. Setiap pendapat yang tidak selari dengan pemerintah, dituduh penentang yang mesti dihapuskan. Langsung tiada perundingan. Di sini, pembunuhan menjadi penyelesaian. Dan di dunia baru ini pasti tidak terjangkau oleh cengkaman pemerintah yang tidak sehaluan dengannya. Dia bebas berdebat di Milan Catholic University ini. Di dunia pelarian dapat dia melupakan sebentar gelodak hati. Di sini, dia dapat berulang-alik ke Masjid Viale Jenner; berbincang tentang Islam dan perjuangan. Jihad. Dia masih ingat Abdel Hamid dan Khalid Chaouki yang banyak menolongnya semasa berlindung di kota Milan itu.

Lautan hati muda yang tenang itu berkocak kembali secara tiba-tiba. Kocakan, riak dan gelombang itu tidak ganas, namun serbuannya tidak dapat dibentengi. Umi, gadis Asia Tenggara menambat hati Ayed untuk berbicara tentang kasih sayang. Dia dapat melupakan sebentar penindasan dan perjuangan di bumi yang ditanggalkan.

?Kau boleh menguasai jasadku, tapi bukan jiwaku,? bagaikan genta yang bergemercing berterusan, mengganggu jaga dan tidurnya. Gadis Asia Tenggara yang baru dikenalinya itu terus menghambat perasaannya. Tiada pengalaman sebelumnya yang boleh dijadikan pertimbangan. Dengan menghadap Menara Pisa di tepi lorong pejalan kaki, Ayed sering menanti. Dia menanti dan menanti gadis itu di bangku batu di bawah deretan pohon ru yang menguncup ke atas bagaikan payung. Musim panas di Milan itu cukup mendamaikan dengan angin semilir lembut. Ketulusan hatinya mudah difahami oleh gadis calon doktor perubatan itu. Tidak sia-sialah penantiannya yang disaksikan Menara Pisa itu saban hari.

?Aku punya asal diri. Jika sungguh-sungguh, kau perlu telusuri asalku terlebih dahulu. Aku ada keluarga. Aku ada bangsa. Ada agama. Ada negeri. Ada adat. Ada budaya. Ikatan kukuh itu tidak akan terungkai dengan begitu mudah. Sudah janji aku, sesiapa pun boleh menerimaku seadanya. Aku tidak punya apa-apa istimewa. Aku tidak akan sanggup meninggalkan aku. Kau kena faham itu.?

Bagaikan besi berani, cabaran itu semakin menarik Ayed untuk terus mendekati kekuatan tarikan gadis Asia Tenggara itu. Matanya jernih dan tenang. Sebelum ini tidak pernah ada gadis yang membukakan ruang kasihnya. Dia tidak berdaya menangkis tikaman perasaannya. Dia tewas terkulai dalam perjuangan ini. Gadis bertudung labuh dan berbaju kurung tradisional bangsanya, dengan kod biru di luar menjelma dalam tidur dan jaganya. Kesopanan yang terpamer melalui tutur kata dan gerak-gerinya melunakkan api membakar hati mudanya.

Diturutkan jasadnya membawa sekeping jiwa terbang bersama gadis itu ke Asia semula. Dia meninggalkan bumi Eropah. Dari Asia kembali kepada Asia. Asia Tenggara. Malaysia. Kelantan. Sebuah negeri yang indah. Banyak tumbuh-tumbuhan menghijau dan sungai jernih mengalir. Burung yang damai berterbangan. Sebuah negeri yang damai. Masyarakat yang faham urusan fardu ain dan fardu kifayah dan masih berkesempatan bertegur sapa dengan sesiapa juga. Masih ada masa menyambut tetamu. Masih ada masa mengadakan kenduri-kendara, tolong-menolong dan mensyukuri nikmat. Masyarakat yang tiada bermusuhan. Dikelilingi suasana itu, dia menerima ijab kabul Umi. Serentak ikrar kekasih, mencari keredaan di bumi ini selagi ada hayat.

Bumi ini mewah melimpah ruah. Ketenangan dan kedamaian itu memberi semangat dan cahaya hidup baru. Ayed faham kini, mengapa kekasihnya itu mahu kembali ke kampung halaman. Bumi sejahtera dan mewah. Bumi kasih sayang. Beberapa tahun sahaja dia dapat mengusahakan gedung perniagaan di pinggir bandar. Urusan seharian melupakan lipatan sejarah pahit yang memaksanya menjadi pengembara tanpa tujuan selain api dendam pada usia muda dahulu. Dia berada di pelabuhan berair tenang. Tiada ombak keganasan.

?Aku mahu menurut jejak abang Hassan al-Manna. Syahid!? setelah beberapa hari gelisah digoda api semangat. Semangat membara yang pernah bertapak pada usia darah muda. Gelisah setelah merenung lama-lama gambar Hassan al-Manna dalam akhbar laporan Reuters. Umi tersentak dan merenung dalam-dalam ke mata Ayed, pemuda yang dipungut di perantauan itu.

Keganasan itu tidak pernah jinak rupanya walaupun dikelilingi kedamaian dan kasih sayang. Umi sudah mendapat dua orang zuriat daripada insan berdarah pejuang ini. Menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik anak-anak seperti anak Melayu. Melayu Islam. Islam Hadari. Kemudian Umi mengalihkan pandangan ke luar tingkap; pohon nyiur yang tenang di tengah tanah bekas sawah masih tegak berdiri. Umi tidak rasa kehilangan sekiranya semangat itu masih subur di sanubari perjuangan. Perjuangan menegakkan kebenaran. Perjuangan secara intelek sebagai generasi berilmu. Bukan perjuangan dendam tanpa kesudahan.

?Aku terasing. Biarlah aku kembali kepada perjuangan asalku.?

Rupa-rupanya semangat perjuangan berdarah tidak luntur di bumi mewah. Ledakan gelombang itu tidak dapat disekat oleh Umi.

?Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Tiga perkara yang kita tinggalkan selepas kematian; amal jariah, anak soleh, dan ilmu bermanfaat yang diajarkan. Meletupkan diri, serangan berani mati tidak ubah seperti membunuh diri. Meski tujuan membunuh musuh yang halal dibunuh. Pengikut yang lain tidak lupus, dan dendam terus membara. Bukan penyelesaian. Gunakanlah kebijaksanaan. Ingat, prinsip di mana bumi yang kau pijak ini tidak memberi ruang langsung kepada pengganas. Bumi ini merdeka dengan bijaksana, tanpa menitiskan darah, apa lagi mengorbankan nyawa.? Umi memberi peringatan.

?Bukankah perjuangan paling tinggi darjatnya dengan tangan? Perjuangan dengan lidah pada tahan kedua Dan perjuangan paling lemah dengan hati.?

?Kita ada Allah, tempat kita meminta. Berdoalah agar mereka diberi hidayah, keamanan dikembalikan. Berdoalah, walaupun itu selemah-lemah iman. Rasulullah saw bersabda; ingatlah kamu doa orang yang teraniaya. Tidaklah ada batas pendinding antara mereka dengan Allah.?

?Perjuangan di sini berbeza. Takut kehilangan harta, takut kehilangan kuasa. Tidak takut kehilangan diri. cinta akan dunia. Kelazatan sementara. Perjuangan dalam diri.?

?Sesungguhnya, perjuangan kita berbeza?? Umi tersentak. Tidak sangka, itulah penilaian Ayed yang telah dikelilingi kemewahan.

?Tidak! Tiada beza perjuangan kita! Perjuangan nafsu, emosi, tidak berlandaskan ilmu. Perjuangan itu ada di mana-mana. Aku tidak memahami perjuanganmu, kau tidak memahami perjuanganku. Itu yang sebenarnya. Walaupun hakikatnya matlamat kita sama, demi bangsa. Demi Allah yang Esa. Demi Rasul pesuruh-Nya. Ingat, aku dengan prinsipku, kau dengan prinsip kau. Pemahaman kami tentang perjuangan tidak sama. Kami tidak rela bumi ini menjadi tapak keganasan. Kami tidak rela kemungkaran berleluasa.?

Ayed melangkah. Dia tidak menoleh lagi.

?Ingat, Ayed! Kau sudah berjanji untuk bersama dalam kehidupan aku. Aku tidak akan berdiam diri kalau kau kembali kepada dendam dan kemusnahan.? Tegas Umi.

Di hadapan Ayed hanya Hassan al-Manna. Syahid. Hassan al-Manna. Syahid. Hassan al-Manna telah disemadikan dengan darah dan pakaian yang rabak dirobek peluru penceroboh. Menjadi bukti, ketulusan hati, perjuangan menentang musuh penceroboh.

Ayed melangkah meninggalkan Umi, ibu kepada dua orang zuriatnya. Zuriat yang dititipkan untuk menjadi anak soleh. Dapatkah? Langkahnya terhenti. Dia tunduk. Ada suara menggamit perjuangan syahid. Pasrah pada Tuhan. Kemudian, dia mendongak kembali. Menghela langkah pejuang ke gelanggang. Bagaikan berada di atas pelana dan pedang terhunus. Kuda memacu. Fisabilillah. Dia melangkah gagah. Dia melangkah meninggalkan gedung perniagaan yang memerlukan sentuhan tangan usahanya.

Langkah Ayed terhenti. Perniagaan akan rugi? Kemewahan dan kebahagiaan terpendam? Semua itu sudah tiada erti. Hal-hal perjuangan dunia, tiada tamatnya. Cetusan bara itu kian membara. Syahidlah mereka yang mati menghapuskan pengkhianat.

Ayed melangkah dan tidak menoleh lagi.

Tiba-tiba ada tangan memegang bahunya. Ayed menoleh. Dua orang pegawai beruniform di kiri dan di kanannya. ?Anda ditahan untuk siasatan. Anda disyaki pengganas!?

?Allahu Akhbar! Apa buktinya??

?Di sini bumi cinta akan kedamaian. Ada niat sahaja untuk mencetuskan keganasan, sudah boleh ditahan untuk didakwa. Jika sahih, anda akan dihukum.?

?Allahu Akhbar! Hukumlah saya. Bunuhlah saya. Saya rela mati kerana jihad.?

?Kami tidak membunuh bukan pembunuh! Kami akan menahan kamu untuk diberi tarbiyah. Kita sesama saudara, kena ingat-mengingat. Kamu berilmu. Berjihad dengan ilmu. Bagi kami, semua masalah boleh diselesaikan melalui perundingan. Tolak-ansur. Muafakat.?

Ayed dengan tangan bergari, mengikut prosedur, diarahkan ke van biru. Di sisi van biru, Ayed terpandang Umi berdiri memerhatikan langkahnya. Ayed menelan liur dan menggetap gigi.

?Kau boleh menguasai jasadku, bukan jiwaku.?

Biodata

MD Ishak A Rahman mula menulis cerpen pada 1978 dan turut menulis puisi, rencana, berita dan buku kerja serta rujukan peperiksaan PMR mahupun SPM. Beliau yang bertugas sebagai guru di Johor pernah memenangi beberapa hadiah sastera termasuk Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1985, 1986, 1987 dan Hadiah Sastera Malaysia 1987.

asalamualaikum

Sudut ini dibangunkan untuk menikmati hasil kreatif terutama cerpen. Karya-karya yang terpapar di sini saya petik daripada bahan-bahan bacaan umum terutama daripada akhbar tempatan. Saya kumpulkan di sini bertujuan untuk memudahkan semua pihak menatapnya. Terima kasih kepada pihak media yang terbabit, serta pengkarya yang berjaya menggarap hasil mereka sedemikian hebat. Selamat membaca dan terima kasih kepada semua yang terlibat.

About Me

My photo
Seorang guru, juga GKTV di SMU Mardziah, Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.

Seorang ibu kepada enam anak di dunia fana dan seorang ibu kepada bidadari kecil di alam sana. Suka menguliti bahan bacaan, menikmati keindahan alam dan gemar akan sesuatu yang kreatif.

2011- Hope this is my year...
"Sesungguhnya selepas kesukaran itu akan ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu ada kesenangan.., annasyrah
"Sesungguhnya Allah melakukan segala sesuatu ada tempoh-tempoh masanya," al talak..

About this blog

Blog ini menghimpunkan karya penulis yang sudah mengukir nama di media cetak tanah air.
Dengan adanya kelompok cerpen ini, diharap agar kita bisa menikmati satu genre sastera dengan lebih mudah. Juga, usaha ini diharap dapat dicerna oleh pembaca dan menjadi satu tapak untuk mempertingkat mutu penulisan kita.
Kepada penulis, izinkan kami jadikan karya ini sebagai renungan, tutorial, juga muhasabah. Terima kasih.